EPISOD 2
LIMA TAHUN KEMUDIAN...
"KAU ni tak relaks langsunglah. Hari minggu patutnya kau have fun teman aku shopping, tengok wayang, cuci mata cari jodoh untuk kau. Ni tak. Asyik sibuk kat kedai kek kau tu je memanjang. Empat orang pekerja kau tu pun bukannya tak reti buat kerja. Cubalah sekali sekala tengok suasana luar selain pandang dunia kek kau tu. Bawa berehat, sis!"
Nailah mencebik. Ekor matanya mencerlung ke arah Fatimah yang sedang menjijit beg kertas berjenama Uniqlo dan Padini. Terlalu boros dalam berbelanja memandangkan baru saja menerima gaji sebagai pereka dalaman rumah.
"Tiga jam aku temankan kau. Tak cukup lagi ke?"
"Of course tak cukup! Aku tak singgah Victoria Secret lagi nak beli perfume baru. Kau tahu tak hari ni ada sales. Tu Sephora pun aku tak jejak lagi. Jomlah, Nailah. Teman aku singgah sana kejap." Suara Fatimah sudah meleret. Memujuk sahabatnya yang sudah beriringan keluar dari pusat membeli-belah.
"Aku belanja kau perfume baru. Nak..."
"Habis tu kalau duit gaji kau habis... nak minta kat papa kau lagi ke? Setahu aku... ada orang tu cakap dengan aku... dia akan sahut cabaran papa dia. Tak akan minta sesen pun kalau dah dapat kerja." Nailah mula menyindir. Bibirnya mengulum senyum sinis. Hailah. Punya sahabat boros seperti Fatimah kadangkala memeningkan kepala gadis berselendang kuning cair itu.
Mana mungkin dia membiarkan Fatimah menjadi seorang yang boros apatah lagi barang-barang yang dibeli ada yang tidak digunakan. Nailah tak mahu perkara itu menjadi hisab buat Fatimah di akhirat kelak.
Mendengarkan sindiran Nailah, Fatimah tersengih kelat. Pedas! Baru dia ingat janji yang sudah ditabur buat diri sendiri. Dek rasa tercabar dengan omelan ayahnya hanya kerana dia sering boros, Fatimah tekad untuk hidup berdikari. Namun, baru saja menerima gaji yang lumayan, Fatimah jadi alpa.
"Jangan boros sangat. Barang-Barang yang kau beli tu pun bukannya kau pakai sangat. Alih-alih, kau jadikan display je kat almari kau. Tak baik macam tu. Bukan setakat membazir. Tapi, kat akhirat sana semua barangan tu akan dihisab," tutur Nailah. Lembut saja tutur bicaranya menasihati Fatimah yang sering termakan dengan nafsu sendiri.
"Hah dia dah mula dah jadi ustazah jadian," usik Fatimah sambil menyiku lembut pinggang Nailah.
"Aku sayangkan kau. Kau je yang sudi jadi sahabat aku sejak kita kat zaman sekolah lagi. Mestilah aku nak masuk syurga sama-sama dengan kau nanti."
Omongan Nailah membuatkan Fatimah tersentak buat seketika. Raut wajah sahabatnya yang hanya dihiasi dengan solekan tipis dipandang sekilas. Ini yang dia suka tentang Nailah Jannah. Gadis itu kelihatan ikhlas berteman dengannya. Tak seperti rakan-rakannya yang lain. Berteman dengannya hanya kerana dia seorang anak usahawan yang kaya raya.
"Comelnya!"
"Siapa?"
"Tu, pasangan kembar yang tengah makan aiskrim kat depan tu. Comel kan. Baju sedondon. Rambut bertocang dua. Mata bulat. Geramnya. Rasa nak cubit-cubit aje pipi tembam dia orang tu."
Fatimah turut memandang dua orang gadis kecil yang sedang berlari setentang dengan mereka. Bibirnya turut mengulum senyum. Tercuit hati melihat keletah kanak-kanak yang pipinya sudah comot dengan aiskrim di tangan masing-masing.
"Qailah! Qaisah! Tunggu nenek. Jangan lari-lari dulu."
Tak semena-mena, tubuh Nailah dirempuh kuat. Langkahnya terbejat. Hampir melongo gadis itu tatkala melihat pleated skirt berwarna putih dengan corak bunga-bunga kecil sudah kotor dengan cecair aiskrim. Bibirnya diketap menahan geram. Wajah dua orang gadis kecil yang sudah mendongak memandangnya ditatap tajam.
