Episod 25 🍃

"JANGAN bergerak!" suara lantang seorang pegawai polis mematikan tindakan Zed serta merta. Hampir sahaja mata jarum yang mengandungi racun menyentuh kulit tangan Hud. Malahan, kejutan itu membuatkan jarum terlepas dari tangan Zed.

Kacau!

Strateginya malam itu jadi kacau dengan kehadiran seorang pegawai plis berpakaian santai dengan t-shirt putih di dalam dipadankan dengan hoodie berwarna hitam. Wajar sekali Zed terlepas pandang dek kerana pegawai polis bermata sepet itu tidak mengenakan seragam.

Perlahan-lahan, Zed berganjak lima langkah ke kanan sambil menyambar senjata yang tersisip di pinggangnya. Memberikan ruang yang luas kepada dirinya untuk beraksi. Dia merupakan seorang pembunuh upahan! Pasti ada lagi strategi lain yang boleh dilakukan jika strategi pertama tidak menjadi.

"Sekarang, kau pilih nyawa kau atau nyawa si bedebah ini!" jerkah Zed sambil mengacukan Glock ke tubuh Hud Aidan. Wajah tegas Ibrahim dipandang dengan pandangan yang sinis. Kalau Ibrahim mahu beraksi, dia juga akan mengikut rentak Ibrahim.

Melihat ugutan Zed, Ibrahim mengeluh berat. Jari yang sudah diletakkan di picu jadi longgar serta merta. Wajah Hud dan wajah Zed dipandang silih berganti. Intuisinya memang benar malam itu! Sesuatu akan berlaku pada sahabatnya dan sebab itu dia ke hospital usai sahaja mengerahkan tenaganya menguruskan kes berkaitan Hud Aidan.

"Apa yang kau nak daripada Hud sebenarnya?" soal Ibrahim. Cuba berkompromi dengan Zed yang nekad untuk membunuh sahabatnya.

Soalan Ibrahim membuatkan Zed tertawa sinis. Glock yang berada di tangan digenggam erat. Anak matanya tepat menikam anak mata Ibrahim yang berselirat dengan emarahan. Sesungguhnya, Zed mula dalam keadaan ingin bermain dengan emosi penghalangnya itu.

"Aku mahukan kematian dia. Kerja aku akan jadi mudah kalau dia mati.  Aku ada kerja lain selain memburu kematian Hud. Lagi pun, bukankah kematian dia akan memudahkan kau? Aku tahu... kau mahukan Afrina jadi milik kau. Dalam diam kau rasa Hud ni pesaing kau untuk dapatkan perempuan tu memandangkan Afrina sentiasa ada dengan Hud dibandingkan dengan kau. Jadi, aku sedang memudahkan pekerjaan kau Tuan Inspektor," jawab Zed. Nada suaranya kedengaran begitu sinis dan dingin di pendengaran Ibrahim sehingga membuatkan pemuda itu terpempan.

Ya, benar. Kadangkala Ibrahim  merasakan Hud sentiasa menjadi pesaingnya dalam diam. Walaupun hubungan Afrina dan Hud tidak semesra di antara dia dan Afrina namun Ibrahim masih merasakan bahawa ada sesuatu yang istimewa dalam hubungan tegang dua figura itu.

"Bingo! Kau dah tak mampu nak berkata sebab itu kebenarannya. Dahlah. Hentikan drama..."

"Kau jangan nak bermain dengan aku! Letakkan senjata kau sekarang dan lepaskan Hud!" bentak Ibrahim tak semena-mena. Bijak sungguh penjenayah di hadapannya ini bermain dengan emosinya. Ibrahim lantas membidik Glock ke arah Zed.

Dia perlu fokus!

Zed mendengus seraya menarik picu senjata. Dia tahu, air muka Ibrahim yang berubah keruh meyakinkan dirinya bahawa Ibrahim sudah terjerumus ke dalam jerat emosi. Lantas, Glock yang sudah dibidik ke arah sasaran dipandang sekilas lalu.

Bang!

