Bab 8
"SUFYAN nak duduk sebelah akak Umayma."
Terkebil-kebil mata Qasim melihat kerenah Sufyan yang sedikit aneh pada pagi itu. Dia menggaru kepala. "Ala, Sufyan pergilah duduk sebelah Surfina. Along malas nak gerak."
Sufyan memuncungkan bibirnya apabila mendengar balasan Qasim. Dia terus menghentak kaki persis seorang kanak-kanak yang suka memberontak. "Tak ada, tak ada! Sufyan nak juga duduk sebelah akak Umayma! Kalau duduk sebelah akak Surfina, nanti sakit telinga dengar dia memekak dengan abang Haq."
Surfina dan Qaulalhaq terus menjeling tajam ke arah Sufyan. Puan Marisa, Encik Zakaria dan Umayma hanya menggelengkan kepala. Macam-macam kerenah betul.
"Bagi jelah. Along kan dah besar, takkan dengan budak kecil pun nak bergaduh?" tegur Puan Marisa sambil menyuap nasi goreng ke dalam mulut Qasyid.
"Budak apanya. Dah 12 tahun kot," bantah Qasim. Dia memandang semula pinggannya, mahu makan.
"Along..." Sufyan terus merengek. Matanya sudah berkaca-kaca. Apalah yang dia sedihkan sangat itu...
"Muhammad Qasim..." Encik Zakaria mula bersuara. Dia menghembus nafas. "Mengalah sahajalah dengan Sufyan. Ayah malas nak marah kamu sebab kamu dah besar. Kalah anak gajah dah pun."
Qaulalhaq dan Surfina menyungging senyuman. Masing-masing menahan tawa. Anak gajah? Pun bolehlah!
"Tapi, ayah..."
"Along..." Hah, sudah! Suara Puan Marisa pun dah semacam. Wanita itu memandang sekilas Sufyan yang masih memuncung bibir dengan wajah sedih. Comel!
"Yalah. Yalah. Tempat duduk je pun. Bukannya lama mana, setakat nak sarapan. Itu pun nak gaduh," bisik Qasim.
Tetapi... maaflah, Qaulalhaq ini derianya lain macam sikit. "Kalau dah tahu setakat tempat duduk, takkan tu pun tak nak mengalah dengan Sufyan?" Dia tergelak sinis.
Umayma lantas mencubit paha Qaulalhaq. "Shh..."
Wajah lelaki itu cemberut. Dia memandang Qasim yang sudah beralih tempat ke sisi Surfina. Tanpa sebab, kedua mereka tersenyum lebar.
Suasana di meja makan kembali sepi...
✧✧☘✧✧
"Umayma..."
"Eh, abang..." Umayma lantas tersenyum. Dia beralih hampir setengah meter dari kedudukan Qasim yang sudah melabuhkan punggung di atas pangkin.
"Jauhnya?" Terjungkit kening Qasim melihat jarak antara mereka berdua.
"K..."
"Mestilah jauh! Along dengan kak Umayma ni bukannya mahram! Setakat ipar sahaja. Hah, kenapa lepak berdua? Sepatutnya along ajak Sufyan dan kak Sufina sekali. Barulah tak timbul fitnah. Tapi lagi baik ajak abang Haq, baru betul pasangannya!"
Qasim berdecit apabila mendengar suara itu. Dia memandang Sufyan bagaikan mahu menanamnya hidup-hidup. Geram betul!
"Kau orang ni, ada je dekat mana-mana kan? Kerja sekolah dah siap belum?" tanya Qasim, sedikit kasar.
"Eleh, dah lama siap. Ini Surfina dan Sufyan lah!" Surfina menayang riak bangga. Walhal soalan kerja rumah yang diberi sudah dipelajarinya semasa dia berada di masa hadapan (masa sebenar).
"Entah-entah salah banyak. Pergi tengok balik!" halau Qasim.
"Aku dah tengok." Qaulalhaq pula tiba-tiba muncul dengan sebatang aiskrim potong di tangan. "Betul je semua. Entah apa yang budak-budak ni makan, bijak semacam." Lelaki itu terus duduk di antara Qasim dan Umayma. Dia tersenyum memandang Qasim. Sufyan dan Surfina pula duduk di kedua sisi Qaulalhaq.
"Apa tu?" Qasim bertanya apabila melihat balang berisi sesuatu di tangan Sufyan.
