Episod 29 🍃
"KENAPA kau tak nak buat report? Eh, sampai bila hah kau nak si jahanam tu pukul kau? Sampai bila kau nak pertahankan dia? Kalaulah Mak Timah tak minta bantuan aku hantarkan dia pergi pasar pagi ni... aku tak tahulah apa akan jadi dengan kau!" bentak Afrina apabila Sherina membuat keputusan untuk berdiam diri. Turun naik nafas gadis itu dengan amarah yang masih tersisa. Raut wajah gadis itu juga sudah dipenuhi dengan kerutan di dahi.
Sekali lagi, Afrina berhadapan dengan konflik keluarga Hud Aidan. Manakan tidak, dia kasihan dengan Dina bila mana Mak Timah menghubunginya dan mengatakan mereka hampir kehabisan stok makanan di rumah. Kebiasaannya, hanya Hud dan Mak Timah sahaja yang membeli barangan dapur. Terpaksa lagi Afrina membohongi abahnya. Demi Medina dan ibunya Hud yang terlantar sakit di dalam bilik. Mahu mengharapkan orang di rumah ini? Alamatnya mati kebulurlah Dina dan Datin Khalida.
"Sudahlah Afrina. Benda dah jadi, kan? Aku dah sah jadi isteri dia selama enam tahun dah pun. Aku dah biasa kena pukul macam ni. Sebelum abang datang lagi kaki dan tangan Zanif tu tak henti-henti naik pada tubuh aku," ujar Sherina sambil tertunduk menekur jari jemarinya. Nada suaranya bergetar menahan sebak di dada. Tidak sanggup dia melihat wajah Afrina tika itu. Dia malu. Malu apabila kelihatan lemah di hadapan orang asing dalam keluarganya.
Kata-kata yang dilontarkan oleh Sherina menambahkan kemarahan dalam diri Afrina. Tangan kanannya memicit dahi. Kepalanya jadi pusing dengan konflik rumah tangga Sherina. Dalam hidup Afrina, seorang wanita tidak selayaknya dianiaya oleh seorang lelaki yang bersifat sebagai pelindung!
"Terima kasih sebab tolong aku. Kau baliklah. Aku tak nak susahkan kau lagi. Cukuplah kau dah kena culik sebab kes abang aku hari tu. Nanti apa pula kata keluarga kau kalau keluarga aku tak habis-habis susahkan kau," tambah Sherina. Titisan air mata yang sudah mengalir ke pipi dikesat lembut. Sungguh, Sherina sudah tidak tahan lagi untuk meneruskan hidupnya. Selama 28 tahun dia hidup, tidak ada langsung erti bahagia dalam hidupnya.
Dari kecil ibu bapanya selalu mengabaikannya. Hanya melimpahkan kemewahan tanpa memberikan sebuah kebahagiaan. Masalah pula hanya dikongsi bersama abang kandungnya namun semenjak Hud dibuang keluarga, Sherina semakin tertekan. Dia hilang tempat bergantung. Hingga akhirnya, dia dipaksa untuk menikah dengan lelaki yang tak dicintai. Pengakhirannya, dia merana separuh mati.
Melihat keadaan Sherina membuatkan Afrina kehilangan kosa kata. Wanita muda itu benar-benar kelihatan tak bermaya di pandangan Afrina. Dia simpati. Melihat sahaja keadaan Dina yang kekurangan kasih sayang ibu bapa cukup memberikan penjelasan kepada Afrina mengenai keadaan keluarga Datin Khalida ini. Tambahan pula, Afrina yakin kejadian buruk yang menimpa Hud juga mempunyai kaitan dengan masalah keluarga.
"Sherina... aku nampak dengan mata aku sendiri kau kena belasah dengan suami kau. Takkan aku nak biarkan kes kau macam ni saja? Aku rasa aku manusia paling jahil kalau aku biarkan kau diseksa macam tu," ujar Afrina seraya melabuhkan duduknya di sofa. Pandangannya tertumpu pada wajah memar Sherina. Adiknya Hud Aidan ini memang kelihatan sakit fizikal dan mental.
Sherina hanya diam. Hatinya semakin sebu dengan keprihatinan Afrina. Tangannya tak henti-henti menyeka air mata tanpa henti. Sesak di dada semakin terasa perit. Sherina benar-benar rasa kaku saat itu. Tak henti-henti bisikan-bisikan negatif menyapa telinganya. Perkataan mati tak putus-putus menyapa sanubarinya.
