SPECIAL EPISOD 2
LAUT CHINA SELATAN
SUASANA kelam pada dinihari melatari sebuah kapal minyak. Hanya rembulan dan kejora yang menerangi samudera. Sesekali, ombak menghentam badan kapal. Serentak dengan angin kencang yang mendinginkan tubuh.
Di setiap penjuru dek, dua orang lelaki lengkap dengan M16 di tangan masing-masing sedang berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Mengawasi keadaan tatkala sekumpulan rakan subahat mereka sudah mengucar-ngacirkan suasana di dalam kapal tersebut. Selagi kapal minyak ini masih berlayar di samudera, selagi itu situasi belum mengizinkan mereka untuk bersenang lenang.
"Dah dua jam, lima juta yang aku nak tak sampai-sampai lagi ni. Memang bos kau orang ni tak sayangkan kau orang gamaknya! Lagi pun... dia banyak duit. Apalah sangat kalau aku letupkan kapal ni dengan kau orang sekali. Dia tak kesah pun! Rugi celah gigi dia aje ni."
Para tebusan yang sudah dikumpulkan di dalam sebuah bilik rehat hanya mampu tertunduk dengan ugutan tanpa henti daripada si lelaki berkepala botak. Masing-masing tak mampu menentang lagi tatkala dua orang rakan mereka sudah lunyai, terbaring kaku di atas lantai kapal setelah dibelasah oleh konco-konco ketua lanun itu. Hanya kerana mahu menentang, tubuh menjadi galang gantinya.
"Tik tok... tik tok..."
Siulan si lelaki kedengaran. Sorotan matanya tajam memandang jam dinding. Terherot senyum sinis di bibir tatkala jarum jam hampir menginjak pukul dua pagi. Seperti perjanjiannya bersama Tan Sri Anding, tepat pukul dua pagi, kapal ini akan diletupkan bersama pekerja-pekerja ahli perniagaan itu jikalau wang tebusan tak diberikan kepadanya.
"Jarum jam dah nak ke pukul dua pagi. Haih! Aku kesian dengan kau orang ni. Tak pasal-pasal yang ada anak jadi yatim. Isteri jadi janda. Suami jadi duda. Tapi... tangan aku ni dah gatal sangat nak bermain bunga api dengan mayat-mayat kau orang nanti."
Remot bom jangka yang berada di genggamannya dikucup lembut. Tidak sabar mahu menamatkan riwayat manusia yang berada dalam keadaan diikat. Dia menyeringai. Suka benar melihat para tebusan yang semakin diterpa ketakutan. Ada yang sudah menangis teresak-esak. Ada juga yang hanya mampu berpeluk tubuh.
"Bawa mengucap semuanya! Kau orang akan mampus..."
"Yakinnya kau!"
"Yakin? Mestilah aku yakin..."
Sontak, si lelaki berkepala botak kematian diksi tika bunyi berdas tembakan kedengaran di luar ruangan itu. Intuisinya mengatakan keadaan yang aman sudah bertukar gawat!
Tika dia kalih ke belakang, sekonyong-konyongnya, jantung yang mengepam darah ke seluruh tubuh jadi kencang. Matanya membuntang. Terpampang figura seorang pemuda mengenakan raiding suit dengan topeng balaclava yang hanya menampakkan sepasang mata helang!
"Serahkan diri kau, Paul! Permainan kau dah berakhir!"
Tak semena-mena, suasana di dalam bilik rehat itu bertukar hinggar binggar. Lima orang anggota PASKAL sudah menyerbu masuk ke dalam bilik rehat. Menyelamatkan sepuluh orang tebusan. Serentak dengan itu, tiga orang konco-konco Paul yang berada di ruangan itu terus menentang. Menghalakan glock ke arah para anggota PASKAL.
"Kau tahu nyawa kau orang tu ada kat tangan aku sekarang ni!"
"Nyawa di tangan Tuhan. Bukan pelesit macam kau!"
Sontak, Uthman mencengkam pergelangan tangan kanan Paul yang sedang mengenggam remot bom jangka masa. Sekelip mata, tangan Paul dipulas kuat ke belakang sehingga bunyi bahu dipatahkan kedengaran. Lolongan kesakitan Paul dek kecekapan Uthman kedengaran. Lantas, remot bom jangka disambar dari tangan musuh.
Paul bertindak. Glock yang tersisip di pinggangnya ditarik dengan tangan kiri yang masih bebas. Dihalakan ke arah salah seorang tebusan yang sudah meluru keluar dari ruangan itu tatkala konco-konconya berjaya ditumpaskan oleh pasukan PASKAL. Mana mungkin dia menyerah dengan mudah!
Menyedari Paul semakin bertindak kasar, Uthman terus menghentak kuat tengkuk Paul dari belakang. Membuatkan lelaki itu tersembam di atas lantai kapal. Glock yang terlepas dari tangan Paul disepak jauh. Sungguh, jiwa Uthman semakin berkobar mahu menghapuskan riwayat penjenayah itu!
Malangnya, baru saja Uthman mahu kembali mendapatkan Paul, musuh lebih cekap bertindak. Menghiris mata pisau rambo yang bergigi ke lengan Uthman. Buru-buru, Paul bangun. Mahu menyerang Uthman dengan pisau rambo yang sudah basah dengan darah anggota PASKAL itu.
Nafas panjang ditarik. Uthman memincingkan matanya. Mencari titik fokus. Dia tahu, lelaki di depannya ini bukan orang sembarangan. Ketua lanun dari Filipina yang sudah setahun mengucar-ngacirkan perairan negara. Sudah lama mereka merisik kegiatan bejat Paul. Jiwa Uthman semakin membuak mahu menyelesaikan kemelut ini serta-merta!
Lantas, Paul bertindak, bertubi-tubi pisau rambo dihayunkan ke tubuh Uthman. Amarahnya semakin meluap apabila hanya angin yang menerima serangannya. Seluruh wajahnya membahang. Aura membunuhnya semakin membuak-buak tatkala Uthman tangkas mengelak. Apatah lagi melihat lengan kiri Uthman yang sudah basah dengan darah. Menitik tanpa henti.
Tanpa berlengah, Uthman terus bertindak. Berpusing 180 darjah lalu kaki kanan terus ditujah menendang kuat tengkuk Paul. Dek ketangkasannya, Paul terundur beberapa tapak ke belakang. Langkah lelaki bertatu ular di leher itu semakin terhuyung-hayang.
Melihat keadaan Paul, buru-buru, Uthman mengambil peluang. Dia meluru ke arah Paul. Sekali lagi kaki tendangan kuat ditujahkan ke tubuh Paul secara bertubi-tubi. Tatkala Paul mahu menghunus pisau ke tubuhnya, Uthman mencengkam pergelangan tangan musuh. Bibirnya diketap tatkala mata pisau semakin ditujahkan ke dada bidangnya.
Lantas, Uthman menghayunkan lututnya ke rusuk Paul. Membuatkan pergerakan Paul semakin longgar. Kesempatan itu, Uthman memulas kuat tangan Paul. Pisau rambo melorot dari tangan Paul tatkala kekuatan Uthman semakin mendominasi. Sontak, Uthman memulas lagi tangan Paul ke belakang sebelum tubuh musuh dibanting kuat ke belakang.
Lolongan kesakitan Paul kedengaran. Membingitkan suasana. Sungguh, Paul merasakan tulang belakangnya dipatahkan oleh Uthman. Sakitnya bukan kepalang.
Penangan leftenan komander bertubuh kekar itu benar-benar membuatkan seluruh tenaga dan kekuatan Paul sirna sekelip mata. Hanya sorotan matanya saja yang saling bersabung dengan Uthman sebelum dua orang anggota PASKAL mengheretnya keluar dari ruangan itu.
"Tuan tak apa-apa?"
Leftenan Syukur terus meluru ke arah Uthman. Risau jikalau benda buruk berlaku kepada ketuanya. Apatah lagi melihat darah pekat yang semakin membasahi lengan Uthman.
"Aku okey. Dah, kita selesaikan..."
Belum sempat Uthman mematikan bicara, isi perutnya tiba-tiba saja memulas. Tekaknya loya. Nafas terasa sesak di dada. Buru-buru, Uthman meluru ke arah tandas yang terletak di belakang kapal. Balaclava ditanggalkan. Sontak, Uthman memuntahkan isi perutnya tika alahannya kembali muncul di atas sinki.
Ya Tuhan, kepalanya benar-benar berdesing tika ini. Telinga berdengung. Bau hanyir darah yang menusuk rongga hidung semakin meloyakan tekak Uthman.
"Tuan alahan lagi ni. Balik nanti kita kena pergi klinik..."
Mendengarkan omongan Leftenan Syukur, Uthman hanya kaku. Bibirnya dibasahkan. Lidahnya sudah terkelu untuk berbicara. Persoalan mula bermain di benak fikiran Uthman.
Alahan.
Kenapa dengan dia sejak dua bulan ini?
"UMAR! Ni pensil warna Kak Ngahlah. Kan ibu dah belikan Umar pensil warna yang baru. Kenapa nak ambil kakak punya lagi?"
"Ish! Umar tak nak yang tu. Umar nak yang besar!"
"Tak bolehlah! Ni abah beli untuk Kak Ngah..."
"Umar ambil Kak Long punyalah. Nah! Janganlah bergaduh. Kan abah pesan, kita bertiga tak boleh bergaduh. Kena selalu berkasih sayang. Qaisah, kita kena mengalah dengan adik. Kan dah janji nak jaga Umar kalau abah tak ada."
Qailah menghulurkan pensil Warna 12 batang berjenama Stabilo kepada Umar. Bingit telinga si gadis kecil berusia lapan tahun itu tatkala adik-adiknya bertengkar hanya kerana warna. Masing-masing tak mahu mengalah. Jadi, daripada situasi semakin hinggar binggar, Qailah mengalah.
"Yeay! Warna baru. Kak Long selalu baik dengan Umar. Tak macam Kak Ngah! Werk!"
Umar menjelirkan lidahnya. Warna yang dihulurkan oleh Qailah dicapai. Betapa senangnya hati tatkala permintaannya diturutkan. Tubuh Qaisah ditolak lembut sebelum anak kecil berusia tiga tahun itu kembali duduk di atas sofa. Mahu menyambung mewarna lukisannya.
Melihatkan telatah si kembar dan Umar membuatkan Nailah geleng kepala saja. Nasi yang sudah disenduk ke dalam bekas diletak di atas meja makan. Anak-anaknya itu semakin membesar. Sudah pandai memilih barang. Apatah lagi Umar yang sering saja tantrum jikalau keinginannya tak diturutkan.
"Umar... ibu selalu pesan apa dekat Umar?"
Tatkala suara Nailah menyapa koklea, Umar panggung kepalanya. Pandangan si anak kecil sudah bertaut dengan si ibu yang melabuhkan duduk di sebelahnya.
"Jangan gaduh. Kena hormat kakak."
"Pandai pun. Habis tu... kenapa anak ibu suka ambil barang kakak? Kan ibu dah belikan untuk Umar sekali. Warna tu Umar tak guna pun. Nak juga pakai kakak punya." Lembut saja tutur bicara Nailah menegur anak kecilnya. Tak mahu Umar tumbuh membesar menjadi seorang yang kuat memberontak.
Mendengarkan itu, Umar menundukkan kepalanya. Tangannya yang sedang mewarna buku lukisan semakin perlahan. Bibirnya tercebik. Menahan tangis tatkala Nailah seakan memarahinya.
"Anak ibu... anak yang baik, kan?"
Perlahan-lahan, Nailah mengusap lembut rambut Umar. Sorotan matanya semakin tajam merenung wajah tanda cintanya dan Uthman Firdaus. Ya Tuhan, setiap kali dia memandang wajah Umar, rindunya buat Uthman sentiasa terubat tiap kali suaminya itu bertugas di samudera.
"Sorry ibu... Umar nakal..."
"Bukan minta maaf dengan ibu. Minta maaf dengan Kak Ngah. Tak baik tau ambil barang Kak Ngah. Cakap terima kasih dekat Kak Long juga sebab pinjamkan Umar pensil warna dia."
Nailah memujuk. Tak mahu Umar gerun tatkala dia menegur. Uthman sering berpesan bahawa menegur anak kecil seperti Umar itu haruslah dengan cara berhemah dan lemah lembut. Tidak bisa berkasar.
