Episod 51(1) 🍃
"AKU bagi kau peluang. Lenyapkan Idris Holding dalam masa 24 jam. Kalau kau gagal musnahkan Idris Holding dalam masa yang aku tetapkan, kau tunggulah hadiah istimewa daripada aku. Mayat isteri kau yang sedang mengandungkan anak kau. Sound's interesting, right?"
Ugutan Mirza yang terngiang-ngiang di corong telinga membuatkan semangat Hud untuk 'menghabiskan' abang tirinya semakin berkobar-kobar. Rasa gentar ditepis sejauh yang mungkin. Hanya doa yang Hud jadikan sebagai senjata untuk menguatkan mentalnya tika ini.
Mirza benar-benar ingin mencetuskan sebuah peperangan. Jadi, Hud akan menyahut cabaran Mirza dengan segala persediaan yang sudah dilakukan. Demi keselamatan isteri dan anaknya. Lantas, usai sahaja Hud menyisip glock yang dicapai di biliknya, Hud melangkah keluar dari kamar.
"Abang, kita biarkan Rahim selesaikan semua ini. Please?" kata Sherina yang baru sahaja selesai menghubungi Ibrahim. Meminta bantuan Ibrahim untuk menyelesaikan kes penculikan Afrina.
Hud tidak menghiraukan nasihat adiknya. Laju langkah diatur meluru turun anak-anak tangga. Fikirannya ligat memikirkan cara untuk menghelah Mirza saja saat ini. Sungguh, Hud juga tidak tega untuk memusnahkan hasil titik peluh arwah papanya!
"Abang! Rahim boleh tolong..."
"Dia tu pembelot! Abang tak nak dia masuk campur urusan keluarga kita lagi!" Tak semena-mena, Hud menempelak Sherina yang sudah menghalangnya di muka pintu. Tajam anak matanya menikam raut wajah adiknya yang kelihatan khuatir itu.
"Abang merepek apa ni? Abang sedar tak yang Rahim tu sahabat abang? Dia dah banyak tolong abang. Tolong Sherin. Masa Zanif serang Sherin dulu, dia yang selamatkan Sherin dan Dina. Kalau tak, mesti Dina dah kena jual dengan Zanif dulu!" tegas Sherina. Meluahkan rasa ketidak puasan hatinya dengan sikap abangnya yang aneh.
Hud mengeluh berat sebaik sahaja omongan adiknya membingitkan telinga. Kepala digelengkan. Hud benar-benar tiada masa untuk berdebat mengenai perihal Ibrahim. 24 jam. Itu sahaja masa yang diperuntukkan untuk menyelamatkan Afrina.
Lantas, tubuh Sherina ditolak lembut. Pintu dibuka luas. Tatkala itu juga, bahang seakan-akan menerobos masuk ke dalam rumah agam itu. Angin kemarahan semakin membakar dinding hati Hud tatkala roman wajah Ibrahim terpampang di kornea matanya.
"Hud... aku boleh tolong kau. Jangan bertindak..."
Tak semena-mena, Ibrahim kematian kata tatkala kolar bajunya dicengkam oleh Hud. Mendadak, tubuhnya tersentak ke hadapan. Riak kemarahan benar-benar terpancar di roman wajah Hud sehingga urat-urat hijau mula timbul di dahinya. Matanya galak seperti api yang menjulang tinggi.
"Aku tak perlukan bantuan daripada pembelot negara macam kau! Puaslah hati kau kan dengan apa yang dah berlaku dengan isteri aku! Sekarang ni, mana kau sembunyikan isteri aku? Huh! Mana Mirza?" herdik Hud. Nada suaranya yang sudah memetir membuatkan suasana senyap buat seketika.
Baik Ibrahim mahupun Sherina, keduanya seakan-akan beku. Hanya sorotan mata Ibrahim sahaja yang saling bersatu dengan Hud. Terasa kelat liur yang ditelan dengan omongan sahabatnya. Sungguh, Ibrahim kaget!
"Mana Mirza? Kau mesti tahu mana si bangsat itu simpan isteri aku! Kau dah lama berkomplot dengan dia..."