"Nasi gaul dengan ikan rebus," jawabnya selamba. "Meow... Meowww..." panggil Sufyan. Dia tersenyum apabila beberapa ekor kucing berhampiran mereka mendekatinya. "Meh sini naik, makan." Sufyan duduk di tengah pangkin lalu menaburkan nasi itu ke atas helaian surat khabar yang dibawanya.
"Erk?" Wajah Qasim berubah.
"Meowww..."
"Comelnya!"
"Kenapalah kucing ni suka sangat dengan Sufyan? Cemburu akak..." Umayma membuat muka sedih. Dia menarik seekor kucing lalu dibawa ke pelukannya tapi tulah kucing tu tak suka dia.
"Sebab kau pendek," jawab Qaulalhaq, ringkas. Tetapi kejam.
"Along tak nak pegang kucing ni ke? Kucing ni haiwan kesayangan nabi tau... Comel pula tu. Orang kejam dan tak ada perasaan je tak suka kucing ni tanpa sebab." Sufyan mula membebel panjang lebar. Melihat riak wajah Qasim, dia tersenyum sinis.
"Meow?" Kucing berwarna oren itu mengiau apabila tubuhnya diangkat oleh Surfina lalu dihala ke hadapan Qasim. "Meow..."
"Err, abang ada kerja nak buat." Qasim tersengih. "Bye!"
"Laju betul dia hilang..." kata Surfina, perlahan. Cukup hanya untuk dia dan Sufyan dengar.
"Hmm... Tak lawaklah muka dia," keluh Sufyan. "Dahlah, pergi ke pelan lain!"
✧✧☘✧✧
"Along, Fina nak makan buah mangga."
"Along, Sufyan nak buah jambu tu, boleh?"
"Along, ajarkan Sufyan!"
"Along, mana abang Haq?"
"Along, bila waktu makan tengahari, eh?"
"Along, bila ayah nak balik? Tadi Surfina ada pesan abc dengan ayah."
"Along, tolong tengokkan ni boleh?"
"Along, jagakan Qasyid! Ibu suruh!"
"Along, kenapa along tak dapat jawab soalan ni? Kata pandai..."
"Along..."
"Along..."
"Along..."
"Along, buah kepala... eh, buah kelapa tu nampak sedaplah. Nak!"
"Arghhh! Stresnya aku!"
Tidak berkelip mata Surfina dan Sufyan melihat Qasim yang tiba-tiba menjerit kuat di hadapan pokok kelapa.
"Along okay ke tak tu?" Memang bisik, tapi saja bagi Qasim dengar.
"Entah. Kena bagi panadol, kot?" Sufyan pun layankan sahaja kakaknya yang seorang itu.
"Along, okay?" Serentak kedua mereka bertanya.
"Tak! Aku tak okay! Kenapa kau orang asyik suruh aku buat itu ini? Haq tu, patung ke dalam rumah ni? Aku ni dah macam apa dah layan kerenah kau orang yang menyusahkan ni!" Turun naik dada Qasim dengan nafasnya yang laju. Wajahnya bengis, matanya sedikit merah.
"Me... nyusahkan?"
"Hmm? Kenapa tu?" Qaulalhaq dan Umayma yang sedari tadi hanya memerhati mula berkerut dahi apabila Sufyan dan Surfina menjadi kaku seperti batu.
"Ya, menyusahkan! Sudahlah anak kutip dari mana entah. Huh!" Qasim menyambung lagi. Dia terus berpaling daripada mereka laku berjalan pergi.
"Maaf... kami pergi dulu."
Langkah Qasim terhenti apabila mendengar bunyi tapak kaki yang jelas menjauhinya, sekaligus menjauhi rumah itu. Lelaki itu memandang ke belakang, terkedu apabila melihat dua beradik itu berlari pergi.
"Buk!"
"Argh!" Qasim memegang pipinya. "Kau kenapa, bodoh?" jerkahnya kepada Qaulalhaq yang tiba-tiba menumbuknya.
"Kau yang bodoh!"
"Buk!"
Satu lagi penumbuk dihadiahkan kepada Qasim. Cukup untuk kiri dan kanan pada wajah abangnya yang tak guna itu.
"Kalau jadi apa-apa dekat budak-budak tu..."
Wajah Qasim berubah apabila melihat riak wajah adiknya. Riak wajah itu tidak pernah dilihatnya, sekalipun sepanjang 17 tahun sejak kelahiran adiknya.
