BAB 12

Semalam Nadhif pulang ke rumah, Firash duduk di atas sofa ruang tamu. Hanya termenung. Bila Nadhif bangun keesokan harinya untuk solat subuh, dia mendapati Firash masih berada di kedudukan yang sama.   

Firash bagaikan patung. Duduk statik di tempat yang sama.

"Apa masalah kau, bro?" tegur Nadhif. Dia tahu ada masalah yang dihadapi kawannya. Dari raut wajah Firash sudah menjelaskan segalanya. Mereka bukannya baru berkawan. Sudah bertahun lama. Hubungan mereka terlalu akrab. Segala rahsia Firash, Nadhif akan tahu.

"Aku jumpa dia." Akhirnya Firash membuka mulut.

"Siapa?" Dahi Nadhif berkerut nipis. Siapakah yang Firash maksudkan?

"Airis."

Nadhif kehilangan kata-kata untuk seketika. Maka, Firash jadi seperti ini disebabkan Airis? Bukankah sepatutnya Firash gembira bukannya muram seperti baru kehilangan seorang kekasih.

"Ouh, kau jumpa dia. Dia macam mana sekarang?"

"Dia dah bertudung sekarang. Dia makin cantik. Macam bidadari."

Terbayang-bayang wajah anggun Airis. Makin bertambah anggun selepas berhijab. Tempoh empat tahun banyak mengubah diri Airis. Airis yang dulu manja dengan Firash. Sekarang jauh berbeza. Tiada lagi Airis yang dulu.

"Kau jumpa dia dekat mana?" tanya Nadhif penuh ingin tahu. Di manakah tempat yang telah mempertemukan dua insan ini setelah sekian lama. Dia tahu selama ini Firash tidak berhenti mencari Airis.

"Aku jumpa dia dekat rumah Tengku Sulaiman. Aku pergi majlis kawan aku, Zayn. Rupanya Zayn tu abang ipar Airis. Waktu aku sampai rumah tu aku ternampak perempuan macam Airis. Aku follow dia sehingga berdiri belakang dia. Aku nak pastikan dia Airis aku. Aku masih ingat lagi bau perfume yang dia selalu guna. Bau yang sama perempuan tu pakai. Tiba-tiba dia pusing dan terlanggar aku. Aku tak sengaja terjatuhkan telefon aku atas kakinya."

"Kau jumpa dia terus kau sakitkan dia, Rash." Nadhif mencelah.

"Aku tak sengaja. Dia pun marah aku. Comel sangat waktu dia marah aku tu."

"Aku tak nak dengar kau puji dia melebih-lebih. Sekarang ni beritahu aku apa yang terjadi selepas tu? Aku tengok kau sekarang macam orang yang baru putus cinta."

Firash tersenyum kelat.

"Dia dah banyak berubah, Dhif."

Firash membuka kotak cincin yang dipegang sejak malam tadi. Cincin ini dia beli empat tahun yang lepas. Cincin ini sepatutnya tersarung di jari gadis kesayangannya. Sehari sebelum dia kemalangan, dia sudah merancang mahu melamar Airis menjadi isterinya pada hari kejadian. Selama tiga minggu dia tidak sedarkan diri. Apabila dia sedar dari tidur panjangnya, Airis dulu yang dicarinya.

Nadhif tergamam apabila mendapati Firash menangis.

Seorang lelaki menangis kerana cintanya kepada seorang perempuan.

"Aku tak tahu apa salah aku. Sumpah aku tak tahu apa yang aku dah buat sampaikan dia jijik sangat dengan aku."

Firash tidak mampu melupakan kata-kata yang keluar dari mulut Airis. Terlalu sakit. Sakitnya masih terasa sehingga kini.

"Empat tahun aku cari dan tunggu dia. Aku ingatkan bila aku jumpa dia, keadaan akan jadi mudah. Aku nak jumpa family dia, minta restu untuk kahwin dengan dia."

Firash ketawa dalam sedihnya.

"Dia kata aku dah terlambat. Aku dah tak ada makna dalam hidup dia. Dia menyesal kenal aku. Dia menyesal cintakan aku."

Ingin saja Nadhif mencelah dengan mengatakan 'manusia akan berubah begitu juga perasaan Airis pada kau. Dalam masa empat tahun macam-macam boleh terjadi. Dia akan berjumpa orang baru dan hatinya akan beralih kepada orang lain.' Kata-kata itu hanya boleh dituturkan di dalam hatinya saja.

"Dia suruh aku lupakan dia, Dhif. Kalau aku boleh lupakan dia, dah lama aku buat. Tapi, aku tak boleh. Aku terlalu cintakan dia. Walaupun dia akan berkahwin dengan lelaki lain tak lama lagi."

Nadhif mengeluh panjang. Makin berat masalah kawannya ini.

"Kau kena lupakan dia. Sebab, dia sendiri dah tak cintakan kau. Dia dah ada lelaki lain." Nasihat Nadhif.

Firash menggeleng kepalanya kasar.

