Bab 17
"ABANG, Haq dah bangun!" Puan Marisa melafazkan rasa syukurnya. Air mata yang tumpah diseka laju. Tangan anak lelakinya yang berada di sisi katil dicapai lalu digenggam erat.
"Hah, Haq dah bangun? Syukur, alhamdulillah!" Encik Zakaria yang baru sahaja mahu pergi ke tandas terus menerjah bilik anak lelakinya.
Jelas, Qaulalhaq terbaring dengan riak terpinga-pinga.
"Eh, ibu. Kenapa menangis ni? Ada jadi apa-apa ke?" Qaulalhaq mendudukkan diri. Dia menarik tangan Puan Marisa supaya wanita itu duduk di sisi katil. Tidaklah penat kaki ibunya kerana bersimpuh di atas lantai.
"Kamu ada rasa sakit atau pening tak, Haq? Okay? Kalau sakit, cakap. Ayah bawakan pergi klinik," kata Encik Zakaria dalam nada risau. Dia mendekati isteri dan anaknya. Senyuman nipis diukir.
"Lah... Haq okay. Kenapa risau sangat ni?" Qaulalhaq menyimpul senyuman kecil. Dia memandang sekeliling, mencari kelibat seseorang.
"Mana Umayma?" tanyanya laju. "Dari tadi tak nampak dia tu. Tahulah tak sayang Haq ni, tapi takkanlah tak mahu tengok Haq."
Puan Marisa dan Encik Zakaria berpandangan. Ha, sudah. Mahu jawab apa?
"Kak Umayma kena culik. Abang Haq tak ingat?" Muncul pula seorang budak di muka pintu. Wajahnya macam risau, tapi macam nak marah pun ada.
Budak kecil itu bercekak pinggang. "Nak kata abang Haq terhempuk batu, tak ada pula. Ni mesti kesan ubat tidur tu, kan?"
"Ubat tidur? Culik? Apa kau meng..." Qaulalhaq terdiam. Satu-persatu memori yang kabur beberapa minit lepas mula memenuhi mindanya. Dia terus menumbuk bantalnya. "Umayma... Diculik?"
Alia mengangguk. "Iya."
Qaulalhaq diam sahaja. Dia memandang cadar katilnya. Iyalah, mahu kata apa? Takkan mahu meroyan macam orang gila? Bukannya bawa faedah pun. Sudahnya lebih baik dia berdiam diri dan berfikir. Tidaklah membuang tenaga.
"Ayah dah report polis ke?" soal Qaulalhaq. Dia memandang Encik Zakaria dengan wajah berharap.
Encik Zakaria hanya menggeleng. "Belum cukup 24 jam lagi. Lagipun kita tak tahu kalau penculik Umayma tu ada pasang apa-apa ke. Buatnya dia tahu kita laporkan pada polis, lepas tu dia cederakan Umayma ke. Tak ke susah?"
Qaulalhaq merengus. "Penculik tu tak kata apa-apa?" tanyanya lagi. "Telefon Umayma? Dah bagitahu papa Umayma ke?"
Puan Marisa pula menggeleng kepala. "Telefon Umayma dekat sebelah kamu, Haq. Penculik tu tak ada kata apa-apa pun. Soalan kedua kamu, ya, kami ada beritahu papa Umayma... mengamuk juga ayah mertua kamu tu." Keluhan dilepaskan.
Mustahillah Encik Luqman akan berdiam diri sahaja apabila mendapat tahu anak tunggalnya, merangkap satu-satunya keluarga yang dia ada, yang juga anak perempuannya yang sudah dikahwinkan dengan amanah, telah diculik!
Pasti lelaki itu sedang menuju ke rumah mereka. Tunggu sahaja beberapa minit lagi, pasti dia muncul!
"Berapa jam Haq pengsan?"
Alia berdecit. "Banyak tanya betullah abang ni. Ha, abang Haq bukannya pengsan. Tapi tidur! Adalah dalam empat jam. Oh, tangan tu elok-elok. Luka sikit." Sempat Alia memberi tahu.
