Episod Akhir 🍃
KESYUKURAN dipanjatkan ke atas Ilahi sebaik sahaja bayi seberat 2 kg yang sudah dibersihkan dan dibaluti dengan kain bendung dihulurkan kepada Hud Aidan. Setitis air mata mengalir ke pipinya tatkala anugerah terindah pemberian yang Maha Esa sudah berada dalam dukungan pemuda itu.
Sungguh, Hud benar-benar sebak. Pengorbanan isterinya di saat berjuang melahirkan cahaya mata mereka masih terimbas di kotak memori. Kornea mata Hud tak lekang dari menatap wajah bayi berkulit kuning langsat yang sedang tertidur pulas setelah diberikan susu itu.
Perlahan-lahan, Hud mendekatkan bibirnya ke telinga anaknya. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Seketika, Iqamat terus dilafazkan sebagai penyambut kelahiran anak perempuan Hud Aidan dan Naurah Afrina.
Melihatkan Hud sedang mengiqamatkan bayi mereka membuatkan Afrina turut berasa syahdu. Kesakitan kesan daripada kontraksi dan melahirkan seakan-akan hilang dibawa angin malam. Afrina yang bersandar di kepala katil sekadar tersenyum sambil mengenggam tangan ibunya.
"Mama, Isha rasa nak kahwin jugalah lepas habis belajar nanti. Macam best saja tengok kakak dengan abang Hud. Boleh tak?" soal Arisha. Gadis itu sekadar tersengih-sengih saat Encik Talib sudah memandangnya dengan pandangan yang galak.
"Kenapa tanya mama pula? Tanyalah abah. Abah yang jadi wali Isha. Bukannya mama," jawab Puan Sofia. Kepalanya digelengkan dengan sikap tiga suku anak bongsunya. Berbeza sungguh dengan Afrina yang tegas.
"Ala, confirm abah tak setuju. Abah kata selagi Isha tak jadi lawyer, selagi tu Isha tak boleh kahwin. Sekarang ni, trend kut kahwin awal. Lagipun, Isha dah lama bercinta. Boyfriend Isha dah kerja dah pun," kata Arisha dengan bibir yang sudah muncung ke hadapan.
"Menjawab! Tak payahlah nak ikut tre nd sangat. Isha tu belum matang lagi. Kakak pun kahwin lepas dia jadi nurse. Tak payah nak gatal kahwin awal. Fokus dengan belajar sudah!" tegas Encik Talib. Anak bongsunya ini sikapnya sentiasa mengada-ngada. Sentiasa mengikut trend semasa. Kadangkala, memeningkan kepalanya pun ada juga bila mana Arisha terlalu mengejar popularitinya sebagai instafamous.
"Padan muka! Setepek kena dengan abah!" ejek Afrina. Sengaja menyakitkan adiknya yang sudah berkerut seribu itu.
"Sempat saja kan kakak nak sakitkan hati Isha. Tak padan dengan keadaan sedang berpantang!" balas Isha sambil mencebik geram. Sudahlah diberikan syarahan pada malam hari, kini kakaknya pula menambahkan pahit di dinding hati Arisha. Geram!
Afrina sekadar tersenyum dengan keluhan adiknya. Bayinya yang kembali berada dalam dukungan dikucup lembut. Wangi benar bau bayi yang baru lahir. Tenang saja jiwa Afrina melihat wajah bayinya yang comel dengan bendung berwarna merah jambu.
Pintu dibuka dari luar. Kelihatan Ibrahim, Sherina dan Dina sedamg melangkah masuk ke dalam wad. Jelas, terpancar seri pengantin baharu di sebalik wajah Ibrahim dan Sherina. Dina pula sudah meluru ke arah katil. Tidak sabar mahu melihat wajah sepupunya.
"Tahniah Hud, Afrina. Syukurlah semuanya sudah selamat. Kau orang nak berikan nama apa dekat baby girl kau orang? Pak cik dia ni pun nak tahu juga," kata Ibrahim. Dia tumpang bahagia melihat sahabatnya semakin disulami dengan kebahagiaan setelah kehadiran cahaya mata sulung mereka.
"Namanya... Hudiya Afeeya. Hudiya itu bermaksud petunjuk dan Afeeya bermaksud sihat serta selamat. Afrina kata sempena Allah menjaga keselamatan anak kami ketika tragedi buruk itu berlaku. Juga agar Afeeya sentiasa selamat dunia akhirat," jawab Hud sambil mendukung Dina untuk duduk di birai katil. Kasihan melihat anak buahnya yang terjongket-jongket ingin melihat wajah Afeeya.
