Episod 53 🍃

"TOLONG, jangan sia-siakan anak abah. Kalau Hud dah tak mahukan anak abah lagi, pulangkan dengan cara yang baik. Ini peluang yang Allah dah berikan kepada kita. Peluang untuk saling menghargai antara satu sama lain."

Itulah pesanan yang diberikan oleh Encik Talib kepada menantunya sebaik sahaja figura Hud Aidan terpasak di hadapan. Raut wajah Hud ditatap dengan pandangan yang penuh ketegasan. Memberikan amaran agar Hud tidak menyakiti Afrina lagi.

"Hud tahu ucapan maaf Hud ini tak cukup untuk tebus semua kesalahan Hud yang lalai dalam melindungi Afrina. Abaikan dia bila mana Hud dalam tekanan sehingga Afrina ditimpa bahaya. Tapi... Hud akan tebus semua kesalahan Hud dengan sebaiknya. Hud bersumpah, abah," tekad Hud sambil menaikkan tangannya. Berjanji bahawa semua yang telah berlaku akan dijadikan sebagai ibrah dalam kehidupan.

Encik Talib sekadar mengangguk dan menepuk bahu anak muda di hadapannya. Senyuman nipis terkulum di bibir tuanya. Dia yakin, anak perempuannya tidak pernah salah dalam memilih suami. Dia faham bahawa usia pernikahan di antara Hud dan Afrina masih terlalu muda. Pasti ada kesilapan untuk mereka membaiki hubungan di kemudian hari.

Pintu wad dibuka dari dalam. Puan Sofia dan Arisha melangkah keluar meninggalkan Afrina yang sudah kembali sedar setelah dua bulan berlalu. Masing-masing lega bila mana Afrina kembali bangun.

Mana tidaknya, dengan kecederaan yang dialami oleh Afrina, harapan untuk Afrina selamat begitu tipis. Namun, dengan kuasa doa yang tak henti-henti, Afrina selamat dan diberikan peluang kedua untuk menikmati dunia yang fana ini.

"Masuklah Hud. Anak mama dah lama tunggu Hud datang. Tapi, mama harap Hud bersabar dengan emosi Afrina. Emosi dia tak berapa stabil," ujar Puan Sofia. Ada kekesalan di sebalik nada suaranya.

"Entah kakak tu. Dia boleh cakap dia tak nak tengok muka abang. MasyaAllah. Tak patut dia cakap macam tu. Dia tak tahu ke yang syurga..."

Tak semena-mena, Arisha mendesis sakit tatkala lengannya dicubit oleh Puan Sofia. Bibirnya mula muncung. Tangan ligat mengusap lengan yang terasa perit. Hailah, dia hanya mahu memberitakan hal yang sebenar saja. Itu pun salah.

Mendengarkan omongan Arisha membuatkan Hud mulai resah. Pelbagai andaian yang mula bermain di benak fikiran tatkala berita itu seakan-akan membingitkan telinga Hud. Afrina marahkah di atas kekhilafannya?

"Mama dah cakap dekat dia, jangan layan sangat emosi tu. Biasalah, Afrina tu ego. Mama, abah dengan Arisha nak balik dulu. Nanti kalau ada apa-apa call abah," kata Puan Sofia. Memberikan keyakinan kepada menantunya bahawa emosi Afrina sudah dikawal. Hanya saja, Puan Sofia tidak tahu kisah apakah yang akan berlaku sebentar saja lagi.

Hud mengangguk lemah. Perlahan-lahan, dengan lafaz Bismillahiramanirahim, tombol pintu dipulas. Dinding hati Hud mula bergelojak hebat. Ritma jantung mula berdegup kencang sebaik sahaja Hud melangkah masuk. Atmosfera dingin mula menyelinap masuk ke dalam sukmanya.

Pandangan Hud serta-merta tertancap ke laman wajah Afrina yang tegang dan pucat. Namun, hanya seketika apabila Afrina mengalihkan pandangannya seraya memejam mata dengan erat. Oh sungguh, Hud mula rasa kekok dengan kedinginan Afrina itu.

