Bab 27
"KAKAK gaduh dengan papa lagi ke?" Kedengaran suara seorang budak lelaki bertanya dengan nada berhati-hati sebaik sahaja pintu bilik itu dihempas kuat.
"Papa tu. Semua akak buat, semua salah depan dia. Kau lainlah. Anak kesayangan, bukan?" Kali ini suara seorang remaja perempuan pula menjadi menarik perhatian. Nadanya tegang, menahan marah.
Suasana di dalam bilik itu sepi sahaja. Si remaja perempuan asyik dengan telefonnya manakala si budak lelaki tekun menggilap glob salji di tangannya.
"Kau buat apa?" Akhirnya si remaja perempuan membuka bicara. Mungkin dia sudah bertenang daripada amarah yang membara sebentar tadi.
"Bola salji mama." Glob itu diangkat. Senyuman nipis terukir.
"Aku harap, aku boleh jumpa mama. Walaupun syurga aku tiada dekat sini, aku tetap boleh masuk syurga kan, kakak?" Suara itu seolah-olah selamba sahaja, seiring dengan perbuatan si budak lelaki yang meletakkan glob saljinya ke atas meja.
Sementara si remaja perempuan itu pula terdiam seribu bahasa. "Mestilah..." pujuknya. Sayu sahaja balasan gadis itu buat adiknya.
"BAM!"
Terhincut bahu mereka berdua mendengar bunyi lantang itu. Sudahlah bilik sepi sahaja, cengkerik dan katak tak ada pula nak buat konsert malam itu. Tiba-tiba ada bunyi kuat, masakan tidak terkejut?
Si budak lelaki lantas berlari ke arah tingkap biliknya lalu dibuka separuh. Matanya meliar memandang sekeliling.
"Sufyan..."
Budak lelaki itu terkaku seketika apabila bayangan putih yang agak jauh darinya menyapa pandangan.
"Kenapa ini?" Si kakak mendekati si adik. Dia turut sama memandang ke luar tingkap, namun tiada apa yang menangkap pandangannya.
Remaja perempuan itu mula mengerutkan dahi apabila adik lelakinya bergegas ke luar bilik, melangkah ke pintu utama dan mencapai kunci rumah. Sudahlah tidak berkata apa-apa.
Dia pun apa lagi, tudung yang tersidai di dalam bilik adiknya diambil lalu disarung ke kepala. Sebaik sahaja dia berada di belakang adiknya, bahu budak lelaki itu dipegang lalu tubuhnya dipusingkan menghadapnya.
"Woi, adik! Kau dah gila ke?"
"Kita kena ikut bayangan putih itu," tegas si adik. Renungan aneh kakaknya dibiarkan sahaja.
"Kau kena sampuk dengan bunian ke? Mana tahu yang kau nampak itu, bunian. Sudah pukul sebelas malam ini, dik." Remaja perempuan itu rasa seperti mahu mengetuk kepala adiknya. Gila apa mahu kejar entah apa-apa malam-malam buta?
"Please, kak. Aku rasa dia seperti mahu tunjukkan sesuatu. Firasat aku rasa tak sedap hati kalau tak ikut."
"Kau tahu bukan firasat aku kebanyakannya benar?" Wajah sepuluh sen ditayang pada kakaknya. Namun sebagai balasan, sebuah penampar hinggap pada wajah. Mujurlah tidak kuat.
"Menyampah aku tengok muka kau. Tak payah buat muka macam itulah! Rasa nak layangkan kaki sahaja." Si kakak mencebik tanda menyampah.
"Bolehlah, kak. Mesti benda ini menarik. Lagipun kita pergi sekejaap sahaja. Ayah pun dalam bilik kerja dia." Budak lelaki itu diam seketika. 'Sekejap' yang dileretkan tidak mampu membuatkan kakaknya akur. "Kalau kakak ikut, Sufyan belanja Milo Nugget."
"Okey, jom."
'Dasar. Nasib baik kau kakak aku.' Budak lelaki itu mengutuk dalam hati apabila kunci di tangannya sudah berada dalam genggaman si kakak. Malah, pintunya sudah terbuka!
"Cepatlah!" Kaki mereka membawa tubuh mereka ke belakang rumah. Sunyi. Lampu pula tiada. Memang bergelaplah mereka. Mujurlah sinaran bulan purnama pada malam itu sedikit sebanyak membantu mereka.
"Mana bayangan itu?"
Adiknya diam seketika. Mencari kelibat itu, mungkin. Tidak lama kemudian, dia mencuit kakaknya. Tangan dihala ke hadapan. "Itu! Cepat, kakak!"
Lama mereka berkejaran sehinggalah mereka tiba di sebelah kawasan perkuburan. Tercungap-cungap mereka berdua, mengambil nafas yang hilang demi mencari makhluk yang juga menghilang.