"Tak, Dhif. Dia masih cintakan aku. Aku nampak dalam mata dia. Dia tak boleh nak tipu aku. Airis masih cintakan aku."

Terburu-buru Firash bangun dari duduknya. Dia mencapai kunci keretanya lalu menapak ke pintu rumah.

"Hoi, kau nak pergi mana!" jerit Nadhif.

"Aku nak jumpa Airis!"

Nadhif menepuk dahinya sekali. Kenapa susah sangat Firash nak move on? Airis dah lukakan hati dia pun, masih tak berputus asa. Dah berbuih mulutnya menasihati Firash selama ini. Namun, bebelannya bagaikan angin yang menyapa telinga saja. Ternyata Firash begitu sukar untuk menerima hakikat bahawa jodohnya bukan dengan Airis.

"Degil mamat ni. Balik nanti dia sambung broken. Macam aku tak kenal dia tu. Huh. Aku juga yang kena hadap dia."









USAI bersarapan pada pagi itu, Airis diminta masuk ke dalam perpustakaan Tengku Sulaiman seperti yang diarahkan. Kata ayahnya ada perkara yang mahu dibincangkan secara privasi. Hanya berdua. Airis tidak menyoal banyak, dia menurut kehendak ayahnya.

Airis melangkah masuk ke dalam perpustakaan ayahnya. Dilihat Tengku Sulaiman duduk di mejanya bersama sebuah buku di tangannya. Dia menapak ke arah ayahnya dan berdehem kecil mahu menyedarkan ayahnya akan kewujudannya. Tengku Sulaiman nampak begitu fokus kepada pembacannya.

Tengku Sulaiman angkat kepalanya seraya menutup halaman muka surat yang dibaca.

"Duduk."

"Ayah nak cakap apa dengan Airis?" tanya Airis laju sesudah dia duduk di atas kerusi.

"Aku nak kau kahwin." Bukan permintaan. Tapi, arahan.

Riak wajah Airis serta-merta berubah. Tidak menyangka perkara yang ingin dibincangkan ayahnya adalah isu kahwin. Baru semalam dia menipu Firash dengan mengatakan dia bakal berkahwin dengan lelaki lain. Kini, kata-katanya menjadi kenyataan.

"Airis tak nak!"

"Kau kena kahwin juga dengan —" 

"Airis takkan kahwin dengan sesiapa." Airis membantah sekerasnya.

"Tengku Airis Kirana!" Tengku Sulaiman bengang apabila anak perempuannya memotong percakapannya. Langsung tak memberikan dia peluang.

"Jangan degil. Aku dah setuju nak kahwinkan kau dengan Riyaz."

Riyaz? Siapa pula lelaki ni? Airis tak pernah mendengar nama ini. Dia cuba memerah ingatannya jikalau dia ada mengenali mana-mana lelaki bernama Riyaz. Lama juga dia berfikir namun tidak ketemui jawapannya. Dia memang tidak kenal siapa Riyaz.

"Kenapa ayah memandai setuju tanpa tanya tuan badan? Ayah sepatutnya tanya Airis dulu. Airis yang kena kahwin dengan lelaki tu. Bukan ayah."

"Aku ni ayah kau. Aku ada hak nak kahwinkan kau dengan sesiapa."

Airis mengeluh kecil. Kalau dia degil, ayahnya sepuluh kali ganda degil daripada dia.

"Hak Airis macam mana pula? Gaya ayah bercakap macam Airis ni barang. Bukan manusia. Walau apapun terjadi... Airis takkan ikut cakap ayah. Takkan."

Airis berdiri lalu membuka langkah pergi. Cukup sampai di situ saja perbincangan serius mereka. Dia takkan sesekali mengikut arahan ayahnya untuk kali ini.

"Duduk semula! Aku tak habis cakap lagi!" Tempik Tengku Sulaiman apabila melihat langkah laju Airis yang ingin keluar dari perpustakaan.

Airis genggam kedua belah tangannya yang berada di sisi badan. Dipusing badannya menghadap Tengku Sulaiman semula.

"Apa lagi yang ayah nak daripada Airis? Tak cukup ke ayah dah ambil anak Airis dulu. Ayah memang nak tengok Airis hidup terseksa selamanya ke? Ayah suruh Airis kahwin dengan lelaki yang Airis langsung tak kenal. Ayah fikir Airis akan bahagia ke dengan dia. Airis ni pernah terlanjur sampaikan mengandung! Kalau dia tahu semua ni selepas kahwin..."

"...Mesti dia akan jijik dan rasa tertipu." Airis ketawa sinis di hujung ayatnya. Dalam hatinya dia berbisik, malangnya nasib lelaki tu kerana memperisterikan orang seperti dia.

"Aku buat ni semua untuk kebaikan kau." Tekan Tengku Sulaiman. Dia masih dengan egonya yang melangit. Kata-kata Airis sebentar tadi langsung tidak terkesan di hatinya.

"Kebaikan apa? Airis tak nampak ni untuk kebaikan Airis. Tapi untuk kebaikan dan... keuntungan ayah kan. Airis tahu apa makna di sebalik semua ni."










