Episod 14 🍃

"BERANI juga kau datang sini dengan berpakaian seragam lengkap. Tak takut ke kalau ada mata-mata memerhatikan kau?" soal si lelaki berkumis nipis lantas melabuhkan duduknya di atas kerusi kerja. Sekotak Dunhill yang terletak di atas meja kerja dicapai bersama dengan pemetik api. Kakinya dilunjurkan di atas meja kerja yang berselerak dengan kertas-kertas kerja.

Lelaki berpakaian seragam berwarna biru tua itu sekadar tersenyum sinis seraya melabuhkan duduknya bertentangan dengan lelaki korporat yang sedang menyedut asap rokok. Sesekali, pandangannya tertancap pada papan kenyataan yang memaparkan foto keluarga Datuk Idris sebelum pandangannya jatuh ke foto Naurah Afrina. Melihat wajah gadis beku itu membuatkan dia tersenyum sendiri. Kasihan. Kerana seorang Hud Aidan gadis itu terjunam ke dalam marabahaya.

"Buat apa aku nak takut kalau aku lagi bijak daripada barua aku? Kalau aku boleh hancurkan kerjaya si Hud tu takkanlah aku tak boleh hancurkan kerjaya orang bawahan aku yang ada syak wasangka terhadap ketua mereka sendiri pula, betul tak? Mereka tu sekadar anjing suruhan aku saja dan dengan topeng yang aku pakai mereka tak akan percaya yang aku dah membelot pada unit aku sendiri," tegas lelaki itu. Ada riak bangga yang terpancar di wajahnya yang kuning langsat apabila kerja terkutuknya masih tidak dapat dihidu oleh rakan sepasukannya yang lain.

Lelaki korporat itu menghembus kepulan-kepulan asap ke udara. Puntung rokok dicucuh pada bekas abu rokok berbentuk bulat di atas meja kerja. Wajah pegawai polis yang duduk di hadapannya menjadi tatapan lelaki itu. Keangkuhan yang terbias di sebalik wajah pemuda itu membuatkan dia mencebik.

"Kau ni memang syaitan daripada aku. Apalah malang sangat nasib si Hud itu dapat kawan syaitan macam kau ni. Aku tak dapat bayangkan kalau dia tahu yang kau dah membelot pada dia lima tahun yang lalu sampai dia terpaksa undurkan diri dari dunia kepolisian. Sebab kau juga si bajingan itu jadi trauma! Syaitan punya kawan betul kau ni, tuan!"

Tak semena-mena, pegawai polis itu ketawa terbahak-bahak dengan kesinisan rakan komplotnya. Tangannya disilangkan dengan tatapan matanya yang semakin tajam merenung lelaki yang khusyuk menikmati rokok buat kali kedua. Jelas, mata lelaki korporat itu semakin merah akibat menyedut rokok dalam kuantiti yang banyak. Bahkan, bau rokok semakin memenuhi bilik pejabat yang terletak di ruang bawah tanah sebuah syarikat. Tempat rahsia yang sering dijadikan pertemuan mereka sekali gus tempat perbincangan untuk terus mencelakai seorang Hud Aidan.

"Syaitan? Huh! Kita sama-sama syaitan wahai sahabat. Sebab kita berdua syaitan bertopengkan manusialah kita ada ideologi yang sama dan niat yang sama. Menghancurkan hidup si bajingan itu. Tapi kali ni aku tak setuju bila kau nak libatkan perempuan tu. Dia tak bersalah," tegas lelaki itu dengan sisa tawanya yang masih meledak. Hatinya tercuit lucu apabila kata-kata rakannya membuatkan dia tercabar.

"Kenapa pula aku tak boleh nak libatkan perempuan tu?"

Lelaki berpangkat polis itu mengeluh berat apabila rakannya seolah-olah tidak memahami maksud yang tersirat di sebalik bantahannya. Foto Afrina dipandangnya lagi sebelum pandangan yang sudah bertukar tegang memanah ke kornea mata rakannya yang sedang mencucuh puntung rokok di dalam bekas abu rokok.

"Kita cuma mahukan kematian Hud Aidan, bukan? Keluarga dia saja yang penting dalam hidup dia. Bukan..."

