Bab 14

"KAKAK pergi sekejap je. Kakak nak cari ayah. Dah setahun ayah hilang. Mak pula asyik meracau nama ayah. Najla tak kesian ke dekat mak?"

"Tapi kakak... Najla risaukan... kakak. Kita tak tahu... pekerjaan sebenar ayah. Macam mana... kalau ayah tu penjenayah... macam yang orang kampung... cakap?"

Maryam tersenyum dengan keresahan di laman wajah Najla. Tubuh adiknya yang sudah teresak-esak itu terus ditarik ke dalam pelukan. Memberikan kehangatan. Menenangkan Najla bahawa semuanya akan baik-baik saja.

"Kakak akan balik. Cuma cepat atau lambat je. Doakan kakak. Kakak sayang Najla dengan mak sangat-sangat tau. Lagi pun, kakak nak keluarga kita lengkap macam dulu," pujuk Maryam sembari mengucup lembut ubun-ubun adiknya.

Tatkala kenangan 13 tahun yang lalu menyingkap ruang ingatan, setitis demi setitis air mata seorang Najla Fakhira turun jua. Bibirnya diketap. Sesak di sudut atma semakin mengasak. Dinding hatinya hancur. Sungguh, Najla sangat merindukan kakaknya yang hingga ke hari ini masih belum kembali ke pangkuan keluarga.

"Kakak... Najla rindukan kakak," rintih Najla sembari menatap sekeping foto yang sudah pudar urnanya.

"Betul ke ayah jual kakak?" ngongoi Najla lagi pada keheningan Subuh. Kepalanya digelengkan. Seakan tidak percaya dengan apa yang sering diperkatakan oleh orang sekelilingnya. Menyatakan bahawa Maryam sudah dijual oleh ayah kandung mereka.

Tika itu, mentari yang sentiasa menyinari hidup Najla kian pudar. Hanya mendung yang bertamu di jiwa gadis itu. Entah mengapa, kehidupan Iftiyah membuatkan Najla terkesan semula dengan kisah silamnya.

"Najla!"

Sebaik saja pintu bilik dibuka dari luar, Najla terus mengesat air matanya. Nafas panjang ditarik sebelum dihembuskan perlahan. Foto disembunyikan di bawah bantal. Tak mahu Tiara mengesan bahawa hatinya dirundung duka.

"Kau menangis..."

"Taklah! Aku selesma. Hah kau dah kenapa jerit macam orang meroyan ni?" pintas Najla. Tidak mahu Tiara tahu kelemahan yang sering disimpan dalam diam.

"Tipu! Mata kau sembap. Babe, kenapa ni? Kau ada masalah ke? Kalau ada, ceritalah. Kau ni suka sangat simpan seorang," kata Tiara seraya melabuhkan duduk di birai katil. Senyuman di bibirnya pahit melihat laman wajah sahabatnya yang merah.

Najla terus mengalihkan pandangan tatkala Tiara mula membaca wajah sembapnya. Suasana mula canggung tatkala Tiara mula fokus dengan figura Najla yang seolah-olah ingin mengelak.

"Naj..."

"Aku okey. Jangan risaulah. Kau tu yang kenapa? Sepanjang enam bulan ni, dah macam orang tak ada semangat hidup dah aku tengok. Tapi hari ni tiba-tiba terkinja-kinja," kata Najla. Gadis itu terus berdeham membetulkan suaranya yang serak.

Mendengar itu, hilang sudah bicara Tiara untuk bertanyakan keadaan Najla. Namun, intuisinya kuat mengatakan bahawa Najla sedang tidak baik-baik saja. Begitulah Najla Fakhira. Lebih suka memendam daripada meluahkan isi yang tersirat di lubuk hatinya.

"Amran dah balik esok! Ya Allah happy gila dah boleh kahwin! Lama aku tunggu encik tunang intan payung aku," ujar Tiara seraya memeluk erat tubuh Najla. Senang hati tatkala Amran menghubunginya selepas menunaikan solat Subuh.

"Gediklah kau ni! Tak relaks langsung!" cemuh Najla seraya menolak kasar tubuh Tiara. Hailah, kemaruk benar sahabatnya itu. Gila bayang. Mabuk kepayang. Semua boleh dilemparkan kepada Tiara.

"Of course! Enam bulan okey kita orang tak contact langsung sebab aku hormat tugas dia kat sana. Mestilah rindu," luah Tiara. Tubuh dilabuhkan di atas tilam. Senyuman kembali terukir di bibir gadis yang masih bertelekung itu. Bahagia tika dia akan menikah dengan pujaan hatinya.

Melihat wajah ceria Tiara membuatkan Najla tersenyum sendiri. Hatinya senang melihat Tiara kembali ceria. Sebagai sahabat, sudah tentunya Najla tumpang bahagia tatkala Tiara sudah menemui orang yang sesuai untuk dijadikan pasangan.

