EPISOD 8
SOROTAN mata helangnya tunak memandang 18 orang awak kapal terdiri daripada warga Indonesia yang ditahan setelah menceroboh perairan tanah air. Dua buah bot nelayan asing turut ditahan. Hari ini saja, sudah tiga buah bot nelayan tanpa pengenalan diri berjaya diberkas oleh pasukan TLDM yang diketuai oleh Uthman pada tika itu.
"Mana passport kau?"
Seorang awak-awak yang berumur dalam lingkungan belasan tahun hanya menggeleng tatkala suara tegang Uthman menyapa koklea. Ada rasa gentar bertamu di dinding hatinya yang baru saja menjadi sebahagian daripada nelayan asing.
Melihat gelengan si nelayan asing, Uthman menghela nafas berat. Nampaknya, penceroboh perairan tanah air ini tidak pernah kenal erti gentar. Sudah berkali-kali nelayan asing tanpa dokumen pengenalan diri ditahan. Namun mereka tetap berdegil.
"Semua nelayan tiada dokumen pengenalan diri, tuan. Bot pun tiada nombor pendaftaran," lapor Faruq.
Uthman yang sedang menggeledah sebuah bekas kabus berwarna putih memandang raut wajah Faruq. Dinding hatinya mula dirusuh amarah melihat hasil tangkapan ikan para awak-awak di perairan negara.
"Kita tak boleh nak berlembut kali ni. Ni dah kira curi hasil laut negara kita. Tangkap ikan tanpa keizinan di perairan Malaysia. Sekarang, kita tunggu pihak maritim bertindak. Biar mereka pula yang bertegas." Nada suara Uthman yang bertembung dengan pawana malam penuh dengan autoriti. Melepaskan rasa geramnya dengan penceroboh tanah air.
"Dia orang ambil peluang malam-malam ni tuan. Yakin sangat kita tak buat rondaan untuk halang kegiatan bejat mereka."
Uthman mengangguk. Mengeyakan. Tak dapat dinafikan bahawa nelayan asing yang menceroboh ke perairan Malaysia ini memang otak geliga. Menjadikan malam sebagai waktu mereka bertindak. Tapi satu yang mereka alpa.
Pihak TLDM tidak pernah lena dalam membanteras pencerobohan di perairan tanah air. Melalukan rondaan dan operasi secara berterusan demi melindungi kemanan negara.
SERONOKNYA kalau hari-hari dapat jumpa kakak. Kakak baiklah. Tak garang macam Mak Cik Syida. Kalau Mak Cik Syida jaga kita orang... dia suka marah-marah. Macam nenek kebayan dalam buku cerita."
Mendengarkan celoteh Qaisah yang sedang menjamah Spaghetti Carbonara, Nailah tertawa kecil. Tercuit hati dengan celoteh si gadis kecil yang duduk setentang dengannya di Kafe kecil milik Nailah itu.
Hari ini, Nailah berkelapangan. Sempatlah dia menawarkan diri mengambil si kembar dari sekolah. Pakej menyediakan makan tengah hari buat kanak-kanak itu.
"Tak baiklah cakap Mak Cik Syida macam tu. Dia sayangkan Qailah dengan Qaisah... sebab tu dia suka marah. Supaya kau orang dengar cakap."
"Dia tak sayang kita oranglah akak. Kalau dia datang rumah nenek, dia suka marah kita orang. Kita orang diam-diam pun kena marah. Suruh kita orang duduk dalam bilik je supaya tak susahkan nenek," luah Qailah pula.
"Dahlah suka marah abah sebab tak nak cari ibu baru untuk kita orang. Kesian abah," tambah Qaisah pula. Meluahkan rasa tidak puas hatinya tatkala teringat Syida yang sering memarahi Uthman. Hanya kerana isu tentang pengganti Hikmah.
Tatkala itu, terbit rasa simpati di dinding hati Nailah. Gadis-gadis comel ini sering menjadi tempat amarah Syida. Jadi, benarlah intuisinya. Syida itu memang berperwatakan kasar. Mulutnya lancang. Tak memikirkan perasaan orang lain.
"Tak apa. Sekarang Kak Nailah kan ada. Nanti setiap kali balik dari sekolah, minta nenek hantar Qaisah dengan Qailah ke kafe akak. Kita makan sama-sama. Kau orang pesan je apa yang kau orang nak makan. Tapi... tak boleh makan manisan sangat. Nanti buruk gigi dah tak comel."
"Betul ke boleh datang sini hari-hari?"
"Haah betul ke akak?"
Senyuman kecil terukir di bibir Nailah melihat keterujaan si kembar. Diusapnya lembut kepala gadis kecil itu silih berganti. Entah mengapa, hari demi hari dia semakin sayang dengan anak-anaknya Uthman ini. Seakan ada tarikan yang buat Nailah jadi luluh.
Barangkali, kerana anak-anak kecil itu tak pernah merasai kasih sayang seorang ibu.
"Betul. Nanti bagi tahu nenek. Lepas balik dari sekolah, hantar kau orang ke kafe. Kakak akan masak yang sedap-sedap. Istimewa untuk budak-budak comel ni."
Qaisah dan Qailah terus terkekek tika hidung mereka dicuit lembut. Rasa disayangi.
"Wah! Seronoknya. Terima kasih kakak sebab baik dengan kita orang. Abah selalu pesan, kalau orang baik dengan kita... kita kena balas kebaikan orang. Kita boleh buat apa-apa je untuk balas balik. Kan Qailah?"