"Ya Allah... Qaisah! Qailah! Kan nenek cakap jangan lari-lari."
Suara tegas seorang wanita kedengaran. Nailah memandang figura yang sudah tercungap-cungap sambil menjinjing empat beg kertas. Wajahnya kelihatan lelah. Terbit rasa simpati di dinding hati Nailah melihat wanita itu.
"Cik... mak cik... mak cik minta maaf ya. Budak-budak ni..."
"Mak cik!" Suara Nailah hampir naik seoktaf tika Puan Lateefa hampir rebah. Buru-buru, dia mencengkam lengan wanita itu. Seketika, mereka berbalas pandangan.
"Mak cik duduk dulu. Mak cik nampak letih sangat ni. Lagi pun sekarang musim panas. Rehat dulu kejap. Pasal skirt saya ni... tak apalah. Nanti saya boleh basuh kat rumah." Nailah memimpin Puan Lateefa melabuhkan duduk di bangku berhadapan sebuah butik pakaian kanak-kanak. Bibirnya mengulum senyum ramah.
Melihat kelembutan Nailah, hati tua Puan Lateefa jadi luluh. Bibirnya turut mengulum senyum. Raut wajah manis Nailah dipandang redup. Sejuk saja hatinya ketika berhadapan dengan gadis itu.
"Kakak..."
Nailah kalih. Memandang si kembar yang sudah tertunduk sambil berpeganggan tangan. Ada ketakutan di raut wajah si gadis kecil. Membuatkan Nailah semakin tercuit melihat kecomelan mereka.
"Itulah. Tak dengar cakap. Ingat ni taman permainan..."
"Fatty!" Nailah menegah. Kepalanya digelengkan tatkala Fatimah sudah mula mengomel. Tisu dikeluarkan dari tas tangannya. Lututnya dijatuhkan. Berdiri sama tinggi dengan dua beradik itu.
Tak semena-mena, si kembar tersentak tatkala pipi comot mereka dilap dengan tisu basah. Raut wajah Nailah yang sedang tersenyum dipandang. Kelembutan Nailah membuatkan hati kecil mereka tersentuh. Rasa disayangi.
"Awak nama apa?"
"Qaisah."
"Awak pula?"
"Qailah."
Nailah mengangguk. Raut wajah Qailah dan Qaisah dipandang silih berganti. Pipi mulus si gadis kecil diusap. Dia tahu, mereka masih takut dengan insiden kecil itu.
"Kat sini ramai orang. Qailah dengan Qaisah kena hati-hati. Dengar cakap nenek. Jangan lari-lari. Okey?"
"Okey akak. Kita orang janji... tak lari-lari lagi," jawab Qaisah. Dia tersengih. Menampakkan gusinya.
"Bagus budak-budak comel ni." Nailah memuji. Dia kembali bangun.
"Qaisah, Qailah. Sini duduk dengan nenek." Puan Lateefa menggamit cucu-cucunya. Bibirnya mengucap "terima kasih" kepada Nailah yang sudi membersihkan pipi comot si kembar.
"Saya tolong mak cik hantar barang-barang mak cik ke kereta ya?"
"Haah mak cik. Banyak barang-barang mak cik tu." Fatimah turut menghampiri Puan Lateefa. Kasihan melihat wanita yang menjinjing barang yang banyak. Entah manalah si anak. Membiarkan saja si ibu menjaga cucu-cucunya bersendirian.
"Tak menyusahkan ke?"
"Eh, tak ada apalah mak cik. Kita orang pun nak balik dah ni. Bolehlah tolong mak cik angkat barang-barang dulu," pelawa Nailah lagi. Dia terus menjinjing beg kertas berjenama Toy's "R" US dan H&M. Dibantu oleh Fatimah.
"Terima kasih, sudi tolong mak cik." Puan Lateefa bangun dari duduk. Beriringan dengan Nailah keluar dari pusat membeli-belah sambil memimpin tangan cucu-cucunya. Murni benar hati gadis muda ini. Jarang dia bertemu dengan gadis selembut dan setulus Nailah.
"Sama-sama."
"Akak cantik nama apa?" soal Qaisah sambil mendongak. Memandang laman wajah Nailah.
"Fatty..."
"Bukan akaklah. Akak tu akak garang macam singa."
