Bab 20
"LEPAS tu, cikgu?" soal Advik dengan pen dan buku di tangan. Eh ada kelas dalam talian juga ke pada tahun 2004?
"Tulang yang paling mudah patah adalah tulang di bahu kita atau dipanggil tulang selangka. Lengan juga tulang yang paling cepat patah." Umayma menjelaskan sambil matanya kekal ke arah mesin masanya.
Orang lain tengah risaukan Umayma, si penjahat sempat lagi tuntut ilmu dekat Umayma. Rasanya Umayma boleh buka tuisyen percuma. Tetapi, Haq tak akan bagi punya (takut isteri dia kena ngorat).
"Aaah..." Dayyan memgeluh saat masuk ke dalam bilik itu. Dia menyandarkan tubuhnya di kerusi komputer yang berada di penjuru. "Penatnya..."
Dayyan mengalihkan wajahnya ke arah Umayma dan 'anak muridnya'. "Kau buat apa saja dengan budak ini?"
"Aku tuntut ilmu dengan cikgu Umaymalah." Advik menjawab dengan polos. Budak baik lagaknya si Advik ini. Cuma otak jadi biul sebab salah masuk jalan.
Dayyan mengerutkan dahinya. "Cikgu Umayma? Sejak bila pula budak ini buka tuisyen dekat sini. Ah, sudah! Sudah! Aku nak kau belikan aku sesuatu."
Advik menghela nafas kasar melihat Dayyan mencari wang di dalam dompetnya. "Habis tu? Kau keluar tadi pergi mana?"
"Aku bangun lambatlah. Macam kau tak tahu. Ah, ini dia." Dayyan mengeluarkan sekeping duit not seringgit. Dia menghulurkannya ke arah Advik. "Belikan apa-apa dekat pekan."
"Seringgit sahaja?" Nada suara Advik seperti mengendur. Dalam hati, berharap dia dibelanja. Huhuhu... lalat pun tak nak masuk dompet dia.
Dayyan menayangkan riak menyampah. "Ingat aku termakan ke dengan suara kau?"
"Suara tidak boleh makan." Mendatar sahaja Umayma menyampuk. Tangannya sibuk menyiapkan apa yang perlu pada mesin masanya.
Dayyan menjeling ke arah Umayma. "Ah, budak! Kau diamlah."
"Manusia ada hak asasi untuk menyuarakan pendapat mereka. Kita hidup di dalam negara yang tidak menghalang..." Bicara Umayma terhenti dengan celahan Dayyan.
"Ah, kau beli sahajalah apa-apa, Vik! Nanti makin kuat sentap aku dengan budak ini." Dayyan memasukkan duit seringgit ke dalam poket Advik secara paksa.
Advik menunjukkan riak wajah reda. Kesian Advik, selalu ditindas. "Oh, ya. Mana bos, ya?"
"Bawah kaki aku." Sarkistik sahaja Dayyan membalas. Abang ini... orang tanya elok-elok, bukan? Namun kalau bos yang dengar, silap hari bulan Dayyan yang duduk di bawah telapak kaki si bos.
"Bos pergi ambil barang untuk mesin masa budak itulah. Takkan nak masuk pejabat perdana menteri dengan sarung singlet sahaja." Dayyan melabuhkan punggungnya di atas kerusi komputer itu kembali.
"Aku pergi dulu, en?" Advik meminta diri dengan penuh sopan. Boleh jadi hero Hollywood ini.
"Tiada siapa kisah." Dayyan mengujarkan kata penuh sinis. Dia sudah membuka telefonnya untuk memberi 'ular'nya makan.
"Erm." Riak wajah Advik berubah meluat. Kurang ajar punya kawan sejahanam. Tunggu, aku beli baja sahaja untuk kau makan.
Pergi sahaja si Advik itu, Dayyan menanyakan soalan kepada Umayma sekaligus memecahkan kesunyian. "Ada benda yang tak siap lagi ke?"
"Hampir siap. Nombor pad masih belum ketat. Papan kekunci versi kecil pun akan ditambah." Umayma menjawab tanpa bertapis.
Yalah, orang kena pukau, bukan? Kalau tanya apa warna seluar dalam pun dia jawab dengan jujur.
"Tu jajan. Makanlah." Dayyan memberikan kebenaran untuk Umayma makan. Nanti kalau meninggal budak itu sebab tak makan, susahlah.
