EPISOD 54
"ASAL call aku je mesti tanya pasal Puan Jasmine. Cubalah sekali sekala tanya pasal aku. Kita ni dah nak dekat setahun kerja dengan Puan Jasmine tapi tak ada kesempatan pun nak berkenalan. Aku ni cantik kut. Rugi tau kau tak berkenalan dengan aku."
Jebat menghela nafas panjang tatkala Elisa masih sempat bergurau dalam keadaan Jebat rungsing akan keadaan Jasmine. Langkah diatur keluar ke balkoni rumah. Sudah lama Jebat tak menghirup udara luar selepas keluar dari hospital.
"Kenapa aku perlu berkenalan dengan kau pula?"
"Sebab kita sama-sama single. Padanlah kan... eh tapi..."
Elisa menggantungkan bicaranya. Pandangannya tunak memerhatikan Jasmine yang hanya termenung di hadapan samudera. Sesekali, kedengaran ombak menghempas tepian pantai. Ada rasa sangsi di lubuk hati Elisa tentang hubungan Jasmine dan Jebat.
"Kau dengan Puan Jasmine ada apa-apa hubungan ke selain hubungan majikan dengan pekerja?"
Tak semena-mena, seluruh wajah Jebat membahang panas dengan tuduhan melulu rakan sekerjanya. Dia berdeham. Palang besi balkoni digenggam erat menahan debaran yang kembali memalu jantungnya.
Ya Tuhan, apa magis Jasmine Qasrina hingga Jebat boleh alpa dengan dendamnya sendiri?
"Hah! Diam aje betullah..."
"Kau tak payah nak merepek."
Elisa terkekeh-kekeh sambil menguis pasir. Tercuit hatinya mendengar nada suara Jebat terketar-ketar menjawab soalannya.
"Tak adalah. Elman panggil kau uncle abah. Kenapa dia tak panggil kawan-kawan kita yang lain dengan panggilan tu? Lagi satu, kau dengan Puan Jasmine bukan main lagi eh kau suka sakat dia. Cuba dengan aku, dengan kawan-kawan yang lain muka ketat 24 jam aje. Obvious betul kau suka Puan Jasmine. Atau mungkin... kau dah jatuh cinta dengan majikan kau sendiri."
Tika itu, Jebat cuba mengalihkan topik perbualan mereka. Tak mahu isi hatinya ini dibaca oleh orang lain. Cukuplah hanya dia yang tahu. Jebat sendiri sedar hakikat bahawa dia dan Jasmine bagai langit dan bumi. Mereka takkan pernah bersatu.
"Puan Jasmine selamat dengan aku. Kau jangan risaulah. Tapi, apa sebenarnya masalah kau dengan Puan Jasmine? Aku ni sampai jadi bisu tahu nak jawab soalan anak kau. Kau buat apa dengan Puan Jasmine sampai dia sedih?"
Jebat menjarakkan telefon pintar dari telinganya tatkala suara Elisa tiba-tiba meninggi. Seakan-akan memecahkan gegendang telinga Jebat saja. Angin petang yang menerobos masuk melalui balkoni rumah tak lagi terasa nyaman.
"Hoi Hang Jebat! Kau dengar tak? Kau buat apa dekat Puan Jasmine?"
"Bukan urusan kau."
"Kepala hotak kau bukan urusan aku! Aish! Memang orang nama Jebat ni suka derhaka dengan tuan sendiri ke?
Zaman kesultanan Melayu Melaka dulu Hang Jebat derhaka dengan raja, sekarang zaman moden nama Jebat juga yang derhaka dengan majikan sendiri!"
Elisa menggeleng-gelengkan kepalanya. Tak puas hati melihat Jasmine bermuram durja.
"Puan Jasmine tu baik tau. Sepanjang kitorang duduk Ireland, tak pernah sekali pun dia menangis macam orang putus cinta!"
'Putus cinta'.
Frasa itu membuatkan Jebat kaku. Sorotan matanya memandang deretan kereta di kawasan perumahan flat lima tingkat. Ada debaran mengetuk sang hati tika Elisa tiba-tiba menyebut hal perasaan.
