Bab 14

"YA ALLAH! Umayma, kamu pergi mana? Ibu risau sangat!" Puan Marisa menarik tubuh itu ke dalam pelukannya. Wanita itu langsung tidak membazirkan walaupun satu saat untuk membasahkan bahu menantunya yang menghilang beberapa jam sebelum itu.

"Umayma tak pergi manalah, ibu. Umayma ada je." Tangannya mula menepuk lembut perlahan belakang tubuh ibu mertuanya. Senyuman diukir dan wajahnya disembam pada bahu wanita itu. "Umayma okay..."

"Jantung ibu ni rasa macam nak tercabut je bila dengar Umayma menghilang. Umayma pergi mana?" soal Puan Marisa. Pelukan dilepaskan dan bahu gadis itu dipegang, menghadapnya.

Umayma pula hanya diam sahaja tanpa jawapan. Senyumannya mati.

"Sudahlah tu, Marisa. Umayma tu mesti penat. Biarlah dia berehat dulu. Mandi, solat, isi perut. Takkanlah awak nak serang dia dengan bom nuklear awak tu? Kalau satu tak apa juga, ini lepas satu, datang lagi satu. Bila dia boleh berehat kalau macam tu?" sampuk Encik Zakaria. Dia memandang Surfina dan Sufyan.

Dua beradik itu terus membuat tabik tanda arahan diterima. Masing-masing mula berdiri di sisi Umayma dengan senyuman mesra. "Akak, silakan." Bagaikan butler terlatih, mereka berdua menunjuk jalan ke pintu bilik Umayma dan Qaulalhaq. Walhal bilik itu hanya beberapa langkah jauhnya.

Umayma pula ikutkan sahaja. Kakinya laju melangkah tanpa menoleh ke belakang, biarpun untuk menatap wajah lelaki itu. Pintu bilik ditolak, dan kedua beradik itu menunduk hormat. Mereka berdua kemudiannya menuju ke pintu bilik mereka dan Surfina terus masuk tanpa kata. Riaknya seperti masih marah dan kecewa.

Sufyan sempat memandang ke satu arah. Dia melepaskan keluhan sebelum masuk dan menutup pintu bilik. Atas arahan Surfina, Sufyan terus mengunci pintu bilik.

"Mula dah sesi merajuk akak," bisik Sufyan.

"Muhammad Qaulalhaq," seru Encik Zakaria.

"Ya, saya?" Qaulalhaq yang bagaikan tenggelam dalam alam imaginasi lantas tersedar. Dia juga secara spontan berdiri tegak dengan tangan di sisi.

"Masuk bilik abang kau tu. Kau tidur situ malam ni. Jangan kacau Umayma. Ayah tahu baran kau tu macam mana, kalau kau silap kata mahunya ayah hilang menantu ayah yang seorang tu. Kau nak tanya apa-apa, esok hari masih ada." Encik Zakaria memberi pesanan sebelum masuk ke dalam biliknya bersama Qasyid.

"Tapi, kalau Umayma berseorangan..."

"Surfina dan Sufyan ada. Sudahlah, ibu nak masak. Ingat pesan ayah." Wanita itu pula berjalan ke arah dapur, meninggalkan anak keduanya yang sedang keliru.

"Aku ke budak tu suami Umayma sekarang ni?" desis Qaulalhaq. Malas mahu menyerabutkan otak, dia terus merebahkan tubuhnya ke atas sofa dan melelapkan mata. Ha, eloklah itu, masing-masing lari.

Selepas solat Isyak, ketujuh-tujuh mereka menyibukkan diri sendiri. Encik Zakaria, Puan Marisa dan Qasyid sudah lena. Surfina pula mengurung dirinya dan Sufyan dengan relanya menemani hati kakaknya yang lara.

Ingatkan dah kembali ke masa silam, tak adalah Surfina perlu melalui hari-hari yang menyakitkan hatinya kerana Encik Papa! Rupanya ianya hanyalah angan-angan sahaja!

Umayma? Semestinya sedang berbaring di atas katil memandang siling yang kosong tanpa cicak. Takutlah itu sebab Sufyan jadi pemburu cicak tidak rasmi dalam rumah itu. Kalau tanya pasal Qaulalhaq si kepala batu itu pula...

"Umayma."

Mata gadis itu melirik memandang pintu bilik yang sudah diketuk berkali-kali. Siapa lagi kalau bukan Qaulalhaq? Sudah kata lelaki itu degil semacam. Entah perangai siapa dia ikut.

"Umayma, buka pintu ni." Ketukan itu semakin kuat. "Umayma, aku rasa kau ada benda yang kau perlu jelaskan pada aku."

Umayma diam. Dia memandang siling.

"Umayma..." Qaulalhaq sudah hampir berputus asa. Yalah, setengah jam dia mencongok macam mesin pengetuk pintu! Dia akhirnya melepaskan keluhan. "Fine. Aku bagi kau masa sampai esok pagi. Lepas tu aku perlukan penjelasan. Sekolah tu lain cerita, sekarang ni kau kepentingan aku."

