BAB 10
Empat tahun kemudian...
Dia duduk di dalam kereta sambil memegang telefonnya melihat isu semasa. Sepenuh fokusnya hanya pada gajet di tangannya. Bibirnya bergerak ikut menyanyi lagu yang dimainkan di radio kereta. Lama dia berkeadaan begitu. Seperti tiada tanda-tanda dia mahu keluar dari keretanya. Sudah sepuluh minit berlalu keretanya berhenti di luar perkarangan rumah ayahnya. Sesekali dia akan menjeling melihat sanak-saudara yang bertandang ke rumah itu. Semakin lama semakin ramai.
Kalau ikutkan hatinya dia tak mahu balik ke rumah ayahnya. Mula terbit penyesalan di hatinya kerana memandu sejauh ini sehingga ke rumah ayahnya. Takkan dia nak patah balik semula?
Patutkah dia buat begitu?
Orang lain bukannya perasan pun dengan kehadiran dia.
Maka, Airis tekad untuk mengikut kata hatinya.
Cermin tingkap kereta diketuk dari arah luar telah mematikan niat Airis. Berdirinya Eiman di luar keretanya. Eiman yang begitu segak dengan sepersalinan baju melayu berwarna plum. Punah la niat Airis kalau begini. Lambat-lambat Airis menurunkan cermin tingkap keretanya.
Serta merta lebar senyuman Eiman tatkala dapat melihat wajah kakak yang dirindui.
"Keluar sekarang."
"Amboi. Gaya dia mengarah orang tu macam gangster. Keluar sekarang." Airis mengajuk cara percakapan Eiman pada ayat 'keluar sekarang' itu.
"Malas la nak keluar." Jujur Airis. Tidak berselindung.
"Jadi kenapa akak datang sini?"
"Entah la... Akak tak tahu apa ada dalam fikiran akak waktu drive tadi. Sedar-sedar je akak dah ada kat sini."
"Sebab akak rindu. Akak rindu Eiman sangat-sangat."
"Ei perasan la!" Tangan Airis memanjang keluar dari cermin tingkap kereta itu ingin menampar lengan adiknya. Boleh tahan perasan juga budak ni.
"Cepatlah keluar."
"Yelah yelah." Akhirnya, Airis akur selepas puas dipujuk adiknya. Dia menaikkan semula cermin tingkap keretanya. Dicapai beg tangannya kemudian melangkah keluar dari keretanya.
Segera Eiman menyalami tangan Airis. Tak sempat Airis nak bertenang, tubuhnya terus ditarik ke dalam pelukan adik lelakinya. Barulah Airis mengerti kenapa Eiman beria sangat nak dia keluar dari kereta. Tindakan Eiman sekarang menjelaskan segalanya.
"Rindu," ucap Eiman.
Airis mencebik. "Mengada la kau ni. Rindu bagai."
"Man tunggu akak dari tadi. Bila Man nampak kereta akak... Man pelik kenapa akak tak keluar dari kereta. Lama sangat akak duduk dalam kereta."
"Dah la lepaskan aku. Lemas pula aku bila kau peluk macam ni."
Eiman tersengih lalu merungkaikan pelukannya.
"Akak makin cantik sekarang," puji Eiman ikhlas. Dia suka dengan penampilan Airis yang sekarang. Bertambah cantik selepas berhijab. Dia sentiasa doakan kakaknya agar terus istiqamah.
Airis menghalakan pandangannya pada rumah mewah milik Tengku Sulaiman itu. Rumah yang mempunyai banyak kenangan pahit manis. Kali terakhir dia menjejakkan kakinya ke rumah itu adalah lima bulan yang lalu iaitu pada hari raya Aidilfitri.
Dia membuat keputusan untuk pindah keluar dari rumah itu setelah dua bulan habis tempoh berpantang. Dia mahu hidup berdikari dan tinggal jauh dari ahli keluarganya.
"Nak ke mana bawa beg banyak-banyak ni?" Soal Tengku Sulaiman garang.
"Nak keluar dari rumah ni," jawab Airis bersahaja. Dia sudah tekad dengan keputusannya.
"Siapa bagi kau kebenaran keluar dari rumah ni?"
"Airis tak perlukan kebenaran sesiapa."
"Kau tak boleh keluar dari rumah ni. Tak boleh!" Larang Tengku Sulaiman dengan penuh ketegasan.
Airis tiba-tiba ketawa. Seolah-olah ayahnya baru membuat jenaka.
"Airis dah tak tahan duduk dalam rumah ni. Lagipun orang dalam rumah ni semua benci Airis. Mesti sakit mata je tengok Airis ada dalam rumah ni. Lebih baik Airis keluar. Airis sedar yang Airis selayaknya terima semua kebencian ni. Airis banyak buat salah dengan ayah dan ibu. Airis dah hancurkan perasaan orang tua Airis. Airis cuma nak minta satu je dengan ayah."
Airis menarik nafas dalam sebelum menyambung ayatnya yang tergantung tadi.
"Tolonglah... tolong jangan halang apa yang Airis nak buat sekarang ni. Airis juga manusia. Airis bukan robot yang tak ada perasaan. Airis tak minta orang untuk faham perasaan Airis. Cuma... Bagilah ruang untuk Airis 'hidup'."
