EPISOD 4

USAI saja memeriksa keadaan pesakit yang mengalami Pneumonia, Ufairah mengarahkan Staffnurse Rita untuk memindahkan pesakit ke wad wanita. Senyuman manis diberikan kepada pesakit. Sempat lagi Ufairah berikan kata-kata semangat agar pesakit cepat sembuh.

Sebaik saja kaki melangkah keluar dari unit kecemasan, nafas panjang dihela. Tengkuk yang lenguh diurut perlahan. Mata yang semakin layu membuatkan Ufairah semakin longlai.

Namun, melihat seorang doktor pelatih yang sedang menghulurkan sebekas makanan bersama Staffnurse Firzah membuatkan Ufairah sedikit segar.

Ini kegemarannya! Mengusik.

"Hah! Bercinta eh."

Sontak, Doktor Hadif terhinggut tatkala disergah dari belakang. Wajahnya serta-merta membahang dek usikan Ufairah. Kaki seakan terpasak di hadapan mesin makanan ringan. Kaca matanya dibetulkan.

"Doktor Ufairah... kita orang tak ada apa-apa..."

"Yelah tu. Ingat saya ni buta ke? Tak nampak apa yang berlaku kat sekeliling? Hari tu, Firzah siap back up awak lagi sebab kena marah dengan doktor pakar. Eleh. Nak menidakkan konon."

Ufairah menjungkit-jungkitkan kening tatkala pandangannya bertaut dengan Doktor Hadif. Senyuman mengejek terukir di bibir gadis itu.

"Doktor ni ada-ada je kan. Kita orang baru proses berkenalan. Tak ada apa-apa pun." Staffnurse Firzah pula mempertahankan diri tatkala Ufairah mula menghidu sesuatu yang janggal di antara mereka.

"Ish kau orang ni. Kalau tak ada apa-apa tu kita kenalah ada-adakan. Dari proses berkenalan lepas tu jumpa keserasian bolehlah melangkah ke alam yang penuh dengan mahligai cinta. So sweet!"

Nada suara Ufairah semakin kedengaran ceria. Membayangkan rakan sekerjanya melayari bahtera perkahwinan. Bahu Staffnurse Firzah ditepuk lembut. Senyuman semakin melebar sehingga menampakkan gusi.

Doktor Hadif dan Staffnurse Firzah sudah berpandangan. Masing-masing saling berbalas senyuman dengan wajah yang sudah memerah dek diusik oleh Ufairah. Akal sudah kematian diksi saat Ufairah berjaya menebak hubungan percintaan mereka.

"Jangan lama-lama tau Doktor Hadif. Staffnurse Firzah ni di antara jururawat paling cantik yang semua orang nak jadikan isteri. Hah, nanti melepas siapa merana?"

"Doakan kita orang..."

Tak semena-mena, Ufairah tertawa kecil mendengar omongan Doktor Hadif. Ibu jari diangkat sambil mengangguk.

"Mestilah saya akan doakan..."

Bunyi siren ambulans kedengaran. Perbualan tiga staf hospital itu terbejat. Lantas, langkah diatur menuju ke lobi hospital.

"Saya baru nak balik! Dugaan apakah ini..."

"Tak apa. Doktor baliklah dulu. Biar saya yang uruskan. Saya tengok dah lebih 24 jam doktor ada kat hospital ni." Doktor Hadif menawarkan diri untuk membantu. Kasihan melihat seniornya yang keletihan.

"Kita kurang doktor hari ni. Ramai yang tak balik lagi dari conferences. Sokay."

Melihatkan semangat Ufairah, Doktor Hadif kagum buat seketika. Gadis ini memang sentiasa kuat fizikal mentalnya. Dia sebagai doktor pelatih berharap agar bisa menjadi seperti Ufairah suatu hari nanti.

"Kes kali ni pergaduhan besar. Ada lima orang tercedera," lapor seorang paramedik sambil mengusung mangsa yang mengerang kesakitan. Ada juga yang dalam keadaan tak sedarkan diri.

Mendengarkan itu, Ufairah terkesima. Kenapalah sejak kebelakangan ini dia sering didatangi mangsa perkelahian. Apa pula punca perkelahian mereka kali ini?

"Ufairah?"

Ufairah kematian langkah tika dipanggil. Dia kalih.

Sekonyong-konyognya...

Hampir saja Ufairah melopong tatkala melihat seorang pemuda berwajah bengis. Ada darah kering di tepi dahi dan birai bibir si pemuda. Kaki seakan terpasak di atas tanah. Kaget!

