Bab 28
"LIMA belas... tahun." Umayma terduduk. Dia sebak. Air matanya mengalir. "Surfina... Sufyan..." Tangan dua beradik itu ditarik lalu mereka dipeluk erat.
"Maaf... maaf sebab kau orang jadi anak yatim tanpa mama..." Umayma teresak-esak. Masih terngiang-ngiang suara budak lelaki tadi dalam kepalanya.
"Aku harap, aku boleh jumpa mama. Walaupun syurga aku tiada dekat sini, aku tetap boleh masuk syurga kan, kakak?"
Suara itu bermain-main dalam mindanya. Umayma menyembam wajahnya pada anak-anaknya. "Haq..." panggilnya, sendiri. Sungguh, dia mahukan Qaulalhaq ketika itu.
"Shh, mama. It's okay. Tak apa... bukan salah mama." Surfina tersenyum nipis. Seolah-olah dia tahu apa yang difikirkan gadis itu.
"Kami okey. Biarlah, beberapa bulan dengan mama dan papa, tok ma dan tok pa. Itu pun dah bahagia. Lagi-lagi untuk budak Sufyan ni." Surfina menepuk belakang tubuh Umayma.
"Betul tu, mama. Sekarang ini, kita kena balik dulu. Nak berbincang, dekat halaman rumahlah. Duduk sini, Sufyan risau Sufyan nampak benda lain nanti." Sufyan menggaru kepala.
Umayma mengangguk. Dia berdiri, menarik tangan Surfina dan Sufyan. "Jom. Kita ada 42 minit lagi sebelum pukul 12. Kalau boleh akak-mama nak balik sebelum 11.55 malam."
Surfina dan Sufyan akur. Mereka berjalan menuju ke rumah dengan senyuman. Langsung tidak berbicara apa-apa. Sampai di halaman rumah, mereka bertiga terus duduk bersila.
"Haq sihat?" tanya Umayma dengan senyuman. Nadanya sedikit sebak.
"Papa sihat. Kalau boleh hari-hari nak jadi singa, jadi mama jangan risaulah." Sufyan menjawab dengan nada sinis. Pastinya buat Surfina.
Surfina membuat muka apabila berasa tersindir. Fikirannya terus teringatkan sesuatu. "Kau hutang aku Milo Nugget, eh? Kau kata sekejap je, tapi berbulan kita dekat sana. Jadi aku nak kau sponsor coklat aku selama enam bulan."
Sufyan ternganga. "Enam bulan? Kenapa pula? Kau pun sekurangnya dapat jumpa yang lain kan?" bentak Sufyan.
"Ah... tak ada, tak ada."
Umayma tergelak. "Ha, dah. Tak payah gaduh-gaduh. Kau orang pula, macam mana? Okey?"
Surfina dan Sufyan membisu. Mereka memandang sesama sendiri sebelum memeluk erat Umayma.
"Sihat, alhamdulillah. Tak malas, tak rajin. Tak jahat, tak baik. Biasa-biasa sahaja." Surfina menjawab untuk mereka berdua.
Umayma menjungkit kening. "Iyalah. Jaga diri. Pesan dekat Haq juga... Makan jangan lupa. Kesihatan jaga. Kalau rasa perlukan yang lain, tak apa. Aka... mama izinkan." Gadis itu tersenyum sedikit.
"Nah, papa tu macam ais batu. Beku. Tak layan pun perempuan. Mama jangan risau, kami okey je. Papa pun okey je." Sufyan pula menjawab. "Ini rahsia sebenarnya, tapi Sufyan pernah nampak papa menangis lepas tatap sebuah album tebal."
"Album?" Surfina mengerutkan dahi. "Yang mana?"
"Kau tak tahu. Album tu ada logo dekat depan. Cantik. Logo kucing," jelas Sufyan. "Kau tak payah fikir, kau tak tahu pun."
Surfina mencebik. Dia memandang Umayma. "Mama pula okey ke?" soalnya yang merujuk kepada perpisahan mereka beberapa minit akan datang dan juga reaksinya buat mereka yang berada di masa hadapan.