Tak semena-mena, Ibrahim terundur ke belakang tatkala sasaran dikenakan pada bahunya. Alangkah terkejutnya Ibrahim tatkala Zed memanipulasinya dengan menyerangnya terlebih dahulu. Ibrahim mendesis kesakitan sambil menekup bahunya yang baru sahaja terbenam dengan peluru. Lantas, Zed meluru ke arah Ibrahim yang berdiri di muka pintu. Bersedia untuk melarikan diri.

"Jahanam!" jerkah Ibrahim sekuat hati lantas kakinya turut mengejar Zed. Kesakitan pada bahunya tidak diendahkan. Rintik-rintik peluh sudah mengalir ke pipinya dengan darah yang mengalir deras dari bahu kiri. Sesekali, Ibrahim mengetutkan dahinya menahan ngilu yang mencucuk lukanya.

Untung bagi Zed tatkala dia menemui tangga kecemasan yang terletak berhampiran unit rawatan rapi. Kakinya diatur laju menuruni anak-anak tangga. Bagi melepaskan amarahnya setelah pekerjaannya diganggu, Zed membuat keputusan untuk menyerang Ibrahim terlebih dahulu. Memang tindakan yang terlalu bodoh tapi setidaknya dia dapat bermain emosi dengan pegawai polis itu.

Dalam keadaan yang kesakitan, Ibrahim sedaya upaya menghalang Zed melarikan diri. Berkali-kali tembakan disasarkan ke arah Zed apabila matanya tertancap pada susuk tubuh berbadan tegap itu. Apabila dia semakin menghampiri,  Ibrahim melajukan lariannya dan melompat ke arah pemegang tangga sekali gus mematikan langkah Zed di anak tangga serta merta.

"Kau nak lari ke mana lagi?" tegas Ibrahim apabila dia sudah berhadapan dengan Zed. Kedua figura itu saling berpandangan dengan pandangan yang tegang.

"Kau masih nak biarkan Hud Aidan hidup? Sampai bila kau nak berpura-pura? Kau nak biarkan Afrina dan Hud bersatu ke?" bertalu-talu soalan dilontarkan tepat ke wajah Ibrahim. Di sebalik topeng, Zed tersenyum sinis. Menyindir pegawai polis yang sedang memendamkan sesuatu di lubuk hatinya.

"Serahkan diri kau ke pihak polis dan hadap hukuman yang akan kau terima!" tegas Ibrahim seraya mencekak baju Zed. Lantas, tubuh Zed dihempas ke belakang dinding bersama dengan amarah yang terbuku di dinding hati. Lelaki di hadapannya ini sememangya seorang yang psiko!

Namun, belum sempat Ibrahim memulas lengan Zed ke belakang untuk digari, Zed mula bertindak dengan membentes betis Ibrahim terlebih dahulu. Tak semena-mena, situasi di tangga kecemasan semakin tegang apabila Zed mula memasang kekudanya untuk berlawan.

"Tak semudah itu, Tuan Inspektor!" jerkah Zed seraya menghayunkan tendangannya bertubi-tubi ke arah Ibrahim. Tangkas, Ibrahim mengelak dengan menyendengkan tubuhnya dan menunduk.

Ibrahim hanya membiarkan Zed membuka langkahnya tanpa melawan. Dia perlu memastikan Zed kehabisan tenaga terlebih dahulu untuk memudahkan pekerjaannya memberkas penjenayah itu!

"Tak ada CCTV kat sini. Jadi hentikan lakonan kau Inspektor Ibrahim! Kau tak payah nak berpura-pura jadi sahabat yang baik untuk Hudlah!" kata Zed lagi. Aneh sungguh pegawai polis di hadapannya ini. Bersungguh-sungguh mahu memberkasnya walhal dalam diam lelaki itu juga sedang merasakan Hud itu pesaing.

