EPISOD 79
AIR bunga mawar disiram ke atas pusara yang tanahnya masih merah. Datin Bahriah mengusap lembut batu nisan yang bertulis dengan nama Razali bin Anjang. Nafas ditarik sedalamnya. Tak menyangka bahawa suaminya akan pergi dalam keadaan yang menyayat hati akibat dipanah petir.
"Mummy..."
Datin Bahriah mendongakkan kepalanya. Alangkah sebaknya hati wanita berbaju banduan itu melihat figura ketiga-tiga orang anaknya yang sudah berkumpul. Dia mendepakan tangannya. Menyambut pelukan Jasmine yang hanya kelihatan kosong dengan pemergian si ayah.
"Qasrina... kenapa muka pucat sangatni? Kurus pulatu. Qasrina tak jaga diri ke duduk sana?"
Jasmine hanya diam. Menatap pusara si ayah dengan tatapan kosong. Tiada kesedihan yang bergayut di dinding hati. Jasmine sendiri tak tahu apa yang harus dia rasakan di saat si ayah meninggal selang tiga hari selepas pemergian Nek Timah. Dia tiada memori manis bersama Datuk Zali.
"Korang kena jaga adik korangni! Dia je satu-satunya adik perempuan korang. Tak kiralah Qasrina adik tiri sekalipun. Awas eh kalau mummy dah keluar penjara adik korang masih tak berseri lagi."
"Tengok tu Qas... kau degil kitorang berdua ni yang nak kena ganyang dengan mummy kejap lagi." Jazimin turut memeluk erat tubuh ibunya usai saja Jasmine meleraikan pelukan. Sungguh, dia rindukan kehangatan Datin Bahriah.
Melihat kemesraan ibu dan adik-adiknya, Jebat hanya kaku. Kekok rasanya berhadapan dengan Datin Bahriah. Apatah lagi Jebat merasakan dirinya begitu kerdil menjadi anak buangan ibu kandung sendiri.
"Jebat... sini..."
Selangkah demi selangkah, Jebat menghampiri Datin Bahriah. Menyalami tangan si ibu. Senyuman pahit terkulum di bibirnya.
"Datin... jaga kesihatan..."
"Janganlah panggil mummy macamtu. Jebat anak mummy... mummy yang lahirkan Jebat. Mummy minta maaf... mummy minta ampun..."
Jebat terkesima tatkala Datin Bahriah terduduk melutut di hadapannya. Dia terkelu tatkala ibunya bersujud di kakinya memohon sebuah keampunan. Lantas, Jebat turut terduduk setentang dengan si ibu. Pipi Datin Bahriah diusap lembut. Mengesat air mata yang tersisa di wajah Datin Bahriah.
"Saya marah dengan datin sebab buang saya dengan Zafri. Tapi, datin ibu kandung saya. Kalau datin tak ada... saya takkan lahir kat dunia ni. Besar jasa datin terhadap saya. Saya maafkan... tapi bagi saya masa untuk belajar menerima kenyataan yang datin... ibu kandung yang dah berjuang melahirkan anak-anak datin..."
Perlahan-lahan, Jebat menarik lembut tubuh Datin Bahriah ke dalam pelukannya. Nafas panjang dihela tatkala tangisan Datin Bahriah semakin kuat. Di sebalik kaca mata hitamnya, tubir mata Jebat juga terasa hangat dengan kasih yang dicurahkan buat si ibu. Dia dapat rasa, air mata penyesalan Datin Bahriah yang sudah membuangnya dan Zafri.
Melihat Jebat mula menerima Datin Bahriah, dinding hati Jasmine terasa sejuk. Seolah-olah, tiada derita yang pernah menghancurkan dirinya. Dia mengulum senyum pahit melihat Datin Bahriah berpelukan dengan Jebat dan Jazimin. Setitis air mata yang mengalir ke pipinya dikesat lembut.
Andai suatu saat nanti, Tuhan turut mengambilnya daripada mereka, inilah di antara momen yang paling bahagia dalam hidup Jasmine Qasrina. Apatah lagi dirinya yang mula memberikan kemaafan kepada Datin Bahriah. Tenang rasanya tika dendam dan amarah sirna dari hidup.
🌹🌹🌹
CUACA begitu redup petang itu. Angin sepoi-sepoi menyamankan suasana. Jazimin hanya memerhatikan Jebat dan Elman yang sedang bermain layang-layang di pekarangan rumah Nek Timah. Kuih cempedak yang digoreng oleh Jasmine dikunyah. Patutlah Jasmine suka tinggal di kampung.
Tenang.
"Kau tak penat ke bang? Seharian Elman tak nak berenggang dengan kau sampai dia abaikan aje ibu dia."