Lambat-lambat, Umar bangun dari duduk. Menghampiri Qaisah yang sedang menyiapkan kerja sekolah Matematik. Bahu Qaisah dicuit lembut. Menurut arahan ibunya.
Uthman pesan, kalau mahu masuk syurga harus hormat kedua ibu bapa. Umar mahu masuk syurga bersama keluarganya. Indah seperti yang sering diceritakan ibu dan abahnya sebelum tidur.
"Kak Ngah... sorry Umar nakal..."
Qaisah bangun. Tubuh Umar terus dipeluk erat. Pipi gebu adiknya dikucup lembut. Menghulurkan kasih sayangnya buat si adik.
"Kak Ngah pun minta maaf sebab marah Umar. Nanti kita share colour tau."
Tak semena-mena, seleret senyuman terukir di bibir Nailah. Hatinya tercuit melihat telatah dua beradik itu. Hailah. Ada saja isu yang terjadi di antara mereka.
Lelah.
Tapi, Nailah mengerti. Sudah begitu lumrah kanak-kanak yang masih dalam fasa tumbesaran. Ada kalanya nasihat yang dititipkan disemat di hati. Ada ketikanya juga nasihat itu dilupakan tatkala kemahuan mendominasi hati.
"Lambatnya abah balik. Bukan abah kata dia balik tengah hari ke, ibu?" soal Qailah. Tidak sabar rasanya mahu menunjukkan rekod pencapaiannya kepada Uthman. Pasti abahnya bangga tatkala dia berjaya mendapat tempat pertama di dalam kelas.
"Kejap lagi abah..."
"Assalamualaikum."
Belum sempat Nailah menoktahkan bicara, suara garau serentak dengan bunyi ketukan pintu kedengaran di luar rumah. Lantas, Nailah bangun dari duduk. Mahu menyambut kepulangan si perajurit yang sudah kembali ke sisinya dan anak-anak mereka. Sungguh, dua bulan jarak memisahkan mereka cukup membuatkan Nailah rindu.
"Waalaikumsalam..."
"Waalaikumsalam! Abah!"
Baru saja Nailah membuka pintu rumah, Qaisah dan Qailah sudah menyerbu ke arah Uthman. Keceriaan terpancar di wajah si kembar tatkala penantian mereka sudah berakhir. Tubuh Uthman yang baru saja melangkah masuk ke dalam rumah terus dipeluk erat.
"Anak-anak abah ni... tak sempat abah nak masuk dah serbu abah. Anak-anak abah sihat tak?" tutur Uthman seraya mengucup lembut kepala Qaisah dan Qailah silih berganti. Melepaskan rindu.
"Sihat! Abah, tengokni. Qailah dapat nombor satu lagi!"
Tanpa berlengah, Qailah terus menghulurkan rekod pencapaian kepada Uthman. Senyuman tak lekang di bibir si gadis kecil. Manakan tidak, sudah dua minggu dia menanti kepulangan Uthman hanya untuk menunjukkan rekod pencapaiannya saja.
Sebaik saja rekod pencapaian dibuka, rasa bangga mula menjentik tangkai hati Uthman. Bibir mengulum senyum. Menimbulkan lekuk di pipinya. Kesyukuran dipanjatkan ke atas Ilahi melihat kejayaan anak perempuannya.
"Semua A. Dapat nombor satu pula tu. Alhamdulillah... pandai anak abah ni. Abah bangga dengan Qailah. Tahniah anak abah... lepas ni... kita pergi cari hadiah untuk Qailah."
"Yeay! Sukanya dapat hadiah. Sayang abah!"
Uthman terkekek tika Qailah kembali memeluknya. Hailah, anak kembarnya tak pernah berubah. Manjanya tetap sama meskipun sudah menginjak ke sekolah rendah.
"Qaisah dapat nombor dua. Ada satu B. Qaisah boleh dapat hadiah juga tak?"
Uthman mengalihkan pandangannya ke arah Qaisah. Diusapnya lembut kepala Qaisah yang sudah cemberut. Uthman mengerti Qaisah sering saja rasa tersaing dengan Qailah. Apatah lagi mereka berada dalam kelas yang sama. Sering saja Qailah mendapat pujian lebih daripada guru berbanding Qaisah.
"Mestilah boleh... anak-anak abah semua pandai. Tak kisahlah berapa A, berapa B sekali pun... bagi abah... anak-anak abah semua hebat-hebat."
"Umar hebat tak?"
Tatkala suara Umar sayup-sayup menyapa koklea, Uthman memanggung kepalanya. Pandangannya sudah bertaut dengan Nailah. Hanya berkomunikasi melalui pandangan dengan senyuman tak lekang meniti di bibir pasangan itu. Tercuit hati tatkala Umar hanya berdiri di belakang Nailah.
"Umar... pergi peluk abah. Kata rindu kan..."
Umar menggeleng. Baju Nailah digenggam erat. Kepalanya tertunduk. Ada rasa gerun mencengkam atma si anak kecil tatkala melihat ayahnya yang masih mengenakan celoreng. Seakan ada orang asing berada di dalam rumah mereka tika ini.
"Umar... ni abahlah. Sini dengan abah..."
Uthman memanggil. Membongkokkan sedikit tubuhnya sambil menggamit Umar. Hailah, selama tiga tahun ini anak kecilnya itu tak berubah. Setiap kali dia pulang dari bertugas, Umar sering saja gerun dengannya. Seakan dia ini si penjahat yang ingin mencelakai Umar.
"Tak apalah. Bagi dia masa. Petang nanti okeylah ni. Tapi... Umar ni selalu cari abang. Rindu katanya." Nailah menghampiri Uthman. Tangan Uthman dicapai sebelum dikucup lembut. Menyambut kepulangan si suami yang dirindukan.
"Sayang? Rindu abang tak?"
Uthman sengaja mengeraskan tangan Nailah. Membiarkan jari jemari mereka saling bertaut. Anak rambut Nailah yang terjuntai diselit ke belakang telinga. Mahu merenung wajah cantik isterinya dengan lebih dekat. Pipi mulus Nailah diusap lembut. Ya Tuhan, rindunya Uthman buat Nailah sudah seluas samudera.
Tatkala pandangan redup Uthman semakin dalam, detak jantung Nailah mula kencang. Bibirnya tak lekang dengan senyuman. Empat tahun pernikahan mereka, setiap pandangan dan belaian lembut Uthman Firdaus sentiasa membuatkan jantung Nailah jadi kencang. Dia rasa dicintai. Disayangi oleh suaminya.
"Mestilah Nailah rindukan abang. Sebab tu... Nailah masak makanan special untuk abang hari ni. Rindu nak tengok abang berselera makan masakan Nailah. Asam pedas ikan patin dah tunggu pak cik nelayan Nailah ni balik tau."
Nada suara Nailah kedengaran ceria. Dicuitnya lembut pucuk hidung Uthman tatkala rasa senang dengan kepulangan Uthman menjentik sanubari.
Sekonyong-konyongnya, Uthman tertawa kecil dengan lelucon Nailah. Teringat tatkala dia pernah menyembunyikan pekerjaan sebenarnya. Menyatakan bahawa dia hanyalah nelayan. Tak pasal-pasal, hal itu menjadi usikan Nailah setiap kali dia pulang.
"Terima kasih sayang... abang rindu masakan Nailah juga. Air tangan Nailah yang selalu buat abang jatuh hati dengan isteri abang ni." Uthman mengusap lembut rambut panjang Nailah yang diikat sanggul. Dipimpinnya tangan Nailah menuju ke ruang makan.
Mendengarkan itu, wajah Nailah membahang. Suka benar dia dengar perkataan jatuh hati daripada Uthman. Setiap luahan hati Uthman tak pernah lekang mencairkan hati Nailah. Bukan mudah dia pikat Uthman untuk mencintainya. Semuanya perlukan air mata dan pengorbanan.
"Umar... sini duduk dengan abah."
Uthman kembali menggamit Umar yang hanya berdiri di belakang Nailah yang sedang mencedok nasi ke dalam pinggan. Tangan kecil Umar dicapai. Digenggam erat sebelum ditarik menghampirinya. Mujur saja Umar menurut. Lantas, didukungnya Umar duduk di atas pangkuannya.
"Anak abah good boy tak masa abah tak ada?"
Angguk.
"Tolong ibu tak?"
Angguk.
Tawa halus terletus lagi dengan telatah Umar. Nampaknya, Umar masih gerun mahu berbicara dengannya. Lantas, Uthman mendudukkan Umar di sebelah kerusi.
Tak apa.
Dia mengerti keadaan Umar. Dulu, Qaisah dan Qailah juga sering berasa takut jika melihat kelibatnya semasa seusia Umar. Uthman mengerti. Dia meninggalkan anaknya selama berbulan. Membuatkan hubungannya dan anak-anak sedikit renggang.
"Ni... asam pedas yang abang request dekat Nailah."
Nailah mencedokkan ikan patin ke atas pinggan Uthman. Tak sabar mahu melihat Uthman yang duduk setentang dengannya menjamah makan tengah hari. Kemudian, disendokkan pula nasi untuk Umar.
"Sedap..."
Sontak, Uthman tiba-tiba bangun dari duduk. Meluru ke tandas tatkala tekaknya kembali loya. Ya Tuhan, dia baru saja menjamah sesuap makanan, tekaknya kembali loya.
Aneh.
Dia langsung tak mampu menjamah masakan Nailah tika ini. Apatah lagi bau asam pedas membuatkan kepalanya jadi pusing.
Melihat keadaan Uthman, buru-buru Nailah menghampiri Uthman. Jiwanya dirusuh gundah gulana. Apa makanan yang dimasaknya tidak sedap sehingga Uthman memuntahkan semula makanannya?
"Abang... kenapa ni?" soal Nailah sambil mengusap lembut belakang tubuh Uthman yang berdiri setentang dengan sinki.
Uthman hanya diam. Matanya terpejam rapat tatkala dadanya terasa sesak. Kepalanya berpinar. Mulut yang sudah basah dilap dengan tuala kecil.
"Nailah masak tak sedap ke?"
"Eh tak... masakan Nailah tak ada masalah pun. Abang yang kurang sihat dari bulan lepas."
Uthman kalih ke belakang. Memandang figura Nailah. Ada mendung menghias wajah isterinya. Tahulah Uthman bahawa keresahan mula menjentik tangkai hati Nailah. Inilah asbabnya Uthman tak mahu Nailah tahu dia sering alahan sejak bulan lepas.
"Betul? Nailah risau tengok abang. Pucat macam ni. Kenapa tak bagi tahu Nailah abang sakit dari bulan lepas?" Perlahan-lahan, Nailah mengesat dahi Uthman yang merenik dengan peluh.
" Kita pergi klinik sekarang. Jom."
"Sayang tu... dah pergi klinik ke belum?" Uthman mengenggam pergelangan tangan Nailah. Sorotan mata menikam mata bundar Nailah. Intuisinya kuat mengatakan ada sesuatu tentang isterinya. Hanya saja Nailah merahsiakan hal penting itu daripada pengetahuan Uthman.
Mendengarkan soalan itu, Nailah mengetap bibirnya. Pandangannya dialihkan tatkala Uthman seakan membaca emosinya tika ini.
"Buat apa Nailah nak pergi klinik? Nailah sihat je. Abang tu yang sakit. Nailah risaulah."
"Okey. Sebelum pergi klinik... abang nak Nailah jujur dengan abang. Boleh?"
"Apa dia?"
Suasana sepi buat seketika. Selangkah demi selangkah, Uthman menghampiri Nailah. Pupil mata tak lekang merenung wajah si isteri. Dia yakin, ada sesuatu yang Nailah sembunyikan tanpa pengetahuannya.
Tika itu, terasa kelat liur di rangkungan Nailah. Dinding hatinya mula libang-libu tatkala wangian maskulin Uthman semakin menusuk rongga hidung. Entah mengapa ada getaran yang membuatkan dia jadi kaku. Apatah lagi tatapan tajam Uthman yang semakin melembikkan kaki Nailah.
"Sayang... jujur dengan abang sekarang. Sayang ada sembunyikan sesuatu kan? Alahan abang ni macam alahan ibu mengandung. Bukan salah makan. Dulu, Hikmah mengandung pun abang hadap situasi sama."
