Episod 27🍃
"AFRINA, kenapa awak tiba-tiba diam ni? Awak okey tak tu? Maaflah kalau apa yang saya cakap tu buat awak terkejut. Tapi, itu yang saya nampak bila Hud tak henti-henti cari awak. Kalau boleh dia nak awak ada depan mata dia. Nak pastikan yang awak ni betul-betul selamat," ujar Ibrahim. Aneh sekali bila mana Afrina tiba-tiba sahaja senyap. Tiada lagi mulut lancang yang meniti di bibir si gadis.
Afrina berdeham tatkala suara Ibrahim kembali kedengaran. Langkah lantas diatur melabuhkan duduk di birai katil. Nafas panjang ditarik sebelum dihembuskan perlahan-lahan.
Sungguh, Afrina jadi pelik dengan diri sendiri bila mana ada denyutan yang seakan-akan mengetuk dinding hatinya dengan omongan Ibrahim tadi. Pasti semuanya mainan perasaannya sahaja. Ya. Afrina yakin! Manakan tidak, selama Hud terlantar koma selama itu juga dia tidak pernah tenang. Rasa khuatirnya bagaikan tiada henti.
"Nope! Saya tak akan jumpa dia. It's okay Ibrahim. Nanti-nanti saya call Hud dan bagi Hud dengar suara saya ni. Dia nak sangat kan pastikan yang saya dah selamat," tegas Afrina. Riak wajahnya serta merta berubah tegang. Pantang sekali dia dengan sikap Ibrahim yang suka mendesak.
"Awak tak kesian ke dengan dia? Hari ni dah masuk hari keempat dia sedar. Empat hari ni jugalah dia asyik tanya mana Afrina? Awak jururawat kan. Awak mesti tahu yang pesakit ni harus diturutkan permintaannya supaya cepat sihat," pujuk Ibrahim lagi. Bersungguh-sungguh pemuda bermata sepet itu memujuk Afrina. Walhal, terik mentari sudah menyirna dan tegak berdiri di atas kepalanya. Bahangnya terpancar di wajah. Menunggu Afrina turun dan menurut permintaan Hud.
Pujukan Ibrahim semakin membuatkan Afrina rasa rimas. Jelas sekali pemuda itu benar-benar mendesaknya untuk bertemu dengan Hud. Tapi dia mengiakan. Orang sakit macam Hud itu perlu diturutkan kemahuannya. Lagi pula, Afrina mahu Hud cepat sembuh. Jadi dia tidak perlu risau dengan keadaan Dina.
"Okey," putus Afrina acuh tak acuh.
"Okey?"
Afrina mengeluh berat bila Ibrahim tidak mengerti dengan keputusannya. Tanpa berlengah, gadis itu membuka almari pakaiannya seraya menilik pakaian yang tergantung di dalam almari. Mahu mencari pakaian yang sesuai untuk keluar bersama Ibrahim atau lebih tepatnya bertemu dengan Hud Aidan.
"Ya. Saya pergi. Dengan syarat tak lebih dari dua jam. Okeylah! Saya nak bersiap. Lagi satu, awak tak perlu jumpa abah saya untuk minta kebenaran. Takut cerita lain pula yang timbul bila awak jumpa abah," ujar Afrina dengan nada yang tegas seraya menamatkan panggilan. Sekali lagi, keluhan berat terlepas dari bibirnya. Hud benar-benar buat dia mula panas hati saat ini. Kalau dia tak kasihankan pada Dina, sudah tentunya dia akan menolak serta merta.
Sekarang, Afrina buntu memilih pakaian yang sesuai untuk dipakai. Berkerut-kerut dahi si gadis membelek pakaiannya. Sesekali, selendang yang tergantung di dalam almari juga turut dipadankan dengan sehelai blouse berwarna mustard dengan fesyen pergelangan tangan bergetah. Melihat sama ada sesuai ataupun tidak.
