Episod 50 🍃
CELOTEH Dina yang sedang menyiapkan kerja sekolahnya sekadar sayup-sayup di corong telinga Afrina. Gazebo yang berhadapan dengan kolam renang menjadi tempat mereka beristirehat tika itu. Namun, hembusan angin petang yang menyapa wajah tidak dapat memberikan ketenangan kepada Afrina.
Manakan tidak, sudah hampir dua minggu ibu mertuanya pergi menghadap ilahi. Sepanjang dua minggu ini jugalah, Hud semakin sibuk memburu keberadaan Mirza.
Sudah tentunya Afrina risau memikirkan tekad suaminya itu. Takut kalau-kalau sesuatu yang buruk berlaku kepada Hud. Puas sudah Afrina menghalang. Namun, Hud Aidan itu tetap seorang yang degil.
Sebungkus asam kering dicapai lagi lalu dibuka. Sejak kebelakangan ini, Afrina jadi gemar dengan makanan yang masam. Seolah-olah, tidak lengkap hari gadis itu tanpa makanan masam. Namun, ada tangan yang menghalangnya dari berbuat demikian.
"Kau tak gastrik ke makan asam? Aku tengok banyak sangatlah stok asam kau dekat dapur tu," ujar Sherina. Aneh melihat iparnya seakan-akan tak henti menjamah makanan masam.
"Aku mengidamlah. Yelah, aku ni teringin nak makan mangga muda. Tapi, abang kesayangan kau itu lebih pentingkan kesibukan dia berbanding permintaan isteri sendiri," keluh Afrina seraya menyuakan asam ke dalam mulutnya. Nikmat!
Mendengarkan omongan Afrina membuatkan dinding hati Sherina dihujani dengan persoalan. Wajah Afrina yang sedikit cemberut ditatap dengan rasa aneh. Dua plastik asam kering yang sudah habis dipandang sekilas sebelum pandangannya bersatu dengan Afrina.
"Hah, kenapa? Nak marah aku sebab aku tak puas hati dengan Hud?"
Sherina tersenyum nakal dengan soalan Afrina. Hujung selendang yang disarung ke kepala digenggam erat tatkala angin petang semakin kuat menyapa wajahnya. Pandangannya terus beralih ke laman wajah Dina. Hari demi hari, Sherina semakin bahagia bersama anaknya itu. Dia sudah bebas daripada menjadi mangsa dera Zanif.
"Kau... ada ciri-ciri ibu mengandunglah, Kak Afrina," ujar Sherina bersama senyuman yang semakin melebar.
Tak semena-mena, Afrina jadi kejung dengan kata-kata Sherina. Terasa kelat saja asam yang sedang dikunyah tika itu. Serta merta, wajah Afrina naik membahang panas. Terasa ritma debaran mula mengetuk dinding hatinya.
"Masa aku mengandungkan Dina, aku pun ada mengidam macam kau. Hari-hari aku makan mangga muda sampai gastrik. Padahal, aku jenis tak makan asam," tambah Sherina lagi. Kali ini, pandangannya kembali bersatu dengan Afrina yang sudah kaget.
"Kau tak nak buat check up ke?" soal Sherina lagi. Sebagai orang yang berpengalaman, intuisinya seakan-akan mengatakan bahawa ada benih yang sedang tumbuh dalam rahim Afrina.
Tak semena-mena, Afrina tersedak dengan soalan cepumas Sherina. Buru-buru, Sherina menghulurkan segelas air sejuk kepada Afrina. Hailah, sudah kenapa ipar yang sebaya dengannya ini kelihatan bingung.
"Check up? Aku sihat..."
"Sihat apanya kalau sarapan pun kau tak lalu. Dah dekat dua minggu kau muntah-muntah setiap pagi. Kadang-kadang tu, nak dekat-dekat dengan abang aku pun kau tak nak. Ada tau kes isteri mengandung tak boleh hidu bau suami dia. Kau tak rasa pelik ke dengan keadaan kau sekarang ni?" pintas Sherina. Menyedarkan Afrina bahawa keadaan gadis itu semakin aneh hari demi hari. Hanya saja, Afrina mengabaikan keganjilan yang ada dalam dirinya tika itu.