Perlahan-lahan, Afrina menyelitkan anak rambut Sherina yang terjuntai ke belakang telinga. Terpampang warna ungu di pipi dan bawah mata wanita itu. Lantas, Afrina mencapai tuala dibaluti dengan ais yang disediakan oleh Mak Timah lalu dituamkan ke pipi Sherina.
Sherina terus mengangkat pandangannya memandang wajah Afrina. Sesekali, dahinya berkerut menahan perit. Gadis di hadapannya ini benar-benar baik orangnya. Baru Sherina mengerti mengapa abangnya bersedia berkorban demi keselamatan Afrina.
"Aku hantar kau pergi klinik. Okay?"
"Tak. Aku tak nak. Kan aku dah cakap aku dah biasa..."
Sherina kematian kata tatkala pandangan tajam Afrina terpampang di kornea matanya. Seakan-akan gadis berselendang hitam itu mahu menerkamnya sahaja. Keluhan berat terlepas di bibir Afrina dengan kedegilan Sherina. Sherina ini memang mencabar kesabarannya sekali lagi.
"Aku tak fahamlah dengan kau ni! Buat report tak nak. Pergi dapatkan rawatan pun sama. Kau tahu tak kau ni dah kena belasah teruk? Ni muka kau pun dah lebam sana sini. Badan kau tu usah dikatalah! Sekurang-kurangnya kalau kita dapatkan rawatan... kita tahu kecederaan dalaman kau! Eh, Sherin... jangan sampai si bangsat tu pergi lumpuhkan badan kau baru kau nak menyesal!" marah Afrina seraya meletakkan tuala di dalam mangkuk. Kesabarannya sudah hilang serta merta.
"Kau buatlah apa yang kau nak buat! Kalau kau rasa itu yang terbaik, just go on! Aku nak balik dulu. Assalamualaikum," tegas Afrina seraya mencapai beg sandangnya. Kepalanya digelengkan dengan keputusan Sherina. Dari dia membuang waktu lebih baik dia pulang sebelum tembelangnya berurusan dengan keluarga Hud pecah.
"Dia dah ugut aku! Dia ada rakaman video..."
Tak semena-mena, esakan Sherina kembali pecah. Dia malu! Itu adalah aib dirinya yang disimpan selama empat tahun. Oh sungguh, Sherina tertekan. Dia hanya mahukan kematian agar semua penderitaan ini berakhir.
Langkah Afrina langsung terbejat di muka pintu sebaik mendengar pengakuan Sherina. Tak semena-mena, bibirnya diketap menahan geram. Api kemarahan di sudut hati kembali marak. Tangannya sudah dikepal mengenggam penumbuk. Zanif! Lelaki itu memang syaitan! Mengambil kesempatan di atas kelemahan Sherina.
"Dia akan sebarkan video aib tu kalau aku laporkan ke pihak polis. Aku tak nak malukan keluarga aku. Dia ada cakap, dia akan buat mama mati akibat serangan jantung kalau video tu tersebar!" tambah Sherina lagi seraya memeluk tubuhnya dengan erat. Sungguh, dia merasakan dirinya begitu jijik. Bahunya sudah terhinggut-hinggut melepaskan tangis.
Afrina sudah terpempan dengan omongan Sherina. Lantas dia beristighfar meredakan api kemarahan yang semakin meledak. Tangisan Sherina di ruang tamu benar-benar meluluhkan hatinya. Besar sungguh dugaan adiknya Hud Aidan itu. Perlahan-lahan, Afrina kembali menghampiri Sherina dan melabuhkan duduk bersebelahan wanita itu. Tubuh Sherina lantas dibawa ke dalam pelukan.
Tika itu juga, tangisan Sherina semakin kuat. Dia menggogoi semahunya di dalam pelukan Afrina. Segala kesesakan di jiwanya dilepaskan apabila Afrina memberikan kehangatan buatnya. Sejak Hud terlantar koma, dia hanya mampu memendam sendirian sahaja. Kini, barulah Sherina dapat melepaskan beban yang dipikul.
"Menangislah... kalau ini akan melegakan kau. Kau lepaskan sahaja segala kesakitan yang kau rasakan. Aku ada kat sebelah kau. Aku minta maaf Sherin. Aku tak tahu Zanif buat macam tu pada kau. Tak apa, aku akan ceritakan semuanya pada Hud..."