"Teruk ke?"
Elisa mencebik dengan soalan cepumas Jebat. Kalau Jebat ada di depan matanya saat ini, mahu saja dia belasah Jebat sampai koma buat kali kedua. Entah apa yang Jebat perlakukan ke atas Jasmine hingga wanita itu murung pun Elisa tak tahu. Apa yang pasti, Jasmine nampak kecewa.
"Teruklah juga. Dah dua hari puan tak banyak cakap. Mengelamun aje. Anak kau tu sampai asyik tanya aku kenapa uncle abah tak pujuk ibu dia. Hah! Aku nak jawab apa bro?"
Seleret senyuman pahit terkulum di bibir Jebat tatkala Elisa tak henti-henti menggunakan frasa 'anak kau' sebagai pengganti nama Elman. Rindu benar Jebat dengan budak lelaki yang sering menyerikan hidupnya. Masihkah ada peluang untuk dia menghulurkan kasih buat Elman tatkala Jasmine sendiri menghalangnya dari bertemu Elman?
"Tolong jaga Jasmine untuk aku..."
"Jagalah sendiri! Kau bodyguard dia. Aku ni cuma ganti tempat kau. Maklumlah Datuk Zali lebih percayakan kau berbanding aku."
Jebat memicit pelipisnya tatkala dia sendiri buntu dengan rasa bersalah yang kian mencengkam jiwa. Dia sudah mengkhianati Jasmine dan wanita itu sudah terang-terangan mengatakan bahawa dia bencikan pengkhianatan. Bagaimana Jebat mahu bertemu Jasmine lagi dalam keadaan dia dibenci oleh wanita itu?
Tapi, Jebat masih mahu melindungi Jasmine dan Elman.
"Elisa..."
"Ya?"
"Err... perempuan... kalau marah atau merajuk korang suka dipujuk dengan cara macam mana?" Jebat mengusap tengkuknya tatkala rasa segan bertamu di dinding hati dengan soalannya sendiri.
Mendengar hal itu, Elisa menahan tawa. Rambutnya yang ditiup angin disebak ke belakang. Nafas panjang dihela. Hailah, Jebat. Dia dapat rasa bahawa Jebat punya perasaan istimewa buat majikan mereka.
"Senang je. Kitorang cuma nak effort daripada lelaki."
"Effort yang macam mana?"
"Ish kau ni! Nampak gagah kat dewan tinju, nampak kuat belasah musuh-musuh datuk tapi bab-bab begini lembab juga eh!"
"Perempuan complicated."
Tawa Elisa terletus dengan bicara Jebat yang berterus-terang. Mahu saja dihempuknya Jebat dengan helmet. Geram!
"Perempuan cuma nak difahami je. Tak adalah susah mana. Okey, aku ajar. Kalau kau nak pujuk Puan Jasmine senang je. Puan Jasmine ni hati dia lembut walaupun dia tengah marah. Caranya, kau jadi pendengar dia. Dia marah ke, dia tengking kau ke dengar je. Jangan menjawab. Lagi satu, dia suka coklat putih. Kau buat satu bouquet coklat putih dengan bunga mawar. Mesti dia cair dengan kau."
"Hah! Lagi satu... kalau semua tu tak menjadi bagilah dia masa. Jangan desak dia. Kau cuma perlu tunjuk effort dengan dia. Kalau dia dah bagi kau peluang, janganlah ulang benda sama lagi. Paling penting aku bagi tahu kau... kalau perempuan kata tak nak sebenarnya dia nak. Tu kod rahsia perempuan," tambah Elisa lagi.
Tak semena-mena, kata-kata keramat Jasmine berlegar di ruang memori Jebat. Senyuman terkulum di bibirnya tatkala pesanan Elisa membuatkan hati Jebat kembali senang.
