Episod 44 🍃

BEBERAPA keping gambar Khadijah yang tidak senonoh ditolak ke arah jururawat berseragam Atma Home Nursing itu. Ketika itu juga, membuntang kornea mata Khadijah tatkala gambarnya yang tidak bermoral dihantar kepada Doktor Azizah merangkap bosnya.

"Any explanation about this pictures?" soal Doktor Azizah seraya bersandar di belakang kerusi. Jelas, nada suaranya kedengaran begitu tegang tatkala bertanyakan soalan kepada Khadijah yang masih dalam keadaan terkejut.

"Khadijah, I'm asking you right now! Is there any explanation about what have you done all this time?" bentak Doktor Azizah tatkala Khadijah hanya kaku seperti patung cendana. Bergelegak panas hati wanita itu apabila Khadijah tidak menjawab pertanyaannya.

"Dok... doktor semua ni fitnah..."

"Memang mula-mula saya merasakan bahawa semua ini fitnah. Tapi, memikirkan komplen daripada pesakit yang awak berkasar, tak ikut prosuder ketika merawat mereka membuatkan saya yakin bahawa ini bukan fitnah! For your information, saya dah terima banyak aduan mengenai masalah disiplin awak," pintas Doktor Azizah.
Semakin mendidih kemarahan yang sedia ada di jiwanya. Bisa hancur reputasi kliniknya jika berita ini tersebar kepada para pesakit.

Omongan Doktor Azizah serta-merta membuatkan lidah Khadijah kelu untuk berbicara. Pandangannya ditundukkan dari memandang wajah Doktor Azizah. Perasaan yang terlakar di dinding hati semakin bercampur baur. Malu, sedih dan marah. Semuanya sebati menjadi satu!

"Awak tahu tak yang awak ni seorang jururawat? Awak sedar tak yang awak ada tanggungjawab yang terlalu besar? Awak diamanahkan untuk merawat pesakit dengan baik, jaga tatasusila, berdisiplin. Tapi apa yang awak buat selama ni? Saya dah bagi banyak peluang dekat awak, Khadijah. Terlalu banyak," kata Doktor Azizah. Terpancar kekecewaan di sebalik wajah wanita itu. Kepalanya digelengkan saat memikirkan semua masalah disiplin yang dilakukan oleh Khadijah.

Tubir mata Khadijah mula terasa hangat tatkala dinding hatinya dipagut rasa malu. Bibir diketap menahan air mata dari mengalir. Wajahnya serta-merta membahang kepanasan dengan rasa malu yang membaluti diri. Manakan tidak, aibnya sudah terpampang di hadapan majikannya sendiri. Terasa dunia seakan-akan mentertawakannya sahaja saat itu.

"Doktor... saya minta maaf. Saya mengaku, saya... silap," ujar Khadijah dengan nada suara yang terketar menahan sebak di dada.

"Saya maafkan awak. Tapi saya nak minta maaf... saya terpaksa berhentikan awak dari terus berkhidmat di Atma Home Nursing memandangkan saya dah bagi banyak peluang kepada awak, Khadijah."

Khadijah terus memanggung kepalanya dengan arahan mandatori Doktor Azizah. Air mata yang ditahan mengalir jua dengan pemecatan ke atasnya. Oh sungguh, Khadijah tidak bersedia untuk dipecat! Bagaimana dia mahu menyara hidupnya jika tidak bekerja?

"Saya minta maaf lagi sekali. Saya terpaksa pecat awak. Saya tak naklah seorang buat masalah, nanti semua staf lain pun terkena tempiasnya sekali. Kasihan kepada yang sememangnya beriltizam untuk menjadi jururawat yang bertanggungjawab," kata Doktor Azizah lagi seraya bangun dari duduknya. Dia juga ada tugasan yang harus dilaksanakan tanpa membuang masa.

