EPISOD AKHIR

CINTA itu subjektif. Terzahir daripada pelbagai sudut. Bagi Jasmine, cintanya tak pernah terganti buat Zafri. Hanya saja secebis rasa cinta sudah diberikan kepada Jebat. Namun bagi Jebat, Jasmine Qasrina takkan terganti dalam hidupnya meskipun maut memisahkan mereka.

"Abang..."

"Ya cinta?"

"Jasmine penat..."

Jebat tersentak tatkala Jasmine melontakkan kepala di bahunya. Jebat mengenggam erat tangan Jasmine. Mereka sama-sama menikmati udara malam berhadapan dengan samudera. Lampu rumah api bersama rembulan dan kejora menerangi makan malam mereka.

"Kita balik?"

"Tak nak. Jasmine nak dengar bunyi ombak lagi..."

Jasmine mengeratkan lagi genggaman tangan mereka. Senyuman tak lekang di bibirnya tatkala Jebat merangkul tubuhnya dengan erat. Menghangatkan tubuh Jasmine yang kedinginan malam itu.

"Semalam kan... Jasmine mimpi abang Zafri. Abang tak jealous ke?"

Tak semena-mena, Jebat tertawa kecil dengan soalan polos Jasmine. Dia mengucup lembut kura tangan si isteri.

"Zafri bukan saingan abang. Dia tetap yang pertama dalam hidup Jasmine. Abang tak cemburu pun. Jadi, dia ada cakap apa-apa tak?"

"Ada. Dia pesan... abang kena jaga Jasmine, jaga anak dia."

"Abang akan jaga... amanah yang dia titipkan buat abang. Cinta dan Elman... anugerah terindah yang Allah persembahkan dalam hidup abang."

Sungguh, Jasmine sebak dengan bicara Jebat yang membuatkan Jasmine merasai kehadirannya dan Elman dihargai oleh si suami.

"Abang dulu selalu buat Jasmine annoying. Poyo betul kan bodyguard arwah papa ni. Acah nak tegas dengan Jasmine sampai Jasmine rasa rimas. Tapi, lama-lama..."

Jasmine gantungkan ayatnya. Senyumannya melebar saat ruang memori teringat akan pertemuan awalnya bersama Jebat. Ada saja pertengkaran kecil di antara mereka.

"Lama-lama?"

"Jasmine suka abang jadi bodyguard Jasmine. Abang selalu buat Jasmine rasa senang bila abang sudi layan Elman macam anak abang sendiri. Sampai sekarang, Jasmine terhutang budi dengan ketulusan abang yang sudi berikan kasih sayang walaupun Elman bukan anak kandung abang."

Seketika, Jebat berpaling memandang raut wajah Jasmine yang sudah memejamkan mata. Dia dapat merasai nafas Jasmine begitu berat. Seolah-olah sedang menanggung kesakitan. Apatah lagi pautan Jasmine di lengannya semakin erat.

"Abang pun mesti tak suka perangai Jasmine masa awal-awal kita jumpa. Betul tak?"

Tawa kecil terletus di bibir Jebat. Ruang memorinya juga membawanya kepada pertemuan awal bersama Jasmine.

"Walaupun masatu abang jadi bodyguard Jasmine sebab dendam tapi... pertama kali kita jumpa abang rasa dekat sangat dengan Jasmine. Abang tak tahu kenapa tapi perangai Jasmine buat abang jadi diri sendiri. Abang tak pernah menyakat orang lain tapi dengan Jasmine, abang jadi diri sendiri. Jasmine comel bila membebel. Jasmine cantik bila senyum."

Tak semena-mena, wajah Jasmine membahang dengan pujian Jebat. Angin malam tak dapat memberikan kedinginan lagi buat wanita berbaju biru sedondon dengan kemeja biru Jebat.

"Abang tak tahu macam mana boleh jatuh cinta dengan cinta. Tapi, abang kagum dengan kekuatan cinta berjuang untuk Elman. Sebab cinta jugalah abang belajar bahawa cinta itu lebih indah daripada dendam."

Jebat menarik nafas sedalamnya. Jauh di dasar hati, dia ingin mendengar ucapan cinta Jasmine buatnya. Tapi, Jebat sedar bahawa dia tak mampu bersaing dengan Zafri. Walau apa pun Zafri takkan terganti dalam hidup Jasmine.

"Terima kasih abang... untuk semua pengorbanan yang abang dah buat untuk Jasmine dengan Elman. Hanya Allah yang mampu balas budi abang. Terlalu banyak perjuangan yang abang dah buat demi kebahagiaan kita. Abang sanggup gadaikan nyawa abang demi kisah kita... abang sanggup terima hinaan dan cacian arwah papa sebab Jasmine."

