Bab 3

QAULALHAQ memandang Umayma yang fokus memandang guru di hadapan kelas. Dia melepaskam keluhan berat. Wajahnya diraup perlahan.

  "Kau kenapa?" tegur seseorang yang berada di sisi Qaulalhaq. "Dari tadi aku tengok kau, muka macam bermasalah sangat tu. Ada apa-apa jadi ke?" tanyanya lagi.

  "Tak ada apalah," jawab Qaulalhaq, ringkas. Dia kembali fokus ke hadapan.

  "Tsk, aku kenal kau bukan sehari dua. Aku kenal sangatlah kau ni. Ni mesti ada apa-apa masalah dengan Umayma, kan?" teka Danish, salah seorang sahabat Qaulalhaq.

  Qaulalhaq yang baru sahaja mahu menyalin nota terus terhenti. Dia memandang Danish. "Hmm..."

  "Apa kau buat kali ni?" soal Danish dengan sinis.

  Qaulalhaq berdecit apabila mendengar soalan Danish. "Aku mana ada buat apa-apa. Umayma tu lah."

  Danish menggeleng sahaja. "Si Umayma tu takde masalah kalau orang tak cari pasal dengan dia. Kau pula jenis yang overprotective pada dia. Jadi mesti ada benda yang Umayma buat, tapi kau tak suka, kan?"

  Tepat mengena sasaran! Melihat riak wajah Qaulalhaq, Danish sekali lagi tersenyum sinis. "Cuba cerita pada aku."

  "Umayma tu... dia bawa balik dua orang budak mana entah dari perkuburan. Selamba je dia, buatnya budak-budak tu pencuri ke apa, tak ke niaya? Aku ni risaukan dia, tapi dia marah aku pula," rungut Qaulalhaq. Sambil-sambil merungut, dia turut menyalin nota ke atas buku tulisnya. Kalau cikgu tengok kosong sahaja, habis dia nanti.

  "Perkuburan? Biar betul si Umayma tu?" Membulat mata Danish. Boleh tahan gila si Umayma tu.

  "Itulah. Aku dah cakap, dia langsung tak nak dengar. Semalam habis kami bergaduh, sampai dia lari pergi tidur dengan budak-budak tu. Dahlah semalam aku nampak budak-budak tu masuk bilik kami, kononnya ada cicak." Qaulalhaq membuat muka. Nak kata tipu, memang ada cicak.

  Danish tergelak. Cicak pun jadi? "Macam nilah, kau bincang dengan dia elok-elok. Baran kau tu, simpan sikit. Buatnya ada yang lari tinggal kau, baru tahu. Kau pun, janganlah kasar sangat dengan budak-budak tu."

  "Aku cuma nak pastikan keselamatan keluarga aku je!" bentak Qaulalhaq. Mujurlah suaranya tidak kuat, kalau tak mesti kena berdiri dekat luar sebab buat bising dalam kelas cikgu singa.

  "Keselamatan itu penting. Tapi perasaan pun penting juga. Kau jangan tuduh melulu, siasat dulu luar dalam. Fitnah tu dosa, Haq. Kau jangan..." Keras Danish memberi amaran.

Qaulalhaq terkedu. Fitnah. Perkataan itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya. Rambutnya dikusutkan. "Nantilah aku fikir."

  Danish tersengih.

  "Baiklah kelas, sebelum cikgu keluar, cikgu nak beritahu satu pengumuman. Sempena minggu sains dan teknologi, Panitia Sains dan Teknologi telah bersetuju untuk mengadakan pertandingan reka cipta untuk tingkatan lima. Pertandingan ini akan dijalankan selama dua minggu. Cikgu harap, ramai pelajar akan menyertai pertandingan ini. Itu sahaja. Ketua kelas." Guru wanita itu memandang Danish.

   "Bangun. Terima kasih, cikgu!" ucap Danish lalu diikuti pelajar lain.

  Kelas kembali bising apabila si cikgu singa sudah keluar. Qaulalhaq memandang Umayma yang tersenyum lebar. Dia mengeluh.

  Tepat jam 2 petang, para pelajar menengah atas akhirnya membanjiri kawasan luar sekolah. Seronoklah, waktu persekolahan sudah tamat.