"Hudiya Afeeya. Sedapnya nama tu. Ironi pun ada bila pangkal huruf Afeeya ada nama ibu dan ayah dia. Hud dan Afrina. Pandai abang dengan Afrina pilih nama," puji Sherina. Hatinya tercuit lucu tatkala melihat raut wajah Afeeya. Hidungnya yang mancung persis seperti Hud Aidan. Pipinya yang bujur umpama telur persis seperti Naurah Afrina.
"Nanti kalau Afeeya dah besar, Dina nak ajak Afeeya buat kek coklat. Boleh tak kakak?"
Tak semena-mena, Hud ketawa dengan soalan polos Dina. Ada saja kata-kata Dina yang mencuit hatinya. Timbul satu idea nakal di benak fikiran Hud tatkala Dina menuturkan soalannya.
"Boleh. Ini kan sepupu Dina. Tapi mak cik tak akan bagi Afeeya makan manisan. Nanti gigi rongak macam Dina," usik Afrina sambil mengusap rambut Dina yang diikat tocang.
"Memandangkan Afrina tak nak bagi anak kami makan manisan, abang Hud Aidan akan doakan Sherin dan Ibrahim pula menyusul. Bagi adik dekat Dina. Lama sangat Dina sendirian tanpa peneman untuk dia bermain," usik Hud. Wajah Sherina dan Ibrahim dipandang silih berganti.
Tak semena-mena, wajah Sherina naik membahang panas dengan usikan kasar Hud. Baru seminggu mereka bernikah dan masih terlalu awal untuk mereka memikirkan soal anak. Ini keterlaluan!
"Kau ni dah jadi bapa budak pun masih nak gurau kasar ke Hud. Nasib baik Afrina ini tegas orangnya. Padan muka kau kalau kena marah dengan puan misi," kata Ibrahim. Mempertahankan isterinya yang sudah kemerahan itu.
Melihat telatah keluarganya membuatkan Afrina hanya menggelengkan kepalanya. Begitulah mereka. Ada saja usikan kasar untuk meriuhkan suasana. Afrina kembali menatap wajah ibunya. Mereka berbalas senyuman. Kini, barulah Afrina mengerti bagaimana perjuangan ibunya ketika mengandungkannya selama sembilan bulan 10 hari. Ketika melahirkannya dahulu.
Afrina sendiri tidak mampu membalas pengorbanan ibunya. Hanya saja, Afrina tahu bahawa dia perlu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang anak demi membalas jasa kedua orang tuanya.
"ABANG, pergilah makan dulu. Biar saya susukan Afeeya. Dia lapar tu sebab tu dia tak berhenti menangis. Abang janganlah risau pasal kita orang. Ya?" pujuk Afrina sambil mengusap lembut pipi Hud. Risau dia melihat Hud yang sudah tidak menjaga diri. Hanya sibuk menjaga Afrina dan Afeeya sahaja.
"Betul ni?"
Afrina sekadar tersenyum dengan soalan Hud. Tubuh Afeeya yang berada di dukungan Hud diambil sebelum tubuhnya disandarkan di kepala katil. Membetulkan duduknya dengan pinggang yang terasa lenguh.
"Ya abang sayang. Abang kena jaga makan juga. Nanti kalau abang sakit, siapa nak jaga kita orang?" kata Afrina seraya menyusukan Afeeya yang kelaparan.
"Sayang, abang minta maaf sangat sebab abang... sayang kena tanggung sakit melahirkan anak kita. Abang masih tak boleh lupa saat sayang tanggung sakit di dewan bersalin. Tangan sayang yang genggam tangan abang sampai nak patah saja tidak."
Tak semena-mena, Afrina mencubit lengan Hud. Tawanya terletus. Hailah, hatinya benar-benar tercuit lucu dengan omongan dan riak wajah bersalah Hud. Sudah dua minggu dia berpantang, dua minggu itu jugalah Hud tak henti-henti memohon maaf.
"Encik Hud Aidan, kan saya dah cakap ini sudah tanggungjawab saya sebagai seorang ibu. Tugas abang menjadi ketua keluarga dan sayalah nakhoda untuk abang. Janganlah rasa bersalah. Tugas kita sama-sama berat sekarang ini. Sekali lagi abang cakap macam tu, saya akan lancarkan perang dingin dengan abang," kata Afrina diselitkan dengan amaran keras.
"Uish! Jangan sayang. Abang tak nak hidup terseksa merindui sayang kalau sayang cetuskan perang dingin sayang itu. Okay, puan misi. Abang dengar cakap sayang. Tapi kalau ada apa-apa, sayang call abang ya," pesan Hud. Rambut Afrina yang diikat samggul diusap lembut. Sungguh, meskipun Afrina kelihatan pucat dengan pilis di dahi, kain batik dan stokin, Afrina masih kelihatan berseri di pandangan seorang Hud Aidan.