"Apa kau merepek ni! Bila masa aku berkomplot dengan Mirza? Siapa yang sebarkan fitnah pasal aku? Kau jangan nak tuduh melulu kalau kau tak ada buktilah Hud!" tegas Ibrahim seraya menolak kasar tubuh Hud. Sebaik mungkin Ibrahim cuba mengawal kemarahan yang membakar sukmanya.
Terherot senyuman sinis di bibir Hud dengan omongan Ibrahim itu. Wajahnya diraup kasar bersama dengan buku lima yang digenggam erat. Kesabaran yang masih tersisa cuba dikawal sebaik yang mungkin.
"Bukti? Aku dah lama ekori kau. Aku dapat hasilnya bila aku ekori kau setiap kali kau balik dari ibu pejabat. Kau jenis tak akan berurusan dekat tempat-tempat terbiarlah, Rahim! Aku kenal kau bukan sehari. Dah hampir 10 tahun aku kenal kau! Berapa Mirza bayar kau untuk tutup jenayah dia? Berbaloi sangat ke bayaran dia sampai kau khianat sahabat kau sendiri!" tegas Hud seraya meluru masuk ke dalam keretanya. Mahu sahaja dilayangkan penumbuknya ke wajah kelat Ibrahim. Kalau Ibrahim tidak mahu berkompromi dengannya, Hud masih ada jalan lain untuk mencari keberadaan Mirza.
"Rahim, be... betul ke apa yang abang saya cakap? Awak..."
"Ikut naluri awak sajalah sama ada awak nak percaya atau tidak. Saya ada urusan yang lebih penting yang saya perlu buat. Saya minta diri dulu," pintas Ibrahim bersama senyuman sinis terukir di bibirnya. Telefon pintarnya lantas digagau di dalam kocek jaketnya. Mendail nombor yang akan membantu melaksanakan urusan pentingnya saat itu.
TANGAN dibawa ke pelipis lalu dipicit dengan dahi yang berkerut menahan sakit. Bau rokok seakan-akan menusuk rongga hidungnya. Bau itu seakan-akan meloyakan tekaknya saja. Afrina cuba mencelikkan matanya namun sakit akibat hentakan pada kepala membuatkan kantung matanya terasa begitu berat.
"Hud..."
Hanya nama itu yang mampu terzahir di bibir pucat Afrina. Ingatannya mula mengimbas kejadian yang berlaku padanya hari ini.
Dia dan Hud sedang melancarkan perang dingin. Namun, dek kerana kerinduannya kepada Hud, Afrina sempat menyediakan makanan kegemaran buat suaminya. Kemudian, Afrina membuat pemeriksaan kesihatan dan dia didapati mengandung. Tiga minggu. Itulah tempoh Afrina tidak menyedari bahawa ada janin di dalam rahimnya.
"Good evening, Mrs Hud Aidan," ujar suara garau sekali gus mematikan terus memori Afrina berkaitan kejadian yang berlaku kepadanya hari ini.
Perlahan-lahan, Afrina mencelikkan matanya. Samar-samar di pandangannya dua figura yang sedang menatapnya dengan riak sinis. Tatkala pandangannya semakin jelas, saat itu juga anak mata Afrina membuntang melihat wajah Mirza dan Farisha.
Tak semena-mena, satu tamparan kuat dihayunkan ke pipi Afrina. Berdengung telinganya dengan tamparan kuat Farisha yang seakan-akan melepaskan amarah itu. Tudungnya lantas dijambak dari belakang sebelum filem 3D hasil daripada ultrasound dilayangkan ke wajah Afrina.
"Kesian betul hidup kau ini. Sepatutnya, suami kau temankan kau buat check up pregnancy. Ini, kau boleh pergi seorang saja? Hud dah mulai abaikan kau ya selepas mama dia mampus?"
Afrina hanya diam dengan omongan sinis Farisha. Hanya sorotan matanya yang tajam sahaja saling bersatu dengan gadis berbaju serba hitam itu. Entah mengapa, penampilan Farisha pada hari itu membuatkan Afrina merasakan bahawa dia tidak mengenali Farisha yang bimbo itu lagi.
"Kau... memang dah gila, Farisha! Kenapa kau selalu menidakkan takdir? Terima sajalah yang Hud..."