"Sayang, abang datang ni. Syukurlah sayang dah sedar. Dua bulan abang tunggu..."

"Anak... kita. Awak... cuma nak... tunggu keadaan anak kita... saja, kan?" pintas Afrina. Nada suaranya kedengaran begitu serak di halwa telinga. Seakan-akan Afrina sukar untuk berbicara saja tika itu.

Hud tersentak dengan kedinginan Afrina. Perlahan-lahan, duduknya dilabuhkan di kerusi. Tangan Afrina dicapai lalu digenggam erat. Seerat rasa rindunya mendengar suara pemilik hatinya.

"Sayang, abang minta maaf sebab sakitkan hati sayang sebelum ni. Abang sedar yang abang dah abaikan tanggungjawab abang untuk melindungi sayang. Abang..."

Hud kematian kata tatkala Afrina menarik kasar tangannya daripada genggaman Hud. Pandangan sinis Afrina membuatkan jiwa Hud jadi hiba. Aura Afrina yang tegas dan dingin seperti dulu tiba-tiba menerpanya. Kenapa dengan Afrina? Hud buntu.

"Keluar. Boleh?"

"Sayang marahkan abang kan sebab abang abaikan sayang dulu. Ya, abang mengaku abang salah. Sampai sekarang abang tak boleh nak maafkan diri abang lepas apa yang dah jadi dengan sayang dan anak kita. Besar penyesalan abang sepanjang sayang koma. Tapi, abang cuma nak berada di sisi sayang saja saat ini. Please, bagi abang peluang," pujuk Hud sambil mengenggam erat tangan Afrina lagi. Lantas, tangan itu dikucup bertalu-talu. Melepaskan sesak yang membelenggu jiwanya.

Omongan Hud membuatkan Afrina kematian diksi. Dia penat. Semakin banyak Afrina bersuara, lukanya semakin sakit. Kini, Afrina hanya mampu membiarkan Hud membelainya sahaja. Hanya pandangan yang mampu Afrina berikan buat Hud yang kelihatan sedikit cengkung.

"Abang tak akan sia-siakan sayang dengan anak kita. Allah dah berikan peluang dan dengar semua doa-doa abang. Jadi, abang kena ambil peluang itu untuk baiki kelemahan abang. Sayang ambillah seberapa banyak mana masa yang sayang perlukan. Abang faham. Tapi, abang tak boleh biarkan sayang sendirian lagi," kata Hud. Tangannya ligat mengusap kepala Afrina yang berbalut dengan tudung. Senyuman masih mekar di bibirnya.

"Dua bulan sayang koma. Dua bulan abang hidup dalam penyesalan. Ketakutan. Abang takut kalau sayang pergi tanpa sempat abang ucapkan yang abang... terlalu cintakan sayang setulus hati. Tanpa sempat abang mohon kemaafan di atas kekhilafan abang. Sayang nak layan abang sekasar mana sekalipun, abang tak akan lawan. Abang dah buat salah, kan. Abang terima," tambah Hud seraya melekapkan tangan Afrina ke pipinya. Sungguh, rindunya pada Afrina tak tertanggung lagi.

Kata-kata yang diujarkan oleh Hud Aidan benar-benar meruntun jiwa Afrina. Wajah tampan suaminya ditatap dengan penuh kasih. Afrina tidak mampu menidakkan bahawa dia amat merindui suaminya. Kini, Allah sudah memberikannya waktu untuk membaiki kesilapan diri. Hanya saja, Afrina masih tidak mampu menerima perkara buruk yang sudah menimpa hidupnya.

"Anak kita, dia kuat sangat macam ibu dia. Walaupun bahaya sudah menimpanya, anak kita masih aktif dalam kandungan sayang. Terima kasih sayang, bagi abang peluang untuk rasakan sebuah kebahagiaan."