Apa yang paling membingungkan bagi Afrina saat ini bila dia tiba-tiba sahaja jadi rumit mahu memilih sepasang pakaian. Walhal hanya bertemu dengan Hud Aidan sahaja. Oh sungguh, Afrina rasa hari ini dia semakin tidak betul. Tapi, dia seakan-akan tidak betul selepas tragedi penculikan itu. Tak henti-henti dia memikirkan mengenai keadaan Hud sehingga terbawa dalam mimpi.
"Kakak menungkan apa itu?" sergah Arisha dari belakang sambil menepuk bahu Afrina.
Terhinggut bahu Afrina dengan sergahan Farisha. Laju sahaja tangannya mencubit lengan adik bongsunya itu. Geram! Tak semena-mena juga Arisha menjerit kecil. Berbisa sungguh penangan kakaknya itu.
"Sakitlah! Kakak ni dengan adik sendiri pun nak gangster ke?" adu Arisha sambil mengusap lengannya. Berbahang terus wajah gadis itu dengan penangan berbisa kakaknya.
"Padan muka! Kalau nak lagi, lain kali buatlah benda yang sama. Hah Isha datang bilik kakak ni nak apa?" omel Afrina seraya mencapai pakaian yang sesuai dengan citarasanya hari itu lantas diletak di atas birai katil.
"Ala Kak Afrina nak keluar ke? Baru nak ajak akak jadi drive Isha dengan Diana pergi Sunway. Kaki Isha sakitlah lepas hiking pagi tadi," ujar Arisha sambil mengunyah jajan yang berada di tangan.
"Apa gunanya boyfriend Isha tu kalau Isha still nak harapkan kakak jadi driver? Tak pun suruh sajalah Diana ambil Isha kat rumah. Alasan saja sakit kaki. Acah saja sakit kaki. Tapi mampu pula nak keluar pergi mall," ujar Afrina sambil menitik foundation ke tiga titik di wajahnya. Dahi, pipi, dagu. Ada nada sarkastik diberikan kepada adiknya juga.
Arisha mencebik geram. Kakaknya itu kalau sudah berbicara tiadalah yang menyenangkan. Semuanya menyakitkan hati saja! Sempat dipandangbya pakaian Afrina yang bertemakan ceria sebelum dipandangnya wajah kakaknya yang jarang bersolek itu
"Diana tu takut nak drive! Fikri tu sibuk uruskan pelajar orientasi. Maklumlah dia kan bertugas sebagai biro disiplin. Isha tak nak susahkan mama dengan abah. Jadi sekarang ni Isha nampak kakak saja kat depan mata," ujar Arisha sambil tersengih kelat. Alasan yang sangat munasabah baginya.
Afrina mencebik. Kepalanya digelengkan dengan tingkah adiknya. Itulah Arisha. Selalu sahaja mempergunakannya menjadi pemandu peribadi tak diiktiraf.
"Nanti-nanti..."
"Ala akak! Tapi hari ni last day sales dekat sana. Isha nak beli blusher baru kat Sephora tu hah. Bolehlah. Please, " rengek Arisha seraya menggoncang lengan kakaknya. Bibirnya sudah dimuncungkan ke depan. Namun, aneh pula dilihatnya kakaknya yang sedang bersiap seakan-akan mempunyai temu janji saat ini. Cantik.
"Kakak nak keluar dengan Rahim. Lain harilah," ujar Afrina sambil mengoles gincu ke bibirnya. Melihat bibirnya terlalu kemerahan membuatkan Afrina rasa aneh. Lantas tisu dicapai sebelum bibirnya dilap. Menghilangkan kesan gincu tersebut.
Saat itu juga, bersinar-sinar wajah Arisha dengan omongan kakaknya. Akhirnya, rancangannya dan Diana berjaya! Tidak perlu mengenakan Afrina dan Ibrahim lagi agar mereka bertemu memandangkan langkah abang dan kakak mereka itu seakan-akan ke fasa seterusnya. Lantas, tisu di tangan Afrina ditarik. Vaseline dicapai lalu dihulurkan kepada kakaknya.