"Kau yakin ke hanya keluarga dia? Kau kenal Hud macam mana, kan? Dia tak akan layan seorang perempuan tu semesra dia layan Afrina. Aku tahu mesti ada sesuatu pada Afrina dalam diri bajingan tu. Aku berani kerat jari aku ni kalau apa yang aku cakap ni salah," kata lelaki itu sambil mengangkat tangannya. Terimbas di kotak memorinya setiap tingkah yang dilakukan oleh Hud kepada Afrina. Mesra bagaikan pemuda itu sudah tertarik dengan misi bernama Naurah Afrina itu.

Seketika, suasana sepi. Hanya bunyi suara pekerja yang sedang memproses dan mengagihkan dadah jenis syabu dan ecstasy sahaja yang kedengaran di luar bilik. Lelaki berpakaian Polis Diraja Malaysia itu sudah terkelu tanpa sebarang bicara. Wajahnya semakin tegang dengan kebenaran yang disampaikan oleh rakan komplotnya. Hud Aidan! Sering sahaja membuatkan dia rasa tersaing.

"Aku tahu kau dah tertarik dengan perempuan tu. Sebab tu kau membantah atas alasan 'kepentingan'. Dari tadi aku asyik perhatikan kau macam tak boleh lepas pandang gambar Afrina. Apa pun, aku tetap dengan keputusan aku untuk jadikan perempuan tu sebagai umpan kelemahan kawan kau. Lagi satu, tujuan aku suruh kau datang sini sebab aku tahu makmal mana yang kau boleh serbu lepas ni. Tapi sebelum tu, aku nak kau bagi permainan baru buat Hud. Aku nak nama dia makin buruk dalam unit kau. Hah! Kat sini, kau akan terus dijulang tinggi dan Hud akan terus dilupakan. Bukankah itu impian kau wahai tuan inspektor?" tegas lelaki itu seraya meleraikan tali lehernya yang berwarna biru tua. Rimas rasanya saat perbualan mereka semakin tegang.

Tatkala arahan disampaikan, tatkala itu juga tersungging senyuman di bibir pembelot negara itu. Dia terangguk-angguk mendengar setiap perancangan yang sudah diatur oleh rakan komplotnya yang merupakan seorang tokan dadah sekali gus seorang usahawan ternama. Segala strategi untuk memberikan permainan baru kepada Hud semakin ligat bermain di benak fikiran. Sesekali dia tertawa sinis saat membayangkan nasib pemuda itu seterusnya. Apabila sampul surat berisikan wang ringgit dihulurkan kepadanya, saat itu juga matanya bersinar-sinar tatkala duit berjumlah RM 7,000 berada di depan mata. Inilah yang dinamakan rezeki terlajak!


"YOU know what? I'm so happy when you come back again to Malaysia! I really didn't expecting that you will come back again! Look at you right now, Far! Patutlah you boleh jadi supermodel dekat New York tu! You semakin cantik dan berseri-seri," ujar Amelia sambil membelek tubuh Farisha yang mengenakan gaun pendek paras lutur berwarna Mustard. Matanya tak lekang dari memandang raut wajah gadis yang kaya dengan senyuman itu. Kecantikannya semakin bertambah dengan lesung pipit di kedua belah pipi. Sebuah kecacatan yang mencantikkan lagi si empunya diri. Mata bundar si gadis, wajahnya yang berbentuk bujur serta hidung yang terletak mancung benar-benar mempesonakan.

"I dah bosan duduk Aussie tu. Lagi pun daddy asyik bising je suruh I balik Malaysia so yah! Here I am. Anyway I simpati dengan nasib your late father in law. I terkilan sangat yang I tak dapat nak balik bagi penghormatan terakhir buat dia. You tahu kan I dah anggap dia macam daddy I sendiri," kata Farisha. Ada keluhan kecil terbit di bibir munggil gadis berkacukan Cina itu.

Amelia tersenyum hambar dengan kesedihan yang terpancar di raut wajah Farisha. Jelas, kekesalan di sebalik wajah manis itu. Lantas, kura tangan Farisha ditepuk lembut sebelum dia mencapai beg tangan yang berada dalam beg kertas berjenama Louis Vuitton yang dihadiahkan oleh Farisha kepadanya. Inilah yang dia suka tentang Farisha. Sering sahaja menghadiahkan barang berjenama kepadanya.