Hud beralih pula mengusap lembut kandungan isterinya yang sudah mencecah usia dua bulan. Senyumannya semakin lebar sehingga menampakkan gusinya tatkala impiannya untuk bina sebuah keluarga yang bahagia mula bermain di benak fikiran.

Tatkala itu juga, bibir Afrina mula menggeletar menahan sebak. Jiwanya rapuh. Dinding hati tak putus-putus memanjatkan kesyukuran ke atas ilahi tatkala kandungannya masih selamat. Saat itu juga, memori Afrina seakan-akan menayangkan semula babak penculikan ke atasnya.

Dia bukan sahaja dikurung. Dia turut dipukul akibat melawan. Afrina hanya membayangkan bahawa anaknya tidak akan selamat. Bahkan, dirinya juga hampir dinodai oleh konco Mirza. Oh sungguh, Afrina trauma. Dia masih merasakan nyawa anaknya dalam ancaman tika ini.

"Hey, kenapa sayang? Sayang ada sakit dekat mana-mana ke?" soal Hud bertubi-tubi tatkala tangisan Afrina tiba-tiba pecah. Bahkan, wajah manis Afrina sudah mula merah dengan tubuh yang menggigil ketakutan.

"Anak kita... anak kita dah... selamat ke? Huh? Mirza, Yunus... dia orang... dia orang akan bunuh... kita bertiga lagi... ke?"

Soalan bertubi-tubi daripada Afrina membuatkan Hud tergamam buat seketika. Hatinya jadi sebu melihat kondisi Afrina yang ketakutan. Sungguh, Hud khuatir andai trauma menghempap hidup isterinya dengan segala marabahaya yang mereka lalui selama ini.

Lantas, Hud kembali mengenggam erat tangan isterinya yang masih terbaring lemah. Bahu Afrina yang sudah terhinggut-hinggut diusap lembut. Semakin Hud memujuk, tangisan Afrina semakin kedengaran sayu.

"Sayang, semuanya sudah berakhir. Kita sudah selamat. Kan abang dah cakap, kejahatan tak akan menang. Abang tak akan tinggalkan sayang. Walau apapun yang sudah berlaku, sayang tetap pengarang jantung abang. Menangislah sayang. Lepaskan semua beban yang sayang pikul," pujuk Hud seraya mengucup lembut dahi Afrina. Air mata yang mengalir ke pipi Afrina dikesat lembut.

Afrina terus memejamkan matanya dengan erat. Tangan Hud digenggam erat. Seerat rasa takut yang membaluti tubuhnya. Afrina hanya memerlukan kehangatan Hud Aidan saja tika itu. Keegoaannya ditepis buat seketika.

HARI demi hari berlalu begitu pantas. Afrina semakin beransur pulih dari kecederaannya. Namun, Afrina perlu dipantau dan tidak boleh dibiarkan bersendirian. Afrina turut diberikan pantang larang sehingga membuatkan dia jadi rimas. Afrina itu seorang yang lasak. Sudah tentunya Afrina tidak senang bila mana dia dilarang dari melakukan aktiviti demi menjaga kandungannya.

"Tak sabarnya tunggu baby lahir. Nanti mesti baby comel sebab mummy dia cantik."

Celoteh Dina mula kedengaran di dalam wad. Senyuman lebar terkulum di bibirnya. Lolipop di tangannya diletakkan ke dalam mulut. Sesekali, tangannya menyentuh kandungan Afrina yang masih kempis.

"Mestilah comel. Tengoklah muka pak cik Dina macam mana. Handsome kan? Hah nanti baby mesti comel sebab ikut muka ayah dia," kata Hud pula sambil mengemas pakaian Afrina ke dalam beg.

"Hah lagi satu, Dina kena panggil Kak Afrina tu mak cik. Bukannya kakak. Kakak dah kahwin dengan pak cik Dina jadi mestilah kakak tu jadi mak cik Dina. Faham?" tambah Hud lagi. Sesekali, pandangannya bersatu dengan Afrina yang sedang mencerlungkan mata kepadanya. Masih ada riak tidak berpuas hati di laman wajah isterinya.

