Bab 15
"KAKAK?"
Umayma menyerabutkan tudung yang disarungnya. Rasa mahu marah orang sahaja tetapi tidak mahu marah pada sesiapa. Kalau ditengking dinding, nanti disangka gila pula.
Qasyid mendekati Umayma. "Kakak cari lampu suluh kakak ke?"
Umayma mengerutkan dahi. Lampu suluh? Bila masa dia ada lampu suluh. Yang dia ada, pemetik api sahajalah. Lama dia berdiam seperti lembu memerhatikan 'crush'nya, barulah dia tersedar sesuatu.
Oh, lampu suluh! Mesin masa!
Umayma berpaling laju memandang Qasyid dengan penuh berharap. "Ya! Qasyid ada nampak tak mesin... eh, lampu suluh akak tu?"
Qasyid menjelaskan dengan muka polosnya. "Semalam Qasyid ampak abang Cupyan ambil. Lepas tu, abang Cupyan pun langi cepat-cepat macam kena kejar dengan encik Poc." Qasyid melakonkan orang sedang berlari di akhir ayat.
Umayma tersengih mendengar perkataan terakhir itu. Encik Pocong pula terpalit nama? Mesti encik Pocong tengah menangis bawah tepi kain kafan mak dia sebab kena fitnah dengan budak kecil.
Namun, senyuman Umayma termati sendiri. Kenapa budak itu ambil mesin masanya? Sudahlah dia perlukan mesin masanya sekarang.
Tanpa disangka, satu ayat terpacul dari bibir Umayma. "Jagalah kau, Sufyan."
Qasyid meneguk air liur sedikit melihat riak kakak iparnya berubah menjadi ketakutan. Entah kenapa budak kecil itu rasa tidak selamat.
Qasyid menarik-narik perlahan baju Umayma. "Akak... kenapa ini?"
Umayma tersedar dari lamunannya segera membetulkan air mukanya kepada biasa. "Tak adalah. Qasyid nak makan? Biar akak masakkan."
Wajah Qasyid berubah ceria. "Nak! Nak! Qasyid nak makan aiskrim! Hari itu Qasyid ampak ayah bawa aiskrim balik rumah."
Umayma yang duduk di atas katil lantas berdiri. "Dah, jom kita makan aiskrim."
Umayma dan Qasyid berjalan turun ke bawah untuk ke dapur. Mestilah mahu makan aiskrim, mustahil mahu berjoli-joli di dapur. Tetapi, dalam hati Umayma, hanya Allah yang tahu apa yang dikatakannya.
Umayma berdetik di dalam hati. "Tak apa, aku tunggu budak-budak itu balik dan aku akan dapat mesin masa aku semula."
"Hachuum!"
Sufyan menurunkan tangan yang menutup mukanya. Hari ini dia asyik terbersin sahaja. Seronok betul kakaknya mengumpat dirinya hari ini. Dia menarik sisa hingus yang di dalam hidungnya.
"Kau okey tak? Demam ke?" Luqman di sebelah bertanya prihatin. Mahu tidaknya asyik terbersin macam orang selesema kawannya ini.
Sufyan menepis hidungnya. "Entahlah. Aku rasa kakak aku mengumpat aku kot." Kakinya masih berjalan menuju ke pintu pagar memandangkan sekarang waktu balik..
"Sufyan!" Laungan itu mendapat perhatian Sufyan dan Luqman. Kelihatan Surfina berpakaian seragam sekolah sedang menunggu adiknya di pintu pagar sekolah.
"Kau tak nak pergi ke?" soal Luqman. Mana tahu Sufyan hendak pergi ke kakaknya ke...
"Biarlah dia. Bukan kakak aku tak tunggu pun." Sufyan membalas selamba. Dasar adik derhaka.
Surfina berpeluk tubuh memandang Sufyan yang sengaja berjalan lambat-lambat. Memang minta jutsu pelempang dari dia sahaja.
Sudahlah Surfina sengaja balik awal supaya tidak terserempak dengan Qaulalhaq. Boleh pula adiknya jalan macam kura-kura.
Sampai di pintu pagar, terus Surfina meleter adiknya. "Kau ini. Kenapa lambat?"
"Bye, Sufyan!" Luqman meninggalkan dua beradik itu di pintu pagar sekolah. Yalah, kalau lambat mahu berhuhuhu kena tinggal dengan van sekolah.
"Kakak, kau mengumpat aku, en? Terbersin-bersin aku hari ini." Sufyan menyoal secara melulu. Tidak bagi salam atau apa, terus ditanya si kakak.
Surfina menarik muka menyampah. "Tak ada kerja aku nak mengumpat kau. Baik aku mengumpat artis Korea. Lagipun, kau bersin sebab selesema bukan sebab orang mengumpat. Itulah selalu baca..."
Ah, sudah! Sudah mulalah tanda-tanda tahi telinga akan mencair. Walaupun Surfina selalu bergaduh dengan Qaulalhaq, tidak dinafikan Surfina banyak mengikut gen Qaulalhaq.