"Aku dah agak dah. Mesti bunian ini. Tiba-tiba hilang. Kau nak ikut sangat, kan?" Remaja perempuan itu memarahi si adiknya. Persekitaran mereka sungguh menyeramkan.
Mereka berdua sahaja makhluk Tuhan bergelar manusia yang berada di situ. Ada juga sebuah kereta lebih kurang sepuluh tapak di hadapan mereka.
Agak mengerikan, ya. Kereta siapalah yang diparkirkan di tepi kawasan perkuburan. Haish!
"Kakak pun mahu ikut sangat tadi." Tidak mahu menanggung kesalahan, budak lelaki itu menjawab dengan jawapan seolah-olah si kakak yang perlu bertanggungjawab.
"Kau jangan sampai aku baling batu-bata ini pada kau." Sebiji bata diangkat lalu dia mengacah mahu dibaling pada budak lelaki itu. Tapi tak adalah kuat mana, kalau melayang bata itu nanti, memang tepat kena wajah adiknya.
"Auuu!" Lolongan anjing tiba-tiba memecah kesunyian malam. Wajah remaja perempuan itu memucat.
Memanglah dia tidak berapa takut, tapi kalau dah berdua-duaan di sebelah kawasan perkuburan pada malam bulan purnama, dengan situasi yang kau-baru-sahaja-kejar-makhluk-putih, rasanya dah boleh telefon encik polis tolong ambilkan kot?
"Dah, wey. Jom balik." Gadis itu menolak-nolak tubuh adiknya. Takut. Kedudukan anjing itu pun dia tidak tahu. Sudahlah lolongan itu semakin kuat. Bayang si anjing tidak pula kelihatan di mana-mana. Ah, bulu romanya meremang!
Budak lelaki itu mengangguk. Baru sahaja dia mahu melangkah, satu suara menyapa halwa telinga.
"Apa?"
Tidak sempat mahu menyambung kata, cahaya bersinar terang. Lebih terang berbanding sinaran purnama. Kedua mereka memejamkan mata, silau.
Suara tadi terngiang-ngiang dalam kepala. Apa? Apa yang dia katakan?
"Kembalilah..."
Kembalilah?
Selang beberapa saat, mereka lesap. Langsung tiada kesan apa-apa. Mereka seolah-olah tidak lagi wujud ketika itu. Entah ke mana, tiada siapa tahu.
✧✧☘✧✧
18 Mei 2019
Beberapa minit sebelum...
"Woah..." Ketiga mereka terpegun. Masing-masing memandang ke arah persekitaran. Ada rumah-rumah yang masih terbuka lampunya, ada yang sudah ditutup.
Yalah, jarum jam akan berada tepat di atas nombor sebelas lebih kurang 32 minit lagi.
"Jadi... Ini tahun berapa?" tanya Umayma, teruja. "Nampak biasa... Tapi luar biasa," komennya. Mata Umayma meliar memandang sekelilingnya. Tiada apa-apa yang menarik, mungkin kerana siang sudah lama melabuhkan tirainya.
"Tahun 2019. Lebih tepat 18 Mei 2019. Lebih kurang setengah jam sebelum kita 'diculik'," jawab Sufyan. Mesin masa di tangannya dihulur pada Umayma.
"Ha? Diculik? Siapa?" Umayma terpinga-pinga. "Ini rumah siapa pula?" soalnya lagi. Mereka bertiga muncul betul-betul di hadapan tingkap sebuah bilik yang masih terang-benderang.
"Rumah kita! Hah, inilah bilik Sufyan!" Sufyan menjawab, bangga. Sempat dia bercekak pinggang. Suaranya diperlahankan, tidak mahu seseorang yang berada di dalam bilik itu terkejut.
"Sekejap..." Surfina yang diam sedari tadi terus membulatkan mata. "Jangan cakap..."
"Ya! Kitalah penculik tu." Dengan yakinnya Sufyan membalas tanpa sempat Surfina menghabiskan ayatnya.
"Kau gila?" Surfina memegang bahu Sufyan lalu digoncang kuat. Melihatkan riak selamba adiknya, semakin kuat dia menggoncang tubuh itu. "Sah, kau dah gila!"
"Shhh!" Sufyan terus menutup mulut kakaknya. Risau tertangkap!
"Akak tak faham." Umayma pula menyampuk. "Kenapa Surfina cemas sangat ni?"
"Ergh, kalau mama nak tahu. Budak inilah punca kami kembali ke masa silam!" Surfina membuat muka. Tidak perlu dijelaskan banyak kali, dia sendiri sudah faham.
"Maksudnya?" Umayma duduk mencangkung. Penat berdiri lah itu. Baru berapa minit, alahai...
"Kami kata kami dikembalikan ke masa silam tanpa sebab. Entah siapa punya angkara pun kami tak tahu. Rupanya, budak ini punya kerja! Dia akan kembalikan 'kami' ke masa silam!" Surfina turut mencangkung.
