EPISOD 67

SUASANA dingin. Hanya kedengaran bunyi kenderaan di bawah blok bangunan serta suara penghuni rumah yang sibuk dengan kehidupan masing-masing kedengaran. Tatapan tajam dua figura itu saling menikam hati antara satu sama lain.

"Kau jangan sentuh anak aku..."

Datuk Zali tertawa sinis mendengar nada suara Puan Nijah yang bergetar. Seketika, dia memandang wajah wanita yang sudah ketakutan melihat tekadnya yang ingin menembak Jebat.

"Anak kau sebiji macam arwah suami kau. Suka dilayan macam sampah!"

"Jaga sikit mulut kau!" Sungguh, sakit benar hati Puan Nijah dengan hinaan lelaki angkuh itu.

Datuk Zali mendengus dengan bicara Puan Nijah. Tiada langsung empati dalam dirinya melihat wajah isteri bekas orang suruhannya dahulu.

"Buka pintu ni atau kau mati dalam beberapa saat lagi, Jebat. Jangan cabar aku."

Tersungging senyuman sinis di bibir Jebat. Dia menarik nafas sedalamnya. Muncung glock didekatkan ke dadanya. Terhibur melihat riak wajah Datuk Zali yang sedikit kaget dengan keberaniannya yang bersedia untuk ditembak.

"Nak tembak? Silakan. Selama ni pun, badan aku memang dah jadi benteng pertahanan lindung keluarga kau. Aku boleh ungkit semula apa yang aku dah buat dalam keluarga kau selama empat tahun aku bekerja sebagai bodyguard. Setiap parut kat tubuh aku jadi saksinya! Jadi, kalau kau nak tembak aku, buatlah! Aku tak takut."

Mendengar hal itu, Datuk Zali terpempan. Dia mendengus tatkala disindir oleh Jebat. Dia tak nafikan, Jebat sudah banyak cedera sepanjang menjadi pengawal peribadinya. Pemuda itu bertarung dengan maut demi melindungi mereka.

Tapi, amarah di jiwa Datuk Zali sudah tak mampu dibendung lagi.

Dia yakin, Jebat menyembunyikan Jasmine!

"Jebat... bagi... bagi diorang masuk. Biar dia tengok sendiri anak dia tak ada dalam rumah kita!"

Jebat hanya senyap. Tak mahu keadaan semakin gawat jikalau mereka masuk ke dalam rumah.

"Jebat... tolong..."

Tatkala Puan Nijah mengenggam lengannya, Jebat menghela nafas panjang. Tidak dapat tidak, dia terpaksa menurut arahan Puan Nijah. Baru saja pintu grill rumah dibuka, tubuh Jebat ditolak kasar. Mereka meluru masuk menyelongkar dari bilik ke bilik. Tak ketinggalan satu ruang sekalipun asalkan Jasmine ditemui.

"Kak Shana... mak, Kak Shana boleh thrigger benda-benda macamni. Dia masih trauma!" Tanpa berlengah, Jebat meluru masuk ke dalam kamar Shana. Namun, orang suruhan Datuk Zali terlebih dahulu menerobos masuk.

Seperti yang diduga, Shana yang sedang berdiri kaku di hadapan tingkap sudah kelihatan menggeletar tatkala wajah-wajah asing terpapar di pandangannya. Matanya terbuntang kaget. Fikirannya diasak dengan wajah-wajah menakutkan yang sudah meragut kesuciannya empat tahun yang lalu.

"Shana! Shana anak mak... pandang mak Shana!" Puan Nijah mula diterpa rungsing melihat Shana seolah-olah sesak nafas. Pipi Shana ditepuk-tepuk lembut. Apatah lagi wajah gadis itu pucat tak berdarah. Pandangannya penuh dengan ketakutan.

Tika itu, Shana hanya menggelengkan kepalanya. Kedua-dua belah telinganya ditekup. Ingin sekali dia menjerit namun kerongkongannya seolah-olah tersekat dengan sesuatu.  Nafasnya berombak kencang melihat mereka menyelongkar kamarnya. Rintik-rintik peluh mengalir ke pipi gadis bertubuh kurus itu. Seluruh tubuh gadis itu juga sudah kejang.

Jebat mencapai selendang Shana seraya menutup kepala kakaknya. Sebaik mungkin, Jebat cuba bertenang tatkala tindakan Datuk Zali dan Ezhar membangkitkan trauma dalam diri Shana.

"Bawa Kak Shana masuk bilik mak. Biar Jebat uruskan malaun tak bertamadun ni."

"Jebat macam mana? Mak risau diorang apa-apakan Jebat." Sungguh, intuisi Puan Nijah sangsi melihat wajah bengis Datuk Zali yang hanya kaku di ruang tamu sambil memerhatikan orang suruhannya menyelongkar rumah mereka.

