EPISOD 10

SUASANA padang Taman Bintang begitu meriah dengan Sukaneka dan Hari Keluarga yang sering diadakan pada pertengahan tahun. Pelbagai aktiviti menarik dan pertandingan yang dianjurkan oleh pihak sekolah.  Ada juga peniaga yang berjualan di tepi jalan dengan pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual.

Di lautan keramaian itu, sesekali Uthman melilau ke sekeliling. Mencari susuk figura yang sudah dinantikan oleh Qailah dan Qaisah. Malangnya, negatif. Tiada langsung bayang Nailah Jannah kelihatan tika itu.

"Kak Nailah tak nak tengok kita orang sukan ke, abah?" Nada suara Qailah kedengaran sayu. Hati kecilnya dijentik rasa kecewa. Manakan tidak, dia sudah menjuarai dua acara. Namun, kehadiran Nailah masih tak kunjung tiba.

"Kakak sibuk..."

"Tapi kita orang nak kakak juga. Kalau tak... Qaisah tak nak ikut acara lari dalam guni!" Qaisah memprotes. Berpeluk tubuh seraya memalingkan tubuhnya membelakangi Uthman. Bibirnya dimuncungkan. Merajuk!

Melihatkan itu, Uthman tersenyum simpul. Pelipisnya dilurutkan. Tercuit hati dengan tingkah si kembar yang mula buat perangai itu. Inilah kali pertama si kembar merajuk kerana orang lain. Bukan kerana dia lagi. Nampaknya, Nailah sudah berjaya pecah rekod. Buat Qaisah dan Qailah merajuk.

"Janganlah macam ni anak-anak abah. Acara tu dah nak mula. Okey macam ni. Kalau Kak Nailah tak boleh datang, kita pergi kafe dia lepas ni. Boleh?"

Qaisah dan Qailah saling berpandangan. Wajah mendung mereka bertukar ceria serta-merta. Tubuh Uthman terus dipeluk erat. Senang hati dengan tawaran Uthman.

"Janji tau abah!"

"Abah jangan tipu."

Tawa halus terbit di bibit Uthman sebaik saja melihat si kembar yang sudah mendongak sambil menghalakan jari kelingking ke arahnya. Uthman mengangguk. Jari kelingking sudah bertaut dengan Qaisah dan Qailah.

"Ya, abah janji. Sekarang, jom kita ke hujung sana. Cikgu dah cari tu."

Tanpa berlengah, Uthman memimpin si kembar yang berbaju sukan ke arah sekumpulan kanak-kanak. Beratur bagi acara lari dalam guni. Kali ini, Qaisah pula bakal menunjukkan aksinya.

"Qaisah kena menang tau! Nanti kita bagi tengok piala dekat Kak Nailah. Mesti dia suka..."

"Uthman!"

Belum sempat Qailah menamatkan bicara, suara gemersik sudah menyapa koklea. Serentak, tiga beranak itu kalih. Memandang figura berbaju sukan berwarna biru tua sedondon dengan Uthman.

"Wah! Kakak datanglah!"

"Kakak pakai baju warna sama dengan abahlah hari ni."

Suara teruja si kembar membuatkan Nailah tersenyum simpul. Nafasnya tercungap-cungap. Lelah berkejaran demi menunaikan hasrat sepasang kembar kesayangannya itu.

"Sorry... saya lambat. Banyak customer... hari ni."

Melihat figura Nailah yang kelelahan membibitkan keresahan di dinding hati Uthman. Wajah gadis bertudung bawal putih itu kelihatan pucat. Terbit rasa kesal menganggu kesibukan Nailah tika ini.

"Kau okey?"

Nailah hanya mengangguk. Nafas panjang dihela. Tubuhnya ditegakkan. Tak mahu melayan rasa lesu yang mula menggigit sendi-sendinya. Hari ini, dia mahu bersemangat seperti hari sebelumnya. Demi si kembar.

"Aku minta maaf sebab ganggu waktu kau. Terima kasih... sudi tunaikan permintaan anak-anak aku."

"Awak dah tolong saya semalam. Anggap je ni bayaran atas kesudian awak tukarkan tayar kereta saya yang pancit tu."

Uthman tersenyum simpul. Tercuit hati teringatakan pertemuan tanpa sengaja di antara dia dan Nailah. "Hal kecil je tu Nailah. Tak apa. Lain kali kalau ada masa... aku ajar kau cara tukar tayar kalau pancit. Jadi kalau kereta kau bermasalah... kau juga yang senang. Aku pun senang kalau kau baik-baik saja."

Sontak, Nailah terkesima dengan hujung bicara Uthman. Kenapa ya dia merasakan ada bunyi prihatin? Lantas, Nailah mengalihkan pandangan tatkala bunyi wisel kedengaran. Sungguh, sorotan mata helang Uthman benar-benar mencengkam dinding hatinya. Seakan, ada lautan emosi yang berselirat. Membuatkan Nailah jadi libang-libu.

"Encik Uthman."

