Bab 9

"YAY! Alhamdulillah! Hampir siap!" Umayma bersorak keriangan melihat rekaan mesin masanya sudah menghampiri seperti yang dijangka.

Umayma meregangkan ototnya. Haih... lenguh bahu dan belakang rasanya apabila duduk lama sangat di atas kerusi. Huhuhu, janganlah dia sakit urat malam ini.

"Hrm..." Umayma membelek lampu suluh ataupun lebih dikenali sebagai mesin masa itu. Manalah tahu, tertinggal di mana-mana bahagian. Suis utama iaitu suis tekan tutup diperiksa pada sisi mesin masa itu. "Baiklah. Suis baik."

Umayma beralih pada papan skrin yang sebesar kuku manusia remaja di sisi bertentangan. Ada papan kekunci yang agak kecil di sebelah papan skrin. Sebagai percubaan, jarinya sengaja ditarikan di atas papan kekunci itu.

Umayma tersenyum, puas. "Papan kekunci pun dalam keadaan elok. Cuma satu saja."

Penutup belakang mesin itu dipulas. Serta-merta terpapar di hadapan mata tiga ruang kotak sel yang perlu diisi sesuatu. Itulah masalahnya. Tiada tenaga yang mampu menghidupkan mesin masa ini.

Bagaimana dia mahu buktikan... terutamanya pada papa, bahawa mesin masa ini bukanlah sampah?

Umayma menongkat dagu. Tangannya sibuk mengangkat dan membelek mesin masa itu. "Haih... mesin oh mesin. Bagitahulah. Macam mana nak hidupkan kau ini?"

Umayma ini pun. Tanya bukan mesin masa itu mengerti. Tetapi kalau mesin itu jawab nanti bukan cerita 'Kepada 15 Tahun Yang Lalu', jadi kisah 'Umayma dan Mesin Masa Ajaib' pula.

Itulah kau, Umayma. Sibuk mahu siapkan rangka mesin masa selepas terinspirasi dari cerita P. Ramlee, 'Ibu Mertuaku'. Celah mana dapat inspirasi pun, dia tidak tahu. Yang dia tahu, selepas tonton dia terus ada semangat untuk buat mesin masa. Sampai tolak tepi soal tenaga untuk hidupkannya.

Mungkin terinspirasi semasa bahagian si menantu cucuk mata sampai buta. Sebab itu berharap dapat putarkan masa dan halangnya. Ya... mungkin sebab itu.

"Ting!"

"Krekk..."

Bunyi mesej diterima serta bunyi pintu dibuka serentak menyapa halwa telinga.

  "Umayma." Puan Marisa memanggil menantunya. Lagaknya seperti kelam-kabut sahaja.

Umayma memusingkan tubuhnya menghadap Puan Marisa. Rasa pelik melihat Puan Marisa resah sebegini. Teragak-agak dia bertanya. "Erm... kenapa ibu?"

Puan Marisa segera menjawab. "Sufyan kemalangan."

Membulat mata Umayma jadinya. "Suf... Sufyan?"

"Sekarang dia ada di hospital. Cepat bersiap."

✧✧☘✧✧

BEBERAPA MINIT SEBELUM...

"Jaga-jaga!"

"Crash!"

"Bush!"

"Ha, sudah..." Surfina menepuk dahinya secara spontan. Mesti Qaulalhaq ini! Pasti mereka berdua akan dimarahi. Cepat-cepat dia berpaling ke belakang.

"Suf..." Pupil matanya bergetar memandang wajah Sufyan. Terketar tangannya cuba menafikan apa yang berada di hadapan matanya. "... Yan."

Di atas Sufyan, ada Qaulalhaq. Dahi Sufyan dibasahi darah. Mata Sufyan terpejam rapat. Malah, tiada langsung tanda-tanda untuk bergerak. Belahan luka tergaris di atas dahi Sufyan. Mungkin Sufyan sipi-sipi terlanggar kereta tadi.

"Sufyan..." Terketar bibir Surfina menyeru nama adiknya. Tangannya ingin menyentuh bahu Sufyan terhenti tatkala dijerkah satu suara.

"Surfina, apa kau dah buat! Kenapa kau orang tak minta izin masa keluar? Tengok apa yang dah jadi! Tidak fasal-fasal kemalangan!" Qaulalhaq merenung tajam gadis di hadapannya. Sufyan masih di pangkuannya.

Niatnya ingin mencari kedua budak ini, namun lain pula yang terjadi!

