EPISOD 7
"MAK buat apa kat sini? Kenapa tak call Zali dulu kalau nak datang? Mak sengajalah kan nak bagi orang tengok anak mak ni manusia yang tak bertanggungjawab?"
Datuk Zali menghempaskan tubuhnya di atas kusyen. Dipandangnya saja figura Nek Timah yang masih berdiri membelakangi pintu pejabat. Sungguh, amarahnya meluap-luap melihat kedatangan wanita tua itu.
Malu!
"Kalau mak datang sini pun pakailah yang elok sikit. Anak mak ni... banyak duit. Karang orang cakap apa pula kalau..."
"Kau malu ya mak kau yang miskin ni datang jumpa kau?"
Datuk Zali terkelu tatkala Nek Timah mula menyindir. Pandangannya dialihkan daripada menatap wajah si ibu yang sudah berdiri di depannya. Memang, dia malu punya ibu yang miskin seperti Nek Timah.
"Tak call kau? Zali, kalau mak mati kejung pun belum tentu kau angkat call mak. Berkali-kali mak call, kau langsung tak jawab. Salah mak ke?" Nek Timah mengeluh berat. Kecil hati tuanya tika si anak menyambut kehadirannya dengan bermasam muka.
"Mak nak apa sebenarnya ni? Cakaplah terus. Kalau nak duit... Zali bagi lepastu mak pulang jelah. Zali sibuk sekarang ni!" Datuk Zali bangun seraya menekan interkom di meja. Meminta setiausahanya membuat air buat dia dan Nek Timah.
Dia mahu Nek Timah pergi secepatnya.
"Kau sihat, Zali?"
"Sihat. Mak sihat?"
"Kalau mak tak sihat pun... mak tetap akan jumpa kau juga untuk cucu mak."
Mendengar hal itu, Datuk Zali tersenyum sinis. Dia berpeluk tubuh seraya bersandar di meja pejabat. Dia sudah agak pasti kehadiran ibunya ini berkaitan dengan Jasmine Qasrina.
"Kenapa dengan budak tu? Tak cukup lagi ke duit yang Zali kirimkan dekat mak untuk uruskan pengebumian suami dia? Tak cukup lagi ke Zali tolong belikan barang-barang cicit mak tu?"
Suasana sepi buat seketika. Hanya pandangan dua beranak itu saling bertaut. Sungguh, setiap tutur bicara Datuk Zali semakin mengguris hati tua Nek Timah. Anak tunggalnya ini, semakin diberikan kemewahan semakin alpa.
Angkuh!
"Itulah, tak dengar cakap Zali. Tu namanya karma sebab tak dengar cakap orang tua. Zali dah kata Qas hidup dengan si apa ke nama budak tu Ari? Zafi? Apa-apa jelah akan buat dia menderita je! Tengok kan dah mati laki..."
"Zali! Jaga sikit mulut kau. Baik buruknya... Qasrina tu anak kandung kau, Zali! Sepatutnya kau sebagai ayah kandung dia bagi perhatian dengan dia bukannya abaikan dia. Ingat sikit kau dapat semua kemewahan ni pun tumpang arwah Mariana je! Ibu kandung Qasrina!"
Sontak, suasana berubah tegang tatkala Nek Timah semakin bingit mendengar kata-kata lancang Datuk Zali. Kepalanya tergeleng-geleng melihat keangkuhan lelaki itu. Ya Tuhan, sampai bila Datuk Zali tak mahu menerima Jasmine dalam hidupnya?
"Mak nak Zali buat apa sebenarnya ni? Baik mak cakap jelah apa yang mak nak daripada kita bergaduh sebab cucu kesayangan mak."
Nek Timah menghela nafas panjang. Tiada guna dia mahu menasihati anaknya yang sudah dikaburi dengan kemewahan sehingga anak tunggal sendiri diabaikan.
"Lepas je Mariana meninggal, kau langsung abaikan Qasrina. Dari kecil lagi dia kurang kasih sayang kau. Cubalah sekali ni je..."
"Mak ni dah kenapa nak ungkit benda lama? Dah budak tu tak nak terima mak tiri dia. Daripada Zali pening sampai rasa kepala ni nak pecah hah lebih bagus Zali hantar jelah dia dengan mak. Tapi mak tengoklah hasil didikan mak tu. Budak tu tak nak masuk U. Cukup belajar setakat STPM aje. Lepas tu gatal kahwin awal. Dengan orang yang hidup pun cukup-cukup makan pula tu. Eloklah tu!"