Manakan tidak, Afrina masih dalam mood merajuk selepas Hud mengabaikannya. Sehingga Afrina nekad untuk pulang ke rumah orang tuanya. Tak betah lagi mahu berhadapan dengan Hud yang sudah melukai sekeping hatinya. Masih terimbas di ingatan saat Hud memulaukan dan menengkingnya. Tapi, Puan Sofia menegah Afrina untuk pulang ke rumah keluarga. Katanya, syurga di bawah telapak kaki suami.

"Tak kesahlah. Dina nak panggil kakak ni kakak juga. Pak cik tu lainlah, dah tua. Kakak muda lagi," jawab Dina seraya memeluk erat tubuh Afrina yang sedang bersandar di kepala katil.

Tak semena-mena, wad mula dihiasi dengan gelak tawa. Masing-masing terhibur dengan celoteh Dina. Budak perempuan berusia lima tahun itu benar-benar petah dalam berhujah. Hud sendiri jadi kelu untuk bersuara.

"Masa Sherin mengandungkan Dina, Sherin ada mengidam apa-apa tak? Mulut Dina ini dah macam burung murai. Tak reti duduk diam," omel Hud. Pipi gebu Dina dicubit lembut. Geram dengan jawapan yang meniti di bibir anak buahnya.

Sherina hanya tersenyum dengan omongan abangnya. Tiada diksi yang mampu diujarkan saat melihat kebahagiaan dalam keluarganya. Tiada lagi derita. Tiada lagi dendam. Semuanya sudah berakhir. Benarlah, di sebalik derita pasti akan berakhir dengan sebuah kebahagiaan. Hanya saja, dugaan itu perlu dihadapi dengan sebuah ketabahan.

"Hud, macam mana dengan perbincangan kita? Kau setuju ke tak? Aku tak boleh tunggu lama-lama. Takut perempuan idaman aku kena kebas. Tak naklah aku merana buat kali kedua," ujar Ibrahim pula. Meluahkan hasrat yang disimpan. Sesekali, pandangannya saling bersatu dengan Sherina yang sudah tersipu-sipu. Bibir semakin terhias dengan senyuman lebar.

Tak semena-mena, Hud tertawa kecil dengan omongan Ibrahim. Wajah Ibrahim dan Sherina dipandang silih berganti. Ibrahim sememangnya seorang yang penuh dengan kejujuran dan keberanian. Hud sendiri tidak dapat sangkalkan sikap sahabatnya.

"Kau gelak kenapa? Aku seriuslah dengan niat aku!" tegas Ibrahim. Sakit pula hatinya bila mana Hud seakan-akan mempermainkan niat baiknya untuk menjadikan Sherina yang halal baginya.

"Okay. Kau kena tanya Dina dulu sama ada dia setuju atau tidak," jawab Hud. Mula dalam keadaan yang serius bila wajah Ibrahim mula tegang.

"Dina, pak cik nak tanya ni. Dina... nak ayah baru tak?"

Tatkala itu juga, baik Hud mahupun Afrina, keduanya sudah menyembunyikan tawa. Hailah, Ibrahim ini sikapnya memang berterus terang. Pantas. Sherina yang hanya menjadi pemerhati pula sudah
menahan malu.

"Tak naklah. Dina tak nak tengok mummy kena pukul. Kesian mummy. Dulu, daddy selalu pukul mummy sampai mummy masuk hospital," tolak Dina sambil memandang wajah Ibrahim.

Suasana mula sepi dengan penolakan Dina. Afrina yang duduk di sisi Dina hanya mampu tersenyum dengan kematangan si gadis kecil. Afrina mengerti perasaan Dina yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

"Dah jumpa jawapannya? Dia tolak kau mentah-mentah. Hah tu maksudnya..."

