EPISOD 8
"JASMINE..."
Dengan pandangan yang berbalam-balam, Jasmine cuba mencelikkan matanya. Bau ubat-ubatan menusuk rongga hidung. Sungguh, kepalanya begitu berdenyut sakit.
Samar-samar kejadian dia hampir diragut bermain di ruang memori sebelum wajah pemuda berkulit sawo matang itu melintasi fikirannya.
Wajah itu....
Allahu... betapa luluhnya hati Jasmine tatkala wajah Jebat Khuwailid silih berganti dengan wajah Zafri.
Siapa gerangan pemuda yang telah menyelamatkannya itu? Wajahnya persis seperti Zafri.
Namun nyata, lelaki itu bukan Zafri. Zafri sudah pergi dan takkan pernah kembali lagi.
"Jasmine... dengar tak?"
Suara itu memanggil lagi. Pandangan Jasmine tertancap ke laman wajah si pemilik suara. Sontak, matanya membuntang melihat figura yang sedang merenungnya dengan tatapan sinis.
"Jasmine okey?"
Jasmine hanya mengangguk lemah menjawab soalan Nek Timah. Pandangannya dialihkan daripada menatap wajah lelaki yang tak lekang merenungnya dengan tatapan sinis itu. Perlahan-lahan, Jasmine bangun dari pebaringannya.
"Kalau nak duit, papa boleh bagi. Tak payah sampai nak kena ragut sebab duit. Kan dah menyusahkan papa! Menyusahkan nenek! Bagi jelah duit tu kat peragut! Papa boleh bagi..."
"Zali!"
Suasana tegang tatkala Datuk Zali bersuara. Kedengaran dengusan kasar lelaki berkot hitam itu tatlala dia tak berpuas hati dengan Nek Timah yang mendesaknya untuk menghantar Jasmine mendapatkan rawatan psikiatri.
"Jasmine minta maaf susahkan papa..."
"Memang menyusahkan!" bentak Datuk Zali. Melepaskan beban di pundaknya.
"Zali! Cukuplah tu. Anak kau ni baru je bangun. Jangan dibentak lagi cucu akuni!"
"Mak... Zali cuma nak dia berhati-hati je lepas ni. Kalau dia nak duit, boleh minta kat Zali. Zali boleh bagi lebih daripada suami dia bagi..."
"Papa boleh bagi Jasmine duit lebih daripada apa yang abang Zafri bagi. Tapi papa takkan pernah bagi Jasmine kasih sayang lebih macam abang Zafri bagi dekat Jasmine. Jasmine minta maaf sebab susahkan papa. Tapi lepas ni... papa tak payah susah payah fikir pasal Jasmine. Papa kan dah tak perlukan Jasmine dalam hidup papa lagi."
Nada suara Jasmine bertukar menggeletar. Matanya terasa panas dengan herdikan daripada papanya. Demi Tuhan, Jasmine perlukan kasih ayahnya sepanjang proses penyembuhannya kehilangan Zafri. Tapi dia tahu semua itu sudah sirna sejak dia dijaga oleh Nek Timah lagi.
"Papa baliklah. Keluarga baru papa lebih perlukan papa."
Sontak Datuk Zali terkelu. Dia kehilangan kata untuk berbicara mendengar kata-kata anaknya itu. Apatah lagi tatapan sayu Jasmine yang kelihatan kecewa.
"Jasmine... papa datang ni cuma nak tolong Jasmine. Nenek tak nak Jasmine sakit lagi. Jasmine perlukan rawatan supaya Jasmine boleh belajar untuk lepaskan pemergian Zafri. Kasihankan Elman, Jasmine. Dia..."
"Apa maksud nenek yang Jasmine perlukan rawatan? Belajar lepaskan pemergian abang Zafri? Nenek tak nampak ke betapa sesaknya Jasmine cuba belajar hidup tanpa dia selama setahun ni? Nenek tak nampak ke Jasmine cuba jadi ibu yang terbaik untuk tanda cinta Jasmine dengan dia?"
Tak semena-mena, nada suara Jasmine naik seoktaf. Entah kenapa dinding hatinya terguris mendengar setiap kata-kata neneknya. Setahun dia berjuang untuk bangkit setelah pemergian Zafri.
Apa Nek Timah tak lihat semua itu?
"Nenek nampak semua tu Jasmine. Tapi semangat kau belum pulih sepenuhnya. Kita dapatkan rawatan ya. Bagi papa kau tolong kau kali ni. Kau berhijrahlah jauh dari sini. Ambil masa untuk pulihkan semangat sepanjang kau kat sana nanti."
