Episod 48 🍃

SUASANA di Gerai Mamak pada pagi itu kelihatan sibuk dengan para pelanggan yang sedang bersarapan. Tidak kira daripada kalangan keluarga ataupun orang bekerja, suasana kelihatan meriah dengan suara para pelanggan. Malahan, para pekerja turut kelihatan sibuk mengambil dan menghantar pesanan pelanggan.

Di sebalik keriuhan tersebut, Hud seakan-akan tenggelam dengan dunianya sendiri. Straw dikacau-kacau dengan kotak fikirannya yang ligat memikirkan situasi bahaya yang tiada penamatnya tika ini. Pihak polis masih ligat memburu Mirza. Namun, Mirza masih belum berputus asa untuk mencelakainya.

Memang berani mati!

Tergaris senyuman sinis di bibir Hud tatkala ingatannya semakin ligat mengimbau setiap kejadian percubaan bunuh ke atasnya. Api kemarahan di dinding hati tak pernah padam. Manakan tidak, kelicikan Mirza menyembunyikan jenayahnya sememangnya membuatkan Hud rasa diperbodohkan. Hud terlalu berfikiran positif sehingga kuman di depan mata pun dia tidak lihat.

Kini, Afrina pula mula trauma di atas kejadian yang menimpa hidup mereka. Hud tidak mahu Afrina merasakan apa yang pernah dirasai suatu ketika dahulu. Penyakit mental itu sememangnya bisa memberikan kesan yang mendalam di dalam diri individu. Hidup dibelenggu dengan ketakutan yang tak berkesudahan.

Bunyi kerusi ditarik di hadapannya membuatkan fikiran Hud kembali ke alam realiti. Dia mendongak memandang figura bertopi yang sudah lama dinanti. Lantas, Hud menyedut teh ais yang dipesan seraya bersandar di belakang kerusi.

"Maaflah aku lambat. Aku ada operasi semalam. Penat dia sampai ke hari ini tak hilang lagi," ujar Yunus seraya mengangkat tangan. Memanggil si pelayan yang mula menghampiri.

"Penat pun, seronok bukan dapat berkhidmat untuk negara selama hampir sepuluh tahun. Tahniahlah di atas kenaikan pangkat kau menjadi ASP Yunus. Banyak juga kejayaan kau semenjak aku keluar dari unit narkotik. Dengar-dengar, kau sampai dapat anugerah pekerja terbaik daripada ketua polis negara," kata Hud sambil tersenyum pahit.

"Kalau kau masih dalam unit narkotik, mesti kau dah lama dapat gelaran ASP Hud Aidan. Ala Hud. Aku dapat semua tu pun berkat motivasi daripada kau. Berkat dorongan yang kau orang bagi kepada aku jugalah aku dapat apa yang aku nak selama ini," kata Yunus. Ada rasa kasihan terbit di dinding hatinya melihat kekecewaan yang terpancar di roman wajah Hud.

"Bukan kau selalu bersaing dengan aku ke? Macam mana pula kau boleh dapat motivasi daripada aku? Aku ingat lagi, masa dekat PULAPOL dulu, kau dengan aku selalu jadi pesaing antara satu sama lain. Malangnya, aku selalu mendahului kau sampai kita dapat masuk unit yang sama," kata Hud. Terselit kesinisan di sebalik kata-katanya.

Omongan Hud membuatkan Yunus tertawa kecil. Kepalanya digelengkan. Sebaik sahaja roti canai yang dipesan sampai di atas meja, sudu dan garfu lantas dicapai. Sedia untuk menjamu seleranya pada pagi itu.

"Benda dah lepas. Tak payahlah ungkit lagi. Ni, kau ajak aku sarapan hari ini ada apa? Isteri kau tak marah ke kau keluar sarapan dengan aku? Yalah, kau orang ni masih dalam bulan pertama perkahwinan. Patutnya, masih berbulan madu dan nikmati gelaran pengantin baru," kata Yunus.