Sekonyong-konyongnya, soalan cepumas Uthman membuatkan Nailah terkesima. Ada ketegasan di raut wajah suaminya. Membuatkan dinding hati Nailah semakin tak keruan.
"A... abang pergi bersihkan diri dulu. Nailah buatkan bubur untuk abang." Nailah ubah topik. Buru-buru, Nailah kembali ke ruang makan. Belum masanya dia mengkhabarkan berita itu kepada Uthman. Mengingatkan hal itu, bibir mula melakar senyum bahagianya.
SEBAIK saja memastikan Umar dibuai lena, perlahan-lahan, Nailah mengucup lembut dahi si kecil. Selimut ditarik menutup tubuh Umar yang terdedah.
Nailah bangun dari duduk di birai katil. Menghampiri Qaisah dan Qailah di katil sebelah pula. Tercuit hatinya melihat si kembar yang saling berpelukan. Kucupan lembut turut dihadiahkan kepada tanda cintanya Uthman dan Hikmah itu.
Langkah diatur keluar dari kamar. Rambut yang sedikit kusut dirapikan. Memandangkan Uthman sudah pulang, Nailah mahu sentiasa kelihatan cantik di mata suaminya. Apatah lagi malam ini ada sebuah berita yang akan disampaikan.
Sebuah hadiah terindah yang sudah lama disimpan. Hanya menanti waktu yang sesuai untuk disampaikan kepada Uthman Firdaus.
Namun, baru saja selangkah Nailah menapak masuk ke dalam kamarnya, detak jantungnya jadi kencang. Matanya membuntang. Tercengang melihat Uthman yang sudah duduk di birai katil. Menyapu ubat antiseptik di lengan yang tercedera. Bekas jahitan yang masih baru di lengan kiri Uthman itu benar-benar membuatkan Nailah resah.
"Anak-anak dah tidur?"
Senyap. Hanya derapan tapak kaki Nailah menghampiri Uthman yang kedengaran. Tangan masih ligat membersihkan luka dek kecederaannya semasa memberkas Paul.
"Sayang..."
Uthman kematian diksi tika Nailah melabuhkan duduk di sebelahnya. Menepis lembut tangannya yang sedang membalut kain kasa di lengan.
Suasana jadi sepi. Hanya bunyi kipas yang ligat berputar kedengaran di kamar itu. Membibitkan keheningan di antara Uthman dan Nailah.
"Nailah dah cakap dengan abang... Nailah tak suka tengok abang cedera lagi."
"Sikit je ni sayang... jangan risau..."
"Memanglah sikit bagi abang. Tapi..."
Nailah jeda.
Nafas panjang ditarik. Entah mengapa keheningan pada malam itu membuatkan ruang memori Nailah mengimbas kejadian tiga tahun yang lalu.
Masih segar di ruang ingatannya. Tika Uthman berjuang dengan kematian setelah cedera parah. Masih segar di memori Nailah tika ketakutan menjadi penemannya. Hampir setahun dia menanti Uthman bangun dari koma.
"Nailah trauma... abang... trauma yang Nailah rasa akan terus terpahat di memori Nailah... sampai mati."
Nada suara Nailah sudah kedengaran bergetar. Tangan masih ligat membalut lengan Uthman dengan kain kasa. Tubir matanya terasa hangat.
Bagaimana kalau setiap kali Uthman berjuang di samudera demi melindungi negara, itu kali terakhir dia menatap wajah suaminya? Bagaimana kalau berita buruk tentang Uthman kembali disampaikan kepadanya seperti tiga tahun yang lalu?
Tatkala wajah Nailah mula mendung, rasa bersalah mula menghentam jiwa Uthman. Dia tahu hal itu. Kerana itulah Uthman tak mahu menyampaikan tentang kesihatannya yang sering mengalami alahan sejak kebelakangan ini.
Uthman tak mahu Nailah risau. Apatah lagi kadangkala kesihatan Nailah tak memberangsangkan dek jantung yang ada dalam tubuh isterinya juga sudah hampir mencecah 10 tahun.
"Sayang... abang minta maaf. Abang tak berniat nak buat Nailah sedih. Teringatkan benda yang dah jadi dulu. Jangan fikir yang buruk-buruk. InsyaAllah, selagi doa Nailah selalu iringi pemergian abang... selagi tu Allah akan selalu lindungi suami Nailah ni."
Mendengarkan pujukan Uthman, Nailah mengalihkan bebola matanya. Memandang figura Uthman yang hanya sejengkal darinya. Senyuman di bibir Uthman yang sering kali membuatkan Nailah luluh. Tatkala Uthman mengusap lembut pipi mulusnya, barulah Nailah rasa sedikit tenang dengan pujukan pemuda itu.
"Abang ingat tak hari ni hari apa?" soal Nailah. Tangan Uthman digenggam erat. Tak mahu lagi suasana sayu menjadi peneman mereka.
Satu hakikat Nailah pegang meski hati terasa berat. Ajal itu di tangan Allah...
"Hari ni?"
"Ya. Hari ni. Ingat tak hari apa?" Nailah mula mendesak. Mahu Uthman mengingat tarikh keramat yang menjadi sejarah dalam hidup mereka.
"Hari ni ya..." Uthman menjatuhkan tangannya. Baju pagoda terus disarung ke tubuh. Pandangannya dialihkan dari menatap laman wajah Nailah.
"Abang jangan cakap abang lupa pula. Sebelum ni... abang yang selalu wish dan ingatkan Nailah dulu tau."
Nada rajuk mula menyapa koklea Uthman. Sorotan mata kembali menatap wajah Nailah. Bibir mengulum senyum melihat Nailah yang sudah berkerenyut. Memandangnya dengan riak tak puas hati.
Hailah, isteri siapalah yang comel dan kuat merajuk ini? Bikin Uthman tambah jatuh cinta.
"Abang lupa..."
"Lupa? Abang lupa hari ni hari apa?"
Uthman mengangguk. Tersengih kelat tatkala Nailah mula dirusuh amarah.
"Dahlah. Nailah nak rehat. Abang pun mesti penat..."
"Sayang merajuk ke?"
"Tak! Tak merajuk pun! Ada nampak muka orang merajuk ke?"
Nailah halakan jari telunjuk di wajahnya. Boleh pula Uthman tanya soalan cepumas tatkala dinding hati Nailah sudah berkecai. Baru saja usia pernikahan mereka menginjak empat tahun. Tapi, semudah itu Uthman melupakan tarikh bersejarah mereka.
Mendengarkan itu, Uthman tertawa halus. Ya Tuhan, dia suka melihat Nailah merajuk. Marah-marah manja. Rindu melihat Nailah seperti keanak-anakan.
"Gelak... gelak. Ingat kelakar ke?"
"Kelakarlah sayang. Ni mesti belajar merajuk daripada Qaisah dengan Qailah..."
Tak semena-mena, Nailah bangun dari duduk. Tak betah lagi bila Uthman sudah dalam mood mengusik. Dia terasa hati, boleh pula Uthman bergurau senda.
"Sayang... janganlah merajuk. Sini. Abang nak bagi sesuatu untuk bidadari syurga abang ni. Kesian dia... kena sakat sampai terasa hati."
Uthman mencengkam pergelangan tangan Nailah. Ditarik lembut sambil menepuk birai katil. Poket seluar tracksuit digagau. Mahu mengeluarkan sesuatu daripada kocek seluar.
Lambat-lambat, Nailah menurut. Bibirnya diketap. Hanya sorotan matanya saja merenung wajah Uthman. Tajam.
"Selamat ulang tahun pernikahan kita yang keempat tahun, Nailah Jannah. Ini... hadiah untuk Nailah... abang harap Nailah suka."
Sontak, Nailah terkelu tika mendengar ucapan yang meniti keluar daripada bibir Uthman. Api yang marak di ruang hati jadi sejuk serta-merta. Uthman ingat tarikh ulang tahun pernikahan mereka. Sudah tentunya Nailah senang hati.
Sekotak baldu berjenama Habib yang dibuka oleh Uthman ditatap. Ada seutas gelang bertakhta berlian yang berkilauan. Dipakaikan di pergelangan tangannya. Sebagai hadiah tanda ulang tahun pernikahan mereka yang keempat tahun.
"Abang..."
Nailah terus mendakap tubuh Uthman. Dinding hatinya libang-libu tika kehangatan Uthman meresap ke seluruh tubuh. Apatah lagi kucupan lembut Uthman yang sudah singgah di ubun-ubunnya. Setitis air mata mengalir ke pipi Nailah. Demi Allah, Nailah bahagia dengan rumah tangganya bersama Uthman Firdaus.
"Abang minta maaf... tak selalu
ada untuk isteri abang. Abang
minta maaf... sebab buat Nailah
terpaksa berkongsi dengan
negara. Buat Nailah rasa negara
dulu baru Nailah. Tapi, cinta
abang buat Nailah tak pernah
pudar meskipun jarak memisahkan
kita."
"Abang..."
Nailah jeda. Tangan Uthman digenggam erat bersama senyuman yang tak lekang dari bibir.
"Jangan cakap macam tu. Nailah bangga jadi isteri abang. Nailah faham tugas dan tanggungjawab abang. Dah. Tak acilah abang je yang bagi Nailah hadiah. Nailah pun dah sediakan hadiah special untuk abang."
Lantas, Nailah menarik laci meja sisi yang terletak di penjuru katil. Debaran mula memalu jantungnya. Kotak hadiah berwarna biru dihias dengan reben merah dikeluarkan dari laci. Dihulurkan kepada Uthman sebagai hadiah.
"Hadiah untuk abang?"
"Ya. Bukalah. Baca Bismillah dulu tau."
Uthman menarik nafas panjang. Bibir melafaz Bismillah. Tika itu, kotak fikiran Uthman mula bermain dengan persoalan. Jantungnya berdebar kencang. Sesekali, pandangannya bertaut dengan Nailah.
Dejavu.
Nailah pernah memberikan hadiah seperti ini ketika ulang tahun kelahirannya dahulu.
Tatkala penutup kotak dibuka, senyuman di bibir Uthman kian melebar. Mulutnya hampir melongo. Wajah manis Nailah dan kertas berwarna hijau yang bertuliskan "Assalamualaikum abah", benar-benar membuatkan rasa sebak.
Ya Allah... hadiah yang berada di tangannya saat ini merupakan sebuah hadiah terindah yang tak terhitung nilainya.
Foto ultrasound dikeluarkan. Ada janin kecil yang kelihatan di dalam foto hitam putih itu. Tanda cintanya dan Nailah Jannah yang sedang membesar dalam rahim isterinya. Ada juga ujian kehamilan yang menunjukkan dua garis biru.
"Ya Allah sayang... SubhanaAllah... sayang mengandung... Allahu... patutlah dah dua bulan abang alahan. Rupanya..."
Uthman jeda. Tangannya melekap ke perut Nailah yang masih kempis. Seluruh wajahnya membahang tika dia bakal menerima ahli keluarga yang baru lagi. Bahagia.
"Dah lama baby kita tunggu abah dia balik. Dah dua bulan..."
Mendengarkan itu, rasa sayu mula mencengkam jiwa Uthman. Kesal tatkala sekali lagi dia tak dapat menemani Nailah melakukan pemeriksaan kandungan. Perlahan-lahan, Uthman melekapkan telinganya ke kandungan Nailah. Mahu merasai degupan jantung anaknya yang sedang membesar dalam rahim.
"Assalamualaikum anak abah. Abah minta maaf... lambat tahu kehadiran adik. Jangan nakal-nakal ya adik. Jangan buat ibu penat sangat..."
Tawa halus meniti di bibir Nailah tika nasihat Uthman mencuit hatinya. Diusapnya lembut ubun-ubun Uthman. Menghulurkan kasihnya buat si pengarang jantung. Membiarkan saja Uthman berbual bersama anak mereka. Dengan harapan, kali ini tiada lagi kesedihan yang akan menyambut kelahiran anak kedua mereka.
"BARU balik ke abang Uthman?"
"Haah. Baru balik dua hari lepas. Nini tengah cuti semester ya sekarang?" soal Uthman sambil meletakkan bakul berisi barangan dapur ke atas kaunter pembayaran. Hanya berbasa basi bersama anak jirannya itu.
"Nini dah habis belajarlah abang. Sekarang tengah tunggu tawaran kerja kat Puchong sambil nak cari jodoh kat sini. Mana tahu ada abang-abang askar yang boleh dijadikan suami. Kan?"