"Fin..."

"Dik..." Pemandu itu panik keluar dari keretanya. Tergopoh-gapah dia menghampiri mereka bertiga. "Ayoyo, abang minta maaf sangat, adik. Mari, abang hantarkan ke hospital. Cepat!"

Surfina langsung tidak mempedulikan keadaan sekeliling. Dia hanyut dalam dunianya sendiri. Dia masih tidak percaya dengan apa yang terhidang di hadapan mata dan berharap... semua ini hanyalah mimpi.

Kalaulah ini mimpi, tolonglah. Dia mahu bangun!

"Maaf." Perkataan pertama yang keluar dari mulut Surfina. Perlahan sahaja suaranya.

"Maaf tapi nanti buat lagi. Dahlah. Pergi sana. Menyusahkan."

"Surfina!"

Surfina tersentak mendengar Qaulalhaq menyebut namanya dengan lantang. Dia mengangkat wajahnya dengan penuh terketar-ketar. Kelihatan Qaulalhaq sudah mendukung Sufyan gaya pengantin.

"Termenung apa lagi kau itu? Cepat, balik! Bagitahu ibu yang aku bawa Sufyan pergi hospital dengan abang ni." Qaulalhaq mengarah Surfina tanpa memandang wajah gadis itu. Dia melangkah masuk ke dalam kereta serentak dengan pemandu tersebut.

Surfina tidak membalas sebaliknya terus berlari ke rumah. Kakinya terketar semasa melangkah ke rumah neneknya. Walaupun hendak terjatuh, dia tetap teruskan berlari.

Baru pagi tadi dia pergi ke sekolah bersama-sama Sufyan. Dia langsung tidak menjangka bahawa peristiwa ini akan terjadi. Bagaimana kalau apa-apa terjadi pada Sufyan? Pasti ayahnya akan marah nanti.

"Surfina..."

"Surfina!"

Surfina memaling perlahan ke sebelah, namun wajahnya masih lagi tertunduk. Dia yakin di sebelahnya ini ialah Umayma.

Umayma memandang penuh risau ke arah Surfina. "Surfina okey? Lepas solat Asar di surau pun, awak asyik termenung sahaja. Jangan risau, Sufyan dalam wad tu akan okey sahaja."

Surfina hanya mengangguk perlahan sebelum berpaling semula ke hadapan. Dia langsung tidak mengangkat wajahnya. Riak mukanya juga sangat-sangat pucat.

"Pak cik, saya minta maaf sangat-sangat terlanggar anak pak cik. Saya akan bayar kos perubatannya. Saya janji." Pemandu berbangsa India itu bersungguh-sungguh meminta maaf kepada Encik Zakaria.

"Tak apa. Lain kali kalau encik hendak memandu, jangan memandu dalam keadaan mengantuk, ya? Rehat tepi jalan sekejap jika mahu berehat." Encik Zakaria sempat berpesan kepada lelaki itu.

Encik Zakaria menyambung. "Terima kasihlah sebab sanggup tanggung kos perubatan."

"Tak adalah. Memang salah saya sebab langgar. Saya pastikan saya tak akan buat lagi." Pemandu itu menghela nafas, lega. Mungkin rasa tenang apabila dirinya tidak dimarahi.

"Huh. Ini semua fasal dua anak kutip ini lari rumah tiba-tiba. Merajuk konon." Qasim mencelah antara perbualan mereka. "Tengok, tidak habis-habis susahkan orang. Duduk termenung pula itu."

"Muhammad Qasim." Puan Marisa menoleh ke arah anak sulungnya. Rasa geram bercampur malu melihat anaknya mula membuat perangai.

Qaulalhaq mengetap gigi. "Kau kalau tak tahu nak cakap apa, baik diam."

Qasim merapati dirinya ke arah Qaulalhaq. "Kenapa? Betullah yang aku kata, bukan?"

Encik Zakaria segera meleraikan pergaduhan mereka. Kedua anaknya dijarakkan. "Sudah, sudah. Jangan gaduh. Ini hospital. Bukan gelanggang gusti."

Puan Marisa menggeleng sambil tangannya memegang erat tangan Qasyid. Dua anak lelakinya itu memang tidak boleh kalau berjumpa. Sejak Qaulalhaq berkahwin, terus bermasam muka dua beradik itu.

"Maaf..." Satu kata terpacul dari bibir Surfina. "Saya minta maaf. Saya minta maaf sangat-sangat..."