"Aku tak pernah berlakon! Aku tak akan biarkan kau dengan orang-orang durjana kau bunuh sahabat aku!" tegas Ibrahim seraya membuka langkah dengan menghayunkan tendangannya ke tengkuk Zed pula. Itu sasaran paling tepat dalam mempertahankan diri dek kerana berhampiran dengan nadi.

Ketangkasan Ibrahim membuatkan Zed terundur beberapa tapak ke belakang. Penangan itu membuatkan tengkuknya seakan-akan dihempap dengan batu yang besar. Malahan, beberapa tendangan lagi ditujahkan ke wajahnya. Tangkas, Zed mengelak dengan lengannya.

"Berhenti jadi hipokrit Tuan Inspektor. Ini ruang tertutup yang kau nak takut lakonan kau terbongkar ni kenapa!" bentak Zed seraya melompat dan menghayunkan tendangannya ke tubuh Ibrahim.

Dek kerana mereka sama-sama berbalas tendangan, keduanya tersungkur di belakang dinding. Pandangan mereka saling bersatu. Masing-masing mencari kelemahan musuh. Lantas, Zed terlebih dahulu bangun dan meluru ke arah Ibrahim.

Namun, Ibrahim tangkas bangun dan mengelak tumbukan demi tumbukan daripada Zed dengan menggunakan lengannya sebelum lengan kiri Zed dicengkam sebelum dipulas dan dibanting ke belakang.

Erangan Zed serta merta kedengaran apabila dia merasakan tulang bahunya seakan-akan dipatahkan. Dahinya berkerut menahan sakit yang bukan kepalang. Lawannya ini bukan calang-calang orangnya! Dalam keadaan bahu sudah ditembak masih tangkas untuk berlawan.

Malahan, Ibrahim sudah duduk di atas tubuh Zed sebelum tumbukan demi tumbukan dihayunkan ke wajah penjenayah itu. Zed tangkas mengelak dengan menjadikan lengannya sebagai perisai pertahanan. Saat matanya tertancap ke arah kesan darah di bahu kiri Ibrahim, akal terus memerintah untuk dia mencengkam kuat bahu pemuda itu dengan kuat.

Tak semena-mena, tumbukan Ibrahim terbejat. Erangannya kedengaran menahan sakit. Cengkaman kuat itu seakan-akan menusuk kulit Ibrahim sehingga Zed kembali mendominasi perlawanan mereka. Tubuh Ibrahim lantas ditolak kasar oleh Zed.

Satu tendangan kuat ditujahkan ke wajah Ibrahim yang sudah merah menahan sakit sebelum Zed kembali menuruni anak-anak tangga seraya melarikan diri. Tidak semudah itu pihak polis memberkasnya!

Sungguh, penangan Zed membuatkan kepala Ibrahim berpinar-pinar. Pandangannya jadi kabur. Namun, pemuda itu tetap menggagahkan dirinya untuk bangun dan mengejar musuh. Dek kerana kepala yang berdenyut, sesekali Ibrahim kematian langkah di anak tangga sambil memicit kepalanya. Tidak! Belum masanya untuk dia layan kesakitan itu! Ada hutang harus dibayar!

Malangnya, malam itu kemenangan tak berpihak kepada Ibrahim apabila kelibat Zed tidak lagi kelihatan. Zed hilang di kepekatan malam saat Ibrahim sudah berada di tingkat satu. Lantas, tumbukan dihayunkan ke dinding. Gagal!

LARIAN semakin diperlahankan apabila matanya tertancap ke arah sebuah bangku yang terletak di Taman Tasik Titiwangsa. Nafasnya masih tercungap-cungap melepaskan lelah setelah berjoging pada awal pagi. Lantas, Afrina melakukan aktiviti pemanasan badan sambil memerhatikan Arisha yang ligat merakam video untuk dimuat naik ke dalam vlog hariannya.