"Tapi doktor... saya betul-betul menyesal dengan apa yang saya dah buat. Saya merayu tolonglah bagi saya peluang untuk tebus kesalahan saya," rintih Khadijah seraya bangun dari duduknya. Menggeletar hebat seluruh tubuhnya dengan keputusan Doktor Azizah.

Doktor Azizah mengalihkan pandangannya ke laman wajah sembap Khadijah. Rayuan si gadis sedikit meruntun hatinya. Dia tahu, Khadijah datang daripada keluarga yang susah. Rasa simpati turut menggigit tangkai hatinya memikirkan kedaifan rumah setinggan keluarga Khadijah.

"Kenapalah awak buat semua ini tanpa memikirkan risikonya? Sekarang, bila benda dah jadi barulah awak nak menyesal. Macam saya cakapkan tadi, saya dah banyak kali bagi peluang kepada awak. Tak ada peluang lagi untuk awak. Saya minta maaf, saya tegaskan keputusan saya untuk memecat awak. Awak dah boleh kemaskan barang-barang awak dalam locker," tutur Doktor Azizah.

Sememangnya, dia sudah nekad untuk memecat Khadijah. Bukannya kecil kesalahan yang dilakukan oleh gadis itu, kesalahannya terlalu besar dan bisa mencacatkan institusi yang ditubuhkan.

"Doktor... kalau doktor pecat saya, macam mana saya nak sara keluarga saya? Adik-adik saya perlukan duit untuk sambung pengajian..."

"Jangan jadikan keluarga awak sebagai alasannya! Nah, ini duit gaji awak yang terakhir. Terima kasih sebab pernah berkhidmat bersama saya," pintas Doktor Azizah seraya menghulurkan sampul surat berisikan duit gaji terakhir kepada si gadis yang sudah teresak-esak.

Tika itu, tiada lagi diksi yang keluar daripada bibir Khadijah. Hanya sorotan matanya sahaja yang menghantar pemergian Doktor Azizah keluar dari bilik pejabat. Serta-merta, Khadijah kembali terhenyak di atas kerusi. Tangisannya semakin kuat meratapi nasibnya yang sudah dipecat.

Perlahan-lahan, Khadijah mengalihkan pandangan ke arah foto-foto mengaibkan. Kedua belah tangannya digenggam erat sehingga sampul yang berada di tangannya renyuk. Kemarahan mula mengambil tempat di sudut hatinya. Sungguh, dia tidak menyangka setega itu Zanif memperlakukan dirinya. Tika itu, tiada lagi rasa cinta terzahir buat kekasihnya melainkan kebencian yang amat mendalam!

SEBAIK sahaja kornea matanya menangkap figura yang sedang melangkah masuk ke dalam sebuah kereta yang diparkir di hadapan rumah agam, Hud mula menegakkan duduknya dan bersedia untuk mengawal stereng kereta. Dengan lafaz bismillahirahmanirahim, Hud memulakan semula perjalanannya dengan mengekori Mirza dari belakang.

Ini nekadnya. Dia perlukan bukti untuk mengheret Mirza ke muka pengadilan! Hud benar-benar yakin bahawa Mirza merupakan dalang di sebalik kejadian ancaman ke atasnya. Hanya sahaja, Hud Aidan tidak mempunyai justifikasi yang kukuh.

"Sayang, abang kena off..."

"Saya merayu, baliklah Hud. Saya tak sedap hati sekarang. Lagi pun dah dekat pukul 12 tengah malam awak tak balik-balik lagi. Awak ada masalah ke sampai awak tak nak balik lagi?"

Sungguh, fokus Hud mula tergendala mendengar suara isterinya yang bergetar. Dia dapat merasakan ketakutan Afrina tika itu. Namun, Hud juga tidak dapat menolak kehendak hatinya setelah bermacam andaian diberikan mengenai Mirza. Sudah lama dia menyiasat aktiviti abang tirinya yang sering keluar tepat pukul 11.30 malam dan diambil oleh sebuah kereta.

"Awak tak sayangkan saya lagi ke?   Awak dah ada pengganti lain..."