"Tak. Tak boleh Afrina! Aku merayu pada kau jangan bagi tahu abang. Hanya kita berdua. Please? Abang akan mengamuk teruk kalau dia tahu. Aku percaya kau boleh simpan rahsia ni," rayu Sherina seraya melepaskan tubuhnya dari pelukan Afrina. Tangan Afrina digenggam erat.
"Kau tak boleh biarkan diri kau berterusan jadi lemah macam ni Sherin. Kau kena lawan! Sampai bila kau nak biarkan Zanif belasah kau? Mendominasi dan mengawal hidup kau? Lambat laun abang kau akan tahu yang Zanif pukul kau lagi. Kalau kau takut pasal ugutan Zanif, aku boleh slow talk dengan Hud supaya dia tak mengamuk pasal video tu. Aku nak tolong kau Sherin. Jadi kau kena tolong diri kau sendiri juga," pujuk Afrina sambil mengusap lembut air mata Sherina. Luluh hati Afrina melihat wajah cantik Sherina kembali dipenuhi dengan memar.
Tatkala itu, Sherina sudah kematian diksi. Hanya pandangan sayunya sahaja merenung raut wajah Afrina yang tegang. Keberadaan Afrina membuatkan hatinya sedikit terpujuk. Gadis kesayangan abangnya ini sememangnya seorang yang menenangkan di sebalik sifatnya yang tegas.
Kalau saja Afrina menjadi pasangan abangnya, Sherinalah yang akan bahagia sekali. Sherina benar-benar mengharapkan bahawa abangnya memilih pasangan hidup yang baik seperti Afrina. Bukan seperti Farisha yang terlalu taksub dengan kemewahan.
"Kenapa kau buat semua ni Afrina? Kau bukan siapa-siapa dalam keluarga aku. Kau tak ada apa-apa hubungan istimewa dengan abang aku. Tapi..."
"Sebab aku sayangkan anak kau. Aku dah anggap dia macam anak aku sendiri. Memang aku bukan siapa-siapa dalam keluarga kau. Aku juga tak ada apa-apa hubungan dengan abang kau. Tapi aku terlalu sayangkan Medina. Aku nak bagi kasih sayang aku sepenuhnya pada anak kau sebab tu aku tak nak dia menderita," pintas Afrina seraya tersenyum pahit. Ya, semua ini hanya untuk Medina. Tulusnya kasih sayang Afrina pada Medina tiada galang ganti. Afrina mahu gadis kecil itu hidup bahagia.
Ketika itu juga, mulut Sherina seakan-akan terkunci rapat untuk bersuara. Hanya sendunya sahaja yang terbit tika itu. Kata-kata Afrina yang tulus mencurahkan kasih sayang buat Medina membuatkan hati Sherina meruntun pilu. Dia sendiri sebagai ibu kandung kepada Dina sering kali menolak kewujudan anak kecil itu. Tapi Afrina yang tidak mempunyai pertalian darah bisa menyayangi Dina seperti seorang ibu yang menyayangi anaknya.
Sungguh, Sherina malu dengan kekhilafannya menjadikan Dina sebagai mangsa penderitaannya. Dina tidak bersalah dalam hal ini. Anak kecil itu sama sepertinya. Hanya menjadi mangsa keadaan.
My lovely sister 👯♀️
Maaf abang, Sherin tak dapat nak ambil abang kat hospital hari ni. Sherin ada meeting. Discuss pasal konsep ruang tamu klien. Tapi Sherin dah minta tolong abang Mirza ambil abang. Jangan marah 😜
Pesanan WhatsaApp daripada Sherina membuatkan Hud mengeluh berat. Wajahnya diraup kasar bila dia harus berhadapan dengan Mirza tika ini. Sherina ini seolah-olah mahu mengenakannya sahaja. Seolah-olah tidak mengerti bahawa Hud dan Mirza tidak boleh duduk berdua. Ada sahaja kata-kata sarkastik yang akan dilontarkan antara satu sama lain.
"Kalau ya pun kau tak suka janganlah tunjuk sangat. Sorok-sorok sudahlah," kata Mirza yang fokus dengan pemanduan. Mulutnya ligat mengunyah gula-gula getah. Sesekali, gula-gula getah ditiup sehingga menggelembung dan pecah.
