BAB 17

Dengan langkah yang malas dia menuju ke biliknya yang sekarang berkongsi dengan lelaki lain. Menurut Eiman, suaminya sudah lama masuk ke dalam bilik. Dia sengaja mahu berlama-lama di luar. Dia masih rasa kekok untuk duduk satu ruang dengan Riyaz. Boleh dikira dengan jari saja berapa kali mereka bertemu dan sekarang mereka sudah menjadi suami isteri.

Mengeras tubuh Airis setiap kali Riyaz mengambil kesempatan ingin memegang tangannya dan memeluk pinggangnya. Bila dia jegilkan matanya kepada Riyaz, lelaki itu sekadar tersenyum. Senyuman penuh makna.

"Lelaki gatal," kutuk Airis yang sedang berdiri di hadapan pintu biliknya. Lama dia merenung pintu itu sepertinya mahu ditembus dengan renungan tajamnya.

"Harap-harap la dia dah tidur." Dia menadah tangannya dan meng-aminkan doanya selepas itu.

Semoga Riyaz dah tidur. Dan dia tak perlu menghadap lelaki itu.

Airis penat seharian ini. Dia tidak sabar mahu melompat ke atas katilnya dan bergolek-golek sebelum tidur. Nafasnya ditarik dalam lalu menolak luas pintu biliknya. Katil kosong. Kelibat Riyaz pula tidak kelihatan. Betul ke Riyaz dah masuk bilik?

"Cari saya ke?" Suara garau itu muncul dari arah belakang Airis.

Terhenti perbuatan Airis yang ingin menanggalkan selendang di atas kepalanya. Jatuh kedua belah tangannya di sisi badan. Dia teragak-agak mahu pusingkan tubuhnya.

"Kenapa awak tak pakai baju?!" Nyaring suara Airis menyoal. Pantas dia membelakangi Riyaz semula. Segan dia apabila Riyaz menghadiahkannya satu pemandangan yang luar biasa. Lelaki itu hanya bertuala menandakan dia baru lepas mandi. Fuh, badan suaminya berketul-ketul.

"Nak pakai la ni." Riyaz membalas tenang. Terukir senyuman nakal di wajahnya. Airis nampak gabra tadi. Mungkin terkejut dengan penampilannya.

"Awak nak saya pakai baju je ke? Seluar tak payah pakai?"

"Apa jenis soalan awak tanya ni?"

"Tadi awak tanya kenapa tak pakai baju..."

"Pakai semuanya! Dari atas sampai ke bawah tertutup!"

Arahan tegas Airis disambut dengan tawa besar Riyaz. Airis menahan geram mendengar bunyi tawa Riyaz. Entah apa yang lawak sangat pun dia tak tahu. Keadaan selepas itu bertukar menjadi sepi. Airis masih berdiri tegak, langsung tidak bergerak dari tempatnya. Dia baru nak bertenang dari kejadian tadi, Riyaz tiba-tiba menyentuh bahunya dari arah belakang. Adoi, dia nak apa pula ni.

"Awak takut dengan saya ke, Airis?"

"Tak. Kenapa saya nak takut dengan awak?" Airis menjawab angkuh.

"Pandang saya kalau awak tak takut."

Bulu roma di tengkuk Airis mula merinding. Meremang dibuatnya apabila si suami berbisik halus di tepi telinganya. Betapa rapatnya jarak mereka di saat ini. Demi membuktikan yang dia tak takut dengan suaminya, dia buat seperti yang disuruh. Dipandang Riyaz tepat ke dalam mata. Ralit merenung wajah Riyaz, lelaki itu mengukir senyuman sekali lagi. Mujurlah suaminya sudah berpakaian lengkap di saat ini. Kalau tidak, nak pandang muka Riyaz pun dia segan.

Riyaz mula merapatkan jarak di antara mereka. Cepat-cepat Airis menekapkan tangannya di dada Riyaz sekaligus menghalang Riyaz daripada mara ke hadapan lagi.

"Err... Awak nak buat apa ni, Riyaz?"

Soalan Airis dihiraukan. Tangan Riyaz mula naik menyentuh selendang yang menutupi kepala isterinya. Perlahan-lahan dia tarik selendang itu dengan mudah kerana Airis hanya selempangkan selendangnya di bahu.

Airis buat-buat batuk mahu menyedarkan Riyaz yang tak melepaskan renungan pada rambutnya.