Mendengarkan hal berbulan madu, Hud tersentak buat seketika. Baru dia sedar bahawa dia belum membawa Afrina menikmati fasa awal perkahwinan mereka. Dek kerana kesibukannya menguruskan masalah yang mengancam nyawa, Hud terabaikan hadiah yang sepatutnya diberikan kepada Afrina. Timbul sudah rasa bersalah dalam diri Hud tika itu.

"Betullah kan kau tak bawa Afrina berbulan madu lagi? Apalah kau ni Hud. Patut kau lupakan dulu semua masalah ini. Letak ke tepi dulu dan nikmati masa bersama Afrina. Haish, bini lawa macam tu pun kau abaikan," tambah Yunus lagi. Kali ini, kata-katanya diselit dengan nada sinis. Tersungging senyuman sinis di bibir pemuda itu.

"Sudahlah Yunus. Aku tak nak kau cakap pasal isteri aku. Sekarang ni, aku perlukan bantuan daripada kau. Aku harap, kau boleh bantu aku supaya Mirza boleh ditangkap dengan secepatnya," kata Hud. Tidak mahu topik Afrina terus dipanjangkan lagi. Hud rasa tercabar bila Yunus memprovokasinya. Seakan-akan, dia mengabaikan tanggungjawabnya melindungi Afrina saja.

"Okay,  teruskan apa hajat kau mahu bertemu dengan aku," kata Yunus. Tisu ditarik lalu dilap ke bibirnya yang berminyak. Anak matanya tunak memandang raut wajah Hud yang tegang.

Tika itu, dinding hati Hud jadi libang-libu dengan omongan yang akan diujarkan sebentar saja lagi. Diluah mati emak, ditelan mati bapa. Itulah yang sedang Hud rasakan saat ini. Namun, Hud tiada pilihan lain bila mana situasi semakin tegang. Lantas, nafas panjang ditarik sebelum dihembuskan perlahan-lahan.

"Semenjak orang kanan Mirza ditangkap oleh pihak berkuasa, aku dengar yang Mirza... terlibat dalam jenayah yang melibatkan dadah dan senjata api. Betul ke?" soal Hud. Meminta kepastian sekali lagi walaupun dia sudah tahu daripada pengakuan Zed.

Soalan Hud membuatkan Yunus tersentak buat seketika. Dahinya berkerut dengan pandangan tajam Hud itu. Dahi yang tak gatal digaru sebelum tangan disilangkan ke dadanya. Kaget apabila Hud mengetahui kegiatan haram Mirza.

"Betul. Hebat abang tiri kau. Di sebalik namanya yang semakin terkenal di dalam dunia korporat, dalam diam dia sedang melakukan sebuah jenayah yang sangat berat. Berdasarkan siasatan pasukan aku, dia boleh terlepas sebab..."

"Ada orang dalam, kan? Ada orang yang membelot berkaitan jenayah yang dilakukan oleh Mirza. Boleh jadi, si pengkhianat negara itu yang berkomplot untuk sembunyikan jenayah yang dilakukan oleh Mirza," pintas Hud. Deduksinya lantas diujarkan kepada Yunus.

Suasana mula sepi di antara Hud dan Yunus. Topik mereka pada pagi itu sangat menimbulkan konspirasi hangat. Manakan tidak, mereka sedang berbicara mengenai si pengkhianat negara yang sudah berkomplot bersama Mirza. Melakukan jenayah terlarang.

"Kenapa kau tak panggil Rahim sekali? Boleh kita sama-sama melakukan deduksi kita siapa pembelot negara yang sebenarnya," kata Yunus. Ada rasa aneh menjengah kotak fikiran dengan ketiadaan Ibrahim.

Saat sebaris nama itu meniti di bibir Yunus, Hud mengalihkan pandanganbya ke deretan kereta yang diparkir di hadapan gerai mamak. Intuisinya mula tidak senang dengan nama Ibrahim. Fikiran Hud mula mengimbas detik penangkapan Zed.

"Entahlah Hud. Aku kadang-kadang syak... Rahim yang bersekongkol dengan Mirza. Kau sendiri tahu yang dia cintakan Afrina. Mereka pernah bertunang. Kau tak rasa pelik ke... kenapa semudah itu, Rahim putuskan pertunangan dengan Afrina?"