"Apa yang awak merepek ni? Kan saya dah cakap yang saya ada hal mustahak yang saya kena buat! Boleh tak jangan sempitkan pemikiran awak tu!" marah Hud tak semena-mena. Akibat tekanan yang melampau, tanpa sengaja dia sudah mengherdik Afrina.

Kemarahan Hud terhadapnya serta-merta membuatkan hati Afrina jadi luluh. Sungguh, dinding hatinya seakan-akan dipagut sayu dengan jerkahan Hud sebentar tadi. Hujan yang semakin lebat pada malam itu seakan-akan mengerti rasa sakit yang sudah tergores di sudut hati Afrina.

"Sayang, abang minta maaf sebab tertengking sayang macam tu. Tapi, abang ada benda penting yang abang kena selesaikan. Semuanya akan baik-baik saja. Percayalah cakap abang. Selagi hayat dikandung badan, selama itu Hud Aidan akan selamanya mencintai Naurah Afrina. Tiada yang lain. Maaf sayang, abang kena tutup panggilan ni dulu," ujar Hud seraya menyentuh punat merah. Terpampang foto pernikahannya bersama Afrina seminggu yang lalu. Senyuman nipis terkulum di bibir saat teringat setiap tingkah Afrina yang menyenangkan.

"Maaf sayang, abang terpaksa buat semua ni demi kita," desis hati Hud Aidan. Fokus kembali ditumpukan ke arah Pajero yang sudah jauh di hadapan. Sengaja Hud mengekori dari jarak jauh agar Mirza tidak menyedari kehadirannya.

Afrina menghela nafas berat saat Hud menamatkan panggilan. Skrin telefon pintar yang memaparkan foto Hud Aidan serta-merta membuatkan setitis air mata Afrina mengalir ke pipi. Jari jemarinya mula mengusap lembut skrin seakan-akan mengusap wajah Hud Aidan saja. Dia rindu. Sejak kebelakangan ini, Hud sentiasa sibuk menguruskan sesuatu yang Afrina sendiri tidak tahu apakah ia. Tiada lagi momen indah sepenuhnya di antara mereka berdua sebagai pengantin baru.

Malahan, entah mengapa perasaan tidak enak tika ini sama persis seperti ketika Afrina menghubungi arwah Umar buat kali terakhir dahulu. Seakan-akan dejavu bertandang di dalam diri. Perlahan-lahan, Afrina melabuhkan duduknya di sofa ruang tamu. Sesekali, bunyi guruh yang berdentum kuat membuatkan perasaan takut semakin kuat menyelubungi dinding hati Afrina.

"Awak tahu tak saya risaukan awak separuh mati? Saya takut kehilangan awak. Kenapa awak tak pernah fikir apa yang saya rasa? Penting sangat ke apa yang awak sedang lakukan saat ini sampai awak tak sedar yang saya wujud dalam hidup awak?" desis hati Afrina bersama linangan air mata yang semakin membasahi pipi.

Dinding hatinya semakin ditusuk dengan berjuta belati. Sakit. Jari jemarinya semakin ligat mengusap skrin yang memaparkan foto suaminya. Entah mengapa, Afrina jadi sensitif tika ini. Barangkali hanya rasa takut yang semakin mencengkam sanubari.

"KAU dah gila ke? Kenapa kau bertindak sendiri tanpa ikut perancangan kita? Eh, kau tak fikir ke keadaan Afrina? Kau tak tahu ke dia risaukan kau separuh mati? Kau orang tak sampai sebulan lagi menikah..."

"Kau nak datang ke tak ni?" pintas Hud sambil menyisip pisau rambo ke kasutnya. Topi hitam dicapai di tempat duduk sebelah penumpang lalu diletak di atas kepala.

"Kau tak payah masuk campur. Biar aku yang uruskan dengan team aku. Kau duduk diam-diam dalam kereta itu. Jangan buat sesuatu tanpa berfikir panjang," tegas Ibrahim yang sedang berdiri mengelilingi lima orang pasukannya yang akan menyerbu sebuah gudang lama berpandukan alamat yang diberikan oleh Hud Aidan.