Sekali lagi, Farisha melayangkan tangannya ke pipi Afrina. Tangkas, Afrina menangkis dengan mengenggam erat pergelangan tangan Farisha. Malahan, sengaja Afrina memulas tangan yang ingin menyakitinya sehingga kerutan di dahi Farisha jelas kelihatan.
"Far, dahlah tu. Jangan tibai perempuan ni dulu. Kita masih ada banyak masa nak bermain dengan dia sebelum kita tunggu..."
Mirza jeda.
Perlahan-laha , tangannya yang bermain dengan glock dibawa ke tepi dahi Afrina. Picu ditarik. Wajah Afrina mula kelihatan ketakutan dengan mata yang terpejam rapat saat muncung senjata diacukan ke dahinya. Tangannya digenggam erat sehingga menyucuk tapak tangan. Debaran di jantungnya semakin kencang dengan ancaman di depan mata.
"Sebelum kita saksikan, kematian Hud Aidan di hadapan mata isterinya sendiri. Wow! I dah tak sabar nak saksikan drama melankolik yang I arahkan sendiri, sayang. So, we just keep waiting and playing with her!" sambung Mirza bersama tawa sinisnya. Seronok melihat Afrina yang seakan-akan menggeletar ketakutan.
"Chill! Aku tak letak peluru dalam senjata ni. Aku nak simpan peluru khas untuk adik kesayangan aku saja. Eh, kesian juga kau ni. Baru sebulan kahwin, bakal jadi balu. Tak apa. Sahabat Hud itu sudah bersedia untuk menggantikan tempat Hud," ugut Mirza lagi. Dia bangun dari duduk seraya memaut pinggang Farisha melangkah keluar dari bilik terbiar itu. Senyuman kemenangan terukir di bibirnya tatkala membayangkan babak kematian Hud sebentar sahaja lagi.
Mendengarkan itu, jantung Afrina seakan-akan luruh. Matanya dicelikkan. Tubir mata mula terasa hangat dengan ugutan Mirza. Afrina takut! Takut jikalau dia kehilangan Hud seperti mana dia kehilangan Umar. Tambahan pula, jiwa Afrina semakin bercelaru memikirkan apa benar Ibrahim itu pembelot?
Lantas, Afrina bangun dari duduknya seraya meluru ke arah Mirza. Tanda tanya yang bermain di benak fikiran memberikan sedikit keberanian kepada Afrina untuk merungkaikan persoalan. Kayu yang tergeletak di sudut dinding dicapai sebelum dihayunkan ke arah Mirza dari belakang.
"Gotcha! Jangan ganas sangat..."
"Siapa pembelot tu?" jerkah Afrina tak semena-mena. Zalim. Itu sahaja yang mampu diberikan kepada Mirza yang sempat menangkis pukulan Afrina.
"Mana boleh bagi tahu. Semua itu, rahsia. Nanti kau akan tahu juga siapa pembelot itu. Ke... kau dah tahu? Hah sudah! Apa-apa sajalah. Apa yang penting, aku dah tak sabar nak dengar berita syarikat itu dilenyapkan dan tayangan babak kematian Hud Aidan. Kau, duduk sini diam..."
Sekali lagi, Afrina menujahkan lutunya ke rusuk Mirza dengan kuat sehingga membuatkan lelaki itu termengaduh dan tertunduk kesakitan. Tendangan turut dilayangkan ke tengkuk Mirza sehingga lelaki itu tersungkur. Di kesempatan itu, Afrina menolak kasar tubuh Farisha yang diserang kejutan seraya meluru keluar dari bilik tahanan itu. Afrina mahu bertindak!
"Jahanam! Kau memang dah cabar kesabaran aku betina!" jerkah Mirza sehinggakan suaranya bergema di segenap bangunan tinggal itu. Perlahan-lahan, Mirza bangun. Laju langkah diatur mengejar Afrina sambil menahan kesakitan. Lasak sungguh isterinya Hud Aidan itu.
"Kau orang kejar betina tu! Jangan biarkan dia terlepas!" arah Mirza kepada tujuh orang suruhannya yang sedang bermain daun terup. Glock dicapai untuk mengisi peluru. Nampaknya, Afrina bukan selemah yang disangkakan. Mirza salah percaturan.