"Tak apa, mak. Tenangkan Kak Shana dulu. Biar Jebat settle dengan diorang."

Melihat tingkah Jebat dan Puan Nijah menghiburkan hati Ezhar yang hanya bersandar di belakang pintu rumah. Puas hati melihat kekecohan di rumah pesaingnya itu. Orang seperti Jebat yang sentiasa berlagak kuat harus diberikan pelajaran!

"Tak adalah, datuk."

"Betul tak ada?"

"Dah satu rumah kitorang cari memang tak ada."

"Cari lagi sampai jumpa!"

Ezhar menengking. Dia menendang meja perhiasan yang dipenuhi dengan foto-foto keluarga Jebat sehingga berantakan di atas lantai. Tak puas hati tatkala orang-orang suruhan itu tak menemui keberadaan Jasmine.

Melihat foto keluarganya dipijak-pijak oleh Ezhar, Jebat mula naik angin. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat. Kesabarannya sirna. Tangkas, Jebat meluru ke arah Ezhar seraya menghayunkan tumbukannya ke wajah Ezhar sehingga pemuda itu tersungkur di pintu.

"Kau jangan biadab dengan aku, syaitan! Kalau kau benci sangat dengan aku, tak payah hancurkan gambar keluarga aku!" Bertubi-tubi tumbukan Jebat hayunkan ke wajah Ezhar melepaskan rasa sesak yang bermukim di dadanya.

Kerana pemuda ini, Jasmine menderita! Kerana pemuda ini juga Shana kembali terkena serangan panik! Tiada langsung empati di lubuk hati Jebat tatkala melihat wajah Ezhar mula berdarah dengan setiap penangannya.

"Hoi! Sekarang kau nak tunjuk samseng dekat bakal menantu aku pula?"

Amukan Jebat terhenti tatkala dua orang suruhan Datuk Zali mengheretnya daripada terus membelasah Ezhar. Berang melihat Ezhar dikasari hingga erangan kesakitan pemuda itu bergema di ruang tamu.

"Berambus dari rumah aku!" Jebat mendengus seraya melepaskan dirinya daripada dua orang lelaki. Pandangannya kembali bertaut dengan Datuk Zali yang sedang memutarkan glock di tangan.

"Kitorang takkan berambus selagi kau tak bagi tahu kat mana kau sorokkan Qasrina!"

Keluhan berat dilepaskan. Sungguh, Jebat sesak dengan tekad Datuk Zali yang masih belum mempercayainya. Ya Tuhan, mana mungkin Jebat memberitahu bahawa dia sedang membantu Jasmine bersembunyi di sebuah rumah yang terletak di bangunan yang sama dengan tempat tinggalnya.

Jebat masih mahu melindungi Jasmine daripada kekejaman Datuk Zali.

"Macam mana lagi aku nak buktikan yang aku tak tahu Jasmine ada kat mana? Apa kau ingat anak kau tu penting sangat ke dalam hidup aku sampai semua benda aku kena tahu pasal dia?"

Susana sepi buat seketika. Hanya renungan Datuk Zali saja yang menikam lubuk hati Jebat. Seolah-olah sedang membaca situasi.

"Betul ke anak aku tak penting dalam hidup kau?"

"Kau memang tak percayakan orang yang dah banyak berkorban..."

"Tak. Sebab mata kau sedang menipu. Lagi pun, kau rapat dengan cucu aku. Anak aku dah buka ruang untuk kenal lelaki lain lepas suami dia mati. Nampak sangat korang bukan berlakon pasal korang bercinta. Kau... memang cintakan anak aku, kan?"

Jebat kaku. Degupan jantungnya kencang tatkala Datuk Zali mula membaca riak wajahnya. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat sehingga mencucuk tapak tangan. Ini kelemahannya. Tak tahu menipu.

"Tapi, sampah macam kau tak layak nak bagi cinta dekat anak aku. Jadi, buat apa kau nak sorokkan dia? Kau kena terima hakikat kau dengan Qasrina tak setaraf. Hidup anak aku tu ibarat emas. Sementelah kau, cuma sampah yang dibesarkan oleh sampah!"

"Kurang ajar! Kau jangan hina ayah aku!" Sekali lagi, Jebat ingin menyerang Datuk Zali tatkala Encik Fazil dihina. Walhal, kematian ayahnya disebabkan oleh lelaki itu. Ingin sekali Jebat membunuh Datuk Zali saat ini juga! Kemarahannya semakin membuak-buak.

"Dah memang selayaknya korang tu cuma sampah di mata aku! Aku tak nak buang masa. Sekarang..."

Datuk Zali mengarahkan orang-orang suruhannya  mengheret Jebat keluar dari rumah. Biar mereka selesaikan masalah berkaitan kehilangan Jasmine dengan cara lebih menarik.