Lembut saja tutur bicara Nek Timah memujuk cucunya. Kepala Jasmine yang berbalut dengan selendang diusap lembut. Luluh hatinya melihat air muka Jasmine Qasrina yang sayu. Ya Tuhan, ingin sekali Nek Timah melihat kebahagiaan dalam hidup Jasmine sebelum dia menutup mata.
"Papa nak hantar Jasmine pergi mana?"
"Ireland. Sambung belajar kat sana. Dapatkan rawatan dengan kawan papa. Doktor Elizabeth. Mulakan hidup baru dan lupakan semua penderitaan Qas kat sini," jawab Datuk Zali.
Mendengar hal itu, dinding hati Jasmine semakin remuk. Pandangannya tunak merenung wajah sinis si ayah. Seakan-akan tak terkesan dengan emosi yang bergelodak tika ini. Jasmine mengerti. Ayah dan neneknya mahu dia berjauhan daripada memorinya tentang Zafri.
"Mulakan hidup..."
"Tak! Jasmine takkan tinggalkan abang Zafri!"
"Hakikatnya laki kau tu dah tinggalkan kau Jasmine Qasrina! Dia dah mati! Untuk apa lagi kau meratapi orang yang dah mati? Kau muda lagi. Panjang lagi perjalanan hidup kau berbanding nak ratapi kematian suami kau tu! Jangan buang masa dengan benda yang sia-sia!"
Suara Datuk Zali bergema di ruangan itu. Wajahnya membahang. Dinding hatinya seakan dibakar melihat kedegilan anaknya. Entah sampai bila Jasmine hanyut dengan kesedihan yang tak berpenghujung pun dia tak tahu.
"Dia dah tak ada tapi memori kami..."
Belum sempat Jasmine menoktahkan bicara, Datuk Zali memegang kedua-dua belah bahu anaknya. Wajahnya terbias dengan amarah tatkala Jasmine masih berdegil untuk mendapatkan rawatan.
"Dia dah mati, Qasrina! Dia takkan datang untuk kau lagi! Kau menangis air mata darah sekali pun budak tu dah mati! Dah jadi tulang kat dalam kubur tu! Kenapalah kau ni degil sangat hah!"
Nek Timah terkelu. Tiada kata yang mampu dituturkan melihat amukan Datuk Zali. Dalam diam, dia membenarkan. Zafri sudah pergi dan takkan kembali lagi. Kesedihan berlarutan cucunya itu hanya sia-sia saja.
"Ikutlah cakap papa. Kali ni je Jasmine. Bagi papa tebus salah papa sebab abaikan Jasmine. Lupakan amanah yang arwah mama bagi. Papa cuma nak anak papa kembali bangun bukan terus lembik macam ni!" tegas Datuk Zali seraya melangkah keluar dari ruangan itu. Tak betah lagi memandang wajah Jasmine yang hanya kaku.
Tika itu, Jasmine terkelu seribu bahasa. Setitis demi setitis air matanya mengalir ke pipi. Bibirnya menggeletar menahan esak. Dia buntu. Dia tak tahu pilihan apa yang harus dia buat di saat hatinya ini semakin terluka parah.
Dia harus pergi dari sini. Melupakan semua kesedihannya tentang Zafri.
"Betul cakap papa kau tu, Jasmine. Dah tiba masanya kau bangkit dan lupakan semua kesedihan yang kau alami sepanjang setahun ni. Nenek cuma nak yang terbaik untuk Jasmine dan Elman. Jasmine kena pergi dari sini. Memang memori tentang Zafri takkan pudar tapi tak salah kan kalau Jasmine bangkit demi anak kau orang?"
Usai saja memberikan kata-kata pujukannya kepada Jasmine, Nek Timah melangkah keluar. Senyuman pahit terukir di bibir wanita tua itu. Ada sedikit rasa senang tatkala Datuk Zali berniat mahu membantunya merawat luka Jasmine Qasrina.
"Terima kasih Zali..."
"Baik buruknya... dia tetap anak Zali kan mak?" Datuk Zali mengeluh berat. Pandangannya bertaut dengan si ibu yang sudah menepuk bahunya bertalu-talu.