"Okay, guys! Fuh! Dapat pun tempat duduk yang strategik untuk lepaskan penat ni hah. Apa apa pun, memandangkan hari ni subscribers Arisha dah mencecah 100 ribu jadi Arisha akan jawab Q and A kau orang yang kau orang reply dekat IG Arisha semalam! Mesti ramai yang nak tahu Arisha ni asal mana, dah berpunya ke belum, ambil kos apa and so on lagi kan. Jangan khuatir dear followers! Arisha akan jawab semua pertanyaan kau orang tu," ujar Arisha sambil membetulkan selendangnya yang sedikit renyuk. Nada suaranya kedengaran begitu ceria. Senyuman tak lekang dari bibir merah jambunya sebagai penyeri.

Afrina mencebik melihat tingkah Arisha itu. Kepalanya digelengkan. Itulah Arisha. Perangainnya 180 darjah berbeza dengan Afrina yang perahsia orangnya. Sikapnya yang periang itu membuatkan Arisha seolah-olah tidak pernah mengalami tekanan. Manakan tidak, sejak zaman sekolah lagi Arisha sememangnya seorang yang gila populariti dan terkenal di sekolah. Kini, gadis berusia 24 tahun itu sudah menjadi seorang instafamous pula.

Malahan, Arisha turut mengajak Encik Talib yang turut bersenam bersama mereka masuk ke dalam  vlog. Katanya, memperkenalkan ketua keluarga dalam keluarga kecil mereka. Apabila Arisha kalih memandang Afrina, gadis itu berpura-pura berjalan semula di trek joging yang meriah pada hujung minggu.

"Maaf kau orang. Kakak Arisha ni dia jenis tak suka nak berdepan dengan kamera. It's okay. Next question is... apakah ciri-ciri lelaki idaman Arisha? Wow abah... tolong jawabkan untuk Arisha. Soalan ni mengancam sungguh," kata Arisha sambil ketawa kecil. Wajah Encik Talib dipandang buat seketika. Memberikan peluang kepada abahnya untuk menjawab.

Afrina tersenyum sendiri melihat telatah Arisha. Kasihan abah. Harus melayan anak bongsu yang berperangai tiga suku itu. Lantas, Afrina pamit untuk mengambil angin terlebih dahulu. Memberikan ruang kepada dirinya untuk menghirup udara segar pada pagi itu.

Sudah terlalu lama Afrina berkurung di dalam rumah semenjak dia bebas daripada penculik. Hanya sekali dia keluar bertemu dengan Dina. Hari ini, abah membawa dia dan adiknya bersenam di Taman Tasik Titiwangsa memandangkan Afrina masih diserang mimpi buruk. Ya, Afrina sememangnya trauma.

Mana mungkin dia lupa kejadian penculikan itu. Walaupun sudah seminggu berlalu, Afrina masih dapat membayangkan penyeksaan ke atas Hud. Tatkala pemuda itu diseksa tatkala tidak mahu bekerjasama dengan penculik. Tatkala Hud akhirnya ditembak di hadapan matanya sendiri. Tatkala Hud seakan-akan nyawa-nyawa ikan di sisinya. Semua itu seolah-olah mimpi buruk bagi seorang Naurah Afrina.

Langkah Afrina terbejat di hadapan sebuah tasik yang terbentang luas dan berlatarkan bangunan pencakar langit di kota raya. Keriuhan para pengunjung yang sedang beriadah sayup-sayup kedengaran di gegendang telinga. Kotak fikirannya semakin ligat memikirkan keadaan Hud Aidan.

Berkali-kali Afrina mengeluh untuk menepis segala permasalahan itu. Kenapa pula dia mahu memikirkan keadaan Hud itu? Tiada langsung kaitan dengan dirinya. Namun, semakin Afrina menepis, persoalan itu kembali mengetuk kotak fikirannya.

"Aku dah maafkan kau. Tapi kenapa kau tak nak bangun lagi Hud? Ke mana semangat kau hilang? Siapa nak jaga Dina kalau kau tak sedarkan diri lagi?" desis hati Afrina. Seakan-akan Hud berada di sisinya. Mendengar segala yang terpendam di lubuk hatinya. 