Kata-kata Sherina membuatkan ingatan Afrina mula mengimbas keganjilan dirinya sejak kebelakangan ini. Benar. Afrina ada kebiasaan baru. Dia tidak suka dengan wangian Hud. Malahan, Hud terpaksa mengalah dengan tidur di atas lantai demi keselesaan Afrina. Memikirkan hal itu, senyuman tergaris di bibir Afrina. Tangannya spontan merayap ke perutnya yang kempis.
"Baik kau cepat-cepat buat check up. Nanti..."
"Check up apa ni?" soal suara garau yang tiba-tiba muncul di belakang Afrina.
"Check up ke klinik ibu mengandung. Hah, alang-alang abang dah balik ni, baik abang pergi bawa Afrina buat pemeriksaan. Dia kan tak berapa sihat. Asyik muntah-muntah setiap pagi. Semacam morning sickness pun ada. Lepas tu, pergi layankan isteri abang ni mengidam makan mangga muda. Tak baik tau, abaikan isteri yang sedang mengandung ini mengidam," usik Sherina seraya ketawa kecil.
Kali ini, Hud turut terkelu dengan omongan adiknya. Fikirannya beku. Tidak dapat menafsirkan satu patah perkataan yang terzahir daripada Sherina. Sesekali, pandangannya tertancap ke wajah Afrina yang sedang menjamah asam. Sesekali, pandangannya memandang Sherina yang sudah menjongket-jongketkan keningnya.
"Hello, abang! Dengar ke tak apa yang Sherin cakap?" tegas Sherina bila Hud kelihatan bingung. Hailah, boleh pula pasangan yang baru sebulan menikah itu kebingungan tatkala perihal anak ditimbulkan. Aneh bagi Sherina.
"De... dengar. Kejap, sayang... bukan ke abang kata jangan makan asam ni banyak sangat? Sebab sayang makan asam banyak sangatlah sayang selalu muntah-muntah. Dah, nanti gastrik," tegas Hud seraya mencapai sebungkus asam yang dipegang oleh isterinya.
Tak semena-mena, raut wajah Afrina mula tegang bila mana Hud menganggu nikmatnya. Kecil besar saja wajah Hud di pandangan mata Afrina tika ini. Lantas, Afrina bangun dari duduknya dan berdiri bertentangan dengan Hud.
"Dina, jom masuk dalam. Mummy rasa panaslah dekat luar ni," ujar Sherina seraya mengemas barang sekolah anaknya. Tidak mahu menganggu Afrina dan Hud yang masih kebingungan itu.
Dina hanya menurut arahan ibunya lalu dua beranak itu berpimpin tangan masuk ke dalam rumah. Meninggalkan Afrina dan Hud yang kelihatan tegang.
"Abang kata, jangan makan asam. Kan? Kenapa sayang degil sangat ni? Abang tak nak sayang sakit. Sayang tahu kan abang sibuk uruskan pasal Mirza sekarang?"
Afrina mengeluh berat bila mana Hud mula dalam mood tegas. Pandangannya terus dialihkan ke kolam renang. Entah mengapa, dinding hatinya seakan-akan direnggut dengan ketegasan Hud. Terasa tubir matanya mula panas bila mana Hud seakan-akan tidak mempedulikannya lagi.
"Kalau saya sakit pun, saya tak harapkan awak jaga sayalah. Tak payah susah-susah jaga saya kalau awak sibuk dan rasa terbeban. Saya boleh jaga diri saya sendiri!" tegas Afrina dengan nada suara yang bergetar menahan tangis.
"Melawan. Abang cakap..."