Buat kali terakhir, Qaulalhaq mengetuk pintu bilik dan... "Selamat malam. Assalamualaikum." Dia terus meninggalkan ruangan hadapan bilik itu. Masuk bilik apa lagi kalau bukan menumbuk dinding. Rosak pun dia kisah apa, itu bilik abangnya.

Qaulalhaq terduduk menyandar pada pintu bilik. Matanya mula berkaca. "Susah sangat ke kau nak percayakan aku, buka hati kau dan bergantung pada aku? Siapa aku dalam hidup kau, Umayma Shaheera?"

✧✧☘✧✧

Pagi itu selepas bersarapan, Umayma dan Qasyid bermain tepuk amai-amai di pangkin kayu. Iya, gadis itu dilarang untuk bersekolah sehinggalah minggu seterusnya. Qaulalhaq betul-betul risaukan keadaannya dan dia dengan rela menjadi tukang pencatat nota pelajaran untuk Umayma.

"Umayma, ibu nak keluar sekejap. Pergi kedai beli tepung. Umayma jagakan Qasyid ya? Jangan pergi mana-mana tahu? Duduk je dekat sini. Kalau Haq tahu Umayma berjalan entah ke mana, mahunya dia mengamuk jadi naga." Puan Marisa tergelak kecil.

"Ala, Haq tu banyak songeh betullah. Bukannya jadi apa pun dengan Umayma." Gadis itu memuncung bibir tanda protes. Muncul pula tiga ekor itik berjalan terkedek-kedek di hadapan mereka.

"Quack! Quack!"

"Hah, Umayma ni sebiji macam mereka. Panjang sangat muncungnya," usik Puan Marisa. "Okaylah, ibu pergi dulu. Sekejap je, tak lama. Umayma jagakan Qasyid tau." Pipi Qasyid dicium lembut. "Nak pesan apa-apa tak?"

Umayma diam seketika. "ABC satu!"

Puan Marisa mengangguk. "Ha, iyalah." Wanita itu kemudiannya berjalan menuju ke arah sebuah motosikal. Selepas dia pergi, Umayma dan Qasyid berpandangan.

"Jom, masuk. Panas ni." Umayma memberikan senyuman.

Qasyid ikut sahaja. Namun apabila kedua mereka masuk ke dalam rumah, Qasyid dibirkan begitu sahaja untuk bermain permainannya. Umayma pula dengan lajunya menyelongkar biliknya. Riaknya jelas penuh dengan tekanan.

"Mana? Mana mesin masa tu?" Umayma mula mahu menjerit. Namun apabila teringat bahawa Qasyid berada di luar, dia terus menenangkan diri. "Okay, aku letak dekat mana hari tu?"

Umayma melakukan segala yang dia mampu untuk mengingati semula di mana dia meletakkan mesin masanya. Tetapi... "Aku tahu aku letak dalam laci ni. Langsung tiada sesiapa usik! Berkunci lagi, mana pula mesin masa tu pergi?"

Wajah Umayma memerah kerana marah. Sikit sahaja lagi dan dia akan meletup. Umayma duduk di birai katil dengan wajah serabut. Bantal-bantal di dalam bilik itu dicampak ke atas lantai. "Mana!"

"Kakak..."

Umayma terus menoleh ke tepi. Bahunya terhincut sedikit dek suara yang muncul tiba-tiba.

"Kakak cari apa?" tanya Qasyid.

"Oh, Qasyid. Kakak... err... kakak cari lampu suluh kakak. Ada nampak?" tanya Umayma. Apabila Qasyid menggeleng, Umayma melepaskan keluhan. "Hah, Qasyid ada main dengan laci tu?" Jarinya dituding ke arah laci yang menempatkan mesin masanya. Sepatutnyalah...

Qasyid menggeleng lagi. Umayma menumbuk katilnya. Dia terus merebahkan tubuhnya. Otaknya ligat berfikir. "Entah-entah..." Riak wajah gadis itu mula berubah. Matanya mengecil. "Budak-budak tu?"

✧✧☘✧✧

"Hachum!"

"Awak okay?" tanya Aisyah. Lelaki di hadapannya itu sibuk mengajarnya Matematik tetapi tiba-tiba sahaja bersin.

"Okay, tak ada apalah. Adalah tu yang sebut nama saya," jawab Sufyan. Dia terus teringatkan kakaknya, Surfina. "Apa lagilah yang dia kutuk aku tu..." bisiknya perlahan.

"Ya?" Aisyah memandang Sufyan. Apa yang Sufyan bebelkan pun dia tidak tahu.

"Oh, tak ada apa. Ha, sambung. Yang ini buat macam ni..."

✧✧☘✧✧

Kembali kepada Umayma...

Gadis itu berdiri tegak dan berlari masuk ke dalam bilik Surfina dan Sufyan. Satu persatu barangan dua beradik itu dia selongkar. Dari almari, rak buku, dalam laci, bawah katil dan lain-lain. Boleh dikatakan satu sudut pun Umayma tidak lupa untuk mencari.

Keputusannya, tiada.

"Mana..." Suara itu berubah gelisah.

Manakala seorang budak kecil yang disangka naif hanya memandang kakak iparnya yang seorang itu. Jarinya mencucuk pipi, seolah-olah sedang berfikir. Pengintip versi comel!

"Kakak?"

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top