EPISOD 62

PANDANGANNYA melilau memerhatikan sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di taman permainan pusat beli-belah. Tersungging senyuman sinis di bibir lelaki bermata sepet tatkala pandangannya tertancap ke arah Elman yang baru saja turun dari gelongsor. Sesekali, dia melihat figura Jasmine yang kelihatan sibuk bertelefon dengan seseorang.

Inilah peluang keemasannya apatah lagi tiada pengawal peribadi yang memantau dua beranak itu.

"Elman!"

Elman yang seronok bermain lego bersama kawan-kawannya mendongakkan kepala memandang si pemanggil. Ada rasa gerun di hati kanak-kanak lelaki itu melihat wajah asing yang sudah menggawangkan tangan memanggilnya.

"Uncle ni siapa?"

"Kawan uncle Jebat. Uncle Jebat nak temankan Elman harini tapi dia ada banyak kerja. Dia kata Elman suka main layang-layang. Nak tak main layang-layang dengan uncle?"

Senyuman terukir di bibir Elman sebaik saja mendengar nama Jebat. Sudah dua hari dia tak bertemu dengan pemuda itu. Elman rindu.

"Uncle Jebat ada tak?"

"Ada. Dia tengah tunggu kat taman."

"Yeay! Seronoknya. Tapi Elman kena bagi tahu ibu dulu. Ibu kata jangan ikut orang tanpa izin..."

"Jangan risau. Uncle dah bagi tahu ibu tadi."

"Betul ke?"

Sungguh si lelaki mula tercabar dengan kebijakan Elman. Kepalanya digaru-garu mencari ayat untuk menjebak budak lelaki itu.

"Elman tak nak jumpa uncle Jebat ke?"

"Nak! Jom uncle! Tak sabar nak jumpa uncle abah!"

Si lelaki tertawa sinis tatkala Elman sudah mengenggam tangannya. Mudah sungguh menjebak dengan hanya menggunakan nama Jebat saja. Dia yakin, ini rancangan paling terbaik dia pernah buat untuk perangkap Jebat!

Jasmine yang baru saja selesai menerima panggilan daripada klien yang menempah lukisan lantas bangun ingin mencari Elman. Risau membiarkan anak kecil itu berlama-lamaan.

"Elman."

Tiada sahutan.

"Elman!" Jasmine mula cemas tatkala kelibat Elman tak kelihatan lagi di taman permainan terbuka. Degupan jantungnya kencang. Hatinya sebagai seorang ibu mula negatif. Di merata tempat dalam kawasan taman permainan itu dia mencari.

"Elman! Jom kita balik!"

Sepi. Beberapa pasang mata sudah terpinga-pinga melihat Jasmine yang kelihatan cemas.

"Elman..." Sungguh, Jasmine mula sesak memikirkan kondisi Elman. Nafasnya seolah-olah tersekat di rangkungan.

"Puan... anak puan baru je keluar tadi. Rasanya dia ikut pak cik..."

"Pak cik?"

"Haah."

Tanpa berlengah, Jasmine berlari kencang keluar mencari figura Elman dan pak cik yang diberitahu oleh pekerja. Melihat seorang budak lelaki berkemeja kuning cair bersama seorang lelaki berpakaian hitam, laju saja Jasmine menyergah seraya merenggut budak lelaki itu daripada tangan si lelaki.

"Kau jangan sentuh anak aku! Aku report..."

Melihat wajah budak lelaki yang kelihatan asing, Jasmine melepaskan tangan si budak lelaki serta-merta. Dia meminta maaf dek tersalah orang. Si ayah hanya memandang sinis tanda tak puas hati.

"Ya Allah... anak aku..."

Sungguh, Jasmine rengsa tatkala ketakutannya menjadi kenyataan. Dia tersandar di dinding. Air matanya bergelinangan tatkala seluruh tubuhnya juga menggigil. Elman hilang dalam jagaannya sendiri. Apa yang harus dia lakukan? Cuainya dia menjadi seorang ibu tak mampu melindungi tanda cinta dan Zafri. Jasmine kesal.

🌹🌹🌹

"TELEFON kau asyik melalak dari tadi. Kau tak nak angkat ke?"

"Biarlah tu."

"Daripada Jasmine. Mana tahu emergency..."

"Pandai-pandailah dia settle sendiri! Aku bukan bodyguard dia lagi kalau ada masalah yang aku kena selesaikan!" Jebat menyarung sarung tinju di tangannya. Tak mahu perlawanannya pada petang itu tergugat dek emosi yang bercelaru.