"Saya cuma cakap benda yang betul. Sejak awak sibuk pasal Mirza, awak selalu tertekan. Ya, saya tahu awak risaukan saya. Tapi... saya nak awak bagi masa awak dekat saya. Sedikit saja pun jadilah. Tapi apa? Kalau boleh 24 jam awak duduk dekat bilik kerja arwah papa," luah Afrina. Pandangannya kembali ditumpukan ke arah Hud. Sungguh, Afrina merasakan dirinya sangat pelik. Kenapa pula dia berjauh hati dengan Hud? Tapi, dalam masa yang sama, Afrina sendiri tidak mampu mengawal emosinya.
"Tak apalah Hud. Saya nak pergi cari mangga muda tu sendiri. Saya tak boleh tanggung lagi dah rasa mengidam saya ni. Saya minta maaf, sebab berkasar dengan awak," kata Afrina lagi. Dengan langkah longlai, Afrina membawa diri masuk ke dalam rumah.
Hud meraup wajahnya dengan kasar tatkala Afrina mula merajuk. Dia tiada mood mahu memujuk hati rawan isterinya. Hanya kerana sebungkus asam kering, mereka bertelingkah. Malahan, mulut Hud terkunci rapat sebaik sahaja Afrina melontarkan luahan hatinya.
Sungguhlah, Hud benar-benar buntu dengan situasi tika ini. Fikirannya sudah terlalu sesak memikirkan keberadaan Mirza. Sehingga perubahan emosi Afrina pun, Hud tidak sedar.
MALAM itu, Hud masih menghabiskan sisa waktunya di bilik kerja Datuk Idris. Meneliti fail syarikat yang begitu asing baginya. Sejak Mirza diburu di atas jenayah yang dilakukan, semua urusan syarikat diletakkan di atas bahu Hud Aidan. Mahu tidak mahu, Hud harus membersihkan nama syarikat arwah papanya yang kini dilanda masalah.
Manakan tidak, menurut laporan pihak berkuasa, segala projek yang diuruskan oleh Mirza melibatkan taktik kotor. Nama Mirza Hanif yang sentiasa dijulang tinggi itu hanyalah drama semata bagi menutup kesalahan rasuah yang dilakukan olehnya.
Tak cukup dengan itu, taktik kotor yang digunakan oleh Mirza juga melibatkan nyawa. Sengaja abang tirinya Hud itu menggugut syarikat yang hampir muflis demi kepentingan sendiri. Tak fasal-fasal, segala aset di Idris Holding menjadi duit haram.
Tiba-tiba, sehelai kertas berlipat yang diselit di dalam fail aset syarikat terjatuh di atas lantai. Hud mencapai kertas yang sudah kelihatan kekuningan itu lantas dibuka untuk dibaca. Dahi Hud lantas berkerut tatkala namanya tertulis di atas kertas.
Ke hadapan Hud Aidan,
Kalau Aidan dapat surat ini, papa cuma nak cakap yang papa menyesal di atas kekhilafan papa kepada Aidan. Papa sedar, papa bukan ketua keluarga yang baik bagi keluarga kita. Papa dah hancurkan masa depan anak-anak papa. Bila papa tengok Sherin pura-pura bahagia, barulah papa sedar semua dosa papa selama ini. Aidan, ketahuilah kalau masa itu boleh diundur semula... papa tak akan buang Aidan daripada keluarga kita. Papa akan hormat keputusan Aidan untuk kejar cita-cita Aidan. Maafkan papa. Satu hal lagi, hati-hati dengan Mirza. Dia tumbuh menjadi seorang lelaki yang berdendam. Firasat papa kuat menyatakan bahawa dia tak akan bagi kamu hidup dalam keluarga papa lagi. Tapi, kalau ada apa-apa yang berlaku kepada syarikat papa... kepada Aidan, papa serahkan semua keputusan di tangan Aidan.
Papa, sayangkan Aidan.
"Hud... awak okay?"
Sebaik sahaja Hud menghabiskan bacaannya, suara gemersik Afrina menyapa corong telinga. Kepalanya dipanggung menatap wajah gusar Afrina. Tika itu juga, dinding hati Hud dipagut dengan rasa sayu. Setitis air mata yang mengalir ke pipinya dikesat kasar bersama keluhan berat. Sungguh, isi surat tersebut meruntun hati Hud.
"Hud..."
