BAB 2
KELUAR dari kawasan perumahan keluarga Firash, Eiman tidak terus pulang ke rumah mereka. Sebaliknya dia berhentikan kereta di tepi jalan. Sejak Airis melangkah keluar dari rumah itu dia langsung tidak berkata apa. Mulut dikunci kemas.
Eiman tahu ada sesuatu yang tidak kena berlaku.
"Menangis la, akak. Jangan pendam. Man takkan tanya apa masalah akak." Eiman tak mahu mendesak. Dia perlu memberikan ruang kepada Airis untuk bersendirian.
"Man... nak pergi mana?" Airis menyoal laju apabila melihat adik lelakinya membuka pintu kereta.
Eiman tersenyum nipis.
"Man nak pergi solat maghrib. Nanti kita sampai rumah mungkin dah masuk waktu isyak. Sebab tu Man berhenti dekat masjid ni."
Kini baru Airis tersedar mereka berada di mana. Di kawasan masjid. Dia terleka melayan perasaan sendiri.
"Akak tak nak solat?" Lembut Eiman bertanya.
Solat? Soalan Eiman menyentapkan Airis. Bilakah kali terakhir dia sujud di atas tikar sejadah. Solatnya sendiri tunggang-langgang. Bibir dikemam rapat.
"Eiman solat la dulu. Nanti akak solat." Itu hanyalah satu alasan yang dicipita. Airis melentokkan kembali kepalanya di cermin tingkap kereta. Kepalanya terasa sangat berdenyut-denyut meminta untuk matanya terpejam.
"Hati kita akan tenang bila kita dekat dengan Allah," ujar Eiman.
Bunyi pintu kereta ditutup menandakan Eiman sudah keluar tinggalkannya bersendirian di dalam kereta. Airis mencelik matanya semula. Perbualannya dengan Serra setengah jam yang lepas kembali bermain di fikirannya.
"Abang Firash dah tak ada."
Dahi Airis berkerut tak faham.
"Apa maksud kau Firash dah tak ada, Serra?!" Meninggi suara Airis. Bahu Serra dicengkam kuat.
"Abang Firash dah pergi Ireland. Kau terlambat."
"No..." Airis bersuara lemah. Bahunya jatuh ke bawah. Dia menggeleng kepala tak percaya. Firash tak boleh tinggalkan dia di saat genting ini. Dia amat memerlukan Firash.
"Bi... Bila Firash pergi? Kenapa dia langsung tak beritahu aku."
Serra menundukkan kepalanya ke bawah. Dia diterpa rasa bersalah kerana menyembunyikan hal ini daripada pengetahuan Airis. Airis kekasih abangnya. Jadi Airis berhak tahu.
"Semalam."
Airis buntu.
Dia tidak bersedia menerima amukan daripada ayahnya dan melihat wajah kecewa ibunya saat mengetahui dia mengandung.
"I'm pregnant," beritahu Airis perlahan kepada Eiman yang baru masuk ke dalam kereta setelah selesai solat. Dia memalingkan kepalanya ke arah lain asalkan bukan pada wajah Eiman.
Eiman meraup wajahnya kasar. Pengakuan Airis mengejutkannya. Dia tidak menyangka sejauh itu hubungan Airis dan Firash pergi.
"Apa akak nak buat sekarang ni, Man? Firash dah tinggalkan akak. Akak tak nak anak ni. Dia hanya akan menyu-"
"Jadi akak nak gugurkan kandungan akak?" Eiman memotong laju percakapan Airis.
Airis mengangguk kepalanya tanpa ragu-ragu. Iya, dia terfikir mahu gugurkan kandungannya.
"Anak dalam perut tu tak salah. Yang salah perbuatan akak dan abang Rash. Tak cukup dengan dosa akak berzina... Sekarang akak nak jadi pembunuh pulak? Akak boleh bayangkan tak kalau akak bunuh anak tu. Akak tahu apa yang terjadi? Dia akan tunggu ibu dia di syurga. Man cakap macam ni sebab Man tak nak akak terus hanyut. Akak tak boleh berfikir dengan baik sekarang. Akak termakan dengan bisikan syaitan yang tak henti menghasut di tepi telinga akak. Jangan bertindak melulu. Nanti akak yang akan menyesal kemudian hari."
PERTEMUAN dia dan Airis petang tadi membawa dia ke sini. Apa yang dia sampaikan kepada gadis itu semuanya pembohongan semata-mata.
Firash bukan ke Ireland.
Firash masih di sini.
Firash tak tinggalkan Airis.
Mata Serra jatuh pada cincin yang tersarung di jari lelaki itu. Cincin yang sepatutnya menjadi milik Airis. Firash sangat mencintai Airis dan berniat mahu menikahi gadis itu. Namun, semuanya sudah terlambat.
Jasad di atas katil itu tidak bergerak. Hanya melalui bantuan pernafasan saja yang menunjukkan dia masih bernyawa. Firash terlibat dalam kemalangan kereta yang dirempuh dengan lori. Hari ini sudah masuk hari ketiga Firash berada di hospital. Sehingga kini dia masih belum sedar.
