BAB 11

Airis melabuhkan duduknya di atas bangku setelah mengucapkan tahniah kepada kakak dan abang iparnya. Kelat saja riak wajah Mariya apabila Airis memeluknya pada ketika itu. Mariya langsung tidak menyembunyikan riak wajahnya yang jelas tidak menyukai Airis. Namun, Airis peduli apa sama ada Mariya suka ataupun tidak. Dia hanya mahu mengucapkan tahniah saja.

"Airis..."

Tempat duduk di sebelah Airis diduduki oleh pemilik suara itu.

Airis sudah menjangkakan pertemuan ini akan terjadi setelah sekian lama. Lelaki di sebelah ini adalah lelaki yang sama terjatuhkan telefon ke atas kakinya sebentar tadi. Cumanya pada waktu itu dia tidak sedar siapakah lelaki yang dia berhadapan.

"I tak sangka akan jumpa you hari ni." Dari nada suara Firash jelas menunjukkan dia teruja dengan pertemuan ini. Siapa sangka hari ini dia ditakdirkan bertemu semula dengan teman wanitanya. Tidak sia-sia dia menghadirkan diri ke majlis kawannya iaitu Zayn.

Firash menatap sepuasnya wajah cantik Airis. Kena marah dengan Airis tadi pun boleh membuatkan dia tersenyum angau.

Airis sedikitpun tidak menoleh ke arah Firash. Dia kekal memandang lurus ke hadapan.

"Empat tahun I tunggu you, sayang."

"Kenapa you pula yang tunggu I sedangkan you yang tinggalkan I dulu," bidas Airis. Dia rasa nak ketawa mendengar pengakuan Firash yang menunggunya selama empat tahun ni.

"I tak pernah tinggalkan you. You yang tinggalkan I, Airis. Puas I cari you. You menghilang tiba-tiba. Tak ada orang tahu you pergi mana."

Airis merenung Firash tajam. Apa yang Firash merepek ni? Sekarang ni Firash mahu salahkan dia pula ke dengan memutar belitkan cerita? Seolah-olah dia pula yang bersalah dalam hal ini. Dia jadi sakit hati mendengar bicara Firash. Lelaki itu tidak tahu apa yang ditanggungnya gara-gara kesilapan mereka.

"You jumpa I ni semata-mana nak salahkan I ke? Kononnya I yang tinggalkan you. Macam tu ke?"

Airis bangun dari duduknya. Tangannya yang berada di sisi badan digenggam kuat membentuk penumbuk. Terketar-ketar tangannya menahan rasa geram.

"Tak, sayang. I bukan nak salahkan you. Kita berbincang elok-elok," pujuk Firash apabila Airis mula meninggikan suaranya. Dipegang kedua belah bahu Airis mahu gadis itu duduk semula.

Airis menepis kasar tangan Firash yang hinggap di bahunya.

"Tak ada yang perlu dibincangkan lagi. You..."

Jari telunjuk Airis menuding di hadapan muka Firash.

"... boleh pergi mampus, Firash!"

Airis membuka langkah laju meninggalkan kawasan itu. Walau sepantas mana pun langkahnya, tidak dapat menandingi kepantasan Firash. Firash menarik tangan Airis. Secara paksaan dia menarik gadis itu ke tempat yang tersorok.

"Dengar apa yang I nak cakap."

Airis mendengus kasar.

"I akan jumpa family you dan kita kahwin."

Airis ketawa sinis.

"Kahwin? You ajak I kahwin?"

Firash mengangguk kepalanya dengan wajah yang serius. Dia tidak bermain dengan kata-katanya. Kalau perlu sekarang juga dia bertemu Tengku Sulaiman ingin menyatakan hasratnya iaitu memperisterikan Airis.

"Lupakan niat kau nak kahwin dengan aku." Gaya percakapan Airis kepada Firash sudah berubah kepada aku-kau. Lebih kasar.

"Sayang..."

"Berhenti panggil aku sayang! Aku jijik! Aku jijik bila teringat janji-janji manis kau dulu! Aku jijik bila teringat apa yang kita pernah buat dulu!"

Riak wajah Firash perlahan-lahan berubah. Dia tergamam.