"Nak buat macam mana dah ajal bekas bakal pak mertua you, kan? Tak payahlah sedih-sedih. Kita yang masih hidup ni, just enjoy with our own life! Tapi kan macam kebetulan je you balik sebab guess what! Your husband to be yang tak jadi tu pun dah balik sini semula tau. Semacam ada jodoh je kau orang berdua ni," kata Amelia dengan nada yang teruja. Senyumannya melebar sehingga menampakkan gusinya yang tersusun cantik.

"You joking right?" soal Farisha. Matanya membuntang dengan khabar baik yang disampaikan oleh sahabatnya itu.

Amelia mencebik apabila Farisha seolah-olah tidak percaya dengan khabar baik itu. Beg kertas berjenama diletak semula di atas meja kopi. Hilang terus keterujaan wanita yang kelihatan elegen dengan kalung mutiara yang dipakai pada lehernya ditambahkan pula dengan anting-anting yang berkilauan di kedua belah telinga.

"Hud dah balik! I tak bergurau..."

"Pak cik lambat! Jadi pak cik kena belikan Dina aiskrim coklat macam yang pak cik dah janji tadi!"

Tak semena-mena, suara Dina yang nyaring sambil berlari masuk ke dalam rumah mematikan perbualan Farisha dan Amelia. Mereka terus mengalihkan pandangan ke arah seorang kanak-kanak perempuan berbaju sukan yang sedang tertawa kerana terhibur bermain bersama Hud. Saat seorang pemuda berbaju t-shirt hitam melangkah masuk ke dalam rumah, saat itu juga senyuman Farisha semakin melebar. Sungguh, dia seolah-olah sedang bermimpi sahaja bila dia dapat bertemu dengan suami tak jadinya. Detak jantungnya mula bermain dengan irama saat melihat wajah manis pemuda berkulit sawo matang itu. Perasaan itu masih sama dan tak pernah pudar.

"Mana aci! Dina main tipu sebab pura-pura jatuh."

Hud terus mendukung tubuh Dina sambil menggeletek pinggang budak perempuan itu. Bersama Dina, dia turut tertawa dengan tingkah gadis kecil itu. Namun, tawanya terhenti serta merta saat pandangannya tertancap ke laman wajah seorang gadis berkulit putih gading. Senyuman yang sentiasa menghiasi wajah terus bertukar tegang. Sungguh, alangkah terkejutnya Hud melihat gadis yang menjadi punca dia dibuang keluarga berada di depan mata!

"Hai Hud Aidan. I tak sangka yang I akan jumpa bakal suami tak jadi I setelah hampir sepuluh tahun berlalu!" kata Farisha seraya menghampiri Hud yang masih diserang kejutan itu. Itu kata-kata pertama yang diujarkan kepada Hud Aidan. Seakan-akan melepaskan sebuah kerinduan yang terbenam setelah sekian lama. Wajah polos Dina yang sudah terkebil-kebil dipandang sekilas lalu sebelum pandangannya saling bersatu dengan jejaka pujaan hatinya itu.


RAUT wajah Hud yang kelihatan tegang tanpa sebuah senyuman menjadi tatapan Farisha. Sememangnya, pemuda itu sudah berubah sepenuhnya. Tiada lagi kulit kuning langsat Hud dan wajahnya yang jambu. Kini, wajah itu tampak lebih maskulin dengan jawline yang tajam. Malahan ada parut panjang di dahi kanan pemuda itu dengan kulitnya yang sawo matang. Seolah-olah Hud yang berada di depan matanya ini menjalani sebuah latihan yang begitu lasak.

"Kenapa you diam je? You tak suka ke I balik?" soal Farisha. Ada rasa terkilan di sanubarinya tatkala Hud seakan-akan berdingin.

"Aku tengah drive ni. Mana boleh bercakap," ujar Hud acuh tak acuh. Keluhan berat terlepas dari bibirnya dengan kejutan yang tak diduga. Seenaknya sahaja Amelia menyuruhnya menghantar Farisha pulang ke rumah walhal dia mahu menghabiskan masanya bersama dengan Dina sahaja.

"I tahu you marah I sebab kes kita tak jadi kahwin sampai you..."

Farisha kematian kata tatkala panahan mata helang Hud sudah singgah di kornea matanya. Rasa payau liur yang ditelan saat panahan mata Hud yang tajam seakan-akan menikam dinding hatinya yang paling dalam. Terpampang reaksi yang penuh dengan kebencian di sebalik wajah pemuda itu.

