EPISOD 4

"KECIL je dunia ni. Tak sangka Nailah ni anak Kak Dijah dengan Tuan Muhammad."

Puan Lateefa melabuhkan duduknya di atas sofa. Setentang dengan Puan Khadijah. Melepaskan lelah setelah melayan para tetamu yang sudi menghadiri majlis ulang tahun si kembar dan doa selamat atas kepulangan Uthman.

"Kita orang pun tak sangka juga customer Nailah hari ni sahabat abang Muhammad sendiri. Masa nak hantar Nailah tadi baru kita orang tahu. Terima kasihlah sudi tempah dessert dengan Nailah. Syukur. Rezeki dia hari ni."

Puan Khadijah mencicip teh panas yang dihidangkan. Sebagai ibu, sudah tentunya dia turut senang melihat perniagaan Nailah semakin maju. Dia sendiri saksi betapa gigihnya Nailah menamatkan pengajian dalam bidang kulinari. Meskipun ketika itu, Nailah masih dalam fasa penyembuhan setelah menerima jantung baharu. Hingga akhirnya, Nailah berjaya mencapai impiannya membuka sebuah kafe kecil.

"Nailah ada bagi saya kad business dia masa kita orang terserempak. Tu yang terus tempah untuk hari jadi si kembar. Bagus Nailah. Pandai cari peluang muda-muda macam ni."

Mendengar pujian Puan Lateefa, Nailah yang sedang menjamu puding koktail hanya mengulum senyum. Sudah tentunya dia senang hati tatkala usahanya dihargai. Bukan mudah dia membuka perniagaan kecil yang baru setahun jagung itu. Mujur saja keluarganya sudi menyokong. Memberikan modal.

"Dah habis study?"

Seketika, sorotan mata Nailah bertaut dengan si penanya. Nafas ditarik sedalamnya. Cuba mengusir gejolak yang bertamu di hati kecilnya. Kenapa ya setiap kali melihat wajah pemuda berkulit sawo matang itu jantung Nailah sering saja beritma kencang? Seakan memanggil nama si figura yang dikenali sebagai Uthman Firdaus itu.

"Baru habis study tahun lepas. Sekarang tengah tunggu konvokesyen pula," jawab Nailah.

Uthman mengangguk. Sedikit kagum dengan Nailah yang kelihatan matang dari usia. "Muda lagi rupanya. Tapi jiwa dah macam jiwa ibu-ibu. Sampai anak-anak aku yang susah nak selesakan diri dengan orang tak boleh berenggang dengan kau."

Mendengarkan itu, Nailah tersentak. Jiwa ibu-ibu? Hailah, bunyinya seakan menyindir pula. Terasa diri sudah tua walhal usianya baru mencecah 24 tahun.

"Kakak! Tolong bukakan. Tangan Qailah licinlah." Suara Qailah yang sudah meluru ke ruang tamu kedengaran. Plastik jajan diberikan kepada Nailah.

"Comotnya dia ni. Sampai berpeluh-peluh. Duduk sini dulu. Kakak betulkan rambut Qailah." Nailah menepuk ruangan kosong di sebelahnya. Bibirnya mengulum senyum tatkala Qailah menurut. Plastik jajan terus dibuka seraya dihulurkan semula kepada Qailah.

Tika itu, Uthman pegun buat seketika. Melihat kelembutan Nailah mengelap peluh yang merenik di pipi Qailah, mendengar saja celoteh Qailah tentang sambutan hari jadinya benar-benar membuatkan Uthman tersentuh. Entah mengapa, melihat semua itu dinding hati Uthman dijentik rasa sayu.

Dia rindukan arwah Hidayatul Hikmah. Andai saja Hikmah selamat berjuang melahirkan anak-anak mereka, pasti momen inilah yang akan menambahkan kebahagiaan keluarga mereka.

"Nailah... tunggu sini. Mama nak ke toilet."

Suara Puan Khadijah mematikan lamunan Uthman. Dia tertunduk buat seketika. Menepis rasa walang yang bertamu di dinding hatinya. Tidak. Dia tidak bisa membiarkan rasa sayu ini mencengkam jiwanya.

