EPISOD 81

SEMBILAN TAHUN KEMUDIAN...

SINAR mentari yang menerobos masuk ke dalam kamar menyilaukan pandangan. Sayup-sayup kedengaran bunyi hempasan ombak yang menghempas tepian laut. Nyaman rasanya. Dia bangun seraya membuka tingkap kamar. Membiarkan angin memasuki kamarnya dan menyapa wajah.

"Dah 14 tahun..."

Dia bergumam. Ada rindu menghuni tangkai hati wanita bertubuh cengkung itu. Senyuman menghias bibir pucatnya. Meskipun sudah 14 tahun pemilik hatinya pergi menemui sang pencipta namun semua memori manis tak pernah luput dari ruang memorinya. Cintanya buat si dia tak pernah padam.

Telefon pintar bergetar di atas meja sisi katil. Lamunan Jasmine tentang Zafri terhapus serta-merta. Terpampang nama Elman di dalam skrin telefon. Jasmine menyambut seraya melangkah keluar dari kamar. Ingin mengambil udara di luar rumah.

"Assalamualaikum ibu yang cantik." Nada suara Elman yang ceria kedengaran.

"Waalaikumsalam anak ibu yang handsome."

Di dalam panggilan video, Jasmine melihat Elman kelihatan segak dengan blazer hitam tersarung di tubuh remaja lelaki berusia 14 tahun itu. Wajahnya kelihatan matang daripada usia.

"Macam mana Elman boleh pegang phone ni? Elman bodek cikgu ke?"

Elman tertawa kecil sambil membetulkan tali lehernya. Ada rasa bangga tatkala dia memenangi sebuah pertandingan mewakili Malaysia yang diadakan di Indonesia.

"Elman ni kan anak emas Cikgu Yara. Mestilah dia bagi Elman phone ni semata-mata nak call ibu. Ibu... cuba teka anak ibu dapat nombor berapa dalam pidato antarabangsa tu."

Jasmine mengulum senyum seraya melabuhkan duduk di atas pangkin rumah pusaka arwah Nek Timah.

"Anak ibu kan hebat mestilah dapat juara. Elman dah usaha bersungguh untuk masuk pusingan final. Ibu yakin anak ibu dah buat yang terbaik."

Elman menunjukkan piala yang baru saja dia menangi di skrin telefon.

"Alhamdulillah! Betul ibu! Elman dapat nombor satu! Terima kasih ibu selalu doakan kejayaan Elman. Kalau ibu tak ada, siapa lagi nak support Elman. Jadi, ibu kena selalu sihat tau. Ibu kena kuat untuk Elman. Tunggu Elman dah besar, jadi doktor supaya Elman boleh rawat ibu."

Tatkala itu, rasa sebak menghuni tangkai hati Jasmine. Dia mengangguk. Tubir matanya terasa hangat. Ya Tuhan, 14 tahun dia memang berjuang hidup hanya untuk Elman. Tanda cintanya dan Zafri. Tanpa Elman, tak mungkin dia sekuat ini sebagai ibu tunggal.

"Tahniah anak ibu. Tengok, ibu dah cakap Elman boleh buat."

Elman tersenyum lebar. Senang menerima pujian Jasmine. "Ibu dah makan ubat ke belum?"

"Sudah, Doktor Elman."

"Habistu kenapa muka ibu pucat?"

"Ibu baru bangun tidurlah. Tadi ibu tertidur lepas Subuh. Tak ada apa pun. Jangan risau, okey."

Elman menatap laman wajah ibunya. Dia tetap risau dengan keadaan Jasmine. Semakin hari, ibunya itu semakin pucat dan tak bermaya. Dia gusar.

"Ibu..."

"Ya?"

"Kalau Elman keluar dari SBP masuk sekolah harian biasa ibu marah tak?"

"Lah... kenapa pula nak keluar? Elman dah masuk sekolah cemerlang. Bukan senang masuk sana. Anak ibu kan dah buat yang terbaik sampai berjaya masuk sekolah yang berkualiti. Ibu tak bagilah. Elman duduk kat SBP tu sampai habis tingkatan lima."