"Dah lama saya tak nampak rambut awak." Tanpa sedar Riyaz menggumam perlahan.

"Hah? Awak cakap apa?"

Airis tidak mendengar dengan jelas apa yang dikatakan Riyaz beberapa saat yang lalu. Mukanya jelas kebingungan. Namun, perasaan ingin tahunya menebal pada ketika itu.

Riyaz tersenyum penuh makna. "Baguslah awak pekak. Tak dengar apa saya cakap tadi."

Membulat mata Airis. Wah, selamba je Riyaz kutuk dia pekak!

"Awak ni suami jenis apa kutuk isteri sendiri pada malam pertama."

"Malam pertama hmmm?" Merelet suara Riyaz menyoal dengan penuh usikan. Tangannya tak reti nak duduk diam. Sebelah tangan merangkul pinggang Airis. Sebelah lagi tangannya bermain dengan rambut Airis.

"Awak ni menyeramkan dan miang." Airis memberikan komen yang jujur. Tak bertapis lagi.

"Miang macam mana tu?" Ingin juga Riyaz tahu dari segi mana miang dia tu. Miang tahap kronik dah ke.

"Pegang-pegang saya."

"Tapi awak tak menolak pun." Sinis Riyaz membalas.

Serentak mata Riyaz dan Airis memandang posisi mereka sekarang. Airis hanya merelakan perbuatan Riyaz.

Dush. Iyelah, kenapa dia tak menolak? Kalau sebelum ini beria dia menolak dan mengelak.

"Kenapa awak pijak kaki saya, Airis!" Tak disangka sungguh isterinya akan memijak kuat kaki dia.

"Susah nak tolak awak. Badan awak besar sangat. Jadi... Saya pijak la kaki awak."

Airis menjarakkan dirinya daripada Riyaz dan segera mengatur langkah ingin masuk ke dalam bilik air.

"Airis... Awak cantik. Isteri saya yang cantik."

Secara mendadak terhenti langkah Airis. Sekarang ni dah masuk sesi puji memuji pula ke?

"Saya bersyukur dapat jadikan awak isteri saya. Awak dah jadi milik saya, Airis. Perkahwinan ini yang saya idamkan dan saya nak perkahwinan ini kekal."

Langkah disambung dengan pantas sehingga masuk ke dalam bilik air. Tangan Airis melekap di dadanya. Kata-kata Riyaz menyesakkan dadanya.

Riyaz mengucapkan rasa syukurnya kerana dapat menjadikan dia sebagai isteri. Sedangkan Riyaz ditipu. Riyaz tidak tahu kisah silamnya dan tujuan sebenar dia menerima lelaki itu sebagai suaminya.

Ini perkahwinan yang diidamkan Riyaz.

Bagi Airis pula perkahwinan ini disebabkan tawaran Tengku Sulaiman.

Airis tak cintakan Riyaz. Dia takkan cintakan lelaki itu. Selepas dia berjaya mendapatkan apa yang dia inginkan, dia akan minta Riyaz menceraikannya.

Ya, itulah perancangan yang disusun.

















TERLAJAK Firash tidur sehingga ke tengah hari. Dia hanya membasuh mukanya dan terus turun ke bawah. Bila dia jejakkan kakinya ke tingkat bawah, dia mencari uminya terlebih dahulu.

"Anak siapa ni?"

Dahi Firash berkerut nipis bila ternampak seorang budak perempuan duduk di atas sofa sambil menonton televisyen. Dia pandang lama belakang badan budak perempuan itu. Umi jaga anak orang ke selama ni? Inilah jadinya bila dia dah lama tak pulang ke rumah orang tuanya. Kalau balik pun sekejap, tidak berlama mahupun bermalam di rumah itu.

Firash mencari orang lain, tetapi orang lain yang dijumpai. Pemandangan yang aneh sebab ada budak kecil dalam rumah ini. Ralit betul budak tu menonton kartun Omar & Hana yang bersiaran di televisyen.

Senyuman nakalnya mula terukir. Dia mendekati budak tu perlahan-lahan tanpa membuat sebarang bunyi. Bahu belah kanan budak itu dicuitnya kemudian dia segera menyorok di belakang sofa dengan gaya meniarap di atas lantai.

Automatik kepala Raline menoleh ke belakang. Namun, tiada sesiapa di belakangnya. Kosong.