"Hud... tolonglah bangun. Aku tak akan marah kau lagi seperti yang aku janjikan dulu. Kalau kau tunggu aku datang, aku minta maaf. Aku tak boleh nak jumpa kau sebab abah dah tak izinkan aku bertemu dengan kau lagi," tambah Afrina lagi. Sungguh, Afrina keliru. Mengapa dia sebak? Selama ini, dia tak henti-henti berkasar pada Hud. Mahu melihat muka Hud sahaja Afrina sering naik angin.

Semuanya hanya demi Dina. Ya, Afrina yakin bahawa perasaan sebak ini melibatkan Dina. Lantas, keluhan berat terlepas lagi dari bibir. Keindahan tasik biru tak dapat memberikan ketenangan buat Afrina.

Lantas, gadis itu kalih. Tak betah terus melayan emosi yang tidak stabil di taman rekreasi itu. Namun, belum sempat Afrina melangkah, tubuhnya sudah dirempuh kasar dari kanan sehingga hampir sahaja Afrina terduduk jika tidak berpaut pada penghadang.

"Maaf, cik! Saya tak sengaja," ujar satu suara garau yang sudah berkerut dahi sambil memandang wajah Afrina. Rasa bersalah terpancar di wajah pemuda berkulit putih langsat itu.

"Lain kali hati..."

Afrina kematian kata tatkala pandangannya jatuh pada wajah figura di hadapannya. Dahinya semakin ditutup dengan kerutan melihat wajah pemuda berbaju sukan dengan fon telinga masih tergantung di telinga.

Kaget!

Dia kenal pemuda di hadapannya saat ini. Lantas, segaris senyuman terukir di bibir Afrina. Seolah-olah tidak menyangka dia ditemukan semula dengan seseorang yang sudah terputus hubungan dengannya.

"Yunus? Kau ni Yunus kan? Senior silat cekak Hanafi di bawah Pak Mail dulu? Kau dah lupa aku ke?" soal Afrina dengan suara yang teruja dapat bertemu dengan rakan lama yang sudah terputus hubungan sebaik sahaja dia pulang semula ke kota raya dahulu.

Yunus sudah terkebil-kebil melihat wajah Afrina terpampang di hadapannya. Senyuman turut terukir di bibirnya melihat wajah Afrina yang sudah berubah. Dalam diam, dia memuji kecantikan gadis itu. Tiada lagi kaca mata tebal dan tudung sememeh Afrina.

"AKU tak lupa kaulah! Kau yang lupa aku lepas bertunang dengan Umar. Maaflah aku dah lost contact dengan kau orang berdua," ujar Yunus sebaik sahaja dia menghulurkan sebotol air mineral kepada Afrina yang duduk di sebuah bangku yang terlindung dengan atap.

"Aku tak lupa kaulah! Kalau aku lupa... aku memang tak camlah senior aku yang seorang ni. Kau ni... menghilang ke mana saja sebenarnya? Lepas abah bawa aku balik semula ke KL, Umar kata kau berhenti kelas silat. Any reason?" ujar Afrina seraya membuka penutup botol mineral yang dihulurkan oleh Yunus sebentar tadi. Wajah Yunus yang sedang meneguk air sejuk dipandang sekilas.

"Kau tahu kan ayah aku tu penagih. Lepas saja dia ditangkap... aku, abang aku dengan mak aku berpindah dari kampung tu. Mak aku tak tahan dengan tomahan orang kampung. Dari situlah aku dah tak ambil kesah dah pasal kelas silat atau apa-apa hal berkaitan kampung tu. Lepas aku tamat tingkatan enam, aku masuk PULAPOl dan yah... aku dah jadi polis kat Bukit Aman sekarang," jelas Yunus. Dia tersenyum pahit menceritakan semula kenangan pahitnya pada Afrina. Ada rasa malu bertandang di lubuk hati menceritakan kisah aib itu.

Afrina terangguk-angguk dengan penjelasan Yunus. Tubuhnya disandarkan ke belakang bangku perlahan-lahan. Rasa simpati tiba-tiba sahaja menjengah dinding hatinya mendengar kisah Yunus.