"Kakak oles Vaseline ni kat bibir. Tak adalah comot sangat kalau kakak padam lipstick tu. Lepas tu, kakak pakai colour ni. Bagi match dengan baju kakak," ujar Arisha sambil menghulurkan gincu berwarna merah jambu kepada Afrina.
Afrina menggelengkan kepalanya. Menolak. Cukup. Dia tidak mahu terlalu berdandan tika ini. Dia sendiri tidak mengerti kenapa dia seakan-akan beria. Apa yang Afrina tahu, seakan-akan ada suntikan yang berbisik agar dia berdandan hanya untuk bertemu dengan Hud Aidan.
"Kakak dalam diam eh..."
"Jangan sibuk boleh?" pintas Afrina. Matanya dijelingkan bila Arisha semakin menganggu ketenteramannya tika itu.
Arisha sekadar tersenyum nipis. Langkah lantas diatur meluru ke biliknya. Ini gosip hangat! Kak Afrinanya dan abang Ibrahimnya Diana sudah mula bertemu janji. Barangkali sudah nempunyai hubungan yang serius. Telefon di atas meja belajar lantas dicapai. Nombor 'Diana wanabee' dicari dalam senarai kenalan WhatsApp.
'Diana! Jadi wei!!!! Serius kakak dan abang kita dah jadi. Kau tahu tak, kakak aku dengan abang kau nak pergi dating!' 😍😍
"Yes! Berjaya juga akhirnya!" ujar Arisha sejurus sahaja menghantar berita baik itu kepada sahabatnya. Senyuman lebarnya terlakar di bibir.
Sempat matanya tertancap ke arah Afrina yang sudah menuruni anak-anak tangga dari dalam bilik yang terbuka luas. Sungguh, penampilan kakaknya tampak segar saat itu. Arisha mengerti. Kakaknya akan bertemu janji dengan Ibrahim. Maka, haruslah nampak cantik dan kemas. Tidak seperti kebiasaannya bila kakaknya sering memakai pakaian gelap.
Akal mengarahkan Arisha menyelak langsir biliknya. Mahu melihat riak wajah Ibrahim tatkala melihat penampilan kakaknya yang tampak cantik pagi itu. Jarang sekali Arisha melihat kakaknya berdandan. Jadi, Arisha yakin bahawa kakaknya berdandan kerana mempunyai temu janji dengan Ibrahim.
Tatkala itu juga, Arisha tersenyum-senyum lagi melihat riak wajah Ibrahim yang seakan-akan pegun melihat wajah Afrina. Senangnya hati Arisha melihat kakaknya sudah mula membuka hati untuk mencari pengganti arwah Umar.
"Amboi Isha! Bukan main suka lagi berdiri kat depan tu."
"Opocot! Kak Afrina cepat kahwin dengan abang Rahim!"
Tak semena-mena, Puan Sofia ketawa dengan latah Arisha. Kepalanya digelengkan. Ada-ada sahaja telatah mencuitkan hati anak bongsunya itu.
"Mama! Terkejut Isha. Eh mama tengok tu kejap lagi mama dapat menantulah kan," kata Arisha sambil memerhatikan Ibrahim yang sedang membuka pintu buat kakaknya. Oh sungguh, Ibrahim sangatlah manis orangnya.
"Pandai-pandailah Isha ni. Kakak pun tak ada cerita apa-apa dekat mama. Ni Isha nak cakap lebih-lebih pula," kata Puan Sofia yang turut memerhatikan anak sulungnya di sebalik jendela. Dia tahu, Afrina masih tidak bersedia. Namun, doanya agar Afrina bertemu dengan jodoh yang baik tak pernah putus.
Anak sulungnya itu sememangnya memerlukan seseorang dalam hidupnya. Seseorang yang mampu melindungi dan membahagiakan Afrina. Menyelamatkan Afrina dari terus tenggelam dengan kesedihan di atas pemergian arwah Umar.