Hud sekadar tersenyum sinis dengan omongan Mirza. Sesekali, wajah Mirza yang duduk di sebelahnya dipandang dengan pandangan yang menjengkelkan. Rimas melihat Mirza yang asyik membuat bunyi gula-gula getah yang ditiup.
"Kau mimpi apa hari ni sampai sanggup turutkan kemahuan Sherin untuk ambil aku? Setahu aku, kau ni kalau boleh 24 jam duduk kat pejabat. Yelah, kau kan kesinambungan tonggak kejayaan Datuk Idris," ujar Hud sambil berpeluk tubuh.
"Tonggak kejayaan? Bunyi macam cemburu saja tu aku mewarisi syarikat papa," kata Mirza. Dia juga tak kurang hebatnya dalam membidas kata-kata sarkastik Hud. Gula-gula getah dibuang di dalam plastik pembungkus.
Tak semena-mena, Hud ketawa sinis dengan soalan Mirza. Mengejek soalan yang tak logik dek akal. Pelipis yang tak gatal digaru. Soalan abang tirinya itu benar-benar membuatkan Hud terusik.
"Buat apa aku nak cemburu? Arwah papa dah wasiatkan restoran seafood tu pada aku. Tahu-tahu je papa tu yang aku ni suka masak. Bukan tu saja, arwah papa dah wasiatkan ladang kambing kepunyaannya pada aku. Masing-masing dah dapat harta kepunyaan papa. Jadi, adil bukan walaupun nilainya kat kau lagi banyak daripada aku dan Sherin," jawab Hud dengan tawa yang masih tersisa.
"Dah tu kenapa kau macam tak puas hati? Kau..."
"Siapa cakap aku tak puas? Huh? Abang, kau tahu aku ni hampir mati sebab apa? Mesti kau tak tahu apa dah jadi kat adik tiri kau yang seorang ni kan? Kejap aku nak ingat balik apa dah jadi dengan aku selama enam bulan aku pulang ke pangkuan mama semula. Kena bertenang kejap sebab kisahnya sangat tragis!" pintas Hud. Wajah Mirza yang sudah memandangnya dengan pandangan yang tegang dipandang sekilas lalu. Terukir senyuman sinis di bibir pemuda berjas hitam itu.
"Enam bulan yang lepas, dalam perjalanan aku ke rumah mama... aku tiba-tiba diserang oleh sekumpulan lelaki asing dan menyatakan niat mereka untuk bunuh aku. Teruk jugalah aku kena malam tu sebab dah lama aku tak bergasak dengan penjenayah. Lepas kejadian tu selama enam bulan ini kerap kali aku dapat ugutan daripada orang tak dikenali. Melalui panggilan, mesej, kotak berisikan bangkai dan senjata yang dihantar tanpa nama. Sehinggalah kejadian penculikan ke atas aku," terang Hud dalam satu nafas yang panjang.
Penjelasan daripada Hud membuatkan Mirza terkesima serta merta. Jantungnya sudah berdegup kencang mendengar ancaman yang diterima oleh adik tirinya itu. Mirza juga seakan-akan tidak fokus dengan pemanduannya.
"Kalau kau nak tahu, ketika kejadian tu berlaku penculik tu mahukan..."
Jeda.
Perlahan-lahan, Hud kembali memandang wajah Mirza yang hanya mendengar tanpa membidas kata-katanya. Wajah Mirza tampak sedikit goyah. Hud tidak dapat menginterpretasi maksud di sebalik riak wajah abang tirinya itu. Apakah Mirza takut atau sebaliknya?
"Penculik tu mahukan harta yang arwah papa wasiatkan pada aku..."
Sreett!
Tak semena-mena, tubuh Hud dan Mirza sama-sama tersentak ke hadapan akibat brek mengejut yang dipijak kuat oleh Mirza. Berkerut dahi Hud apabila luka pada dadanya yang masih dalam proses penyembuhan terasa senak. Serta merta wajah tegang Mirza dipandang dengan pandangan yang penuh dengan amarah.
"Kau dah gila ke!" bentak Hud sekuat hati. Wajahnya mula membahang panas. Penghawa dingin di dalam kereta tidak dapat menyejukkan Hud yang sudah dibakar dengan kemarahan itu. Penumbuknya sudah digenggam erat. Mahu sahaja dilayangkan ke wajah Mirza.