Airis cukup terseksa tinggal di dalam rumah itu sepanjang tempoh berpantangnya. Mentalnya koyak disebabkan kata-kata ayah dan ibunya. Dia rasa sangat bersyukur kerana mempunyai Umi Warda dan Eiman di dalam hidupnya. Mereka insan yang sentiasa bersamanya dan memberikan semangat kepadanya untuk meneruskan hidup.
Selama empat tahun ini Tengku Sulaiman tak pernah putus memasukkan sejumlah duit yang banyak ke dalam akaun bank Airis. Setiap bulan pasti akan ada duit dari Tengku Sulaiman. Dia tak mahu anak perempuannya hidup susah di luar sana meskipun Airis sudah berulang kali menegaskan bahawa dia mahu hidup berdikari.
Semalam dia bermimpi perkara yang indah. Dalam mimpinya itu ada budak perempuan yang berusia dalam lingkungan empat tahun. Budak perempuan itu bersama keluarga kecilnya di tepi pantai. Ada sepasang suami isteri sedang melayan budak perempuan itu. Pastinya itu anak mereka. Wajah mereka kabur. Namun, Airis nampak dengan jelas mereka adalah keluarga kecil yang bahagia.
Airis terjaga dari mimpinya dalam keadaan wajahnya sudah basah dengan air mata. Dia menangis semahunya apabila menyedari budak perempuan di dalam mimpi itu adalah...
Anaknya.
"Semalam akak mimpi Raudhah," beritahu Airis kepada Eiman.
Raudhah. Itulah nama yang diberikan kepada anaknya. Nama yang indah.
Eiman terpempan.
"Mimpi tu macam bagi akak petunjuk. Petunjuk yang Raudhah sekarang bahagia dengan family dia. Dapat mimpi macam tu pun akak dah happy sangat."
Air mata Airis mula bergenang di dalam kolam matanya. Bila bercakap pasal anaknya saja pasti air matanya tanpa segan silu mahu keluar. Isu anak terlalu sensitif baginya.
"Ish air mata ni kan. Sibuk nak keluar. Rosak la makeup akak yang mahal ni."
"BARU hari ni nak tunjuk muka?" Selar Tengku Sulaiman ketika anak perempuannya ingin menyalam tangannya. Lambat-lambat dia menghulurkan tangannya kepada Airis. Dalam kesempatan itu dia menatap wajah Airis. Jauh di sudut hatinya dia rindukan Airis. Namun, egonya yang melangit mengatasi segalanya.
Airis tersenyum nipis kepada ayahnya.
"Airis baru ingat jalan nak balik ke rumah ni."
Tengku Sulaiman mendengus.
"Ayah sihat?"
"Hm. Kalau kau nampak aku berdiri tegak dan boleh ke hulu ke hilir ni, maknanya aku sihat la."
Hari ini adalah hari bahagia buat Tengku Mariya iaitu anak sulung Tengku Sulaiman dan Tengku Sofia. Tengku Mariya bakal menjadi isteri kepada lelaki pilihan hatinya. Airis menghadirkan dirinya pada hari bahagia kakaknya. Menyaksikan detik detik penting.
Airis nampak dari kejauhan ibunya berada di sisi Mariya yang begitu anggun dengan busana pengantinnya. Airis tersenyum tawar. Dia hanya mampu melihat dari jauh. Dia tak nak mood Mariya mahupun ibunya rosak dengan kehadirannya.
Dengan sekali lafaz, Tengku Mariya sudah sah bergelar isteri kepada lelaki bernama Zayn. Cukup sampai disitu saja Airis melihat. Dia mahu pergi dari situ untuk menghirup udara di luar. Terasa sesak di dalam yang begitu ramai dengan sanak-saudara dan kawan-kawan pengantin.
Airis pusingkan badannya dan di saat itu dia terlanggar dada seseorang. Alangkah terkejutnya dia apabila ada seorang lelaki berdiri begitu rapat di belakangnya. Gara-gara pelanggaran itu, telefon di tangan lelaki itu terlucut ke bawah dan jatuh menghempap ke atas kaki Airis.
Airis mengaduh kesakitan. Dia tunduk ke bawah mengusap kakinya. Sakit! Mujur tak terlepas jeritannya tadi.
"Sakit tau tak. Kenapa awak berdiri rapat sangat belakang saya?" Marah Airis.
"Saya minta maaf. Saya tak sengaja."
Kelam kabut lelaki itu melutut ke bawah. Diambil telefonnya dulu sebelum mengusap tempat yang sama diusap oleh Airis.
Airis menolak tangan lelaki itu yang berani hinggap di kakinya. Dia menghadiahkan jelingan tajam kepada lelaki itu sebelum berdiri semula. Wajah lelaki itu terselindung apabila dia menunduk.
Airis terus angkat kaki pergi dari situ bersama sebelah kakinya yang sakit dihempap telefon. Terhincut-hincut dia berjalan.
Lelaki itu memandang belakang tubuh Airis. Senyuman mula terukir di bibirnya.
"Airis..."
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top