Nini tertawa kecil. Tangan ligat mengimbas barangan yang dibeli oleh Uthman. Sesekali, matanya tak lekang memandang figura berkulit sawo matang dan tinggi lampai itu. Ya Tuhan, indah benar makhluk ciptaan Tuhan di depannya ini!
Sejuk saja hati memandang.
"Oh. Teringin nak berjodoh dengan abang-abang askarlah ni?"
"Of course! Nampak gempak je jadi isteri askar ni. Boleh lalu bawah pedang pula tu. Kalau ada kawan abang yang single roger eh. Kalau abang nak tambah lagi satu pun... saya sudi..."
Suara dehaman yang kedengaran kuat mematikan bicara Nini. Wajah bengis seorang wanita muda bertudung sarung berwarna hitam terpampang di depan mata. Kecut perut gadis berusia 23 tahun itu tatkala sabun pencuci pinggan dihentak di atas kaunter pembayaran.
"Abang? Dik... awak tahu tak dia ni dah pangkat pak cik tau! Pak cik! Bukan abang! Tak payah nak berabang-abanglah dengan suami orang." Nada suara Nailah sudah kedengaran tegang. Ditepuknya kuat bahu kekar Uthman. Melepaskan geram tatkala suara si gadis yang sengaja dileretkan membibitkan amarah di relung hati.
Gatal!
"Sayang..."
"Abang diam. Biar Nailah ajar sikit budak ni," pintas Nailah dengan nada suara yang semakin tegang.
"Saya dengar tadi awak nak pak cik ni tambah satu lagi? Wow! Menarik ya. Berani! Dik, isteri dia hidup lagi tau. Dia ni pun dah ada tiga orang anak. Tak malu ke menggatal dengan suami orang?"
Tatkala kata-kata pedas Nailah semakin menikam relung hatinya, Nini terkelu serta-merta. Rasa gerun semakin mencengkam sukma. Dia malu! Apatah lagi kelihatan dua orang wanita yang sudah beratur di belakang Uthman dan Nailah.
"Ingat! Sekali lagi awak panggil pak cik ni abang... awas eh! Jangan nak menggatal dengan suami orang kalau masih mentah! Kita sama-sama perempuan. Jangan jadi perampas kebahagiaan perempuan lain. Tak berkat hidup awak, dik!"
Nailah terus meluru keluar dari kedai runcit. Dia mendengus. Amarahnya mula meluap-luap. Kalau diikutkan hati, mahu saja disimbahnya air longkang ke wajah gadis itu. Seenaknya saja menggedik dengan Uthman. Tidakkah gadis itu tahu bahawa Uthman sudah beristeri? Punya tiga orang anak yang masih kecil?
"Sayang... kenapa ni? Marah-marah..."
"Suka hatilah! Siapa suruh dia nak menggatal dengan abang. Tambah satu konon! Abang pun satu... melayan sangat dia tu. Yelah, Nailah tahulah Nailah ni dah tak cantik. Kulit kusam. Makin berisi. Jalan pun dah macam pingu sebab selalu bengkak kaki. Sukalah abang kan kalau yang muda tu try nak pikat abang?"
Nailah menjelingkan matanya ke atas. Tanpa berlengah, langkah diatur ke kenderaan. Tak betah lagi mahu berlamaan di kedai runcit itu tatkala terik mentari menambahkan rasa bahang di lubuk hatinya.
Melihat Nailah mula berjauh hati, Uthman menarik nafas panjang. Ada yang aneh tentang isterinya semenjak Nailah berbadan dua. Nailah senang naik angin. Garang! Berbeza tika Nailah mengandungkan Umar tiga tahun yang lalu. Tak mengapa. Uthman mengerti. Faktor pembawaan budak membuatkan emosi isterinya kurang stabil.
Tanpa berlengah, Uthman meluru menghampiri Nailah. Tak mahu Nailah terus-menerus diselubungi amarah.
"Jangan cakap macam tu. Nailah tetap cantik dan sentiasa cantik di mata abang. Malah, kecantikan dan seri isteri abang ni bertambah bila mengandungkan anak kedua kita. Abang minta maaf buat Nailah sakit hati. Okey... lepas ni abang takkan layan sangat perempuan lain kecuali benda tu darurat. Jom... Nailah nak makan laksa kan?"
"Tak nak! Nailah nak balik."
Bunyi pintu kereta dihempas kuat kedengaran. Membuatkan Uthman tersentak buat seketika. Hanya gelengan kepala tika melihat tingkah Nailah. Tahulah Uthman bahawa Nailah benar-benar sudah terbakar tika ini.
Tak mengapa. Nailah mahu merajuk, silakan. Bukannya Uthman tak pernah ada pengalaman memujuk Nailah sampai luluh!
Malam itu, peperangan dingin di antara Uthman dan Nailah masih berlarutan. Tiada sebarang canda dan bicara yang meniti di bibir keduanya. Sehabis daya Uthman memujuk, Nailah masih keras hati. Hingga akhirnya, Nailah ditinggalkan oleh Uthman yang sudah dibuai lena dek keletihan tika itu.
Suasana kelam di dalam kamar. Hanya lampu tidur yang menerangi suasana kamar. Nailah jadi serba tak kena. Ada keinginannya yang belum tercapai hari ini. Mahu menyesal sudah terlambat. Jam sudah menginjak ke pukul 11 malam. Ya Tuhan, Nailah jadi serabut!
Lantas, dia bangun dari pembaringan. Bersandar di kepala katil sambil mengusap lembut perutnya yang masih kempis. Terasa kecur liurnya tatkala teringat kelazatan laksa utara. Mahu meminta dengan Uthman, perang mereka masih belum berakhir. Apatah lagi, jelas terpancar keletihan di raut wajah Uthman.
Nailah tak mahu menganggu.
"Anak ibu lapar ke? Nak makan laksa?"
Tidak dapat tidak, demi memuaskan hatinya yang serba tak keruan ini, Nailah terus menepuk bahu Uthman. Mahu mengejutkan suaminya dari lena. Sungguh, Nailah tak punya pilihan lagi!
"Abang... Nailah lapar..."
Sepi. Hanya bunyi kipas yang berputar kedengaran bersama bunyi enjin kenderaan di kuarters kediaman tika itu.
"Abang... bangunlah... Nailah lapar ni. Abang tak kesian anak kita ke?" Kali ini, Nailah mengeraskan suaranya. Nadanya sedikit meninggi. Mengejutkan Uthman yang tiada tanda-tanda mahu bangun.
"Ab..."
"Nailah nak makan apa?" Suara serak basah Uthman kedengaran. Matanya yang layu memandang wajah Nailah. Kantuknya begitu kuat saat ini.
Manakan tidak, ini sajalah masanya untuk berehat setelah berbulan mengerahkan tenaga di samudera. Tapi demi Nailah, Uthman gigihkan saja dirinya untuk bangun.
"Nailah nak makan laksa."
Mendengarkan permintaan Nailah, Uthman tersenyum nipis. Hatinya tercuit lucu. Hailah isteri. Boleh pula Nailah mengidam laksa malam-malam buta ini. Walhal, sudah puas dia memujuk Nailah seharian dengan menawarkan diri menemani Nailah menjamah laksa penang di kawasan Lumut itu.
"Esok jelah sayang. Dah. Tidur." Uthman menepuk lembut tilam empuk di sebelahnya. Mata kembali dipejam rapat. Menyambung lenanya.
"Abang! Nailah lapar ni..."
"Tidur, sayang. Kedai dah tutup. Esok pagi kita cari laksa."
"Baby yang nak... bukan Nailah. Abang ni... bangunlah! Baru pukul 11. Mesti ada kedai yang buka lagi."
Nailah menggoncangkan bahu Uthman. Kuat. Nada suaranya sudah meleret. Memujuk Uthman yang tak mahu mempedulikan karenahnya.
Namun, Uthman hanya statik. Membuatkan Nailah semakin geram. Bibirnya tercebik. Beginikah layanan Uthman tika wajahnya sudah tak secantik dulu? Sejak mengandung anak kedua ini, Nailah merasakan dia tak menarik lagi buat Uthman Firdaus.
"Fine! Tak apa. Abang tidur je sampai esok. Tapi kalau Nailah dengan baby kita ada apa-apa abang jangan menyesal."
Nailah bangun dari duduknya. Langkah diatur ke dapur bersama hati yang kecewa. Ada maggi laksa yang baru dibeli siang tadi. Tak mengapalah kalau hanya makan maggi berperisa laksa. Asalkan, keinginannya yang sudah mengidam ini tertunai. Tak tahan lagi rasa membuaknya mahu menjamah laksa penang.
Kerusi makan terus diheret. Mahu mencapai sebungkus maggi di dalam kabinet. Perlahan-lahan, Nailah naik ke atas kerusi. Kepalanya dijengulkan dengan kaki yang sudah terjungkit. Tangan meraba-raba kabinet. Mencari bungkusan maggi yang sudah tenggelam dengan barangan dapur yang lain.
"Ya Allah, Nailah!"
Bahu Nailah terhinggut tika dia disergah dari belakang. Belum pun sempat Nailah kalih, dia merasakan tubuhnya sudah terangkat. Membuatkan Nailah terkesima dengan tindakan Uthman yang sudah mendukungnya dari berdiri atas kerusi. Tika kakinya kembali menjejak lantai, dinding hati Nailah kembali libang-libu apabila pinggangnya masih berada dalam rangkulan Uthman.
Pandangan redup Uthman yang membuatkan jantungnya jadi kencang...
"Kenapa panjat kerusi? Bahaya sayang. Tak baik ibu mengandung memanjat macam tu. Abang tak nak isteri abang sakit."
"Nailah... lapar. Nailah nak cari maggi laksa je. Abang kan tak nak layan Nailah. Mungkin, Nailah ni terlalu membosankan untuk abang dah. Biarlah Nailah buat sendiri."
Nailah mengalihkan pandangannya. Tangan kekar Uthman yang merangkul pinggangya ditepis. Namun, semakin dia menepis, semakin ketat rangkulan Uthman sehingga dia dapat merasakan hembusan nafas yang menyapa wajahnya.
"Jangan merajuk lagi Nailah Jannah. Abang rindu isteri abang... inilah masanya untuk kita lepaskan rindu. Bukan cetuskan perang dingin macam ni."
Tika suara Uthman yang penuh dengan kelembutan menyapa koklea, Nailah jadi luluh. Hatinya mencair. Sorotan matanya kembali bertaut dengan Uthman. Terasa kelat liur di rangkungan tika Uthman semakin tunak merenung raut wajahnya. Apatah lagi dalam keadaan mereka hanya sejengkal tika itu.
"Abang sayang Nailah. Abang cintakan Nailah. Sangat-sangat. Tolong jangan buruk sangka dengan abang. Abang minta maaf kalau abang tak pandai jaga hati isteri abang. Tapi tolong... jangan pernah ada benda negatif tentang abang di fikiran Nailah. Percayakan abang sayang... percayakan abang yang cinta abang tak pernah padam untuk Nailah."
Semakin Uthman memujuk, rasa bersalah kian bercambah di relung hati Nailah. Bibirnya diketap. Ya Tuhan, apa yang sudah merasukinya seharian ini? Teganya dia berfikiran buruk tentang Uthman. Walhal, perkara silam yang hampir memisahkan dia dan Uthman kerana maut masih terpahat di ruang memori.
"Abang tahu Nailah rasa dah tak menarik di mata abang. Hormon ibu mengandung kali ni buat Nailah berubah. Tapi... tu semua hanya anggapan buruk Nailah. Hakikatnya, abang beruntung sangat dapat isteri macam sayang. Dah macam-macam pengorbanan yang sayang buat untuk keluarga kita selama empat tahun ni. Setiap pengorbanan tu jugalah yang buat abang semakin sayang... cintakan Nailah dah tak pernah terdetik pun nak duakan Nailah."
Uthman mengenggam kedua belah tangan Nailah lalu dikucup lembut. Memberikan pujukan demi mendamaikan jiwa Nailah yang berprasangka buruk. Uthman tak mahu masalah sebegini diperbesarkan lagi.
"Nailah minta maaf... Nailah keterlaluan dengan abang hari ni..."