SESEKALI, Ibrahim yang sedang memandu memandang wajah Afrina yang ligat dengan telefon di tangan. Senyuman tak lekang dari bibirnya melihat gadis itu. Afrina tampak berbeza hari ini. Pakaiannya terlalu ceria. Blouse berwarna mustard dengan reben di pergelangan tangan, skirt labuh pleated berwarna putih dan selendang berwarna putih. Solekan tipis menghiasi wajah si gadis. Sungguh, kombinasi yang sangat padan.
Tapi semua itu bukan untuk dia melainkan hanya untuk sahabatnya. Hud Aidan. Ada rasa cemburu bertandang di lubuk hati bila gadis kesayangannya seakan-akan kelihatan cantik di hadapan Hud. Walhal selama ini, Afrina sering berpakaian gelap.
"Pelik ke saya pakai macam ni Inspektor Ibrahim?" soal Afrina seraya mengalihkan pandangannya ke laman wajah Ibrahim. Tiba-tiba dia rasa tak yakin bila Ibrahim asyik memandangnya tanpa henti.
"Mana ada pelik. Awak nampak lain pakai pakaian yang cerah macam ni. Nampak segar, bertenaga dan cantik," puji Ibrahim. Wajah Afrina yang duduk di sebelahnya dipandang sekilas lalu.
"Awak suka?" soal Afrina lagi.
Tak semena-mena, hampir sahaja Ibrahim memijak pedal brek dengan soalan mengejut daripada Afrina. Soalan itu juga seakan-akan menampar wajahnya. Sejak dia meluahkan perasaan buat Afrina tempoh hari, sejak hari itu juga dia tidak mahu membuka soal hati lagi. Dia sudah ditolak serta merta!
"Siapa saja tak suka tengok pemandangan yang cantik di depan mata. Betul tak?" jawab Ibrahim. Itu jawapan selamat buat masa ini.
Senyuman nipis terukir di bibir Afrina dengan kata-kata Ibrahim. Pujian Ibrahim membuatkan dia kembali yakin untuk mengenakan pakaian cerah. Nafas berat dihela tanda lega.
Sememangnya, sudah lima tahun Afrina tidak mengenakan pakaian cerah. Hanya pakaian berwarna kelabu, biru tua, hitam dan coklat sahaja yang sering dipakai. Seakan-akan sepadan dengan hatinya yang kosong setelah pemergian Umar. Tapi hari ini, entah angin apa yang bertandang bila dia kembali mengenakan pakaian berwarna cerah.
"Awak tahu tak Hud suka warna putih. Awak ni macam tahu-tahu saja kan warna kegemaran dia. Saya yakin, mesti dia cepat sembuh bila tengok penampilan awak," kata Ibrahim setelah mereka melepasi laluan tol.
Tak semena-mena Afrina ketawa kecil dengan omongan Ibrahim. Pelipis yang tak gatal digaru. "Saya tak pernah tahu pasal apa yang dia suka pun. Semua ni kebetulan saja. Dah saya rasa warna baju saya matching dengan warna putih. Itu yang saya pakai ni," ujar Afrina. Pandangannya terus dialihkan ke luar tingkap. Memandang deretan pencakar langit di Kuala Lumpur.
"Tapi, awak tahu kan yang dia cintakan awak?" soal Ibrahim tak semena-mena. Sengaja mencari reaksi wajah Afrina tatkala perihal soal hati Hud diungkit.
Afrina sekadar tersenyum sinis dengan soalan Ibrahim. Dia tahu. Dia nampak ketika mereka diculik dahulu. Beria-ia Hud melindunginya. Tidak, bukan saat itu. Sebenarnya, dia sudah perasan isi hati Hud Aidan bila mana pemuda itu sentiasa nekad untuk melindunginya tiap kali bahaya mendatang. Walaupun pengakhirannya pemuda itu yang akan menerima akibat.
"Tak tahu. Dia tak pernah luahkan perasaan dia pada saya," helah Afrina tanpa memandang wajah Ibrahim.
"Takkan awak tak perasan..."