"Tak pernah terlintas erti penat dalam hidup aku kalau pasal Elman. Tak lepas rindu lagini. Nanti, diorang dah balik sana entah bila boleh jumpa lagi." Jebat melabuhkan duduk di sisi Jazimin sambil memangku tubuh kecil Elman.
"Ibu dia... tak rindu?"
Jebat hanya kaku. Dia mengusap rambut Elman.
"Kau tak jawab pun aku dah tahu. Kau masih rindu, sayang, cintakan Qasrina. Ala apa susah... alang-alang dia dah balik Malaysia, kau rampas je dia daripada Ezhar tak guna tu!"
Mendengar hal itu, Jebat terbahak-bahak dengan cadangan konyol Jazimin. Dia mengunyah kuih cempedak kegemarannya. Enak. Lembut.
"Mengarutlah kau! Berdosa hancurkan masjid orang. Ni, kau beli kat mana kuih cempedakni? Sedap. Dah lama tak makan kuih yang ikut tekak aku."
"Qasrina yang buat. Hah sebab tu aku suruh kau rampas bolehlah kau minta Qasrina buatkan kau kuih cempedak hari-hari. Ni nanti kalau Qasrina balik Itali, kalau kau craving kuih cempedak macam mana?"
Tak semena-mena, wajah Jebat membahang. Dia menambah lagi sebiji kuih cempedak. Tengkuknya diusap lembut tatkala rasa janggal bertamu di lubuk hati. Dia rampas Jasmine daripada Ezhar? Tak pernah lagi dia dengar lelaki menjadi perampas isteri orang!
"Aku... cuba nak lupakan dia sebenarnya..."
"Haish! Kenapa pula?"
"Dia isteri orang. Tak manis kalau aku ada apa-apa perasaan dekat Jasmine. Kejap lagi dia ada anak dengan Ezhar. Anak dalam kandungan tu bukti jiwa diorang dah menyatu..."
"Abang! Kau jangan mengarutlah! Kau ingat, Qasrina rela ke serahkan diri dia dekat Ezhar? Aku bagi tahu kaulah ya. Ezhar tu kaki minum! Kaki perempuan! Sahlah ada benda yang dia buat kat adik kita sampai Qasrina mengandung! Aku risau tau sebenarnya dia apa-apakan Qasrina."
"Jazimin!"
Tak semena-mena, Jazimin tersentak tatkala suara lancang Jasmine kedengaran. Matanya terbuntang tatkala ditangkap mengumpat tentang Ezhar. Terasa kelat liur di rangkungannya melihat Jasmine yang sudah menyinga.
"Qas..."
"Korang tak ada hak nak cakap yang buruk-buruk pasal suami aku!"
"Lah dah benda betul..."
"Kau diam!" Jasmine menghalakan jari telunjuknya ke hadapan Jazimin. Wajah Jebat dan Jazimin dipandang silih berganti. Bibirnya diketap. Dia dengar... Jebat masih mencintainya. Jasmine tak mahu Jebat terluka lagi.
"Rampas aku daripada dia? Kau sedar diri tak kau tu siapa, Jebat? Kau mampu ke nak mewahkan aku macam dia?"
"Wei Qas! Abang Jebat tak pernah cakap pasal benda tu. Aku yang cakap..."
"Kau diamlah! Aku bercakap dengan abang kesayangan kauni! Kau dengar sini eh Jebat. Kau letak ayat aku ni dalam kepala dan hati kau tu!"
Jebat hanya kaku. Dia kehilangan kata tatkala kebencian terpancar di sebalik wajah Jasmine.
"Kau tak layaklah nak dapatkan cinta daripada aku! Aku pun tak perlukan cinta daripada lelaki macam kau! Bekas banduan pula tu!"
"Qasrina... jangan melampaulah! Abang Jebat tak bersalah..."
"Kau diam! Kau bawa Elman masuk. Banyak benda aku nak bercakap dengan abang tiri aku ni."
Jebat menghela nafas panjang. Hatinya sedikit terluka dengan hinaan Jasmine. Dia, bekas banduan. Itulah hakikatnya. Dia punya rekod jenayah yang akan kekal hingga ke hujung nyawa hanya demi mendapatkan keadilan buat Encik Fazil.
"Bawa Elman masuk..."
Jazimin mencebik. Dia memimpin tangan Elman masuk ke dalam rumah. Kesal dek mengumpat tentang Ezhar sehingga Jebat yang harus berdepan dengan amarah Jasmine.
"Adik abang nak cakap apa?"
"Kau sindir aku?"
"Kau adik aku, kan? Bukan cinta aku lagi."