Datuk Zali mengeluh berat. Hilang terus mood bila isu Jasmine menjadi persengketaan dia dan ibunya.
"Hina sangat ke kerja nelayan? Kau lupa arwah ayah kau bagi kau makan pun hasil kerja sebagai nelayan. Elok je kau hidup jadi manusia. Sudahlah! Tak payah nak bergaduh pasal Qasrina. Mak datang ni... mak nak minta tolong sangat-sangat dekat kau. Mak merayu Zali."
Melihat air muka sayu Nek Timah membuatkan Zali terkesima. Ini yang dia lemah bila ibunya mula menggunakan perkataan merayu dalam perbualan mereka. Sekeras mana sekali pun hati lelaki itu, rayuan ibunya buat dia mengalah.
"Datuk... silakan minum." Kyra menghidangkan dua cawan teh di atas meja kopi. Membuatkan perbualan dua beranak itu jeda buat seketika.
Tika pandangan Nek Timah bertaut dengan Kyra, ada rasa segan bertamu di lubuk hati gadis yang sudah memperlekehkan Nek Timah sebentar tadi. Malu!
"Mak nak Zali buat apa? Mak sendiri tahu kan Zali dengan Qasrina masih belum berbaik..."
"Ya. Mak tahu kau dengan Qasrina masih bermasam muka. Tapi, mak merayu bawa anak kau berubat. Dia perlukan bantuan. Bawa dia pergi jauh dari sini supaya dia boleh lupakan rasa sakit kehilangan Zafri. Tolonglah. Semarah mana sekali pun kau dekat budak tu, dia tetap anak kandung kau! Anak dia tu cucu kandung kau!"
Nek Timah mengenggam tangan Datuk Zali. Nada suaranya bergetar menahan sebak di dada. Ya Tuhan, dia berharap Datuk Zali bisa menunaikan permintaannya ini. Jasmine perlukan terapi!
"Tengok. Dah susah macam ni baru nak jumpa Zali..."
"Zali anak mak. Janganlah macam ni, nak. Kau kesiankanlah anak kau tu. Cukuplah selama ni kau lebih utamakan bini baru kau berbanding Qasrina. Dia tu jelah satu-satunya tanda cinta kau dengan arwah Mariana. Mak mohon, bawa dia berubat," pintas Nek Timah tatkala Datuk Zali seakan-akan masih teguh dengan egonya.
Mendengar hal itu, Datuk Zali terkelu. Dia mencicip teh yang dihidangkan oleh setiausahanya. Membasahkan tekaknya yang kering.
"Minum dululah mak."
"Zali... tolong mak. Kali ni je. Mak tak pernah minta apa-apa dekat kau. Apalah salahnya kau tunaikan permintaan mak. Mana tahu ini permintaan terakhir mak."
Datuk Zali mencebik. "Apa mak ni cakap macam orang nak mati je."
"Mati tu tak kira waktu. Jadi sebelum mak tutup mata, mak nak tengok Qasrina sembuh. Sebab tu mak sanggup susah payah datang sini untuk cucu mak." Tubir mata Nek Timah semakin terasa hangat. Bibirnua diketap menahan sebak di dada.
Dia risau jikalau suatu hari nanti Allah menjemputnya, Jasmine semakin terluka. Wanita itu masih muda dan perjalanannya masih panjang. Nek Timah mahu Jasmine kembali teguh seperti karang di lautan.
"Mak balik dulu. Nanti Zali minta driver Zali hantar mak kat stesen bas. Zali dah lambat nak masuk meeting ni mak. Mak balik, mak rehat. Biar jelah si Qasrina tu mak. Bagi dia masa untuk terima semua kenyataan ni." Datuk Zali bangun seraya melangkah keluar dari pejabatnya.
Semakin dia berhadapan dengan si ibu. Jiwanya makin sesak! Serabut memikirkan Jasmine yang masih belum berbaik dengannya.
"Sampai hati kau Zali. Kalau Mariana masih hidup, hancur hati dia tengok kau abaikan anak kau orang! Dari kecil lagi kau tak pernah bagi kasih sayang kau sebagai ayah dekat cucu aku! Sekarang, kau langsung tak ambil peduli pun pasal dia!" Nada suara Nek Timah naik seoktaf. Air matanya menitis ke pipi dengan reaksi Datuk Zali.