Uthman kalih tatkala namanya dipanggil. Terpampang figura Cikgu Abu yang sedang memegang sehelai kertas dan pen.

"Encik berminat nak join apa-apa acara untuk hari keluarga?" soal Cikgu Abu sambil memandang figura Uthman dan Nailah silih berganti.

"Acara apa je yang ada?"

"Acara solo ada. Acara suami isteri pun ada. Kalau encik dengan puan berminat, saya boleh daftarkan nama untuk acara suami isteri. Mengeratkan silaturahim dan memaniskan hubunganlah katakan."

Tak semena-mena, sorotan mata Uthman dan Nailah sudah bertaut. Masing-masing kaget dicop sebagai suami isteri. Wajah Nailah sudah membahang. Uthman sendiri rasa janggal dengan omongan spontan Cikgu Abu.

"Daftarkan saya untuk acara solo je cikgu. Lagi pun, Nailah bukan isteri saya. Dia... kakak angkat anak-anak saya."

"Alamak. Maaf encik. Kau orang nampak macam suami isteri. Baju sama. Tu yang... ingat kau kau orang ni suami isteri," tutur Cikgu Abu seraya tertawa kecil. Menyembunyikan rasa janggal di lubuk hatinya.

Tika itu, Nailah rasa dia mahu benam kepalanya dalam lumpur. Kenapalah hatinya tergerak pakai baju warna biru tua? Sedondon dengan Uthman pula tu. Ya Tuhan, Nailah rasa dia mahu pulang dan tukar pakaiannya saat ini juga!

"TAHNIAH adik-adik akak yang comel menang empat acara. Dapat bawa medal emas pula tu. Kakak bangga dengan Qaisah dan Qailah. Macam nilah adik-adik akak. Kuat. Semangat pula tu," puji Nailah sambil membetulkan rambut Qailah yang kusut setelah memenangi acara isi air dalam botol. Senang hatinya melihat si kembar menjuarai sukaneka.

Hebat!

"Terima kasih kakak. Semua ni sebab kakak dengan abah datang tengok kita orang. Buat kita orang bersemangat. Tapi kenapa kakak lambat? Rugilah kakak tak tengok Qailah menang dari awal."

"Kakak banyak kerja tadi. Ala tak apa. Asalkan kakak datang juga kan. Dah, makanlah ais kacang tu. Nanti cair." Nailah separuh memujuk. Dia tahu si kembar hampir merajuk dek kelambatannya sebentar tadi.

Sungguh, Nailah sendiri dua hati hari ini. Sebahagian hatinya tak mahu pergi. Terasa janggal pula menghadiri hari keluarga bersama si kembar dan Uthman. Namun sebahagian lagi tak tega menolak permintaan Qaisah dan Qailah. Maka, di sinilah dia. Menurut permintaan si kembar.

"Minum dulu Nailah. Kau nampak pucat. Kalau kau tak sihat, baliklah dulu. Nak lagi panas terik macam ni."

Suara Uthman kedengaran. Pemuda itu sudah melabuhkan duduk setentang dengan Nailah. Sebotol mineral sejuk dihulurkan kepada gadis itu. Sungguh, titik keresahan semakin mencengkam jiwa  si pemuda berkulit sawo matang. Tak mahu Nailah jatuh sakit hanya kerana Qaisah dan Qailah. Seharian intuisinya negatif melihat wajah polos itu kelihatan tak bermaya.

"Terima kasih. Tapi saya okeylah. Biasalah ni penat sikit. Hari ni kan hari minggu. Customer ramai." Nailah menyambut huluran Uthman. Botol mineral berjenama K2 dibuka. Namun, terasa ketat pula penutup botol itu.

"Jangan tipu aku. Buka tutup botol pun kau tak larat macam mana aku nak yakin yang kau okey?" Uthman bertegas. Dicapainya botol mineral dari tangan Nailah lantas dibuka.

Seketika, dua figura itu saling berbalas pandangan. Lambat-lambat, Nailah menyambut huluran Uthman semula. Wajahnya membahang dengan keprihatinan pemuda itu. Kenapa ya Uthman sering saja buat Nailah rasa dilindungi? Atau semuanya hanya perasaan?

"Okey. Saya balik..."

"Akak janganlah balik dulu. Kita kena sokong abah. Lepas ni acara abah pula. Abah, kena menang macam Qaisah dengan Qailah tau. Nanti mesti kakak suka kalau abah menang." Qaisah yang sedang menyuakan ais kacang ke mulutnya memintas. Dipandangnya wajah Nailah dengan mulut dimuncungkan. Menghalang Nailah pulang.

"Jangan dilayankan sangat, Nailah. Jangan paksa diri. Kau baliklah dulu. Jaga kesihatan kau baik-baik. Aku tak nak kau sakit." Uthman semakin bertegas.

"Qaisah... Qailah. Jangan paksa Kak Nailah..."

