EPISOD 6

SETAHUN KEMUDIAN...

SAMUDERA yang terbentang luas di hadapan benar-benar membibitkan ketenangan di lubuk hati Jasmine. Angin pagi yang menyapa wajah terasa nyaman. Hiruk-pikuk suara pelaut yang ingin turun ke laut demi mencari nafkah kedengaran. Kelihatan ada juga para isteri dan anak si pelaut yang menghantarkan makanan buat mereka.

Melihatkan itu, dinding hati Jasmine kembali diruntun rasa sebak. Matanya melilau seolah-olah masih mencari bayang sang suami. Malangnya, kosong. Tiada lagi senyuman, bayang Zafri yang sentiasa membahagiakan Jasmine Qasrina.

Setahun.

Bukan masa yang singkat untuk Jasmine terima sepenuhnya bahawa dia dan Zafri sudah berpisah dunia.

"Anak kau lincah sangat ya. Cepat je mesra dengan orang."

Suara Isya mematikan lamunan panjang Jasmine. Wanita berselendang hitam yang duduk di atas pangkin itu hanya tersenyum pahit melihat gelagat Elman yang baru berusia setahun. Ligat bermain bersama Darius.

"Makin besar, makin muka Zafri aku tengok si Elman ni. Tak ada muka kau langsunglah Jasmine," tambah Syura pula. Cencalok mangga yang dicelup dengan kicap disua ke dalam mulutnya. Masam!

"Baguslah. Boleh buat lepas rindu dekat Zafri. Kalau aku rindukan arwah suami aku, tengok muka Elman je pun aku dah rasa sejuk."

Buat seketika, Jasmine dan Syura saling berpandangan. Tenang saja tutur bicara wanita itu. Senyuman tak lekang di bibir munggilnya.

"Aku suka tengok kau yang sekarang ni."

"Kenapa? Ada yang lain dengan aku yang dulu ke?"

Syura menepuk bahu Jasmine. Nafas panjang dihela melihat Jasmine yang semakin hari semakin sembuh daripada rasa kehilangan Zafri.

"Kau nampak dah boleh terima Qada dan Qadar Allah. Kau macam dah boleh terima  Allah lebih sayangkan Zafri. Tak macam dulu. Murung..."

"Siapa cakap aku dah boleh terima?" selar Jasmine. Senyumannya mati. Pandangannya dialihkan memerhatikan Elman yang sedang bermain pasir bersama Darius. Anak lelaki Syura.

"Setiap hari aku rasa nak mati. Aku rasa sesak. Rindu tu sakit. Tapi... apa yang aku boleh buat supaya sakit ni hilang? Aku tak tahu nak buat apa Syu, Isya. Kalau kita demam, ada ubatnya. Tapi kalau kita sakit rindu dekat orang yang dah tak ada... apa ubatnya melainkan rasa derita?"

Nada suara Jasmine bergetar. Ada sebu yang mula menikam lubuk hatinya tatkala kerinduannya buat Zafri masih belum terpadam meskipun sudah setahun berlalu.

"Kadang-kadang... aku rasa nak mati sebab hanya kematian yang boleh hapuskan semua penderitaan aku. Sakit yang ada dalam hati akuni... takkan pernah padam. Aku dah penat... tapi Elman perlukan aku. Aku hidup hanya untuk tanda cinta aku dan Zafri. Aku menangis air mata darah sekali pun Zafri takkan pulang."

Jasmine tertunduk menekur kedua-dua belah tangannya yang sudah digenggam erat. Matanya terpejam rapat. Seluruh wajahnya mula membahang menahan air matanya. Jasmine tak mahu menangis lagi. Dia perlu kuat untuk Elman.

"Jasmine... kau ada kita orang tau..." Isya bangun dari duduk seraya memeluk erat tubuh sahabatnya. Mendengar luahan hati Jasmine cukup meluluhkan hati wanita berbadan dua itu.