SELEPAS Airis keluar dari perpustakaan milik ayahnya, dia masuk kembali ke dalam kamar tidurnya. Dia mengambil beg tangannya dan barang penting yang lain. Dia mahu pulang ke rumahnya dengan kadar segera. Ketika itu dia baru perasan di luar sana hujan lebat.

Airis bertemu ibunya terlebih dahulu kerana mahu memaklumkan kepada ibunya dia mahu pulang.

"Airis balik dulu, ibu," ucap Airis lalu menyalam tangan Tengku Sofia.

"Hm." Itu saja balasan Tengku Sofia. Huluran salamnya seakan tidak sudi. Bila Airis nak mencium tangannya, terus ditarik.

Tersentak Airis. Layanan ibunya makin dingin terhadapnya. Sudah puas dia cuba mengambil hati ibunya sebelum ini. Namun, tidak berjaya.

Dalam keadaan begitu, Airis memaksa dirinya tersenyum meskipun pahit. Senyuman itu untuk ibunya. Kemudian, dia melangkah keluar dari rumah dan menapak ke garaj kereta.

Airis membatalkan niatnya yang ingin masuk ke dalam kereta apabila kedengaran bunyi kekecohan di luar pagar rumah Tengku Sulaiman.

"Airis! Keluar!!"

"Airis!!!"

Itu suara Firash. Airis dapat mengecam suara itu di dalam hujan yang lebat.

Eiman tiba-tiba muncul entah dari mana. Dia memberikan isyarat tangan kepada pengawal di pondok agar membuka pintu pagar. Dia menapak laju keluar dari kawasan rumah setelah pintu pagar dibuka.

"Kau buat apa kat sini?" tanya Eiman dengan nada yang kasar. Dia mencerlung tajam ke arah Firash yang sudah basah kuyup tu. Agaknya sudah berapa lama Firash duduk di luar pagar rumah Tengku Sulaiman ni.

'"Aku nak jumpa Airis."

"Balik! Kau balik sekarang!" Halau Eiman.

"Eiman... Bagi aku jumpa kakak kau." Firash nampak sungguh terdesak.

Eiman mengetap rahangnya kuat. Makin membuak-buak rasa bencinya kepada Firash.

"Kenapa baru sekarang kau nak jumpa kakak aku! Kenapa sekarang! Kau dah tinggalkan dia dulu. Kau buat kakak aku merana! Kau biarkan dia tanggung semuanya seorang diri! Kau memang lelaki tak guna! Pengecut!"

Eiman mara ke arah Firash lalu mencekak kolar baju lelaki itu. Tanpa disangka, Eiman melayangkan tumbukan padunya pada muka Firash.

Firash jatuh tersungkur ke atas jalan.

"Kau tak patut muncul sekarang! Dah terlambat!"

"Eiman!!" Airis menjerit nyaring melihat perbuatan Eiman tadi. Matanya membulat tidak percaya. Dia berlari ke arah dua jejaka itu lalu menghalang Eiman daripada menyakiti Firash.

Firash terbatuk-batuk. Dia berdiri semula sambil mengusap pipinya yang baru ditumbuk Eiman. Matanya menjernih disaat Airis berdiri di hadapannya.

"Sayang.... I tahu you masih cintakan I."

"Cukup, Rash! Aku dah tak cintakan kau!"

Tangan Firash naik memegang wajah Airis. Diusapnya lembut wajah gadis kesayangannya. Dia memandang tepat ke dalam mata Airis. Dia cuba mencari sesuatu di dalam mata itu.

"You tak boleh tipu I." Dia berbisik di hadapan muka Airis.

Tangan Firash yang melekat di wajahnya ditolak kasar. Kemudian, Airis bertindak dengan menampar kuat muka Firash.

"Aku benci kau. Aku benci sangat-sangat. Aku tak boleh nak tengok muka kau. Kau dan aku... Dah tak ada apa-apa. Aku bukan lagi Airis yang kau kenal dulu. Dia dah lama mati."

"Tolonglah bagi I peluang..." Firash merayu-rayu dalam tangisannya. Dia tak malu untuk menangis di hadapan seorang perempuan.

"Tak ada peluang untuk kau. Hubungan kita dulu adalah kesilapan paling besar."

Firash cukup terluka dengan setiap kata yang keluar dari mulut Airis.

"Perempuan depan kau ni... Akan kahwin dengan lelaki lain tak lama lagi. Lelaki yang dia..."

'Tak kenal langsung.'

"... cintai sepenuh hati."

Jikalau dengan pembohongan ini mampu menghancurkan hati Firash kepadanya, Airis akan teruskan dengan pembohongannya.

Eiman merangkul erat bahu kakaknya. Dia menarik kakaknya masuk ke dalam rumah.

Airis mahupun Eiman langsung tidak menoleh ke belakang.

Di saat itu, air mata Airis gugur.






***



Setakat ni storyline dia okay ke ? Cuba komen sikit.
Maap kalau hambar


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top