BAB 16

Persiapan perkahwinan Riyaz dan Airis dilakukan dalam masa yang singkat. Inilah hari yang cukup besar buat Airis. Hari yang akan menyatukan dia dengan lelaki bernama Riyaz Arshan. Ikatan halal akan mengikat mereka sebagai sepasang suami isteri.

Sehingga ke saat ini Airis masih ragu-ragu dengan keputusan yang dibuatnya. Malam tadi dia tidak berjaya untuk tidur kerana gementar menghadapi hari esok. Dia keluar dari biliknya dan menuju ke dapur. Pada ketika itu kebetulan dia bertembung dengan Tengku Sulaiman yang bersendirian berada di dapur.

Di saat penghuni rumah yang lain lena diulit mimpi, Tengku Sulaiman dan Airis masih berjaga pada pukul 2 pagi.

"Kenapa tak tidur lagi?" tanya Tengku Sulaiman tanpa memandang Airis.

"Airis tak boleh tidur." Kaku Airis berdiri di hadapan ayahnya. Tak jadi dia nak minum air. Dia tarik kerusi di hadapan ayahnya lalu dilabuhkan punggungnya di atas kerusi itu.

Airis tatap wajah Tengku Sulaiman yang nampak kepenatan itu. Jauh di sudut hatinya dia merindui hubungan dia dengan ayahnya. Suatu ketika dahulu, dia sangat rapat dengan ayah berbanding ibunya. Setiap kali ada masalah, dia pasti akan mengadu kepada ayah. Kini, semuanya sudah berubah kerana kesilapan yang dilakukannya.

Layanan Tengku Sulaiman kepada Airis semakin dingin. Namun sejak kebelakangan ini, Tengku Sulaiman mula berlembut dengan Airis.

"Tidurlah. Esok hari penting," ujar Tengku Sulaiman lalu meneguk airnya sehingga habis.

"Orang lain bila nak kahwin, mesti akan rasa happy. Tapi... Airis tak rasa apa-apa. Airis rasa kosong," luah Airis secara tiba-tiba kemudian dia ketawa yang jelas dibuat-buat menutupi rasa sedihnya.

"Airis tak boleh nak teruskan. Airis tak sanggup."

Tengku Sulaiman merenung Airis tajam. Inilah yang paling dia tak suka apabila Airis tiba-tiba mahu membatalkan perkahwinan yang akan berlangsung esok.

"Fikirkan air muka ayah dan ibu. Kesian kan kami kalau Airis buat kerja gila nak batalkan semua ni."

Kata-kata yang keluar dari mulut Tengku Sulaiman membuatkan Airis semakin serba salah dengan niatnya.

"Dah empat tahun berlalu. Kamu tak boleh selamanya hidup dalam kisah silam kamu." Tengku Sulaiman menasihati mudah.

"Kalau ayah tak pisahkan Airis dengan Raudhah, Airis takkan hidup macam ni. Airis takkan menjauhkan diri dari semua orang." Dia memotong percakapan ayahnya.

Tengku Sulaiman tergeleng. Dia tidak boleh menerima anak luar nikah itu sebagai cucunya. Kerana terlalu kecewa dengan perbuatan Airis, dia bertindak memisahkan bayi yang baru lahir dengan ibu kandungnya.

Sehingga ke saat ini Tengku Sulaiman tidak menyesal dengan tindakannya itu. Dia mahu menjaga nama baik keluarganya yang sentiasa dipandang tinggi.

"Ayah nakkan yang terbaik untuk Airis."

"Dengan menipu Riyaz? Itu ke yang terbaik?" Selar Airis. Ayah selalu mengatakan dia lakukan semua ini untuk kebaikan dirinya.

Salah satu sebab mengapa Airis tidak sanggup meneruskan perkahwinan ini adalah kebenaran yang Riyaz tidak tahu.

Dia bukannya perempuan yang suci.

Sebaliknya, itulah tanggapan Riyaz kepada Airis. Wanita yang menjaga kehormatannya.

"Ayah tak tipu dia. Dia yang mahukan Airis sangat-sangat untuk dijadikan isteri. Lelaki yang baik takkan pandang kisah silam seseorang tu. Dia akan terima perempuan tu seadanya walau seteruk mana pun kisah silam perempuan tu."

Terhenti setakat itu saja perbualan Airis dan Tengku Sulaiman. Selama sebulan ini kurang dari lima kali Airis bertemu dengan Riyaz kerana kesibukan kerja lelaki itu. Bercakap di dalam telefon tidak pernah walau sekalipun kerana Airis tidak mempunyai nombor telefon lelaki itu. Dan Riyaz juga tidak menghubunginya.

"Cantiknya anak umi ni." Pujian itu mengembalikan Airis ke alam nyata.

Airis tersenyum nipis melihat dirinya di hadapan cermin. Wajahnya sudah siap dirias oleh juru mekap. Kenapa dia terlalu mengharapkan yang memujinya tadi adalah ibu kandungnya.

Tengku Sofia langsung tidak ambil peduli dengan persiapan perkahwinan anak perempuannya. Tiada perasaan teruja dan gembira untuk hari bahagia Airis.