"Kalau kau perlukan pendengar, kau ada aku dengan Isya. Kau luah je semuanya kat kita orang." Syura turut memeluk erat tubuh Jasmine dengan harapan semua penderitaan Jasmine diringankan.

Dia tahu, bukan mudah Jasmine kembali bangkit. Wanita itu mengalami kemurungan selepas kehilangan Zafri. Hanya berjuang setiap detik dan waktu untuk terus kuat.

Tatkala kehangatan rakan-rakannya meresap ke relung hati, Jasmine tersentak. Dia kembali mendongak. Memandang laut yang terbentang luas seakan-akan menanti kepulangan Zafri. Tapi benar, dia harus kuat demi Elman.

🥀🥀🥀

DEDAUN yang tumbuh meliar di  pusara itu dicantas dengan parang. Sesekali, rintik-rintik peluh yang mengalir ke pipinya diseka dengan belakang tangan. Sungguh terik mentari pada petang itu mencucuk di atas kepala. Tapi, dek rasa rindunya untuk si ayah membuatkan Jebat gigih ke tanah perkuburan itu.

"Pejam celik dah enam tahun ayah pergi. Sampai sekarang akak masih tak percaya ayah sanggup buat keputusan bodoh macamni untuk lari daripada masalah."

Shana mengeluh berat seraya menyiram bunga mawar ke pusara ayahnya. Batu nisan itu diusap lembut. Masih terbayang-bayang ayahnya tega membakar diri hidup-hidup dan menggantungkan diri di belakang rumah mereka.

Semuanya hanya kerana jenayah yang dilakukan oleh si ayah.

"Mak... tak jenguk ayah ke sepanjang aku dalam penjara tu?"

Jebat mencapai sebatang rokok dan pemetik api dari poket seluarnya yang lusuh. Ada tekanan mula menerjah sanubari tika teringatkan si emak yang masih tak boleh menerima kehadirannya.

"Tak. Mak masih marah ayah sanggup buat kerja kotor. Tipu kita semua. Bagi kita makan makanan haram. Entahlah, dah puas aku pujuk mak tapi hati mak keras. Dia kecewa sangat dengan arwah ayah..."

"Kecewa dengan aku juga sampai empat tahun aku meringkuk dalam penjara tu pun dia langsung tak nak jenguk aku," pintas Jebat seraya menghembuskan kepulan asap ke udara.

Terkilan? Ya. Tapi Jebat mengerti mengapa Puan Nijah tak mahu melawatnya di penjara. Ibunya kecewa dengan jenayah yang dilakukannya. Aib.

"Kenapa kau sanggup jadi perompak sampai kena penjara? Aku tahulah adik aku takkan buat benda kotor macam tu."

Jebat mengherot senyum sinis. Langkah diatur ke kenderaan yang diparkir di luar pekarangan tanah perkuburan.

"Aku dah cakap... aku nak tahu siapa yang buat ayah bunuh diri. Aku nak cari jawapan..."

"Tapi kau dapat ke jawapan kau lepas empat tahun kau meringkuk dalam penjara? Banyak dah masa yang kau bazirkan sepanjang terima hukuman tu," selar Shana seraya menahan langkah Jebat. Wajahnya tegang. Pandangannya sudah bertaut dengan si adik.

"Penting ke untuk kau tahu semua tu? Setahu aku, kau pun sama macam mak. Kau orang yakin ayah memang dah buat kerja terkutuk tu!" Nada suara Jebat semakin tegang. Ada amarah membakar dinding hatinya tika Shana seakan-akan mempertikaikan keputusannya.

"Sejujurnya, aku percaya yang ayah memang buat..."

Jebat tertawa sinis sehingga mematikan bicara Shana. Puntung rokok dipijak. Tanpa pamit, pemuda berjambang itu meninggalkan si kakak. Lebih baik dia diam sebelum berlakunya perkelahian dua beradik di depan pusara ayah mereka.

"Jebat! Aku tak habis cakap lagi. Aku..."