"Hud, benda boleh usaha. Awak dah lupa ke yang abah pernah tolak awak dulu? Patut awak bagilah tips dekat Rahim macam mana awak yakinkan abah untuk kahwin dengan saya," pintas Afrina. Sakit pula hatinya bila Hud bergurau kasar dalam keadaan serius seperti itu. Hud ini bila sudah keluar tiga sukunya kadangkala membuatkan hati Afrina bergelegak panas.

"Sherin, kau pun satu. Kalau kau betul-betul serius, kau kena buat sesuatu untuk pujuk anak kau. Aku faham dia trauma. Sama macam kau. Aku yakin, pilihan kau merupakan pilihan yang tepat. Cuma sekarang, kau kena pastikan Dina yakin yang Rahim... boleh jadi ayah yang baik untuk dia," pesan Afrina lagi. Suaranya yang tegang membuatkan suasana mula dingin. Aura garangnya mula kembali menjelma.

"Isteri kau juga yang boleh pakai daripada kau. Tak apa. Ini Inspektor Ibrahimlah. Dia akan usaha selagi tak ada halangan. Maka dengan itu, awak tunggu pinangan daripada saya lepas kita yakinkan anak awak ya, Sherin."

Tika kata putus diucapkan oleh Ibrahim, tika itu juga pandangan Hud dan Afrina saling bersatu. Seakan-akan dejavu menerpa pasangan itu tatkala melihat tekad Ibrahim. Kalau dulu, Hud berhadapan dengan abahnya Afrina. Kini, Ibrahim pula perlu meyakinkan Dina dan Sherina sendiri.

Namun, saat Hud menguntumkan senyuman manisnya, Afrina sekadar membalasnya dengan jelingan maut. Jelas, Afrina masih dalam kondisi emosi tidak stabil! Tidak dapat tidak, Hud perlu membuat misi untuk memikat Naurah Afrina semula.

SAAT kenderaan yang dipandu oleh Hud diparkir di hadapan sebuah rumah kampung berkonsepkan rumah kayu, dahi Afrina serta merta dilapisi dengan sejuta kerutan. Bibirnya diketap menahan geram. Wajah Hud terus ditatap tajam.

"Awak bawa saya pergi mana? Saya dah cakap yang saya nak balik rumah keluarga saya. Awak ni ada masalah pendengaran ke?" marah Afrina. Dinding hatinya benar-benar marak dengan api kemarahan. Hud memang cari fasal!

Hud sekadar tersenyum nipis. Tubuhnya lantas didekatkan ke tubuh Afrina. Tali pinggang keledar yang melilit tubuh Afrina ditanggalkan. Saat tubuh mereka hanya sejengkal, saat itu juga wangian Hud yang menusuk rongga hidung Afrina membuatkan kemarahannya sedikit reda. Dia suka bau ini. Bau maskulin yang sangat menyenangkan Afrina.

"Kita ada dekat rumah mak angkat abang. Nanti sayang berkenalan dengan keluarga angkat abang. Sekarang, hari dah malam. Sayang pun baru keluar hospital. Kena dapatkan rehat secukupnya," jelas Hud seraya melangkah keluar dari kereta.

Bonet dibuka. Bagasi dikeluarkan sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah. Meninggalkan Afrina yang masih dalam keadaan diserang amarah itu.

Sungguhlah, tingkah Hud yang sesuka hati membuat keputusan tanpa pengetahuannya membuatkan Afrina mula pusing. Apa Hud tidak mengerti rajuknya masih belum hilang? Saat itu, Afrina hanya mampu mengeluh berat sambil berpeluk tubuh.

"Sayang, jom keluar. Mak, abah dengan Mariam dah tunggu sayang tu. Mak ada masak makanan spesial untuk sayang juga. Sambut kedatangan menantu dia orang," kata Hud sebaik sahaja pintu kereta dibuka.

"Awak ni tak faham bahasa ke? Saya dah cakap yang saya tak nak ikut awak balik! Saya nak duduk rumah keluarga saya sampai sembuh. Susah sangat ke nak faham isteri sendiri? Huh?"