"Kenapa awak minta maaf? Bukan awak yang langgar Su... ah." Umayma terkedu melihat satu titik basah di baju Surfina. Pasti Surfina sedang menangis sekarang.

"Saya minta maaf sangat-sangat sebab susahkan kau orang semua." Tangannya mencengkam seluarnya. Surfina benar-benar hanyut dengan rasa sedih yang amat. "Betul kata papa dan along... saya ini memang menyusahkan. Kalau saya tak jumpa kau orang, mesti tak akan jadi macam ini..."

Kalaulah dia halang Sufyan keluar dari rumah, pasti mereka tidak akan kembali ke lima belas tahun yang lalu. Pasti tidak perlu hadapi semua ini.

Yang dia mahu sekarang, dia mahu pulang! Tidak kisahlah menghadap papa yang kuat bekerja sekarang, janji dia dapat lari dari semua ini. Tetapi bagaimana? Sungguh, dia rasa bersalah dan tidak berdaya sekarang ini.

Dengan suara serak-serak basah, Surfina menuturkan kata lagi. "Saya minta maaf."

Umayma memegang bahu Surfina. "Semua orang di dunia langsung tak menyusahkan. Mereka semua berguna sejak mereka dilahirkan di dunia ini."

Puan Marisa menambah. "Betul kata Umayma. Kalau mereka menyusahkan, buat apa Tuhan ciptakan mereka?"

Surfina mengangkat wajahnya. Kata-kata itu sungguh menusuk ke dalam hatinya. Dia mengesat sedikit air matanya yang tumpah ke pipinya.

"Pedulikan kata-kata si budak Qasim itu. Dia itu memang suka cakap lepas," ujar Encik Zakaria. Sempat lagi mengutuk anak sulungnya.

"Betullah aku kata... aduh!" Qasim mengaduh kesakitan tatkala kakinya dipijak oleh Qaulalhaq. Itulah... banyak cakap lagi.

Si pemandu itu pula hanya membaca surat khabar yang dicapai dari salah satu rak. Kenapalah dia langgar orang tadi? Tidak fasal-fasal terjebak dalam drama ini. Huhuhu...

"Kadang-kadang... perkara yang paling terbaik untuk dilakukan bila rasa nak putus asa ialah terus lakukannya." Umayma tersenyum semasa mengatakannya. "Yalah... macam akak. Takkanlah akak nak berhenti buat mesin masa lepas apa yang akak dah usaha selama ini?"

"Oh..." Surfina mengukir senyum semula. "Terima kasih."

"Ala... kita kan keluarga." Umayma menepuk belakang Surfina dengan agak kuat. Sampai terbatuk Surfina dibuatnya! Haih... Umayma ini perempuan ke dua alam? Kuat sangat tepuknya.

Surfina tersengih mendengar. Rasa macam ada dua makna di situ kerana dia bukankah datang dari masa hadapan? Memang semua ini keluarganya.

Pintu wad dibuka. Keluar seorang doktor lelaki dengan fail di tangannya. "Sufyan Qashad bin Muhammad Qaulal?"

✧✧☘✧✧

"Kalau Sufyan nak tahu, kakak awak menangis sebab risaukan awak." Kecoh Umayma bersuara sebaik sahaja keluar daripada wad.

Surfina sudah menepuk dahi. Haih... Umayma ini. Kenapalah beritahu kepada adiknya yang bermulut kecoh itu? Mesti Sufyan bising nanti.

"Wah, yakah? Susah nak tengok akak menangis. Ruginya. Napa akak Umayma tak rakam?" Sufyan merasa rugi terlepas saat-saat bermakna seperti itu. Budak ini. Dengan kepala berbalut, sempat lagi mengusik kakaknya.

"Pak cik keluarga baliklah. Saya nak pergi bayar sekejap." Pemandu itu meminta diri dengan penuh sopan.

"Ya, terima kasihlah sebab bayarkan." Encik Zakaria bersalaman dengan lelaki itu. Kita sebagai rakyat Malaysia, mesti sentiasa hormat-menghormati, bukan?

"Baiklah. Saya pergi dahulu." Pemandu berbangsa India itu meninggalkan mereka sekeluarga sebelum ke kaunter. Di situ, doktor yang merawat Sufyan tadi menunggunya.