"Rahim, saya rasa hari ni kita sajalah yang keluar. Saya tiba-tiba rasa malas nak jumpa dia. Hari ni, awak bawalah saya ke mana saja awak nak pergi. Anggap saja janji temu kita buat kali pertama. Tanpa rancangan adik-adik kita," arah Afrina senada. Wajah Ibrahim dipandangnya lagi bersama dengan senyuman yang dibuat-buat.
Sungguh, arahan mandatori Afrina membuatkan Ibrahim terkesima. Entah perasaan suka atau bersalah yang patut dirasakan saat ini. Di hospital, Hud sudah setia menanti. Namun gadis di sebelahnya ini tiba-tiba pula ubah angin. Memanglah dia suka. Afrina sudi keluar dengannya. Tapi kasihan pula sahabatnya yang masih sakit itu.
"Tapi kesianlah dekat Hud. Dia dah tunggu awak," ujar Ibrahim.
Wajah Afrina terus berubah tegang. Dahinya berkerut menahan amarah bila Ibrahim masih mendesaknya untuk bertemu dengan Hud. Afrina tak mahu derhaka dengan abahnya yang sudah mengeluarkan arahan mandatori. Bahkan, entah mengapa hati Afrina tiba-tiba tak mahu bertemu Hud bila Ibrahim membuka topik isi hati Hud Aidan kepadanya.
"Kita pergi jumpa Hud. Lepas..."
"Awak ni sebenarnya sukakan saya ke tak eh? Saya ingat lagi tau luahan perasaan awak hari tu. Saya tahulah Rahim yang awak nak saya jadi milik awak, kan? Jadi takkan awak nak makan hati berulamkan jantung sekarang ni? Awak nak tengok saya dengan Hud rapat ke? Ni, saya dah ada dekat depan mata awak dan saya lebih pilih nak keluar dengan awak dari bertemu dengan Hud! Tapi kalau awak tak sudi... okey tak apa. Awak boleh hantar saya balik!" tegas Afrina bersama dengan keluhan berat terlepas dari bibir. Kepalanya digelengkan tak mengerti kenapa Ibrahim beria-ia mendesaknya.
Tatkala Afrina semakin mengeluarkan arahan mandatori dengan nada suara yang tegang, saat itu juga Ibrahim kematian diksi. Afrina memang garang dan tegas. Sungguh, Ibrahim tak mengerti dengan perubahan mendadak Afrina setelah dia mula mengungkit soal hati Hud Aidan. Seolah-olah gadis itu sedang menidakkan prasaan Hud untuknya. Tak semena-mena, timbul persoalan di benak fikiran Ibrahim.
Aneh!
"PAK CIK Hud, Dina nak jaga pak cik boleh? Kesian pak cik, seorang kat hospital. Nanti pak cik boleh bacakan Dina story book juga," ujar Dina sambil memeluk erat tubuh Hud yang bersandar di kepala katil. Sungguh, berat hati anak kecil itu meninggalkan pak ciknya. Takut andai Hud tiba-tiba hilang lagi.
Hud tersenyum dengan tingkah Dina. Rambut Dina yang diikat tocang dielus lembut. Sesekali, wajah Sherina yang sudah berpeluk tubuh dengan wajah cemberut dipandang. Tahulah dia bahawa angin Sherina tidak baik malam itu.
"Tak bolehlah Dina. Dina tu kecil lagi mana boleh tidur kat hospital. Nanti Dina berjangkit dengan pak cik. Nak ke?"
"Dina takut. Nanti pak cik hilang lagi macam mana? Siapa nak bawa Dina jalan-jalan kalau pak cik hilang? Pak cik, tolonglah Dina nak duduk dengan pak cik," rayu Dina. Kepalanya sudah mendongak memandang raut wajah pucat Hud.
"Pak cik janji pak cik takkan hilang lagi. Pak cik janji lepas ni pak cik tak akan tinggalkan Dina. Lepas tu..."
"Tak nak! Dina nak duduk sini..."