Nailah tertunduk. Menekur lantai. Tubir matanya terasa hangat dengan kekesalan. Kelembutan Uthman yang tak putus-putus memujuknya.
"Tak apa sayang. Abang faham. Emosi isteri abang ni terganggu. Sayang dengan baby kita nak laksa kan? Abang call Kak Bedah. Mana tahu kedai dia masih buka. Sayang tunggu sini kejap."
Uthman melepaskan tubuh Nailah dari rangkulannya. Tanpa berlengah, Uthman kembali meluru ke kamar. Mahu menghubungi warung Kak Bedah. Semoga dengan tertunainya permintaan Nailah ini akan menyenangkan isterinya.
Tatkala itu, senyuman terukir di bibir Nailah. Dinding hatinya kembali mekar dengan debunga cinta buat Uthman Firdaus. Seakan baru jatuh cinta buat kali pertama dengan layanan manis si suami.
Uthman memang tak pernah gagal dalam membahagiakan mereka. Kata-katanya yang manis dalam memujuk. Setiap butir bicaranya yang sentiasa menyejukkan sang hati Nailah Jannah.
"Sayang..."
"Ya?"
"Jom pergi makan laksa. Rezeki sayang dengan baby kita malam ni."
Mendengarkan itu, senyuman terukir di bibir Nailah. Mahu saja dia meloncat kegembiraan tika kehendak hatinya ditunaikan malam itu. Inilah yang buat Nailah Jannah jatuh cinta berkali-kali dengan Uthman Firdaus!
Lima bulan kemudian...
"Umar rindu abah. Cepatlah balik, abah."
"Qaisah pun rindukan abah. Dahlah dua minggu abah tak video call kita orang. Ramai ke abah jumpa orang jahat kat laut sampai tak call kita orang?"
Tawa halus terlepas daripada bibir Uthman tatkala mendengar keluhan Umar dan Qaisah. Dipandangnya wajah anak-anaknya silih berganti melalui skrin telefon pintar. Sesekali, angin petang menyapa wajah pemuda yang sedang bersandar di belakang dek KD Hang Tuah. Bunyi ombak yang menghempas badan kapal membibitkan rasa nyaman.
"Abah pun rindu sangat dengan anak-anak abah. Abah minta maaf. Abah sibuk sangat dengan kerja. Abah kan dah janji abah akan balik juga. Apa yang penting sekarang... anak-anak abah jangan bergaduh. Tolong ibu. Jaga ibu baik-baik. Jangan buat ibu penat."
"Tapi abah kata abah nak balik semalam. Tak ada pun. Abah ni... asyik janji tapi tak tunaikan janji pun," rungut Qailah pula seraya menghulurkan segelas air suam kepada Nailah yang sedang bersandar di belakang sofa.
"Ya Qailah. Kerja abah tak selesai lagi. Sebab tu abah tak boleh balik. Abah kena kerja untuk kita semua. Supaya abah boleh beli apa je yang anak-anak abah nak. Tak naklah sedih-sedih. Sekarang... abah nak tunjukkan pemandangan cantik untuk anak-anak abah."
Uthman alih topik. Tak mahu lagi kesedihan terpancar di roman wajah anak-anaknya. Kamera panggilan video dihalakan ke samudera yang terbentang luas. Langit nan biru yang ditutup dengan kepulan awan. Bukit bakau yang menghijau. Menambahkan lagi keindahan ciptaan Ilahi.
"Cantiknya! Macam lukisan."
"Kalau cantik kena sebut apa?" soal Nailah.
"SubhanaAllah!" Serentak, Umar, Qaisah dan Qailah melafazkan "SubhanaAllah". Memuji kebesaran Allah yang maha pencipta.
"Suka tak?"
"Suka! Umar pun nak jadi macam abah juga."
Nada suara Umar kedengaran ceria. Ada keterujaan mencengkam jiwa si anak kecil. Suka dengan kehebatan abahnya yang berjuang di samudera. Lantas, Umar bangun dari duduk melutut di hadapan meja kopi. Senapang mainan dicapai lalu diangkat paras bahu.
"Umar nak jadi askar. Macam abah!"
Mendengarkan cita-cita Umar, tawa halus Nailah dan Uthman saling bersatu. Masing-masing tercuit dengan kesungguhan Umar. Sering saja Uthman berkongsi pengalamannya di samudera kepada Umar dan si kembar sebelum tidur. Membuatkan ada azam kecil di sudut hati Nuaiman Umar untuk menjadi anggota tentera.
"Bagus anak abah. Abah suka kalau Umar jadi askar. Tapi, jadi askar... kena kuat. Tau?"
"Umar kuatlah... macam ibunya juga."
Seketika, pandangan Nailah bertaut dengan Uthman melalui skrin telefon pintar. Tangannya ligat mengusap lembut kandungannya yang sudah memboyot. Nafasnya sedikit mengah. Pinggang terasa lenguh. Sungguh, perubahan hormon pada kehamilan kali kedua ini benar-benar memberikan cabaran buat Nailah. Berbeza ketika dia mengandungkan Umar tiga tahun yang lalu.
Tapi, ini perjuangannya. Demi melahirkan tanda cintanya dan Uthman Firdaus. Nailah terima dengan hati terbuka.
"Sayang memang sentiasa kuat untuk kita semua. Sebab tu... abang bangga dapat isteri macam Nailah Jannah. Tak terhitung nilai pengorbanan yang sayang dah buat untuk abang dan anak-anak kita selama ni. Lebih-lebih lagi, nyawa sayang di saat mengandungkan dan melahirkan tanda cinta kita. Terlalu berharga."
Mendengarkan kata-kata Uthman, senyuman terkulum di bibir Nailah. Ada rasa sebak menjentik tangkai hatinya. Telefon pintar yang sudah berada di tangannya digenggam erat. Nailah mahu menatap laman wajah Uthman dengan lebih jelas. Kerinduannya buat Uthman sudah mencengkam ruang hati.
Tipulah jika dia tak memerlukan Uthman saat kandungannya semakin memboyot. Dia mahukan Uthman. Melayaninya seperti permaisuri. Memanjakannya. Membacakan doa-doa amalan untuk bayi mereka. Menemaninya membuat pemeriksaan kandungan setiap bulan. Membeli-belah pakaian bayi.
Nailah juga teringin. Tapi dalam masa yang sama, Nailah mengerti. Negara dulu baru dia.
"Nailah rindukan abang..."
Tak semena-mena, setitis air mata mengalir ke pipi Nailah. Bibirnya sudah menggeletar. Menahan sesak yang kembali menghentam jiwa. Angin yang menerobos masuk ke ruang tamu melalui pintu gelongsor balkoni rumah menambahkan rasa sebaknya. Merindukan Uthman yang sudah empat bulan bertugas demi negara.
"Abang pun rindukan Nailah. Jangan menangis sebab abang, sayang. Abang tak nak Nailah susah hati. Jaga kesihatan sayang baik-baik. Anak kita... mesti tak nak ibu dia sedih juga."
Uthman menarik nafas sedalamnya. Melihat wajah manis Nailah yang berubah sayu meluluhkan jiwanya. Mahu saja dia berada di samping Nailah. Memberikan kehangatan buat isterinya itu. Uthman mengerti dengan emosi Nailah yang sering saja susah hati sejak kebelakangan ini. Tragedi tiga tahun lepas benar-benar memberikan kesan buat isterinya itu.
Nailah trauma.
"Isteri abang kuat kan?"
"Mestilah. Ni Nailah Jannah kot." Nailah mengesat lembut sisa air matanya. Mengusir segala kesedihan yang mula mencengkam jiwa.
Ya. Dia kuat. Dia pejuang.
"Senyum sikit. Abang rindu nak tengok senyuman bidadari syurga abang ni."
Sontak, dinding hati Nailah mula libang-libu tika panggilan "bidadari syurga" menyapa koklea. Suka benar dia mendengar panggilan manis itu. Menandakan bahawa cintanya dan Uthman akan selalu abadi hingga ke akhir hayat. Dipertemukan di syurga Allah kelak. Saat itu, dialah yang akan menjadi bidadari syurga Uthman. Lantas, seleret senyuman terukir di bibir Nailah Jannah buat Uthman Firdaus.
"Macam tulah isteri abang. Abang suka tengok Nailah senyum. Macam ada terapi untuk kuatkan semangat abang."
"Tapi, jangan overthinking benda yang belum berlaku Nailah. Selagi kita ikhtiar, selagi kita tak putus berdoa dan serahkan semuanya kepada Allah... InsyaAllah... Allah akan dengar semua isi hati hambaNya. Allah tu maha berkuasa. Maha mengasihani. Sekarang... jarak memisahkan kita. Ini juga salah satu bentuk ujian yang Allah berikan untuk kita. Ujian kesetiaan dan kepercayaan dalam hubungan kita."
Tatkala pesanan Uthman menyapa koklea, Nailah tersentak buat seketika. Ruang hatinya mula terasa lapang. Sejuk saja hati Nailah menerima segala pesanan yang menyedarkannya bahawa ini semua ujian daripada Allah. Demi menguji kesetiaan di antara mereka.
"Abang kena pergi. Sayang jaga diri baik-baik. Untuk kita. Ya sayang?"
"Abang pun... jaga diri baik-baik. Anak kita ni pun... rindu sangat dengan suara abahnya." Senyuman di bibir Nailah kian melebar. Tangannya semakin ligat mengusap kandungannya yang sudah mencecah tujuh bulan itu.
"Dekatkan phone dengan anak kita. Abah dia nak cakap sesuatu..."
Nailah menurut. Menanti pesanan yang ingin diucapkan oleh Uthman.
"Adik... jangan nakal-nakal dalam perut ibu. Jangan buat ibu penat sangat. Senangkan hati ibu ya anak abah. Nanti... bila adik dah lahir... abah akan sambut kelahiran adik. Abah akan azankan adik. Abah akan buat apa yang abah tak pernah buat dekat abang Umar dulu."
Mendengarkan pesanan itu, sekali lagi titisan air mata mengalir ke pipi Nailah. Emosinya semakin tak keruan. Sebak menghentam jiwa. Pesanan Uthman benar-benar menikam ruang hati Nailah.
Semoga... ada peluang untuk Uthman menyambut kelahiran anak mereka kali ini. Besar harapan yang Nailah letakkan kepada Allah agar rezeki berpihak kepada mereka.
"Anak mama okey tak ni?"
Suara Puan Khadijah menyentak Nailah dari lamunan panjang. Tiada lagi panggilan daripada Uthman. Nailah memanggungkan kepalanya. Pandangannya bertaut dengan Puan Khadijah yang baru saja selesai menggoreng pisang buat cucu-cucunya yang sudah berselera di ruang makan.
"Rindu Uthman?"
Nailah mengangguk. Bantal kusyen yang berada di atas pahanya digenggam erat. Tak mahu mengalirkan air mata kerinduan di hadapan ibunya.
"Rindu sangat. Entahlah mama... Nailah teringat benda yang pernah berlaku dulu tu je. Nailah ingat lagi, waktu Nailah tengah sarat macam ni... abang Uthman pula terlantar koma. Masih terngiang-ngiang lagi bunyi monitor jantung abang Uthman di telinga Nailah ni, mama. Berjuang untuk hidup. Masih segar lagi di memori Nailah bila Nailah rasa dah terlambat... nak betulkan kesalahan yang Nailah dah buat masa tu..."
Tika Nailah meluahkan kemelut di hatinya, Puan Khadijah menghela nafas berat. Tangan Nailah digenggam erat. Menyalurkan kekuatan buat anak bongsunya itu.
"Jadi isteri tentera kena kuat, Nailah. Seteguh karang di lautan. Nailah kena selalu ingat benda ni dan semat dalam hati. Memang bila orang tengok kita ni isteri tentera... luarannya nampak manis aje. Tapi... mereka tak tahu hakikat sebenar bahawa jadi isteri tentera ni ibarat kita bermadu dengan negara. "
"Mama faham apa yang Nailah rasa. Dengan apa yang dah pernah berlaku sebelum ni. Mama faham sangat-sangat. Nailah trauma. Nailah risaukan keselamatan Uthman. Emosi Nailah bercelaru bila sepanjang kehamilan Nailah... Uthman tak ada kat sisi Nailah. Semua benda Nailah kena buat sendiri. Uruskan anak-anak. Uruskan kesihatan Nailah. Tapi, semua ni ujian untuk tingkatkan ketabahan dalam diri anak mama."