"Lamanya empat jam!" Qaulalhaq membulatkan mata. Kemudian, dia tersedar akan satu perkara. "Budak-budak tu macam mana? Dah sedar?"
"Abang Sufyan dah sedar. Dia pengsan, tak kena ubat tidur. Kak Surfina pula masih tidur. Dos ubat tidur tu mungkin tinggi untuk remaja 14 tahun," teka Alia.
Qaulalhaq mengusutkan kepala. Mana pula isterinya pergi. Tak, tak. Ke mana pula isterinya dilarikan. "Ada petunjuk?"
Puan Marisa menepuk bahu Qaulalhaq. "Ibu tahu Haq risau. Tapi, Haq kena mandi, makan, solat dulu. Tentang Umayma tu, kita bincang selepas Haq siapkan semua tu dan bila ayah mertua kamu sampai."
"Tapi, ibu..."
"Tak ada tapi-tapi." Wanita itu bangun daripada duduknya. Dia mengheret Encik Zakaria dan Alia keluar dari bilik Qaulalhaq. Tinggallah lelaki itu sendirian, dengan fikirannya yang kusut.
"Tak guna!" Qaulalhaq mengetap gigi. Bantalnya ditumbuk berkali-kali. Seolah-olah bantal itulah penculik Umayma.
✧✧☘✧✧
"Hachum!"
Bos, Dayyan dan Advik berpandangan. Iyalah, tiga-tiga bersin serentak. Mestilah pelik.
"Entah-entah ada hantu bersin dekat sini." Advik membuat spekulasi yang tersangatlah tidak logik. Dia memeluk tubuhnya seolah-olah dia berada dalam ketakutan.
"Pak!"
"Kalau bodoh, biarlah seorang diri ya. Aku, bos dengan perempuan ni bijak. Bukan macam engkau tu. Kecil-kecil mak kau bagi susu, kau pergi minum arak. Macam inilah jadinya." Dayyan membuat muka menyampah. Dia sendiri tak tahu kenapalah lelaki itu yang menjadi rakan subahatnya.
"Lepas ni kau pergi kedai kau belikan dia susu Dutch Lady banyak-banyak. Bagi pandai sikit," sindir si bos yang juga sudah muak dengan kekurang-bijak-kan anak buahnya.
"Perli nampak." Advik menjeling kedua manusia itu. "Bos... Bos nak buat apa dengan budak ni? Dah macam robot aku tengok. Bosan pula. Tanya berpatah-patah, dia tak jawab sepatah pun! Sakit hati."
"Itu kau punya sakit. Bukannya aku. Dah, diamlah kau, Advik. Buat penat je aku cakap dengan kau ni. Kalau rasa-rasa dah pandai tu, barulah kau cakap dengan aku." Bos itu tergelak sinis. Dia memandang pula Umayma yang kaku di kerusi bertentangan dengannya.
"Bos, budak ni ada kerja apa?" tanya Dayyan.
"Tu nanti kita bincangkan. Sekarang ni, kau bagilah budak tu makan jajan ke apa. Biar kurang sikit IQ dia. Tak adalah melawan nanti." Si bos tersengih. Yuri Psychic Device. Alat yang menjadi titik permulaan untuk dia memutarkan masa.
"Kau nak jajan apa?" tanya Dayyan kepada Umayma. Manalah tahu gadis itu lebih sukakan jajan lain ke, kan?
"Makanan ringan tidak elok untuk kesihatan. Makan banyak, mati awal," jawab Umayma.
Terkelu lidah ketiga penjahat itu. Hah sudah. Sia-sia sahaja tanya. Sudahnya jawapan menusuk ke hati. Tidak apalah...
"Keluar dulu." Dayyan melangkah keluar dari bangunan lama dengan senyuman terpaksa. Sakit sampai ke hati agaknya.
Bos dan Advik menggeleng kepala. Bertabahlah.
Sementara itu, Qaulalhaq mendengar amarah Encik Luqman yang dikhaskan buatnya. Tidak mungkinlah dia mahu buat-buat tidak dengar. Salahnya juga.
"Ha, sekarang ini macam mana kita mahu cari anak aku? Sudahlah pembantu aku ambil cuti." Encik Luqman akhirnya menamatkan sesi amukannya yang panjang lebar.