"Lambatnya kau, Advik." Doktor itu mengeluh, kasar. Penat bertongkat penuh bergaya di tepi kaunter ini. Hek ek leh, bergaya konon. Akak jururawat lalu sebelah kau pun tidak ingin pandang kau.

"Sabarlah. Aku kenalah acah-acah baik dengan keluarga budak itu." Advik membuang lensa matanya. Itu sebagai penyamaran sahaja. Dia menyarung kaca matanya semula.

Advik bertanya. "Kau, sudah letakkan cip pengesan belakang budak yang kau rawat itu? Manalah tahu. Kau terlupa ke?"

Doktor itu membetulkan tanda nama yang tertulis nama Dayyan yang nampak senget. Setelah membetulkan, dia segera menidakkan. "Tak, aku dah letak. Senanglah..."

Dayyan berhenti sejenak. Mungkin terganggu dengan bunyi bising orang awam. "Rasanya tidak elok kita cakap di sini. Ramai orang. Mari. Kita ke tempat yang tidak ramai orang."

Sambil berjalan ke koridor tangga, Dayyan sempat memeriksa telefonnya. "Ada mesej baru daripada bos."

Selasa, 11 Mei 2004 - 5:45 PTG
Bos
Kau sudah buat seperti yang diminta? Advik dah langgar budak itu? Sudah letak cip pada belakang budak itu?

Fuh... sudah macam soalan kursus kahwin. Bertalu-talu! Dayyan berhenti di penjuru tangga untuk membalas mesej sambil dilihat Advik. Nanti tulis mesej sambil berjalan. Memang tergolek tangga jawabnya.

Selasa, 11 Mei 2004 - 5:46 PTG
Kepada: Bos
Sudah. Semuanya berjalan seperti yang dijanjikan. Bos tidak perlu risau. Saya jamin, kita boleh beralih ke plan yang seterusnya.

Mesej dihantar!

Mereka berdua memanjat semula anak tangga. Lah... setakat hendak hantar mesej, tidak perlulah menyorok sehingga ke koridor tangga. Bukan mahu buka meja mesyuarat pun.

"Ting!

Selasa, 11 Mei 2004 - 5:47 PTG
Bos
Bagus. Sudah, jangan balas. Habis kredit aku nak balas semula.

Advik menarik sengih membaca mesej itu. "Nampaknya, masa sudah sampailah, bukan?"

"Ya." Dayyan menyimpan telefon jenama Nokianya ke dalam poket bajunya. "Sekarang masa untuk kita dapat apa yang kita mahu semula."

✧✧☘✧✧

Suasana hening sahaja di dalam kelas 6 Zirafah. Bukan sebab di luar kelas ada manusia mayat yang tidak sukakan bising tetapi kerana seorang penolong ketua kelas sedang memegang kapur di hadapan papan hitam.

"Abbas berjalan!" Penolong ketua kelas berteriak lalu menulis nama Abbas di bahagian ruang lelaki.

Abbas yang ingin mengutip pemadamnya yang terjatuh terpinga-pinga. Tabahlah, Abbas. Nanti balik tempat duduk terus menangis, ya?

Sufyan pula hanya menyiapkan kerja sekolah sahaja. Yalah, dia tidak hadir ke sekolah selama dua hari! Parut luka pun terhias cantik di dahi belah kirinya.

"Sufyan, kau dah siap ke?" tegur rakan semejanya, Luqman. Dia juga sibuk menyiapkan kerja sekolah. Namun kena perlahanlah suara. Nanti kena tulis nama.

"Erm, kejap lagilah. Nanti tinggal satu soalan. Cikgu marah pula," jawab Sufyan. Tidak sampai satu saat, cepat sahaja soalan itu dijawab. "Ha, siap pun."

"Wah.. cepatnya." Luqman berbisik perlahan.

Memanglah cepat. Semua soalan itu sudah dipelajarinya di waktunya. Cuba bagi soalan tingkatan satu, mahu menangis Sufyan di situ.

"Saya nak pergi tandas. Jangan sesiapa bergerak, ya?" Dengan penuh angkuh, penolong ketua kelas itu meletakkan kapur ke atas pemegang papan hitam. Mentang-mentang cikgu tiada, berlagak ya kau?

Sebaik sahaja penolong ketua kelas menghilang, terus bising gamaknya kelas itu. Mesti tengah lepas dendam kerana dipaksa berdiam buat terlalu lama. Nasib ketua kelas tidak hadir sekali.

"Sufyan..." Sufyan menoleh ke belakang apabila disapa murid perempuan di belakangnya.