"Lambat! Aku akan alihkan perhatian mereka dulu sampai kau orang datang. 10 minit, masa diperuntukkan untuk kau dan pasukan kau," ujar Hud. Kornea matanya sibuk membilang lelaki yang sedang berada di luar gudang. Sengaja Hud memarkir kenderaannya jauh dari gudang tersebut untuk mengelakkan konco-konco Mirza menyedari kehadirannya.

"Tapi Hud, Afrina..."

"Ya ya, aku tahu kau cintakan isteri aku sampai kau risau sangat kalau aku mati malam ini. Aku dah lama fikirkan risikonya, Rahim. Tapi aku mahukan keselamatan Afrina terjamin. Aku tak nak dia jadi mangsa musuh aku lagi. Apa pun yang terjadi malam ini, aku hanya mampu bertawakal kepada Allah," ujar Hud. Nafas panjang ditarik seraya dihembuskan perlahan-lahan. Pintu dibuka sebelum kaki melangkah keluar.

Dengan langkah berhati-hati, Hud menghampiri gudang yang diterangi dengan percikan api daripada unggun. Sesekali, pemuda berjas hitam itu menerawangkan pandangannya ke sekeliling gudang yang dipenuhi dengan hutan belantara.

"Hud, hati-hati. Kau tahu kan apa nak dibuat untuk berhadapan dengan mereka?"

Dapat didengar soalan daripada Ibrahim melalui earbud yang dipakai oleh Hud. Jelas, nada suara sahabatnya dipenuhi dengan kerisauan.

"Ya, aku ingat lagi. Kau jangan kacau aku boleh tak? Fokus dekat 10 minit kau tu saja. Nanti apa-apa aku inform balik," tegas Hud. Menganggu kententeramannya sahaja yang sudah mulai diperhatikan oleh tiga orang konco Mirza yang berjaga di luar gudang.

"Kau siapa?" soal salah seorang daripada mereka. Separuh wajahnya ditutup dengan parut panjang. Menambahkan lagi aura bengisnya.

"Orang baru bos," ujar Hud acuh tak acuh. Tanpa berlengah lagi, Hud melangkah masuk tanpa mengendahkan musuh. Tenaga harus dijimatkan terlebih dahulu.

"Tunggu!" laungan daripada si lelaki berkumis lebat membejatkan langkah Hud. Dari ekor mata, dapat dilihat bahunya sudah ditepuk oleh figura yang menghalangnya sebentar tadi.

"Ada bukti ke, kau ni orang suruhan bos? Ke kau ni mata-mata polis?" soal si lelaki berambut punk pula. Berkerut dahinya memandang wajah kosong Hud Aidan. Manakan tidak, lelaki itu begitu asing jika dilihat dan kebiasaannya Zed akan memperkenalkan orang baru kepada mereka terlebih dahulu.

"Bukti apa yang kau nak?" Soalan dibalas dengan soalan. Tangan yang menepuk bahunya ditepis kasar. Anak mata Hud tajam menikam anak mata si lelaki berambut punk yang seolah-olah menganalisis wajahnya.

"Kau ada tatu naga macam ni? Rey, Lim... kau tunjukkan sekali dekat mamat ni tatu yang kita ada sebagai bukti kita ni konco-konco bos!"

Serentak, ketiga-tiga figura itu menunjukkan tatu berbentuk Naga yang dilakarkan pada lengan masing-masing. Ada riak angkuh yang terpapar di roman wajah ketiga-tiga mereka. Aura ketegangan mula menyelubungi kawasan itu.

Hud mula bermain dengan strategi. Anak matanya ligat memandang ketiga-tiga lelaki sambil menanggalkan jas hitamnya. Hud semakin fokus menganalisis reaksi seterusnya yang bakal terpapar di sebalik wajah musuh.

