EPISOD 73
JASMINE terbangun daripada lenanya tatkala ketukan pintu di luar kamar kedengaran. Seluruh tubuhnya terasa sengal. Tangan kekar Ezhar yang masih memeluk erat tubuhnya dileraikan perlahan-lahan. Tak mahu mengejutkan si suami yang masih dibuai lena.
Jijik.
Hanya itu yang mampu Jasmine rasakan sepanjang dia dijadikan tempat pelampias nafsu Ezhar. Lelaki itu memang sudah hilang kewarasan. Jasmine terpaksa menurut jikalau tak mahu dibelasah oleh lelaki kejam itu. Sakit! Jasmine jadi sesak.
"Ibu... Elman lapar..."
"Ya... ya sayang... ibu keluar..."
Perlahan-lahan, Jasmine bangun daripada pebaringan. Dengan langkah yang pincang, dia melangkah keluar. Sesekali, Jasmine berpaut dengan dinding tatkala kesakitan di seluruh tubuhnya meragut kekuatannya. Sebaik saja pintu dibuka, Jasmine tersenyum pahit. Kelihatan wajah cemberut Elman yang sudah berpeluk tubuh.
"Anak ibu lapar ya. Nak ibu masak apa harini?"
"Ibu sakit?"
"Tak adalah sayang. Ibu mengantuk. Kan semalam kita baru sampai sini."
Elman memimpin tangan Jasmine melangkah turun. Kedinginan mencengkam ke tulang-temulang anak kecil itu. Dia dapat rasa Jasmine sedang menanggung kesakitan melihat wajah ibunya yang tak bermaya.
"Pak cik jahat pukul ibu ke?"
"Kenapa cakap macamtu? Dia kan papa Elman..."
"Muka ibu ada darah. Pak cik jahat pukul ibu ke?"
Tak semena-mena, Jasmine terkesima tatkala Elman menyentuh pipinya yang lebam dek ditumbuk oleh Ezhar. Ngilu. Hanya kerana dia tak mahu melayan kehendak Ezhar, tubuhnya dijadikan tinju si suami lagi. Ya Tuhan, inikah jodoh yang Datuk Zali aturkan buatnya? Belum sebulan, tubuhnya ini sudah dijadikan tinju sang suami.
"Ibu..."
"Ibu jatuhlah. Dah. Kita makan lepastu kita tengok sekolah baru Elman." Tanpa berlengah, Jasmine menyediakan bahan membuatkan lempeng coklat buat Elman. Sesekali, dia mengerutkan dahinya tatkala tubuhnya terasa sengal. Sakitnya benar-benar melumpuhkan kekuatan Jasmine.
"Aku dah cakap dengan kau layan aku macam raja!"
Jasmine mengerekot tatkala tubuhnya diterajang oleh Ezhar. Dia ingin melawan namun apa sajalah kudratnya sebagai seorang wanita tatkala tubuh Ezhar lebih kekar berbanding tubuh kecilnya.
"Layan aku, Qasrina! Kau isteri aku!"
"Aku bukan patung pemuas nafsu kau binatang!"
Tumbukan dihenyak ke pipi Jasmine tatkala dia ingin menentang. Tatkala dia ingin menjerit kesakitan, mulutnya ditekup oleh si lelaki kejam itu sebelum tubuhnya dijadikan mangsa kerakusan nafsu binatang Ezhar.
"Sayang!"
Jasmine terhinggut tatkala pinggangnya dipaut dari belakang. Tubuh Jasmine serta-merta menggigil tatkala kehadiran Ezhar membuatkan dia gerun. Buru-buru, Jasmine meletakkan lempeng di atas pinggan seraya meleraikan pelukan Ezhar.
"You marah I ke?"
"Elman... makan ya. Ibu nak kemas barang kita."
Melihat kedinginan Jasmine mencabar kesabaran Ezhar. Pemuda itu membuntuti Jasmine seraya mencengkam lengan si isteri. Tubuh Jasmine dihempas ke dinding.
"Macam ni ke Zafri ajar kau layan suami?"