Setitis air mata mengalir ke pipi Jasmine. Bibirnya menggeletar menahan esak tatkala ruang memori mengimbas setiap kekejaman Datuk Zali dan Ezhar kepada Jebat hanya untuk memisahkan mereka yang saling menyayangi.

"Cinta... kita lupakan apa yang dah jadi dulu ya? Sekarang kita kena nikmati kebahagiaan kita. Abang tak nak cinta sedih lagi kalau ingat pasal perpisahan dan penderitaan kita." Jebat mengesat lembut air mata yang mengalir ke pipi Jasmine. Tak mahu Jasmine bersedih mengingat kisah silam yang pernah menghancurkan mereka dahulu.

"Abang dah maafkan diorang?"

Jebat kelu. Tak tahu jawapan yang harus diucapkan kepada si isteri.

"Abang..." Jasmine mendongak. Mengusap wajah Jebat.

"Abang kena janji dengan Jasmine... belajar untuk memaafkan walaupun parutnya akan kekal di hati kita. Abang kena janji dengan Jasmine... dendam takkan wujud dalam hidup abang lagi. Ya?"

Tika Jasmine mula membangkitkan permintaannya, Jebat jadi nanar. Bukan mudah untuk dia memaafkan Reno yang telah menyebabkan kematian Encik Fazil. Dia tak dendam. Tapi, susah benar dia mahu memberikan kemaafan ke atas lelaki keji itu.

"Abang... ni permintaan Jasmine tau."

"Ya Jasmine... abang cuba ya."

Jasmine mengangguk lemah. Dia semakin lelah. Dia hanya mahu tidur saat ini. Tatkala tubuhnya hampir rebah, Jebat kembali merangkul tubuhnya sehingga kepala Jasmine kembali terlentok di bahu kekar Jebat.

"Jebat Khuwailid... indah betul nama abang. Sama macam sikap abang yang budiman. Jasmine beruntung diberikan kesempatan menjadi isteri abang..."

"Abang pun bersyukur bila Jasmine menjadi anugerah terindah dalam hidup abang. Abang cintakan Jasmine... dunia akhirat." Nada suara Jebat semakin bergetar tatkala dia merasakan suara Jasmine semakin lemah tak bermaya.

"Abang... Jasmine cintakan abang kerana Allah... Jasmine cintakan abang... Jasmine sayangkan abang... Jasmine minta maaf andai waktu Jasmine tak lama bersama dengan abang... tapi... Jasmine bahagia menjadi bidadari syurga abang..."

Tika itu, Jebat lantas memeluk erat tubuh Jasmine. Air matanya mengalir ke pipi tatkala luahan cinta Jasmine meresap ke relung hatinya. Tangan Jasmine yang semakin longlai digenggam erat. Jebat mengucup kepala Jasmine yang berbalut dengan selendang bertalu-talu.

"Jasmine cintakan abang..."

Tak henti-henti, Jasmine meluahkan rasa cintanya buat Jebat. Tangisannya pecah tatkala dia semakin lelah. Dia tak bersedia dengan perpisahan ini. Namun, siapa dia melawan takdir Allah? Dia hanyalah pinjaman buat Jebat.

"Cakap dengan Elman... ibu sayang sangat dengan dia. Abang kena jaga Elman sampai dia berjaya dalam hidup."

"Ya sayang... abang janji abang akan jaga Elman. Abang takkan sia-siakan hidup anak kita."

"Jasmine minta maaf... tak mampu bagi zuriat sebagai tanda cinta kita untuk abang..."

"Abang tak kisah, cinta. Abang cuma nak cinta dengan Elman dalam hidup abang. Kehadiran korang dah cukup membahagiakan abang..."

"Jangan menangis, abang... Jasmine ada je ni..."

Tubuh Jebat menggeletar tatkala rasa sebak kian menghentam sanubarinya. Kekuatan Jebat sirna sekali lagi. Nafas Jasmine yang begitu berat cukup meluluhkan jiwanya.

"Jasmine cintakan abang. Abang ingat tu... Jasmine selalu cintakan abang..."

Tika itu, Jebat kematian bicara tika Jasmine rebah dalam rangkulannya. Air matanya semakin deras mengalir ke pipi. Ombak yang membadai tepian laut tak lagi terasa nyaman. Tubuhnya menggeletar tatkala tiada lagi suara Jasmine yang meniti di telinganya.

"Abang... cintakan Jasmine Qasrina... jadi bidadari syurga abang ya sayang..."

🌹🌹🌹

LIMA TAHUN KEMUDIAN...

KACA mata hitamnya ditanggalkan tatkala seorang banduan berkepala botak dengan tubuh yang cengkung melabuhkan duduk setentang dengannya. Wajahnya dingin. Pandangannya bertaut dengan si banduan yang mengenakan pakaian berwarna merah putih. Nafas panjang ditarik sedalamnya.

