EPISOD 61
MELIHAT figura Jasmine dan Jebat yang kelihatan sedondon mengenakan baju berwarna biru, timbul tanda tanya di benak fikiran Jazimin yang sedang menjamah sarapan. Tersungging senyuman sinis di bibir pemuda itu.
"Ada apa-apa event ke sampai baju pun sedondon?"
"Ada aktiviti sukaneka kat tadika Elman. Mestilah kena sedondon... barulah manis kan cinta?"
Jasmine mengulum senyum tatkala Jebat memulakan lakonannya. Bekal berisi makanan dimasukkan ke dalam bakul. Sengaja Jasmine memberikan baju yang sedondon dengannya kepada Jebat agar meyakinkan lagi Datuk Zali bahawa dia dan Jebat mempunyai hubungan istimewa.
"Betullah tu, abang. Biar semua orang tahu abang tu hak milik Jasmine. Tak ada yang boleh try bakal ayah Elman ni."
"Apa? Ba... bakal ayah?"
Suara Datuk Zali yang baru saja menuruni anak-anak tangga dibuntuti oleh Datin Bahriah kedengaran kaget dengan kenyataan itu. Matanya melotot memandang Jebat dan Jasmine silih berganti. Rasa terbakar jiwanya dengan wajah bahagia mereka!
"Ya, bakal ayah. Kalau papa nak tahu, abang Jebat dengan Jasmine dah rancang dua bulan lagi kami nak menikah. Benda baik macam ni mana boleh tundakan."
Jebat mengulum senyum tatkala Jasmine mula menarik-narik bajunya untuk berbicara. Hailah Jasmine. Lakonannya memang padu sehingga wajah Datuk Zali juga sudah memerah menahan marah.
"Betul tu datuk. Saya dengan Jasmine... saling mencintai. Saya ikhlas nak nikahi Jasmine, jadikan Elman sebagai anak saya sendiri. Saya harap datuk restu hubungan saya dengan cinta. Maksud saya... Jasmine..."
"Papa tak ada hak nak halang Jasmine dengan abang Jebat. Jasmine cintakan dia dan Jasmine..."
Jasmine jeda. Pandangannya bertaut dengan Jebat yang sudah pegun tatkala dia mengungkapkan tentang cinta. Oh Tuhan, Jasmine rasa dia mengkhianati Zafri kerana menyatakan cinta kepada lelaki lain. Meskipun ini hanyalah lakonannya semata-mata.
"Jasmine bahagia jadi pasangan abang Jebat. Dia sudi curahkan kasih dan cintanya lebih banyak buat Jasmine berbanding papa. Okeylah. Kitorang dah lambatni."
Sungguh, Datuk Zali kematian akal dengan kebenaran bahawa Jasmine dan Jebat sedang menjalinkan hubungan percintaan. Boleh mati kejung dia melihat tatapan dua figura itu penuh dengan rasa cinta. Ini tak boleh jadi!
"Jebat!"
Belum sempat Jebat membuntuti Jasmine, dia sudah disergah oleh Datin Bahriah. Kaget tatkala dipanggil oleh wanita berambut perang itu. Ada tatapan yang membuatkan Jebat rasa janggal.
"Jebat hati-hati. Jaga diri baik-baik."
"Err... ya... saya akan hati-hati dan jaga Jasmine dengan Elman baik-baik."
"Jaga diri Jebat juga. Okey?" Datin Bahriah mengulum senyum pahit. Keluhan berat terlepas daripada bibirnya.
Jebat hanya mengangguk seraya melangkah pergi. Aneh tatkala Datin Bahriah tiba-tiba prihatin dengannya. Walhal, selama ini tak pernah sekali pun wanita itu cakna dengan kebajikannya.
"Kenapa mama cakap macam tu kat Jebat? Peliklah mamani!" Jazimin mendengus. Ada rasa sangsi di lubuk hatinya dengan perilaku si ibu yang mendadak berubah semenjak Jebat kembali bekerja.
