Bab 18
"MAAF, lambat." Kerusi ditarik ke belakang sebelum diduduki Sufyan. Sufyan merapatkan dirinya dengan meja. Fuuuh, ikan tiga rasa! Memang sedap sehingga menjilat jari!
"Tak apa." Encik Zakaria mengangguk, memahami. Lagipun dia dengar suara Sufyan mengaji tadi, mesti lambat sebab membaca Al-Quran tadi.
Makan malam itu berjalan seperti biasa. Surfina makan dengan senyap, itu memang sifat Surfina. Kalau makan memang tidak akan bercakap. Kalau bercakap, terus hilang nikmat makanan itu.
Puan Marisa pula sibuk menyuap Qasyid nasi berserta ayam. Ish, budak ini. Makan itu suaplah sendiri. Haih... tidak mungkin dengan budak tiga tahun mahu cemburu... apalah kau orang ini.
Suapan ke mulut Qasyid terhenti saat Qaulalhaq bersuara. "Apa yang dia nak dengan Umayma?"
"Qaulalhaq, tidak elok bercakap masa makan." Tegas Encik Zakaria berkata. Dia tahu perangai anaknya bagaimana. Tengoklah beberapa saat nanti, mesti mengamuk macam King Kong.
"Takkan kita nak biarkan Umayma kena culik macam itu sahaja. Baik kita serahkan apa yang penculik itu mahukan." Qaulalhaq sudah memukul meja, menunjukkan protes. Ingat comelkah?
"Jangan risau, sayang. Umayma akan selamat. Lagipun kita sudah laporkan pada polis, bukan?" Puan Marisa cuba meredakan amarah anaknya.
Tangan Puan Marisa masih lagi menyuap nasi kepada Qasyid. Hati-hati, kak. Takut termasuk ke dalam hidung pula. Naya Qasyid tersedak nanti.
"Ibu dengan ayah macam langsung tak kisah dengan Umayma." Qaulalhaq berasa sakit hati melihat ibu bapanya seperti mahu tidak mahu dengan isu isterinya.
"Kami risau, Qaulalhaq. Apa yang kita boleh buat? Dekat mana Umayma pun kita tak tahu." Encik Zakaria menidakkan tuduhan Qaulalhaq.
Sufyan mencelah di sebalik ketegangan ini. "Rasanya... 'barang' yang penculik itu nak... ada pada penculik dan kak Umayma sendiri."
"Apa!" Terhinjut bahu Surfina mendengar jeritan Haq. Nasib Sufyan duduk di antaranya dan Qaulalhaq, tidaklah cair tahi telinga dengar Qaulalhaq menguatkan suaranya.
"Err..." Air liur yang diteguk Sufyan terasa kelat. "Mesin masa. Hari itu kak Umayma perangai pelik semacam. Jadi, Sufyan ambil mesin masa itu. Dan macam semalam..."
Qaulalhaq menjengil ke arah Sufyan. Dia sudah terbangun dari kerusi. "Kenapa tak beritahu aku awal-awal!"
Melihat anaknya seperti hilang kawalan, Encik Zakaria segera menegur. "Duduk, Qaulalhaq. Jangan keruhkan air yang sedia keruh. Biar polis yang selesaikan."
Sufyan takut-takut meneruskan katanya. "Rasanya... penculik itu mahukan mesin masa kak Umayma."
"Rasanya kalau bagitahu bapa kak Umayma, agak-agaknya bapa kak Umayma nak selamatkan kak Umayma ke?" Surfina membuat andaian sendiri.
Puan Marisa menggeleng, perlahan. "Ibu kenal tuan Luqman... maksud ibu, papa Umayma. Dia selalu pandang rendah pada ciptaan Umayma."
Qaulalhaq yang sedikit bertenang, melabuhkan kembali punggungnya. "Betul kata ibu aku. Kalau papa Umayma pun tak percaya dengan mesin masanya, kau ingat dia akan percaya ada penculik sanggup culik anak daranya... semata-mata untuk mesin masa?"
Surfina terdiam, tidak berkutik. Dia menyambung mengaul nasinya yang hampir habis dan menyuakan ke dalam mulut. Makan sahajalah, Raju.