Elman menghela nafas panjang. "Elman nak selalu ada dengan ibu. Elman nak jaga ibu..."

"Aish! Budak bertuahni. Dia tak percaya dengan Kak Elisa dia untuk jaga ibu? Sampai hati kan?"

"Tak samalah kak!"

"Sama tak sama kau fokus belajar tak payah nak banyak songeh. Ibu kau... akak jaga elok-elok."

Pergaduhan kecil antara Elman dan Elisa mencuit hati Jasmine. Ada-ada sajalah ulah mereka berdua yang sering menyenangkan hati. Menceriakan hari Jasmine sehingga dia merasakan tiada masalah yang membelenggu hidupnya.

Jasmine harap, Elisa akan sentiasa menjadi penghibur Elman meskipun andai suatu saat nanti Tuhan memanggilnya pulang.

🌹🌹🌹

PENUTUP hoodie disarung ke kepalanya tatkala melihat beberapa orang gadis sudah kaku memandangnya yang sedang berdiri di hadapan peti sejuk minuman. Sungguh, dia kurang senang menjadi perhatian mereka. Privasinya seakan-akan terganggu diperhatikan tanpa jemu.

Walhal, dia datang ke kedai runcit di stesen minyak hanya untuk membeli minuman saja.

"Cepat sikit makan tu boleh tak? Aku rimas."

Fawwaz yang sedang menjamah mi segera tersenyum mengejek sambil membaca komen video yang memaparkan perlawanan sengit Jebat dan lawan tinjunya di saluran youtube. Kebanyakannya daripada para gadis sunti yang memuji kegagahan Jebat mengharumkan nama Malaysia.

"Relekslah. Kau kena terima hakikat walaupun kau dah tua, ni gadis-gadis, janda-janda semua terpikat dengan kau tahu! Baca komenni."

Jebat mencebik. Dia menyambut huluran Fawwaz. Laju saja jari jemarinya menggeser ruangan komen. Jebat berkerut. Geli gelaman saja melihat komen yang menjurus ke arah ayat-ayat memikat itu. Ada juga yang ingin menjadi isterinya. Memuji penampilannya bukannya kemahirannya bertinju di gelanggang.

"Bodoh amat."

Fawwaz tertawa tatkala Jebat mengeluh berat. Dia menepuk bahu Jebat seraya membuang bekas mi segera ke dalam tong sampah.

"Kau kena terima hakikat ramai dah syok dekat kau tahu walaupun kau ni dah masuk angka 4 kat depan! Jomlah kita balik. Petang ni aku dah buat appointment dengan orang yang kau perlu jumpa untuk majlis kau dengan Raihana."

"Huh?"

Melihat Jebat terpinga-pinga, Fawwaz tepuk dahi. Wajah Jebat yang masih bengkak setelah perlawanan tinju dipandang tajam.

"Kau lupa ke majlis kau dengan bakal isteri kau tu? Kau jangan. Mak kau marah karang kalau kau tundakan lagi majlis kahwin korang. Lagi pun, kau kena cepat-cepat kahwin biar tak ada lagi perempuan yang miang nak goda kau macam tak ada maruah."

Tika itu, Jebat hanya kaku tatkala figura Raihana tiba-tiba menjadi topik perbualan mereka. Hanya pandangannya memerhatikan Fawwaz yang membeli minuman.

Raihana. Jodoh yang diaturkan oleh ibunya. Pilihan apalah yang Jebat ada tatkala Puan Nijah beria-ia mahu dia menerima Raihana walaupun sudah tiga tahun Jebat menolak.

"Sorry!"

Lamunan Jebat hilang tatkala tubuhnya dirempuh kasar dari belakang. Dia kalih. Pandangannya bertaut dengan seorang remaja lelaki yang sudah menggagau beg sambil memegang bakul berisi makanan ringan.