"Betul cakap Jaz tu! You kisah pasal Jebat tu kenapa? Budak tu boleh jadi penyebab utama Qasrina dengan Ezhar tak jadi kahwin! Tolonglah I buat sesuatu supaya diorang berpisah!" Datuk Zali menggelengkan kepalanya seraya memanggil Rasun menghantarnya ke pejabat.
Boleh gila dia bila Jasmine semakin mencabar.
"Korang lupa ke Jebat hampir mati sebab Jasmine? Walaupun dia cuma bodyguard tapi nyawa dia masih penting! Dia pun ada keluarga juga. Apa kita nak cakap dekat keluarga dia kalau Jebat mati masa kejadian? Huh?"
"Kalau mati terus baguslah! Tak adalah yang ganggu Ezhar dengan Qasrina! Lagi satu, you dengar sini ya mulai hari ni I tak nak tengok muka budak tu jadi bodyguard kita lagi!"
Mendengar hal itu, Datin Bahriah terpelongo dengan nekad si suami yang ingin memecat Jebat. "Jebat dah berkorban..."
"Mummy... si Jebat tu hidup lagi kan. Mummy ni kenapa hah tiba-tiba nak ambil berat pasal Jebat? Anak mummy Jaz je tau! Tak payah nak kisah pasal anak orang lain! Peliklah mummy ni. Sumpah pelik!"
Tanpa pamit, Jazimin turut melangkah keluar memandangkan dia menjadi pengerusi mesyuarat pada pagi itu. Ada rasa cemburu di lubuk hatinya tatkala si ibu tiba-tiba ambil berat mengenai seseorang yang tiada kaitan dengan mereka.
Sepeninggalan mereka, Datin Bahriah terhenyak di atas kerusi. Hidangan sarapan di atas meja hanya ditatap kosong. Kenapa dengan dia?
Seharusnya, dia tak perlu kisah pasal Jebat. Apa sekalipun yang Reno ingin lakukan kepada Jebat bukan halnya!
🌹🌹🌹
USAI saja membersihkan dirinya setelah seharian menyertai sukaneka di sekolah Elman, Jebat melabuhkan duduk di birai katil merehatkan tubuhnya yang kelelahan.
Senyuman tak lekang di bibir pemuda berkulit sawo matang itu tatkala debunga bahagia kian mekar di dinding hatinya. Foto-foto Jasmine dan Elman yang diambil serta video mereka ditatap tanpa jemu.
"Jasmine... aku tak tahu kenapa aku boleh berubah hati. Aku tak dapat jawapan kenapa aku boleh jatuh cinta dengan kau. Tapi, kau banyak ajar aku tentang kehidupan, kesabaran. Kau ajar aku dendam bukan jalan yang baik untuk kita balas sebuah kejahatan."
Jebat menghela nafas panjang. Tangannya dilekapkan ke dada tatkala debaran itu memalu kuat jantungnya. Dia mencintai Jasmine Qasrina. Namun, Jebat sedar bahawa Zafri takkan terganti dalam hidup wanita itu.
"Kau memang manusia paling beruntung memiliki Jasmine... muka kita sama, tarikh lahir kita sama... kita mencintai wanita yang sama tapi kau pemenangnya, Zafri. Kau dah tak ada pun Jasmine tetap tak mampu bagi peluang untuk orang lain gantikan posisi kau. Kau takkan terganti dalam hidup Jasmine..."
Perlahan-lahan, Jebat merebahkan tubuhnya di atas kasur. Matanya terpejam rapat. Cuba mengusir wajah Jasmine daripada ingatannya. Melupakan rasa cinta yang takkan terbalas ini. Nyata, susah. Lebih susah daripada dia melepaskan Adibah empat tahun yang lalu.
Ketukan di luar kamar mematikan permainan emosi Jebat. "Boleh mak masuk?"