Sufyan segera menukar topik. "Mana... papa?"
Surfina berhenti membebel. Dia menjawab dengan nada berbisik. "Aku tinggal dia. Tak apalah, papa bukan kisahkan aku pun. Jom balik."
Sufyan perasan perubahan nada suara Surfina. Dia mengekori Surfina yang sudah berjalan pulang ke rumah. "Tetapi, papa kisahkan kakak."
"Kisah? Semua akak buat. Semua nampak salah depan dia. Sampaikan akak rasa kau seorang sahaja anak dia dan aku ini anak angkat saja." Nada suara Surfina bergetar, mungkin menahan marah atau menahan sebak.
Sufyan terdiam seketika. Dia tahu kalau kakaknya tengah sedih. Panggilan akan bertukar.
'Aku' kebiasaannya.
'Kakak' apabila dia tengah sedih.
Dan 'Surfina' jika dia putus harapan.
"Tapi, takkan tak ada satu kebaikkan yang papa pernah buat?" Soalan Sufyan menghentikan langkah Surfina yang sibuk menyepak batu-batu kecil.
"Entahlah..." Surfina menyambung langkahnya.
"Semua orang ini tak ada yang sempurna, kak. Apatah lagi seorang papa." Sufyan cuba menenangkan kakaknya. "Papa pun ada silap sendiri. Sebab papa bukan robot."
"Gembira. Marah. Sedih. Kecewa." Sufyan mendongak ke langit sambil berjalan. Ada beberapa burung terbang dan berkicauan di langit biru.
"Semuanya dirasai oleh semua orang. Termasuklah papa." Sufyan membetulkan tali beg di bahunya yang sedikit terlondeh. "Apa yang kita boleh buat... tunjukkan kepada papa, yang kita ini sangat bermakna buat dia."
Surfina yang membelakangi Sufyan bertanya lirih. "Sampai bila?"
"Sampai akhir nafas kita."
Sufyan berhenti berjalan tatkala kaki kakaknya turut berhenti. "Kakak?" Sufyan berjalan mendahului kakaknya.
Tergamam Sufyan melihat kakaknya yang menunduk dengan air mata yang membasahi pipinya. Mozek tanah yang kering basah dengan titikan air mata Surfina.
Surfina berbisik, perlahan. "Akak ini... hiks... anak yang baik ke?"
Sufyan perlahan-lahan menjawab. "Ya, akak anak yang baik di hati papa."
Dari jauh, seorang lelaki memerhati mereka di sebalik pokok. Di sebelah pokok ada kereta Wira berwarna hitam di sebelahnya.
Suara bosnya menyapa di sebalik telefon. "Kau nampak budak-budak itu?"
Advik membalas. "Ya, saya nampak, bos. Kenapa bos tak nak saya ambil mesin masa dari budak Sufyan itu? Beriya-iya suruh Umayma ambil. Kalau ambil mesin masa dari budak itu, budak itu jadi Ultraman ke?"
Suara bos itu menjadi garang. "Apa benda kau merepek ini, syaitan? Tak mencabarlah kalau main ambil macam tu je. Lagipun... kita memang perlukan budak Umayma itu."
"Yalah." Advik beralah. Tidak menang dia pun kalau berdebat kata. "Sekarang, hendak buat apa, bos?"
"Aku nak kau panjat pokok lepas itu kau menari macam monyet. Biar crush kau nampak dan tertarik."
"Wah, menjadi ke?" Advik bertanya teruja. Mungkin bengap sedikit sebab terkena tandukan padu di kemaluannya oleh Umayma.
"Mestilah tak, bengong! Hish, pening aku dapat orang-orang macam kau ini." Kedengaran di sebalik talian berdehem seketika, mungkin tengah menahan amarah. "Sekarang apa yang kita boleh buat..."
"Kita tunggu."
Advik hanya sambung melihat Sufyan dan Surfina menjauh dari kedudukannya. Dua beradik itu pergi ke rumah... tanpa mengetahui apa yang menanti mereka.
...
Sesudu aiskrim coklat itu disuapkan ke dalam mulutnya. Qasyid tersenyum kegembiraan apabila aiskrim itu mencair dalam mulutnya. Perkena aiskrim waktu panas-panas begini, memang syok!
"Macam mana? Sedap?" Umayma menyoal sambil tangannya ligat menyidai kain batik pada tali penyidai.
"Erm!" Qasyid mengangguk dengan mata terpejam. Comel betul!
Umayma tersenyum, membalas ukiran senyuman di wajah Qasyid. Namun, wajah manis di muka Umayma mati saat melihat kelibat Surfina dan Sufyan jauh menuju ke rumah.
Lebihan kain yang hendak disidai dimasukkan kasar ke dalam bakul biru. Umayma berdiri di sebelah bakul sidaian itu, seakan menunggu sesuatu. Lebih tepat, menunggu dua beradik itu.