"Kau putus cinta dengan Jasmine ke apa ni sampai kau abaikan aje dia?" Pandangan Fawwaz bertaut dengan Jebat yang sudah bersedia ke gelanggang tinju. Jelas, ada kekecewaan terpancar di wajah sahabatnya.

"Boleh tak kalau kita tak bercakap pasal dia lagi? Jangan semakkan otak aku dengan benda yang tak sepatutnya! Dah! Kau dah menang kan fight petangni. Pergilah balik!"

Fawwaz terpempan tatkala nada suara Jebat naik seoktaf. Beberapa orang petinju yang sedang menukar pakaian turut kaget dengan amarah Jebat. Sungguh, Fawwaz risau tika Jebat turun ke gelanggang dalam keadaan amarah.

Tak mahu sahabatnya melepaskan kemarahan dengan pihak lawan.

Sorakan para penonton kedengaran di dalam dewan tinju sebaik saja kedua-dua pihak lawan berdiri di gelanggang tinju. Pengadil memberikan taklimat ringkas syarat perlawanan sebelum lonceng dibunyikan.

Jebat memusatkan matanya menanti Abran memulakan serangan. Namun, dek emosinya yang berkobar-kobar, Jebat menyerang terlebih dahulu dengan menghanyunkan bertubi-tubi tumbukan ke wajah lawannya sehingga tersungkur di atas gelanggang.

"Kalau kau sayangkan mak... mak merayu dengan kau jangan jumpa Jasmine lagi. Jangan ada kaitan dengan Datuk Zali. Kalau kau cintakan Jasmine, belajar untuk lupakan dia seperti mana kau lupakan Adibah dulu!"

Tak semena-mena, Jebat tersungkur dengan serangan Abran tatkala kata-kata keramat Puan Nijah kembali bermain di kotak fikirannya. Dinding hatinya kembali dilumat-lumat tatkala Jebat berada di antara dua persimpangan.

Kasihnya terhadap Puan Nijah sebagai seorang anak.

Cintanya kepada Jasmine sebagai seorang lelaki.

Melihat Jebat berkali-kali tersungkur membuatkan Fawwaz mula khuatir. Seperti yang dia duga, hari ini bukan hari yang sesuai untuk Jebat bertarung. Sahabatnya itu sedang dilanda masalah. Jebat tak fokus seperti kebiasaannya! Serangannya begitu mudah dipatahkan. Bahkan, Jebat langsung tak mengelak menerima tumbukan dan tendangan daripada Abran.

Melihat para petinju direhatkan beberapa saat, Fawwaz menghampiri Jebat yang duduk di tiang gelanggang tinju.

"Jebat! Kau kenapa? Ada masalah ke?" Sifu Adi mengelap darah kering di pelipis Jebat. Gusar melihat anak muridnya tak fokus dan banyak termenung sepanjang perlawanan.

"Baru round satu.  Kau boleh ketepikan dulu tak masalah kau? Lunyai kau dikerjakan Abran karang!" Fawwaz mendengus. Pandangannya bertaut dengan Jebat. Wajah sahabatnya sudah bengkak walhal baru masuk perlawanan pusingan pertama.

"Tak selunyai hati aku, Fawwaz. Tak sesakit hati aku bila aku terpaksa buat benda yang aku tak nak buat!"

Jebat menolak kasar tubuh Fawwaz tatkala lonceng pusingan kedua dibunyikan. Dia merenggangkan lehernya. Cuba untuk kembali fokus dalam pusingan kedua.

Abran memulakan serangan dengan menghayunkan tendangan ke dada Jebat. Namun, serangannya dipatahkan tatkala Jebat menyendengkan kepalanya sebelum tumbukan dihayunkan ke perutnya bertubi-tubi.

"Kawan kau tengah broken dengan siapa?" Sifu Adi menghembuskan kepulan asap rokok ke udara. Dia tak puas hati dengan prestasi Jebat hari ini.

"Dengan Jasmine. Majikan dia."

"Hah? Jebat bercinta dengan majikan dia? Sejak bila?"

Fawwaz tertawa kecil. Dia mengangguk sambil menonton perlawanan Jebat. Kali ini, Jebat kelihatan lebih mendominasi.

"Aku tak tahu. Apa yang aku tahu Jebat sayang, cinta sangat dekat Jasmine sampai sanggup korbankan nyawa sendiri walaupun dia berdendam dengan ayah Jasmine."

Meskipun Jebat tak pernah berkongsi hal perasaan, namun tindak tanduk Jebat cukup meyakinkannya bahawa ada perasaan istimewa yang lahir di sudut hati Jebat buat Jasmine Qasrina.