"Ya, mak. Pintu tak kunci." Jebat kembali bangun daripada pebaringannya. Jebat menyarung pakaiannya seraya bertaut pandangan dengan si ibu yang hanya memerhatikan wajahnya dengan tajam.
"Ada apa mak? Dah pukul 11 malam ni. Mak tak tidur lagi?"
"Kau pergi mana seharian ni?"
"Kerjalah mak. Dah lama sangat Jebat cuti. Nanti..."
"Berhenti kerja. Mak tak nak kau kerja bodyguard lagi." Puan Nijah melabuhkan duduk setentang dengan Jebat. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat menahan emosi yang berkecamuk setelah mengetahui perihal majikan Jebat.
"Mak... kenapa tiba-tiba suruh Jebat berhenti? Dah masuk tahun kelima Jebat kerja dengan Datuk Zali. Apa salah..."
Tak semena-mena, Jebat kematian kata tatkala dia terlepas nama Datuk Zali. Pandangannya dialihkan daripada menatap wajah Puan Nijah yang kelihatan kaget. Bibirnya diketap. Ya Tuhan, kenapalah mulutnya ini laju saja berkata-kata?
"Datuk Zali. Kau kenal tak dia siapa?"
"Papa Jasmine."
Puan Nijah menghela nafas panjang. Dia rasa, Jebat tak tahu siapa gerangan Datuk Zali melainkan ayah kepada Jasmine.
"Jebat... Jujur dengan mak..."
"Kenapa mak serius sangat malamni? Ada yang tak kena ke?"
"Ada. Pasal kau. Pasal majikan kau. Semua tak kena di mata mak. Mak nak selesaikan semuanya malam ni juga."
Sungguh, Jebat kematian bicara dengan wajah tegang si ibu. Intuisinya negatif. Seolah-olah, ada emosi yang akan dihamburkan oleh ibunya.
"Kau cintakan Jasmine?"
Tawa kecil terletus di bibir Jebat tatkala soalan cepumas membuatkan dia terperangkap.
"Apa mak tanya..."
"Jawab, Jebat Khuwailid. Kau cintakan Jasmine?"
Jebat menghela nafas panjang. Dia mengusap belakang tengkuknya seraya mengalihkan pandangan daripada menatap laman wajah Puan Nijah. Terasa kelat liur di rangkungannya tatkala jiwanya membuak-buak ingin menjawab.
"Jebat jawab!"
"Ya... ya mak. Jebat cintakan Jasmine tapi Jebat tak tahu kenapa perasaan tu boleh muncul. Tapi mak... Jebat tahu Jebat tak layak untuk Jasmine. Dia permata sedangkan Jebat hanya sampah di mata ayahnya. Lagi pula, Jebat tak mampu bersaing dengan orang yang dah tak ada."
Melihat wajah kecewa Jebat, luluh hati Puan Nijah. Kedengaran nada suara Jebat begitu serak menahan gelodak jiwa. Ini salah satu sebab kenapa Puan Nijah tak mahu Jebat bekerja di bawah Jasmine lagi.
"Mak... bukan nak halang perasaan kau tapi mak tak nak kau terluka sebab cinta. Kau tahu tak... Datuk Zali tu... dia yang hancurkan keluarga kita..."
"Jebat tahu mak. Dah lama Jebat tahu dia yang buat ayah bunuh diri. Ayah kerja dengan dia. Bila Jebat tahu dia yang hancurkan keluarga kita, Jebat nekad yang Jebat nak balas dendam dekat dia. Jebat nak dia rasa betapa seksanya ayah sebab dia. Betapa menderitanya mak dengan Kak Shana angkara dia. Jebat cuma nak tuntut keadilan nak bagi dia rasa apa yang kita rasa."
Sekonyong-konyongnya, Puan Nijah rasa sesak dengan pengakuan Jebat. Dia terbangun tatkala duniannya seakan-akan kelam. Dendam? Ya Tuhan, kenapa Jebat hanyut dengan dendam tanpa pengetahuannya? Sungguh, ingin Sekali Puan Nijah mempersoalkan tapi lidahnya kelu.