"Baiklah." Umayma meletakkan pemutar skru di tepi. Plastik berisi banyak makanan ringan dicapai. Makin bodohlah Umayma nampaknya. Asyik makan jajan sahaja.
Dayyan menyeringai ke arah Umayma yang makan tanpa basuh tangan itu. "Heh, budak mentah." Dia menyambung dengan permainan ularnya.
✧✧☘✧✧
"Kruuuk..." Bunyi perut berkeroncong umpama lagu Kuala Lumpur Keroncong menyapa perdengaran telinga terdekat.
"Hehehe..." Sufyan menyengih. Perutnya diusap-usap. "Perut saya yang berbunyi."
"Kau ini perut tong gas ke? Tadi dekat rumah kau dah makan tiga keping roti sudah. Nanti gemuk, padan muka. " Surfina menyindir adiknya sehabis mungkin.
Qaulalhaq meredakan pergaduhan itu. "Dah, dah. Tak apa. Aku beli makanan dekat pekan. Nasib aku bawa duit. Aku pergi beli, nanti kita sambung balik."
Baru sahaja Qaulalhaq ingin berura-ura hendak pergi, bajunya ditarik oleh seseorang. Dia sudah meneguk air liur. Dia kenal pergerakkan ini. Habislah...
Seorang budak perempuan bertudung membuat muka sepuluh sen. Kalau depan muka Qaulalhaq, itu muka minta kaki. "Abang... abang nak keluar, en?"
Ramai budak-budak menghampiri Qaulalhaq. Sampai terangkat tangan Qaulalhaq kerana dikerumuni oleh ramai budak.
"Abang Haq, nak ikut!"
"Hari itu... Wani ada nampak choki-choki. Wani nak beli tapi tak ada duit. Abang tolong belikan, boleh?"
"Ahmad pula nak bola!"
Uish, ini sampai minta bola.. sudah tahap melampau ini. Qaulahaq menyentuh sekeping not sepuluh ringgit di dalam poketnya. Haih... budak-budak ini ingat dia orang kayakah?
Qaulalhaq menundukkan badannya supaya sama paras tinggi dengan semua kanak-kanak itu. "Sorry. Abang tak bawa banyak duitla..."
"Tipu!"
Urat-urat mula muncul di dahi Qaulalhaq. Malah, si Surfina dan Sufyan terperanjat melihat senyuman palsu Qaulalhaq. Alamak, raksasa hendak meletup!
Qaulalhaq masih lagi bersabar. "Betullah..."
Seorang budak lelaki bernama An Qi menyeluk ke poket hoodie Qaulalhaq. Duit bernilai sepuluh ringgit diambil secara spontan. "Yay, duit!"
Makin merah muka Qaulalhaq menahan marah. Sufyan dan Surfina saling berpandangan sebelum Sufyan mengundur beberapa langkah ke belakang. Tidak sanggup dia tengok bapanya mengamuk.
Surfina menarik tangan Sufyan yang cuba melarikan diri. Sehingga hampir terjatuh Sufyan ke hadapan! Mujur Sufyan sempat mengimbangkan badannya.
Sufyan menayangkan muka cemberut. Dasar derhaka punya kakak.
Surfina mendekati budak-budak itu. "Kau orang, mari main dengan akak. Jom." Tangan Tahani ditarik lembut namun Tahani meronta tidak mahu.
Tahani menunjukkan ke arah Qaulalhaq. "Tahani nak ikut abang Haq."
"Kau orang..." Seorang wanita tua keluar daripada rumah buruk itu. "Sudah, jangan dikacaunya abang Haq. Mari... nenek nak kongsikan kamu satu cerita."
"Cerita? Wah, nak! Nak!" Chandos segera menghampiri nenek tersebut. Begitu juga dengan yang lain. Mungkin nenek itu pengganti atuk dalam siaran 'Pada Zaman Dahulu'.
Si An Qi juga telah memulangkan kembali duit kepada Qaulalhaq.
Qaulalhaq menghela nafas kasar memandang semua kanak-kanak itu memasuki rumah nenek tersebut. Haih... menyusahkan dialah budak-budak ini!
"Aku pergi dulu." Sepatah kata dilemparkan oleh Qaulalhaq lalu dia pergi meninggalkan lorong itu.