Tak semena-mena, Fatimah melongo. Berani benar gadis kecil itu menggelarnya sebegitu rupa. Rasa terhina!
Nailah tertawa kecil. Kepalanya digelengkan. Tercuit hati dengan celoteh Qaisah yang ringan mulut.
"Nama akak... Nailah Jannah. Boleh panggil Kak Nailah."
LEBANON
KECERIAAN terpancar di laman wajah kanak-kanak yang baru saja menerima bantuan daripada pasukan Malbatt yang ditugaskan dalam misi pengaman. Teruja tatkala menerima bantuan yang akan melengkapkan kegiatan pembelajaran mereka di sekolah.
Kad ucapan dihulurkan kepada setiap anggota tentera lengkap dengan seragam dan beret berwarna biru yang berkumpul di luar perkarangan pondok kecil mereka. Sebagai tanda penghargaan. Ini pertemuan terakhir mereka sebelum pasukan Malbatt kembali ke Malaysia.
Seorang kanak-kanak lelaki menghampiri salah seorang anggota yang sudah mengulum senyum ke arahnya. Pemuda itulah yang membuatkan dia dapat merasai kasih sayang seorang ayah. Sudah tentunya hati kecilnya sebu ditinggalkan oleh Leftenan Komander Uthman Firdaus.
"Syukran." Hanya itu yang dituturkan oleh kanak-kanak bernama Awtad itu. Tubuh kekar Uthman terus dipeluk erat. Setitis demi setitis air matanya mengalir ke pipi.
Uthman tersentak. Dinding hatinya seakan direnggut. Setahun dia di bumi Lebanon. Bukan masa yang singkat. Dia melihat sendiri betapa sukarnya Awtad beradaptasi di lingkungan baru. Awtad mengalami trauma setelah ayahnya ditembak mati di hadapannya sendiri.
"Tuan tak nak bawa dia ke Malaysia? Jadikan dia anak angkat? Dia nampak susah nak berenggang dengan tuan."
Uthman mengalihkan pandangannya ke laman wajah Koperal Arsel. Nafas panjang dihela. Ubun-ubun Awtad diusap dengan penuh kasih.
"Dia masih ada keluarga kat sini. Mana mungkin aku pisahkan dia dengan keluarga dia. Tak apa. Aku yakin suatu hari nanti... dia akan tumbuh menjadi anak yang kuat fizikal dan mentalnya."
Mendengarkan hal itu, Koperal Arsel terkelu. Rasa simpati melihat keadaan Awtad yang begitu akrab dengan Uthman sepanjang setahun mereka bertugas di bumi Lebanon. Setiap kali mereka menghantar barang keperluan ke sekolah, pasti Awtad akan menyambut kehadiran Uthman dengan wajah yang ceria.
"Awtad..."
Awtad mendongak. Dengan pandangan kabur, dia menatap sayu laman wajah pemuda yang sudah dianggap seperti ayah sendiri.
Perlahan-lahan, Uthman membongkok. Biar sama paras tinggi dengan budak lelaki berusia sembilan tahun. Tangan Awtad digenggam seraya dilekap ke dada bidangnya.
"Ana uhibbuka ya ibni," luah Uthman seraya mengucup lembut ubun-ubun Awtad. Meluahkan rasa sayangnya buat anak kecil yang sudah dianggap seperti anak sendiri.
Mendengarkan itu, hati Awtad semakin luluh. Bibirnya tercebik menahan tangis. Kura tangan Uthman dikucup lembut. Lama. Entah bila dia akan bertemu dengan figura seperti Uthman pun dia tidak tahu. Tapi, doanya akan selalu disampaikan buat pemuda setulus Uthman. Sudi memberikan kasih sayang kepadanya.
"Aku percaya yang dia akan baik-baik saja. Dia anak yang kuat mentalnya."
Mendengarkan omongan Leftenan Komander Ishaq, Uthman yang baru saja melangkah masuk ke dalam kenderaan yang akan membawa mereka ke markas hanya mengangguk. Ya, Awtad akan baik-baik saja meskipun akan mengambil masa. Doanya akan selalu bersama Awtad selagi hayat dikandung badan.
Telefon pintarnya tiba-tiba bergetar. Uthman lantas menyeluk poket seluar. Menyambut panggilan. Terukir senyuman pahit di bibir melihat nama yang terpampang di skrin telefonnya. Lantas, Uthman menjawab panggilan video daripada emaknya.
"Abah!"