Kalau bersuara, nanti kena bidas pula. Huhuhu... kasihanilah hidupku.
"Sudah, makan. Nanti kita nak solat Isyak pula." Encik Zakaria meredakan keadaan. Kalau berbual tentang hal ini, sampai ke Subuh tidak akan habis. Silap-silap, ada encik Ponti berborak sama.
Mereka kembali menyuap nasi dan lauk. Jikalau ada Umayma, pasti riuh sedikit meja makan itu. Dalam kepala masing-masing, tercoret satu pertanyaan yang sama.
Macam mana dengan Umayma?
✧✧☘✧✧
Berbunyi gerakan dakwat pensel di buku latihan Surfina. Tetapi, jika didengar banyak kali, memang sedap bunyinya. Lagi-lagi bunyi kapur menulis di papan hitam.
Surfina leka membuat latihan. Buku latihan di atas ribanya dipegang kemas menggunakan sebelah tangan, tidak mahu buku itu terjatuh. Lagipun dia suka kerja sekolah, boleh cerdaskan otak.
"Kau buat kerja sekolah? Esok kan cuti." Sufyan yang duduk di sebelah jendela bertanya. Rajin pula kakaknya seorang ini walaupun tidak dinafikan minat Surfina dengan pelajaran.
"Ulangkaji. Bukan macam kau. Tahu main sahaja." Surfina sempat mengutuk Sufyan. Tangannya masih lagi kekal menulis.
Sufyan menarik muka menyampah. "Eleh, aku otak bijaklah. Nak dekat exam aku ulangkajilah."
Surfina memutarkan bola matanya, malas mahu melayan perangai terlebih yakin adiknya. Dia sebenarnya membuat ulangkaji untuk hilangkan kerisauannya terhadap Umayma, nanti dia akan resah dalam setiap tindakan.
Walaupun dia sebenarnya masih lagi resah.
"Kau rasa... mama akan selamat ke?" Sufyan menyoal, perlahan. Tangannya ditongkatkan ke dagu sambil merenung langit malam.
Surfina berhenti menulis seketika sebelum kembali menggerakkan penselnya. "Insya-Allah, Allah akan jaga mama. Kita tak boleh jadi takut sangat, tak boleh jadi terlampau berani."
"Kalau tidak, kita sendiri akan menyesal." Surfina berbisik perlahan, namun mampu didengari Sufyan.
"Oh..." Sufyan tidak tahu ingin membalas apa, hanya memalingkan wajahnya ke permandangan luar. Hatinya terkedu serta tenang melihat rama-rama menghinggap pada hujung jarinya.
"Tok! Tok! Tok!"
Bunyi pintu diketuk itu mengejutkan sang rama-rama. Serta-merta rama-rama itu mengepakkan sayapnya untuk pergi dari situ. Dia beradik itu saling berpandangan, pasti menyuruh antara satu sama lain untuk buka pintu.
"Apa pandang-pandang aku? Kau pergilah buka pintu. Rasanya itu ibu kot." Surfina yang bengang dipandang begitu menyuruh adiknya membuka pintu.
"Ehem!" Sufyan membuat muka comel. Matanya dikelip-kelipkan beberapa kali. "Lihatlah... lihatlah mata aku yang comel ini, kakak. Tidak mungkin akak tidak mahu bukakan pintu un..."
Surfina menayangkan muka masam setelah membaling bantal tepat ke muka adiknya. "Gelilah, bengong. Buka sahajalah pintu.
"Yalah." Sufyan mengeluh perlahan. Asyik-asyik dia sahaja buka pintu. Rasanya boleh daftarkan diri sebagai penjaga pintu di hotel terkemuka.
Pintu bilik ditarik ke belakang. Sufyan tergamam melihat orang di hadapannya. "Abang... Haq?"
Surfina terbuntang matanya. Eh, Qaulalhaqkah? Betul ke adik dia ini? Ke kena pakai spek mata? Surfina menjenguk-jenguk, untuk memastikan benar itu Qaulalhaq. Sudah seperti zirafah pula.
"Boleh aku duduk lepak?" Qaulalhaq bertanya, perlahan. Manalah tahu dia garang sangat sampai budak-budak itu takut untuk memberinya masuk.
