EPISOD 87
"YA Allah... Aku mohon kepadaMu... berikan sedikit waktu untuk aku nikmati sisa kebahagiaan bersama isteriku. Aku merintih kepadaMu Ya Allah... aku masih belum bersedia kehilangan bidadariku. Bagi kami masa untuk rasa sebuah kebahagiaan setelah semua dugaan yang pernah memisahkan aku dan Jasmine..."
Di sepertiga malam, Jebat merintih tanpa henti dalam sujudnya. Air matanya bergelinangan tatkala ketakutan mencengkam sanubari. Jiwanya remuk dengan kondisi Jasmine yang kembali merosot. Sudah tiga hari Jasmine terlantar koma.
Jebat belum lagi menikmati kebahagiaan mereka sebagai pengantin baharu.
"Kalau dia terlalu sakit... aku merintih kepadaMu kurangkan rasa sakit yang ada dalam tubuhnya. Kau pindahkanlah kesakitan itu ke tubuhku... aku sanggup Ya Allah. Sudahilah penderitaan isteriku... aku merayu Ya Allah. Aku sangat mencintai Jasmine Qasrina... jangan ambil dia daripada aku lagi, Ya Allah. Pinjamkan sedikit waktu untuk kami merasai sebuah kebahagiaan sebagai pasangan suami isteri..."
Jebat mengaminkan doanya. Wajahnya ditekup dengan kedua-dua belah tangan. Seluruh tubuhnya rengsa tatkala Jebat semakin lelah melawan rasa takut kehilangan Jasmine. Perasaan ini sama seperti dia kehilangan Encik Fazil dahulu. Rasa nyawa berpisah daripada jasad.
"Kalau ada apa-apa yang jadi dengan saya masa akad... awak kena kuat. Jangan menyerah untuk teruskan hidup awak, Jebat. Semua yang kita ada... hanya pinjaman semata-mata. Memanglah sakit hilang orang yang kita sayang tapi setiap kesedihan tu pasti akan ada mentari yang menyinar hidup kita."
"Ya Allah Jasmine..."
Tatkala pesanan terakhir Jasmine bermain di ruang memori, Jebat menghela nafas panjang. Dia kalih memandang sekujur tubuh Jasmine yang sedang bertarung nyawa dibantu dengan alat bantuan pernafasan. Bunyi monitor jantung benar-benar meluluhkan jiwa Jebat.
"Cinta..."
Usai saja menunaikan solat hajat, Jebat melabuhkan duduk di sisi Jasmine. Tangan Jasmine yang dingin digenggam erat seraya dikucup lembut. Wajah Jasmine yang kelihatan berseri dipandang sayu. Ada yang aneh saat ini. Jasmine tak kelihatan pucat. Namun, seri pengantinnya masih jelas di pandangan Jebat.
"Bangunlah... untuk beberapa saat pun abang terima asalkan Jasmine bangun... abang cuma nak ucap terima kasih sebab ajar abang erti kehidupan. Bagi abang satu lagi peluang untuk ucapkan abang cintakan Jasmine. Ya cinta? Bangun..."
Jebat meletakkan dahinya di atas kura tangan Jasmine. Sebaik mungkin Jebat cuba menenangkan hatinya yang gundah dengan keadaan Jasmine yang semakin tenat. Jebat dapat rasa, masa semakin mencemburuinya bersama Jasmine.
Tiba-tiba, Jebat merasakan jari jemari Jasmine bergerak. Dia terkesima. Jebat menegakkan tubuhnya tatkala ada response daripada Jasmine. Melihat Jasmine sudah melilau dengan mata yang kuyu, senyuman terukir di bibir Jebat.
"Ya Allah... Alhamdulillah... terima kasih Ya Allah... kau dengar rintihanku..."
Lantas, Jebat memanggil doktor dengan menekan butang yang terdapat di kepala katil. Namun, ada yang janggal pada tubuh Jasmine saat ini. Pandangan mata Jasmine seakan-akan melilau tanpa henti. Ada kesedihan terpancar di kornea mata wanita itu.