"Tahniah! Kau dah jadi seorang yang berguna untuk masyarakat dan negara. Kau dah buktikan kat orang-orang kampung yang kau boleh jadi orang yang hebat! Aku bangga dengan kau Yunus," puji Afrina.

Yunus ketawa kecil dengan pujian Afrina. Dia kalih memandang wajah manis Afrina. "Kau pun tahniah dah jadi isteri orang. Eh kita ni asyik borak-borak tapi Umar mana? Takkan kita..."

"Umar dah tak ada. Dia dah meninggal seminggu sebelum pernikahan kami. Kemalangan waktu bekerja," pintas Afrina. Senyumannya mula mengendur tatkala mengujarkan berita sedih itu kepada Yunus.

Mendengarkan berita itu, bibir Yunus lantas mengucapkan 'Inalillahiwainailaihirojiun'. Yunus tertunduk buat seketika seraya menyandarkan tubuhnya di belakang bangku.

Kaget!

"Maaf... aku tak tahu."

"Tak apa. Dah aku dengan dia tak ada jodoh, kan? Manusia hanya mampu merancang selebihnya hanya ALLAH yang tentukan," ujar Afrina. Botol mineral di tangannya digenggam erat. Mudah sahaja dia menuturkan namun mahu melupakan cintanya pada Umar begitu berat.

Buat seketika, suasana sepi. Hanya kedengaran suara para pengunjung berhampiran. Ada yang sedang bermain basikal, ada ibu bapa yang beriadah bersama anak-anak. Sesekali, Yunus mengalihkan pandangannya ke wajah Afrina yang hanya memandang tasik yang terbentang luas di hadapan.

"Afrina..."

"Ya?"

Yunus mengukirkan senyumannya sebaik sahaja matanya saling bertaut dengan sepasang mata bundar Afrina. "Ada tak orang pernah puji kau yang kau ni cantik orangnya?" puji Yunus.

Tak semena-mena, Afrina ketawa dengan pujian Yunus. Kepalanya digelengkan sebelum pandangannya kembali ditebarkan ke hadapan. Memandang deretan bangunan pencakar langit yang menandakan simbolik kepada kemajuan negara. Aneh sungguh soalan itu di pendengarannya Afrina.

"Of courselah ada. Parents aku. Arwah Umar," jawab Afrina.

"Betullah tu. Kau memang cantik dan kuat orangnya. So... takkan orang cantik macam kau ni tak ada pengganti?" soal Yunus tak semena-mena. Anak matanya tak lekang dari memerhatikan raut wajah kuning langsat Afrina itu. Seakan-akan sukar untuk dia mengalihkan pandangan indah di depan mata.

Saat itu juga, senyuman Afrina mula terasa pahit. Terasa kelat liur yang ditelan saat soalan cepumas kembali menusuk gegendang telinganya. Saat itu juga, ingatannya mula berlayar pada kejadian ketika hari terakhir dia berada di gelanggang silat. Ketika dia melihat pertarungan di antara Umar dan Yunus secara mengejut.

Teruk Umar dikerjakan oleh Yunus yang seakan-akan melepaskan tekanan sebaik sahaja Afrina dan Umar diikat dengan tali pertunangan. Malahan, Yunus turut menggunakan senjata dalam melumpuhkan kekuatan Umar di gelanggang silat. Dek kerana Yunus menggunakan buku lima sebagai senjata, Umar tewas dalam pertarungan itu. Dalam erti kata lain, itu bukanlah latihan silat melainkan Yunus sengaja mencederakan Umar.

"Maaf Yunus, walaupun lima tahun dah berlalu... tiada siapa boleh gantikan Umar dalam hidup aku. Aku cintakan Umar. Hanya dia," ujar Afrina dengan nada suara yang ditekankan. Dapat dia lihat air muka Yunus yang bertukar tegang tatkala dia mengungkapkan kata-kata itu.

Afrina mengerti. Yunus masih mengharapkan sesuatu daripada dirinya. Seperti dahulu. Namun apakan daya kalau kekuatan cinta Afrina pada Umar tiada galang gantinya.