"Tak. Dia tak ajar aku kurang ajar dengan suami! Tapi, kau tu tak layak untuk dihormati! Kau lebih celaka daripada binatang!"
Tak semena-mena, Jasmine membuntang tatkala lehernya dicekik. Nafasnya terasa sesak di rangkungan. Tangannya terkapai-kapai ingin melepaskan diri daripada Ezhar. Sakit. Batang lehernya seolah-olah dipatahkan!
"Sayang... aku nak bahagiakan kau. Jangan buat aku marah boleh tak?"
Ezhar mendengus tatkala wajah Jasmine memerah. Dia mengusap rambut Jasmine. Kedua-dua belah pipi Jasmine diapit.
"Jangan layan aku macam ni. Aku tak nak lukakan kau. Aku sayang kau. Aku cintakan kau, Qasrina..."
"Cinta bukan begini..."
Jasmine tercungap-cungap ingin mencari nafas tatkala dia terlepas daripada cekikan Ezhar. Lehernya diusap lembut. Pandangannya bertaut dengan Ezhar tatkala rasa benci semakin menggunung.
"Kalau... Kau cintakan aku... Kau.... takkan pukul aku..."
"Syhh! Jangan cakap macam tu. Aku pun tak nak pukul kau, sayang... aku cuma nak ajar kau yang kurang ajar dengan aku. Siapa lagi nak ajar kau jadi isteri yang taat selain aku?"
Jasmine mendengus. Dia menepis kasar tangan Ezhar seraya mengemas barangan di ruang tamu rumah baharu mereka. Tak betah dengan kata-kata manis Ezhar yang hanya memanipulasi keadaan.
"Ibu! Nanti kita main salji. Nak tak?"
Ezhar mengeluh berat tatkala Elman menganggu momennya bersama Jasmine. Senyuman palsu terukir di bibir pemuda itu.
"Ibu sibuk. Dia kena duduk rumah. Biar papa bawa Elman main salji."
Elman mencebik apabila Ezhar mengusap kepalanya. Dia menjelirkan lidah kepada Ezhar seraya membantu ibunya mengemas bingkai-bingkai gambar di penjuru meja.
"Pak cik jahat! Elman tak suka pak cik! Dahlah muka macam joker!"
Mendengar hal itu, Jasmine menyembunyikan tawa. Hatinya sedikit tercuit melihat telatah Elman. Padan muka!
"Kurang ajar!"
"Kau jangan naik tangan dengan anak aku!"
Tak semena-mena, nada suara Jasmine naik seoktaf tatkala Ezhar ingin menampar wajah Elman. Jari telunjuknya dihalakan ke hadapan wajah Ezhar. Pandangannya penuh dengan kebencian.
"Jangan sentuh anak aku."
Ezhar mendengus dengan larangan Jasmine. Dia menunjal kepala Jasmine seraya meluru naik ke atas. Tak mahu amukannya dilepaskan buat isterinya. Dia mencintai Jasmine! Tak mahu sama sekali naik tangan. Tapi, Jasmine sering saja mencabarnya!
"Uncle jahat!"
"Elman. Jangan cakap macamtu..."
Elman kelu. Bibirnya menggeletar melihat wajah pucat Jasmine. Dia dapat rasa, ibunya dikasari oleh ayah tirinya. Jasmine tak berseri seperti sepanjang mereka dijaga oleh Jebat dengan penuh kelembutan. Lantas, Elman memeluk erat tubuh Jasmine. Dia menangis teresak-esak.
"Kenapa ni anak ibu? Janganlah sedih. Lepas kerja ibu dah siap kita main salji..."
"Elman nak uncle abah. Elman tak nak main salji!"
Mendengar hal itu, seluruh tubuh Jasmine kembali rengsa. Dia hanya mampu mengusap belakang tubuh Elman yang menangis tanpa henti. Bibirnya turut menggeletar. Tak semena-mena, tangisan Jasmine juga pecah. Dia sesak. Dia penat. Sejujurnya, dia mahukan Jebat melindungi dia dan Elman. Seperti yang Jebat sering lakukan sepanjang menjadi pengawal peribadinya.