Sekali lagi Firash mencuit bahu Raline bila budak perempuan itu kembali memandang ke hadapannya. Galak dia mengusik Raline.

Raline mengembungkan pipinya. Siapa yang sentuh sentuh dia ni?!

"Shiapeee tuu..." Raline garu kepalanya penuh kebingungan memikirkan siapa yang sentuh bahunya sebanyak dua kali.

"BAH!" Sergah Firash ketika Raline masih memandang belakangnya.

Pecah jeritan nyaring Raline dikejutkan dengan kemunculan seorang lelaki dari belakang sofa. Matanya membulat besar.

"MAMA!!!!"

Bingit telinga Firash. Tangannya pantas menutup mulut Raline yang tidak berhenti menjerit itu.

"Syhhh diam budak."

Tenggelam jeritan Raline di sebalik tangan besar Firash.

Memuncung mulut Raline sambil memarahi Firash sebaik saja lelaki itu mengalihkan tangan dari mulutnya. Dia mencekak pinggangnya dan memberikan pandangan maut.

Firash turut memandang Raline. Takutnya dia dengan pandangan Raline itu. Nampak garang sangat. Mereka mula berlawan mata sehinggalah...

"Kau kalah sebab kau kelip mata dulu."

Raline menjeling Firash. Kemudian, dia sambung menonton Omar & Hana.

"Berani budak ni jeling aku?!" gumam Firash tidak berpuas hati. Ini tak boleh jadi. Dia melompat dari belakang sofa ke hadapan dan duduk di sebelah Raline.

"Nama kau apa?"

"Rara!" Raline memperkenalkan dirinya penuh bersemangat. Dia tersengih lebar kepada Firash sehingga mengecil matanya.

"Nama aku Rash."

"Uncle Rash."

"Jangan panggil aku uncle. Panggil abang Rash."

Firash masih rasa umurnya muda dan tak layak dipanggil uncle.

"Dah kenapa suruh Raline panggil abang? Kamu tu dah pangkat uncle." Suara Datin Fatimah tiba-tiba menyelit di antara Firash dan Raline. Tergeleng kepalanya melihat sikap Firash.

"Rash muda lagi, umi."

"Umur macam kamu ni sepatutnya dah ada anak sorang."

Bahaya ni kalau dah masuk isu anak. Nanti mesti umi akan cakap pasal hal kahwin. Hal yang sudah semestinya mahu dielakkan oleh Firash. Umi dah banyak kali mahu menjodohkan dia dengan anak-anak kawannya.

Firash tak mahu.

Firash hanya mahukan Tengku Airis Kirana.

"Budak ni anak siapa? Rash tak pernah pun nampak dia." Firash menukar topik perbualan dengan menyoal perkara lain.

"Anak Julia dan Zayed. Nama dia Raline Amanda."

Kini, terjawab la persoalan Firash. Raline Amanda. Nama yang cantik. Dia pandang sekilas Raline yang membuat halnya sendiri. Bila dia tahu budak di sebelahnya ini adalah anak Julia dan Zayed, dia terdiam seribu bahasa. Dia masih ingat yang Julia kehilangan anaknya setelah bertahun menunggu zuriat. Dan dia juga tahu pasangan suami isteri itu ada mengambil anak angkat tak lama selepas itu. Cumanya dia tidak pernah bertemu Raline sebelum ini.

Hampir nak terlompat Firash apabila Raline baring di atas sofa dan dengan selambanya meletakkan kepala di atas pahanya. Terperanjat dia dengan kelakuan Raline. Terus kejung badannya kerana kekok.

Raline kelip-kelip matanya comel memandang Firash.

Firash jegilkan matanya luas dengan niat mahu menakutkan Raline. Selalunya bila orang dewasa dah buat mata macam ni, pasti budak-budak akan takut. Tapi, lain pula reaksi yang diberikan Raline. Dia tersengih suka.

"Umi, tolong ambil budak ni."

Datin Fatimah tertawa halus melihat situasi itu kemudian menggeleng kepalanya.

"Haih kamu ni. Rara nak bermanja dengan kamu tu."

"Rash tak suka," balas Firash dengan suara di celah gigi.

"Kamu tak suka pun, suatu hari nanti kamu akan jadi ayah. Kena la biasakan dari sekarang."




***

Agaknya siapa hero. Riyaz atau Firash?

Maaf lama tak update. Konflik besar akan muncul lepas Airis dan Riyaz kahwin 🤗

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top