"Kau ni degil sangat kenapa Dina? Pak cik Hud nak rehat! Tak faham bahasa ke? Nak mummy rotan lagi ke baru dengar cakap?" bentak Sherina tak semena-mena. Bergelegak panas hatinya melihat Dina yang degil itu. Lantas, tubuh Dina didukung untuk dibawa pulang. Tak semena-mena, air muka Dina juga sudah berubah sayu. Minta simpati daripada ayah saudaranya. Sejujurnya, dia takut untuk pulang apabila ayah kandungnya semakin kerap memukul ibunya semenjak ketiadaan Hud.
"Janganlah kasar sangat dengan Dina. Cuba cakap elok-elok dengan anak tu. Dia tak bersalah. Biasalah tu dia rindukan abang sebab tu dia nak dekat dengan abang saja. Sherin jangan pukul Dina pula. Abang merayu sangat-sangat," pesan Hud seraya menghela nafas berat. Bukannya dia tak tahu Sherina juga suka naik tangan kalau amarahnya ke peringkat kemuncak.
Pesanan Hud membuatkan Sherina kehilangan kata. Dia tiada tenaga mahu bersuara lagi. Emosinya sudah terganggu. Fizikalnya pula sudah kelelahan. Tangan abangnya terus dicapai untuk disalam. Kemudian, Sherina mengarahkan Dina untuk menyalami Hud pula.
"Dina jangan takut. Tak lama lagi pak cik pulang. Sekarang, Dina balik dengan mummy dan jangan degil. Kesian mummy Dina. Penat. Dina kan good girl untuk pak cik," pujuk Hud sambil mengusap pipi mulus Dina. Anak kecil itu hanya mengangguk lemah dengan bibir yang sudsh menggeletar menahan tangis. Wajah masih dimaniskan di hadapan anak buahnya itu.
"Kita orang balik dulu. Abang kalau ada apa-apa call Sherin ya," ujar Sherina. Malam itu, Hud menegahnya untuk berjaga di hospital setelah hampir dua minggu dia menjaga abangnya. Hud sudah beransur pulih dan tidak memerlukan pemantauan sepenuh masa.
Belum sempat Sherina melangkah keluar, pintu wad privasi sudah dibuka dari luar. Terpampang wajah seorang pemuda bermata sepet dan berbaju kemeja jeans denim melangkah masuk.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumsalam," jawab Sherina dan Hud serentak.
"Dina, salam pak cik," arah Sherina seraya menurunkan Dina dari dukungannya.
Dina menurut dan menyalami tangan Ibrahim. Tercuit hati Ibrahim melihat wajah Dina yang monyok. Pasti anak kecil itu tak puas hati dengan sesuatu perkara.
Sejurus sahaja Sherina berpamitan, suasana wad privasi yang ditempatkan oleh Hud berubah sepi. Seolah-olah ada aura ketegangan tika itu. Hud hanya memerhatikan Ibrahim yang sudah meletakkan sebakul buah-buahan di meja sisi katilnya. Sebuah kad kecil yang dihulurkan oleh Ibrahim lantas dicapai.
"Maaf. Aku tak dapat bawa Afrina jumpa kau. Dia memang tak nak jumpa kau lagi buat masa ini. Tapi ni dia wakilkan kad dan buah-buahan," ujar Ibrahim.
Hud hanya mengangguk lemah dengan kata-kata Ibrahim. Kecewa. Seharian dia menanti dengan penuh pengharapan agar Afrina datang. Biarlah gadis itu mahu memarahinya. Mahu mencemuhnya. Mahu memaki hamunnya. Hud tidak kesah. Apa yang Hud kesah, dia mahu tatap wajah manis Afrina yang terselit dengan ketegasan.
"Malam ni aku tak boleh lama. Aku bertugas. Ni pun aku datang untuk bawakan hadiah yang Afrina bagi pada kau. Tak elok pula simpan hadiah orang lama-lama," kata Ibrahim. Tergaris senyuman nipis di bibirnya. Hari ini dia benar-benar senang hati. Kemenangan berpihak kepadanya apabila Afrina lebih memilih untuk meluangkan masa dengannya berbanding Hud.