Deduksi daripada Yunus menambahkan kekacauan di jiwa Hud. Pandangannya kembali bersatu dengan Yunus yang sedang menghirup nescafe panas. Ada keyakinan di sebalik nada suara Yunus tika itu.

"Tak mungkinlah! Rahim tu dah banyak tolong aku masa aku susah dulu. Aku tak percaya kalau dia sanggup buat semua tu..."

Tak semena-mena, Hud kematian kata dengan tawa sinis Yunus. Berkerut dahi Hud dengan riak wajah Yunus yang memandangnya dengan sinis. Seakan-akan mengejeknya yang tidak mempercayai bahawa Ibrahim merupakan pengkhianat.

"Naif betul kau ini. Keluarga kau sendiri pun sanggup nak bunuh kau demi harta, inikan pula orang yang tak punya pertalian darah dengan kau. Kau tak fikir ke, boleh jadi mereka berdua berkomplot untuk hancurkan kau di atas kepentingan diri sendiri? Aku bukan nak tuduh Rahim semberono. Tapi, ikut logik akal sajalah Hud."

Semakin Yunus mengeluarkan deduksinya, Hud seakan-akan kehilangan diksi. Entah siapa yang harus dipercayainya tika ini. Namun dalam diam, Hud juga seakan-akan berpihak dengan deduksi Yunus. Zed sendiri sudah mengujarkan sesuatu yang membuatkan Hud merasakan syak wasangka terhadap Ibrahim.

"Malang betul nasib kau, Hud Aidan. Sahabat kau pun hancurkan hidup kau demi kepentingan sendiri. Apa kau ingat sahabat kau tu betul-betul sayangkan kau ke? Dia cuma nak kau merana sajalah! Betul tak... Inspektor Ibrahim?

Apa benar, Ibrahim pelakunya? Apa benar, Ibrahim mahu menghancurkan hidupnya dengan membuatkan dia merana? Oh sungguh, Hud sangat benci perasaan syak terhadap sahabatnya sendiri!

GELAK tawa yang menghuni ruangan dapur membuatkan dinding hati Amelia bergelegak panas. Bingit. Lebih-lebih lagi mendengar suara yang begitu asing di corong telinganya. Keluhan berat terlepas dari bibir bila mana dia harus berhadapan dengan si penghuni baru tanpa diundang itu.

"Sedap tak kek coklat tu?" soal Afrina sambil mengikat rambut Dina yang dibiar lepas. Senyuman terkulum di bibirnya melihat Dina yang ceria. 

"Sedap! Lepas ni kakak buatlah lagi kek coklat untuk Dina," jawab Dina dengan mulut yang sudah dipenuhi dengan coklat cair. Kelazatan kek coklat moist yang dibuat oleh Afrina membuatkan gadis kecil itu senang hati.

"Boleh. Tapi, Dina kena dapat nombor satu dalam peperiksaan nanti."

Dina berpaling memandang wajah Afrina. Matanya sudah terkebil-kebil memandang wajah Afrina yang manis. Jari jemarinya yang kotor dengan coklat dijilat satu per satu.

"Boleh! Boleh! Dina janji Dina belajar bersungguh-sungguh supaya kakak boleh buatkan kek coklat banyak-banyak untuk Dina!" kata Dina seraya mendepakan tangannya.

Tak semena-mena, hidungnya dicuit dengan coklat cair. Sekali lagi, tawa Dina meletus bila Afrina mula mengusik dengan menggeletek pinggangnya. Sungguh, Dina senang hati dengan keberadaan Afrina di rumah agam itu. Tiada lagi ketakutan menjadi peneman si gadis cilik.

"Banyak-banyak ye. Nanti gigi rongak hah..."

"What the heck is this!"

Tak semena-mena, situasi yang ceria drastik berubah tegang dengan jerkahan Amelia. Melotot anak matanya memandang island kitchen yang sudah berselerak seperti tongkang pecah. Kecil besar saja dipandangnya Afrina dan Dina yang sudah kaku itu. Kaget bila mana kegembiraan mereka diganggu.