Umayma tersengih. "Mestilah. Apa pula tak okey? Drama air mata dah tamat... Kau orang ada..." 20 minit dihabiskan dengan sesi kekeluargaan antara mereka bertiga. Macam-macam topik keluar. Sekejap tergelak, sekejap air mata menitis.
Jam yang terpampang dalam bilik Sufyan menunjukkan pukul 11.52 malam. Umayma terus berdiri.
"Mama dah nak balik?" tanya Sufyan. Wajahnya berubah sedih.
"Tsk, kau ini!" Surfina menepuk belakang Sufyan, tidak mahu Sufyan membuatkan Umayma berasa bersalah.
"Maaflah, tapi nampaknya sampai sini sahaja pertemuan kita." Umayma tersenyum pahit. Sakit juga di hatinya. Dia dapat lihat anak perempuannya lagi di masa hadapan, namun anak lelakinya?
"Mama tak nak tengok papa?" tanya Surfina.
"Haq? Kenapa?" Umayma memandang ke dalam bilik Sufyan. "Dia mana ada dekat sini..."
"Memanglah, tapi bilik papa dekat je." Surfina dan Sufyan tersenyum licik. Mereka berdua berdiri lalu menarik tangan Umayma.
Hanya beberapa saat sahaja diperlukan untuk mereka tiba di sebelah tingkap sebuah bilik yang dilimpahi cahaya. Bunyi papan kekunci ditekan berkali-kali menjadi irama suasana itu.
"Tengoklah." Surfina dan Sufyan menolak Umayma ke hadapan tingkap. Mereka tidak risau kerana meja Qaulalhaq jauh sedikit dari tingkap. Lelaki itu juga pasti sibuk menyiapkan kerjanya.
"Huh, siap pun."
Umayma menekup mulutnya apabila mendengar suara itu. Garau sedikit berbanding Qaulalhaq yang bergelar remaja. Umayma memerhatikan gelagat lelaki itu yang mula bersandar pada kerusi lalu menanggalkan kaca matanya.
"Haq pakai kaca mata?"
"Papa pakai kalau papa hadap komputer je," jawab Sufyan. Mereka berdua mendekati Umayma lalu turut sama menjenguk ke dalam bilik.
Surfina dan Sufyan terpana apabila lelaki itu meraup wajahnya lalu dia menyembam wajah pada sebuah album tebal di hadapannya.
"Album?" Umayma bertanya perlahan.
"Itulah albumnya..."
Masing-masing terpaku melihat lelaki itu, menangis. Tidak kiralah Qaulalhaq yang remaja, atau kini sudah dewasa malah bergelar bapa dan duda, kedua mereka tetap sama. Sayang, tetapi menunjukkannya dengan perbuatan, bukan perkataan.
"Tengok tu. Papa sayangkan kau lah, kak. Mana mungkin dia bencikan kau." Sufyan tersenyum. Bahu kakaknya ditumbuk perlahan. "Kau je, marahkan papa hari-hari."
"Kau diam. Papa pun marahkan aku, eh. Aku memberontaklah sedikit." Suara Surfina tidak tegang seperti biasa. Suaranya ketika itu bergetar, bagaikan mahu menangis di situ juga.
"Tengok tu, mama. Papa tak pernah lupakan mama." Sufyan mengusik Umayma pula. Dia terkedu apabila wajah Umayma sudah dipenuhi air mata.
"Kau tak payah nak usik aku dengan mama. Kau dengar tu, papa sebut apa?" Surfina mencekik adiknya beberapa saat. "Dah lama aku nak buat ni pada kau."
Sufyan menjeling tajam.
"Mama nak balik..."
"Huh?" Surfina dan Sufyan memandang Umayma, kemudiannya mereka memandang jam di dalam bilik kerja Qaulalhaq pula.
"Lagi tiga minit sebelum pukul 12."
Umayma berjalan ke halaman rumah tanpa kata lain. Air mata dilap dengan tangan sahaja.
"Okaylah... Mana mesin masa tu?" Umayma mencari-cari alatnya yang berbentuk lampu suluh.
"Ini." Surfina mengangkat mesin masa pada tangannya. "Mamalah setkan masa..." Terus dihulur alat itu pada gadis di hadapannya.