Pentingkan diri? Ibrahim tidak kesah. Afrina sendiri yang buat keputusan setelah Ibrahim berusaha memujuk Afrina bertemu dengan Hud.
"Terima kasih sebab gembirakan dia. Aku tahu kau keluar dengan dia hari ni, kan? Dia nampak happy. Aku tak pernah tengok senyuman ikhlas dia macam tu selama ni," ujar Hud seraya memandang wajah bahagia Ibrahim. Dia cemburu. Tapi itulah kebenaran. Dia dan Afrina tak sehaluan. Dia hanya bertepuk sebelah tangan.
"Kau jangan salah sangka. Aku dah pujuk dia..."
Hud ketawa melihat riak wajah Ibrahim yang sudah berkerut. Bahu Ibrahim ditepuk-tepuk. Namun, tangkas Ibrahim tepis tangan Hud yang sedang menepuk bahunya yang cedera akibat pergelutan dengan Zed tempoh hari.
"Oh lupa! Kau ada cakap semalam yang bahu kiri kau tak sembuh lagi. Maaf ya. Jangan marah," usik Hud sambil ketawa sinis. Sengaja dia menyakiti sahabatnya sendiri. Geram. Manakan tidak, Ibrahim seolah-olah main kasar bila pemuda itu memuat naik gambar bersama Afrina di laman Instagram.
"Kau rehatlah Hud. Aku minta diri dulu. Kau jaga diri supaya cepat sembuh. Satu hal lagi, aku tak berniat nak sailang Afrina daripada kau. Tapi dah kita cintakan gadis yang sama nak buat macam mana. Apa pun, aku harap persahabatan kita tak terjejas," tegas Ibrahim sambil menepuk bahu Hud. Langkah lantas diatur keluar dari wad. Tergaris senyuman sinis di bibirnya. Hud cemburu. Dia bahagia. Jadi kemenangan berpihak kepadanya.
Hud yang sudah bersendirian di dalam wad seakan-akan terkelu dengan kata-kata Ibrahim. Bagaikan angin berlalu sahaja saat Ibrahim mengungkapkan isi hatinya mengenai Afrina. Mereka mencintai orang yang sama. Sememangnya, ini hal yang tidak menyeronokkan. Hud tidak mahu bersaing dengan sahabat sendiri!
Kad yang masih berada di tangannya lantas dibuka. Sempat Hud memuji tulisan halus Afrina. Ada pesanan yang disampaikan oleh Afrina terpampang di dalam kad kecil itu. Tak semena-mena, dinding hati yang dipagut rasa cemburu serta merta bertukar senang. Terukir senyuman lebar di bibir Hud dengan pesanan daripada Afrina.
Aku dah maafkan kau, Hud Aidan. Seperti yang aku janjikan dulu. Aku tak simpan sebarang dendam lagi. Terima kasih sebab kuatkan diri kau untuk bangun dari koma. Aku minta maaf kalau aku kecewakan kau. Tapi kau jangan risau, aku selamat 🙂
Bersambung...
Thanks guys sudi baca karya Syaf 😁 jangan lupa tekan bintang ✌ sekurang-kurangnya syaf tahu korang suka ke tak karya syaf ni dengan bintang tu 🤭
Hari ni Syaf up yang ada unsur romance je tau guys. Syaf tak ada idea nak buat babak aksi dan misteri 😭
Mesti korang geram dengan Ibrahim lagi kan? Hahahaha 🤣
Mesti korang nak kecam Afrina sebab kecewakan Hud kan? 😆
Sedutan episod 28...
"Bunuh aku kalau semua tu akan puaskan hati kau! Aku dah tak sanggup lagi dah nak hidup dengan lelaki dayus macam kau! Sudah terlalu banyak kesakitan yang kau hambat pada aku. Baik kau tikam sajalah aku ni. Jadi kau boleh pergi dengan Khadijah!" bentak Sherina dengan pandangan yang berbalam-balam. Sungguh, dia terkseksa emosi dan fizikal. Dia hanya mahu mati. Itu sahaja.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top