"Kau ingat dapur rumah ni circus ke? Kalau baru jadi penghuni tu, buatlah cara penghuni baru! Jangan bawa kekampungan kau itu dekat rumah Datin Khalida! Hud pun satu! Pilih isteri yang tak setaraf dengan keluarga ni dah kenapa!" bentak Amelia lagi.

Tatkala hinaan itu dilontarkan kepadanya, senyuman manis Afrina mula menghilang. Hanya sorotan matanya sahaja yang memandang wajah Amelia. Kini, situasi mula berubah. Inilah yang paling Afrina mahu elak. Bertikam lidah dengan keluarga suaminya.

"Dina, pergi cuci tangan lepas tu sambung buat homework. Nanti kakak hantarkan kek untuk Dina," arah Afrina sambil mengusap rambut Dina. Tidak mahu anak kecil itu menjadi saksi kepada pertikaman lidah di antara Afrina dan Amelia.

"Mana Mak Timah?" soal Amelia sambil mengenggam erat sehelai gaun berkain satin.

"Dia tak sihat," jawab Afrina. Dingin.

Amelia terangguk-angguk dengan jawapan adik iparnya. Penampilan Afrina yang mengenakan skirt labuh berwarna hitam dipadankan dengan blouse putih dipandang dengan pandangan yang sinis. Kekampungan!

"Aku tak sangka, Hud bukan bawa isteri untuk dia saja. Tapi... dia bawa pembantu rumah yang baru untuk penghuni rumah ini. So, can you make a glass of juice orange for me?"

Tatkala itu, tersungging senyuman sinis di bibir Afrina dengan keangkuhan Amelia. Arahan langsung tidak diendahkan. Tangannya mula ligat membersihkan meja yang sudah berselerak setelah dia dan Dina membuat kek coklat moist bersama-sama.

"Kau pekak ke tak dengar apa yang aku suruh?" marah Amelia seraya menolak kasar tubuh Afrina. Tak semena-mena, Afrina mula diserang amarah tatkala pinggangnya terkena pada bucu meja. Sakit!

"Aku tak pekak dan aku tak buta. Kau masih ada tangan, kan? Tak cacat, kan? Apa kata kau buat apa yang anak tekak kau perlukan! Bukan hanya tahu mengarahkan orang lain," tegas Afrina seraya meletakkan  sebekas kek coklat ke dalam peti sejuk.

Tak semena-mena, wajah Amelia naik membahang panas dengan keberanian Afrina menentangnya. Kemarahannya semakin meluap-luap. Sudahlah Mak Timah merosakkan gaunnya. Kini, Afrina pula memarakkan lagi api yang sedia ada.

"Puan Amelia, Afrina... kenapa ni? Ada..."

"Bagus orang tua! Muncul pun kau. Sekarang ni, aku nak kau ikut aku. Tak kuasa aku nak bercakap dengan kau selagi muka betina ini ada depan mata aku!" marah Amelia seraya menarik tangan Mak Timah yang tiba-tiba muncul ke luar rumah. Terkocoh-kocoh wanita tua dengan dahi yang bertampal dengan koyok membuntuti Amelia dari belakang.

Afrina sekadar menggelengkan kepala dengan sikap biadab Amelia itu. Mahu tidak mahu, situasi inilah yang harus Afrina terima bila mana dia sudah menjadi sebahagian daripada keluarga Hud Aidan.

Tapi, ada yang aneh. Adakah Amelia tahu bahawa suaminya sudah melakukan sebuah jenayah? Manakan tidak, wanita itu masih menjadi penghuni rumah agam keluarga Datin Khalida. Tiadakah sifat malu dalam dirinya tika ini?

"Maaf, puan. Mak Timah tak berapa sihat sejak akhir-akhir ini. Mak Timah betul-betul tak sengaja lunturkan warna gaun puan," kata Mak Timah. Sesekali, dia terbatuk-batuk apabila dadanya terasa nyeri.

"Aku tak kisahlah kau sakit ke, kau nak mampus ke. Apa yang aku kesah sekarang ni, baju aku ni. Duit gaji kau lima bulan pun tak cukuplah nak ganti balik baju aku yang dah rosak ini!" jerkah Amelia seraya mencampak gaunnya ke wajah Mak Timah. Melepaskan amarah yang membenam di jiwanya.