Afrina tertawa lagi dengan omongan Hud. Ada saja kata-kata Hud yang mencuit hatinya. Buat apa mahu menghubungi Hud jikalau Hud hanya berada di tingkat bawah. Tiga sukunya Hud Aidan ini semakin menjadi-jadi pula selepas mereka bernikah.
"Sayang, abang lupa satu bendalah. Macam ada yang tertinggal dekat bawah bantal abang tu. Cuba sayang tengok," ujar Hud. Langkahnya keluar dari bilik serta-merta terbejat.
Afrina hanya menurut sambil mendodoikan Afeeya yang mula senyap dari tangisannya. Ada sebuah kad kecil yang ditarik oleh Afrina dari bawah bantal Hud. Saat itu juga, wajah Afrina mula membahang dengan keromantisan Hud Aidan.
Kad berbentuk hati dibuka. Saat tulisan dibacanya satu per satu, saat itu juga dinding hati Afrina seakan-akan mekar dengan bunga-bunga cinta. Bibirnya diketap.
Roses is red
Violet are blue
And so I love you 💕
"Ini bukan ayat pickupline yang saya pernah bagi dekat abang ke masa sekolah dulu? Cuma saya letak and so I like you," ujar Afrina. Mana mungkin dia lupa surat cinta yang pernah diberikan kepada Hud dahulu.
"Abang balas balik surat sayang lepas 14 tahun berlalu. Maaf sebab ambil masa yang lama untuk balas surat cinta zaman sekolah kita," kata Hud. Bibirnya menguntumkan senyuman manis sebelum langkah diatur keluar dari kamar. Meninggalkan Afrina yang masih terpegun dengan surat cinta yang diberikan buat isterinya.
"Afeeya besar nanti jangan jadi tiga suku macam abah tau. Jadi tegas macam ibu saja. Okay anak ibu," ujar Afrina seraya mengucup lembut dahi bayinya yang sudah tertidur pulas. Ada saja sikap Hud yang membuatkan Afrina tak senang duduk. Namun, sikap tiga suku Hud Aidan itu jugalah yang membibitkan cinta dalam hati Afrina buat suaminya.
CUACA redup pada malam itu cukup memberikan bantuan kepada Hud Aidan untuk melaksanakan rancangannya. Perlahan-lahan, Hud memimpin tangan Afrina sambil mendukung Afeeya yang sudah berusia enam bulan. Dengan penuh tertib, Hud mengatur langkah di atas titi.
"Abang, dah boleh buka ke belum ni?" soal Afrina. Tak senang duduk bila mana Hud masih tak mengizinkannya untuk membuka matanya yang diikat dengan kain hitam.
"Sekejap saja lagi sayang. Tiga langkah ke hadapan, lepastu sayang berhenti. Biar abang bukakan ikatan mata sayang," arah Hud. Mujur saja Afeeya tidak meragam. Jadinya, rancangan Hud untuk memberikan hadiah istimewa buat Afrina semakin lancar.
"Okay sayang, dah boleh berhenti. Baca Bismillahirahmanirahim dulu sambil abang buka ikatan mata sayang," ujar Hud. Tangannya mula ligat membuka ikatan mata Afrina.
Dalam kiraan tiga, perlahan-lahan Afrina mencelikkan matanya. Saat itu juga mulutnya ditekup dengan tangan. Anak mata Afrina meliar memandang sekelilingnya. Afrina terpegun.
Ini tempat impian yang ingin dikunjunginya selama dia sarat mengandungkan Hudiya Afeeya!
Kawasan itu dipenuhi dengan kehijauan yang terpampang di kornea mata. Sawah padi terbentang luas di kawasan yang redup itu. Kelihatan lampu turut menerangi kawasan itu. Memberikan cahaya kepada pengunjung untuk lalu di atas titi.
"Sayang suka?" soal Hud.
"Terlebih dari suka. Saya selalu dengar Adara cerita pasal tempat ini. Tak sangka, abang bagi saya kejutan di saat saya tertekan dengan kerja. Terima kasih sebab selalu gembirakan saya," ujar Afrina. Nada suaranya kedengaran teruja. Senang hati dengan kejutan yang diberikan oleh suaminya.
Tiba-tiba, Afeeya yang berada di dukungan Hud mula mengomel. Seakan-akan menceritakan juga perasaannya setelah diberikan kejutan oleh Hud.
"Ya sayang. Anak abah pun suka ya dengan tempat ni?"