"Benda dah lepas. Kau jangan ungkit boleh? Ada karang aku turunkan kau kat tengah jalan tu. Kau nak?" ugut Hud. Tak semena-mena, dinding hatinya seolah-olah disimbah dengan minyak petrol lantas meledakkan api kemarahan yang ditahan sejak tadi. Itulah salah satu punca utama dia dibuang keluarga dan semestinya hal itu merupakan hal yang sensitif buat seorang Hud Aidan.

Farisha jadi kelu. Tersentak hati si gadis berambut blonde tatkala Hud seakan-akan membencinya. Tiada lagi Hud Aidan yang suka berjenaka dengannya seperti dulu. Kini yang tinggal hanyalah kemarahan dan kebencian yang membuatkan Farisha dirundung rasa sebak. Pandangannya terus dialihkan ke luar tingkap memandang deretan kenderaan yang berada di atas jalan.

"Pak cik, kakak ni sedih. Pak cik ni janganlah marah-marah kakak cantik ni!" suara Dina yang duduk di tempat duduk bahagian belakang mula kedengaran. Gadis kecil itu menepuk bahu Farisha seakan-akan memujuk gadis yang kelihatan sedih itu.

"Tak apalah Dina. Kakak ni kan jahat sebab tulah pak cik Dina tu nak marah-marah kakak. Dina umur berapa? Sekolah kat mana?"

Tatkala itu, hanya keluhan demi keluhan sahaja yang terbit di bibir Hud apabila Dina mula melayan karenah Farisha. Kepetahan Dina berbicara membuatkan suasana yang dingin mula berubah ceria. Sesekali kedengaran tawa Farisha yang tercuit hati dengan kata-kata gadis kecil itu. Namun entah mengapa jauh di sudut hati Hud, tingkah Afrina tiba-tiba sahaja bermain di benak fikirannya. Segaris senyuman kecil terbit tanpa sedar. Aneh sekali. Tidak mengerti kenapa dia lebih senang melihat Afrina melayani karenah Dina berbanding gadis bernama Farisha itu.

BAGI menuruti kemahuan Dina yang ingin bersiar bersama Farisha, Hud terpaksa melayan karenah gadis kecil itu. Sesekali, Dina menariknya masuk ke dalam kedai permainan dan sesekali Farisha pula mendesaknya menemani gadis itu ke butik aksesori. Hud jadi buntu bila dia terpaksa menuruti kemahuan dua gadis di hadapannya ini.

Namun, saat mereka melangkah masuk ke dalam butik pakaian di pusat membeli belah itu, langkah Hud terbejat tatkala pandangannya tertancap pada seorang gadis dan seorang lelaki yang berada di dalam butik Hijab World. Senyuman yang tergaris di bibir gadis bertudung selendang biru itu membuatkan hati Hud jadi libang-libu.

Ini kali pertama dia melihat Afrina mengenakan selendang. Kelihatan manis di pandangan mata Hud. Namun, melihat Afrina tersenyum lebar membuatkan Hud bingung. Entah perasaan apakah yang sedang mengetuk sang hatinya. Perasaan cemburu barangkali? Manakan tidak, Afrina bisa tersenyum apabila berhadapan dengan Ibrahim. Kenapa dia tidak bisa membuatkan gadis itu tersenyum? Satu persoalan lagi, apa hubungan Ibrahim dan Afrina?

Lantas, langkah diatur masuk ke dalam butik hijab yang terpampang di depan mata. Bukan namanya Hud Aidan kalau hanya diam dan melihat. Jika persoalan sudah berada di benak fikiran maka dia mahu menyelesaikan sendiri persoalan yang bermain di benak fikirannya.

"Kalau awak suka warna yang tu ambillah. Saya belanja..."

"Sejak bila kau pandai pakai selendang ni cik misi?"

Tika soalan itu diujarkan kepada Afrina yang sedang membelek tudung bawal yang tergantung, ketika itu juga Afrina merasakan bumi seakan-akan menghempap dirinya. Serta merta senyuman di bibirnya menghilang. Melihat wajah Hud yang sedang tersenyum kepadanya membuatkan dahinya sudah berkerut seribu. Wajah Ibrahim yang turut kaget melihat kehadiran Hud dipandanganya buat sekilas.