🌹🌹🌹
GELAP.
Itu yang Jasmine rasakan saat dia bangun daripada koma. Dunianya kelam sekelip mata. Hanya deria pendengarannya saja mendengar penjelasan doktor mengenai keadaannya yang semakin merosot. Jasmine menghela nafas panjang. Dia takut. Dia merasakan dunianya tak berseri lagi.
'Kau kuat, Jasmine. Kau akan dapat... penglihatan kau lagi suatu hari nanti...'
"Jasmine..." Jebat terhenyak di atas kasur tatkala Jasmine hanya kelu setelah doktor memberikan penjelasan bahawa Jasmine kehilangan penglihatannya. Tubir mata Jebat terasa hangat melihat Jasmine kebingungan.
"Abang... Jasmine dah buta..."
Tak semena-mena, setitis air mata mengalir ke pipi Jebat tatkala Jasmine meraba-raba wajahnya. Ya Tuhan, inikah bayaran untuk mereka bahagia? Apabila Jasmine harus menghidap penyakit yang mematikan.
"Abang ni cengenglah! Jasmine okey jelah! Janganlah nangis." Jasmine tertawa kecil tatkala menyentuh pipi Jebat yang basah. Tak mahu nampak lemah di hadapan suaminya.
"Abang jangan risau... Jasmine okey. Allah tarik penglihatan Jasmine sebab Allah sayangkan Jasmine. Jasmine bersyukur walaupun Jasmine sakit... suami Jasmine masih sanggup ada dengan Jasmine. Tak macam mama..."
Jasmine jeda. Terimbas di ruang memori derita Datin Mariana yang diabaikan oleh Datuk Zali semasa wanita itu tenat.
"Masa mama meninggal sebab barah otak... papa langsung tak kisah pasal mama. Tapi Jasmine ada abang... sebab tu Jasmine bersyukur sangat walaupun Jasmine dah tak dapat nak pandang muka abang lagi..."
Sungguh, Jebat kematian kata melihat kekuatan isterinya. Wajah Jasmine sudah mula berseri dengan senyuman manisnya. Jebat sentiasa jatuh cinta dengan senyuman Jasmine. Cantik.
"Abang..."
"Ya?"
"Kenapa abang diam? Ni kalau Jasmine bagi tahu Fawwaz yang fighter terbaik kat Malaysia menangis mahunya dia bahan abang sampai tua kerepot."
Tak semena-mena, Jebat tertawa kecil dengan lelucon Jasmine. Perlahan-lahan, dia merebahkan tubuhnya di sisi Jasmine tatkala Jasmine memberikan sedikit ruang untuk dia baring. Pandangannya tak lekang memerhatikan wajah cantik Jasmine.
"Abang cintakan Jasmine... abang pun bersyukur diberikan peluang menjadi suami kepada wanita seteguh cinta... abang rasa kerdil sangat ada di sisi cinta... abang tak sekuat Jasmine Qasrina. Luaran abang mungkin nampak kuat tapi dalaman abang... abang tak sekuat cinta..."
Rintihan Jebat meluluhkan hati Jasmine. Dia hanya membiarkan Jebat merangkul tubuhnya dengan erat. Tenang rasanya berada dalam dakapan Jebat. Penderitaannya menjadi isteri Ezhar sirna sekelip mata. Tiada lagi trauma yang menganggu fikiran Jasmine.
"Abang..."
"Ya cinta..."
"Jasmine nak keluar hospital. Jasmine nak buatkan abang kuih cempedak dengan lempeng kelapa. Mesti abang rindu masakan Jasmine."
"Janganlah fikir pasal abang. Jasmine tak sihat lagi..."
"Abang..."
Jasmine meraba-raba wajah Jebat sebelum Jebat mengenggam erat tangannya yang melekap di pipi Jebat.
"Tolong... bagi Jasmine peluang untuk bahagiakan abang. Kita kena gunakan waktu yang masih ada ni untuk kita nikmati momen kita sebagai pengantin baru. Abang cakap dengan doktor ya Jasmine dah okey. Jasmine janji Jasmine akan makan ubat, buat kemoterapi."