JARI JEMARI cuba digerakkan perlahan-lahan. Sayup-sayup monitor jantung kedengaran di gegendang telinganya. Matanya cuba dicelikkan perlahan-lahan namun terasa berat yang amat. Malahan, sesekali dahinya berkerut menahan kesakitan pada seluruh tubuhnya.

Kenapa dengan dia?

Kenapa tubuhnya begitu sukar untuk digerakkan? Malahan terlalu berat. Dia buntu.

Bau ubat-ubatan juga seakan-akan menusuk rongga hidungnya. Anak tekaknya terasa kering yang amat. Sungguh, dia tiada tenaga untuk bangun dari pembaringan.

Sekali lagi, Hud cuba membuka matanya yang terasa berat. Dadanya terasa berat yang amat ketika dia cuba bernafas secara normal. Bagaikan ada halangan yang dia sendiri tak mengerti. Sakitnya bukan kepalang!

Dengan pandangan yang lemah, Hud menebarkan pandangannya ke sekeliling. Fikiran mula memproses keberadaannya saat ini. Namun, hanya seketika cuma apabila dia memejamkan matanya semula. Hud benar-benar rasa lemah saat ini.

Saat dia memejamkan mata, kotak memorinya mula memaparkan kejadian yang menyebabkan dirinya terlantar lemah di unit rawatan rapi. Berkerut-kerut dahi Hud apabila memorinya mengimbas kejadian dia diculik dan dipaksa untuk menyatakan keberadaan dokumen wasiat yang diagihkan kepadanya. Dia juga diseksa oleh penculik-penculik itu apabila mereka tak henti-henti memukulnya sehingga dadanya terasa perit yang amat. Pengakhirannya, dia ditembak dan pandangan terakhir yang dilihatnya adalah raut wajah Afrina yang menangis.

Serta merta, Hud mencelikkan matanya semula. Perasaan khuatir mula menjengah dinding hatinya. Bagaimana dengan nasib Afrina? Bagaimana dengan respon ibunya di saat dia terlantar koma?

"Ma... ma. Af... rin... a," desis hati Hud sebelum air mata mengalir ke pipinya. Dia takut! Dia kecewa! Bagaimana kalau ibunya diserang dengan penyakit jantung saat mengetahui dia terlantar koma? Bahkan Hud kecewa jika dia gagal melindubgi gadis bernama Naurah Afrina itu.

Tak semena-mena, Hud berperang dengan dirinya sendiri. Dia mahu bangun namun kesakitan pada tubuhnya menghalangnya dari bergerak. Maka, Hud hanya mampu mengenggam tangannya yang berselirat dengan wayar sahaja.

Bersambung...

Thanks guys sudi baca karya syaf yang tak seberapa ini 🤭 jangan lupa bagi bintang tau tau 🤣

So macam mana episod kali ni? Stress lagi ke? Mesti ramai stress kan. Hahaha maaf korang kalau episod kali ni thrigger korang stress lagi 😭 anyway dah banyak tau klu... misteri siapa antagonis yang sebenarnya🤣

Oh ya babak aksi di antara Ibrahim dan Zed pun maaf kalau tak menjadi👉👈 syaf mampu tulis macam tu saja

Sedutan episod 26

'Hud dah sedar. Dia cari awak dan dia nak pastikan yang awak selamat dengan mata kepala dia sendiri. Awak bersiap. Saya nak bawa awak jumpa dia' -Inspektor Ibrahim

Mesej yang diterima itu membuatkan Afrina hanya mampu memicit kepalanya yang  berdenyut. Telefon lantas dilempar di atas katil. Keluhan berat terlepas dari bibir sebelum matanya tertancap pada jarinya yang tersarung dengan dua bentuk cincin. Cincin yang menyatukan dia dan arwah Umar. Oh sungguh, Afrina rasa mahu balik kampung opah saat ini. Mahu menenangkan mindanya yang serabut!

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top