"Assalamualaikum! Kita orang dah balik." Surfina terlebih dahulu memberi salam ketika kakinya melangkah masuk ke halaman rumah.
Umayma yang berdiri di sebelah besi penyidai ditegur Surfina. "Eh? Akak Umayma? Akak Umayma sidai baju sambil tunggu kita orang balik, en?"
Sufyan mendekati Qasyid yang sibuk memakan aiskrim. "Wah, sedapnya! Kenapa Qasyid tak ajak abang? Huhuhu... mengidam aiskrim."
Qasyid berbicara, selamba. "Abang ergi sekolah. Qasyid makan aiskrimlah."
"Mana alat mesin masa akak?" Tegang sahaja nada suara Umayma semasa menyoal. Muka Umayma tidak beriak.
Sufyan tersentak. Tangannya secara automatik memegang belakang begnya. Malangnya, ianya seakan memberi isyarat kepada Umayma bahawa mesin masa itu ada dalam begnya.
Seperti dirasuk, Umayma meluru ke arah Sufyan dan menarik zip beg Sufyan. Sufyan apa lagi? Meronta-rontalah, tidak mungkin mahu menari raver pula.
"Eh? Apa kakak Umayma buat ini?" Sufyan berpusing ke belakang. Dia berundur beberapa kali, menjauhkan diri dari Umayma.
Surfina juga mengambil langkah ke belakang, berjaga-jaga. "Akak... akak okey? Mana ibu?"
"Aku nak mesin masa akulah!" Jeritan Umayma umpama Tarzan mengejutkan mereka semua. Qasyid yang duduk makan aiskrim pun hampir tersuap aiskrim ke dalam hidung.
Sufyan bertindak terburu-buru dengan cepat mengeluarkan mesin masa Umayma dari begnya. Begnya dicampakkan ke atas pangkin. Habis semua ilmu (buku) di dalam itu.
"Bagi, Sufyan." Umayma cuba meminta cara baik. Jarak Umayma dan Sufyan mencapai ukuran satu meter. Macam jaga SOP pula.
"Sambut, kakak!" Sufyan menghantar mesin masa itu melalui aras dada.
"Eh? Eh? Eh?" Surfina kalut menyambut balingan Sufyan. Adiknya dan sikap kalut memang tidak boleh dipisahkan. Nasib sempat sambut, kalau tidak... benjol kepalanya.
"Kenapa kau tiba-tiba bagi akuuu?" Surfina menjadi panik melihat Umayma meluru ke arahnya macam Hulk yang tengah marah. Segera dia mencampakkan ke arah Sufyan.
Umayma pergi ke arah Sufyan, Sufyan lempar pada Surfina. Surfina dapat sahaja, terus baling pada Sufyan tatkala Umayma mendekati. Eloklah dia orang main permainan tangkap-tangkap dan Umayma jadi monyetnya.
Sufyan merapatkan mesin masa itu ke dadanya. Tidak boleh jadi ini, kalau main tangkap-tangkap macam ini, sampai lima belas tahun yang akan datang pun tak akan habis.
Sufyan menaiki pangkin dengan pantas dan lalu di belakang Qasyid, memanjat anak tangga rumah. Umayma yang tadi dekat dengan Surfina beralih perhatian ke arah Sufyan yang sudah masuk ke dalam rumah.
"Sufyan! Tunggu akak!" Tangga sudah dinaiki Umayma. Umayma sudah masuk ke dalam rumah.
Surfina menepuk dahi. Dia memandang Qasyid. "Haih, aku tak fahamlah. Apa dah jadi dengan kak Umayma?"
"Surfina!"
Surfina berpaling ke arah kirinya. Matanya terbeliak luas melihat Qaulalhaq berlari menuju ke rumah. Habislah dia! Nak menyorok dekat mana ini? Ada The Flash datang nak marah dia.
"Astagfirullahalazim!" Surfina melompat ke pangkin dan menyorok di belakang Qasyid yang berusia 3 tahun. Eloklah. Memang Qaulalhaq tak nampak.
Qaulalhaq berlari sepantas yang boleh. Langkah terbuka dan terhenti di hadapan pangkin di mana Surfina berada.
"Surfina, aku suruh kau tunggu dekat pintu pagar, kan?" Qaulalhaq memegang lutut, mengambil nafas kerana berlari terlalu pantas. "Satu sekolah aku cari kau. Nanti kalau hilang, habis Umayma tambah marah dengan aku. Kenapa kau..."
Qasyid dan Surfina memandang antara satu sama lain sebelum beralih pada Qaulalhaq kembali. Dengar sahajalah Qaulalhaq ini membebel.
Agak-agak, bagaimana Umayma dengan Sufyan di dalam rumah?
🕛🕧🕐🕜🕑🕝🕒
#K15TYL-GUIDE
(Peta rumah Umayma yang dibuat Nooroo secara malas)
- Selepas jambatan itu akan ada jalan raya yang menembusi jalan kedai-kedai, rumah kedai dan kawasan perumahan yang lain.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top