🥀🥀🥀
TUMBUKAN yang dihenyak ke rahang lawannya membuatkan si lawan tersungkur di tali gelanggang. Namun, si lawan masih tiada tanda-tanda mengalah tatkala tumbukan silih berganti mara ke arah Jebat seraya menghenyak tumbukan ke wajah dan tubuh Jebat. Jebat yang semakin keletihan itu hanya mengelak dengan kedua-dua belah sikunya saja.
Pertarungan sengit tinju itu membuatkan para penonton semakin berdebar. Sudah 10 minit berlalu namun tiada langsung tanda-tanda kekalahan Jebat mahupun Tommy. Masing-masing masih berjuang demi sebuah kemenangan meskipun wajah mereka sudah berlumuran dengan darah.
Adibah ralit memerhatikan sang kekasih yang tak henti-henti menyerang dengan tumbukan. Sesekali, tumbukan Jebat berjaya dipatahkan oleh Tommy sehingga Jebat pula yang tersungkur di gelanggang tinju itu.
Jelas, ada garis-garis keletihan mula terpancar di raut wajah Jebat Khuwailid yang sudah melabuhkan duduk di kerusi yang disediakan di tiang gelanggang. Adibah bangun. Ingin menghampiri pemuda yang sedang meneguk air itu.
"Kau tak lupa lagi kan janji kita?" Suara itu mematikan langkah Adibah. Dinding hatinya bercangkaliwang tatkala lengannya dicengkam oleh seseorang dari belakang.
"Tapi aku cuma nak pastikan dia okey ke tak. Aku risau..."
"Kau risau atau kau rasa bersalah dengan dia?" pintas si lelaki seraya menarik kasar lengan Adibah sehingga gadis berambut perang itu terduduk di sisinya.
Buat seketika, mereka saling berpandangan. Ada amarah terpancar di wajah lelaki berhoodie hitam itu. Pandangan membunuh yang membuatkan Adibah kecut perut.
"Kau rasa... apa respons Jebat kalau dia tahu pasal kita? Kau rasa apa yang dia akan hadap lepas dia struggle nak kahwin dengan kau? Kesian kan..."
Si lelaki tertawa sinis. Dia memaut bahu Adibah seraya memandang pertarungan sengit Jebat dan Tommy lagi. Suka benar dia melihat setiap kelincahan Jebat di arena tinju itu. Dia tak nafikan, pemuda itu sangat lasak orangnya.
Kalau dijadikan salah seorang daripada konco-konconya pasti menarik!
"Kenapa kau boleh jatuh cinta dengan orang miskin macam budak tu?"
Adibah hanya diam. Bau rokok daripada tubuh si lelaki membuatkan tekaknya loya.
"Dia tak ada apa-apa nak dibandingkan dengan aku. Dia tak ada duit nak mewahkan kau. Bekas banduan. Anak perogol. Cis! Mesti sebab tu juga kan kau curang..."
"Aku tak curang dengan dia!" jerkah Adibah tatkala si lelaki semakin mencabar kesabarannya. Bingit benar dia mendengar perkataan curang itu.
"Lah tak nak mengaku? Kau yang datang dekat aku. Kau serahkan diri kau dekat aku bila Jebat masuk penjara. Tu bukan..."
Adibah menolak kasar tubuh lelaki itu. Buru-buru, dia bangun seraya melangkah keluar dari ruang penonton itu. Sungguh, bingit benar telinganya dengan omongan yang semakin mencabar kesabaran itu.
"Bebal! Kau yang dah tak nak dia lagi tapi tak nak terima kenyataan pula! Kau tunggu nasib kau, Dibah!"
🥀🥀🥀
"KAU memang power Jebat! Dah lama kau tinggalkan dunia tinju ni tapi asyik kau je yang rembat lawan-lawan kau sampai menang. Ni masa kat dalam penjara dah berapa banduan kau bantai huh?"
Jebat tersenyum sinis mendengar bicara Fawwaz. Sarung tangan tinjunya ditanggalkan seraya diletak di dalam loker. Tengkuknya yang terasa lenguh direnggangkan.
Lelah.
Tapi tak mengapa. Habuan yang lumayan serba sedikit boleh membantu meringankan beban keluarganya.
Apa yang paling penting, dia boleh buat simpanan demi masa depannya dan Adibah. Si gadis pujaan hati.
"Kau memang tengah struggle banyak benda kan sekarang ni." Fawwaz menepuk bahu Jebat yang terdedah. Seketika pandangannya bertaut dengan sahabatnya itu. Ada rasa simpati melihat wajah Jebat yang bengkak dengan darah kering.