"Itulah kau. Banyak-banyak lelaki, askar juga yang kau pilih. Dah tahu pekerjaan dia orang tu selalu keluar masuk hutan. Tak pasal-pasal kena tanggung rindu berbulan-bulan. Ni baru bertunang. Esok-esok bila dah kahwin, meroyan kau ni gerenti naik level!" sindir Najla. Dia bangun dari berteleku di atas sejadah seraya menanggalkan telekungnya.

Tiara mengeleweh dengan usikan Najla. Bukan main kasar lagi sindiran sahabatnya itu. Membuatkan Tiara mula membayangkan episod lara andai Amran meninggalkannya demi tugas.

"Kau tak rasa apa yang aku rasa. Senanglah kau cakap. Tak apa. Aku doakan suatu hari nanti kau berjodohan dengan anggota tentera juga. Baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah. Sakitnya rindu orang yang kita cinta. Nanti..."

Belum sempat Tiara menoktahkan bicara, telefon pintar Najla yang terletak di sebelahnya bergetar. Laju saja Tiara mencapai telefon pintar sahabatnya. Terpampang jelas WhatsApp yang dikirim oleh Nadhif Firman.

"Oh kau. Main cinta dengan Nadhif dekat belakang aku eh?" usik Tiara. Bibirnya sudah terherot sinis. Kaget tika Najla saling berbalas mesej dengan Nadhif. Walhal, sahabatnya itu bukan seorang yang suka berkongsi nombor telefon dengan lelaki yang baru dikenali.

Najla terus merebut semula telefon pintarnya daripada Tiara. Kaget bila Nadhif tiba-tiba saja membalas pesanan WhatsApp setelah enam bulan pertemuan terakhir mereka. Malahan, Najla jadi kehilangan diksi melihat wajah mengusik Tiara itu.

"Dah berapa lama kau buat kerja ni dekat belakang aku? Eleh, tak nak konon. Padahal..."

Sekonyong-konyongnya, Najla mencubit lengan Tiara tatkala gadis itu semakin ligat mengusiknya. Geram!

"Tak ada kaitan dengan hal cintan cintun eh. Kebetulan je ni Nadhif tolong aku dulu. Kau kan dah kemaruk bercinta dengan Leftenan Amran kau tu. Mana nak peduli pasal kawan kau yang kesusahan dulu!" cemuh Najla. Bebola matanya diputar ke atas. Masih segar di ruang ingatan tika Tiara tidak menjawab panggilannya tika dia kehabisan minyak kereta dulu.

Tiara sudah terkekek melihat wajah Najla yang sudah kemerahan seperti buah tomato. Puas hatinya mengusik Najla yang hati batu itu. Lantas, Tiara bangun dari pembaringannya seraya melangkah keluar dari kamar Najla.

Namun, langkahnya terbejat tika kotak fikiran masih ligat mengusik Najla.

"Nadhif Firman dan Najla Fakhira. Cantik juga ya kalau nama kau orang tertulis dalam kad jemputan kahwin. Dua-dua huruf N dan F. Tak rasa..."

"Dah! Aku tak dengar merapu kau lagi. Keluar. Jangan kacau aku," halau Najla seraya menolak kasar tubuh Tiara. Laju saja pintu ditutup seraya dikunci. Keluhan berat terlepas daripada bibir tatkala usikan Tiara semakin membuatkan Najla tak keruan.

Tanpa berlengah, Najla terus membuka ikon WhatsApp. Ada tiga pesanan diterima daripada Nadhif Firman. Aneh. Mengapa ya enam bulan kemudian baru perjaka itu membalas pesanan WhatsAppnya?

Nadhif Firman:

Assalamualaikum. Maaf sebab terlalu lambat untuk balas WhatsApp kau. Ada urusan penting yang aku harus selesaikan.

Nadhif Firman:

Terima kasih sebab doakan keselamatan aku. Alhamdulillah. Semuanya baik-baik saja. Aku sihat. Aku harap kau okey juga dan tak lupa isi minyak lagi

Tatkala frasa 'tak lupa isi minyak' dibaca, Najla tersenyum nipis. Seakan, episod dukanya sebentar tadi hilang dibawa pawana. Hatinya tercuit dengan usikan Nadhif. Masih segar di ruang ingatan tika Nadhif sanggup meredah hujan dan membantunya yang kehabisan minyak kereta.

Nadhif Firman:

Lama sangat aku tak jumpa kau. Boleh tak... kalau aku nak jumpa kau lagi? Kali ni bukan pertemuan tak disengajakan melainkan pertemuan yang kita rancang

Najla melabuhkan duduknya di birai katil usai membaca pesanan terakhir Nadhif. Anak rambut yang terjuntai diselit ke belakang telinga. Sorotan matanya masih menatap mesej daripada Nadhif. Lama.

Entah mengapa, kotak fikiran Najla jadi rumit mahu membalas pesanan Nadhif. Walhal, Najla seorang yang pantas dalam membuat keputusan. Seakan, sang hati sedang beperang tika ini. Sama ada mahu menerima atau menolak pelawaan Nadhif untuk bertemu.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top