EPISOD 9
"HABIS tu lepas budak-budak tu siram dia dengan air sirap, dia sedar diri tak?"
"Sedar diri masa tu jelah. Nanti esok-esok, dia kacaulah hidup aku lagi. Kau macam tak tahu dia tu spesis makhluk asing! Tak faham bahasa. Tak faham situasi. Eh aku kusut tau dengan kawan kesayangan kau tu!" keluh Nailah sambil mengawal stereng kereta. Menuju ke Taman Tasik Perdana. Mahu beriadah setelah seminggu dia tidak melakukan aktiviti sihat.
Jantungnya ini perlu dijaga dengan sebaiknya. Amanah yang sudah Allah berikan meskipun jantung di tubuhnya milik hamba Allah yang Nailah sendiri tidak kenal.
"Haih apalah nasib kau ni Nailah. Kena hadap si psiko tu dari zaman sekolah. Aku rasalah kan, kau kena pergi jauh dari sinilah Nailah. Aman sikit hidup kau," cadang Fatimah sambil berswafoto.
Mahu dimuat naik ke dalam akaun Instagramnya dengan kapsyen "Selamat petang dunia tipu-tipu".
"Senanglah kau cakap. Kafe aku tu siapa nak uruskan kalau aku pergi jauh?"
"Alah, Kak Rahimah kan ada. Boleh uruskan kafe kau."
"Dahtu keluarga aku pula macam mana? Kau ingat abang-abang aku tu boleh lepaskan aku hidup seorang kat luar? Huh! Mati hidup semula pun dia orang akan halang aku tinggal seorang." Nailah menghela nafas berat. Bukannya dia tak bersyukur dibesarkan dalam keluarga yang prihatin meskipun statusnya hanya anak angkat.
Tapi, Nailah tak mahu terus menerus menyusahkan keluarga angkat yang sudi membesarkannya sehingga dia berjaya. Betapa besarnya jasa mereka kepada seorang Nailah Jannah yang kelahirannya tak sah taraf ini.
Fatimah tersenyum simpul. Raut wajah Nailah tanpa solekan itu ditatap redup. Simpati dengan nasib sahabatnya yang sering saja dipantau 24 jam. Manakan tidak, Nailah itu pernah menghidap penyakit jantung. Sudah berkali-kali nyawa hampir di hujung tanduk sehinggalah menerima organ jantung yang baru.
"Itu maksudnya... dah tiba masanya kau kena cari jodoh. Hah nanti bila kau kahwin, bolehlah kau ikut encik suami pergi jauh dari si skema tu."
Mendengarkan itu, Nailah tertawa sinis. Pelipis digaru. Wajah Fatimah yang bertudung bawal pastel itu dipandang sekilas. Janggal benar mendengar perkataan "kahwin".
"Sampai ke situ pula kau fikir. Kahwin tu tak lepaskan diri daripada masalah, okey. Tambah komitmen lagi adalah. Lagi pun... ada ke orang nak kahwin dengan anak tak sah taraf macam aku? Dahlah berpenyakit."
"Ish kau ni! Aku tak sukalah kau sebut perkataan anak tak sah taraf tu. Kalau mama kau dengar, kecil hati dia tau. Dia memang tak pandang kau macam anak angkat. Mak Cik Dijah tu sayang sangat dekat kau. Satu-satunya anak perempuan dia. Kau kena sedar hakikat tu Nailah," tegas Fatimah. Luluh hatinya mendengar omongan Nailah. Suka sangat rendah diri hanya kerana statusnya.
"Tapi memang betul kan? Masa kita sekolah dulu orang tak nak kawan aku sebab aku sakit. Aku anak yang dikutip dari tong sampah. Ada ke orang yang boleh terima..."
"Bla bla bla tak nak dengar kau cakap macam tu! Bagi aku, kau tu lebih cantik, lebih sempurna daripada aku. Buktinya, budak-budak tu pun sayangkan kau. Sebab kau ada aura yang buat orang mudah sayangkan kau." Fatimah membidas. Menegah Nailah dari terus merendahkan diri sendiri.
Fatimah tahu situasi Nailah. Dia sendiri saksi melihat Nailah dicemuh. Gadis itu trauma dengan penerimaan orang lain. Hanya dia yang sudi berteman dengan Nailah. Kerana Fatimah sendiri senang menjadi sahabat Nailah yang kelihatan lebih ikhlas berteman dengannya.