"Kenapa? Aku ganggu kau orang date ke?" soal Hud lagi. Wajah Afrina dan Ibrahim dipandang silih berganti bersama tawa yang terletus di bibirnya. Sesekali tangannya digenggam erat tatkala debaran itu semakin kuat mengetuk dinding hatinya. Sungguh, Hud bingung dengan perasaan yang berkecamuk. Kenapa dia cemburu? Bukannya dia ada apa-apa perasaan dengan Naurah Afrina melainkan dia suka mengusik Afrina kerana gadis itu sering berwajah tegang.

"Hud! You nak temankan I..."

"Kak Afrina! Lamanya Dina tak jumpa kakak," suara Dina yang sedang meluru ke arah Afrina seraya memeluk tubuh gadis itu membuatkan Farisha kematian kata. Kaget dibuatnya apabila Dina seakan-akan mesra dengan gadis berwajah lembut dengan hanya mengenakan solekan natural itu. Saat matanya menatap wajah Hud yang sedang tersenyum sambil memandang wajah Afrina, saat itu juga Farisha seakan-akan menyedari sesuatu. Adakah gadis ini pemilik hati seorang Hud Aidan?

KEBETULAN yang tak dirancang ini sememangnya membuatkan Afrina jadi sesak. Baru sahaja dia rasa aman setelah dia menukar pesakit selama dua hari dengan Khadijah untuk memberikan rawatan kepada Datin Khalida. Namun, masih sahaja dia dipertemukan dengan Hud Aidan. Afrina sendiri jadi kelu dengan kejutan yang terpampang di depan mata. Semenjak kejadian mereka dikejar, semenjak itu juga Afrina semakin nekad untuk menghindarkan diri daripada keluarga Hud. Malangnya, semua itu hanya mampu dirancang. Saat ini, mahu tak mahu dia terpaksa menuruti ajakan Hud untuk minum petang bersama di sebuah kafe. Demi Ibrahim yang sudah lama tak menemui Hud.

"Aku tak tahu pula yang kau orang berdua dah kenal siap keluar berdua pula tu. Kau Rahim! Kau tak bagi tahu aku pun kau dengan Afrina," suara Hud kembali kedengaran. Ada tawa yang meletus di bibir pemuda itu dengan pandangan yang masih tertancap ke laman wajah masam Afrina.

"Kau salah..."

"Saya pun tak sangka yang Encik Hud ni dah ada someone. Lawa. Mudah mesra dengan Dina sampai sanggup nak layan karenah Dina pula tu. Yelah Dina kan jenis yang susah nak rapat dengan seseorang. Baguslah kalau macam tu. Jadi Encik Hud tak payah nak kacau hidup saya lagi," pintas Afrina. Ini sahaja jalan selamat yang mampu dia fikir agar Hud tidak mengganggunya lagi.

Ibrahim tersentak dengan kata-kata sinis Afrina. Wajah Hud yang masih tersenyum dan wajah tegang Afrina dipandang silih berganti. Bagaikan ada peperangan di depan mata dan Ibrahim seakan-akan menjadi saksi kepada peperangan itu.

"Betul ke Rahim? Jadi cincin tu tanda yang..."

"Kenapa Encik Hud nak sibuk pasal saya? Saya dah pernah cakap yang hubungan kita cuma pekerja dan majikan. Encik tak ada hak nak sibuk pasal hal peribadi saya. Pasal cincin ni? Ya, saya dah bertunang. Saya dah jadi milik orang dan Encik Hud, just go on with your own life!" tegas Afrina. Coklat panas yang tinggal sedikit dicicip perlahan-lahan sebelum dia bangun dari duduk. Tak betah rasanya terus berhadapan dengan pemuda itu. Lantas, Hud dan Ibrahim sudah saling berpandangan. Masing-masing terkelu dengan kekasaran Afrina yang seakan-akan melepaskan kemarahannya. Mujur sahaja Dina sudah dibawa bersiar-siar oleh Farisha. Kalau tidak pasti anak kecil itu bisa beranggapan negatif mengenai Afrina.

"Aku minta diri dulu, Hud. Nanti kita borak panjang. Aku yang bawa dia datang sini tadi. Tak tahu pula kau orang ni ada konflik. Oh pasal siasatan ke atas kes serangan kau dengan Afrina tu kami dah kenal pasti nombor plat kenderaan tu. Cuma biarlah kami saja yang uruskannya," kata Ibrahim seraya berpamit pergi. Segera dia mengejar Afrina yang sudah jauh menonong berjalan di hadapan.