Seleret senyuman terukir di bibir Puan Khadijah. Terkenangkan dia juga pernah berada di posisi Nailah. Sentiasa merisaukan arwah suaminya di saat Encik Muhammad bertugas demi keamanan negara. Dia pernah iri hati dengan orang sekeliling tatkala suami mereka sentiasa ada di sisi. Tapi lama kelamaan, Puan Khadijah sedar hakikat menjadi isteri tentera itu bermaksud bermadu dengan negara.
"Nailah salah seorang insan terpilih. Bila orang tengok Nailah... luarannya nampak gah ada suami anggota beruniform. Hakikatnya... hanya Nailah yang tahu di sebalik gahnya bersuamikan tentera, realiti menjadi isteri tentera itu tak seperti yang orang luar bayangkan."
Puan Khadijah menepuk kura tangan Nailah. Mengesat lembut sisa air mata di tubir mata anaknya. Memberikan ketenangan agar Nailah kembali ceria seperti sedia kala.
"Ada air mata, ada perpisahan, ada pengorbanan dan perjuangan yang menemani Nailah sepanjang menjadi isteri Uthman. Mama tahu anak mama kuat. Dah empat tahun Nailah lalui semua ni. Teruskan jadi kuat. Jangan pernah berhenti berdoa. Minta apa saja yang Nailah mahukan daripada Allah. Nailah nak Uthman sentiasa dalam keadaan selamat... jadi, doakan suami Nailah. Jangan sesekali berburuk sangka dengan Allah. Allah dengar doa setiap hambaNya."
Tatkala nasihat Puan Khadijah meresap ke relung hatinya, Nailah semakin terpempan. Tiada lagi diksi yang mentiti di bibirnya. Kelembutan Puan Khadijah benar-benar memberikan ketenangan di sudut hati Nailah.
"Terima kasih mama. Tak pernah berhenti nasihatkan anak mama yang cengeng ni."
Tawa halus Puan Khadijah terlepas. Dilekapkan tangannya ke pipi Nailah. Hailah, dia tak nafikan. Nailah memang cengeng orangnya. Tak pernah berubah. Tapi, dia sedar bahawa Nailah semakin kuat dalam menempuhi apa jua cabaran. Nailah semakin matang menjalani kehidupannya. Membesarkan anak-anak di saat suami berjuang di samudera.
"Selagi mama ada kudrat... selagi tu mama akan terus nasihatkan anak kesayangan mama ni."
USAI saja berteleku di atas sejadah, telefon pintar berjenama Samsung bergetar di atas katil bujang. Menyentak Uthman yang baru saja selesai mengaminkan doanya di sepertiga malam. Sesekali, bunyi guruh berdentum kuat memecahkan keheningan dinihari. Angin yang bertiup kencang mengetuk tingkap kapal yang sedang berlayar di samudera.
"Mama..." gumam Uthman tatkala melihat nama si pemanggil. Lantas, punat hijau disentuh. Entah mengapa intuisi Uthman terasa negatif tika ini. Aneh tatkala ibu mertuanya menghubungi tepat pukul dua pagi.
"Assalamualaikum, Uthman."
"Waalaikumsalam. Ya mama... ada apa-apa masalah ke?"
Mendengarkan soalan Uthman, Puan Khadijah yang baru saja melangkah masuk ke dalam wad semakin longlai. Pelipisnya dilurutkan. Irama jantungnya kencang tika melihat Nailah yang sudah terbujur kaku di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri. Alat bantuan pernafasan membantu wanita muda itu untuk terus bernafas.
Sungguh, berat hatinya mahu menyampaikan berita ini kepada menantunya. Tak mahu Uthman lalai dalam menjalankan tugas.
Namun, Uthman sudah menitipkan amanah jikalau sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada Nailah, sampaikan terus kepada Uthman.
"Mama... minta maaf kacau Uthman pagi-pagi buta macam ni. Uthman ada kat mana sekarang?"
"Tak apa, mama. Uthman tengah rehat sekarang. Ada apa mama? Ceritalah dekat Uthman."
Puan Khadijah menari nafas sedalamnya. Mengumpulkan kekuatan untuk menyampaikan berita tentang Nailah. Perlahan-lahan, tangan Nailah digenggam erat. Pupil matanya tunak merenung wajah Nailah yang pucat tak berdarah.
"Mama harap... Uthman bertenang dengan apa yang mama nak sampaikan. Tentang Nailah."
Sontak, Uthman terbangun dari duduknya. Songkok di atas kepala ditanggalkan. Degupan jantungnya sudah berentak kencang. Tiada lagi ketenangan di sebalik wajah pemuda berkulit sawo matang itu. Mendengar saja nada suara Puan Khadijah yang bergetar, tahulah Uthman bahawa berita buruk bakal disampaikan kepadanya.
"Kenapa dengan isteri Uthman?"
"Malam tadi, Nailah tiba-tiba sesak nafas lepas solat Isyak. Sekarang, dia kena tahan dalam wad sebab paras oksigen dia rendah. Uthman pun tahu kan... jantung yang ada dalam tubuh Nailah dah hampir sepuluh tahun usianya. Sejak kehamilan kedua ni pun... Nailah selalu sangat jatuh sakit."
Tatkala itu, waktu seakan berhenti berputar buat seketika. Tubir mata Uthman sudah terasa hangat. Ketakutan mula mencengkam sanubari. Ya, dia tahu itu. Doktor sudah menjelaskan kepadanya tentang risiko kehamilan Nailah. Tentang jatung Hikmah yang ada dalam tubuh Nailah. Tapi, Uthman tak menyangka bahawa Nailah sudah tak mampu menanggung sakitnya lagi tika ini.
Ya Tuhan, Uthman mahu pulang. Dia mahu berada di sisi Nailah. Memberikan kekuatan buat isterinya.
"Doktor... cakap apa... mama?"
"Doktor cakap... kemungkinan Nailah akan bersalin awal secara czer. Itu jalan terbaik agar Nailah dan cucu mama selamat. Nak lagi kesihatan jantung Nailah tak berapa stabil. Tapi, Uthman jangan fikir sangatlah. Anak ibu ni kuat orangnya. Uthman doakan Nailah dan anak kau orang selamat. Fokus dengan kerja. Ibu dengan abang ngah ada... tengok-tengokkan Nailah. Pasal Umar, Qaisah dengan Qailah pula... abang ngah dah hantar dia orang ke rumah mak ayah kamu."
Uthman menghela nafas berat. Matanya terpejam buat seketika. Perasaannya kian bercelaru memikirkan kondisi Nailah. Bagaimana dia mahu bertenang, fokus dengan pekerjaan sedangkan hatinya meronta-ronta ingin berada di sisi isterinya. Uthman takut kehilangan Nailah seperti mana dia kehilangan Hikmah.
Tapi, apalah kudrat apabila dia sudah bersumpah untuk taat setia kepada raja dan negara. Negara ini tanggungjawab yang sudah dipikul di bahunya. Negara merupakan keutamaannya. Apatah lagi, keadaan masih belum mengizinkan Uthman untuk pulang.
"Jangan risau Uthman. Jangan rasa bersalah dengan Nailah. Anak mama faham kerja kamu. Doakan je Nailah supaya keadaan dia stabil. Dia masih menanti kepulangan suaminya. Jadi, jaga diri kamu baik-baik. Pulanglah bila tanggungjawab kamu dah selesai."
Mendengarkan pesanan Puan Khadijah, tak semena-mena, setitis air mata mengalir ke pipi pemuda itu. Bibirnya diketap. Pesanan ibu mertuanya benar-benar meresap ke relung hati Uthman Firdaus. Ya, Nailah menantinya. Dia sudah berjanji akan pulang demi cinta mereka. Dia perlu kuat mengharungi ujian ini seperti mana Nailah kuat mengharungi ujian di saat jarak memisahkan mereka.
"CUTI? Kamu lupa ke Uthman... kamu ditugaskan untuk melaksanakan operasi di Sabah? Tak boleh sewenangnya kamu bercuti dalam keadaan kamu masih bertugas."
"Tapi tuan... isteri saya sakit. Dia nak bersalin dalam masa terdekat. Dia perlukan saya sekarang ni..."
Uthman kematian diksi tika Kepten Musa bangun dari duduknya. Sorotan mata helang orang atasannya itu terpancar dengan ketegangan. Ada riak tak berpuas hati dengan bantahan yang dilontarkan. Uthman tahu, bukan semudah itu dia dilepaskan oleh orang atasannya. Apatah lagi Uthman ditugaskan untuk mengetuai misi kali ini.
"Leftenan Komander Uthman Firdaus... saya tahu kamu risaukan isteri kamu. Saya faham isteri kamu perlukan kamu sekarang ni. Tapi... kamu tahu dan cukup masak sebagai tentera, cuti itu hanya satu keistimewaan. Bukan hak milik kamu. Apatah lagi sekarang kamu berada dalam misi. Tak boleh lepas tangan macam tu je, Uthman. Macam mana dengan anak-anak buah kamu kalau ketuanya hilang? Saya minta maaf... saya tak boleh luluskan permohonan cuti..."
"Kalau macam tu... tuan boleh berikan hukuman kepada saya sebab tinggalkan tugas. Turunkan pangkat saya atau... buang saya daripada menjadi tentera."
Entah mana rasionalnya, laju saja Uthman memintas omongan Kepten Musa. Kedua belah tangannya digenggam erat. Katakan saja dia sudah hilang kewarasan tika ini, memang emosi lebih mendominasi Uthman tika keresahannya tentang Nailah semakin berada di kemuncak. Tidurnya tak lena lagi memikirkan kondisi Nailah Jannah. Fokusnya hilang. Sudah puas dia memujuk diri, hatinya tetap berdegil.
Hanya mahu berada di samping Nailah saat ini.
"Kamu yakin nak sia-siakan apa yang kamu perjuangkan selama hampir 20 tahun kamu berkhidmat menjadi anggota tentera? Kamu yakin... nak buang pangkat leftenan komander kamu tu? Dah lupa perjalanan kamu menjadi sebahagian daripada anggota panglima hitam?"
Kepten Musa mematikan langkahnya setentang dengan Uthman. Nada suaranya kedengaran dingin. Pupil matanya semakin tajam menikam raut wajah anggota beruniform celoreng itu. Dia tahu, bukan itu sebenarnya kemahuan pemuda ini melainkan Uthman sedang dalam keadaan resah. Emosi tak stabil sehingga memutuskan untuk merisikokan impiannya.
Mendengarkan itu, Uthman terkelu. Soalan bertalu-talu itu cukup menampar kuat tubuhnya. Seakan ada belati menikam jantungnya. Tajam. Sehingga dia hilang pembendaharaan kata.
"Kenapa diam leftenan komander?"
"Maaf tuan."
"Saya tak nak dengar kata maaf kamu. Sekarang, pilih... negara... atau isteri kamu? Mana satu yang penting dalam hidup kamu?"
Uthman menarik nafas sedalamnya. Ruang fikirannya seakan kembali segar dengan teguran dan sindiran daripada Kepten Musa. Dia tahu, ketuanya ini sedang memprovok. Mahu Uthman untuk berfikiran rasional dan kembali teguh seperti sedia kala.
"Keduanya penting, tuan. Keduanya nyawa saya." Nada suara Uthman kembali kedengaran bersemangat. Seakan ada kebangkitan setelah berhadapan dengan orang atasannya itu.
"Jadi, terus jalankan tanggungjawab kamu sebagai panglima hitam. Sebagai khalifah dalam hidup isteri kamu. InsyaAllah, isteri kamu akan baik-baik saja. Malam ni... kita akan buat solat hajat demi kesihatan isteri kamu. Apa yang penting sekarang ni... jangan biarkan musuh temui titik kelemahan kita! Faham?"
"Faham tuan!"
Uthman membuat tabik hormat kepada Kepten Musa. Tiada lagi perdebatan berlaku di ruang pejabat. Suntikan semangat baru meresap ke relung hati Uthman. Dia perlu bangkit. Dia perlu selesaikan tugasannya dengan cepat. Mengamankan perairan negara sebelum kembali berada di sisi Nailah Jannah.