"Kenapa tak tidur lagi? Dah pukul 11 malam. Awak tu kan tak sihat sangat. Baik awak rehat," tegas Hud. Dia kembali membelek fail-fail maklumat syarikat. Tidah mahu kelihatan lemah di hadapan isterinya.
"Saya risaukan awak. Saya tak boleh nak tidur bila kita bergaduh siang tadi. Saya... minta maaf kalau saya berlebihan dengan awak," kata Afrina. Senyuman yang terkulum di bibirnya terasa pahit bila Hud kelihatan dingin.
"Tak payah fikirlah pasal tadi. Jangan terlalu fikirkan benda-benda remeh macam tu. Buang masa awak saja kalau awak biarkan diri awak dibelenggu dengan rasa bersalah," ujar Hud seraya bangun dari duduknya. Langkah diatur ke arah almari yang tersusun dengan deretan fail. Masih belum reda lagi kesedihannya sebaik sahaja membaca surat daripada arwah papanya itu.
"Saya ingat, esok saya nak buat check up. Awak temankan saya..."
"Lain hari boleh? Awak tahu kan yang suami awak ni sibuk dengan syarikat papa? Tolonglah faham situasi saya. Kalau awak nak pergi juga, ajaklah kawan awak tu. Tak pun, ajak Sherin!" pintas Hud sambil memberikan pandangan tajamnya kepada Afrina. Tekanan yang membelenggu jiwanya membuatkan Hud melepaskan saja emosinya kepada Afrina.
Afrina sekadar mengangguk lemah dengan ketegasan Hud. Sontak, hatinya seakan-akan karam dengan sikap endah tak endah Hud terhadapnya. Demi menghormati kesibukan Hud, Afrina akur dengan keputusan suaminya itu.
"Saya ada buatkan air untuk awak. Jom, kita minum dulu dekat bawah. Nanti bila awak dah segar, awak sambung..."
"Abang tak lapar. Kan abang dah cakap tadi, kalau abang lapar... abang pergi cari makan sendiri. Susahlah cakap dengan orang tak faham bahasa ni," pintas Hud lagi seraya menghempas fail di atas meja kerja.
"Apa masalah awak ni? Saya cakap elok-elok dengan awak kut. Kenapa? Awak dah bosan dengan saya? Huh?" tegas Afrina. Aura ketegasan mula terpancar di roman wajahnya bila Hud terus terusan berkasar.
"Hah! Baguslah tu tuduh yang bukan-bukan! Teruskan andaian buruk awak pasal saya ya Puan Afrina," balas Hud seraya bersandar di belakang kerusi. Sakit pula hatinya bila Afrina melontarkan omongan sinis.
"Dahlah. Saya malas nak bertekak dengan awak. Terima kasih sebab layan saya macam ni. Saya minta maaf kalau saya susahkan awak. Selamat malam," ujar Afrina. Matanya dijelingkan dari menatap wajah Hud. Kalau tak diikutkan rasa hormatnya, sudah lama penumbuknya dilayangkan ke wajah Hud yang menjengkelkan.
"Merajuk? Silalah merajuk lama-lama. Oh sebelum terlupa, buat masa ini, abang tak nak awak berurusan dengan Rahim."
Belum sempat Afrina melangkah keluar, suara Hud kembali menyapa corong telinganya. Makin bergelegak panas dinding hati Afrina dengan kata-kata sinis Hud. Kepala dikalih ke belakang. Memandang wajah Hud yang sedang santai menatap Afrina sambil bermain dengan pen.
"Dia tu... pembelot. Abang tak nak awak bergaul..."
"Awak dah gila ke apa tuduh Rahim yang bukan-bukan? Selama ni, Rahim dah banyak tolong awak tau. Awak dah lupa ke Encik Hud Aidan?" jerkah Afrina. Melepaskan amarah yang membakar sukmanya.
Hud tersenyum sinis dengan kemarahan Afrina. Pemuda itu mencapai telefonnya seraya galeri dibuka. Langkah diatur setapak demi setapak menghampiri Afrina sehingga tubuh mereka hanya sejengkal.