"Ibu..."
"Dengar sini..."
Jasmine yang masih teresak-esak mengapit kedua-dua belah pipi Elman. "Dengar sini apa yang ibu nak cakap. Sekarang... uncle abah Elman takkan jaga Elman lagi tau. Ibu dah kahwin dengan ayah baru Elman. Elman kena terima ayah baru..."
"Tak nak! Dia jahat! Dia sakitkan ibu! Uncle abah tak pernah pukul ibu! Tak pernah marah ibu!"
Elman menolak lembut tubuh Jasmine seraya meluru naik ke kamarnya. Dia menangis melepaskan rindu buat Jebat. Dia rindukan Jebat yang sentiasa membahagiakan hari-harinya tanpa seorang ayah.
Saat itu, tangisan Jasmine semakin mendayu-dayu. Dadanya ditepuk-tepuk menghilangkan sesak yang membuatkan Jasmine terkapai-kapai dalam lautan kesedihan. Sakit di sudut hatinya ini lebih seksa berbanding dibelasah oleh Ezhar.
"Ya Allah... salahkah aku cuma nak secebis kebahagiaan dalam hidupku? Tolonglah aku Ya Allah... aku menderita..."
Tika itu, Jasmine hanya mampu merintih kepada Sang Ilahi tanpa henti. Hanya kepada Allah dia berserah. Jasmine juga sudah tak tahu bagaimana caranya untuk dia melepaskan diri daripada kekejaman Ezhar mahupun Datuk Zali.
🌹🌹🌹
RENO khusyuk memerhatikan perlawanan tinju yang sedang berlangsung dalam pusingan ketiga. Gerak tangkas pemuda yang mendominasi perlawanan pada malam itu sungguh menarik perhatiannya. Hanya sesekali, wajah dan tubuh si pemuda menerima tumbukan dan tendangan pihak lawan.
Tatkala pengadil mengumumkan keputusan, Reno tertawa sinis mendengar nama Jebat Khuwailid memenangi perlawanan tinju malam itu.
"Kau memang anak aku, Jebat. Pantang mengalah! Kau patut ganti aku uruskan business aku bukan biarkan diri kau dihina!"
"Bos... jadi kita nak buat apa?"
"Tunggu budak tu kat belakang. Kalau dia tak nak, kau guna cara kasar. Aku tak nak lambat!"
Arahan mandatori dikeluarkan. Reno melangkah keluar dari dewan tinju menanti untuk menjemput Jebat menjadi sebahagian daripada mereka. Inilah masanya untuk dia perkenalkan Jebat dengan dunia gelap demi menggantikan Encik Fazil!
🌹🌹🌹
"TAHNIAH Jebat!"
"Kau baru je sembuh dah comeback terus! Tak chill!"
Melihat pujian demi pujian diberikan kepada sahabatnya, Fawwaz mengulum senyum. Dia senang hati melihat Jebat masih kelihatan gagah di gelanggang tinju meskipun hati sahabatnya sudah dihancurkan sekelip mata. Jebat memang pertarung sejati.
"Terima kasih."
"Terima kasih je? Makan-makan tak ada? Banyak kut duit kau dapat."
Jebat mengherot senyum sinis tatkala Fawwaz menyenggol pinggangnya. Pandangannya bertaut dengan Fawwaz yang sudah memicit-micit bahunya yang terasa lenguh.
"Kau nak bodek berapa ringgit?"
Fawwaz tertawa dengan tuduhan Jebat. "Aku nak bodek kau pergi boxing championship kat London bulan depan."
Tatkala sebuah risalah diberikan kepadanya, Jebat menghela nafas berat. Boxing championship. Pertarungan sengit mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam perlawanan tinju.
Sifu Aki sudah pernah mempelawa Jebat menyertai pertandingan itu namun Jebat belum bersedia meninggalkan ibu dan kakaknya keluar dari Malaysia.