"Saya... tak nak tengok muka awak lagi! Saya tak nak... awak rapat dengan anak saya. Mulai hari ni... kita bawa haluan masing-masing! Jangan kisah pasal saya lagi! Saya... takkan bagi anak saya panggil awak uncle abah lagi! Awak tak layak semua tu, Jebat Khuwailid! Saya bencikan pengkhianatan!"
Jadi maksudnya, Jasmine masih mahukan dirinya menjadi pelindung.
"Jangan lama sangat buat Puan Jasmine sedih. Dia dah cukup menderita. Ni masalah dengan papa dia tak pandai habis-habis. Kesian aku tengok. Kau janganlah tambah masalah dengan dia lagi."
"Satu benda kau kena tahu juga, Puan Jasmine susah nak bagi anak dia rapat dengan mana-mana lelaki. Tapi dengan kau... elok je dia bagi kau rapat dengan anak dia siap panggil uncle abah lagi. Kau special kes, Jebat!"
Sungguh, kata-kata Elisa membuatkan Jebat terkesima. Dia melekapkan tangan ke dadanya tatkala debaran itu semakin kuat.
Benarkah dia istimewa buat Jasmine?
Atau... hanya kerana wajahnya persis Zafri membuatkan Jasmine memberikan peluang untuk Jebat menghulurkan kasih buat Elman?
Entah, Jebat sendiri tak pernah sedar hakikat itu.
"Jebat. Mak nak keluar kejap."
Suara Puan Nijah mematikan lamunan panjang Jebat. Panggilannya sudah ditamatkan. Jebat kalih memandang figura Puan Nijah dan Shana silih berganti.
"Kenapa ni? Muka kau merah. Kau sakit ke?" Puan Nijah mendemah dahi Jebat. Risau melihat wajah pucat Jebat apatah lagi pemuda itu baru saja keluar dari hospital.
"Tak ada apalah mak. Mak, esok Jebat nak ke Melaka. Puan Jasmine ada kat sana sekarang. Jadi Jebat nak menyusul. Nak masuk kerja..."
"Mak tak izinkan!" Puan Nijah memintas. Wajahnya mendadak tegang dengan keputusan Jebat.
"Mak... Jebat dah sihat. Dah boleh masuk kerja. Dah lama sangat Jebat duduk hospital." Jebat terkocoh-kocoh membuntuti ibunya masuk ke dalam rumah.
"Penting sangat ke Puan Jasmine kau tu sampai kau ketepikan diri sendiri? Jebat, kau baru je keluar hospital dua hari lepas. Kau ingat badan kau tu besi ke? Tak boleh nak rehat dulu baru masuk kerja? Kau lupa ya kecederaan kau tu bukan cedera ringan?"
"Mak... tapi keselamatan Puan Jasmine tu penting untuk Jebat. Dalam keadaan penculik tu belum ditangkap, Jebat risau kalau diorang datang lagi."
Puan Nijah mengeluh berat seraya mematikan langkahnya di muka pintu rumah. Raut wajah Jebat dipandang tajam. Sesak rasanya tatkala Jebat masih berdegil.
"Siapa sebenarnya majikan kau selain Puan Jasmine ni ya sampai dia buat kau patuh sangat dengan kerja kau sebagai bodyguard dia?"
Tak semena-mena, Jebat kaku dengan soalan mendadak Puan Nijah. Terasa kelat liur di rangkungannya dengan tatapan membunuh si ibu yang seolah-olah dalam mood menyiasat. Mana mungkin, Jebat menyatakan dia bekerja untuk Datuk Zali.
"Jebat. Jawab soalan mak. Lima tahun dah kau kerja dengan dia, mak tak pernah langsung tahu siapa lagi majikan kau. Puan Jasmine anak dia. Jadi, siapa dia?"
"Kenapa... mak tiba-tiba nak tahu?"
"Sebab mak rasa mak perlu tahu siapa yang buat anak mak ni bersungguh-sungguh dengan kerja dia. Padahal, mak hampir hilang anak mak sebab anak majikan kau tu. Sekarang, kau nak korbankan rehat kau lagi demi orang yang sama? Apa yang kau dah janjikan dekat majikan kau tu ya? Boleh mak tahu siapa orangnya?"