"Kenapa, Aisyah?" Sufyan menyoal. Baru mahu bermain osom dengan Luqman tadi.

"Itu..." Aisyah menunjukkan di belakangnya. "Itu. Kasim panggil."

Sufyan mengerutkan dahi. "Kasim?" Teringat pula satu lagi 'Kasim' di rumahnya.

Sementara itu, Kasim bersama dua rakannya menunggu Sufyan datang ke arah mereka. Melihat Sufyan datang ke arah mereka, Kasim segera mengawal keadaan. "Shh, shh... kau orang. Sufyan datang."

"Kenapa kau panggil aku?" soal Sufyan sambil memandang mereka bertiga.

Kasim cuba beramah mesra. "Kita orang sebenarnya sudah lama mahu berkawan dengan kau, Sufyan? Apa nama penuh kau, ya? Sufyan Qashid bin..."

Sufyan membetulkan namanya. "Sufyan Qashad bin Muhammad Qaulal."

"Ingat, Sufyan. Nanti kau jangan sebut nama penuh papa masa tok ma tanya nanti. Sebut sahaja Muhammad Qaulal. Nombor kad pengenalan kau pun, tukar kosong tujuh itu pada sembilan dua."

Kenapa teringat pesanan Surfina ini? Eh, shuh! Shuh!

"Kau ada buat salah dengan aku." Kasim berpeluk tubuh memandang Sufyan. "Ingat di kedai hari itu. Kau terlanggar salah seorang geng aku, Kazam. Langsung tak minta maaf."

Riak muka Sufyan menjadi bingung. "Langgar? Bila masa?"

"Buk!"

"Minta maaf pada aku!"

"Kenapa pula? Kau yang buta, tak nampak jalan! Selamba je langgar aku, kenapa aku pula yang kena minta maaf!" marah Sufyan. Kaki budak lelaki itu ditepis sehingga dia hilang imbangan lalu tersembam di sisi Sufyan.

"Oh..." Sufyan mengiyakan. Peristiwa itu! Haih... berdendam sangat budak ini dengan dia.

"Kenapa aku nak minta maaf pula? Kau yang lari macam lembu lepas itu mahu aku yang dilanggar ini minta maaf pula?" Sufyan tetap dengan pendiriannya. Dia yang langgar, dialah yang minta maaf.

Kazam yang berada di belakang Kasim sudah menyising lengan. "Kau ini kan!"

Jeritan Kazam membuatkan semua mata pelajar tertumpu pada situasi tegang antara Sufyan dan geng Kasim. Kasim menarik lengan kawannya, meminta Kazam duduk.

"Macam inilah, aku rasakan kau patut minta maaf sahajalah. Tak perlu gaduh-gaduh. Benda boleh bincang, buat apa cari masalah, kan?" Walaupun tuturnya agak tenang, tetapi Kasim seolah-olah menyebelahi sepenuhnya Kazam.

"Buang masa aku saja. Kalau nak panggil aku sebab hal begini, baik tak payah." Sufyan malas mahu melayan, terus berjalan menuju ke tempat duduknya.

"Aku kenal abang Qasim! Dia hanya ada dua orang adik lelaki. Tak ada pula aku dengar dia ada adik lelaki dan adik perempuan. Ke kau anak angkat? Atau lebih tepat anak yatim yang diambil jadi anak angkat." Langkah Sufyan terhenti mendengar teriakan Kazam.

Sufyan berjalan laju ke arah Kazam. "Apa kau cakap?"

"Aku kata mungkin kau anak yatim. Kenapa? Salah ke?" Kazam tidak takut langsung dengan Sufyan. Cari maut betul. Sufyan sudahlah tinggi sepuluh sentimeter darinya.

"Ke... betul?"

"Tarik balik kata-kata kau. Aku tak nak gaduh." Keras sahaja nada suara Sufyan.

"Hey, Sufyan. Penolong ketua kelas nak datang itu." Luqman melarang Sufyan dari teruskan pergaduhan dari tempat duduknya.

"Kau bukan ada ibu bapa pun nak mengadu. Sebab status kau 'anak yatim', kau tak nak minta maaf pada aku. Ingat mulia sangatlah?" Kazam sengaja mencabar Sufyan.

Sufyan ketap gigi dengan penuh marah. Nampaknya lelaki bernama Kazam itu sudah mengorek lubang kuburnya sendiri.

"KURANG AJAR!"

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top