"Cepat sikitlah tunjukkan bukti kau!" herdik Lim apabila Hud seakan-akan melengahkan masa.

"Aku tak ada bukti," jawab Hud tanpa nada.

Tak semena-mena, ketiga-tiga figura saling berpandangan antara satu sama lain. Tahulah mereka bahawa penipuan sedang terpampang di hadapan mata. Tanpa berlengah, mereka bertiga mengangguk dan mula dalam keadaan posisi bersedia untuk menyerang.

Namun, Hud mara terlebih dahulu dengan menujahkan tendangan kuatnya ke tubuh Lim yang berada di tengah. Tak semena-mena, Lim terundur beberapa tapak ke belakang akibat serangan hendap daripada Hud Aidan.

"Bajingan!" tempelak Rey sebelum memulakan serangannya ke arah Hud. Beberapa tumbukan dilayangkan ke arah pemuda itu. Namun, Hud tangkas menangkis dengan menyendengkan tubuhnya dan berundur beberapa tapak ke belakang. Hud tidak mahu membazirkan tenaganya buat masa ini.

Melihatkan rakan-rakannya gagal mencelakai Hud membuatkan si lelaki berambut punk diserang amarah yang maha hebat. Kayu berhampiran unggun api dicapai seraya dia meluru ke arah Hud yang masih mengelak daripada serangan Rey.

Namun, Hud yang terlebih dahulu menyedari ancaman muncul dari belakang lantas berpusing dan menujahkan tendangan bertubi-tubi ke tubuh si lelaki berambut punk. Akibat serangan Hud yang begitu cekap,  si lelaki berambut punk tersungkur berhampiran unggun api yang masih marak.

Semakin Hud mendominasi, ketiga-tiga mereka semakin berasa tercabar. Dengan nafas yang sudah tercungap-cungap, serentak mereka meluru ke arah Hud. Sekali lagi, Hud hanya mengelak dengan tangan yang sesekali menghambat tubuh musuhnya dengan jas yang berada di tangan.

Bang!

Tembakan yang dilepaskan dari tingkat atas membuatkan Hud tersentak buat seketika. Kaget. Namun, dengan ketahanan mental dan fizikal yang begitu kuat Hud terus-terusan mengerahkan tenaganya untuk menentang.

Tatkala kehadirannya sudah menjadi tumpuan, Hud tiada pilihan lain selain mempercepatkan waktu. Dia harus menewaskan ketiga-tiga musuh sebelum berhadapan dengan Zed yang baru sahaja melepaskan tembakan sebentar tadi.

Jas yang berada di tangan lantas dicampak ke wajah Rey. Hud berpusing 180 darjah seraya menghayunkan tendangannya ke wajah Rey bertubi-tubi. Tangkas, tengkuk Rey dipaut dengan lengan dari belakang. Rey mula terkapai-kapai kelemasan saat nafasnya seakan-akan sesak. Malahan, dadanya terasa sempit dengan kekuatan Hud yang seakan-akan mematahkan tengkuknya.

Lim segera membantu rakannya dengan menujahkan belati ke arah Hud dari sisi. Namun, sekali lagi Hud dapat mengelak dengan mengenggam pergelangan tangan Lim dengan kuat. Tubuh Rey yang sudah longlai ditolak sehingga Rey rebah. Entah mati atau hidup Hud tidak tahu.

Kini, Hud berhadapan dengan Lim dan si lelaki berambut punk pula. Kekuatan Lim mula menguasai diri setelah ganja menyelinap masuk ke saluran darahnya. Lelaki itu mula berhalisunasi dengan mencabut jantung Hud. Itu sahaja keinginannya tatkala dia tidak mampu menumpaskan musuhnya itu.

Bang!

Hampir sahaja Hud rebah tatkala bahunya baru ditujahkan dengan sedas tembakan. Rintik-rintik peluh mula mengalir ke pipinya dengan kesakitan yang mula menjalar sehingga ke tulang hitam. Malahan, kekuatan Lim membuatkan tenaga Hud semakin hilang. Mata belati semakin menyentuh dadanya tika itu.