"Sudahlah kak! Kau balik jelah jaga mak. Kau tak payah risau pasal aku. Anjing kurap macam aku ni... kat mana-mana pun boleh hidup. Aku tahu apa yang aku tengah buat sekarangni!"

Melihat kemarahah Jebat benar-benar membuatkan Shana kesal. Dia tepuk dahi seraya meluru ke arah si adik yang sudah melangkah ke jalan besar. Lantas, dicengkamnya lengan Jebat sehingga langkah pemuda bertubuh cengkung itu terhenti.

"Kau janganlah cakap macam tu. Aku tak nak adik aku merana kat luar sana. Aku sayang kau Jebat. Kau je satu-satunya adik aku. Baik buruk kau, aku tetap terima dan sayangkan kau."

Nada suara Shana yang kedengaran lembut membuatkan Jebat terkelu. Dia berpaling memandang wajah kakaknya yang manis dengan senyuman.

"Muka kau ni kusut sangat. Kalau Dibah tengok muka pakwe dia kusut macam hutan rimba mahunya dia minta break terus. Tak jadilah aku nak merasa dapat adik ipar lemah lembut macam dia," usik Shana sambil menepuk pipi Jebat bertalu-talu. Tak mahu menghangatkan suasana lagi.

Mendengar nama Dibah, wajah Jebat serta-merta membahang. Dia berdeham sambil menggaru kening yang tak gatal. Dibah. Gadis tercintanya. Apa khabar agaknya gadis itu? Sudah sebulan Dibah tak menjenguknya sehingga Jebat jadi rindu.

"Kau! Sebut nama Dibah terus jadi kucing. Rindulah tu. Kan?"

"Bakal isteri tu. Gila tak rindu. Ramai yang nak kat dia... jahanam yang tak ada masa depan ni juga yang dia pilih."

Mendengar hal itu, Shana ketawa kecil. Dia menarik lengan Jebat masuk ke dalam kereta.

"Kau bukan jahanam. Kau, fighter kesayangan Tori dan dah masanya kau tunjuk belang kau lagi kat gelanggang tu. Kumpul duit kahwin cepat sikit supaya aku boleh dapat adik ipar tahun ni juga."

Semakin ligat Shana mengusik, dinding hati Jebat semakin tak keruan. Hailah, sebut saja tentang Dibah si gadis pujaan hati mudah saja amarah Jebat reda buat seketika.

Namun, di sebalik kemesraan dua beradik itu, tanpa mereka sedar sebuah kereta Waja diparkir di bahu jalan. Empat orang lelaki ralit memerhatikan mereka dengan pandangan membunuh.

"Anak si jahanam tu dah keluar. Apa tunggu lagi? Kita hapuskan jelah sekarang!" Si lelaki berkepala botak sudah berura-ura untuk turun.

"Kau tunggu dululah! Bagilah dia bersuka ria dengan kakak dia. Jangan gelojoh sangat boleh tak!"

Si lelaki berkepala botak mendengus tatkala ditahan oleh rakannya. Sungguh, aura membunuhnya semakin kuat melihat wajah Jebat Khuwailid! Dia mahu wang maka arahan si ketua harus dipatuhi dengan segera!

🥀🥀🥀

PARA wartawan berpusu-pusu meluru ke arah seorang usahawan yang sedang diapit oleh dua orang pengawal peribadi. Masing-masing mahu mendapatkan maklumat daripada lelaki berkot hitam yang baru saja dinobatkan sebagai usahawan berjaya itu.

"Datuk Zali! Apa khabar datuk?"

"Datuk, boleh kami pinjam masa datuk sekejap?"

"Datuk betul ke ada yang mengatakan bahawa datuk hanya menumpang nama keluarga arwah isteri datuk je?"

"Kalau kita orang nak wawancara datuk sekejap boleh ke?"

Datuk Zali semakin rengsa tatkala soalan diasak kepadanya tanpa henti. Dia lali. Fikirannya bercangkaliwang. Bangunan lima tingkat yang dilengkapi pendingin hawa itu juga tak terasa nyaman lagi. Rimas!