Nailah menghela nafas berat. Tiada lagi diksi yang dituturkan. Entah mengapa saat Fatimah membuka isu "kahwin", Nailah jadi rendah diri. Insecure. Teringat tatkala dia dipulaukan hanya kerana statusnya sebagai anak luar nikah tersebar. Mana mungkin Nailah lupa kejadian itu.
"Opocot mak kau!"
Tak semena-mena Nailah tersentak tatkala Fatimah tiba-tiba melatah. Serentak dengan itu, bunyi tayar meletup kedengaran. Membuatkan intuisi Nailah negatif. Apa lagi masalah baru keretanya kali ini?
"Kau tunggu sini kejap, aku nak tengok apa masalah kereta ni." Usai saja memarkir di bahu jalan, Nailah melangkah keluar dari kereta. Matanya melilau memandang keadaan MYVI berwarna merah itu sebelum matanya tertancap ke arah tayar kiri bahagian hadapan kenderaan.
"Kenapa Nailah?"
"Tayar pancit." Keluhan berat terlepas daripada bibir. Nailah terus mencapai telefon pintarnya di dalam kereta. Siapa lagi mahu dihubungi kalau bukan abang ngahnya.
"Kau reti tukar tayar tak? Aku ada tayar spare kat belakang. Tapi tulah... aku tak reti," tutur Nailah. Keluhan berat dilepaskan lagi tatkala panggilan tak dijawab.
"Aku pun tak reti. Eh call abang kaulah. Macam tak biasa susahkan dia kalau kereta kau problem." Fatimah mencadang. Sesekali, matanya melilau memandang jalan raya yang kelihatan lenggang pada petang itu. Mahu mencari pertolongan.
"Abang aku sibuk kut. Ada training. Dah berbelas kali aku call..."
Belum sempat Nailah mematikan bicara, deruman enjin motosikal menyapa koklea si gadis berbaju t-shirt muslimah itu. Sontak, dinding hatinya berdenyut. Ritma jantungnya kembali kencang. Kenapa lagi dengan jantungnya ini?
Seakan ada tarikan magnet dengan si figura.
"Kenapa ni?"
Saat suara itu kedengaran, Nailah kalih. Memandang si figura bersuara garau. Sorotan mata sudah saling bertaut. Masing-masing kaget. Bayu petang yang menyapa wajah terasa dingin.
"Uthman?"
"Nampaknya kau dalam masalah, Nailah."
Mendengarkan itu, Nailah hanya mampu tersengih kelat. Ya, masalah. Masalah bila jantungnya ini mula beritma kencang dengan kehadiran Uthman Firdaus.
"TAK nak explain apa-apa dekat sahabat semati kau ni ke Cik Nailah Jannah?"
Nailah mengerenyutkan dahinya sebaik saja Fatimah melontarkan soalan spontan. Tak mengerti.
"Apa?"
Fatimah mencebik. Figura si pemuda berkemeja hitam yang sedang menukar tayar kereta Nailah dipandang. Seakan ada superhero sedang membantu mereka yang kesusahan tika ini. Tiba pada masa yang tepat. Tapi yang anehnya, bagaimana Nailah dan Uthman bisa mengenali antara satu sama lain?
"Mamat tu. Siapa?"
"Ayah Qaisah dengan Qailah. Kenapa?"
Fatimah mengulum senyum. Ditariknya lengan Nailah yang berdiri dua jarak dari Uthman. Menghampirinya. Dia tahu Uthman duda. Nailah pernah bercerita.
"Kau bujang. Dia duda. Anak-anak dia rapat dengan kau. Bukankah itu peluang bertemu jodoh? Tak nak try ke? Handsome kut walaupun duda anak dua. Sejuk je hati aku ni pandang muka kacak dia tu. Macam apa orang cakap... aura?"
Mendengarkan itu, Nailah mencerlung ke arah Fatimah. Pantang benar sahabatnya ini melihat pemuda bertubuh kekar dengan wajah yang sejuk mata memandang. Mulalah mahu cuci mata.
"Kau tak payah nak merepek yang bukan-bukan. Lagi satu, tak payah nak cuci mata sangat. Jaga mata kau tu!"
Fatimah terkekek. Mulutnya ditekup. Sengaja mengusik Nailah yang sudah berwajah tegang.
"Handsome wei. Muka dia macam cina-cina tapi versi sawo matang. Apa lagi, cucilah mata puas-puas."