Tak semena-mena, wajah Jasmine membahang kepanasan dengan frasa 'cinta' daripada Jebat. Dia nampak masih ada ketulusan cinta di sebalik pandangan pemuda tinggi lampai itu. Jasmine mengenggam kedua-dua belah tangannya menahan gelodak jiwa.
"Baru cakap pasal cinta muka kau dah merah. Kenapa? Masih sayangkan aku lagi?"
"Tak payah nak perasanlah!"
"Perasan je. Kau..."
Jebat jeda. Dia menundukkan sedikit kepalanya menatap laman wajah Jasmine dengan lebih dekat.
"Masih sayangkan aku, kan? Tak apa. Mesti susah nak lupakan aku. Aku pun sama... masih tak mampu berhenti cintakan kau, Jasmine Qasrina."
Jasmine mengalihkan pandangannya tatkala Jebat mencuba membaca isi hatinya. Terasa kelat liur di rangkungan tatkala Jebat mula dalam mood mengusik. Ya Tuhan, dia ingin menyedarkan Jebat hakikat bahawa mereka takkan pernah menyatu.
"Sampai bila?"
"Aku tanya kau balik. Sampai bila kau nak sayangkan aku? Padahal... kau dah jadi isteri Ezhar. Kau tengah mengandungkan anak dia."
"Aku dah tak sayangkan kau lagi."
"Penipu."
"Macam mana lagi caranya aku nak buktikan dekat kau yang aku tak ada apa-apa perasaan dekat kau?" Nada suara Jasmine sedikit meninggi.
"Pandang aku bila bercakap." Jebat mengulum senyum sinis tatkala Jasmine menurut. Memandang wajahnya. Namun, anak mata wanita itu sesekali ke kiri. Tak mahu pandangan mereka bertaut.
"Sekarang cakap dengan aku... kau tak sayangkan aku."
"Aku bencikan kau."
Jebat tertawa sinis tatkala suara Jasmine hanya dengar tak dengar saja. Bahkan, ucapan itu bukan lahir daripada hati wanita itu.
"Tak dengarlah. Aku ni dah tua... kepala aku ni dah banyak kali kena hentak. Haritu, telinga aku cedera lepas perlawanan tinju. Jadi, ada masalah pendengaran sikit."
Melihat Jebat seolah-olah mencabarnya, Jasmine jadi panas hati. Dia mengeluh berat. Pandangannya tajam menikam raut wajah Jebat. Dia perlu lawan rasa yang masih terzahir buat Jebat. Mana mungkin dia tewas dengan pemuda itu.
"Kau dengar sini, Jebat Khuwailid! Aku, tak sayangkan kau dan kau boleh buang rasa cinta kau untuk aku! Kalau terlintas di fikiran kau nak rampas aku daripada Ezhar, jangan bermimpi. Sekarang, aku tengah cuba nak sayang dan cintakan dia sebagai suami aku! Aku tengah mengandungkan anak dia dan itu bermaksud aku dah serahkan jiwa dan ragu aku dekat suami aku! Kau... boleh berambus daripada hidup aku dan jangan pernah tunjukkan jasad kau depan aku dengan Elman lagi."
Jasmine mendengus. Dia melangkah masuk ke dalam rumah.
"Kau tak payah nak menipulah Jasmine! Kau menderita dengan dia! Dia dera dan seksa kau hidup-hidup! Anak dalam kandungan kau tu bukan sebab cinta tapi nafsu serakah jantan dayus..."
Jebat kematian bicara tika Jasmine menampar kuat wajahnya. Dia terkesima. Pijar. Telinganya berdesing dengan amarah wanita itu. Kali ini, dia melihat tatapan kebencian Jasmine. Bukan lagi helah. Itu pandangan asli Jasmine.
"Kau tak ada hak nak cakap macam tu pasal suami aku! Kau tak tahu apa-apa..."
"Aku tahu! Elman dah bagi tahu aku semuanya! Aku boleh belasah dia balik kalau dia sakitkan orang yang aku cinta..."
"Elman? Huh! Kau percayalah cakap budak yang tak tahu apa-apa! Dia tipu kau je sebenarnya sebab dia tak suka ayah tiri..."
"Kau tu yang penipu! Kau tutup kejahatan suami kau untuk apa? Nak nampak kau bahagia dengan jantan tak guna tu? Kalau Elman tak bagi tahu aku pun... aku dapat rasalah kau menderita, Jasmine! Muka kau tak boleh tutup kesedihan kau. Aku dapat baca sebab aku cintakan kau! Bila kita mencintai seseorang walau sejauh mana sekali pun kita terpisah, hati ni tetap kuat mengatakan orang yang kita cinta menderita. Aku... takkan biarkan dia sakitkan kau lagi. Kalau nyawa aku jadi taruhannya, aku dah lama bersedia untuk lindungi kau."