Tatkala Jasmine bertegas untuk melakukan tugasnya sebagai seorang isteri, Jebat hanya mengulum senyum pahit. Kura tangan Jasmine dikucup lembut. Ya Tuhan, dia rasa malu dengan Jasmine. Wanita itu terlalu teguh jiwanya meskipun diberikan ujian yang maha hebat.
Jasmine seakan-akan tak terkesan dengan kehilangan penglihatannya. Jasmine kelihatan reda dengan setiap ujian yang diberikan kepada wanita itu. Saat ini, semakin dalam cinta Jebat buat Jasmine, semakin banyak yang Jebat pelajari tentang kehidupan.
🌹🌹🌹
SUASANA dapur kelihatan begitu sibuk tatkala Jasmine menyediakan adunan lempeng dengan bantuan Jebat. Sesekali, kedengaran tawa Jasmine tatkala Jebat sengaja mengusiknya dengan mencalit tepung ke pipinya.
"Jangan membazir tepunglah! Ingat tepung ni water colour ke nak calit-calit kat pipi orang. Ni karang lempeng kita tak jadi tahu!"
"Tu hukuman untuk orang degil. Abang dah cakap biar abang yang adunkan. Jasmine duduk aje. Bagi arahan dekat abang."
"Kan Jasmine dah cakap Jasmine nak buat sendiri. Biar abang rasa air tangan isteri abang! Lepas ni tak tahu lagi bila Jasmine boleh buatkan lempeng untuk abang."
Tak semena-mena, Jebat kaku dengan bicara spontan Jasmine yang sedang mengacau adunan tepung. Dia tak suka bicara Jasmine yang menghentam sanubarinya.
"Abah! Ibu! Cakaplah sesuatu kat kamera ni. Elman nak buat kenang-kenangan untuk kita bertiga."
Kehadiran Elman bersama kamera mematikan lamunan Jebat. Dia tangkas merangkul pinggang Jasmine menghadap kamera yang dihalakan oleh Elman ke arahnya. Senyuman tak lekang di bibir pemuda itu.
"Bagi kata-kata sebagai pengantin baru."
"Kacang je tu Elman! Biar abah mulakan."
Tatkala rangkulan Jebat semakin erat, wajah Jasmine semakin membahang. Senyuman tak lekang di bibirnya tatkala Jebat tak mahu melepaskan tubuhnya daripada rangkulan. Tak apa. Jasmine tenang berada sejengkal dengan Jebat. Jasmine tak rasa dunianya kelam lagi.
"Perkenalkan, wanita cantik yang senyumannya seperti mentari ni namanya Jasmine Qasrina. Isteri yang saya cinta setulus hati. Dia degil. Selalu tak dengar cakap orang sekelilingnya. Tapi, dia kuat orangnya. Selalu tersenyum dan senyuman dia tu boleh bikin penawar hati."
Degupan jantung Jasmine jadi kencang tatkala Jebat mengucup pipinya. Ya Tuhan, Jebat memang romantis orangnya. Sama seperti Zafri. Jasmine merasakan dirinya ibarat ratu dalam hidup suaminya. Episod deritanya bersama Ezhar seakan-akan tak pernah wujud.
"Ibu... apa yang buat ibu jatuh cinta dengan abah?" Elman menghalakan fokus kamera ke wajah Jasmine pula.
Tika itu, Jasmine seolah-olah terperangkap dengan soalan cepumas Elman. Dia segan mahu berkongsi isi hatinya. Jebat... tak tahu lagi bahawa Jasmine sudah terlanjur mencintai suaminya. Biarlah, dia simpan dulu rasa cinta ini.
"Susah sangatlah soalan Elman tu. Ibu kan baru je nak belajar cintakan abah," tutur Jebat tatkala Jasmine hanya kelu.
"Ibu jawab. Sebab... abah selalu buat ibu rasa selamat. Abah dah banyak berkorban untuk ibu sepanjang takdir pertemukan kami. Abah selalu pentingkan nyawa ibu berbanding nyawa dia sendiri. Biarpun... abah dengan ibu kadang-kadang tak sependapat tapi abah pandai tarik hati ibu untuk jatuh sayang dekat abah."