"Fairah... kau... kerja kat sini?"

Suara Dizhar membuatkan Ufairah tersentak. Sorotan matanya beralih ke laman wajah bekas suami Wardah itu.

"Betul. Tak sekarang ni macam mana kau ada kat sini? Bukan kau kat Selangor ke selama ni?"

Dizhar tersengih tika soalan cepumas itu menyapa kokleanya. Pelipis yang tak gatal digaru. Lengan Umar ditarik menghampirinya. Tak mahu niatnya berpindah ke daerah kecil itu diketahui oleh Ufairah.

"Sekarang tu tak penting. Ni... kawan aku. Dia cedera lepas kena serang tadi. Kau...

"Oh kawan kau. Hai saudara. Ingatkan malaun manalah yang tiba-tiba muncul kacau hidup saya sampai saya terpaksa balik lambat malam ni," pintas Ufairah. Pandangannya bertaut lagi dengan Umar. Jadi, kes malam ini pasti ulahnya bermula dengan Umar lagi!

"Selesaikan budak-budak tu cepat. Aku nak hadap dia orang semula. Banyak benda aku nak tanya."

Perlahan-lahan, Umar melabuhkan duduk di ruangan menunggu. Ya Tuhan, seluruh sendinya terasa sengal. Tangannya tak lekang menekup abdomen. Sungguh, Umar mula tak sedap hati dengan insiden ini.

Melihat reaksi Umar, Dizhar mengeluh berat. Dia bercekak pinggang. Sungguh, Dizhar risau melihat keadaan sahabatnya.

Manakan tidak, belum selesai lagi lelah setelah pertarungan malam itu, Umar diserang lagi oleh tujuh orang preman. Selebihnya sudah melarikan diri. Mujur saja Umar memenangi perlawanan tinju pada malam itu. Berbaloi.

"Serius ke kecederaan dia?" bisik Ufairah.

"Dia hampir kena tikam tadi. Tapi... otak dia ni tak berapa betul sikit. Macam tak tahu rasa sakit," tutur Dizhar dalam nada yang berbisik.

Merasakan Dizhar dan Ufairah seakan mengumpat tentang dirinya, Umar mencebik.

"Apa yang kau orang umpat tu? Agaklah nak mengumpat depan-depan."

"Terasa ke?"

Mendengar soalan sinis Ufairah, Umar tertawa sinis. Gadis ini memang pemberani orangnya. Umar tak nafikan. Tak seperti gadis yang tak mengenalinya dengan lebih mendalam. Bahkan, dengan selamba Ufairah sudah melabuhkan duduk di sebelahnya.

"Maaf. Tapi, sebelum berlakunya kematian malam ni... saya kena periksa keadaan saudara."

Ufairah yang sudah memakain sarung tangan menepis kasar tangan Umar yang sedang melekap di abdomennya. Diselaknya sedikit pakaian pemuda itu. Hampir saja Ufairah terpelongo melihat luka terbuka di tubuh Umar. Luka hirisan itu panjang.

Benar kata Dizhar. Lelaki berwajah bengis ini mempunyai masalah mental! Tak tahu rasa sakit.

KAPAS dikepit dengan menggunakan forceps. Perlahan-lahan, Ufairah menyapu iodin ke abdomen Umar sebagai ubat antiseptik. Sesekali, wajah kosong Umar yang ralit memerhatikan lima orang penyerangnya dipandang. Seakan, ada amarah di kornea mata pemuda itu.

"Ni saya nak tanya... memang hobi suka bergaduh kat public ke?"

Seketika, Umar menjatuhkan pandangannya ke laman wajah Ufairah.

"Sebelum aku jawab soalan kau... biar aku tanya satu soalan dulu. Betul ke kau ni doktor atau hanya doktor jadian?"

Sontak, pekerjaan Ufairah terbejat. Dia mendongak. Memandang wajah Umar yang duduk di atas katil.

"Suka suki saudara je cakap saya ni doktor jadian!"

"Dah kau suka membebel macam nenek tua. Mana tahu kau ni makhluk halus yang tiba-tiba menjelma."

Mendengarkan itu, Ufairah tertawa sinis. Ya Tuhan, mulut lelaki ini memang boleh tahan sinis. Lantas, ditekannya kuat luka Umar. Melepaskan rasa geramnya.

Dek kekasaran Ufairah, Umar mendesis. Pedih! Nasib baik dia berhadapan dengan seorang perempuan. Kalau tidak, mahu saja Umar banting di tepi dinding. Balas dendam!