"Assalamualaikum, Uthman. Maaflah kalau kamu tengah kerja. Anak-anak kamu ni hah tak menyabar nak call ayahnya." Suara Puan Lateefa kedengaran berhampiran Qailah dan Qaisah yang sudah mengenggam telefon pintar.
Tawa halus terbit di bibir Uthman. Hatinya tercuit melihat telatah anak kembarnya. Terubat hati walangnya setelah perpisahan bersama Awtad.
"Waalaikumsalam. Tak apa mak. Uthman pun dah nak balik markas. Anak-anak abah yang comel ni dah makan?"
"Dah! Hari ni nenek bawa kitorang shopping baju baru, beli mainan baru, beli stationery baru, makan-makan. Seronok tau abah!" Nada suara Qaisah kedengaran
teruja.
"Nenek kata ni semua hadiah untuk kitorang sebab dapat nombor satu dan nombor dua dalam kelas. Kitorang dapat banyak A tau abah," tutur Qailah pula. Dia menghalakan buku rekod kemajuannya di hadapan kamera.
"Alhamdulillah. Pandai anak-anak abah ni. Abah bangga dengan Qailah dan Qaisah. Nanti abah balik, abah bawa hadiah untuk anak-anak abah pula. Qailah dengan Qaisah nak apa?" Nada suara Uthman turut kedengaran ceria. Senang hatinya melihat kemajuan anak-anaknya yang baru berusia lima tahun.
"Kitorang nak abah balik cepat-cepat supaya boleh tiup lilin hari jadi sama-sama. Boleh tak abah?"
"Betul tu abah. Kita orang nak sambut hari jadi dengan abah," tambah Qaisah lagi.
Senyuman terukir lagi di bibir Uthman. Raut wajah Qaisah dan Qailah dipandang silih berganti. Tanda cintanya dan arwah Hikmah.
"Ya. Tak lama lagi abah balik. Abah akan tunaikan permintaan anak-anak abah. Ni... mana nenek? Abah nak cakap dengan nenek."
"Yeay! Tak sabarnya tunggu abah balik." Serentak Qaisah dan Qailah sudah melonjak keriangan. Telefon berganti tangan. Uthman geleng kepala saja dengan telatah anak-anaknya. Terlebih ceria!
"Mak sihat?"
"Alhamdulillah. Sihat. Kamu tu... betul ke dah nak balik? Jangan bagi harapan palsu dekat cucu-cucu mak pula." Suara Puan Lateefa kedengaran tegas. Tak mahu Uthman hanya berkata manis. Cukup sekali Uthman menundakan kepulangannya ke Malaysia.
"Ya mak. Kali ni, Uthman akan balik. Kerja Uthman dah selesai kat sini. Mak dah jumpa ke pengasuh baru untuk budak-budak tu?" Uthman ubah topik. Tak mahu ibunya mengungkit perkara yang membuatkan dia rasa bersalah dengan anak kembarnya.
"Belum. Kamu tahulah budak-budak ni macam mana. Ada yang nak kerja pun dia orang pula tak suka. Dikerjakan pengasuh tu sampai berhenti kerja."
"Habis tu tadi mak bawa budak-budak tu seorang je?"
"Haah..."
"Mak... kan Uthman dah pesan kalau bapa tak ada kat rumah, jangan bawa budak tu keluar ke mall. Budak-budak tu terlebih aktif. Uthman tak naklah mak sakit." Uthman memintas. Rasa bersalah sudah mencengkam sukma. Tak mahu menyusahkan ibunya. Tapi dia tiada pilihan lain selain mengharapkan ibunya menjaga Qailah dan Qaisah.
"Tak apalah. Bukan selalu..."
Belum sempat Puan Lateefa menamatkan bicaranya, telefon Uthman kehabisan bateri. Skrin berubah gelap. Nafas panjang dihela. Belum puas berbicara bersama ibunya. Uthman mengalihkan pandangannya ke tingkap.
Sontak, raut wajah Uthman bertukar tegang. Terpampang figura sekumpulan lelaki bertopeng yang memegang AK 47. Sudah bersedia menahan kenderaan yang dinaiki oleh anggota Malbatt. Nampaknya, suasana tegang dan mencemaskan sudah muncul di hadapan.
"Tentera Hizbullah..."
Bersambung...
Terima kasih sudi meluangkan masa membaca KABP. Semoga urusan kalian dipermudahkan...
19. 5. 2023
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top