"Assalamualaikum. Sorry kacau. Saya nak minta izin. Boleh tak nak tangkap gambar encik sekeluarga? Nak buat album sempena Sukaneka dan Hari Keluarga Tadika Bintang 2023."

Uthman mendongakkan kepala. Memandang figura Cikgu Haizah yang sedang memegang kamera. Terukir senyum ramah di bibir guru berusia awal 20 an itu.

"Boleh... tak ada masalah. Nak ambil gambar kat mana?"

"Kat sini pun boleh je. Tapi, kalau nak latar lebih cantik boleh ambil kat booth belakang tempat duduk encik ni." Cikgu Haizah memberi cadangan. Jarinya diunjuk ke booth yang dihias dengan latar bertema sukan.

"Okey boleh. Jom, Nailah... join sekali."

"Haah akak jomlah. Kita ambil gambar sama-sama. Nanti boleh tunjuk dekat nenek."

"Jom akak!"

Tak semena-mena, Nailah jadi segan. Pelipisnya yang tak gatal digaru. Hailah tidakkah Uthman ingat bahawa mereka baru saja dicop sebagai pasangan suami isteri hanya kerana baju mereka sedondon? Kali ini, pasti ada lagi yang salah anggap tentang mereka.

"Kau orang jelah..."

Qaisah dan Qailah terus menarik lembut tangan Nailah. Menghampiri booth sukaneka. Mana mungkin mereka melepaskan peluang mengambil gambar kenang-kenangan bersama kakak kesayangan mereka itu.

"Puan, rapat sikit dengan encik suami. Nampak gap besar sangat tu."

Sontak, wajah Nailah semakin membahang dengan omongan Cikgu Haizah. Bibirnya diketap. Nafasnya terasa sesak. Sungguh, dia mahu lari. Tapi tangannya sudah digenggam oleh Qaisah dan Qailah.

"Maaf cikgu. Cik Nailah ni bukan isteri saya. Cuma kakak angkat Qaisah dengan Qailah je." Uthman menjelaskan. Wajah Nailah yang sudah membahang dipandang sekilas. Jelas Nailah tampak semakin pucat. Mahu saja dibawanya Nailah pulang saat ini juga. Biar Nailah berehat.

"Oh maaf! Okey. Sedia ya..."

Hanya dalam kiraan tiga, gambar ditangkap. Nailah hanya statik. Entah mengapa seluruh tubuhnya jadi panas. Kepalanya sedikit pusing. Nafasnya seakan sesak. Ritma jantungnya seakan kencang.

"Pengumuman kepada peserta yang mengikuti acara tarik tali. Sila hadirkan diri anda ke padang sekarang juga. Acara akan bermula sebentar saja lagi." Pengumuman dari pembesar suara kedengaran. Kelihatan para perserta yang terdiri daripada ayah murid-murid Tadika Bintang yang mengikut acara tersebut berpusu-pusu ke padang.

"Balik ya Nailah. Rehat yang secukupnya. Jangan risau pasal budak-budak. Pandailah aku handle nanti."

"Qaisah, Qailah. Salam kakak. Kakak tak sihat. Biar dia balik dulu," tambah Uthman sambil mengusap lembut kepala Qaisah.

Nailah kian terpujuk. Hanya anggukan diberikan. Ya, dia perlu pulang. Nailah dapat rasakan tubuhnya sedang tak bermaya tika ini. Pasti tubuhnya sudah hilang tenaga.

"Bye kakak!"

"Bye! Nanti kita jumpa lagi."

Nailah mengulum senyum. Membalas lambaian Qaisah dan Qailah yang sudah dipimpin oleh Uthman ke padang bagi acara tarik tali. Dia harap, Uthman menang. Dapatlah menggembirakan juga hati kecil si kembar yang bijak belaka itu.

Sebaik saja kakinya menjejak ke padang, Uthman memerhatikan lagi langkah Nailah. Gadis itu kelihatan longlai. Lemah saja gerak gerinya. Uthman mula tak tenteram. Entah mengapa, intuisinya semakin negatif.

"Okey baiklah. Syarat pertandingannya..."

"Ya Allah, Nailah!"

Belum sempat pengadil menamatkan bicara, suasana tiba-tiba tegang tatkala Uthman meluru keluar dari padang. Dia berkerenyut. Aneh dengan tindakan pemuda yang kelihatan cemas itu.

"Nailah!"

Uthman jadi libang-libu. Nafasnya seakan sesak di dada. Ketakutan mencengkam jiwa. Tubuh Nailah yang sudah rebah tak sedarkan diri dihampiri. Perlahan-lahan, kepala Nailah diletak di atas ribanya. Nadi Nailah diperiksa. Lemah! Bahkan, ritma jantung Nailah kencang. Nafas gadis itu turun naik. Wajah Nailah yang tiba-tiba membiru dipandang sayu.

"Call ambulance!"

Bersambung...

23.5.2023

Terima kasih kalian yang sudi membaca kisah Uthman×Nailah. Terima kasih sudi vote. Semoga hari kalian baik-baik saja. 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top