"Kelakar ye saudara ni. Pandai buat lawak rupanya. Ingat tahu bertumbuk je. Apa pun, saya nak bagi pesanan khidmat masyarakat sikit. Boleh tak jangan nak berlagak jadi abang long kat public? Allah bagi kita otak untuk berfikir rasional. Bukan debik orang untuk selesaikan masalah!"

Tatkala Ufairah mula mengomel, Umar menjelingkan matanya. Keluhan berat dilepaskan. Ya Tuhan, kenapa malang sungguh nasibnya harus berhadapan doktor bermulut becok ini.

"Bisinglah kau ni. Kita kerja kena ikhlas dari hati. Bukan nak mengeluh je kerjanya."

"Saya bising untuk kebaikan saudara juga. Ni tengok kan dah kena belasah. Nasib baik tak mati katak."

Ufairah membalut luka Umar dengan kain perban. Menutup luka agar tidak dijangkiti kuman.

"Kau ingat aku nak sangat ke kau rawat..."

Umar kematian kata tatkala Ufairah menyapu ubat ke birai bibirnya. Wajah manis itu dipandang tajam. Namun, hanya seketika tatkala Ufairah mengalihkan pandangan ke laman wajahnya.

Umar menepis kasar tangan Ufairah. Tak betah berhadapan dengan gadis itu lagi. Tanpa pamit, Umar mencapai jasnya seraya melangkah keluar dari unit kecemasan.

"Ya Allah! Ampuni Ufairah. Tolong jangan temukan Ufairah dengan patient biadab yang wajahnya seperti Shrek itu lagi Ya Allah."

Ufairah berang dengan sikap Umar. Spontan, dibalingnya kotak tisu ke tubuh belakang Umar.

Sontak, Umar kematian langkah. Dia kalih tika Ufairah semakin berani menyerangnya. Kotak tisu di atas lantai dicapai. Selangkah demi selangkah, Umar menapak menghampiri gadis yang sudah mencabar kesabarannya.

Melihat tatapan membunuh Umar, Ufairah jadi kecut perut. Buru-buru, gadis itu kalih ke belakang seraya mengemaskan peralatan yang sudah digunakan. Risau jika Umar mahu membelasahnya pula.

"Cik kak, nasib baik kau perempuan. Kalau tak, dah lama aku belasah kau sampai muka kau jadi lap kaki."

Tatkala suara dingin Umar menyapa halwa telinga, terasa kelat liur di rangkungan. Apatah lagi merasakan figura Umar yang membelakanginya hanya sejengkal tika itu. Sehingga wangian di tubuh Umar menusuk rongga hidung Ufairah.

"Doktor! Patient kena cardiac arrest!"

Suara cemas Staffnurse Irdah kedengaran. Lautan emosi Ufairah terbantut. Buru-buru, gadis itu meluru ke arah seorang penyerang yang tiba-tiba mengalami keradangan otot jantung.

"Comprasion. Bagi saya tiga minit!"

Ufairah naik ke atas katil usai saja jururawat membetulkan posisi pembaringan pesakit. Lantas, gadis itu meletakkan kedua belah tangan ke atas dada pesakit. Melakukan tekanan dalam kiraan 100.

"Sediakan defribilator dan intubation."

Melihatkan suasana cemas itu, Umar terkesima. Kakinya terpasak. Tak lekang memerhatikan Ufairah yang sedang berusaha menyelamatkan nyawa peskit.

Serentak dengan itu, Umar merasakan dejavu. Samar-samar ruang memori mengimbas kejadian enam tahun yang lalu. Ketika dia hampir kehilangan nyawa angkara musuh yang tak didendang.

Aneh sekali perasaan ini.

"100 joule!"

"Shock!"

Defribilator diletak di atas dada pesakit. Tubuh pesakit tersentak seperti terkena renjatan elektrik. Kemudian, Ufairah kembali membuat tekanan di dada. Nafasnya semakin tercungap-cungap. Perutnya pula semakin berkeroncong kelaparan. Ya Tuhan, Ufairah keletihan saat ini.

"Tiada perubahan doktor."

"Dah berapa minit?"

"Empat minit."

Ufairah menarik nafas panjang. Dia perlu tenang. Dia bisa menyelamatkan nyawa pesakit ini!

Sungguh, Umar mahu membantu. Ada kekesalan di sanubari dengan omongannya yang lancang sebentar tadi. Dek terlalu beremosi, seenaknya saja dia melemparkan kata-kata bahawa Ufairah tak ikhlas dalam pekerjaannya. Walhal, gadis itu sedang berjuang menyelamatkan nyawa seorang insan.