SEBAIK saja kakinya melangkah masuk ke dalam wad privasi yang ditempatkan oleh Nailah, Ghufran menghela nafas berat. Sudah genap seminggu adiknya ditidurkan. Perasaan sayu menjentik tangkai hati Ghufran melihat keadaan Nailah yang kesihatannya semakin merosot.
"Uthman tak balik lagi ke?"
Puan Khadijah yang baru saja selesai membaca Surah Yassin kalih ke belakang. Memandang figura Ghufran yang sedang membawa makanan. Ada ketegangan di sebalik wajah pemuda berkulit kuning langsat itu. Tahulah Puan Khadijah bahawa Ghufran tak berpuas hati tatkala Uthman tiada di sisi Nailah.
"Bini dia dah terlantar macam tu pun... dia masih sibuk dengan kerja? Apa punya suamilah mamat tu..."
"Ghufran... apa cakap macam tu. Uthman tu bukan saja-saja tak balik. Tugas dia belum selesai. Janganlah tuduh suami adik kamu tu bukan-bukan. Kesiankan dia, Ran. Uthman tengah risaukan Nailah tu. Kalau boleh... hari pertama mama khabarkan tentang kesihatan Nailah lagi dia dah balik. Tapi... tuntutan pekerjaan menghalang keinginan Uthman."
Mendengarkan omongan ibunya, Ghufran menghela nafas berat. Hilang terus perbendaharaan kata di ruang fikiran tika teguran ibunya mengguris hatinya yang dirusuh geram tatkala Uthman masih belum pulang untuk berada di sisi Nailah.
"Ran ada bawakan mama makanan. Mama makanlah dulu. Seharian dah mama jaga Nailah. Ran tak nak mama sakit. Ni, kalau Nailah tahu mama tak jaga kesihatan... mahu membebel budak bertuah tu. Yelah, sejak-sejak nak dapat anak kedua ni garangnya macam mak singa dah Ran tengok."
Ghufran cuba berjenaka. Tawa halusnya terpacul. Menghiburkan suasana hiba di antara mereka tatkala melihat garis-garis keletihan di wajah Puan Khadijah. Ghufran mengerti ibunya itu tak tenteram selagi Nailah ditidurkan.
"Kamu ni Ran... suka sangat mengata pasal adik kamu. Tu hormon ibu mengandung namanya. Biasalah tu. Dulu, masa mama mengandungkan kamu... arwah abi asyik tidur luar je sebab mama tak boleh dekat dengan abi. Ada je isunya nak digaduhkan," tutur Puan Khadijah seraya melabuhkan duduk setentang dengan Ghufran. Senyuman pahit terkulum di bibirnya. Tiba-tiba rindu dengan arwah suaminya.
"Nasib baik Ran ni sempoi je kan mama walaupun masa mama mengandungkan Ran, mama jadi pemarah. Tak garang macam abang long." Ghufran tersengih. Menjungkit-jungkitkan keningnya sambil berpeluk tubuh. Berlagak poyo.
"Abang long tu..."
Tak semena-mena, Puan Khadijah kematian diksi tika pintu wad privasi dibuka dari luar. Kaget. Tiba-tiba saja seseorang menerobos masuk ke dalam wad privasi seperti lipas kudung. Tangkas!
"Uthman?"
Uthman yang sudah meluru menghampiri Nailah tersentak tatkala namanya dipanggil dari belakang. Tubir matanya sudah terasa hangat. Empangan air mata sudah bertakung. Dinding hatinya remuk tatkala kepulangannya disambut dengan keadaan Nailah yang sedang berjuang dengan kematian itu.
"Mama... Uthman minta maaf sebab lambat," rintih Uthman. Ada riak bersalah terpancar di laman wajahnya.
"Tak apa. Apa yang penting, menantu mama dah balik dengan selamat. Mama dengan Ghufran keluar dulu ya. Jom Ran... teman mama makan kat kantin bawah."
Puan Khadjah bangun dari duduk seraya menggamit Ghufran. Mahu memberikan ruang kepada Uthman untuk bersendirian bersama Nailah.
"Jaga adik aku baik-baik, man." Ghufran menepuk bahu Uthman. Memberikan semangat agar Uthman kuat untuk menempuhi ujian ini.
Uthman hanya mengangguk. Mengeyakan. Lantas, Uthman terus menghampiri Nailah sebelum dikucupnya lembut kepala isterinya yang berbalut dengan tudung hitam. Seluruh wajahnya sudah membahang tatkala ketakutan semakin mencengkam dinding hatinya.
Syukurlah, dia bisa berada di sisi Nailah saat ini tatkala tugasnya sudan tamat.
"Sayang... abang dah balik..."
Perlahan-lahan, Uthman melabuhkan duduknya di kerusi. Tangan Nailah disulam dengan jari jemarinya lantas dikucup lembut. Lama. Raut wajah Nailah yang pucat tak berdarah ditatap sayu. Melihat Nailah dalam keadaan koma benar-benar membuatkan seluruh jiwa Uthman jadi lemah.
"Nailah nak balas balik kejadian tiga tahun yang lepas ya sayang? Di saat Nailah sarat mengandungkan anak kita... abang terlantar koma. Hanya kaku. Hanya mendengar setiap luahan isteri abang. Sayang nak balas balik ya?"
Tak semena-mena, setitis air mata lelaki Uthman Firdaus gugur juga. Dahinya dilekapkan ke kura tangannya yang sudah bersulam dengan jari jemari Nailah. Dinding hatinya retak melihat Nailah dalam keadaan kesakitan. Dia dapat rasa, beginilah yang Nailah lalui tiga tahun yang lalu.
Ya Tuhan, barulah Uthman mengerti kenapa ada tikanya Nailah paranoid tika dia bertugas di samudera. Sakit rasanya melihat insan yang dicintai berjuang dengan kematian.
"Tak apa sayang. Abang akan setia tunggu isteri abang bangun seperti mana Nailah sentiasa kuat menjaga abang di saat abang berjuang dengan kematian. Nailah rehatlah sayang... ambillah seberapa banyak mana masa yang sayang perlukan. Tapi... tolong sayang..."
Uthman terjeda. Nada suaranya sudah bergetar. Air matanya semakin deras mengalir ke pipi. Perlahan-lahan, dia mengalihkan pandangan ke laman wajah Nailah. Pipi mulus isterinya diusap lembut. Memberikan belaian kasih di saat rindunya buat Nailah Jannah sudah seluas samudera.
"Tolong jangan tinggalkan abang. Empat tahun... tak cukup untuk abang, sayang. Abang tahu abang dah terlambat mencintai Nailah. Jadi... tolong bagi abang peluang untuk terus curahkan kasih sayang untuk bidadari syurga abang..."
Uthman tertunduk. Bibirnya menggeletar. Matanya terpejam rapat. Kura tangan Nailah dikucup lagi. Sungguh, jiwanya benar-benar sesak tika ini. Andai dia berhadapan dengan musuh, sudah pastinya dia tewas sekelip mata dek semangatnya yang kembali luntur tatkala melihat Nailah yang kritikal.
"A... abang..."
Sontak, Uthman tersentak tatkala suara gemersik menyapa kokleanya. Kepalanya terus dipanggung. Waktu seakan berhenti berputar buat seketika. Sorotan matanya sudah bertaut dengan mata kuyu Nailah. Pandangan yang tulus dengan cinta yang sentiasa meluluhkan Uthman Firdaus.
"Ya Allah sayang..."
Uthman terbangun dari duduknya. Senyuman pahit terkulum di bibirnya. Ya Tuhan, semuanya bagaikan mimpi. Melihat Nailah yang sudah seminggu ditidurkan kembali bangun. Lantas, Uthman menekan punat kecemasan di kepala katil. Memanggil doktor untuk memeriksa keadaan Nailah.
"Isteri abang... Ya Allah..."
Melihat pipi Uthman yang basah dengan sisa air mata benar-benar membuatkan Nailah remuk. Bibirnya diketap. Perlahan-lahan, tangan kanannya yang digenggam erat oleh Uthman diangkat. Dilekapkan ke pipi Uthman. Mengusap lembut sisa air mata yang meluluhkan jiwa Nailah. Dia tak mahu Uthman bersedih. Nailah hanya mahukan kebahagiaan di antara mereka.
"Abang cintakan Nailah... sangat mencintai isteri abang. Abang minta maaf sebab tak selalu ada untuk sayang..." luah Uthman seraya mengucup lembut dahi Nailah. Matanya terpejam rapat tatkala rasa sesak semakin menghentam sanubari. Tiada lagi diksi yang mampu dituturkan tika Allah mendengar segala doanya di sepertiga malam.
Uthman bersyukur.
ALUNAN azan yang begitu lunak di koklea membibitkan suasana yang hiba di dalam wad. Semua mata tunak memerhatikan Uthman Firdaus yang sedang mendukung bayi yang sudah dibendung dengan kain berwarna biru laut. Syahdu melihat si ayah yang sedang mengazankan si kecil yang dinamakan Nuqman Fateh.
Melihatkan figura Uthman, air mata seakan air sungai yang mengalir deras di pipi Nailah. Dinding hatinya luluh. Seleret senyuman terukir di bibir pucatnya. Seakan kesakitannya selepas pembedahan tak terasa lagi. Hanya bahagia yang semakin mekar di ruang hati dirasakan saat ini.
"Sayang..."
Perlahan-lahan, Nailah menyambut Fateh dari dukungan Uthman. Dikucupnya lembut pipi gebu si kecil yang sedang tertidur nyenyak setelah diberikan susu. Seketika, Nailah memanggungkan kepalanya. Bertaut pandangan dengan Uthman yang sudah melabuhkan duduk di birai katil. Sungguh, Nailah bersyukur tatkala mereka diberikan kesempatan untuk menyambut kelahiran Fateh bersama-sama.
"Terima kasih berjuang melahirkan anak kita, sayang..."
Uthman mengusap lembut kepala Nailah yang berbalut dengan selendang. Bibirnya tak lekang mengukir senyuman bahagia. Inilah pengalaman pertamanya menyambut kelahiran. Ini keinginannya setelah sekian lama. Mahu menemani isterinya melahirkan. Syukur, Allah memakbulkan doanya.
"Terima kasih juga sebab selalu bahagiakan Nailah. Nailah cintakan abang... terlalu cintakan abang setulus hati Nailah..."
Mendengarkan luahan tulus Nailah, perlahan-lahan, Uthman menghampiri isterinya. Diberikan kucupan lembut di dahi Nailah. Sebagai tanda kasihnya buat bidadari syurganya. Sungguh, cintanya buat Nailah tak pernah padam. Nailah kebangkitannya. Nailah kebahagiaannya.
Pintu wad privasi dibuka dari luar. Mematikan sesi melankolik di antara Uthman dan Nailah. Kelihatan Fatimah dengan perut yang masih memboyot meluru ke arah sahabatnya. Senyuman lebar terukir di bibir wanita bergaun labuh itu.
"Ala bucuk-bucuk aunty ni. Comel! Sebiji muka kau, Nailah!" Nada suara Fatimah kedengaran ceria. Perlahan-lahan, duduk dilabuhkan di sisi Nailah. Jari runcingnya mencuit pipi gebu kuning langsat si bayi.
"Bukan kau balik esok ke?"
"Tak jadi. Tak sabar nak tengok anak buah aku yang comel. Dahlah pipi gebu macam kuih donut." Fatimah tersengih. Tak lekang jarinya mencuit pipi dan pucuk hidung Fatih.
"Suka hati kau je panggil anak aku kuih donut. Dahlah! Jangan kacau. Karang dia nangis kau tanggungjawab eh." Nailah menepis lembut tangan Fatimah. Rimas melihat sahabatnya tak lekang menganggu keamanan Fatih.
Fatimah terkekek. Pandangannya dipusatkan ke figura Uthman yang sudah duduk di sofa. Berbual bersama suaminya. Senang hati Fatimah tatkala Uthman dapat menemani Nailah dalam proses melahirkan kali ini. Sebagai sahabat, sudah tentunya Fatimah bahagia untuk Nailah.
"Pandai kau kan..."
"Pandai apa?"
"Pandai tidur lama-lama lepas tu Uthman balik baru kau bangun. Apa, kau ingat kau tu sleeping beauty yang menanti kehadiran putera rajanya baru bangun? Aku temankan laki aku kerja kat Jepun sampai tak aman tau lepas aku dengar kau ditidurkan. Seminggu pula tu tidurnya!"