"Kau nak bawa aku pergi mana?" Nada suara Jebat naik seoktaf. Dia cuba melepaskan dirinya daripada cengkaman orang-orang Datuk Zali.

"Kau melawan? Huh?"

"Jebat!"

Tak semena-mena, Datuk Zali melepaskan tembakanya serentak dengan jeritan Puan Nijah. Suasana semakin genting dengan kekasaran lelaki tua yang sudah mengheret senyum sinis.

"Sofa tu dah kena buang, Nijah! Anak kau tak mampu ya nak belikan kau sofa yang baru? Eh, tapi korang kan keluarga sampah. Kau boleh je kutip sofa terbiar kat tong sampah tu! Ni, aku nak pinjam anak kau kejap. Ada hal dia perlu selesaikan dengan cara lelaki."

Tika itu, amarah Puan Nijah semakin membuak-buak melihat kekasaran dan hinaan tanpa henti daripada Datuk Zali. Seluruh wajahnya membahang panas. Sofa yang sudah ditembak oleh Datuk Zali dipandang sayu. Baru saja bulan lepas Jebat membelikannya sofa yang baharu tapi tergamak benar Datuk Zali merosakkan harta benda di rumah mereka.

"Lepaskan anak aku! Dia tak ada kaitan dengan Jasmine!"

"Kau diam!"

Melihat Puan Nijah ditolak kasar benar-benar menaikkan lagi amarah Jebat. Dia ingin melawan namun melihat Datuk Zali menghalakan glock ke arah Puan Nijah, tindakan Jebat terhalang serta-merta. Tika ini, Jebat hanya mampu menurut demi keselamatan ibu dan kakaknya.

Betapa luluhnya hati Jebat tatkala keluarganya dilayan layaknya seperti bukan seorang manusia yang tak punya perasaan. Kenapa Jasmine harus berbintikan Razali? Kenapa dia harus jatuh cinta dengan seorang wanita yang memiliki seorang ayah yang kejam?

Sungguh, Jebat lelah.

🌹🌹🌹

SKRIN telefon pintar yang terpapar dengan fotonya bersama Zafri ditatap sayu. Angin petang yang menerobos masuk melalui balkoni rumah tak lagi terasa nyaman. Sesekali, celoteh Elman yang sedang bermain bersama Elisa hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri saja.

Sudah dua hari Jebat tak menghubunginya selepas malam pemuda itu meluahkan rasa cintanya bersama dengan pengakuan Jebat yang menjadi pengawal peribadinya hanya kerana dendam. Jasmine serba salah. Dia tak mampu mencintai Jebat. Kerana ayahnya, Jebat kehilangan ketua keluarga.

"Ya Allah... papa buat apa sebenarnya dekat ayah Jebat? Kenapa bagi cinta dekat anak pembunuh ayah awak, Jebat? Kenapa tak cari kebahagiaan lain?"

Jasmine menghela nafas panjang. Melepaskan rasa sesak yang menghuni tangkai hatinya.

"Puan Jasmine... sampai bila puan nak lari macam ni?" Elisa melabuhkan duduk di sebelah Jasmine. Kasihan melihat kekusutan di wajah majikannya.

Sungguh, ketika Jebat memberitahu bahawa Jasmine sedang bersembunyi di sebuah rumah, dia kaget. Apatah lagi para pengawal serta orang suruhan Datuk Zali sibuk mencari keberadaan Jasmine.

Rupa-rupanya, Jebat yang menyembunyikan Jasmine daripada tindakan Datuk Zali yang nekad menikahkan Jasmine dan Ezhar.

"Saya dah beli tiket. Saya nak kembali ke Ireland. Biar saya sambung kerjaya saya kat company lama. Saya nak mulakan hidup baru kat sana dengan Elman."

"Serius ke ni puan? Nenek tahu?"

"Saya terpaksa, El. Saya dah penat dengan papa. Nenek dah tahu dan nenek ada pesan pergilah sejauh mana yang saya nak pergi dia akan tetap sokong tindakan saya."

"Berdua je?"

Jasmine angguk lemah.

"Jebat macam mana?"

Tatkala soalan cepumas itu diujarkan kepadanya, Jasmine membuang pandang ke balkoni rumah. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat tatkala hatinya seolah-olah ditikam dengan berjuta-juta belati.

"Puan tahu tak... Jebat tu dengan kitorang lain sangat. Tapi dengan Puan dia tunjukkan sisi dia yang tak ada siapa tahu."

"Maksud awak?"

Elisa mengulum senyum. Dia menepuk lembut kura tangan Jasmine.