"Kalau empat tahun lepas kau ajak aku kahwin, aku la perempuan paling bahagia. Aku akan terus terima lamaran kau sebab aku cintakan kau sangat-sangat. Tapi kau dah terlambat. Kau dah tak ada makna dalam hidup aku. Kau tinggalkan aku di saat aku perlukan kau. Kau tak tahu betapa terseksanya aku menanggung semuanya seorang diri. Aku menyesal pernah kenal kau. Aku menyesal cintakan kau dulu."

"Lupakan aku. Lupakan segala tentang kita. Semuanya dah lama berakhir."

Firash meraup wajahnya sekali. Kenapa pertemuan ini bukan seperti yang dia impikan. Ingin saja dia membalas kata-kata gadis itu. Dia juga terseksa. Terseksa kerana selama empat tahun ini dia setia menunggu gadis itu pulang kepadanya semula. Inikah hasil penantiannya selama ini? Diminta dengan semudahnya melupakan 'cinta mereka'.

"Aku takkan kahwin dengan kau. Sebab, aku akan berkahwin dengan lelaki lain." Ayat itu dicipta mahu menambahkan lagi luka di hati Firash.










SELEPAS pertemuan dia dan Firash, Airis terus keluar dari rumah ayahnya. Namun, dia tidak pulang terus ke rumahnya. Sebaliknya dia bersiar-siar sehingga malam. Fikirannya kusut. Destinasi terawalnya adalah masjid.

Dia peroleh ketenangan ketika berada di dalam rumah Allah. Eiman pernah berkata kepadanya...

Hati kita akan tenang bila kita dekat dengan Allah.

Saat kita sujud dalam solat, saat itulah kita dengan Allah paling dekat. Mintalah apa sahaja hajat. Nescaya doa kita akan terangkat.

"Aku ingatkan kau terus balik ke rumah kau," kata-kata dari Tengku Sulaiman menyambut kepulangan Airis.

"Airis tidur sini malam ni," jawab Airis. Tiada di dalam perancangannya pun mahu bermalam di rumah keluarganya. Tiba-tiba dia mengubah fikiran.

"Pergi mana tadi?"

"Airis masuk bilik dulu. Penat."

Lain yang ditanya, lain pula yang dijawabnya. Ketara Airis mahu mengelak soalan Tengku Sulaiman dan mengakhiri secepat mungkin perbualan mereka. Airis memanjat naik anak tangga sehingga tiba di bilik tidurnya. Dia tidak perlu risau bab pakaian kerana pakaiannya masih ada di dalam bilik lamanya.

Selesai membersihkan diri dan mengganti pakaiannya, dia meletakkan sebiji cupcake yang dibelinya tadi di atas meja. Kemudian, dia cucuk sebatang lilin di atas cupcake itu. Dinyalakan api pada lilin itu.

"Hari ni 5 Julai. Hari yang mama takkan lupakan."

Airis tersenyum hiba.

"Selamat hari lahir anak mama."

Dia meniup lilin itu sehingga terpadam. Pada ketika itu air matanya yang bertakung di kolam mata akhirnya pecah.

"Dah empat tahun umur anak mama. Setiap tahun mama akan sambut birthday Raudhah. Mama yakin Raudhah masih hidup. Mama rindu Raudhah. Terlalu rindu. Mama teringin sangat nak lihat wajah Raudhah yang sekarang. Hanya sekali saja Allah berikan kesempatan pada mama untuk menatap wajah Raudhah."

Selama empat tahun ini dia berpura-pura kuat di hadapan semua orang. Dia bijak menyembunyikan perasaan sebenarnya. Dia tak mahu orang tahu derita yang ditanggungnya selama ini. Namun, bila dia bersendirian dia akan tersungkur.

Dia akan menangis semahunya bila teringatkan anaknya yang dipisahkan daripadanya. Anak yang tak bersalah.

"Selagi mama hidup... Mama takkan berputus asa cari Raudhah. Mama percaya suatu hari nanti kita akan bertemu. Mama akan dapat peluk dan cium Raudhah. Itulah impian mama."

Terasa sesak dada Airis di saat ini. Tangisannya makin tidak boleh dikawal.

"Mama sayangkan Raudhah sangat-sangat."


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top