"Masuklah Jebat. Hadiah lumayan kut. Inilah peluang untuk naikkan lagi nama kau dalam dunia tinju. Kau berpotensi. Sayang kalau kau tak gunakan potensi yang kau ada. Lagi pun... kau kan nak buka tempat tinju untuk ajar orang bertinju. Impian kau kut."
Fawwaz cuba memujuk sahabatnya. Dia mahu Jebat lupakan kesedihan dengan pernikahan Jasmine dan Ezhar. Sahabatnya juga perlu bahagia!
"Aku tak mampu... mak aku kakak aku siapa nak jaga?"
"Aku ada. Mak aku ada boleh tengok-tengokkan mak dengan kakak kau. Ala, kau bukannya menetap kat sana. Kau ke sana kalau ada perlawanan aje. Pergilah! Kau kena buktikan kau bukan sampah! Ini balas dendam yang terbaik buat datuk angkuh yang dah sampahkan hidup kau. Buktikan dengan dia, sampah macam kau pun boleh berjaya dalam hidup."
Kata-kata Fawwaz membuatkan Jebat bungkam. Maklumat yang tertera di risalah dibaca tanpa jemu. Wang lumayan berjumlah dua puluh ribu ringgit. Perlawanan bersama dengan petinju dari antarabangsa berkelas tinggi.
Dia tak nafikan bicara Fawwaz, melalui perlawanan inilah jika rezeki kemenangan berpihak kepadanya, dia boleh membalas dendam buat Datuk Zali... serta Jasmine Qasrina yang telah menghina dan membuangnya.
"Jebat! Ada orang nak jumpa kau."
Perbualan Jebat dan Fawwaz terhenti tatkala Maxwell memanggil Jebat.
"Siapa?"
"Katanya kawan kau. Aku pun tak kenal."
Jebat mula sangsi. Tanpa berlengah, dia mencapai beg galasnya seraya melangkah keluar dari tempat persalinan baju dewan tinju itu melalui pintu belakang. Matanya melilau mencari figura yang dibicarakan oleh rakannya.
"Jebat Khuwailid!"
Tatkala namanya dipanggil, Jebat kalih ke belakang. Dia membuntang melihat figura Reno dan dua orang suruhannya yang sudah meluru ke arahnya. Jebat menghela nafas berat.
"Kenapa? Nak belasah aku lagi?"
Reno tertawa sinis dengan sindiran Jebat.
"Aku minta maaflah dah belasah kau haritu. Aku datang nak tawarkan kerja baik untuk kau macam yang aku dah cakap dekat kau haritu."
"Aku dah cakap aku tak berminat."
"Tapi aku berminat nak jadikan kau sebahagian daripada kitorang. Kau kuat, Jebat. Aku perlukan kekuatan macam kau untuk direkrut jadi konco-konco aku. Kau akan kaya. Tak akan dihina lagi oleh Zali."
Pelawaan Reno seolah-olah meracun fikiran Jebat. Dia kaya. Dia takkan dihina lagi oleh Zali kerana statusnya. Sungguh, Jebat sedikit tertarik dengan pelawaan Reno.
"Aku... kena buat apa?"
Mendengar hal itu, Reno mengherot senyum sinis. Dia memaut bahu Jebat. Membawa pemuda itu masuk ke dalam van hitamnya. Mudah saja mahu menjebak Jebat tatkala pemuda itu dipatahkan hatinya kerana statusnya yang kurang berkemampuan.
"Ni. Kita akan berurusan dengan benda-benda ni."
Tatkala bonet van dibuka, alangkah kagetnya Jebat melihat beberapa buah kotak berisi serbuk putih yang dimasukkan ke dalam pek lut sinar memenuhi kotak. Pandangannya bertaut dengan Reno. Degupan jantungnya kencang tatkala dia mengetahui bahawa mereka benar-benar berurusan dengan barang terlarang!
Bersambung...
6.2.2025
Saya rasa akan ada terlebih bab... harap korang bertabah. Terima kasih sudi luangkan masa baca KYTT. Sorry kalau tak menarik dan asyik buat korang emo hahahaha jangan marah saya...
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top