Tak semena-mena, tawa Hud meledak dengan omelan Afrina. Sudah terlalu lama Hud tidak melihat Afrina yang tegas. Manakan tidak, sejak dia menikah dengan Afrina, sudah lama Afrina tidak melontarkan kemarahannya.

"Apa yang kelakar? Awak ingat saya main-main ke!"

Serta merta, tawa Hud terhenti tatkala kemarahan Afrina semakin berada di kemuncak. Sebaik mungkin Hud cuba mengawal tawanya. Tidak mahu Afrina tertekan dek kerana keadaan Afrina yang sedang hamil.

"Sayang janganlah marah-marah. Kesian anak kita. Mesti dia terkejut bila ibu dia jadi naga. Jom, turun..."

"Oh, jadi sekarang ni awak nak fikirkan pasal anak kita sajalah? Perasaan saya? Awak tak pernah fikir langsung pun pasal saya, Hud! Sudahlah. Awak pergilah masuk. Saya tidur dalam kereta ini pun tak apa!" tegas Afrina seraya mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Hud. Di muka pintu, tiga figura sudah berdiri di hadapannya. Menanti kehadiran Afrina sebagai tetamu terhormat.

Hud menggelengkan kepalanya dengan kedegilan Afrina. Keras kepala! Tanpa berlengah, Hud terus mencempung tubuh Afrina dan melangkah masuk ke dalam rumah. Tak semena-mena juga, mata Afrina membuntang dengan tindakan drastik Hud itu.

"Hud! Turunkan sayalah. Awak tak malu ke orang nampak?" tegas Afrina seraya memukul dada suaminya. Serta merta, jantung Afrina berdegup kencang tatkala perasaan malu mula menerjahnya.

"Tadi sayang cakap abang tak faham sayang. Siapa cakap? Abang faham saja apa yang saya rasa. Sayang penat lepas tu sayang tak mampu nak turun dari kereta dah. Jadinya, abang sanggup dukung sayang masuk dalam rumah. Takkan abang nak biarkan sayang seorang dekat luar. Sayang tu masih dalam fasa pulih," kata Hud bersama senyuman nakal yang mula terbit di bibirnya.

"Assalamualaikum, mak, abah, Mariam. Kenalkan, inilah Naurah Afrina. Maaflah, Aidan kena dukung dia masuk sebab isteri Aidan ni tak berapa sihat," kata Hud seraya mendudukkan Afrina di atas kerusi rotan.

Mak Senah dan Mariam terus meluru ke arah Afrina yang masih dalam keadaan terkejut itu. Oh sungguh, Afrina merasakan dia mahu membenam kepalanya di bawah bantal. Sudah tentunya dia malu. Kecil besar saja dipandangnya Hud yang duduk bertentangan dengannya. Reaksi Hud hanya tenang. Seolah-olah tiada apa yang berlaku sebentar tadi.

"Tak apalah, Aidan. Kami faham. Manis Afrina ini. Ada seri ibu mengandung. Afrina minumlah dulu. Hangatkan badan. Ini, mak ada buatkan kuih ketayap dengan kuih koci untuk Afrina. Aidan kata Afrina suka makan kuih ni," pelawa Mak Senah sambil menghulurkan teh panas dan sepinggan kuih kepada Afrina.

Tika itu, keramahan keluarga angkat Hud membuatkan Afrina kematian diksi. Fikirannya jadi bingung. Apa motif Hud membawanya ke Melaka? Bagaimana Hud mempunyai keluarga angkat di Melaka? Semuanya jadi persoalan yang terlalu hebat bagi Afrina.

Bersambung...

Thanks korang sudi baca 💕

Maaflah kalau bab ni cringe 🤭 bab action, misteri dah berakhir. Maka peleraian ini semua manis sahaja ✌

Dah lama tak buat Hud tiga suku 🤣 pelik pula bagi dia marah-marah sajo

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top