"Ma... masuklah." Sufyan menarik pintu seluas-luasnya, membenarkan Qaullahaq masuk. Kalau boleh, hendak buka pintu seluas pintu gol.
Qaulalhaq masuk dan melabuhkan duduk di sebelah Surfina, tetapi jarak sedikit. Ketiga-tiga mereka sudah kekok.
Macam telefon salah seorang daripada mereka berbunyi 'aiyai aiyai, pak pandir makan petai' punya kekoknya.
"Aku sebenarnya... nak minta maaf sebab marah-marah kau orang tak tentu fasal tadi. Rasa macam melampau pula." Qaulalhaq memohon maaf seraya memeluk lutut.
Surfina menayangkan muka menoya. Bukan setakat baran tidak boleh kawal, siap marah anak daranya di masa hadapan lagi.
Kalau Hulk dengan Qaulalhaq berlaga bahu, mesti Hulk yang tunduk mohon ampun dulu.
Sufyan cuba mengurangkan rasa bersalah Qaulalhaq. "Tak apa, saya faham. Mesti abang Haq risau sangat dengan kakak Umayma."
"Bukan saja aku risau... aku takut." Qaulalhaq menuturkan kata, perlahan. Kedudukannya juga sudah diubah. Dari duduk memeluk lutut kepada duduk lutut kiri ke atas dan lutut kanan di bawah.
Sufyan menjadi bingung. "Takut?"
"Takut kehilangan kakak Umayma ke?" Surfina cuba meneka.
Qaulalhaq menggerakkan ke kiri dan ke kanan, perlahan. "Bahkan lebih dari itu."
Sufyan dan Surfina berpandangan antara mereka berdua. Surfina membuat isyarat 'apa yang dia katakan itu, Raju'? Si Sufyan pula membalas isyarat yang bermaksud, 'manalah aku tahu, dey'.
"Kau orang dah tahu ke bagaimana aku dengan Umayma kahwin?" Qaulalhaq bertanya ke arah Sufyan dan Surfina.
Surfina mengetap bibir. "Err... sebenarnya kakak Umayma dah cerita dah."
Sufyan menyampuk. "Yang fasal kakak Umayma dengan abang Haq kahwin sebab ayah ada masalah hutang dengan papa Umayma. Jadi papa Umayma tebus hutang itu dengan kahwinkan abang Haq dengan kakak Umayma. Itu, kan?"
Qaulalhaq menyembunyikan gelak sinisnya. "Bahkan lebih daripada itu."
Surfina memandang Qaulalhaq, meminta jawapan. "Lebih... macam mana?"
"Ceritalah. Nak dengar! Nak dengar!" Sufyan sudah duduk bersila di hadapan Qaulalhaq. Seperti hendak mendengar cikgu bercerita pada waktu pembelajaran pula.
Qaulalhaq membelakangkan dirinya ke belakang, kekok sebenarnya. Lagi-lagi muka Sufyan juga membuatkan dia teringatkan Umayma.
"Ehem!" Qaulalhaq berdehem sebelum memulakan cerita. "Sebenarnya... memang betul. Aku dengan Umayma kahwin sebab nak tebus hutang ayah aku dengan papa Umayma. Tetapi, muka papa Umayma masa melamar..."
"Eh, papa Umayma? Ada ke orang melamar lelaki?" soal Sufyan sambil mengangkat tangan. Lagaknya macam mahu menjawab soalan di dalam kelas pula.
Tidak sempat Qaulalhaq ingin menjelaskan, Surfina menerangkan terlebih dahulu. "Ya, memang ada lelaki melamar lelaki, eh silap. Allah Huakbar... Perempuan melamar lelaki. Sedangkan Siti Khadijah pun melamar Nabi Muhammad S.A.W."
"Owh..." Sufyan hanya mengiyakan. Hampir terputus jugalah urat jantungnya mendengar ayat 'lelaki melamar lelaki' dari Surfina itu.
Qaulalhaq menyambung ceritanya. "Tetapi, muka papa Umayma melamar aku untuk Umayma... muka dia serius sangat. Macam nak ustaz mengaji pun ada."