DERETAN makanan di kedai runcit dipandang dengan sorotan mata yang layu. Perutnya semakin berkeroncong minta diisi. Sungguh, Ufairah benar-benar kehilangan tenaga. Kepalanya mula pusing. Kali terakhir menjamah makanan pun Ufairah lupa.

"Sabar ya perut sayang. Nanti mummy bagi makan kenyang-kenyang. Tapi kita nak makan apa ni?"

Ufairah mengeluh berat. Perutnya ditepuk-tepuk. Jari jemari sudah menari-nari di rak makanan.

"Kita makan ramenlah. Dah lama tak makan ramen. Nanti kalau mama tanya makan apa kita katalah makan mee korea. Tak adalah mama nak membebel sebab kita makan ramen. Bijak!"

Sesekali, pekerja yang sedang menyusun makanan di rak berkerut melihat Ufairah seakan tenggelam dengan halusinasinya. Entah dengan siapa gadis itu berbual pun dia tak tahu. Wajah saja cantik tapi ada mentalnya.

Kasihan.

"Akak tak gila tau dik. Akak cakap dengan perut yang lapar ni."

Ufairah tersengih. Bukannya dia tak tahu ulah si pekerja yang memandangnya pelik. Tanpa berlengah, Ufairah ke kaunter pembayaran bersama bakul berisi roti, ramen dan minuman kotak. Dompet dikeluarkan dari tas tangannya.

"Semuanya sebelas ringgit."

"Boleh bayar guna kad?"

"Maaf kak. Pengimbas kita orang rosak."

Mahu saja Ufairah menangis melihat hanya duit syiling memenuhi dompetnya. Entah cukup atau tidak Ufairah tak tahu. Lantas, duit syiling dikeluarkan satu per satu lalu diletak di atas kaunter.

"Lima ringgit."

"Tujuh ringgit. Maaf ya dik. Akak ada duit syiling je."

"Lapan..."

Sontak, Ufairah kematian kata tika seorang figura tiba-tiba berdiri di depannya. Ufairah berkerenyut. Seenaknya saja si figura memotong barisannya.

"Bayar air ni dulu."

Tika si figura kalih, Ufairah tepuk dahi. Ya Tuhan, boleh tak sekali saja dia tak terserempak dengan si lelaki jelmaan Shrek ini?

"Oi saudara! Tak nampak ke orang tengah bayar? Dahlah kaki pukul... sekarang nak tunjuk memang diri tu tak beradab ke? Suka hati je potong line orang. Orang lapar tahu tak!"

Umar memandang duit syiling yang berada di atas kaunter sebelum pandangannya bertaut dengan Ufairah. Tersungging senyuman sinis di bibir Umar yang memar.

"Jangan cakap pasal adab kalau diri sendiri kurang bijak. Kau pergi kira duit syiling kat kaunter ni apa pasal? Orang pun nak cepat! Ingat ni bank nak tukar duit kertas ke? Otak tak ada ke cik kak?"

Mendengar itu, Ufairah genggam tangan. Mahu saja dia tumbuk wajah Umar yang sudah menggugat kesabaran.

"Bayarkan dia punya sekali."

Ufairah terpinga-pinga tika Umar mahu membayarkan makanannya. Lidah seakan kelu untu menolak. Sorotan mata tunak memandang tubuh belakang Umar yang sudah melangkah keluar. Lantas, gadis itu terus menyambut huluran barang yang dibeli seraya membuntuti Umar.

"Saudara!"

Keluhan terbit di bibir Ufairah tatkala Umar menonong melintasi jalan. Dia tak mahu berhutang dengan lelaki sarkastik itu!

"Saudara!"

Umar kematian langkah tatkala nada suara Ufairah naik seoktaf. Dahinya berkerenyut. Apa lagi mahunya gadis bermulut becok ini?

"Apa lagi..."

Belum sempat Umar mematikan bicara, bunyi hon membingitkan halwa. Tangkas, Umar menarik lengan Ufairah yang sudah menonong tanpa melihat keadaan jalan raya.

"Kau nak mampus..."

Sontak, Umar terduduk tatkala Ufairah rebah di atas jalan. Kepala Ufairah diletak di atas riba. Wajah gadis yang pitam itu kelihatan pucat. Nafasnya tercungap-cungap. Nadi Ufairah diperiksa.
Lemah!

Bersambung...
13.10.2023

Terima kasih sudi meluangkan masa membaca kisah Umar dan Ufairah. Kalau sukakan ceritani, boleh sedekahkan bintang like tak?

Terima kasih ♥️

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top