🌹🌹🌹

SEBAIK saja motosikalnya diparkir di garaj rumah pangsa lima tingkat, Jebat menghela nafas panjang tatkala skrin telefonnya masih terpapar dengan fotonya bersama Elman. Senyuman pahit terkulum di bibir Jebat yang lebam. Teringat akan celoteh si kecil yang sentiasa menghiburkan.

"Uncle abah rindu Elman..."

Perlahan-lahan, Jebat turut dari motosikalnya. Keluhan kecil dilepaskan cuba melepaskan rindu buat anak kecil itu. Sakit di tubuhnya selepas pertarungan itu tak sesakit rasa terpaksa melupakan Elman mahupun Jasmine dalam hidupnya. Mana mungkin Jebat ingkar dengan suruhan Puan Nijah.

"Jebat!"

Baru saja Jebat melangkah ke anak tangga, suara gemersik itu menyapa pendengarannya. Terasa kelat liur di rangkungannya tatkala derapan tapak kaki semakin menghampiri. Jebat menarik nafas sedalamnya seraya berpaling memandang si figura.

"Jebat..."

"Buat apa datang sini?"

"Saya... cari awak. Tolong saya..."

Pandangan Jebat yang galak benar-benar meluluhkan hati Jasmine. Apa yang sudah berlaku hingga Jebat mendadak berubah? Apa dia punya salah sehingga sudah dua hari Jebat tak bekerja?

"Aku bukan bodyguard kau lagi, Puan Jasmine. Kau boleh balik. Kau boleh minta tolong dengan pengawal-pengawal..."

"Elman perlukan awak! Elman... nak uncle abah dia, Jebat. Elman..."

"Kenapa dengan Elman?"

Jasmine mengalihkan pandangannya tatkala nada suara Jebat naik seoktaf. Dia kematian kata untuk berbicara dengan kekasaran Jebat. Tiada lagi gurau senda, pandangan redup yang menenangkn Jasmine lagi.

"Kau dah bisu ke? Aku tanya ni kenapa dengan Elman?"

"El... Elman diculik. Saya... saya tak tahu..."

"Kau tak reti jaga anak ke sampai anak kau kena culik? Aku baru tinggalkan korang dua hari..."

"Saya pun tak nak benda ni jadi! Awak marahlah saya. Awak makilah saya tapi saya mohon... tolong saya cari Elman... macam mana... awak cari saya dulu masa musuh-musuh papa culik saya."

Sungguh, Jebat kelu. Wajahnya diraup kasar. Sesak jiwanya memikirkan kondisi Elman. Renokah pelakunya? Hanya Reno yang sedang memberikan ugutan kepada Jebat hanya kerana Jebat ingkar.

"Kitorang dah call pihak polis. Tapi... Puan Jasmine masih nak harapkan kau untuk tolong carikan Elman. Mana tahu... kau ada petunjuk?"

Kata-kata Elisa membuatkan Jebat terpempan. Pandangannya tunak merenung wajah Jasmine yang hanya tertunduk dengan esakan kecilnya. Sungguh, dia tak tega melihat penderitaan Jasmine lagi. Dia takut andai nyawa Elman jadi galang gantinya.

"Jasmine..."

Buat seketika, Jasmine mendongakkan kepalanya. Air mata yang mengalir dikesat lembut. Bibirnya diketap menahan esak tatkala pandangan galak Jebat berubah redup.

"Dengar cakap aku. Aku janji aku akan bawa Elman balik dengan selamat. Aku akan tolong cari Elman. Sekarang, kau balik. Dah malamni. Nanti kau sakit."

"Kau Elisa, pastikan Puan Jasmine tak keluar rumah. Aku tak nak dia bertindak yang bukan-bukan. Pastikan dia makan.  Jangan bagi dia sakit. Kalau tak... aku cari kau sampai lubang cacing."

Tanpa berlengah, Jebat kembali meluru ke motosikalnya. Hanya ada satu nama yang terlintas di fikiran saat ini. Reno. Kalau lelaki itu main kasar, Jebat terima sahutannya!

"Hati-hati, Jebat! Kau jangan risaulah. Aku jaga Puan Jasmine untuk kau." Elisa mengusap lembut bahu Jasmine memujuk hati rawan majikannya. Dia tak perlu tertanya-tanya lagi perasaan Jebat buat Jasmine.

Jelas, Jebat sangat tulus mencintai Jasmine.

Bersambung...
1.2.2025

Tak cukup vote&komen dalam episod 61 jadi tak dapat double. Episod 62 cukup 100 vote, 50 komen saya unlock episod baru malamni

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top