"Kau ni memang biadablah, Amelia! Agak-agaklah nak kurang ajar dengan Mak Timah macam tu!" bentak Afrina seraya meluru ke arah Amelia. Mahu sahaja dilayangkan penumbuk ke wajah kakak iparnya itu.

"Afrina... tak apa. Memang salah..."

"Bukan salah Mak Timah! Perempuan gila ini yang dah meroyan tak tentu pasal. Mak Timah pergi rehat. Jangan risau, saya tak akan biarkan Mak Timah dipecat," pintas Afrina sambil mengenggem erat tangan Mak Timah. Sungguh, Afrina tidak tega melihat wanita itu dikasari. Mak Timah sudah banyak berjasa dalam keluarga Hud Aidan. Tak seharusnya dia mendapatkan layanan buruk seperti yang diberikan oleh Amelia.

Mak Timah hanya akur dengan arahan mandatori Afrina. Perlahan-lahan, dia melangkah masuk ke dalam rumah sambil terbatuk-batuk. Terasa sesak saja dadanya melepaskan batuk.

"Sebab baju kau yang tak cukup kain, kau jadi kejam dengan Mak Timah. Kau tahu tak yang Mak Timah tu lagi penting daripada kau? Kau ni... memang perempuan gila agaknya!" tegas Afrina. Melepaskan amarah yang mula membakar sukmanya.

Tak semena-mena, Amelia mengangkat tangannya dengan tinggi. Anak matanya semakin membara dengan api kemarahan. Pipi Afrina terus menjadi mangsanya. Malangnya, Afrina terlebih dahulu mengelak dengan mengenggam pergelangan tangan Amelia sebelum ditolak ke dalam kolam renang yang berada di sebelah.

Jeritan nyaring Amelia terus kedengaran dengan serangan Afrina itu. Tersungging senyuman sinis di bibir Afrina melihat Amelia yang sudah basah kuyup. Tak cukup dengan itu, gaun Amelia yang sudah rosak dicampak ke wajah wanita yang sudah terkapai-kapai di dalam kolam renang.

"Kau memang perempuan sundal, Afrina!" jerkah Amelia yang sudah terbatuk-batuk apabila air memasuki rongga hidungnya. Mahu sahaja dirodoknya jantung Afrina dengan belati saat ini. Keterlaluan!

"Amelia!" Suara seorang gadis yang tiba-tiba menyapa dari belakang membuatkan Afrina mengeluh berat. Ini lagi satu ulat beluncas sudah mari.

"Hey, Afrina! Apa masalah you tolak Amelia macam tu? I memang betul-betul tak sangka, bekas bakal suami I pilih perempuan tak ada akal macam you!" marah Farisha sambil membantu Amelia keluar dari kolam renang.

Afrina menjelingkan matanya ke atas dengan omongan sinis Farisha. Sungguh, dia tak betah berhadapan dengan dua orang perempuan yang sentiasa meroyan itu. Tanpa berlengah, Afrina melangkah masuk ke dalam rumah.

"You tak layak nak berdamping dengan Hud! You sedar..."

"Aku sedar. Tapi nak buat macam mana kalau Hud pilih aku berbanding kau, kan? Apa kata, kau lupakan suami tak jadi kau itu. Yelah, sekarang ni Hud Aidan dah sah jadi suami aku. So, just move on Cik Farisha," pintas Afrina sambil berpeluk tubuh. Segaris senyuman sinis tergaris di bibirnya. Mengejek Farisha yang sudah kelihatan seperti cacing kepanasan itu.

Langkahnya juga terbejat serta merta. Wajah tegang Amelia dan Farisha dipandang silih berganti. Apa mereka ingat mereka itu Tuhan ingin menghalang jodohnya bersama Hud Aidan? Bingit telinga Afrina tatkala mereka tak henti-henti mengujarkan dia tidak layak berjodohan dengan Hud.