Umayma terus mengambilnya lalu menekan apa yang perlu. Dia memejam matanya apabila dia sudah siap. "Jadi..."
"Sekejap! Tunggu sini sekejap." Sufyan mencelah lalu berlari pergi. Dia mendekati tingkap biliknya yang masih terbuka separuh. Tangannya mencapai sesuatu yang berada berdekatan dinding.
"Nah!"
Umayma memandang apa yang dihulur Sufyan. "Gambar?" Polaroid itu dibelek.
"Kalau ikutkan nak bagi album tapi album jauh sangat. Sufyan ambil jelah polaroid ni."
Gambar Sufyan semasa bayi. Gambar Surfina sebagai kanak-kanak kecil yang asyik dengan adiknya. Gambar Qaulalhaq yang tekun dengan kerjanya.
Gambar mereka bertiga sebagai keluarga semasa raya dan... Gambar yang diedit Surfina dan Sufyan. Gambar mereka berempat.
"Kau orang ni kan. Baru habis air mata akak tadi." Umayma duduk mencangkung. Wajahnya ditutup dengan tangan. Selepas itu, dia berdiri semula lalu menghulurkan sesuatu yang berada di dalam poketnya.
"Eh, ini kan..."
"Gambar kita masa keluar pergi pusat beli-belah hari itu," jawab Umayma. Yang tiba-tiba jadi model berkeluarga.
Kan pemilik butik itu serahkan setiap gambar kepada mereka berempat. Jadi, Umayma berilah gambar milik Surfina dan Sufyan kepada mereka berdua.
"Terima kasih, mama!" Surfina dan Sufyan memeluk gadis itu. "Jaga papa tau. Papa pun jaga mama. Pesan dekat semua orang, jaga diri. Jumpa di masa hadapan." Senyuman diukir.
Umayma mengangguk. "Kau orang pun jaga diri. Jangan nakal sangat. Sayang diri sendiri, sayang keluarga. Membesar elok-elok tau. Cakap dengan Haq, Umayma sayang Haq. Peluk dia untuk mama." Kepala dua beradik itu ditepuk sayang.
"Well, then. Selamat tinggal, mama. Assalamualaikum." Surfina dan Sufyan melepaskan pelukan lalu menghidupkan mesin masa dan dihala ke arah Umayma.
Cahaya kali ini tidak membuatkan mereka menutup mata, sebaliknya menangis teresak-esak tanpa kata.
"Waalaikumussalam, anak-anak mama..." Kata-kata terakhir Umayma sebelum dia kembali ke masa silam. Dia juga menangis, sedih dengan perpisahan itu.
Dua minit membatu di itu, Surfina dan Sufyan terus berjalan masuk ke dalam rumah. Tak kisahlah Qaulalhaq nampak atau tidak, yang penting mereka dapat menangis sekarang ini.
"Klak..."
"Hm? Kau orang pergi mana?" tanya seorang lelaki yang duduk di hadapan televisyen dengan sebuah mug di tangan. Merehatkan diri mungkin.
"Papa..." Surfina dan Sufyan tidak menjawab sebaliknya terus menyerbu lelaki itu. Mereka memeluk lelaki itu lalu menangis.
Lelaki itu diam sahaja, tidak berkata apa. Mug diletak di atas meja. Tangannya menepuk belakang tubuh dua orang anaknya, menenangkan mereka.
"Mama sayang papa. Umayma... Umayma sayang Haq." Surfina berbisik sedikit, cukup untuk mereka bertiga dengar.
"Papa tahu..." Lelaki itu tersenyum. Dia menyandarkan kepalanya. "Haq tahu..." Matanya juga berkaca.
Malam itu, ketiga mereka menangis tanpa kata. Rumah yang sepi tanpa suara, hanya tangisan yang menjadi bicara.
Penat menangis, ketiga mereka terlelap di sofa itu. Masing-masing tersenyum dalam tidur. Mimpi indah, mungkin tentang seseorang itu?
"Saya sayang semua."
Suara itu lalu di tepi telinga. Suara milik...
Ah, dia sudah tiada. Ianya hanya memori buat mereka bertiga. Memori bahagia...
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top