"Sufyan! Surfina!" Qaulalhaq terus berlari mengejar dua beradik itu.
"Umayma kecewa dengan along." Gadis itu turut sama mengikuti suaminya, meninggalkan Qasim terkaku sendiri.
Sementara itu...
"Akak, kau okay?"
Surfina mengeluh berat. Dia menyepak batu di hadapannya. "Entahlah..." Tanpa signal apa-apa, dia terus duduk di tepi jalan. Sawah yang menghijau itu sedikit menenangkan hatinya.
Sufyan memandang wajah muram kakaknya. Dia terus menyandarkan kepalanya pada bahu Surfina. "Lepas ni, akak nak buat apa?"
Surfina diam seketika. "Mungkin kembali ke masa hadapan?"
"Eh? Macam mana?"
"Cari balik mesin masa ibu atau tunggu ibu siapkan mesin masa dia atau... Mesin masa natural tapi tak logik bak kata manhua yang akak selalu baca, truck-kun! Tapi sini mana ada truck, jadi lori pun boleh kut?" Surfina tersengih.
Ternganga Sufyan mendengar jawapan Surfina. "Kau dah gila ke, kak?" Dia terus duduk tegak semula, memandang kakaknya dengan riak tidak percaya.
"Gila jugalah. Memanglah sekarang ni seronok. Tapi penatlah... Perkara yang tak normal ni memang menarik, tapi mungkin yang normal itu lagi baik. Kembali ke masa hadapan, dengan papa yang workaholic, dengan rumah yang sepi, asyik bergaduh dengan papa lepas tu akak lari pergi dekat kau, dengar kau pula membebel," rungut Surfina.
"Tak menarik. Membosankan."
"Sekurangnya farewell kita dengan mereka sekarang ni tak akan sesakit farewell apabila masa yang tak normal ni tamat." Entah apa yang Surfina karutkan, Sufyan layankan sahaja. "Kau tak nak balik ke masa depan ke?"
"Nak juga... Tapi, Sufyan yang luangkan masa dengan mama..."
Tersentak Surfina. Dia terlupa hakikat itu. "Sorry."
"Tak apa..." Sufyan bermain-main dengan tangannya. "Sekarang ni nak buat apa? Balik?"
"Malaslah. Nak lepak sekejap," jawab Surfina.
Sufyan mengangguk. Mereka berbual seketika sebelum kembali termenung agak lama.
"Kau bawa duit?" Tiba-tiba Surfina memecahkan kesunyian antara mereka.
"Ada. Kenapa?"
"Abc jom." Surfina tersengih. Dia berdiri lalu menghulur tangan kepada Sufyan.
"Ha, yalah. Jom." Tangan kakaknya disambut.
"Jaga-jaga!"
"Crash!"
"Bush!"
Surfina terkedu. Tangannya yang masih kosong tidak bersambut dipandang sekilas sebelum matanya memandang sawah padi di hadapannya.
"Surfina!"
"Ha, sudah..." Surfina menepuk dahinya.
✧✧☘✧✧
"Papa..."
"Papa... Fina lapar. Adik pun asyik nangis. Papaaa..."
"Papa..."
Tangan lelaki itu ditarik-tarik. Wajahnya bagaikan mahu menangis apabila tidak dilayan. Lelaki itu masih sibuk dengan dokumennya.
"Papa..."
"Hish! Sanalah. Papa ada beli makanan kan? Pergilah makan. Jangan kacau papa! Papa ada banyak kerja." Tangannya direntap kuat. Kuat, sehinggakan anak kecil itu terjatuh lalu terlanggar meja. Fail yang berada di hujung meja terus terjatuh, kertas mula bersepah di atas lantai.
Kanak-kanak kecil itu terdiam.
"Surfina..." Suara garau itu tertahan-tahan. Sudah pastinya, menahan sebelum petir menyambar. "Surfina, tolonglah! Papa sibuk ni. Jangan menyusahkan papa boleh tak? Ke nak papa hantar balik kampung?"
"Maaf..."
"Maaf tapi nanti buat lagi. Dahlah. Pergi sana. Menyusahkan." Perkataan terakhir itu dibisik sendiri. Tetapi... kanak-kanak itu dengar.
"Maaf..." Perlahan kaki kecilnya melangkah ke pintu bilik. Wajahnya... Penuh dengan air mata. "Sufyan..."
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top