Melihat bayang-bayang Qaulalhaq tidak lagi kelihatan di tanah, Surfina menyiku lengan adiknya. "Wey, Sufyan. Kau rasa... kenapa dia orang nakkan mesin masa mama?"
"Hrm..." Sufyan mengusap dagunya. "Mesin masa boleh balik ke masa lalu dengan masa depan, bukan?"
Surfina mengangguk.
"Rasanya dia mungkin nak betulkan masa lalu atau lihat ke masa depan. Macam dalam movie ituuu..." ujar Sufyan.
"Balik ke masa lalu?" Surfina turut menyentuh dagunya. Seperti adik, seperti kakaknya juga! "Kena kawal... ah! Rasanya aku pernah baca maklumat fasal itu."
Sufyan menurunkan tangan dari dagunya. Dia berpaling laju ke arah Surfina. "Maklumat? Maklumat fasal apa?"
"Maklumat... ya!" Surfina memetik jarinya. "Yuri Pyschic Device!"
Sebiji bola berguling ke arah jalan raya. Bola tersebut berhenti bergerak di tengah jalan raya sebelum kempis dilanggar kereta berwarna hitam.
Mata dua beradik itu terbuntang melihat bola yang sudah kehilangan angin itu. Seriuslah? Main langgar sahaja? Kereta itu juga sudah berlalu pergi dari pandangan mata.
"Alamak..." An Qi berlari laju ke arah bolanya di jalan raya. Rupa pun tak macam bola sudah. Bolanya yang kempis diangkat. "Bola aku..."
Itulah, adik. Kurma sentiasa wujud. Yang pergi ambil duit Qaulalhaq buat apa?
Jasad Surfina dan Sufyan mendekati An Qi. Sufyan menenangkan An Qi yang sudah menangis. Manakala mata Surfina masih kekal memandang kereta yang kian menjauh.
Surfina mengetap gigi. Oh, memori! Mana dia pernah jumpa kereta tersebut?
Sementara itu, Advik yang memandu berdecit perlahan melihat budak-budak pada cermin sisi keretanya. Bertemu lagi dia dengan dua budak itu! Nasib dia sudah tukar nombor plat keretanya.
"Beli air sahajalah." Advik menggumam sendiri. Sampai sahaja di pekan, dia menutup pintu setelah meletakkan keretanya di sebelah gerai ikan.
Secara kebetulan, Qaulalhaq berdiri di sebelah Advik dengan tujuan mahu membeli air. Yalah, tiada kerja kalau hendak bermandi-manda dalam tong air milo itu. Beristigfar trauma penjual nanti.
"Air milo ais satu, kak." Advik dan Qaulalhaq memesan serentak.
Dua lelaki itu saling berpandangan. Advik semakin resah melihat mata Qaulalhaq yang membulat. Macam sedang mengesan mukanya.
Advik mengalihkan pandangannya. "Akak, boleh tolong cepat sedikit tak?"
"Haih... kamu ini. Sabarlah. Tangan mak cik ada dua. Bukan ada lapan macam labah-labah itu. Lainlah kamu tolong mak cik dengan anak mak cik dekat kedai ini." Penjual itu mula membebel seraya tangannya menuang air ke dalam cawan plastik.
Terus terdiam tidak berkutik Advik dibuatnya! Itulah dia, kalau penjualnya perempuan. Jangan ditanya. Nanti habis disembur bebelan darinya.
"Kau..." Qaulalhaq menjengil ke arah Advik. "Kau yang culik isteri aku, kan? Aku kenal muka kau..."
"Nah, ini air dia, nak."
Advik melarikan diri tanpa mengambil air tersebut. Qaulalhaq yang melihat Advik yang bergerak ke keretanya segera mengejarnya. Qaulalhaq berteriak. "Hoi, tunggu!"
Penjual itu tercengang buat seketika. Dia merenung dua plastik berisi air milo di tangannya. Lah... dekat tangan dia ini siapa mahu bayar?
Advik kalut menghidupkam enjin. Boleh pula cucuk kunci rumah dalam lubang! Panik habis! Enjin dihidupkan. Serta-merta Advik menekan pedal minyak dan mengundur keretanya ke belakang.
"Woah!" Qaulalhaq berundur ke belakang. Hampir sahaja dilanggarnya!
"Jangan lari! Pulangkan isteri aku!" Qaulalhaq mengejar lelaki itu. Memang kaki Qaulalhaq sangat luar biasa! Kereta itu hanya jarak satu meter semasa acara kejar-mengejar itu.