"Kau orang borak-boraklah dulu. Mak nak layan tetamu kejap." Giliran Puan Lateefa pula berpamit. Dibuntuti oleh Qailah yang masih belum puas bermain bersama rakan-rakannya.

Seketika, suasana mula hening. Hanya kedengaran suara tetamu yang masih berbual sesama mereka. Uthman kembali berpandangan dengan Nailah. Gadis itu kelihatan kekok. Mengenggam tali tas tangan sebelum mengalihkan pandangan.

"Terima kasih tolong mak aku tempoh hari. Mak aku ada cerita pasal kau semalam." Uthman kembali bersuara. Memecahkan rasa janggal di antara mereka.

"Saya buat apa yang sepatutnya. Kesian tengok mak cik letih. Lagi pun kebetulan saya lalu kat situ. Tapi saya suka tengok anak-anak awak. Bijak. Petah berkata-kata," tutur Nailah. Ada pujian terselit di sebalik bicaranya.

"Kau suka anak-anak aku?" soal Uthman tak semena-mena.

Nailah mengangguk. Dia sudah jatuh sayang dengan si kembar. Mendengar kata. Bijak. Sopan. "Saya kagum dengan didikan awak terhadap Qailah dan Qaisah. Baru lima tahun, dia orang dah pandai doakan orang lain. Didikan awak dengan isteri awak memang bagus."

Tatkala pujian Nailah menyapa koklea, Uthman jadi nanar. Ini kali pertama dia menerima pujian daripada orang yang baru dikenali. Cara didikannya terhadap si kembar. Sungguh, bukan mudah Uthman kembali bangkit setelah pemergian Hikmah. Dia merasakan rohnya sudah pergi. Hanya jasad masih utuh demi membesarkan buah hatinya.

Melihat tatapan tajam Uthman dengan wajah yang tegang, Nailah semakin janggal. Seakan ada emosi yang terbias di sorotan mata helang itu. Lantas, Nailah bangun dari duduk. Mahu mendapatkan ibunya yang sudah kelihatan bertegur sapa dengan tetamu di luar rumah.

"Saya minta diri dulu. Terima kasih sudi jemput." Nailah menundukkan sedikit kepalanya. Berpamitan.

"Hati-hati, Nailah. Jaga diri baik-baik. Kalau ada kelapangan, nanti aku bawa anak-anak ke kedai kau. Boleh kan?" Uthman turut bangun dari duduk. Tangan kanannya diseluk ke dalam saku seluar.

Mendengarkan itu, Nailah terkelu. Uthman mahu ke kedainya? Ya Tuhan, jauh di sudut hati Nailah, dia tak mahu bertemu pemuda ini lagi. Cukup ini pertama dan terakhir. Jantungnya ini, seakan memberikan suatu petanda yang Nailah sendiri tak mengerti.

Aneh sekali rasa ini. Ada apa dengan Uthman sehingga jantung Nailah sering saja berdegup kencang tatkala pemuda itu berada di sisinya?

Uthman Firdaus started following you

Waktu seakan berhenti berputar buat seketika. Terasa kelat liur di rangkungan tatkala melihat nama yang terpampang di skrin telefon pintar berjenama iPhone itu. Uthman Firdaus. Adakah ini kebetulan?

"Tak mungkinlah mamat tu yang follow aku. Kita orang baru jumpa minggu lepas kut," desis hati Nailah seraya melabuhkan duduknya di kerusi yang terletak di penjuru dinding kafe. Merehatkan diri tatkala kafe kelihatan lenggang pada petang itu.

"Kenapa Nailah? Nampak pucat aje ni. Tak sihat ke?"

Nailah mendongak. Memandang wajah Marsha yang baru saja menghantar pesanan buat pelanggan.

"Penat sikit je."