"Apa semua ni Hud? Jadi betullah kes kau ni... sebab pelaku tu mahukan harta yang diwasiatkan kepada kau?" soal Mirza. Riak wajahnya yang penuh dengan reaksi terkejut terpampang di kornea mata Hud Aidan.
"Ya, sebab harta. Pelik bukan kenapa dia orang aim aku padahal kalau diikutkan kau lebih menerima harta warisan yang lebih banyak daripada aku," tegas Hud. Akalnya semakin ligat mencari jawapan di sebalik reaksi Mirza.
Mirza mengeluh berat seraya membuang pandangannya ke hadapan. Serta merta ingatannya dibawa pada kejadian tujuh tahun yang lalu. Ketika arwah Datuk Idris ditemukan mati secara mengejut di dalam bilik kerjanya.
"Kau fikirkan apa? Kenapa kau tak kena dan kenapa aku kena? Ke kau fikir kenapa arwah papa mati secara mengejut sehari selepas dia agihkan wasiat pada anak-anak dia?"
Soalan sinis Hud kembali menyapa telinga Mirza. Sungguh nada suara Hud yang dipenuhi dengan sarkastik mencabar Mirza. Seakan-akan Hud meletakkan kesalahan di atas bahunya pula.
"Aku keliru sekarang ni. Kenapa pelaku tu pilih kau berbanding aku. Memang papa ada banyak pesaing dalam dunia perniagaan. Sudah tentunya papa ada musuh dalam diam. Tapi kau baru sahaja pulang selepas hampir sepuluh tahun kau dihalau oleh papa. Padahal aku yang banyak tahu mengenai hal-hal syarikat dan harta pusaka papa. Mustahil..."
Mirza kematian kata. Keluhan berat terlepas lagi dari bibirnya. Wajah Hud yang masih ligat memerhatikan wajahnya dipandang lagi. Berkerut seribu jadinya dahi Mirza dengan pandangan sinis Hud itu.
"Mustahil? Tak. Tak ada yang mustahil kalau ketamakan sudah ditanam dalam diri. Tak ada yang mustahil kalau nafsu menguasai akal dan tak mustahil kalau... kau sendiri pelakunya. Sebab tu kau tak dijadikan sebagai target. Kau rasa aku ni pesaing kau. Betul tak Mirza Hasif? Kau kan yang rancang pembunuhan ke atas aku selama enam bulan ini?"
Tatkala soalan itu diujarkan oleh Hud Aidan, ketika itu juga pandangan Mirza sudah dipenuhi dengan amarah. Terasa mahu meledak kemarahan di jiwa Mirza dengan tebakan Hud. Urat-urat hijau mula timbul di tangannya yang sudah digenggam erat. Tambahan pula tawa sinis Hud yang kembali menyapa telinga seolah-olah sedang mencabar kesabarannya!
"Kenapa kau pandang aku macam tu? Nak belasah aku? Nak tembak aku? Ke nak tikam aku kat sini? Come! Bunuh aku dan kau akan dapat apa yang kau mahukan," cabar Hud. Tawa sinisnya semakin kuat kedengaran. Terasa senak perutnya mentertawakan Mirza yang sering mencabar kesabaran. Seakan-akan mengejek abangnya sahaja tatkala pandangan Mirza seakan-akan mahu membunuhnya.
Sungguh, Hud berpuas hati dapat membuatkan Mirza dikuasai dengan amarah tika itu. Bagaikan kemenangan berpihak kepadanya sahaja apabila Mirza kematian kata.
Bersambung...
Thanks guys sudi baca 😁 jangan lupa tekan bintang kalau suka karya ini 🌹
Macam mana dengan episod kali ni? Mendebarkan ke tak 😎 Konflik semakin hangat tak? 🧐
Betul ke ni Mirza pelakunya? 🤔 Ke Hud ni nak main-mainkan emosi abang tiri dia? 🤔
Kau orang rasa antara Sherina dan Medina, siapa lagi kesian? 😭
Maafkan Sherin sebab rahsiakan pada abang asbab Sherin tak nak laporkan pada pihak polis mengenai kes dera sherin. Sherin takut video tu aibkan keluarga kita -Sherina 😭
Nasib baik masa Kak Afrina usya Instagram Pak cik Hud, tak tertekan like gambar Dina yang pak cik ambil kat sekolah. Tapi Kak Afrina tetap kantoi - Dina 🤣
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top