"Gatallah kau ni! Dah lupa diri ke yang kau tu dah jadi tunangan orang?" gerutu Nailah seraya menolak lembut tubuh Fatimah. Rimas bila Fatimah sudah menggeletis.
"Ala hari ni je cuci mata. Nak tengok bakal suami kawan baik..."
"Nailah. Dah siap."
Fatimah kematian diksi sebaik saja Uthman menyelesaikan pekerjaannya. Laju saja dia melangkah ke arah pemuda itu. Mahu berkenalan.
"Hai awak! Saya Fatty. Kawan baik bakal ibu anak..."
"Terima kasih sudi tolong saya. Maaf kalau saya susahkan awak hari ni," pintas Nailah seraya mencubit kuat pinggang Fatimah. Melepaskan geramnya. Sungguh, segannya Nailah tika Fatimah tak henti-henti melancarkan usikan tanpa henti itu.
"Hal kecil je. Kebetulan aku lalu kat kawasan ni tadi. Oh ya, terima kasih sudi jaga anak-anak aku selama sebulan ni. Aku minta maaf juga kalau anak-anak aku susahkan kau."
Seketika, sorotan mata Uthman saling bertaut dengan Nailah. Namun, hanya seketika tatkala Nailah mengalihkan pandangan. Terasa janggal setelah sebulan mereka tak bersua muka.
"Anak-anak awak tak susahkan saya pun. Senang je jaga dia orang. Mendengar kata."
"Syukurlah kalau macam tu. Senang aku dengar jawapan kau. Kau pula macam mana? Sihat?"
Soalan Uthman membuatkan Nailah tersentak buat seketika. Duhai hati, kenapa soalan berbaur prihatin itu buat Nailah jadi libang-libu? Walhal, itu hanya soalan khabar bila sudah lama tak bertemu.
"Sihat."
"Alhamdulillah. Jaga diri baik-baik, Nailah. Jaga kesihatan. Kalau kau sakit... macam mana nak jaga anak-anak aku, kan?"
Nailah hanya mengangguk. Kedua belah tangannya digenggam erat. Cuba mengawal emosi yang bergejolak. Kenapa ya dia merasakan Uthman sedang menjaganya? Atau semuanya hanya perasaan semata? Entah, Nailah tak mengerti.
"Aku minta diri dulu. Assalamualaikum." Uthman berpamitan. Nafas panjang dihela. Ada emosi yang tiba-tiba mencengkam sukma setiap kali memandang figura Nailah. Ada sesuatu yang membuatkan pemuda itu mahu sentiasa berhadapan dengan gadis itu.
"Nailah..."
"Ya?"
Suasana hening. Dua figura saling berpandangan lagi. Ada emosi yang berselirat di sorotan mata redup mereka. Emosi yang berperang sesama sendiri.
"Esok... kau free? Kalau kau free... aku nak ajak kau ke majlis sambutan hari keluarga kat tadika Qaisah dengan Qailah. Permintaan budak-budak. Dia orang nak kau datang esok."
"Of course Nailah free. Awak jangan risau. Dia akan datang. Bolehlah kau orang sambut hari keluarga sama-sama esok."
Mendengarkan jawapan Fatimah, Nailah terus menatap tajam wajah sahabatnya. Hanya senyuman lebar terukir di bibir Fatimah. Ya Allah, Nailah rasa dia mahu tolak Fatimah dalam gaung. Tidakkah Fatimah tahu bahawa seorang Nailah tak mahu mendekatkan dirinya dengan Uthman?
Apatah lagi dia sudah dapat peringatan daripada Syida.
"Jadi kau boleh datang esok?"
"Maaf... saya tak boleh janji." Hanya itu yang keluar daripada mulut Nailah.
"Faham. Tapi, aku berbesar hati kalau kau boleh datang, Nailah. Mesti budak-budak senang hati kalau kakak dia orang datang." Uthman separa memujuk. Tapi kalau Nailah tak mahu datang, Uthman mengerti. Dia hormat keputusan Nailah.
Melihat wajah Uthman yang penuh pengharapan, Nailah jadi serba salah. Ya Tuhan, kenapa dengan dia? Kenapa setiap kali tentang Uthman mahupun si kembar hatinya mudah tersentuh? Sungguh, Nailah buntu dengan diri sendiri.
Bersambung...
22.5.2023
Terima kasih sudi meluangkan masa dengan kisah Nailah×Uthman. Harap korang suka dan terus setia menanti episod akan datang sehingga ke penamatnya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top