"Jangan ganggu datuk buat masani. Datuk perlukan rehat. Kalau kau orang nak wawancara boleh buat hari seterusnya!"

Para pengawal peribadi sudah menghalang wartawan yang tak putus-putus membuntuti Datuk Zali ke lif. Selagi mereka tak dapat maklumat, selagi tu mereka tak akan pulang dengan tangan kosong.

"Datuk! Ala sekejap je..."

"Tolong hormat keputusan datuk! Kau orang boleh balik dulu!"

Melihat kesibukan itu, Nek Timah yang sudah terpinga-pinga turut menghampiri Datuk Zali. Kepalanya dipanjangkan mahu melihat keberadaan si anak tunggal. Sungguh, dia mahu bertemu Datuk Zali saat ini juga.

"Nenek nak apa?"

Nek Timah tersentak tatkala disergah oleh seorang gadis berbaju blouse kuning cair. Senyuman terbit di bibir wanita tua yang sedang membawa bakul berisi nasi lemak kegemaran Datuk Zali.

"Saya nak jumpa anak saya."

"Siapa anak nenek?"

"Zali."

Si gadis berkerut dahi. Kening kirinya terjungkit mendengar sebaris nama itu. Dipandangnya penampilan Nek Timah dari atas hingga ke bawah. Nampak kolot dengan baju kurung kedah serta kain batiknya. Apa benar dia tak salah dengar?

"Datuk Zali tu anak nenek. Boleh nenek..."

"Nenek ni main-main ke? Datuk Zali tu orang ternama kut takkanlah nenek ni maknya Datuk Zali?"

Mendengarkan itu senyuman Nek Timah berubah pahit. Dia memandang penampilannya yang kelihatan kekampungan ini. Dipandangnya pula figura Datuk Zali yang berdiri di hadapan pintu lif.

Nek Timah akui, penampilannya membuatkan si gadis sukar mempercayai bahawa dia ibu kandung Datuk Zali.

"Nenek salah orang kut. Zali yang nenek maksudkan ni tak ada..."

"Aku tak salah orang! Datuk Zali majikan kau tu memang anak kandung aku! Kenapa? Kau tengok aku macamni terus susah nak percaya aku ni mak Datuk Zali ke? Banyak cantik muka kau!" Nek Timah mendengus. Langkah diatur ke arah Datuk Zali. Panas benar hatinya dengan pandangan sinis gadis itu.

"Zali!"

Nek Timah sudah ditolak-tolak oleh para wartawan tatkala dia ingin menghampiri si anak. Sakit bahunya dirempuh dengan tenaga anak-anak muda itu. Bekas berisi nasi lemak dipeluk erat agar tidak tertumpah.

"Zali!" Nada suara Nek Timah semakin tinggi tatkala Datuk Zali sudah menapak masuk ke dalam lif.

"Zali! Mak datang..."

Tak semena-mena, Nek Timah terduduk tatkala pengawal peribadi menolak tubuhnya. Makanan yang diletak dalam bekas tertumpah di atas lantai. Luluh hati tua Nek Timah melihat masakan yang dimasak istimewa buat anak yang dirindukan sudah kotor.

Para wartawan juga sontak terhenti dari mengejar Datuk Zali tatkala Nek Timah sudah mengutip timun dan telur rebus dimasukkan semula ke dalam bekas. Ada rasa simpati menjentik tangkai hati mereka.

"Apa kecoh-kecohni? Kau orang..."

Belum sempat Datuk Zali menoktahkan bicara, dia sudah terpelongo melihat wajah sayu Nek Timah yang sudah memandangnya. Terasa kelat liur di rangkungan tatkala ibunya muncul di saat yang tak terduga!

Bersambung...

13.7.2024

5 comment, 50 vote unlock new chapter ✨️

Dalam dua episod lagi bertemulah Jasmine dan Jebat lagi. Kita bagi diorang settle masalah masing-masing dulu ✨️

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top