"Kalau macam tu, Nailah baliklah. Tak apa. Kita orang boleh uruskan kafe. Lagi pun hari bekerja ni tak ramai sangat customer," kata Marsha. Risau dengan keadaan Nailah. Bukannya dia tak tahu majikannya itu pernah menghidap penyakit jantung. Abang-abang Nailah sudah memberikan arahan kepada mereka yang bekerja bersama Nailah untuk memastikan keadaan gadis itu baik-baik saja. Jangan dibiarkan bekerja terlalu keras.

"Jangan risau. Saya okey. Baik awak rehat. Dah pukul 1 ni. Tukar shift dengan Ezra." Giliran Nailah pula mengarahkan pekerjanya berehat. Sebagai majikan, sudah tentunya dia perlu ambil berat tentang kebajikan pekerjanya. Tanpa mereka, mana mungkin kafe kecilnya ini beroperasi dengan baik.

Sebaik saja Marsha berganjak pergi, laju saja jari jemari Nailah menggeser skrin sebelum ikon Instagram disentuh. Siapa gerangan Uthman Firdaus yang baru saja menjadi rakannya ini? Dengan gambar profil berwarna hitam. Nailah jadi sangsi.

Namun, sebaik saja Nailah menyentuh akaun si figura, matanya membuntang. Kaget. Satu foto yang terpampang dengan figura dua orang kanak-kanak perempuan yang sedang mengambil gambar berlatarkan Pantai Teluk Cempedak.

"Dia stalk aku ke apa ni? Macam mana dia tahu Instagram aku?" Benak fikiran Nailah mula diterpa persoalan. Baru sekali dia bertemu dengan Uthman. Bagaimana pemuda itu tahu akaun Instagramnya?

Tak semena-mena, denyutan jantung Nailah jadi kencang. Laju saja dia menggeser ke atas. Melihat foto-foto yang dimuat naik di dalam akaun Instagram Uthman. Kebanyakannya hanya foto pemandangan yang diambil dari pelbagai negara. Warnanya kelihatan suram. Langit senja. Lautan yang hanya diterangi dengan rembulan.

Ada apa dengan Uthman? Seakan terselit kedukaan dan kesepian di sebalik foto-foto yang dimuat naik.

Tatkala foto seorang wanita berwajah kacukan Arab menyapa pandangan, Nailah tersentak. Cantik. Senyumannya manis. Menampakkan lesung pipit. Wajahnya tampak tenang. Nailah sendiri jadi pegun.

Kapsyen dibaca. Tarikhnya 20.10.2018. Lima tahun yang lalu.

Bidadari Syurgaku... tunggu abang di syurga...

Ya Tuhan, kenapa jiwa Nailah jadi luluh? Apakah Uthman sudah kehilangan isterinya? Qaisah dan Qailah kehilangan seorang ibu? Aneh. Entah mengapa dia dapat merasakan kesedihan yang dilalui oleh Uthman.

"Kakak!"

Tak semena-mena, Nailah tersentuh ikon berbentuk hati. Kaget tika suara seseorang menyergahnya dari belakang kedengaran. Seakan tersedar daripada lautan perasaan yang menghentam jiwa.

"Assalamualaikum."

"Waalaikum... salam."

Sekali lagi, Nailah merasakan ritma jantungnya berdetak kencang. Melihat tatapan tajam Uthman Firdaus. Tanpa senyuman. Wajahnya bengis. Lantas, Nailah terus melekapkan tangannya ke dada. Seakan ada magis untuk mengawal ritma jantungnya.

"Stalk Instagram aku ke?" Uthman menjungkitkan kening kirinya. Kaget bila Nailah menyukai foto arwah Hikmah. Segigih itu gadis ini melihat gambar yang dimuat naik ke dalam akaun Instagram.

Tak semena-mena, wajah Nailah membahang. Dia memandang telefon yang masih dipegang. Oh Tuhan, melihat ikon hati yang sudah berwarna merah benar-benar membuatkan Nailah mahu menanam saja jasadnya ke dalam tanah.

Malu!

Bersambung...

20.5.2023

Terima kasih sudi meluangkan masa membaca kisah Nailah×Uthman. Semoga murah rezeki dan sihat selalu

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top