Tak semena-mena, tubuh Afrina tersandar di belakang pintu tatkala Hud mula menguncinya dengan tangan kiri diletakkan di pintu. Tangan kanan yang memegang telefon sudah dihalakan ke wajah Afrina.
Saat itu juga, debaran mula mengetuk dinding hati Afrina. Matanya membuntang. Wajahnya mula membahang panas dengan kebenaran yang terpapar di ruang mata. Afrina mengerutkan dahinya dengan liur yang terasa kelat.
"Sayang, nampak gambar ni? Tak pelik ke bekas tunang awak buat apa dekat bangunan usang ni dengan sampul surat dihulurkan kepada dia? Kenapa harus berurusan di tempat bertutup seperti ini?" soal Hud dalam nada yang berbisik.
Afrina kelu. Hanya pandangannya dan Hud sahaja yang saling bersatu tika itu. Afrina mahu berganjak, namun tangkas Hud meletakkan tangan kanannya di sebelah Afrina. Mengunci pergerakan Afrina yang masih kelihatan tidak mempercayai kebenaran itu.
"Yunus dah cuci otak awak ke?"
"Kenapa tiba-tiba cakap pasal Yunus? Nak ubah topik?" Soalan dibalas dengan soalan.
Afrina lantas mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Hud. Intuisinya merasakan bahawa ini semua fitnah! Sukar Afrina mahu menerima kenyataan bahawa Ibrahim pembelot. Pemuda itu sudah banyak membantu Hud ketika susah dulu.
"Suka hati awaklah. Tapi, jangan menyesal dengan apa yang awak putuskan saat ini. Jangan buta yang mana batu atau permata. Saya tahu, awak stres. Semuanya bercelaru. Tak apa. Teruskan apa yang awak nak buat," ujar Afrina seraya menolak lembut tubuh Hud. Tak betah Afrina mahu terus berhadapan dengan Hud yang terlalu melayan emosi berbanding logik akal tika ini.
"MANA Afrina?"
Sherina, Dina dan Mak Timah yang sedang menjamah sarapan pagi serentak memandang Hud yang berkejema putih sambil membetulkan tali lehernya. Aneh melihat penampilan Hud yang berkorporat pagi itu.
"Kakak dah pergi kerja. Pak cik, kenapa kakak sedih tadi? Pak cik buat kakak sedih ke?"
Soalan cepumas Dina membuatkan Hud kejung. Sherina pula sudah ketawa sinis dengan kepetahan anaknya. Padan muka abangnya. Awal pagi lagi sudah menerima soalan sarkastik Dina yang sememangnya bijak itu.
"Jahat tau abang ni. Kalau ya pun abang sibuk dengan syarikat tu, janganlah sisihkan Afrina. Emosi dia tak stabil. Sherin berani jamin yang Afrina tu dah mengandung. Banyak sangat tanda-tanda dia sejak kebelakangan ini," kata Sherina. Dia menuangkan secawan teh kepada Hud yang sudah duduk bertentangan dengannya.
"Dia kata tadi dia nak buat check up sebelum masuk kerja. Tadi Sherin nak temankan dia tapi tulah dia kata dia tak nak menyusahkan orang dalam rumah ni. Ish abang ni! Kalau ada apa-apa jadi dengan anak buah dan ipar Sherin, nahas abang Sherin kerjakan," ugut Sherina. Sakit pula hatinya melihat Hud hanya diam seribu bahasa.
"Sherin ni yakin sangatlah yang Afrina tu mengandung..."
"Kenyataannya memang macam tu, Encik Hud. Kalau encik nak tahu, Afrina pernah mengidam makan makanan pedas juga. Padahal dia pernah bagi tahu Mak Timah yang dia tak suka makanan pedas. Tak ke pelik tu?" pintas Mak Timah yang sudah berdiri sambil membersihkan pinggan kotor untuk dibawa ke dapur.