Afrina terus meloloskan diri dari bangunan itu. Bibirnya tak putus-putus berdoa agar Allah melindungi keselamatannya dan orang-orang tersayang. Ugutan daripada Mirza benar-benar membuatkan Afrina gerun. Dia tidak tega jikalau Hud dibantai habis-habisan!
Namun, nasib tidak menyebelahi Afrina bila dia dikepung oleh tujuh orang konco-konco Mirza. Lariannya terbejat. Pandangannya menerawang memandang sekeliling. Namun hampa. Hanya hutan belantara yang mengelilingi kawasan itu.
"Afrina... Afrina. Kau ni lasak juga orangnya. Patutlah adik aku tu sampai mabuk kepayang dengan spesis ganas macam kau ini," kata Mirza sambil menepuk tangan. Senyuman sinis kembali terherot di bibirnya. Afrina memang sudah benar-benar mencalar maruahnya. Seenaknya saja gadis itu menjatuhkannya sebentar tadi.
"Kau ni memang syaitan! Hud itu keluarga kau. Bukan musuh kau! Dia masih bebinkan bapa yang sama dengan kau! Kenapa kau sanggup bunuh dia sebab harta? Lelaki..."
Tak semena-mena, Afrina kematian kata tatkala perutnya ditumbuk kuat oleh Mirza. Sungguh, tumbukan padu itu seakan-akan menghenyak isi perutnya. Sakitnya bukan kepalang sehingga dahi Afrina mula dilapisi dengan kerutan.
"Kau nak lagi tak?"
Senyap. Afrina hanya mampu tertunduk sambil mengenggam baju Mirza. Di saat itu juga, matanya tertancap pada telefon pintarnya di dalam poket jaket Mirza. Timbul satu akal di benak fikiran gadis itu.
"Aku nak bagi kau pengajaran sikit supaya kau kenal siapa Mirza Hanif yang sebenarnya! Kau yang mulakan, jangan salahkan aku kalau anak kau mati hari ini juga."
Serentak dengan amarah Mirza, tumbukan padunya ditujahkan lagi ke rusuk Afrina sehingga gadis itu terduduk kesakitan. Tangan terus dilekapkan ke perutnya yang seakan-akan dirodok. Afrina terbatuk-batuk kesesakan sambil tertunduk.
"I ada bau-bau dua kematianlah lepas ni. Satu, kematian Hud Aidan. Kedua, kematian... anak kepada Hud Aidan. Tragis juga ya kisah kau ni Afrina. Aku tak berani jaminlah anak kau tu akan selamat," kata Farisha. Dia melutut di hadapan Afrina bersama pandangan yang sudah ditundukkan. Memandang tangan Afrina yang sedang menekup perutnya.
Tika itu, Afrina hanya mampu diam. Dia sedar bahawa dia perlu mengikut rentak Mirza untuk melindungi anak dalam kandungannya. Saat itu juga, air mata Afrina mula menitis ke pipi. Tiadakah peluang untuk dia dan Hud melayari sebuah bahtera kebahagiaan?
"HUD, aku ada berita buruk untuk kau," ujar Yunus sebaik sahaja keretanya diparkir di kotak parkir Idris Holding yang kelihatan kelam kabut dengan kebakaran di tingkat tiga. Pandangannnya tertancap pada Hud dan Idris Holding silih berganti.
"Aku dah lama nantikan berita buruk sejak Afrina diculik. Apa dia?" kata Hud acuh tak acuh. Tangannya ligat mengambil foto kebakaran Idris Holding untuk dihantar kepada Mirza. Dia masih tidak bodoh mahu melenyapkan Idris Holding serta merta! Hanya perlu bermain dengan Mirza yang psiko itu.
"Titik koordinat GPS yang kau letak dalam phone Afrina tu... dah hilang. Nampaknya, mereka dah berpindah ke sebuah kawasan yang mempunyai capaian data yang limit. Kawasan pedalaman barangkali?" ujar Yunus dengan nada suara yang cemas.