Seketika, Jebat memandang raut wajah Jasmine. Anak rambut Jasmine diselit ke belakang telinga. Mahu menatap laman wajah cantik isterinya tatkala Jebat merasakan ada ketulusan cinta di sebalik bicara wanita itu.
Bahagia inilah yang Jebat idamkan selama hatinya tertulis dengan nama Jasmine Qasrina.
"Jasmine dah adunkan tepung... nanti abang buat lempeng ni sendiri ya. Jasmine nak rehat kejap."
"Abang hantarkan..."
"Jasmine lapar. Abang buatlah cepat sikit. Jasmine tunggu kat depan. Jangan risaulah... Elman... bawa ibu ke depan kejap."
Buat seketika, pandangan Jebat bertaut dengan Elman. Masing-masing terkelu melihat Jasmine yang mula keletihan. Lantas, Elman menurut. Memimpin Jasmine melabuhkan duduk di ruang tamu.
"Elman pergi tolong abah."
"Tapi ibu tak sihat. Biarlah Elman teman..."
"Elman... dengar cakap ibu. Ibu nak rehat. Cepat siap, bolehlah kita minum petang." Jasmine mengusap lembut kepala Elman. Saat ini, Jasmine hanya mahu bersendirian. Memberikan ruang kepada Jebat dan Elman membetulkan hubungan mereka agar kembali akrab.
"Elman..."
Tiada sahutan. Jasmine meraba-raba ke sekelilingnya. Kosong. Figura Elman memang sudah pergi dari ruang tamu. Serentak dengan itu, kepala Jasmine kembali berdenyut sakit. Dia merebahkan tubuhnya di atas sofa. Jasmine cuba melawan rasa sakit yang seolah-olah membunuhnya. Sehingga setitis demi setitis air mata mengalir ke pipi wanita itu.
"Ya Allah... bagi sikit masa lagi Ya Allah. Aku masih belum bersedia tinggalkan dia..."
Jasmine merintih. Mulutnya ditekup melepaskan esak. Tak mahu Jebat mahupun Elman mendengar tangisannya. Dia mahu sentiasa teguh di hadapan kedua-dua heronya.
🌹🌹🌹
"JASMINE?"
Jebat terbangun daripada lenanya tatkala bunyi benda terhempas kedengaran di dalam kamar. Buru-buru, Jebat menghidupkan suis lampu. Dia kaget melihat Jasmine sudah tersungkur di penjuru meja.
"Jasmine! Kenapa tak kejutkan abang..."
Belum sempat Jebat menghabiskan bicara, Jasmine sudah memuntahkan isi perutnya ke pakaian Jebat. Pemuda itu kaget melihat Jasmine yang mendesis kesakitan. Lantas, Jebat memimpin Jasmine ke tandas bagi membersihkan diri si isteri yang penyakitnya kembali kambuh.
"Jasmine... minta maaf..."
"Jangan minta maaf... jangan fikir apa-apa." Jebat mengusap lembut tubuh belakang Jasmine. Wajah isterinya kelihatan pucat. Bahkan, mahu berdiri saja Jasmine goyah. Jebat mencapai tuala seraya membasahkan bibir Jasmine yang kotor.
"Kita pergi hospital..."
"Tak payahlah. Esok kan kita nak pergi honeymoon. Biasalah ni sakit datang balik. Abang jangan risau..."
"Kenapa degil sangat ni? Abang tak kisah sangatlah tak pergi honeymoon tu! Kesihatan Jasmine lebih penting daripada tempat yang kita nak pergi tu tahu! Jasmine duduk sini! Abang nak ganti baju. Jasmine kena duduk hospital lebih baik."
Jasmine terkesima tatkala Jebat mula bertegas. Dia mengetap bibirnya tatkala emosinya mula berbolak-balik. Jasmine tak mahu terlantar di hospital. Suasana hospital hanya melemahkan dirinya saja.
"Pakai tudung..."