"Empat tahun aku duduk dalam tu. Lama. Aku dah susahkan keluarga aku. Aku dah buat Adibah tunggu aku. Takkan aku nak sia-siakan empat tahun yang aku dah bazirkan dengan mengangkang aje tak buat apa-apa."
Duduk dilabuhkan di atas bangku. Jebat membalut kura tangannya yang bengkak dengan kain anduh. Tak mahu Shana risau jikalau melihat setiap kesan lebam di tubuhnya ini.
"Kau memang nak kahwin dengan Dibah ke?" Fawwaz mula mood serius. Duduk dilabuhkan di sisi sahabatnya.
"Apahal kau tanya aku macam tu? Kau tahu kan aku dengan Dibah ni dah bercinta dari zaman sekolah lagi. Takkanlah aku nak main-mainkan hati dia."
Jebat mula sangsi dengan soalan daripada Fawwaz. Seakan-akan ada syak wasangka di wajah sahabatnya itu. Bukannya Fawwaz tak tahu dia dan Adibah sudah lama dilayar asmara cinta sejak usia belasan tahun lagi.
"Tak adalah. Aku cuma..." Fawwaz jeda. Matanya melilau di ruang persalinan yang sepi itu. Entah mengapa sejak Jebat berada di penjara, dia melihat ada kejanggalan di pihak Adibah.
Sering kali dia melihat gadis itu dijemput dan dihantar oleh seorang lelaki yang mempunyai kenderaan mewah. Lelaki yang sama pula tu!
"Cuma apa bro? Baik kau terus terang sebelum aku bagi ni kat muka kau!" tegas Jebat seraya mengacukan tumbukannya ke arah Fawwaz.
"Aish kau ni. Tak berubah betul suka ugut..."
"Cakap jelah apa dia. Mesti ada benda yang kau sorokkan daripada aku ni kan. Pasal Adibah. Kenapa dengan awek aku tu?" Jebat memaut bahu Fawwaz hingga tubuh mereka saling berlaga. Diusapnya kasar rambut Fawwaz hingga kusut.
"Argh rambut..."
"Jebat..."
Seketika, suasana hening tika suara gemersik menyapa dua sahabat itu. Figura Adibah yang sedang membawa plastik berisi ubat-ubatan dipandang dengan rasa kaget. Fawwaz terbangun dari duduknya. Memberikan ruang untuk Adibah duduk di sisi Jebat.
"Kau tak bagi tahu pun yang kau datang."
"Saja. Nak bagi surprise untuk kau. Kenapa? Kau tak suka ya aku datang?"
Jebat mengeluh berat. Dia menyarung pakaiannya seraya bersandar di dinding. Raut wajah Adibah dipandang dengan rasa cinta yang semakin mekar. Senyuman terukir di bibirnya yang memar. Anak rambut Adibah diselit ke belakang telinga.
Ingin menatap wajah cantik itu dengan lebih dekat.
"Kan aku dah cakap... aku tak suka kau tengok aku kena belasah kat gelanggang tu. Kau lupa?"
Adibah menepis lembut tangan Jebat yang ralit bermain dengan anak rambutnya. Senyuman pahit terkulum di bibir gadis itu. Perlahan-lahan, dia menyapu ubat ke dahi Jebat yang luka.
"Sakit tak?"
"Tadi sakit. Tapi bila awek aku ada depan mata aku, terus tak sakit dah."
Tak semena-mena, tawa Fawwaz meledak mendengar bicara Jebat. Dipandangnya saja figura dua manusia yang hangat bercinta itu silih berganti.
"Agaklah bro! Tak nampak kiri kanan ke ada orang single sedang memerhati."
Mendengar hal itu, Adibah tersentak. Ada rasa segan bertamu di lubuk hati tatkala Fawwaz mula mengusik.
"Kau berambus boleh? Jangan kacau aku nak dating dengan bakal isteri aku ni."
Tawa Fawwaz semakin kuat tatkala Jebat mula bertegas. Dia menggelengkan kepalanya seraya keluar dari ruangan itu. Lebih baik dia menurut daripada menerima habuan petinju itu.
"Bakal isteri? Kau... memang bersungguhkan nak jadikan aku isteri kau." Adibah menampalkan plaster di tepi dahi Jebat. Kapas dicapai sebelum menyapu ubat di tepi bibir kekasihnya pula.
"Kenapa tanya macam tu?"
Adibah kematian bicara. Terasa kelat liur di rangkungannya dengan nada Jebat yang bertukar tegang. Apatah lagi tatapan redup Jebat sudah bertukar galak.