Ranting kayu di hadapannya diambil lalu tanah diconteng, membuat lakaran kasar. Sempat Surfina mencucuk lengan Sufyan dengan ranting itu.
Umayma mengerutkan dahi, cuba memahami. "Sufyan... Nak tembak diri 'kau orang'? Jadi 'kau orang' kembali ke masa silam?"
"Yes!" Surfina dan Sufyan mengangguk.
"Kenapa Sufyan buat macam tu?" Umayma memandang anak keduanya, lama. Nakal betul dia itu. Tapi nakal yang ini, lain macam! Sampai ke masa silam dibuatnya!
"Umm... Manalah Sufyan tahu." Sufyan menjungkit bahu. Kalau nak tanya, tanya 'Sufyan pertama' yang buat 'benda ini'.
Umayma dan Surfina menepuk dahi. Memanglah budak seorang ini. Bagi kodok nanti, mahunya dia menari gelek. Tak pun pecut mengalahkan atlet pecut.
"Kamu ni, Sufyan..."
"Zzrap!"
Surfina dan Sufyan nyaris tergelak apabila Umayma tergelincir. Mahu bersila, tapi tersalah pula. Tangannya menarik sesuatu berdekatan dengannya. Okey, rasa berdosa pula gelakkan 'ibu' sendiri.
"Apa ni?" Umayma menarik sesuatu yang menutupi tubuhnya. "Telekung?"
Mata Sufyan bersinar-sinar. "Telekung kaulah, kak!" katanya kepada Surfina. Telekung di tangan Umayma diambil. "Jadi, telekung inilah yang Sufyan nampak hari itu. Mungkin orang di 'bawah' telekung ini ialah... mama!"
"Ni?" Umayma menghala jarinya pada diri sendiri. Siapa lagi yang mereka panggil mama kalau bukan dia? Melainkan jika Qaulalhaq kahwin lain. Err, abaikan yang itu. Jangan fikir, jangan fikir.
"Iya, mama, kak Umayma. Nanti mama berdiri jauh sikit lepas itu Sufyan jatuhkan apa-apa. Then, akak buatlah suara mendayu panggil nama Sufyan bila 'Sufyan' dah nampak mama," terang Sufyan.
"Kau kan, banyak betul keyakinan kau eh? Macam aku dengan mama nak setuju dengan rancangan kau je," bebel Surfina. Dia menjenguk ke dalam bilik itu. Kelihatan seorang budak lelaki yang asyik dengan glob saljinya.
"Ala, bolehlah..." Sufyan membuat muka sepuluh sen.
"Pang!"
Tamparan tidak berapa padu dihadiahkan pada wajah Sufyan. Umayma terkejut sedikit.
"Kau... hari itu dan hari ini sama sahaja. Mengarut! Siapalah engkau ikut ni? Papa serius memanjang. Mama hyper. Kau?" Surfina menggelengkan kepala. "Tak ada harapan..."
"Kurang ajar betul kau eh, kak." Sufyan membuat muka. "Ala, bolehlah eh..."
Surfina diam, lama. Dia memikirkan sesuatu, kemudiannya dia merenung anak mata adiknya.
"BAM!"
Terkejut mereka bertiga mendengar bunyi itu. Bunyi hempasan pintu. Surfina dan Sufyan berpandangan. Mereka tersenyum pahit.
"Kakak gaduh dengan papa lagi ke?"
Umayma tersentak. Dia memandang Sufyan, yang berada di hadapannya. Tertanya-tanya dia, apa yang terjadi antara anak sulungnya dengan suaminya sehinggakan Surfina menghempas pintu sebegitu rupa.
"Papa tu. Semua akak buat, semua salah depan dia. Kau lainlah. Anak kesayangan, bukan?"
Balasan itu membuatkan Umayma terkejut. Riak wajahnya berubah. Dia yang duduk bersila menghadap dinding terus duduk bersandar pada dinding.
"Kita dengar sahajalah drama ni," bisik Surfina. Dia menghela nafas. Drama sebabak yang berlaku beberapa bulan lepas dalam hidupnya. Perasaan geram tiba-tiba bangkit semula dalam jiwanya.
Sufyan tersedar kakaknya menggenggam tangan lantas menepuk Umayma yang berada di hadapannya. Sekarang ini, Umayma dan Surfina duduk bersandar pada dinding manakala Sufyan di hadapan mereka.
"Kau buat apa?"
"Bola salji mama." Ringkas sahaja suara itu membalas.
Surfina menarik nafas. Dia tahu, apa yang bakal dikatakan suara itu. Dia terus menarik tangan Umayma dan Sufyan. "Fine, kita hantar 'mereka'."