"Tak nak."
"Jasmine... tolonglah dengar cakap abang. Esok-esok kita boleh pergi..."
"Kalau tak sempat macam mana?"
Tak semena-mena, Jebat terhenyak di atas kasur tatkala Jasmine mengenggam kedua-dua belah tangannya. Sungguh, soalan Jasmine seakan-akan badai yang menghentam jiwa Jebat Khuwailid. Kegagahannya sirna. Wajah sayu Jasmine ditatap dengan penuh kasih.
"Jangan cakap macamtu, cinta..."
Menyedari nada suara Jebat bergetar, Jasmine serba salah. Dia terlepas kata hingga hati Jebat terguris. Perlahan-lahan, Jasmine meraba-raba mengusap wajah Jebat. Senyuman tak lekang di bibirnya yang merekah. Menahan sakit di seluruh tubuhnya.
"Kesayangan Jasmine ni... janganlah sedih. Hidup ni kena selalu ceria barulah kita bahagia. Jasmine tahu abang risau. Tapi kali ni je kita pergi sana. Lepas kita dah balik, Jasmine janji Jasmine duduk hospital ikut cakap abang. Ya?"
Jebat menarik lembut tubuh Jasmine ke dalam rangkulannya tatkala pujukan wanita itu menyejukkan semula hatinya. Jebat mengucup lembut ubun-ubun Jasmine. Sungguh, tenang rasanya setiap kali Jasmine berada di sampingnya memberikan kata-kata yang bisa menguatkan jiwa Jebat lagi.
🌹🌹🌹
"ABAH okey?"
Jebat tersentak daripada lamunan tatkala Elman menepuk bahunya dari belakang. Bonet kenderaan ditutup. Dia hanya memerhatikan Jasmine yang sedang bersandar di pintu kereta. Menghantar Elman kembali masuk ke asrama.
"Ibu tu kan... abah kena ajar sikit supaya tak degil."
Elman tertawa kecil dengan lelucon ayahnya. Dia menyalami tangan Jebat.
"Cubalah... Elman sendiri tak mampu nak lawan kedegilan ibu. Elman tak nak dicop anak derhaka. Tapi, ibu nampak kuat depan kita sebab ibu tak nak kita susah hati. Memang cara ibu salah tapi begitulah ibu yang besarkan Elman selama 14 tahun ni. Jadi caranya, kita pun kena kuat depan ibu supaya ibu tahu kita dah bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku."
Kematangan Elman berkawa-kata cukup membuatkan Jebat tergamam. Dia hanya mengulum senyum sambil mengusap rambut anaknya. Elman Zarith. Remaja ini memang matang orangnya. Hasil didikan Jasmine Qasrina sebagai ibu tunggal.
"Ibu, jangan rindu Elman tau. Ibu kena happy je sepanjang honeymoon dengan abah."
Elman menyalami tangan ibunya seraya berpelukan. Dia sedikit terkesima tatkala Jasmine seolah-olah tak mahu melepaskan pelukan mereka. Ada rasa janggal di lubuk hati Elman tentang kondisi ibunya.
"Ibu sayang Elman dunia akhirat. Terima kasih sebab jadi anak yang berguna untuk ibu. Elman kena belajar rajin-rajin ya supaya besar nanti Elman boleh tolong ramai orang susah. Janji tau dengan ibu... Elman akan selalu dengar cakap abah. Jangan salah pergaulan. Jadi lelaki budiman macam yang ibu selalu pesan."
Pesanan dititipkan buat anak remajanya. Jasmine mengucup lembut dahi Elman. Ada rasa sebak menghentam sanubari tatkala teringat betapa mencabarnya kelahiran Elman Zarith dalam hidupnya. Bahkan, kerana kebodohannya juga Jasmine pernah meroyan hingga hampir membunuh Elman.
Nyata, semuanya ada hikmah di sebaliknya. Jasmine titipkan doa agar Elman sentiasa tinggi budi pekertinya. Bahagia. Tiada erti derita dalam hidup Elman lagi.
Bersambung di episod akhir...
11.2.2025
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top