Ini kalau Usain Bolt lihat kelajuan Qaulalhaq, mahu rasa rendah diri nak sertai pertandingan lumba lari.
Advik mengintai melalui cermin sisi keretanya. Gilalah budak lelaki itu! Bersungguh-sungguh mengejarnya. Dia menekan lagi pedal minyak untuk menambahkan kelajuan keretanya.
"Aku kata..." Qaulalhaq memberi pandangan menyeramkan di tepi tingkap kereta Advik. "Pulangkan isteri aku."
"Argh!" Advik terperanjat dengan pandangan seram sejuk dari Qaulalhaq. Dia memusingkan stereng secara drastik ke arah Qaulalhaq. Mujur Qaullahaq sempat berguling ke tepi.
"Am'mā... Uṅkaḷ makaṉ oru rāṭcataṉāl turattappaṭukiṟāṉ. Tayavuceytu māmā pirārttaṉai māmāviṉ kuḻantai pātukāppāka uḷḷatu (Mama... anakmu dikejar raksasa. Harap mama doakan anak mama selamat)." Terkumat-kamit Advik berkata.
Mata Qaulalhaq terarah ke arah lorong ke gelandangan. Dia masuk ke dalam lorong itu dengan pantas.
"DUM!"
Tong sampah di sisi Sufyan terjatuh kerana dilanggar Qaulalhaq. Plastik berisi kerepek pisang ditolak ke dada Sufyan.
Qaulalhaq berbicara dengan keadaan lelah. "Tu... makanan. Aku... huh... nak kejar kereta yang culik Umayma itu!"
Tidak sempat Surfina dan Sufyan mahupun budak-budak itu mengujarkan kata, Qaulalhaq sudah keluar dari lorong itu untuk mengejar kereta Advik.
"Hey, abang Haq! Tunggu!" Surfina terkedu melihat Sufyan turut mengekori Qaulalhaq. Bukan naik kaki tetapi naik basikal.
Surfina mengurut pelipis matanya. "Haih... anak dengan bapa, sama sahaja." Eh, budak ini! Tidakkah dia sedar dia juga anak Qaulalhaq?
Tahani menarik baju Surfina. "Kenapa dengan abang Haq, kak Fina?"
"Aku... huh... nak kejar kereta yang culik Umayma itu!"
Surfina tersentak. "Kereta?"
Syukur ke hadrat illahi. Eh apa fasal macam awalan ucapan pengetua ini? Sebuah teksi meluncur di jalan raya hadapan lorong itu.
Surfina berlari menuju ke arah jalan raya sambil melambai-lambai ke arah teksi itu. "Teksi! Teksi! Ke sini!"
Tahani, Chandos dan empat orang budak yang lain turut mengikuti langkah Surfina. Teksi itu berhenti betul-betul di seberang jalan, di sebelah mereka.
Pemandu teksi itu menurunkan cerminnya. "Ya, cik nak pergi mana?"
Surfina tidak menjawab sebaliknya masuk ke dalam perut kereta. Dia duduk di tempat penumpang hadapan. Eh, budak-budak itu juga duduk di belakang kereta penumpang!
Surfina menoleh ke belakang. "Eh, kenapa kau orang ikut?"
Pemandu teksi itu sudah menutup sebelah telinganya. Aduh, budak ini. Nak tanya itu boleh, tetapi suara itu jangan kalah cik Puntianak sangat.
"Kan kita nak ikut rancangan abang Yan. Lagipun dah minta izin dengan nenek Che Som. Kita orang pun bawa alat itu juga." Saad menutur, polos.
Surfina mengigit bibir bawahnya. Betul juga, bukan? Boleh guna rancangan Sufyan itu sekarang! Surfina memusingkan tubuhnya ke hadapan.
"Encik, cepat! Encik ke hadapan dan encik kejar budak naik basikal dan seorang lelaki sedang berlari! Cepat sebelum terlambat!" arah Surfina.
"Oh, baik!" Pemandu teksi itu mula menggerakkan keretanya. Dalam buah fikirannya juga pelik. Ini rombongan sekolahkah? Sampai ada enam orang budak dekat belakang.
Surfina menggenggam penumbuknya. Tunggulah... dia akan selamatkan Umayma atau dikenali sebagai. Mamanya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top