  "Pergilah sana. Muka macam kucing hilang anak je kau ni," sindir Danish. Tubuh rakannya ditolak ke arah Umayma yang sedang berjalan dengan rakan-rakannya.

  "Eh, Haq?" Mardhiah, salah seorang sahabat Umayma mula tersengih apabila Qaulalhaq mendekati mereka. Dia mula menarik tangan rakan-rakannya yang lain. "Kami pergi dululah ya. Jumpa esok. Bye!"

  Umayma terkedu melihat gelagat sahabatnya yang lain. Bibirnya diketap. "Tak guna punya kawan."

  Qaulalhaq berdiri kaku di sisi Umayma. Lehernya diusap perlahan. Masih terasa kekok dengan gadis itu biarpun mereka bergelar suami isteri.

  "Jom balik," ajak Qaulalhaq dengan senyuman terpaksa. Takut dia melihat perlakuan Umayma yang lain daripada biasa. Marah betul ini.

  "Hmm..." Umayma hanya membalas dingin. Dia terus berjalan pergi tanpa kata.

  Qaulalhaq menghembus nafas. "Sabar, Haq. Sabar. Isteri sendiri tu," pujuknya. Dia cuba menenangkan diri, lalu mengejar Umayma yang mula menjauh. "Kau nak sertai pertandingan tu ke?"

  Umayma mengangguk. Dia langsung tidak memandang Qaulalhaq. Aura tegang jelas mengelilingi mereka berdua.

  "Kau... nak reka apa?" tanya Qaulalhaq lagi, mencuba nasib. Mujurlah rumah tidak terlalu jauh dari sekolah, kalau tidak memang sepi sahajalah perjalanan mereka.

  "Mesin masa."

   Qaulalhaq mengangguk. Dia memandang ke hadapan sebelum... "Kejap, mesin masa?" Nada suaranya berubah serius. "Kau cakap... mesin masa?"

  Umayma mengangguk sahaja. Ideanya memang gila, tapi itulah kesukaannya!

  "Kau jangan nak merepek," marah Qaulalhaq. "Semalam budak-budak tu. Hari ini mesin masa? Umayma, apa yang ada dalam kepala kau tu?" Keras suaranya bertanya.

  "Tak ada apa."

  Jawapan ringkas itu membuatkan wajah Qaulalhaq berubah merah padam. Penumbuknya digenggam. "Kau suka buat keputusan sendiri kan?"

  Umayma tetap mengangguk tanpa kata.

  Qaulalhaq terdiam. "Serabut aku. Yalah, yalah. Aku nak teman," tegasnya. Dia mahu memastikan keselamatan Umayma.

  Umayma menggeleng. "Saya nak pergi beli barang sekolah Surfina dengan Sufyan pukul 4 nanti."

  "Kau minta izin ke ni?" tanya Qaulalhaq bagi meminta kepastian.

  Umayma mengangguk. Dah macam robot, dari tadi angguk atau pun geleng. Suara pun beku semacam.

  Qaulalhaq yang melihat reaksi itu tahulah bahawa Umayma mahukan masa dengan dua beradik itu. Dia hanya akur. Salahnya juga, Danish sudah pesan supaya dia menyimpan barannya. Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Ya, tak?

  "Pergilah."

   Melebar senyuman pada bibir Umayma. Qaulalhaq diam sahaja. Asalkan isterinya bahagia, itu sudah cukup buatnya. Dia tidak mahu menghuru-harakan lagi rumah tangga mereka.

  Tiba di rumah, Umayma terus menuju ke dapur selepas menyalam ibu mertuanya. Kata ibu mertuanya, dua beradik itu berada di dapur.

  "Kamu bergaduh dengan Shaheera?" tanya Puan Marisa. Dia mencicip air teh panas di dalam cawannya. Qasyid yang menempel di sisinya dibiarkan.

  Puan Marisa menggeleng apabila dia tidak mendapat balasan daripada anak keduanya, Qaulalhaq. "Itulah kamu. Sudah, baiki hubungan kamu. Ibu tak nak rumah tangga kamu roboh. Sekali lagi ibu tekankan, baran kamu tu, jaga. Ibu malas mahu masuk campur." Puan Marisa terus bangun.