Tatkala itu, Datuk Zali hanya menulikan telinganya saja. Tak lut dengan rintihan si ibu. Telefon pintar dicapai dari saku seluar. Laju saja dia mencari nombor telefon seseorang yang boleh dihubungi.
"Hello, Doktor Elizabeth..."
🥀🥀🥀
TUDUNG saji dibuka. Perutnya yang sudah berkeroncong benar-benar melemahkan Puan Nijah. Kosong. Tiada lagi makanan yang dimasak oleh Shana pada pagi itu. Bahkan, suasana yang sepi menimbulkan tanda tanya di benak fikiran wanita berbaju kelawar itu.
Aneh tatkala kelibat kedua-dua orang anaknya tak kelihatan.
"Ada anak pun dua-dua tak boleh pakai. Mak kau orang sakit kau orang sibuk hal masing-masing..."
"Assalamualaikum."
Keluhan Puan Nijah terhenti tatkala suara garau kedengaran di belakangnya. Dia kalih. Terpampang figura Jebat dengan beg galasnya menjinjit satu plastik berisi makanan. Tika pandangannya bertaut dengan si anak, laju saja Puan Nijah melangkah masuk ke dalam kamar.
Tak betah memandang anak yang mengaibkan itu.
"Mak. Kakak kata mak demam. Jebat ada bawakan ubat dengan bubur ayam untuk mak. Jebat suap mak ya." Lembut saja tutur bicara Jebat tika itu. Tak mengapalah jikalau ibunya masih tak mahu memaafkannya.
Apa yang Jebat tahu, ibunya itu harus dilayan bak seorang ratu.
"Dah seminggu Jebat keluar penjara. Baru harini kita jumpa kan mak. Jebat rindu sangat dengan mak. Banyak benda Jebat nak borak."
Jebat mencapai pinggan kosong seraya meletakkan bubur ke dalam pinggan. Sesekali, dia memandang wajah ibunya yang bengis. Senyuman kecil terukir di bibir pemuda itu.
"Sekarang ni... Jebat dah mula nak kumpul duit lagi. Nak bagi mak menantu..."
Tak semena-mena, Puan Nijah tertawa sinis mendengar perkataan menantu daripada anaknya. Selangkah demi selangkah dia menghampiri Jebat yang kelihatan kaget dengan reaksinya.
"Apa kau cakap tadi? Kumpul duit? Menantu?"
"Ya mak. Dah lama Dibah tunggu Jebat keluar penjara. Selama ni dia yang banyak kumpul duit untuk kita orang. Jadi sekarang, Jebat kena kerja keras untuk kami."
Puan Nijah berpeluk tubuh. Dipandangnya raut wajah si anak yang kusut. Ada kesan lebam di pinggir bibir dan pipi pemuda tinggi lampai itu. Pasti Jebat baru saja bertarung di arena tinju itu sekali lagi.
"Kau nak bagi budak tu makan duit haram..."
"Bukan mak. Jebat kerja. Kalau tak ada perlawanan, Jebat kerja kat bangunan yang baru dibina tu. Jadi pekerja kontrak. Angkat batu bata..."
"Kau pernah cermin diri kau dulu tak Jebat Khuwailid sebelum kau berniat nak kahwin dengan anak ketua kampung tu? Kau tahu tak kau ni aib! Kau ingat... Pak Samad nak menantu tak ada masa depan macam kau ke? Bekas banduan!"
Jebat tersentak tatkala kepalanya ditunjal oleh si ibu. Dinding hatinya mula terbakar dengan kata-kata sinis si ibu. Tercabar!
"Mak nasihatkan, kau tak payahlah kahwin dengan budak tu. Dia tu berpendidikan. Kau ni... apa je yang ada? SPM kau pun cukup-cukup makan je! Bekas penjenayah pula tu. Susah nak cakap dengan manusia tak berakal macam kau ni. Kau jangan rosakkan anak orang macam ayah kau rosakkan keluarga kita!"
Puan Nijah mendengus. Dia meluru ke dalam kamar tatkala amarahnya meluap-luap. Anaknya itu perlu diberikan kesedaran bahawa masa depannya sangat kelam. Tak mahu Dibah merana di kemudian hari bersuamikan Jebat Khuwailid bekas banduan itu.