"Mula-mula aku memang tak setujulah. Memberontak macam kau tengok dekat meja makan tadi. Namun..."
"Haq kata Haq tak nak! Tak naklah!"
"Muhammad Qaulalhaq." Tegang nada suara Encik Zakaria menyebut nama anaknya. Suaranya berubah kendur saat bercakap dengan Encik Luqman. "Kalau beginilah caranya, kami setuju."
Qaulalhaq terdiri dari duduknya. "Ayaaah!"
"Ayah, Haq masih lagi budak sekolah. Walaupun ada setengah kawan sekolah Haq dah kahwin, tak akan nak kenakan dekat Haq juga. Ke..." Haq terhenti kata secara tiba-tiba.
Bukan kerana melihat Umayma yang sibuk bermain dengan Qasyid itu, namun terlihat anak mata Encik Luqman memandang tajam ke arahnya, seolah mahu menikam dirinya.
"Ke..." Qaulalhaq kehilangan barannya, entah mengapa dia tewas dengan pandangan membunuh itu. Dia tidak boleh menengking lelaki itu kenapa memandangnya begitu.
Qaulalhaq terduduk di atas kerusi kayu tanpa sedar. Satu persetujuan terluncur dari bibirnya. "Haq... setuju."
"Aku tak tahu apa jadi kat aku masa itu, aku jadi takut. Rasa macam bapa si Umayma itu macam nak bunuh aku sahaja." Bergetar nada suara Qaulalhaq cuba jelaskan. "Waktu perkahwinan itu, aku rancang nak lari tumpang rumah kawan aku selama seminggu."
"Abang Haq lari?" Sufyan membulatkan matanya, tidak menyangka papanya pernah ingin mahu lari dari majlis perkahwinannya.
'Macam dalam drama pula,' desis Surfina dalam hati.
"Ya, hampir."
"Huh... huh..." Qaulalhaq dalam baju pengantin berwarna putih cuba melarikan diri. Lagi beberapa minit, pengantin lelaki akan dipanggil untuk diijab kabul.
Dia tahu ini salah, tetapi itu sahaja caranya.
Qaulalhaq membelok ke sisi masjid. Tubuhnya menggeletar melihat pembantu peribadi encik Luqman tiba-tiba muncul di hadapan mata. Pembantu peribadi itu merangkul belakang Qaulalhaq yang mahu mengelak.
"Lepaskan... lepaskan akulah, syaitan!" Qaulalhaq meronta-ronta, ingin melepaskan diri.
"Nak kahwin pun... mencarut lagi ke?" Telinga Qaulalhaq berdesing mendengar suara itu. Tidak salah lagi, suara ini...
"Aku kena ugut dengan bapa mertua sendiri."
"Aku nak keselamatan anak perempuan aku selamat. Satu-satunya darah daging aku sekarang ini." Encik Luqman menyalakan pemetik apinya. "Dia kerap diculik dan aku nak kau jaga dia memandangkan kau cucu tok silat, pasti kau kuat, bukan?"
Qaulalhaq tidak gerun memandang tajam mata bakal ayah mertuanya. "Aku takkan kahwin dengan anak kau! Kau cuma gunakan hutang untuk paksa aku kahwin! Lepaskan akulah!"
"Aku kata... jaga anak aku." Encik Luqman sengaja meletakkan pemetik hati di bawah dagu Qaulalhaq, sehingga Qaulalhaq merasa aroma panas di bawah wajahnya.
"Kalau kau tak jaga anak aku, aku akan bunuh kau!"
"Argh! Panas!"
Qaulalhaq memegang bawah dagunya yang masih ada parut terbakar. Nasib tidak terlalu teruk. "Masa mula-mula kahwin, aku agak benci pada Umayma. Sebab ianya mengingatkan pada apa yang bapa dia buat pada aku."
Surfina memandang penuh simpati bapanya. Air matanya juga bergenang tetapi dia cuba tahan. Patutlah bapanya ada parut di bawah dagunya!