Bang!

Bang!

Bertalu-talu tembakan yang dilepaskan dari tingkat atas semakin menegangkan suasana. Sesekali, Hud mendongak memandang si figura bertopeng yang sedang menghalakan senjata ke arahnya. Degupan jantung Hud semakin kencang tatkala bunyi tembakan itu seakan-akan menggoncang dunia.

"Hud... dalam lima minit lagi kita orang sampai. Kau jangan layan sangat trauma kau tu!" tegas Ibrahim. Dapat didengari ketegangan yang sedang berlaku di kawasan Hud.

Serentak dengan suara Ibrahim yang menyapa corong telinga, Hud tiba-tiba mengerang kesakitan tatkala mata belati yang begitu tajam menghiris kulit dadanya. Segera Hud menujahkan lututnya ke dada Lim seraya memulas pergelangan tangan Lim ke belakang. Serta-merta, belati terlepas daripada tangan Lim. Darah terus membuak-buak mengalir dari dada Hud yang baru sahaja dihiris dengan senjata. Kesakitan yang maha hebat itu juga membuatkan nafas Hud mula turun naik menahan sakit.

Lim yang sudah meronta-ronta apabila Hud memulas bahunya terus berteriak kesakitan apabila bahunya dipatahkan oleh Hud. Satu tendangan kuat yang ditujahkan oleh Hud ke kepalanya membuatkan Lim rebah. Kepalanya mulai berpusing dengan darah yang membuak mengalir dari corong telinganya sebelum semuanya menjadi gelap.

Si lelaki berambut punk terus meluru ke arah Hud. Malangnya, tubuhnya terlebih dahulu menjadi sasaran tembakan Zed apabila Hud sempat menarik kolar bajunya untuk dijadikan sebagai penghadang. Akibatnya, si lelaki berambut punk mati katak saat itu juga.

Perlahan-lahan, Hud melangkah memburu Zed seraya memakai semula jas hitam untuk melindungi tubuhnya yang kedinginan. Rintik-rintik hujan kembali turun pada malam itu. Hud mula menggagau Glock yang disisip ke belakang pinggangnya. Sesekali, tangan kanannya menekup luka siatan di dadanya. Berkerut-kerut dahi Hud menahan perih yang bukan kepalang.

Sebaik sahaja Hud melangkah naik, berdas-das tembakan mula ditujahkan ke arahnya. Berdasarkan penelitian Hud, di sebalik dinding yang diconteng pasti ada konco-konco yang sedang dahagakan darahnya. Masing-masing sedang memegang senjata api. Maka, Hud turut mengikut rentak mereka.

"Hud, itu urusan..."

Ibrahim kematian kata tatkala bunyi berdas tembakan dilepaskan kedengaran lagi. Nampaknya, Hud sedang menempah hidangan berbentuk maut tika ini. Begitu tekadnya Hud ingin menentang musuh hanya demi keselamatan Afrina saja. Tahulah Ibrahim bahawa Hud sangat mencintai Afrina.

"Kasihan bini kau. Tengah tunggu kau dekat rumah ya? Nak buat macam mana kalau bos aku nak bagi hadiah kepada pengantin baru. Agak-agaknya kan, bini kau akan jadi balu muda kut," provok Zed sambil matanya melilau memandang sekeliling gudang lama yang terbiar itu. Glock di tangan diperkemas lagi. Sesekali, Zed bersiul riang mencari keberadaan Hud Aidan.

"Memandangkan kau tetamu terhormat kami, tak baik pula kan kalau tak ada hidangan untuk kau," ujar Zed lagi. Tawa sinisnya terletus di sebalik topeng. Tujuh orang konco yang bersenjata dan sedang bersembunyi di belakang dinding mula diarahkan untuk mencari keberadaan Hud.