"Aku dah kumpul duit kahwin kita, Dibah. Aku memang nak kau jadi isteri aku. Aku sayangkan kau. Cinta aku dekat kau tak pernah padam walaupun aku tahu aku tak layak nak berdamping dengan gadis seperti kau."
Dinding hati Adibah semakin tak keruan di saat Jebat mula meluahkan isi hatinya. Pandangannya dialihkan daripada menatap laman wajah Jebat. Tangannya yang ligat merawat luka Jebat diturunkan.
"Kenapa Dibah? Ada yang tak kena ke?"
"Tak... tak ada."
"Tipu!" Nada suara Jebat sudah meninggi. Melihat wajah Adibah yang pucat membuatkan Jebat semakin sangsi. Dicuitnya dagu si kekasih sehingga gadis itu terdongak.
"Kau cintakan aku?"
"Jebat... soalan apa..."
"Jawab soalan aku, Adibah. Kau masih cintakan aku atau cinta kau untuk aku dah hilang?" pintas Jebat. Menginginkan kepastian daripada Adibah tentang perasaan gadis itu.
Adibah menghelanafas berat. Pandangannya dialihkan daripada menatap laman wajah Jebat. "Aku... cintakan kau."
"Tipu. Kau tak pandang aku. Nampak sangat kau tak ikhlas..."
"Ikhlas ke tak ikhlas ke tu bukan persoalannya, Jebat! Sekarang ni boleh tak jangan tanya benda yang kau sendiri dah tahu jawapannya? Satu lagi, mulai hari ni kau tak payah nak bertarung sebab nak kumpul duit kahwin lagi. Cukup!"
Adibah bangun. Tak betah lagi berlama-lamaan di hadapan Jebat tatkala emosinya mula bercangkaliwang. Apatah lagi bahangnya tiba-tiba terasa saat Jebat mula mempersoalkan perasaannya.
Sikap acuh tak acuh Adibah membuatkan Jebat tercabar. Buru-buru dia mencengkem lengan Adibah seraya menghalang langkah gadis itu. Kedua-dua belah bahu Adibah dicengkam erat.
"Apa yang kau merepek ni? Aku kumpul duit kahwin untuk kita! Aku tak nak susahkan kau lagi. Aku nak kau jadi hak milik aku! Aku tak kisah kerja apa sekali pun asalkan kerja tu kerja halal. Demi masa depan kita, Adibah!"
Sungguh, setiap ketulusan Jebat membuatkan Adibah makin bersalah. Dia menepis kasar tangan Jebat. Ya Tuhan, ingin sekali dia mengucapkan kata-kata yang sudah lama terpendam. Namun, dia tak tega mengecewakan Jebat Khuwailid.
"Kenapa Dibah? Sejak aku keluar dari penjara, kau dah lain. Bagi tahu aku apa salah aku dekat kau. Kenapa kau boleh persoalkan tentang niat aku? Angan-angan kita yang nak bersatu sebagai suami isteri. Kenapa? Kau tahu kan aku cintakan kau."
Adibah menarik nafas sedalamnya. Dia tertunduk. Memandang cincin belah rotan yang tersarung di jari manisnya. Perlahan-lahan, Adibah melepaskan cincin pemberian Jebat itu seraya diletak di telapak tangan kekasihnya.
"Apa ni Dibah?"
Jebat sesak. Dia mengerti pandangan Adibah tika ini. Kosong. Tiada lagi biasan cinta yang membuatkan dia hanyut.
"Aku minta maaf. Tapi aku dah tawar hati dekat kau. Aku tak boleh tipu diri aku lagi. Mulai hari ni, kau tak payah cari duit untuk kita lagi. Lebih baik kita bawa haluan masing-masing daripada aku terus tipu kau lagi yang aku dah ada orang lain."
Mendengarkan itu, Jebat merasakan kakinya terpasak di atas bumi. Seluruh tubuhnya menggigil. Wajahnya membahang menahan amarah dan kecewa. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat sehingga mencucuk tapak tangan.
"Adibah tapi aku cintakan kau..."
"Buang cinta kau dan pergi dari hidup aku, Jebat Khuwailid! Aku tak nak bekas banduan jadi suami aku. Aku tak nak maruah keluarga aku tercalar disebabkan aib dalam keluarga kau!"
Bersambung...
27.7.2024
50 votes 10 comment unlock new chapter
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top