"Buat apa jumpa aku?"

"Nak pastikan kau hidup lagi atau dah mampus jadi lauk banduan dalam tu."

Reno tertawa sinis mendengar sindiran Jebat. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat tatkala tatapan Jebat hanya kosong. Tiada lagikah dendam di hati anaknya ini?

"Kau sukalah kan tengok aku menderita dalam tu?"

"Derita?" Jebat tersenyum mengejek. Dia menjungkitkan kening kirinya melihat wajah Reno yang pucat.

"Tak sangka binatang macam kau tahu derita tu apa lepas apa yang kau dah buat dekat arwah ayah aku. Lepas konco-konco kau rogol kakak aku sampai dia bisu. Derita yang kau rasa kat dalam tu tak sekuat derita yang keluarga aku dah rasa!"

Jebat mendengus. Dia mahu melepaskan semua amarah kepada Reno. Benci benar dia menerima kenyataan bahawa Reno merupakan ayah kandungnya.

"Kenapa kau beria dengan keluarga palsu..."

"Diorang bukan keluarga palsu aku! Diorang keluarga aku! Lebih mulia daripada syaitan seperti kau! Apa yang kau hadap kat dalam tu namanya kifarah atas dosa kau menganiaya orang yang tak bersalah!"

Tak semena-mena, amarah Reno meluap-luap dengan bicara Jebat. Dia tercabar! Gagang telefon digenggam erat. Kalau tak difikirkan dia berada di bawah tahanan polis, sudah lama dia membelasah pemuda itu sehingga mati. Dia masih belum puas tatkala Jebat masih bernyawa!

"Aku tak nak lama. Aku cuma nak pastikan kau hidup aje. Nampaknya, kau memang menderita kat dalam tu. Kesian. Sabarlah. Tak lama lagi kau pun dah tempah batu nisan. Tapi, aku dah maafkan semua kesalahan yang kau dah buat lepas kau hancurkan keluarga aku. Baik buruknya, aku ni darah daging kau. Aku harap kau gunakan sisa waktu yang kau ada ni dengan bertaubat."

Tika itu, Reno kaku dengan bicara Jebat. Dia terkesima. Tubir matanya terasa hangat tatkala Jebat menerima kenyataan bahawa dia merupakan ayah kandung pemuda yang sudah bangun berura-ura keluar dari penjara. Reno menghantar langkah gagah Jebat dengan hati yang walang.

"Abah okey?"

Sebaik saja Jebat melangkah masuk ke dalam kenderaan, soalan Elman membuatkan Jebat hanya mengulum senyum. Begitulah Elman, sering saja bertanya keadaannya. Prihatin.

"Okey! Jadi, kita nak ke mana lepas ni Doktor Elman? Kita kena nikmati masa cuti Elman sebelum masuk belajar."

Elman memandu keluar dari pekarangan penjara. Pelbagai aktiviti bermain di fikirannya untuk diluangkan bersama Jebat yang sudah melelapkan mata. Semenjak dia menerima lesen kereta, sering saja dia menjadi pemandu tak diiktiraf ayahnya itu.

"Jumpa ibu dulu baru kita keliling Malaysia."

Jebat menepuk bahu Elman. "Rindu ibu?"

"Rindu sangat. Abah?"

"Mestilah! Bidadari syurga abah tu. Abah tak pernah tak rindukan ibu tapi semuanyakan hanya pinjaman kita. Eh, lepas jumpa ibu kita pergi Melaka dulu. Abah nak minum coconut shake."

"Alright abah! Anakanda segera menurut perintah!"

Jebat tertawa kecil dengan keceriaan yang terpancar di wajah Elman. Dia menghela nafas panjang. Dendamnya sudah terpadam. Bahagia rasanya tika hatinya mula memaafkan orang-orang yang telah menghancurkan hidupnya dan keluarganya suatu ketika dahulu,

'Cinta... abang dah tunaikan permintaan terakhir cinta. Betul, memaafkan itu mudah tapi parutnya takkan hilang daripada hati kita. Tapi, dendam juga hanya memakan diri sendiri. Terima kasih cinta...'

Jebat menggumam. Fotonya bersama Jasmine dan Elman yang terpapar di skin telefon ditatap redup. Rindu benar Jebat dengan senyuman Jasmine yang sentiasa buat Jebat jatuh cinta.

Saat ini, Jebat harap, takdir akan mempertemukannya bersama Jasmine lagi...

Dan termasuk (orang yang bertaqwa) orang-orang yang menahan amarah dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan

-QS ALI IMRAN:134-

TAMAT
11.2.2025


Terima kasih semua sudi meluangkan masa dengan KYTT hingga episod akhir 🌹 semoga kita semua sentiasa happy dalam kehidupan. Kalau ada nak bagi feedback boleh share sini >>

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top