  Qaulalhaq yang masih berada di situ memandang lama adiknya, Qasyid. "Baik, ibu."

✧✧☘✧✧

  Jarum jam sudah menunjukkan angka sembilan. Namun, Umayma, Surfina dan Sufyan masih lagi berjaga dengan sesi pillow talk mereka.

  "Kalau akak tak jumpa kau orang, nanti kau orang tidur mana?" tanya Umayma sambil membuka penutup balang biskut.

  Surfina dan Sufyan berpandangan. "Tak tahu."

  Umayma diam. Sekeping biskut diambil lalu disuap ke mulut. Mahu bertanya banyak, takut soalannya sensitif. Haih, susah betul.

  "Akak, macam mana akak boleh kahwin dengan abang Haq?" tanya Sufyan, berterus-terang. Tiada belok-belok dah soalan dia itu. Nasib comel.

  "Hurm... sebab abah akak," jawab Umayma selamba. "Nak dengar cerita?"

  Apa lagi, bagaikan burung belatuklah mereka berdua. Bantal dipeluk erat.

  "Pak cik Zakaria, atau sekarang akak panggil ayah, berhutang dengan abah akak. Kau orang boleh anggap yang keluarga akak ni antara keluarga yang paling berada dalam kampung ni."

  "Perniagaan pak cik Zakaria tak banyak mendatangkan hasil. Dia pula ada dua orang anak lelaki yang perlu gunakan banyak duit untuk pelajaran. Jadi pak cik Zakaria terpaksa pinjam duit pada abah akak."

  "Tahun lepas, perniagaan pak cik Zakaria tetap merosot. Jadi, abah akak bagi syarat. Kahwinkan anak kedua pak cik Zakaria dengan akak untuk lunaskan hutang tu. Ini sebab abah akak dapat kerja, jauh. Dia risau nak tinggalkan akak seorang diri. Dia tak nak bawa akak sebab takut akak tak dapat sesuaikan diri. Lagipun kampung ni bermakna untuk kami."

  "Pak cik Zakaria pun terima sahajalah. Jadi, hujung tahun lepas kami berdua dikahwinkan. Begitulah ceritanya." Tamat bercerita, Umayma menumbuk bantalnya. Dia membantah perkahwinan itu, tetapi perlu akur. Mujurlah Qaulalhaq dan dirinya sehaluan. Tidak banyak pergaduhan melainkan jika melibatkan keselamatan dirinya.

  Surfina dan Sufyan mengangguk faham.

  "Akak nak tahu tak, saya... Tak suka papa saya. Dia suka kongkong saya. Lepas tu apa yang saya buat semuanya salah di mata dia," rungut Surfina. Siapa lagi papanya kalau bukan si Qaulalhaq tu. Perangai di masa silam dengan di masa hadapan sama sahaja!

  "Hah, begitu pula?" Umayma menjungkit kening.

  "Iya. Saya baru sahaja mahu berehat, dia sudah terjah bilik saya. Sudahlah masa tu saya lepas belajar. Boleh pula dia kata saya tak belajar. Geramlah saya!" Surfina mencebik.

  "Tapi kakak tetap banyak main telefon," sampuk Sufyan. Kepalanya terus diluku Surfina.

  "Jangan menyibuk. Tahulah kau tu anak kesayangan papa. Hmph!" Surfina mendengus. Dia berpeluk tubuh. "Jadi, kita berdua ada persamaan iaitu..."

  "Kita benci ayah kita sendiri." Serentak Umayma dan Surfina berkata. Mereka berdua tergelak.

  Sufyan hanya menggeleng. Apa-apa sahajalah. Dia memandang dinding bilik itu. Senyuman sinis terukir.

  "Snap!"

  "Tak!"

  Seekor cicak yang dilastik menggunakan getah akhirnya arwah. Kesian cicak itu, semalam selamatkan mereka berdua hari ini dilastik pula. Dasar Sufyan tak kenang budi.

  Mohon hempuk cicak itu. Dah mati pun bebel lagi.

  Tamat sahaja 'I hate papa' talk daripada Umayma dan Surfina, barulah mereka berdua tidur. Sufyan sudah lama berlayar ke alam mimpi.

  Malam itu berlalu dengan kesepian.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top