BAB 4

"RASH..."

Matanya perlahan terbuka. Warna putih memenuhi pandangannya. Dahinya berkerut sedikit. Dia berada di mana sekarang? Badannya kejung baring di atas sesuatu permukaan yang lembut.

Dia mengelip matanya beberapa kali. Badan cuba digerakkan. Kenapa dia rasa terlalu lama dia tidur di sini. Persoalannya berapa lamakah dia tidur?

"Rash..." Sekali lagi bisikan itu menampar gegendang telinga bersama hembusan hangat di tepi telinganya. Anehnya tiada sesiapa di situ. Hanya dia.

Firash memaksa badannya bangun dari pembaringan. Kemudian, matanya mengitari sekelilingnya yang berwarna putih. Tempat apakah ini? Matanya pula jatuh pada pakaian yang tersarung di badannya. Putih juga!

"Aku kat mana ni?" soalnya sendiri.

Firash mula berjalan perlahan mencari jalan keluar. Dia teruskan berjalan tanpa hala tuju. Dia tak menemui apa-apa di situ. Kosong dan hanya berwarna putih sahaja. 

"Rash..."

Itu suara Airis!

Kenapa dia bodoh sangat tidak mengecam suara gadis itu. Airis tidak henti menyeru namanya.

"Airis!" Firash melaung kuat.

Tiba-tiba angin kencang mula meniup kuat. Terhuyung-hayang badan Firash. Sekelilingnya tadi yang hanya berwarna putih serta-merta bertukar. Kini, dia berada di sebuah tasik yang cantik. Masih tiada sesiapa di situ.

Mata Firash menangkap satu susuk tubuh yang berdiri tidak jauh daripadanya. Hanya melihat melalui belakang badan, dia boleh mengecam gerangan tersebut.

Dia berlari ingin mendapatkan Airis! Airis menunggunya.

"Airis..." Bahu Airis disentuh dari belakang.

Senyuman Firash melebar saat Airis menoleh ke arahnya. Laju tangannya naik mengelus lembut pipi kesayangannya. Dia mengamati lama wajah Airis yang makin anggun dan berseri-seri. Wanita di hadapannya itu juga berpakaian serba putih sepertinya. Ada sehelai selendang putih di atas kepala Airis.

Airis genggam tangan Firash yang bermain di wajahnya lalu ditepis kasar.

Firash tersentak diperlakukan sebegitu. Airis tidak pernah menolak sentuhannya. Semakin dia mendekati Airis, semakin Airis menjauhinya.

"Kenapa Rash tinggalkan Airis?"

"I tak pernah tinggalkan you."

Firash menggeleng kepalanya keras.

Mata Firash terkedip lemah.Dia kehilangan kata-kata saat tersedar sesuatu yang lain pada Airis. Dia berhenti mendekati Airis. Langkahnya terus mati. Matanya terpaku pada perut Airis yang memboyot besar itu. Dia tak silap melihat. Semuanya jelas.

"Kita berdua dah buat kesilapan yang besar."








SERRA memandang sayu uminya yang setia berada di sisi Firash. Firash masih tidak sedarkan diri sehingga kini. Sudah 3 minggu berlalu keadaan Firash masih sama. Terbaring kaku di atas katil hospital itu. Saban hari ahli keluarganya menunggu dia sedar dari tidur panjangnya.

Serra hempaskan punggungnya di atas sofa yang terdapat di dalam bilik itu. Apabila melihat keadaan Firash, dia teringatkan rakannya iaitu Airis merangkap kekasih abangnya. Kali terakhir dia bertemu Airis tiga minggu yang lepas. Pada waktu itu Airis datang ke rumahnya kerana mencari Firash. 

Sejak peristiwa itu Serra dan Airis terus terputus hubungan. Airis pula yang menghilangkan diri.

Telefon Serra berdering menandakan ada panggilan baru masuk. Nama yang tertera di skrin telefonnya memaksa dia untuk menjawab panggilan itu dengan segera. Dia tak menjawab panggilan itu terus, sebaliknya dia melangkah keluar dari bilik itu. Ditinggalkan umi bersama abangnya.

Selesai bercakap di dalam telefon, Serra masuk kembali ke dalam bilik untuk mengajak uminya pulang. Waktu untuk melawat sudah hampir tamat. Dia tepuk perlahan bahu uminya dari belakang.

"Umi, jom balik."

Datin Fatima angkat kepalanya yang direhatkan di tepi katil Firash. Ada sedikit ruangan untuk dia labuhkan kepala di situ sambil menggengam erat tangan anak lelakinya. Dia hampir terlelap. Wajahnya jelas kepenatan. Dia melayang senyuman nipis kepada Serra. Kemudian, pandangannya beralih pula kepada Firash.

"Esok umi datang lagi ye Firash. Umi balik dulu..."

Datin Fatima tahu Firash mendengar segalanya. Dia tak pernah henti memberikan semangat kepada Firash dan mengalunkan bacaan Al-Quran di sisi Firash. Dia rungkaikan pegangannya pada tangan Firash.

Baru selangkah Datin Fatima berjalan, tangannya dipegang erat daripada belakang. Menghalangnya dia pergi. 