"Sorry uncle! Saya betul-betul tak sengaja. Kalut sangat nak cari dompet." Si remaja lelaki tersengih. Kepalanya tergaru-garu tatkala rasa gerun menjentik tangkai hati melihat wajah bengis Jebat.

Kenapa ya, dia rasa dejavu? Seolah-olah, dia pernah melihat wajah pemuda bermata helang itu.

"Hati-hati."

"Ya, uncle! Minta maaf..."

'Uncle abah!'

Serentak dengan itu, suara garau si remaja lelaki berganti pula dengan suara budak lelaki yang sudah sembilan tahun pergi dari hidup Jebat. Dia sendiri tak pernah lagi ambil kisah tentang si kecil yang pernah membahagiakan hari Jebat.

"Elman?" Spontan, nama itu terbit di bibir Jebat.

Elman kematian langkah tatkala namanya dipanggil. Dia kalih. Ada tanda tanya bermain di lubuk hati melihat tatapan lelaki asing itu.

"Macam mana uncle tahu nama saya?" Elman mula sangsi tatkala Jebat memanggilnya.

"Elman Zarith?"

"Uncle kenal saya ke?"

Ya Allah, benarlah remaja lelaki di hadapannya ini Elman Zarith bin Zafri. Tanda cintanya Jasmine dan Zafri. Raut wajahnya saling tak tumpah seperti Zafri.

"Elman tak kenal uncle?"

"Kenal? Saya rasa saya tak pernah nampak uncle sebelumni. Sorry..."

Elman menggaru kepalanya tatkala tatapan Jebat berubah sayu. Siapa pak cik yang membuatkan Elman tertanya-tanya ini? Sungguh, Elman tak pernah melihat figuranya. Tiada langsung tentang Jebat dalam ruang memori Elman. Tapi, hatinya ini seolah-olah ada kerinduan tatkala mendengar suara Jebat.

Tapi siapa? Kenapa Elman tak dapat mengingati figura ini?

"Elman! Lambat tinggal tau."

Tatkala si kawan memanggilnya, buru-buru Elman membayar. Tak mahu ketinggalan rombongan lawatan. Sesekali, dia memandang figura Jebat. Pemuda itu masih memerhatikannya tanpa jemu.

"Jebat Khuwailid! Kitorang nak minta sign."

Tika sekumpulan gadis menghampirinya, Jebat masih kaku memerhatikan Elman dan rakan-rakannya memasuki sebuah bas. Wajah remaja lelaki itu kelihatan bahagia dengan senyuman tak lekang di bibirnya. Senyuman itu, persis seperti Jasmine Qasrina.

Tatkala wajah manis itu berlalu di ruang memori Jebat, keluhan kecil terbit di bibirnya. Kepalanya digelengkan mengusir wajah itu daripada ruang fikiran. Dia memaniskan wajah. Melayan para peminat yang berpusu-pusu ingin mengambil foto bersamanya. Melupakan terus tentang Jasmine dari hidupnya.

🌹🌹🌹

SEBAIK saja kenderaan diparkir di sebuah rumah agam yang kelihatan mewah, Jasmine jadi janggal. Fail berisi portfolio lukisannya digenggam erat. Entah mengapa intuisinya negatif. Tapi, melihat alamat yang diberikan oleh kliennya di dalam mesej, memang inilah tempat pertemuan mereka bagi membincangkan konsep lukisan.

Tanpa berlengah, Jasmine melangkah turun dari kenderaan. Nafas panjang dihela. Dia melangkah masuk dan disambut oleh tukang kebun yang sedang membersihkan taman mini rumah agam itu. Jasmine jadi rambang mata melihat pelbagai jenis bunga yang ditanam di taman.

Pemilik rumah ini membuatkan Jasmine teringat akan arwah ibunya. Dahulu, Datin Mariana juga sangat gemar menanam pelbagai jenis bunga dan sisa waktunya banyak dihabiskan dengan berkebun.

"Puan cari siapa?"

"Encik Fawwaz."