Mendengarkan keluhan Fatimah, seleret senyuman terukir di bibir Nailah. Pandangan dialihkan ke laman wajah Uthman buat seketika sebelum kembali bertaut pandangan dengan Fatimah. Tercuit hatinya mendengar lelucon sahabatnya.
"Uthman kan ubat aku. Mestilah aku bangun bila ubat aku dah balik."
"Oh faham. So sekarang... bertambah cepatlah kan kau sembuh bila pak cik nelayan kau tu jaga kau sepanjang berpantang nanti?" usik Fatimah sambil menjungkitkan keningnya. Rindu mahu menyakat sahabatnya hingga libang-libu.
"Mestilah aku akan cepat sembuh, Fatty. Suami aku ada kat sisi aku. Dulu... Uthman koma sampai aku habis pantang. Sekarang... aku nak rasa kasih sayang suami aku sepanjang aku pantang ni. Nak lagi, Uthman kata dia dapat cuti dua minggu."
Nailah kembali memandang laman wajah Uthman. Mereka saling berbalas senyuman. Tergambar kebahagiaan yang tak ternilai di raut wajah masing-masing. Rezeki mereka sungguh kali ini. Masing-masing dapat merasakan kelahiran anak mereka. Menjaga anak mereka di saat Nailah masih dalam keadaan berpantang.
Benarlah, doa itu sangat mustajab bagi hambaNya yang bertabah dalam mengharungi segala bentuk ujian.
MAJLIS pemakaian pangkat di TLDM Lumut diraikan dengan begitu meriah apabila setiap isteri daripada anggota yang dinaikkan pangkat memakaikan lencana pangkat di pakaian seragam suami masing-masing.
Sebagai tanda penghormatan terhadap isteri setiap pegawai yang sentiasa berjuang menanti kepulangan perajurit melaksanakan tanggungjawab.
Melihatkan suasana yang manis dan bersejarah di atas pentas itu membuatkan dinding hati Nailah mula libang-libu. Irama jantungnya mula kencang. Rasa gerumuh semakin mencengkam sanubari. Kedua belah tangannya digenggam erat. Sungguh, Nailah tak menyangka bahawa setelah empat tahun menjadi isteri kepada Uthman Firdaus, dia juga akan mendapat penghargaan. Memakaikan lencana pangkat Komander buat suaminya.
Tatkala tangan kanannya digenggam, Nailah tersentak. Pandangannya dialihkan ke laman wajah Uthman yang mengenakan uniform TLDM berwarna putih. Seleret senyuman terukir di bibir pemuda itu. Memberikan ketenangan kepada Nailah yang gemuruh tika menghadiri majlis itu.
"Jangan takut. Genggam tangan abang. Kita kena raikan kenangan manis dengan kebahagiaan. Ini tanda perjuangan kita. Di saat abang berjuang demi keamanan negara, sayang berjuang menanti kepulangan abang. Berjuang mendidik, menyayangi dan membesarkan anak-anak kita di saat abang tiada di sisi sayang."
Tika pujukan Uthman menyapa koklea, Nailah mengulum senyum manis. Dia mengangguk. Tangan Uthman digenggam erat. Ya. Dia perlu bertenang. Hari ini detik manisnya tatkala Uthman dinaikkan pangkat menjadi Komander Uthman Firdaus. Mereka sudah sama-sama berjuang selama empat tahun.
Tatkala nama Uthman dipanggil oleh pengacara majlis, serentak Uthman dan Nailah bangun dari duduk. Beriringan menaiki pentas menghadap panglima. Sesekali ucapan tahniah menyapa koklea pasangan itu. Ucapan terima kasih tak lekang dari bibir Uthman sementelah senyuman manis terus terukir di bibir Nailah Jannah.
Sebaik saja kaki terpasak setentang dengan panglima, Uthman melepaskan tangan Nailah. Tubuhnya ditegakkan. Tabik hormat diberikan kepada orang atasannya. Kelihatan seorang pegawai wanita yang memegang dulang berisi patch pangkat berdiri di sebelah panglima.
Dengan lafaz bismillahirahmanirahim, Nailah mencapai patch komander di atas dulang. Sungguh, disaksikan dengan para anggota dan isteri benar-benar menambahkan debaran di jantung Nailah. Wajahnya sudah membahang. Ada rasa sebak menjalar di ruang hati tatkala teringat segala pengorbanannya bersama Uthman.
Bukan mudah menjadi isteri kepada Komander Uthman Firdaus. Dia harus berkongsi dengan negara. Ada kalanya Nailah merasakan dia bermadu dengan negara dek tanggungjawab Uthman di samudera. Tapi, seperti yang dipesan oleh Puan Khadijah, jadi isteri tentera harus kuat. Seteguh karang di lautan. Menjadi isteri anggota beruniform sememangnya kelihatan gah namun di sebaliknya ada air mata, ada kerinduan yang perlu ditanggung buat si perajurit.
"Tahniah abang. Nailah bangga jadi isteri Komander Uthman Firdaus," luah Nailah sebaik saja dia memakaikan pangkat di baju seragam Uthman. Senyuman di bibirnya semakin lebar tatkala pandangan tulus Uthman meresap ke relung hatinya.
Tatapan cinta yang membuatkan debunga cinta semakin mekar di dinding hati Nailah.
"Terima kasih sayang. Sudi berjuang dengan abang." Uthman memberikan tabik hormat kepada Nailah. Sebagai tanda penghargaan buat isterinya yang sudah mengharungi perit jerih bersamanya selama empat tahun mereka melayari bahtera pernikahan.
Nailah mengucup lembut kura tangan Uthman. Menghormati si perajurit yang sudi menjadikannya sebagai separuh sayap untuk Uthman terus berjuang demi keamanan negara dan kebahagiaan mereka. Sekonyong-konyongnya, tika kucupan lembut singgah di dahinya, Nailah mula libang-libu. Apatah lagi mendengar usikan para anggota yang sudah bertepuk tangan.
Ya Tuhan, Uthman tak pernah berubah sejak hari pertama dia mengenali pemuda ini. Tingkahnya sering saja buat Nailah jadi pegun.
Usai saja acara pemakaian pangkat, Nailah beriringan dengan Uthman menuju ke sebuah khemah yang menyediakan pameran Pasukan Khas Laut. Mahu menyambut si kecil yang tak lekang bermain bersama anggota yang begitu akrab dengan Uthman sehingga membuatkan Umar selesa.
"Anak kita tu... memang bersungguh nak jadi tentera macam abahnya juga. Tengok tu... bukan main aktif lagi. Berani betul dia dengan Leftenan Syukur."
Nailah menggelengkan kepalanya melihat telatah Nuaiman Umar yang berseragam celoreng dengan beret berwarna ungu. Ralit bergambar bersama beberapa para anggota sambil memegang senjata mainannya. Masing-masing tercuit melihat kecomelan Umar dengan pakaian seragam PASKAL.
"Darah pahlawan ada dalam tubuh anak kita. Dua orang atuk dia askar, pakcik-pak cik dia... ayah dia pula PASKAL. Elok juga tu kalau dia nak jadi askar. Bolehlah dia gantikan abang yang dah nak pencen dua tahun lagi."
Mendengarkan itu, langkah Nailah terbejat. Kaget. Apa benar omongan Uthman sebentar tadi? Atau semuanya hanya khayalan semata?
"Pencen?"
"Haah. Pencen. Abang dah fikir masak-masak. Dua tahun lagi, genap 21 tahun abang berkhidmat sebagai anggota tentera. Abang nak pencen jadi anggota. Abang nak selalu ada di sisi isteri abang. Sama-sama besarkan anak kita. Kita boleh plan apa yang kita nak buat selepas ni untuk keluarga kecil kita."
Sontak, Uthman terkesima tatkala Nailah memeluk erat tubuhnya. Hampir saja Uthman terduduk dek tindakan mengejut isterinya itu. Hailah Nailah. Gembiranya bagai memenangi emas sana. Tak lagi mengendahkan sekeliling sehingga membuatkan beberapa pasang mata mencuri pandang ke arah kemesraan mereka.
"Suka?"
"Mestilah Nailah suka! Lepas ni... kita tak payah berjauhan lagilah kan? Abang tak pergi berlayar dahlah kan? Kita boleh didik dan besarkan anak kita sama-sama. Bolehlah abang tolong business kek Nailah nanti."
Uthman tertawa kecil mendengar nada teruja Nailah. Pandangannya sudah bertaut dengan si isteri. Tercuit hati melihat kegembiraan terpancar di raut wajah manis itu. Pipi Nailah dicubit. Comel benar reaksi Nailah saat ini.
"Ya sayang... abang boleh buat semua yang sayang nak. Cuma Kepten Musa nak abang jadi jurulatih untuk anggota yang berminat menjadi komando PASKAL nanti. Jadi, itu jelah kerja abang selain senangkan isteri abang ni nanti. Abang nak selalu ada untuk Nailah dan anak-anak kita. Jadi, ini pilihan terbaik yang abang dah putuskan," tutur Uthman.
Tika itu, tiada lagi diksi yang meluncur keluar dari mulut Nailah. Hanya rasa senang yang tergambar di sebalik wajah wanita muda berbaju kurung biru dan bertudung merah itu. Akhirnya, keluarga kecil mereka akan bertambah meriah di saat Uthman memutuskan untuk berpencen dua tahun lagi.
Tak sabar rasanya menanti momen itu tiba.
"Abah! Ibu!"
Suara Umar yang sudah berlari anak ke arah Nailah dan Uthman kedengaran. Uthman terus mendukung si cilik sambil membetulkan beret di atas kepala Umar. Tatkala Umar memberikan tabik hormat, tawa kecil Uthman terletus lagi. Dikucupnya lembut pipi Umar bertalu-talu. Geram dengan kecomelan si anak kecil.
"Besar nanti Umar nak jadi askar macam abah dengan pak cik kat khemah tu. Boleh tak ibu? Abah?"
Seketika, Uthman bertaut pandangan dengan Nailah. Masing-masing seakan bekomunikasi melalui pandangan sebelum tawa Nailah terletus. Diusapnya lembut kepala Umar. Bijak sungguh anaknya ini berkata-kata. Walhal umurnya baru mencecah tiga tahun.
"Boleh. Tapi jangan jadi macam abah tau. Tipu ibu. Kononnya nelayan rupanya..."
"Sayang tak pernah lupa kan pasal benda tu."
"Mestilah Nailah tak lupa. Berbulan tau Nailah cuba nak cari tahu tentang pekerjaan abang. Nelayan apanya turun laut berbulan-bulan? Tak logik langsung tahu!"
Uthman tertawa. Tercuit hati tatkala terkenang detik awal perkenalannya bersama Nailah Jannah. Hingga ke saat ini gelaran pak cik nelayan itu melekat apabila Nailah mula mood mengusik.
"Umar nak jadi askar macam abah?"
"Nak! Umar suka pakai baju macam ni. Suka tengok kawan-kawan abah." Umar menguis lencana di dadanya. Hadiah yang diberikan oleh seorang anggota ketika sesi bergambar sebentar tadi.
"Kalau Umar nak jadi tentera... Umar kena jadi lebih hebat daripada abah. Boleh?"
Seketika, Umar mengalihkan pandangannya ke laman wajah Uthman. Perkataan hebat itu seakan memberikan suntikan semangat kepada si anak kecil. Dia mengangguk. Mendengar pesanan Uthman.
"Umar nak jadi askar hebat daripada abah!"
"Bagus, anak abah!"
Uthman menghalakan tapak tangannya ke arah Umar sebelum anak kecil itu menyulamkan jari jemarinya bersama ayahnya. Ya, Nuaiman Umar mahu menjadi askar yang lebih hebat daripada Uthman Firdaus suatu hari nanti!
TAMAT...
3.9.2023
Terima kasih sudi meluangkan masa membaca special episod 2 KERANA AKU BUKAN PILIHAN. Semoga kisah ini bermanfaat kepada kalian waima hanya sedikit.
Maaf kalau ada yang terkurang dalam special episod 2 ini. Buruk itu datangnya daripada saya. Baik itu datangnya daripada Allah. Mohon doakan saya semoga saya dilimpahi idea untuk terus menghasilkan karya-karya berkualiti.
Saya nak hadiah boleh tak? Hadiah tekan ikon bintang (like) je...
Terima kasih
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top