Hud yang ditinggalkan dengan persoalan bertambah kaget dengan kata-kata Ibrahim. Buntu dibuatnya bila Afrina terus-terusan berkasar dengannya walaupun dia cuba berbaik dengan gadis itu. Namun, cepat-cepat dihapuskan persoalan yang bermain di benak fikiran. Saat ini, urusannya berhadapan dengan penyerang-penyerang itu lagi penting. Tambahan pula ugutan yang melibatkan Afrina sering kali menggusarkan hatinya.


KOTAK berisikan Glock dan bangkai kucing yang diterimanya minggu lalu dihempas di atas sebuah meja yang dipenuhi dengan daun terup dan wang ringgit. Empat orang lelaki yang ralit bermain judi kaget dengan kemunculan Hud. Lebih-lebih lagi permainan mereka diganggu oleh pemuda berjaket hitam itu. Segera mereka bangun dari duduk lalu mengepung Hud yang berwajah dingin.

Ya, Hud memang gila. Menjunamkan diri dalam bahaya yang ada di depan mata. Usai sahaja dia mendapat maklumat mengenai keberadaan penyerangnya, Hud lantas ke rumah judi itu. Kalau Ibrahim tak mahu memberikan kompromi kepadanya, Hud tidak kesah. Masih ada seseorang yang sudi berkongsi maklumat jenayah kepadanya. Kalau boleh, Hud mahu berhadapan sendiri dengan penyerangnya sekali gus mencari keberadaan 'lelaki misteri' yang mahu mencabut nyawanya.

"Kau siapa?" jerkah salah seorang daripada mereka.

Hud ketawa dengan soalan lelaki berketurunan cina itu. Dia memandang wajah lelaki-lelaki itu satu per satu sebelum tendangannya ditujahkan ke meja judi yang diperbuat dari plastik itu sehingga runtuh. Lantas, dia menerkam dan mencekak kolar baju lelaki yang bertanyakan soalan sebentar tadi. Tak semena-mena, rumah judi itu jadi kecoh dengan kedatangan seorang Hud Aidan.

"Mana ketua kau!" jerkah Hud seraya menghempas tubuh lelaki itu ke belakang dinding. Tangannya digenggam erat cuba mengawal dirinya dari terus menyerang musuh-musuhnya itu. Tidak. Dia tidak boleh terus menujahkan amukannya. Harus ada ketenangan untuk dia berhadapan dengan musuh meskipun dia dalam keadaan yang penuh dengan amarah!

Bersambung...

Hi guys ✌ Macam mana dengan episod kali ni? Misteri ke tak? 🤣 Tekanan ke tak bila si Afrina ni asyik nak marah Hud je hahahha 🤣 Ada pula watak baru kali ni. Rasanya bagi jelah kan Farisha dengan si Hud memandangkan Afrina dah ada Ibrahim 🤣 Afrina pun macam okay je dengan Ibrahim kan kan hahahha... sorry tau gais kalau tak ada aksi lagi huhuhu Syaf tak ada tenaga nak aksikan si Hud Aidan ni.

Apa pun, terima kasih sudi menjadikan karya syaf ni sebagai bahan bacaan korang 😊 Syaf hargai sangat yang sudi baca ni. Yelah tanpa korang mesti rasa malaslah nak up takde pun orang baca hahaha hah gitu 🤣 Kalau suka tekanlah butang vote hehehe✌

Sedutan episod 15

"Kenapa Kak Afrina nampak benci sangat dengan abang Hud? Memanglah Isha crush dengan dia tapi tak adalah crush yang gila-gila sampai nak jadikan dia pasangan Isha. Abang Hud tu baik..."

"Dia memang baik, tapi dia dah hancurkan zaman remaja kakak. 14 tahun dah berlalu tapi sebab dia, kakak hampir mati. Isha hampir hilang seorang kakak. Mama dan abah hampir hilang seorang anak. Sebab kakak pernah sukakan dia sepenuh hati kakak sampai kakak bertindak bodohlah kakak hampir mati!" pintas Afrina. Ketika itu juga, dinding hatinya seakan-akan direntap sayu. Entah mengapa rasa sakit itu membuatkan setitis air mata mengalir ke pipinya. Ya, dia pernah mencintai seorang Hud Aidan. Tapi, semua itu terkubur dengan kekejaman Hud terhadapnya!

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top