Airis memusing tubuhnya menghadap ibu tirinya. Kepala didongak memandang wajah bersih Umi Warda. Kemudian, dicapai kedua tangan Umi Warda lalu digenggam. Inilah tangan yang sentiasa membelainya dengan penuh kelembutan. Inilah tangan yang menyeka air matanya selama empat tahun ini.

Ciuman lama dijatuhkan di atas kekura tangan Umi Warda. Di saat dia menemui jalan buntu untuk memilih atau menolak lamaran Riyaz, Umi Warda menyarankan dia agar melakukan solat sunat istikharah. Demi mendapatkan petunjuk, Airis lakukan seperti apa yang disuruh.

"Airis dah bersedia?" soal Umi Warda sambil menahan sebak melihat Airis yang masih mencium tangannya.

Airis tak ada jawapan untuk soalan itu. Dia sekadar tersenyum.

"Airis takkan bahagia kan, umi."

"Kenapa cakap macam tu? Airis berhak untuk mendapatkan kebahagiaan yang Airis impikan selama ini."

"Riyaz tak tahu kesilapan terbesar yang Airis dah lakukan. Mesti dia akan jijik dengan Airis bila dah tahu kebenaran yang sebenar."

Umi Warda menggeleng kepalanya.

"Sudah, Airis. Jangan fikirkan sangat. Airis akan bahagia. Perkahwinan ini akan kekal sehingga ke jannah. Percaya dengan aturan Allah."















SAH.

Itu saja apa yang didengari Airis. Perkatan sah yang membawa maksud dia dan Riyaz sudah sah menjadi suami dan isteri. Akad nikah mereka berlangsungnya di masjid.

Airis memandang belakang tubuh tegap milik Riyaz. Sejak sampai di masjid ini tadi, dia tidak berpeluang untuk melihat wajah pengantinnya.

Airis mengelamun sehingga tidak sedar yang Riyaz sudah berada di hadapan matanya. Lutut mereka sudah bertemu. Mujurlah Umi Warda mencuit bahu Airis dan menyedarkan wanita itu.

Buat pertama kalinya kulit mereka bersentuhan. Sepanjang tempoh perkenalan ini, Riyaz sangat menjaga batasnya. Dia tak pernah mengambil kesempatan ke atas Airis contohnya mahu memegang tangan.

Airis mengangkat kepalanya membalas renungan Riyaz selepas lelaki itu menyarungkan cincin di jari manisnya. Dia terpegun melihat wajah Riyaz yang begitu hampir dengannya.

Riyaz tanpa kaca mata hitam di wajahnya sungguh berbeza.

Ada parut kekal di tepi mata kiri Riyaz.

"Lamanya awak pandang saya. Terpesona ke?" Riyaz mengusik bersama senyuman nakal tersungging.

Orang lain yang turut mendengar kata-kata Riyaz itu, ada yang melepaskan ketawa dan tersenyum.

Airis jatuhkan pandangannya ke bawah. Membahang wajahnya bila diusik begitu. Sejujurnya wajah Riyaz sungguh tampan sehingga membuatkan dia terpesona.

"Salam tangan suami..." Umi Warda memberikan arahan dalam bisikan.

Airis hampir terlupa untuk menyalam tangan suaminya. Mujurlah Umi Warda mengingatkannya. Dia salam tangan Riyaz yang dihulurkan kepadanya sekali dengan ciuman di atas tangan.

Dagu Airis dipegang lembut oleh Riyaz. Dia menjatuhkan ciuman di atas dahi isterinya.

"Assalamualaikum, isteriku."

Momen-momen terindah itu ditangkap oleh jurukamera.
















"YOU ada beritahu family you yang kita akan pulang ke Malaysia?" Zayed menyoal ketika memandu kereta. Pada hujung minggu itu dia bersama anak dan isterinya mahu pergi ke pantai. Mereka dalam perjalanan pergi ke pantai.

"I tak beritahu lagi. I nak buat surprise," jawab Julia bersama perasaan gembira. Sudah empat tahun dia tidak bertemu keluarganya sejak mengikut suaminya berpindah ke Indonesia.

Berita gembira yang diterima oleh suaminya seminggu yang lalu, membuatkan Julia tidak sabar untuk menemui orang tuanya. Selama ini mereka hanya berhubung di atas talian dan membuat video call untuk melepaskan kerinduan.

"Mama..."

"Papa..."

Julia toleh kepalanya ke belakang bersama senyuman lebar. Nampaknya anak dia sudah terjaga dari tidurnya.

"Rara nak jumpa atuk dan nenek tak?" soal Julia.

"Nak nak!"

"Nanti kita akan jumpa atuk dan nenek."

Zayed memandang sekilas wajah puteri comelnya yang duduk di belakang.

Raline Amanda.

Itulah nama yang diberikan kepada anak itu. Anak yang dijaga mereka sejak dari usianya baru beberapa hari. Kehadiran Raline di dalam hidup pasangan suami isteri itu telah mengubah segalanya. Rumahtangga mereka kembali disinari bahagia.



***

350 votes for unlock next chapter.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top