"Ai... Airis."

"Airis..."

"Abang Firash dah sedar!" Serra menyedari tangan Firash bergerak dan Firash sedang merenung ke arah mereka.

"Kita berdua dah buat kesilapan yang besar." Suara Airis terngiang-ngiang di telinga Firash.

Airis. Hanya nama Airis yang meniti di bibir Firash. Setitis air matanya gugur tanpa sedar.












TERASA berat setiap langkah yang dibawa Airis melangkah keluar daripada rumah itu. Betulkah keputusan yang dibuat ini? Berhari-hari dia memikirkan pilihan yang diberikan oleh ayahnya. Dan hari ini dia memutuskan segalanya. Beberapa buah beg pakaiannya dimasukkan ke dalam kereta dibantu oleh Eiman.

Eiman dan Airis saling berbalas pandangan untuk seketika.

Airis menarik nafas dalam. Dia cuba kekal tenang selagi mampu. Dia harus menjaga nama keluarga ini dan mengikut segala arahan Tengku Sulaiman. Ayahnya akan menghantar dia jauh dari sini. Tempat di mana tiada sesiapa mengenali dirinya. Jauh dari orang ramai. Dia sendiri tidak tahu ke mana dia akan dibawa pergi.

"Manusia yang teruk macam kau ni tak layak jadi seorang ibu!"

Mata dipejam rapat.

'Aku... tak boleh jaga dia.'

'Aku manusia yang teruk.'

Bukankah ini yang kau mahukan Airis? Kau sendiri tidak sudi dengan anak di dalam kandungan ini. Malah kau pernah terdetik untuk menggugurkan kandungan ini.

Ada benar kata-kata ayahnya. Dia sememangnya manusia yang teruk.

"Man tak boleh ikut akak sekali. Ayah tak bagi." Eiman tampak serba salah ingin menyatakan. Ayahnya sangat tegas. Makin bertambah tegas dan garang sejak rahsia Airis terbongkar.

"Tak apa."

"Man janji akan selalu melawat akak dekat sana. Akak cakap je apa yang akak mengidam. Man akan tunaikan. Man kan ibu peri akak."

Tak semena-mena terletus ketawa Airis. Terhibur. Lelaki gagah macam ni ibu peri?

"Betul ni? Man janji akan tunaikan apa yang akak nak?" Airis jungkit sebelah keningnya ke atas. Serius.

Eiman angguk kepala laju.

Tangan Airis naik mengusap lembut rambut Eiman. Eiman sentiasa memahaminya dan memberikan kata semangat. Dia sangat sayangkan Eiman.

"Akak sekarang tengah mengandung. Pemakanan tu kena jaga! Jangan buat kerja yang berat dan lasak. Akak ni degil. Man risau. Banyakkan baca Al-Quran ya kak. Solat jangan tinggal. Kita jaga hubungan kita dengan Allah. Maka, Allah jaga semuanya untuk kita."

Setiap patah perkataan yang meluncur keluar dari mulut Eiman sangat bermakna.

Sebelum berangkat pergi, Airis mahu menyalami tangan orang tuanya buat kali terakhir. Airis menghulurkan tangannya kepada Tengku Sofia.

Tengku Sofia pada awalnya tidak mahu menyambut tangan Airis. Malah, wajah Airis langsung tak mahu dipandang. Tiada lagi senyuman manis di bibirnya untuk Airis. Hatinya masih sakit dan kecewa dengan perbuatan Airis.

"Maafkan Airis ibu."

Belum sempat Airis mahu menjatuhkan ciuman di atas kekura tangan Tengku Sofia, wanita itu pantas menarik tangannya kembali. Airis tersentap namun cuba ditahan.

Tengku Sulaiman turut berkelakuan sama seperti isterinya.

Pasangan suami isteri itu terus masuk ke dalam rumah tanpa menunggu Airis pergi terlebih dahulu. Airis pandang buat kali terakhir susuk tubuh kedua orang tuanya yang kian hilang dari pandangan. Dinding pipi digigit dari dalam. Sebak di dada.

Lihatlah apa yang kau telah lakukan Airis. Kau telah lukakan hati mereka sehingga mereka menjadi dingin seperti ini.

Airis tahan air mata yang mahu mengalir. Untuk kali ini tolong jangan menitiskan air mata kau. Tolonglah...

Kepala dilentokkan ke cermin tingkap kereta sebaik saja kenderaan yang dipandu oleh Pak Ahmad bergerak keluar dari perkarangan rumah itu. Pak Ahmad adalah driver keluarga itu.

Tangan Airis dilekapkan ke dada sambil bermain dengan rantai pemberian Firash. Dia sentiasa memakai rantai itu. Hadiah yang cukup bermakna suatu ketika dahulu.

Namun, sekarang sudah tiada nilai lagi.

Lelaki itu dah tinggalkan dirinya menanggung semua ini seorang diri.

Semalam Airis ada termimpi Firash. Di dalam mimpi itu dia bertemu dengan Firash dan pada ketika itu kandungannya sudah sarat dengan perut yang memboyot besar. Dia tidak ingat apa yang dia katakan kepada Firash. 

'Lupakan dia, Airis.'

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top