"Hina sangat ke Jebat ni di mata mak?" Nada suara Jebat naik seoktaf. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat sehingga mencucuk tapak tangan. Dadanya berombak kencang tika bicara si ibu membuatkan dia terasa hati.
"Kalau kau rasa kau tu hina, memang kau hina di mata aku sampai aku rasa aku menyesal beranakkan kau! Kau dah hancurkan hati aku, Jebat! Lepas ayah kau mampus, kau pula buat hal sampai orang mengata pasal keluarga kita! Kau dengan ayah kau sama-sama hina! Eh! Kalau aku tahu kau ni mengaibkan aku, patutnya dari kecil lagi aku buang kau kat tong sampah tu!"
"Ya Allah mak! Kenapa cakap macam tu dekat Jebat? Tu anak kandung mak! Bawa mengucap!"
Kepulangan Shana mematikan terus amukan Puan Nijah. Dia mendengus. Dihempasnya pintu kamar sehingga begegar. Benci benar dia melihat wajah Jebat Khuwailid itu!
"Jebat... jangan ambil hati. Mak tak sihat. Emosi dia tak berapa normal sekarang ni," pujuk Shana tatkala melihat Jebat kaku dengan wajah terbias dengan amarah.
"Jebat..."
Keluhan berat terlepas di bibir Jebat. Langkah diatur keluar dari rumah tatkala fikirannya semakin kusut. Jebat perlukan udara luar. Tak mahu melepaskan amarahnya buat Shana.
"Jebat... kau nak pergi mana? Kau perlukan rehat. Kakak ubatkan mana yang sakit ya?" Shana mengusap lembut pipi Jebat. Luluh hatinya melihat si adik yang tak lagi mempedulikan kecederaan di tubuhnya selepas perlawanan tanpa henti malam semalam.
"Aku nak kerja. Nak bagi keluarga kita hidup senang. Nak tolong kau sara keluarga kita. Kau jangan risau pasal aku. Sakit kat tubuh aku ni... tak sesakit rasa kena hina dengan mak kandung sendiri." Jebat menepis lembut tangan Shana. Topi sudunya dicapai lalu diletak di atas kepala. Melindungi diri daripada terik mentari.
"Jebat... akak risaukan kau. Tori kata kau buat kerja gila semalam. Tiga perlawanan sekali gus kau terima. Kau dah lama tak buat kerja macam ni. Bahaya kalau..."
"Haih! Aku okey! Nak kahwin kan kenalah kerja keras sikit. Aku nak Adibah bangga dapat suami rajin macam aku. Biarpun aku ni bodoh sekolah setakat SPM je tapi aku rajin cari duit. Kau patut bangga dengan aku juga kak!"
Shana tertawa kecil. Hatinya tercuit mendengar lelucon Jebat. Dia menumbuk bahu Jebat namun tika si adik mendesis, tawanya terhenti.
"Aku dah cakap mesti ada yang sakit..."
"Dahlah! Aku dah lambat ni. Tu atas meja aku dah belikan mak ubat dengan bubur. Jangan cakap aku yang beli ubat tu pula. Nanti dia ingat duit haram. Pastikan Puan Nijah tu makan ubat. Hah aku ada belikan nasi lemak kegemaran kau juga! Jangan asyik sibuk kerja tapi makan tak jaga pula kak!"
Shana tersenyum pahit mendengar nasihat Jebat. Hanya sorotan matanya saja memandang langkah Jebat yang sudah menghidupkan enjin motosikal. Ya Tuhan, sampai bilakah ibu mereka tak mampu menerima Jebat dalam hidup mereka?
Jebat itu punya pekerti yang tinggi. Hanya saja kerana amarah adiknya memilih jalan kotor untuk mencari jawapan pembunuh ayah mereka.
🥀🥀🥀
ENJIN motosikal dimatikan. Jebat menanggalkan helmetnya. Rambutnya yang ditiup angin disebak ke belakang. Dada langit yang kelihatan redup tika itu dipandang sayu.
"Kalau kau rasa kau tu hina, memang kau hina di mata aku sampai aku rasa aku menyesal beranakkan kau!"