"Oh ya! Encik Fawwaz ada bagi tahu saya Puan Jasmine datang nak bincang pasal lukisan kan? Masuklah. Nanti saya panggilkan."

Jasmine mengulum senyum seraya melangkah masuk ke dalam rumah. Dia terpegun melihat rumah berkonsep moden kontemporari yang bertemakan hitam dan putih. Ringkas namun tampak elegan. Pasti pemilik rumah ini seorang yang misteri dan berselindung dengan pelbagai rahsia.

Tatkala Jasmine berhenti di sebuah meja dipenuhi perhiasan barang antik, hatinya semakin tertarik hinggalah pandangannya tertancap ke arah foto keluarga si pemilik rumah.

Tak semena-mena...

Degupan jantung Jasmine jadi kencang. Matanya terbuntang kaget. Nafasnya sesak di rangkungan. Bibirnya menggeletar menahan sesak. Matanya melingas ke sekeliling ruang tamu yang sepi.

"Ya Allah... tak mungkin..."

Jasmine meletakkan semula bingkai gambar foto keluarga si pemilik rumah di atas meja. Tubir matanya terasa hangat. Apa lagi takdir yang sedang ditulis di antara mereka setelah sembilan tahun berlalu?

"Jasmine?"

Jasmine mendongakkan kepalanya tatkala namanya dipanggil. Terpampang wajah Puan Nijah yang sudah mengulum senyum kepadanya. Benar. Ini bukan mimpi. Rumah agam ini kepunyaan Jebat Khuwailid.

"Ya Allah Jasmine... lamanya mak cik tak nampak kamu."

Puan Nijah menarik lembut tubuh Jasmine ke dalam dakapannya. Ada rindu bergayut di dinding hati wanita itu. Ada penyesalan tatkala dia pernah memisahkan Jasmine dan Jebat sehingga anaknya susah menerima kehadiran cinta baharu dalam hidupnya.

"Mak cik... sihat?"

Perlahan-lahan, Puan Nijah melepaskan tubuh Jasmine daripada pelukannya. Air matanya menitis ke pipi melihat wajah Jasmine. Ada derita masih terpancar di raut wajah manis itu.

"Sihat. Tapi... kenapa mak cik tengok Jasmine yang tak sihat? Jasmine okey je kan?"

"Dah tua kut mak cik. Tu yang nampak tak cantik dah." Jasmine tertawa kecil. Tak mahu Puan Nijah membaca wajahnya yang tak bermaya.

"Kamu cantik lagilah. Sama macam dulu cuma... Jasmine nampak kurus sangat." Puan Nijah sangsi. Dia mengenggam erat kedua-dua belah tangan Jasmine.

"Jasmine dietlah. Sebelumni Jasmine gemuk berisi..."

"Siapa yang datang mak?"

Jasmine kematian bicara tatkala suara garau dari belakang kedengaran, degupan jantung Jasmine jadi kencang. Tubuhnya jadi kejang. Semakin derapan tapak kaki si figura menghampiri, Jasmine merasakan nafasnya tak lagi terasa. Peluh merenik di dahi wanita itu.

"Tetamu penting kita."

Jebat mematikan langkahnya di sisi si ibu. Wajahnya berubah bengis serta-merta tatkala pandangan redup Jasmine Qasrina bertaut dengannya. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat. Fikirannya bercangkaliwang. Ruang hatinya bergelodak. Emosinya bercampur baur.

Sembilan tahun... waktu dan jarak memisahkan mereka.

"Jasmine Qasrina..."

Buru-buru, Jasmine melarikan pandangannya tatkala namanya disebut. Nada suara Jebat kedengaran dingin. Jasmine dapat merasakan tatapan kebencian di sebalik pandangan Jebat Khuwailid. Fail lukisan di tangannya digenggam erat.

Ya Tuhan, kenapa dia harus bertemu dengan Jebat? Bukankah Fawwaz kliennya hari ini?

Bersambung...
10.2.2025

Malamni sambung dua episod lagi

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top