Sempat juga Qaulalhaq menarik nafas lega. Mujurlah Encik Luqman tidak perasan. Kalau tidak, dapat lagi satu jam percuma.
"Hmm?" Encik Luqman meletakkan cawannya ke atas meja. "Jangan cakap kamu tak tahu."
Perlahan-lahan, Qaulalhaq menggeleng. "Penculik tu langsung tak kata apa-apa."
"Bam!"
Terkejut juga penduduk rumah itu apabila Encik Luqman menepuk meja. Kus semangat.
"Tak tahu?" Nada suara Encik Luqman meninggi. Dia memicit kepala. Mujurlah dia tiada penyakit seperti darah tinggi atau penyakit jantung. Kalau tidak sudah pasti dia menjadi arwah. Lagi-lagi dengan perangai anak perempuan tunggalnya yang berbagai-bagai ragam itu.
"Sudahlah. Ada menantu pun tak boleh pakai. Aku ni tak tahulah kenapa aku kahwinkan anak aku dengan kau. Ingatkan selamatlah dia, alih-alih lain pula yang jadi." Kedua tangannya dibawa ke hadapan dada dan digenggam. Lagaknya persis mahu membuat soal siasat pula.
"Mana budak berdua tu?" tanya Encik Luqman, sedikit kasar. Ayatnya merujuk kepada Surfina dan Sufyan.
"Sufyan ada di dalam bilik, temankan kakaknya yang masih tidur. Maksud saya, tertidur sebab ubat tidur tu," jawab Puan Marisa.
"Lama betul." Lelaki itu menjungkit kening. "Betul-betul tidur sebab ubat atau..." Ayatnya sengaja digantung. Faham-faham sendirilah, Encik Luqman tidak mempercayai dua beradik itu.
Puan Marisa hanya mengukir senyuman kecil. Mahu kata apa lagi. Silap sedikit mahunya dijerkah. Pelik juga dia, biar betul menantunya itu ceria semacam. Walhal bapanya mengalahkan singa jantan.
"Hmph! Kita sambung esok sahajalah. Aku cakap pun entah-entah kau orang tu faham. Sudahlah." Encik Luqman terus berdiri. Dia memandang jam tangan yang dililit pada tangannya. "Jumpa esok. Tepat pukul lapan pagi."
Qaulalhaq lantas bersalaman dengan ayah mertuanya. Puan Marisa hanya memandang sepi. Selepas sahaja Encik Luqman pergi, masing-memang melepaskan nafas lega.
Lain macam betul aura papa Umayma itu. Sangatlah kontra dengan anak perempuannya.
"Haq tengok budak-budak tu sekejap. Pukul lapan nanti Haq heret suruh makan malam." Qaulalhaq terus meminta diri. Dia berjalan menuju ke bilik dua beradik itu.
"Kenapalah kita tak belajar pasal hacking eh? Kalau tak mesti lagi senang nak selesaikan... eh, mana boleh."
Qaulalhaq mengerutkan dahi apabila mendengar suara itu. "Sufyan?" Pintu ditolak.
"Eh, abang Haq." Sufyan serta-merta menampak senyuman sucinya. "Kenapa?"
"Kau cakap apa tadi?"
"Tadi? Oh, belajar tu, eh? Tak ada apalah. Ha, abang Haq nak apa?" tanya Sufyan menukar topik. "Papa kak Umayma kata apa tadi?"
Riak wajah Qaulalhaq berubah. Mudah betul mahu alihkan perhatian lelaki itu kalau berkaitan isterinya. "Tak ada apa. Esok kau bangun awal tahu. Hah, rehat dulu. Pukul lapan nanti makan malam macam biasa."
Sufyan mengangguk. "Okay, jumpa nanti." Dah macam halau pun ada, tapi tak apalah. Qaulalhaq redha. Dia menapak keluar dari bilik dan melangkah masuk ke dalam biliknya.
Pintu dikunci dan dia terus menghempas tubuh ke atas tilam. Sekejap sahaja, dan dia sudah terlena. Penat mungkin.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top