"Jebat rindukan mak... Jebat minta maaf kecewakan mak..." Jebat mengeluh berat. Wajahnya diraup kasar seraya turun dari motosikal. Langkah diatur di lorong jalan singkat untuk ke bangunan tempatnya bekerja sebagai buruh kasar.
Ya Tuhan, hingga ke saat ini Jebat buntu dengan sikap emaknya. Bagaimana ya caranya agar Puan Nijah menerimanya semula?
"Tapi aku masih yakin... ayah tak buat semua tu. Aku akan cari manusia yang dah lenyapkan nyawa ayah aku dengan cara apa sekali pun..."
Tekad Jebat. Masuk ke dalam penjara itu bukan satu kesilapan tatkala dia dapat klu di sebalik kematian ayahnya meskipun klunya tidak begitu kukuh. Nanti, dia akan berhadapan dengan si pelaku sendiri demi keadilan ayahnya!
"Tolong!"
Tak semena-mena, langkah Jebat terhenti tatkala mendengar jeritan seorang perempuan. Dia melilau. Nyata kelihatan seorang wanita sedang diragut di lorong yang sepi itu.
"Tolong!"
Wanita serba hitam itu sudah melilau dengan harapan seseorang akan membantunya. Sebaik mungkin dia memperatahankan beg berisi wang pemberian arwah suaminya yang diambil dari bank sebentar tadi.
"Baik kau lepaskan beg tu sebelum aku bunuh kau!" jerkah si peragut seraya menampar kuat wajah Jasmine. Tak semena-mena, kepala Jasmine berpinar dengan kekasaran si peragut. Sakit!
"Kau nak mati juga..."
Jasmine memejamkan mata tatkala pisau sudah diangkat tinggi. Biarlah dia mati, asalkan duit ini selamat. Dia perlukan wang untuk Elman yang tiba-tiba diserang demam panas.
Namun...
Seperti angin Jasmine merasakan lengannya ditarik oleh seseorang sebelum erangan kesakitan kedengaran di lorong itu.
"Aduh! Kacau betullah! Time kita orang nak buat kerja amal jugalah ada pelesit..."
Belum sempat si peragut menghunus pisau ke arahnya, tangkas Jebat memulas kuat tangan si peragut ke belakang. Lolongan kesakitan kedengaran serentak dengan bunyi tulang bahu dipatahkan.
Tatkala muncul lagi si penyerang di belakang, Jebat melonjakkan kakinya seraya menerajang kuat kepala si peragut sehingga tersembam di atas jalan. Jebat mengeluh berat. Beg milik Jasmine ditarik daripada pegangan si peragut yang sudah mengerekot.
Namun, si peragut masih berdegil sehingga Jebat naik hantu. Dipijaknya kuat tubuh belakang si peragut seraya merenggut beg itu.
"Pergi dari sini! Tempat ni bahaya untuk kau." Jebat menghulurkan beg itu kepada Jasmine. Pandangan mereka bertaut buat seketika.
Tika itu, Jasmine merasakan dadanya sesak. Kakinya terpasak di atas bumi. Tubuhnya menggeletar menatap laman wajah Jebat Khuwailid. Lututnya terasa goyah tatkala biasan Zafri seakan-akan ada di wajah pemuda berkulit sawo matang itu.
"Kau okey tak ni?"
Jebat garu kepala yang tak gatal. Hairan melihat Jasmine pucat tak berdarah.
"Sa... saya tak boleh... nafas. Sa... saya..."
Sontak, Jasmine terduduk tika seluruh tubuhnya terasa rengsa. Kepalanya berdenyut. Nafasnya semakin sesak. Tubir matanya terasa hangat tika emosinya bercelaru.
"Jangan takut... aku ada. Aku tak akan apa-apakan kau. Peragut-peragut tu dah tak boleh nak bergerak lagi. Tarik nafas..."
Jebat cuba membantu mengawal pernafasan Jasmine. Kasihan melihat Jasmine yang ketakutan. Jelas tubuh gadis itu menggeletar.
"Ikut aku... tarik nafas..."
Tak semena-mena, Jasmine tersembam di atas tanah. Pandangannya kelam sekelip mata. Tangkas, Jebat menyambut tubuh Jasmine. Kaget melihat wanita muda itu tiba-tiba pitam!
Bersambung...
14.7.2024
50 vote, 10 comment unlock new chapter
Sorry kalau KYTT bosan...
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top