"Betullah ibu aku kata 'benci lama-lama nanti jadi cinta'. Aku dah jatuh cinta dekat Umayma, cuma sangat jarang luahkan pada dia. Aku cuma nak lindungi dia..." Qaulalhaq mencengkam seluar lututnya. "Dan aku gagal."
Hati Sufyan menjadi sayu mendengar luahan Qaulahaq. Lagi-lagi melihat Qaulalhaq menunduk dan merintih sendirian.
Suara Qaulahaq berubah serak. Dia tidak menyangka luahan akan jadi begini. "Aku suami yang tak guna. Aku tak mampu lindungi isteri sendiri. Kalau aku ada anak nanti, pasti anak-anak aku bencikan aku."
Surfina sempat berbisik dalam hati. 'Nak kata tak benci, menipu. Kalau nak kata benci tu, tak adalah.'
Sufyan cuba memujuk. "Abang Haq, kalau abang Haq nak tahu... abang suami yang kuat."
"Saya ingatkan... abang Haq ini panas baran. Tapi saya lupa yang hakikatnya, abang Haq juga manusia macam kami," ujar Surfina. "Kalau abang Haq ada anak nanti, mesti anak abang Haq, akan bangga dengan abang Haq."
Qaulalhaq mengangkat wajahnya. Lelaki itu tidak menangis, sebaliknya tersenyum. "Terima kasih, aku tak tahu... tapi aku lega lepas luahkan pada kau orang."
Sufyan menepuk bahu Qaulalhaq berkali-kali. "Mestilah, kita orang ini pendengar yang baik! Kalau nak kita orang dengar masalah lagi, dail sahaja nombor satu dua tiga empat, tekan-tekan tak dapat."
Mereka bertiga tergelak kecil dengan lawak Sufyan.
Walaupun sejahat mana seseorang itu, pasti ada kebaikkan pada seseorang tersebut. Sebab mereka juga manusia. Semua manusia rasakan emosi.
Gembira.
Sedih.
Marah.
Kecewa.
Emosional
Dan sebagainya. Kerana kita semua manusia, bukannya robot.
Sufyan memulas tombol pintu dan menutup pintu sebaik sahaja Qaulalhaq keluar dari biliknya. Sufyan tersentak apabila teringat sesuatu.
"Abang... abang, tengok ini!"
Tahani menekan butang khas pada pemegang tali skipping itu. Mengejutkan, tali itu mengeluarkan cahaya.
Sufyan melopong. Belum sempat dia ingin menyentuh tali bercahaya itu, Tahani sudah melarang. "Jangan sentuh, abang Yan. Tali ini ada renjatan elektrik."
"Eh?" Surfina mengerutkan dahi. Seriuslah ada renjatan elektrik?
"Ya, tengok ini. Wuhuu!" Chandon bergerak laju dengan kasut rodanya. Bukan bergerak laju disebabkan pergerakannya, tetapi disebabkan ada roket kecil di belakangnya.
"Wah, hebatnya! Abang Yan nak naik, boleh?" Sufyan mengejar Chandon berseronok dengan 'kasut roda'nya dari belakang. Kalau bertembung dua manusia ini pasti sakit teramat.
"Akak yang buatkan semua ini ke? Kenapa kakak tambahkan benda macam ini dalam dalam permainan dia orang?" Surfina bertanya teruja kepada Umayma. Tipulah dia tidak seronok melihat semua permainan ini boleh bertukar seperti senjata.
Sufyan menghampiri Umayma bersama Chandon. "Ha'ahlah, kak. Bestnya! Bolehlah akak buat dekat saya sekali!"
Umayma tertawa kecil. "Hahahaha, sengaja akak buatkan. Si Chandon selalu kena kejar anjing masa beli sesuatu di pekan. Selipar dia pula asyik tercabut masa kena kejar.
Umayma menunduk, menunjukkan ke arah kasut yang dipegang Chandon. "Jadi akak buatlah kasut roda untuk dia. Kasut ini pun... boleh bertukar jadi kasut biasa tau."
Umayma menekan salah satu butang pada kasut Chandon. Roda-roda di bawah tapak kasut menjadi kempis dan kasut roda itu menjadi kasut biasa.
Sufyan menyorokkan senyumannya. Nampaknya, dia sudah ada idea!
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top