"Jebat juga yang komplot masa penculikan. Jebat puas hati bila tengok Datuk Zali tertekan! Akhirnya, anak dia pun akan terima nasib yang sama macam Kak Shana. Jebat abaikan Jasmine. Jebat suka tengok dia menderita..."
"Bodoh!"
Jebat terteleng ke kanan dengan tamparan kuat Puan Nijah yang seolah-ol ah memecahkan gegendang telinganya. Jiwanya sesak dengan tatapan bengis si ibu. Ada kekecewaan di sebalik raut wajah Puan Nijah yang sudah mengalirkan air matanya.
"Mak tak pernah ajar kau berdendam sampai libatkan orang yang tak bersalah! Ya! Mak mengaku mak masih tak mampu maafkan Zali tapi tak pernah pun terlintas di fikiran dan hati mak untuk balas dendam! Kau tahu tak kau dah bazirkan masa kau sebab dendam!"
"Mak..."
Puan Nijah menepis kasar tangan Jebat yang menyentuh bahunya. Kepalanya tergeleng-geleng tatkala mengetahui Jebat sudah membahayakan nyawa Jasmine. Kedua-dua kolar baju Jebat dicengkam erat. Pandangannya tajam merenung wajah si anak.
"Kenapalah kau ni bodoh sangat Jebat? Kau hampir mati sebab tindakan kau sendiri! Kau tahu kan mak sayangkan kau! Kalau kau mati macam mana dengan mak dengan kakak kau?"
Tak semena-mena, pandangan Jebat mula kabur dengan esakan Puan Nijah. Kedua-dua belah tangan ibunya digenggam erat. Tak tega melihat air mata si ibu mengalir tanpa henti.
"Jebat menyesal... mak. Jebat tahu... Jebat bodoh. Jebat terlalu ikutkan emosi sampai Jasmine jadi mangsanya. Sampai sekarang, walaupun Jasmine dah maafkan Jebat, rasa bersalah tu masih terasa. Jebat dah sakitkan orang yang Jebat cinta tanpa Jebat sedar."
Perlahan-lahan, Puan Nijah melepaskan tubuh Jebat daripada cengkamannya. Air matanya dikesat lembut. Nafas panjang ditarik sedalamnya. Cuba menenangkan jiwa yang rapuh.
"Jebat... kalau kau sayangkan mak... mak merayu dengan kau jangan jumpa Jasmine lagi. Jangan ada kaitan dengan Datuk Zali. Kalau kau cinta kan Jasmine, belajar untuk lupakan dia seperti mana kau lupakan Adibah dulu. Mak tak nak... kau ada kaitan dengan keluarga Zali. Cukuplah apa yang Zali dah buat dekat ayah kau! Mak tak nak hilang kau pula sebab Zali!"
Oh Tuhan, arahan mandatori yang dituturkan oleh Puan Nijah cukup meremukkan hati Jebat. Bibirnya menggeletar menahan sesak. Jebat meluru ke arah Puan Nijah menahan langkah si ibu.
"Jebat takkan buat macam tu mak. Tolong jangan seksa Jebat..."
"Kau akan lebih terseksa kalau kau cintakan anak penghancur kehidupan kita, Jebat Khuwailid! Zali tu bukan lelaki sembarangan! Dia ada kuasa untuk lenyapkan kau kat dunia ni serta-merta!" Nada suara Puan Nijah naik seoktaf. Dia menghempas pintu dengan kuat melepaskan rasa amarahnya.
"Mak... Jebat cintakan Jasmine... Jebat cuma nak bina kebahagiaan baru..."
Jebat meraup wajahnya dengan kasar. Berkali-kali, dia mengeluh berat sambil melilau ke sekeliling ruang tamu. Dia bingung!
Bersambung
31.1.2025
100 vote, 70 komen double chapter next episod
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top