Semakin Hud ditujah dengan perihal Afrina, pemuda itu mula dihurung dengan rasa bersalah. Terasa kunyahan nasi goreng jadi pahit dengan fakta bertubi-tubi itu. Otak mula ligat memikirkan keadaan Afrina sejak kebelakangan ini. Afrina sering merajuk. Afrina juga tidak suka dengan wangiannya. Itu yang aneh bagi Hud tika ini.
"Pergilah call Afrina. Tanya dia ada dekat mana sekarang. Afrina nampak sedih sangat tadi. Sudahlah tak sihat macam tu pun, dia sempat hidangkan nasi goreng kampung kegemaran abang. Nampak tak, Afrina sayangkan suami dia seikhlas hati," ujar Sherina lagi.
Hud menghela nafas berat dengan teguran adiknya. Tanpa berlengah, Hud menghirup teh panasnya seraya pamit pergi. Nombor Afrina lantas dicari di dalam ruangan kenalan. Namun, nombor Afrina pula yang diterima masuk oleh Hud. Tergaris senyuman di bibir pemuda itu. Tahu-tahu saja Afrina bahawa Hud tengah kesal dengan khilafnya mengabaikan Afrina saat ini.
"Sayang..."
"Tahniah Hud Aidan. Sekejap lagi, kau akan menjadi seorang ayah. Tak sangka, aku orang pertama yang tahu isteri kau mengandung," pintas si pemanggil. Ada tawa sinis terletus di bibirnya.
Tak semena-mena, wajah Hud mula berubah tegang dengan suara garau yang kedengaran di dalam talian. Ritma jantung Hud mula berdegup kencang dengan situasi itu. Afrina. Kenapa telefon isterinya ada bersama si pemanggil misteri?
"Silap besar kau biarkan bini kau bersendirian hari ini. Kau sempat ucapkan kata cinta untuk Afrina tak hari ini? Yelah, takut terlambat pula kan. Takut kau menyesal bila mayat dia yang balik rumah lepas ni."
"Bajingan! Kau jangan sentuh isteri aku. Kau nak apa? Hah! Kau..."
"Kau tahu apa yang aku mahukan, bukan?" soal Mirza sambil duduk bertentangan dengan Afrina yang masih belum sedarkan diri setelah kepalanya dipukul dengan objek tumpul. Darah sudah mengalir ke pipi gadis itu.
"Baik! Kalau kau nak sangat harta arwah papa, aku boleh bagi semuanyalah. Tapi... kau jangan sentuh... isteri aku... dengan anak aku!" tegas Hud. Sungguh, Hud menyesal! Dia sudah berjanji dengan ayah mertuanya untuk melindungi Afrina. Namun, dek kerana masalah menimpanya bertubi-tubi membuatkan Hud alpa.
Mirza ketawa terbahak-bahak tatkala suara Hud semakin menggeletar. Dia dapat hidu bau-bau ketakutan di sebalik nada suara adik tirinya itu. Glock yang berada di tangan lantas dielus ke wajah Afrina. Isterinya Hud Aidan ini walaupun tegas, namun masih kelihatan manis bagi Mirza.
"Isteri kau... cantik sangat. Patutlah, sahabat kau tergila-gilakan Afrina dalam diam. Okay. Dalam masa lima jam, aku nak kau bakar Idris Holding. Fair and square kan," arah Mirza.
Tatkala arahan mandatori Mirza menyapa Hud, pemuda itu merasakan hidupnya semakin terumbang-ambing. Dia dilema! Mana mungkin Hud menghancurkan titik peluh arwah papanya dalam mendirikan Idris Holding. Malahan, Hud juga tidak mahu nyawa anak dan isterinya melayang disebabkan kesilapannya.
Oh sungguh, Hud benar-benar buntu. Wajahnya diraup kasar tatkala fikirannya semakin serabut. Lantas, nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Dia perlu tenang. Ya, ketenangan itu akan merasionalkan fikirannya.
Bersambung...
Thanks korang sudi baca 💕
Empat episod lagi sebelum ke penghujungnya 😎
Haish Hud ni emo sangat. Kan tak pasal-pasal Afrina kena culik 😭
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top