Malam sebelum kejadian yang menimpa Firash, adik-beradik itu sempat berbual untuk kali yang terakhir. Firash menyatakan hasratnya mahu melamar Airis menjadi isterinya. Serra orang pertama yang tahu dan memegang rahsia itu.
Firash dan Airis sudah 3 tahun bercinta. Semuanya bermula daripada Serra yang memperkenalkan Airis kepada abangnya.
SEMINGGU berlalu. Selama tempoh itu Airis mengurungkan dirinya di dalam bilik. Biliknya akan sentiasa dikunci kerana tak mahu diganggu oleh sesiapa. Sikap Airis yang mula menjauhkan diri dari orang menjadi tanda tanya kepada penghuni di dalam rumah itu kecuali Eiman.
Hanya Eiman yang tahu apa masalah yang dihadapi kakaknya. Dia berharap kakaknya tidak akan membuat sesuatu yang boleh memudaratkan nyawanya.
"Airis..." Pembantu rumah bernama Mak Wan itu mengetuk pintu bilik Airis. Kemudian, wanita tua itu meletakkan sedulang makanan di atas lantai tepat di hadapan pintu.
"Mak Wan ada letakkan makanan depan pintu ni. Airis makan ya."
Pandangan Mak Wan beralih pada majikannya, Tengku Sofia yang berdiri di sebelahnya. Tengku Sofia risau memikirkan keadaan anak perempuannya.
Seperti kebiasaan Airis akan mengambil dulang makanan yang dihantar Mak Wan beberapa minit selepas itu.
Mak Wan sudah pergi. Manakala Tengku Sofia menunggu di hadapan pintu bilik Airis. Masa terus berlalu.
Klak. Bunyi pintu dibuka dari dalam. Airis membongkokkan badannya mengambil dulang makanan di atas lantai. Pergerakannya terus kaku serta-merta apabila renungannya berkunci dengan renungan ibunya.
"Ibu..." Setapak Airis mengundur ke belakang.
Tengku Sofia menolak pintu bilik agar terbuka lebih luas. Tiada cahaya yang menerangi bilik ini. Hidup dalam kegelapan. Kepala digeleng sekali. Dia berjalan melepasi Airis lalu tangan menarik langsir di dalam bilik itu. Sinaran cahaya dari luar berlumba-lumba masuk ke segenap bilik itu. Sliding door balkoni dibuka memberi angin segar dari luar memasuki bilik itu.
Punggung Tengku Sofia dilabuhkan di hujung katil Airis.
"Airis... sini," panggil Tengku Sofia. Ruang disebelahnya ditepuk menggamit Airis duduk di sebelahnya.
Airis mendekati ibunya. Dia tak mahu duduk di sebelah ibunya. Dia memilih untuk duduk di atas lantai. Dia duduk bersimpuh di kaki Tengku Sofia. Kepala diletakkan di atas riba ibunya.
Tangan Tengku Sofia mengusap lembut rambut anaknya.
"Beritahu apa masalah Airis. Ibu nak tahu."
"Ibu akan bencikan Airis. Airis tak sanggup lukakan hati ibu."
Tengku Sofia tidak mengerti. Kenapa dia akan membenci anak kandungnya sendiri? Terlalu besar sangat ke kesalahan yang dilakukan Airis.
"Sampai bila Airis nak larikan diri? Kurungkan diri dalam bilik ni."
Airis sendiri tiada jawapan untuk soalan ibunya. Berhari-hari duduk di dalam bilik ini membuatkan jiwanya mati. Emosinya tidak menentu.
"Ibu..." Airis angkat kepalanya dari atas riba Tengku Sofia. Bibirnya menarik senyuman pahit.
"Airis lapar. Ibu suapkan Airis boleh?" Mata Airis kembali bergenang dengan air mata.
Dulang makanan tadi diambil kemudian Tengku Sofia menyuapkan Airis makan. Kedua-duanya diam tidak bercakap selepas itu. Airis nampak berselera menikmati makanan yang dimasak Mak Wan.
Untuk suapan ke yang berapa, Airis berlari masuk ke dalam bilik air untuk memuntahkan semula makanannya. Beginilah keadannya sejak kebelakangan ini. Morning sickness dia makin teruk. Badannya semakin lemah. Dia memandang wajahnya di pantulan cermin besar di dalam bilik air. Sampai bila dia nak sorokkan perkara sebenar daripada pengetahuan orang tuanya. Lambat laun mereka akan tahu juga.
Airis mengumpul segala keberanian untuk mengaku di hadapan ibunya. Kaki diseret keluar dari bilik air.
"Ampunkan Airis, ibu." Bibirnya bergetar hebat.
Lutut Airis dijatuhkan di atas lantai. Melutut di hadapan ibunya.
"Airis dah terlanjur dan sekarang Ai... Airis me... mengandung."
"Ya Allah." Tengku Sofia menggeleng kepalanya penuh kesal. Dia menjauhkan dirinya daripada Airis yang ingin menyentuh tangannya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top