Hud terkelu buat seketika. Bahunya seakan-akan jatuh dengan kebenaran yang baru menyelinap masuk ke corong telinganya. Hanya anak matanya yang tunak memandang wajah Yunus saat itu. Perlahan-lahan, tubuhnya disandarkan di belakang kereta. Baru sahaja dia menjejaki koordinat keberadaan Afrina. Kini, semuanya kembali gelap.
"Tapi, aku dah arahkan pasukan aku untuk jejak titik terakhir..."
Tiba-tiba, telefon pintar Hud berdering. Mematikan terus omongan Yunus yang berusaha menenangkan keadaan sahabatnya. Lambat-lambat Hud memandang telefon yang berada di tangannya. Melihat saja nama si pemanggil, jantung Hud kembali berdebar kencang. Punat hijau terus disentuh. Dia menjarakkan dirinya daripada Yunus. Dalam keadaan kes khianat ini, Hud turut tidak bisa memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada Yunus.
"Hud... jangan cari... saya lagi."
Alangkah terkejutnya Hud tatkala suara gemersik Afrina menyapa corong telingnya. Ada nada lemah di sebalik suara Afrina. Tubir mata mula terasa hangat dengan suara yang dirindukan itu. Nafas panjang dihela.
"Sayang, abang minta maaf sebab sakitkan sayang. Abang tak akan berhenti berusaha untuk selamatkan sayang dengan anak kita. Semua ini akan tamat, hari ini juga. Abang bersumpah sayang. Semuanya akan tamat hari ini juga!" tekad Hud dengan nada suara yang bergetar menahan sebak. Kejam! Tak henti-henti Hud menyumpah seranah dirinya yang terlalu kejam menyakiti Afrina.
"Saya... yang patut minta maaf sebab tak jadi isteri yang baik dan memahami. Hud, saya minta maaf. Mungkin semalam tu... kali terakhir kita jumpa. Jangan cari saya. Saya merayu. Kalau awak... cintakan saya, biarkan saya dengan anak kita..."
"Sayang... jangan cakap macam tu. Sungguh, selama ni abang yang banyak buat salah dengan sayang. Abang terlalu tertekan sampai abang jadikan sayang sebagai mangsa. Dengar sini, kita bertiga akan selamat. Pegang janji..."
"Sudahlah Hud. Cukup. Saya tak nak hilang awak macam mana saya hilang arwah Umar. Kalau awak ke sini, bermaksud yang awak sedang... tempah kematian untuk awak. Saya dah penat... Hud. Awak, saya... cintakan awak dengan seluruh jiwa dan raga saya. Selamat tinggal, Hud Aidan," pintas Afrina seraya menamatkan panggilan. Tangisannya langsung pecah saat itu juga. Kepalanya dilentokkan ke tepi dinding. Sesak di jiwa lantas dilepaskan. Afrina sudah pasrah. Kalau ini pengakhiran mereka, dia reda.
"Maafkan ibu, sayang. Maafkan ibu kalau ibu tak mampu... nak lindungi anak ibu," gogoi Afrina sambil mengucup lembut foto yang memaparkan ultrasound janinnya. Esakan Afrina semakin mendayu-dayu di ruangan bilik yang gelap itu. Dia takut!
Sungguh, luahan Afrina sebentar tadi membuatkan dinding hati Hud rapuh. Air mata yang mengalir ke pipinya dikesat kasar. Jiwanya sesak. Kesal yang sudah tak ada maknanya lagi tatkala dia mengabaikan perasaan Afrina. Sungguh, Hud merasakan separuh dari jiwanya hilang dengan omongan Afrina.
Namun, dia tidak akan putus asa. Demi kebahagiaannya bersama Afrina, Hud tidak akan mengalah!
Bersambung...
Nantikan episod kemuncak antara hidup dan mati sebentar sahaja lagi 😎
Sedutan episod 51(2)...
"Aku buat semua ni hanya satu sebab saja, Hud Aidan. Aku iri hati dengan kau. Hanya itu! Apa yang aku nak, semua kau dapat. Padahal, aku dah cukup berusaha sedaya upaya untuk dapatkan posisi kau! Tapi apa? Orang tak pernah nampak usaha aku. Aku pun tak tahulah apa yang istimewa sangat pasal kau!"
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top