Serentak, Afrina dan Hud tertawa di saat Afeeya semakin ligat mengomel sambil mengagah-agah. Roman wajah si anak kecil kelihatan teruja. Seakan-akan mengerti kebahagiaan ibu dan abahnya.
"Mestila Feya suka. Masa Feya dalam perut ibu, Feya asyik nak pergi tempat ini. Terima kasih abah. Sebab bawa Feya dan ibu ke Laman Padi," ujar Afrina sambil mengucup lembut dahi Afeeya. Tangannya mengagah-agah Afeeya yang sudah tertawa itu.
"Sayang, terima kasih," ucap Hud, spontan. Seketika, pandangannya dan Afrina saling bersatu. Masing-masing tersenyum bahagia dengan kehadiran Afeeya sebagai penyeri hidup.
"Terima kasih untuk apa?"
Hud mencapai tangan Afrina. Sebentuk cincin bertakhtakan berlian dicapai dari koceknya lalu disarungkan ke jari manis Afrina sebagai hadiah. Seketika, tangan Afrina dilekapkan ke dadanya. Ada debaran yang mengetuk tangkai hati Hud tatkala kornea matanya semakin tajam menatap laman wajah Afrina yang manis.
Afrina terkesima. Lidahnya kelu. Pandangan Hud yang tersirat dengan rasa cinta membuatkan Afrina kematian diksi. Sungguh, Afrina benar-benar merasakan dirinya dihargai dengan setiap layanan Hud Aidan.
"Terima kasih sebab sudi jadi isteri kepada Hud Aidan. Terima kasih sebab bagi peluang untuk abang baiki kelemahan abang. Terima kasih sebab berjuang untuk lahirkan anak kita. Terlalu banyak yang kita lalui selama ini, sayang. Terima kasih untuk segala pengorbanan dan keikhlasan sayang demi rumah tangga kita," ucap Hud. Ada rasa sebak bertandang di lubuk hatinya. Bukan mudah untuk mereka berjuang demi membina sebuah mahligai cinta.
Senyuman di bibir Afrina semakin mekar. Nafas panjang ditarik sebelum dihembuskan perlahan-lahan. Pipi mulus Afeeya yang sudah terkebil-kebil diusap lembut.
"Abang, kita sama-sama berjuang demi membina kebahagiaan kita. Terlalu banyak dugaan yang kita lalui bersama-sama sampai kita tak sedar yang Allah dah aturkan jodoh kita sejak dalam Luh Mahfuzh lagi. Bila Allah sudah aturkan semuanya, walau sehebat mana sekalipun dugaan kita, kita berdua akan tetap bersatu. Sebab, Allah dah takdirkan Hud Aidan dan Naurah Afrina untuk bersatu," ujar Afrina. Memberikan peringatan kepada Hud bahawa Afrina akan selalu ada buat pemilik hatinya.
Tika itu, baik Afrina mahupun Hud, mereka sudah mampu melayari sebuah bahtera kebahagiaan tanpa sebarang ancaman. Berkat doa dan tawakal serta kekuatan yang disemai di dalam diri, mereka mampu menentang kejahatan yang ingin memusnahkan kehidupan mereka.
Bagi Afrina, memang Hud bukan Umar. Tetapi, Umar hanyalah kisah silam yang menjadi persinggahan sebelum Allah temukan Hud Aidan dalam hidupnya semula. Begitu hebatnya percaturan yang Maha Esa.
Bagi Hud, Afrina merupakan titik permulaan untuk dia bangkit daripada kejatuhannya. Di saat Hud merasakan dunianya gelap, Afrina hadir buat seketika sebagai penyeri untuk Hud sedar bahawa hidup harus diteruskan.
Benar, jodoh dan maut itu rahasia Allah. Tiada siapa yang mampu menebak takdir yang ditulis oleh Allah. Hanya sahaja, setiap insan perlu menerima apa saja yang sudah ditentukan oleh Allah bersama hati yang lapang.
Tamat...
Alhamdulillah, tamatlah sudah kisah aksi romantik misteri KERANA AKU BUKAN DIA setelah tujuh bulan karya ini dimuat naik.
Terima kasih yang tak terhingga kepada kalian yang sudi meluangkan masa untuk membaca karya Syaf 💕
Inilah gambaran tempat kejutan yang Hud bagi kepada Afrina ☝️
Sebelum melabuhman tirai, mari saksikan video yang Syaf buat ini dulu sempena tamatnya KABD 🍃
Video yang memaparkan sebahagian karakterisitik watak daripada karya ini.
Cast yang terdapat dalam video ini juga merupakan cast yang syaf bayangkan sepanjang menulis 55 episod KABD...
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top