Suasana hening buat seketika. Jasmine terkelu. Hanya tatapan amarahnya yang masih menatap laman wajah Jebat. Terasa kelat liur di rangkungannya. Ruang memori mula mengimbas nyawa Jebat yang diancam dan hampir dibunuh kerana menggugat rancangan Ezhar, seiringan pula dengan amarah Ezhar setiap kali dia menyebut tentang Jebat.
Jasmine buntu. Dia tak mahu menyakiti Jebat lagi.
"Aku tahu kau cuma cintakan Zafri. Itu hak kau. Tapi... aku pun ada hak aku untuk pertahankan cinta aku. Aku tak nak kau menderita. Aku nak bina kebahagiaan dengan kau, dengan Elman walaupun kisah cinta kita tak sempurna macam orang lain." Jebat mengalihkan pandangannya. Fikirannya sesak tatkala Jasmine hanya kaku.
"Aku... isteri orang. Aku... hak milik Ezhar. Kau kena terima kenyataan tu. Pergi dari hidup aku. Itu... kebahagiaan aku bila kau pergi dan tak wujud dalam hidup aku lagi. Aku akan lupakan kewujudan Jebat Khuwailid dalam hidup aku."
Hanya itu yang mampu Jasmine ucapkan tatkala jiwanya kian rapuh dengan ketulusan cinta Jebat buatnya. Bibirnya menggeletar menahan tangis.
"Jadi... kau takkan bagi aku peluang?"
"Tak."
"Kau nak aku pergi?"
"Ya. Jangan pernah wujud depan aku lagi."
Arahan mandatori Jasmine cukup membuatkan hati Jebat terluka parah. Pandangan kebencian Jasmine terhadapnya membuatkan Jebat kaku. Sakit di hatinya lebih sakit daripada dibelasah di gelanggang tinju. Jasmine, tak perlukan dirinya lagi. Jasmine tekad membuangnya daripada hidup wanita itu.
"Tapi aku cintakan kau..."
"Aku tak perlukan cinta daripada bekas banduan. Kau boleh bawa cinta kau untuk aku pergi sejauh mana sekalipun aku tak kisah! Jangan pernah ingat pasal aku lagi. Kau tak boleh nak ubah kenyataan kau takkan ada peluang untuk miliki aku lagi. Kau jangan kejam sangat rampas ibu daripada anak Ezhar yang sedang membesar dalam kandungan aku."
Sungguh, seluruh tubuh Jebat jadi kejang dengan kata-kata Jasmine. Dia mengangguk lemah. Mengerti kehendak Jasmine yang sedang belajar mencintai Ezhar.
"Kau takkan menyesal?"
"Tak. Ini pilihan aku."
"Okey. Kalau itu yang kau nak, aku hormat keputusan kau. Aku akan lupakan kau dan Elman. Jasmine Qasrina... tak pernah wujud dalam hidup Jebat Khuwailid. Tapi, andai takdir mempertemukan kita lagi aku takkan pernah anggap kau istimewa dalam hidup aku lagi. Sebab itu pilihan kau yang aku akan tunaikan."
Mendengar kata-kata keramat itu, Jasmine meluru masuk ke dalam rumah. Nafasnya sesak. Tubir matanya terasa hangat tatkala Jebat tekad untuk menurut arahannya. Tubuhnya tersandar lemah di belakang pintu. Kakinya melorot ke atas lantai. Kandungannya diusap lembut.
"Saya minta maaf... Jebat... saya tak nak awak sakit... mencintai saya lagi..."
Jasmine menekup kedua-dua belah mulutnya. Tangisannya pecah memenuhi ruang kamarnya. Dadanya ditepuk bertalu-talu tatkala seluruh tubuhnya rengsa dengan perasaan yang kian berperang.
Dia menyayangi Jebat Khuwailid. Tapi, takdir bukan untuk mereka.
Tika itu, Jebat juga kian rapuh dengan keputusan Jasmine yang tak mahu memberikan peluang kepada mereka. Kuih cempedak dikunyah bersama rasa sesak yang menghiris tangkai hati. Selepas ini, dia takkan lagi merasai hasil tangan cintanya lagi...
"Takdir... memang bukan untuk kita ya cinta? Mustahil ke untuk kita bina kebahagiaan kita? Kau bersungguhkan... tak nak aku lindungi kau lagi? Tak apa cinta... aku akan lupakan kau buat selamanya kalau itu yang kau nak..."
Bersambung...
9.2.2025
OST apa sesuai untuk Jebat&Jasmine? Cuba komen lagu apa yang terlintas di fikiran korang kalau baca KYTT
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top