"Jebat layan puan bukan sebagai majikan lagi. Dia layan puan sebagai seorang wanita yang dia sayang. Dia cinta. Kalau dengan puan, Jebat selalu aje keluarkan sisi suka mengusik tu. Dia suka senyum dengan puan. Tapi dengan kitorang, asyik ketat, bengis aje sepanjang masa."

Mendengar hal itu, Jasmine terkelu. Hanya pandangannya yang bertaut dengan Elisa. Dia tak pernah perasan perbezaan layanan Jebat dan pengawal peribadi yang lain.

Ya Tuhan, kenapa dia buta? Tak melihat Jebat tulus mencintainya?

"Dia selalu senangkan puan. Masa puan kena culik tu... nampak je dia tak kisah tapi dialah yang sanggup buat benda bodoh semasa-mata nak selamatkan orang yang dia cinta. Padahal, ikut prosuder kitorang sebagai bodyguard, tak boleh bertindak tanpa masuk campur daripada pihak berkuasa apatah melibatkan hal-hal membahayakan. Tapi otak dia tu dah terlalu mabuk cinta dengan puan."

"Sekarang, dia tanggung risiko lagi bila tolong puan keluar dari papa puan. Puan tak nampak ke betapa cintanya Jebat dekat puan selama ni?"

Tak semena-mena, tubir mata Jasmine terasa hangat dengan kata-kata Elisa. Bibirnya diketap menahan sebak. Semakin tinggi rasa bersalah di jiwa Jasmine tatkala dia sudah menyakiti Jebat. Membiarkan pemuda itu mencintainya yang merupakan anak pembunuh ayah Jebat sendiri.

"Saya cuma pandang dia sebagai pekerja. Tak lebih daripada itu..."

"Tapi dia pandang puan sebagai seseorang yang istimewa dalam hidup dia. Tapi dia sedar, dia tak layak nak dapatkan cinta daripada puan. Dia tak mampu gantikan arwah Zafri dalam hidup puan."

Setitis air mata yang mengalir ke pipi Jasmine diseka lembut. Jasmine menarik nafas sedalamnya. Ruang memori mengimbas detik-detiknya bersama Jebat.

Berawal daripada pergaduhan kecil mereka tika kedua-duanya bersifat api, seiring dengan waktu, Jebat mengingatkan Jasmine tentang Zafri hinggalah Jasmine mula terima Jebat dan Zafri orang yang berbeza.

Sudah terlalu banyak kenangan di antara dia dan Jebat.

Telefon pintar bergetar di tangan Jasmine. Melihat nama Jebat terpapar di skrin, senyuman pahit terkulum di bibir Jasmine. Sudah lama dia menanti Jebat menghubunginya. Lantas, punat hijau disentuh.

Namun...

Alangkah kagetnya Jasmine melihat wajah Ezhar yang bengkak terpapar di panggilan video itu. Detak jantung Jasmine mula berdebar kencang tatkala melihat persekitaran gudang yang dipenuhi dengan kayu papan.

"Kenapa terkejut, sayang?"

"Mana... mana Jebat? Kenapa phone dia boleh ada dengan kau?" Nada suara Jasmine naik seoktaf. Intuisinya negatif tatkala sayup-sayup kedengaran bunyi pukulan dan erangan kesakitan silih berganti di dalam gudang.

"Risau betul kau ya pasal Jebat? Janganlah risau. Kitorang cuma nak cari tahu kat mana dia sorokkan kau."

"Dia tak ada kena mengena dengan aku..."

Tatkala Ezhar menghalakan kamera ke arah Jebat, Jasmine membuntang. Jebat kelihatan lemah tak berdaya dengan tubuhnya yang berlumuran darah dirantai dalam keadaan berdiri. Pakaian Jebat sudah koyak-rabak.

Jasmine terbangun daripada duduknya. Tubuhnya menggeletar melihat mereka menyeksa Jebat dengan menghambat cemeti ke tubuh pemuda itu tanpa henti. Serentak dengan itu, erangan kesakitan Jebat kedengaran.

"A... apa kau buat dengan dia, jahanam!"

"Kau dengar sini Jasmine. Kau tak balik rumah dalam masa 24 jam, jangan hairan kalau dia lumpuh aku kerjakan! Aku dah bagi amaran dekat kau... jangan cabar aku! Kalau orang lain halang aku untuk dapatkan kau, aku dah ada hadiah untuk orangtu. Ini, hadiah aku untuk Jebat!"

Talian ditamatkan. Telefon pintar melorot di tangan Jasmine tatkala ketakutan mencengkam sanubarinya. Air matanya merembes ke pipi. Ya Tuhan, Jasmine buntu. Dia merasakan nyawanya sudah di tali gantung. Jasmine tak punya pilihan lain tatkala nyawa Jebat dalam bahaya!

Bersambung...
4.2.2025

Nanti kita bakar Zali sampai rentung tapi itulah orang jahat susah mati

Triple update

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top