Sufyan terkejut, Umayma pula diam. Mereka mengangguk. Umayma terus menyarung telekung milik anak sulungnya.
"Aku harap, aku boleh jumpa mama. Walaupun syurga aku tiada dekat sini, aku tetap boleh masuk syurga kan, kakak?"
Umayma tersentak lagi. Kali ini, hatinya rasa lain. Entahlah, dia tidak dapat menjelaskan perasaan itu.
Surfina pula menundukkan mukanya. Dia berdiri, di tepi tingkap. Tetapi agak jauh. Dahulu hatinya seperti sedih, pilu. Kali ini ianya seperti dirobek.
"Mestilah..."
Sufyan tersenyum. Dia menarik nafas. Pandangannya menghala kepada Umayma yang sudah berjalan jauh. Tangannya diangkat, tanda bersedia.
"BAM!"
Bata yang berada di sisinya diambil lalu dijatuhkan ke atas tanah. Lebih tepat, dibaling kuat. Sufyan terus berlari, menyorok.
Tingkap dibuka separuh. Budak lelaki itu memandang sekeliling. Matanya menangkap kelibat putih yang agak jauh dari mereka.
"Sufyan..."
Satu suara sayup-sayup menyeru namanya. Siapa lagi kalau bukan Surfina?
"Kenapa ini?" Seorang remaja perempuan bergegas mendekati adiknya. Dia cuba menjenguk ke luar tingkap, mahu mengetahui apa yang berlaku.
Surfina dan Sufyan menggenggam penumbuk. Mereka berdua terus berlari ke belakang rumah, diekori Umayma.
"Sekarang mama bersembunyi dulu. Nanti baru lari pergi perkuburan. Jangan risau, kami lari dari tepi. Macam ninja." Surfina tersengih. Sempat berangan.
Umayma mengangguk. Mereka bertiga mengambil tempat.
"Mana bayangan itu?"
"Swoosh!" Umayma terus memunculkan diri lalu berlari selaju mungkin. Lariannya yang tidak mengeluarkan bunyi, menambah rasa ingin tahu budak lelaki yang mencarinya.
"Itu! Cepat, kakak!"
Umayma berlari mengekori kelibat Sufyan dan Surfina yang berada di sisi jalan. Tidak lama kemudian, mereka tiba di sebelah kawasan perkuburan.
"Biar betul budak-budak ni?" bisik Umayma, sendiri. Tak apalah, dia teruja! Bukan selalu boleh lawat perkuburan malam-malam buta. Ini kalau Qaulalhaq tahu, memang sebulanlah dia terperap dalam rumah selain dari ke sekolah.
"Mama, sini!" Bisikan Sufyan menarik perhatian Umayma. Mereka bertiga terus bersembunyi di sebalik sebuah kereta yang kebetulan berada di situ. Doa-doakan tiada makhluk putih lainlah...
"Aku dah agak dah. Mesti bunian ini. Tiba-tiba hilang. Kau nak ikut sangat, kan?" Remaja perempuan itu mula marah. Sia-sia sahaja mengejar makhluk putih itu.
"Kau dah set semuanya?" tanya Sufyan kepada Surfina yang berada di belakangnya. Umayma turut menoleh mahu melihat.
"Dah. Tunggu anjing tu berbunyi je." Surfina menjawab. Dia memandang sekeliling, mencari anjing itu. Dahulu dia tidak nampak pun kelibat anjing itu, mungkin kali ini dia dapat lihat anjing itu?
"Kakak pun mahu ikut sangat tadi."
"Kau jangan sampai aku baling batu-bata ni pada kau." Remaja itu mencapai bata di sisinya.
Umayma tergelak kecil. Macam-macamlah perangai anak-anaknya.
"Okay. Sedia..." Sufyan mengangkat tangan. Ingat hendak buat kejutan ke?
"Auuu!"
"Gerak."
"Dah, wey. Jom balik."
Umayma, Surfina dan Sufyan mendekati dua budak itu. Surfina menghala mesin masa di tangannya kepada mereka berdua. Cahaya memancar terang sehinggakan Surfina dan Sufyan sendiri menutup mata.
Umayma memandang tanpa berkata apa-apa. Dia menapak ke hadapan, mendekati dua budak itu dengan jarak kira-kira dua langkah lalu membisikkan sesuatu.
"Kembalilah ke lima belas tahun yang lalu..." Lembut sahaja suaranya ketika itu.
"Apa?"
"Swoosh!"
Cahaya mula memudar. Surfina dan Sufyan membuka mata. Masing-masing berpandangan, hanya mereka bertiga yang ada di situ.
Entah mengapa, mata dua beradik itu berkaca. Umayma tersenyum nipis. "Lima belas tahun.. yang lalu..."
🕐🕒🕛🕧🕜
Bagi yang enggak faham, silalah mencari Internet untuk load gambar ini atau buka komen.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top