"Betul tu kakak. Selalunya lepas kita orang mengaji, kita orang selalu doakan kakak. Kita orang nak kakak masuk syurga. Nanti boleh jumpa arwah umi. Abah kata, umi baik dengan semua orang. Ramai orang sayang arwah umi."
Tak semena-mena, omongan Qaisah dan Qailah menjentik rasa kagum di lubuk hati Nailah. Kagum dengan cara Uthman mendidik gadis kecilnya yang baru berusia lima tahun. Apa ya lagi didikan Uthman sehingga si kembar begitu bijak? Nailah tertanya.
Tapi Nailah pasti, bukan mudah Uthman mendidik anaknya di saat pemuda itu lebih banyak menghabiskan waktu di samudera.
"Hai Nailah!"
Lamunan Nailah tentang Uthman terhapus serta-merta saat seorang figura sudah menyergahnya dari belakang. Gadis itu kalih. Memandang si figura. Sontak, ketenangan Nailah sirna. Wajahnya berubah bengis.
"Awak nak apa?"
"Nak makan tengah hari dengan awaklah. Boleh saya duduk sini?" soal Ikram seraya menarik kerusi duduk bersebelahan dengan Nailah. Bingkai kaca matanya dibetulkan. Sejambak bunga mawar merah digenggam erat.
Nailah hanya diam. Kalau dia larang sekali pun, Ikram tak endahkan. Sungguhlah, Nailah muak dengan pemuda berkemeja kotak-kotak itu. Sejenis tidak faham bahasa!
"Pak cik ni siapa?"
Ikram kalih memandang Qaisah dan Qailah silih berganti. Dahinya berkerenyut. Siapa gerangan dua gadis kecil ini? Menganggu rancangannya saja mahu memikat hati Nailah.
"Siapa ni Nailah?"
Nailah bangun dari duduk. Tak betah berhadapan dengan Ikram. Lebih baik dia menyambung pekerjaannya di dapur sambil menunggu kedatangan Puan Lateefa mengambil si kembar berbanding melayan Ikram.
"Qaisah dengan Qailah duduk sini dulu. Jangan pergi mana-mana. Kakak nak buat kerja sikit."
Melihat Nailah mengelak, Ikram tangkas bertindak. Berdiri setentang dengan Nailah sekali gus menahan langkah si gadis berselendang maroon itu. Senyumannya melebar sehingga menampakkan gusi.
"Bunga untuk awak." Ikram menghulurkan sejambak bunga mawar kepada Nailah. Meskipun dia tahu, hanya tong sampah pengakhiran bunga mawar itu.
"Saya rasa awak ni memang ada masalah. Betul tak?"
"Masalah?"
"Ya. Masalah! Masalah tak faham bahasa. Masalah tak sedar diri. Masalah psiko! Saya dah cakap banyak kali dengan awak, saya tak berminat nak sambut cinta awak tu. Macam mana lagi caranya saya nak fahamkan awak yang saya tak ada apa-apa perasaan dekat awak pun! Cukuplah, Ikram. Saya muak tahu tak!" Nailah bertegas. Keluhan berat terlepas daripada bibirnya. Ya Tuhan, Nailah rasa dia boleh terkena serangan jantung dengan tingkah Ikram ini.
Mencabar kesabaran!
"Tapi saya serius dengan awak! Saya cintakan awak sejak zaman sekolah kita lagi. Kenapa susah sangat awak nak buka hati untuk saya? Sebab saya ni cuma pemandu grab je? Atau sebab saya ni tak ada rupa? Macam tu?"
Mendengarkan itu, Nailah mengeluh berat. Kasihan pula melihat Ikram yang bersungguh mahu meraih cintanya. Tapi, Nailah juga tak mampu membuka hatinya untuk mana-mana lelaki.
"Saya minta maaf. Saya memang tak boleh terima awak. Asal awak tahu... saya tolak awak bukan sebab pekerjaan atau paras wajah. Semua tu tak ada kena mengena. Tolonglah Ikram. Terima hakikat yang saya tak cintakan awak!" Tanpa berlengah, Nailah terus melangkah masuk ke dalam dapur.
Malangnya, lengannya sudah direntap kasar dari belakang. Membejatkan langkahnya sekali lagi. Nailah tersentak. Sorotan matanya melilau ke sekeliling. Memandang lima orang pelanggan yang mula tidak senang dengan pertelingkahannya dan Ikram.
"Ikram, please..."
"Jangan kacau kakak kita oranglah!"
Tak semena-mena, suara si kembar yang sudah naik seoktaf kedengaran. Menghampiri Nailah dan Ikram sambil bercekak pinggang. Panas benar hati kecil mereka melihat Ikram yang seakan menganggu kakak kesayangan mereka itu.
"Pergilah jauh-jauh!" halau Qailah. Dia mendongak. Memandang laman wajah Ikram dengan tatapan tajam.
"Budak kecil tak payah masuk campur. Ni urusan orang dewasa!"
"Siapa cakap kita orang budak kecil?"
Tak semena-mena, Qaisah naik ke atas kerusi kosong. Matanya dijegilkan. Mahu menakut-nakutkan Ikram.
Melihat tingkah si kembar, Nailah tersenyum kecil. Hatinya tercuit lucu. Hilang terus amarah dengan desakan Ikram yang memaksanya untuk menerima cinta pemuda itu.
Hailah, si kembar kesayangan Uthman Firdaus ini benar-benar bisa menghiburkan hari Nailah. Seakan semua masalah yang membelenggu jiwanya sirna dengan kepetahan dan kebijakan Qaisah dan Qailah.
Bersambung...
22.5.2023
Terima kasih sudi meluangkan masa dengan KABP. Semoga urusan kalian dipermudahkan
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top