Derapan tapak kaki yang kedengaran dari belakang membuatkan Hud semakin fokus. Sungguh, dia mahu berhadapan dengan Zed sahaja saat ini. Lelaki bertopeng itu merupakan kunci utama di sebalik kejadian yang menimpanya memandangkan dia sering berhadapan dengan Zed.

Hud yakin.

"Inspektor Hud Aidan. Kalau aku buka semula kisah lima tahun yang lalu, agak-agaknya kau akan keluar dari persembunyian kau tak?" Zed semakin mengumpan Hud keluar dari persembunyiannya. Tidak sabar rasanya mahu menamatkan riwayat pemuda yang sudah mengucar-ngacirkan markas penyimpanan dadah mereka.

Tatkala itu, Hud hanya tersenyum sinis sambil melekapkan tangannya pada dada. Bodoh! Hud sudah tahu dari awal lagi bahawa musuh dalam selimutnya tahu mengenai kisah silam yang sudah memusnahkan kerjayanya. Perlahan-lahan, Hud menyembulkan kepalanya. Glock  yang berada di genggaman dihalakan ke arah kaki dua figura.

Hanya dalam kiraan tiga, berdas-das tembakan dilepaskan ke arah sasaran. Setidaknya, Hud tidak melepaskan tembakan ke arah tempat yang bisa membunuh. Hanya sekadar melumpuhkan musuh sahaja. Serentak, Zed dan lima musuh yang selamat berpaling ke belakang. Saat itu juga berdas-das tembakan dilepaskan ke arah Hud yang sudah meluru ke tingkat atas.

Serentak mereka meluru bagaikan Zombi untuk membantai Hud habis-habisan. Malangnya, pasukan Ibrahim sudah sampai ke destinasi bagi memberkas dalang di sebalik ancaman ke atas Hud. Sumpah serana terzahir daripada mulut Zed tatkala menyedari dia dan konco-konco Mirza sudah diperangkap oleh Hud.

"Biar aku yang uruskan si bedebah ini. Kau orang settle dengan anjing-anjing yang sedang melalak itu!" arah Zed seraya menambahkan peluru ke dalam kelongsong.

Lima orang konco-konco Mirza kembali turun ke bawah. Manakala, Zed dengan langkah yang berhati-hati menaiki tingkat teratas gudang yang tidak beratap.

"Hud..."

Belum sempat Zed kembali menyambung provokasinya, kolar bajunya direntap kasar dari belakang. Tengkuknya dipaut ketat dari belakang dengan benda bermata tajam dihalakan ke pinggangnya. Bau hanyir darah mula menusuk rongga hidung lelaki bertopeng hitam itu.

"Siapa ketua kau yang sebenarnya? Jawab atau mati," bisik Hud. Pisau ditekankan lagi ke pinggang Zed. Tengkuk Zed yang dipaut semakin diketatkan lagi. Dapat Hud rasakan bahawa nafas Zed mula terasa sempit.

"Jawablah siapa ketua kau!" jerkah Hud lagi dengan suara yang keras. Rintik-rintik hujan yang mencurah-curah ke bumi membuatkan kesakitan pada tubuh Hud semakin mencengkam. Tubuhnya yang sudah basah kuyup hanya diabaikan sahaja.

Namun, demi Afrina, Hud mahu menamatkan segala ancaman ke atasnya. Hud hanya mahu membina sebuah keluarga yang bahagia tanpa sebarang ancaman bersama Afrina.

Bersambung...

Thanks guys sudi baca 💕

Sorry terpanjang pula. Sorry juga lambat upload. Syaf mampu upload sabtu dan ahad saja. Hari lain sibuk masuk ofis intern 😖

So macam mana episod kali ini? Sudah kembali tegang bukan? Bye2 dululah babak sweet tu 😆 

Sedutan episod 45:

"Malang betul nasib kau, Hud Aidan. Sahabat kau pun hancurkan hidup kau demi kepentingan sendiri. Apa kau ingat sahabat kau tu betul-betul sayangkan kau ke? Dia cuma nak kau merana sajalah! Betul tak... Inspektor Ibrahim?"




Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top