Tak semena-mena, Farisha yang turut diserang amarah menanggalkan wedge yang dipakai seraya dibaling ke arah Afrina. Sakit benar hatinya melihat Afrina tersenyum kemenangan. Namun, alangkah terkejutnya Farisha tatkala sasarannya terkena pada tubuh Hud yang menjadi penghadang Afrina dari dicederakan.

"Hud..."

"Dah habis hina isteri aku?" soal Hud sambil mengusap dahinya yang perit akibat kasut tinggi Farisha. Kedinginan pada suaranya membuatkan situasi seakan-akan semakin tegang.

"Hud, I... I tak sengaja baling kasut tu dekat dahi you. I minta maaf," kata Farisha seraya menghampiri Hud yang sedang membelakangi Afrina. Laju sahaja tangannya mengusap dahi Hud yang sudah merah itu.

"Eh, apa sentuh-sentuh ni! Tak ada maruah diri ke, hah! Oh, tadi kau orang cakap yang bukan-bukan pasal isteri aku. Sundal? Aku rasa... kau orang berdua ni yang dah tak ada harga diri!" marah Hud seraya menepis kasar tangan Farisha.

Sakit hatinya bila mana hinaan demi hinaan terhadap Afrina menusuk corong telinganya sebentar tadi. Mahu sahaja dicampaknya Amelia mahupun Farisha ke dalam lautan. Baru Hud puas hati!

Derapan tapak kaki yang mula melangkah di belakang membuatkan Hud terus kalih. Resah dia melihat Afrina yang baru kebah dari demam panas itu. Dua figura yang sudah kaku tidak diendahkan.

"Sayang, kenapa turun bilik ni? Kan abang suruh rehat..."

"Saya okaylah. Awak janganlah risau. Awak dah lupa ke isteri awak ni kuat orangnya," kata Afrina. Sengaja dia meleretkan suara sambil memandang wajah tegang Farisha. Dia ingin buat Farisha tambah sakit hati. Seenaknya sahaja gadis itu menyentuh Hud sebentar tadi.

"Tapi..."

"Awak ni risau lebih..."

Tak semena-mena, Afrina kematian kata tatkala kakinya terasa lemah untuk menampungnya terus berdiri. Hampir sahaja dia rebah di muka pintu. Tangannya mula memicit dahi.
Buru-buru, Hud memegang lengan Afrina sebelum dipaut di belakang lehernya. Lantas, tubuh Afrina yang kelihatan pucat dicempungnya ingin menaiki anak-anak tangga. Hud benar-benar resah dengan keadaan Afrina.

Tika itulah, jiwa Farisha seakan-akan diamuk dengan amarah. Tambahan pula melihat riak wajah Afrina yang sedang memaut leher Hud. Isterinya Hud Aidan itu sempat memberikan senyuman sinisnya. Seakan-akan mengejek Farisha yang kecewa kerana tidak dapat memiliki Hud Aidan.

"Oh, aku lupa. Amelia, kau dah boleh kemas barang-barang kau dalam bilik tu dan aku alu-alukan kau untuk keluar dari rumah keluarga aku. Suami kau dalam buruan polis. Jadi, kau dah tak ada hak menjadi sebahagian daripada keluarga aku," tegas Hud bersama senyuman sinis yang tergaris di bibirnya. Langkah kembali diatur masuk ke dalam rumah.

Arahan mandatori daripada Hud Aidan serta merta membuatkan Amelia terhenyak di atas lantai. Matanya melilau kiri dan kanan dengan kejutan yang maha hebat itu. Sungguh, omongan Hud benar-benar membuatkan hidup Amelia seakan-akan terhempap dengan bumi.

Apakah ini benar? Dia akan jatuh miskin selepas ini! Jikalau dia keluar dari rumah ini, tiada lagi barangan mewah yang akan dia perolehi. Sungguh, Amelia tidak sanggup!

Bersambung...

Thanks guys, sudi baca karya syaf 💕

Kalau sukakan karya ini nak bintang boleh? 🙈

Puas tak Amelia kena halau? Afrina buat Farisha jeles? 😆 harap korang tak stress sangat episod kali ini 🤭

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top