Jebat mengalihkan pandangannya tatkala Puan Nijah semakin mendesak. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat menahan diri daripada membuat pengakuan. Jebat tahu pasti Puan Nijah akan melarangnya dari bekerja untuk Datuk Zali lagi.
"Tokoh usahawan."
"Tokoh usahawan?"
"Ya... mak...."
"Namanya?"
Oh Tuhan, Jebat makin tersepit tatkala Puan Nijah semakin mengorek rahsia yang disimpan sekian lama.
"Mak tak kenal pun..."
"Siapa cakap mak tak kenal? Mak kenal seorang tokoh usahawan merangkap bekas majikan arwah ayah kau yang buat ayah kau terjerumus dalam jenayah. Datuk Zali. CEO MARLI Empire. Jangan cakap dia majikan kau, Jebat Khuwailid."
Seluruh tubuh Jebat semakin rengsa tatkala nama itu terlafaz daripada bibir Puan Nijah. Dia kembali bertaut pandangan dengan si ibu. Ada tatapan amarah yang membuatkan degupan jantung Jebat semakin kencang.
"Mak... mak dengan Kak Shana nak pergi mana? Jebat hantar..."
"Jangan ubah topik."
Tatkala ibunya semakin berkeras, Jebat mengenggam kedua-dua belah tangan Puan Nijah. Dia mengulum senyum seraya mengucup lembut tangan ibunya. Sungguh, Jebat serbasalah mahu membuat pengakuan.
"Mak... jangan risau pasal Jebat. Sebagai seorang bodyguard, kami memang dilatih untuk pentingkan nyawa majikan berbanding nyawa sendiri. Lagipun Jebat ke sana nanti ada juga bodyguard lain. Kitorang berdua bertugas untuk Puan Jasmine."
Puan Nijah mengeluh berat seolah-olah melepaskan beban di pundaknya. Dia tahu, Jebat sedang menyimpan sesuatu daripada pengetahuannya. Wajah Jebat tiba-tiba kelihatan tertekan saja tatkala dia mengungkit perihal majikan.
Tak apa. Dia akan siasat dengan caranya sendiri.
🌹🌹🌹
DI dalam lautan manusia yang sedang berpeleseran di lantai dansa pusat hiburan, seorang lelaki berwajah bengis dengan tatu ular di lehernya menikmati suasana yang begitu bingit sambil memerhatikan figura Datuk Zali yang sedang berbincang sesuatu dengan seorang lelaki Cina berkot putih. Tersungging senyuman sinis di bibirnya melihat ketegangan di wajah Datuk Zali.
"You buat suami I stres."
Reno tertawa sinis tatkala si wanita bergaun merah mampir ke arahnya yang duduk di bar minuman. Jari jemarinya sudah merayap ke pinggang ramping si wanita. Tak lekang, dia memerhatikan Datuk Zali yang sesekali membentak si lelaki cina.
"Riah... you tahu tak dalam dunia ni kejahatan selalu datang kepada kita. Kejahatan juga harus dibalas dengan kejahatan."
"Nak balas dendamlah ni. Huh?" Datin Bahriah mengusap lembut wajah kekasih gelapnya seraya meneguk segelas wain. Sesekali, dia melihat figura Datuk Zali dan para pengawal. Sebagai langkah berjaga-jaga.
"Kasino I hancur sebab dia dah rampas semuanya daripada I. Apa lagi... ajar sikit... tapi itulah rancangan I gagal pula bila bodyguard dia kacau daun!"
Mendengar hal itu, Datin Bahriah menegakkan tubuhnya. Dia berkerut dahi tatkala intuisinya negatif. Ada dendam berselirat di wajah lelaki itu.
"Rancangan gagal? Apa maksud you?"
"Penculikan tu..."
"What? You yang culik Qasrina?" Oh Tuhan, betapa kagetnya Datin Bahriah tatkala mengetahui pelaku penculikan Jasmine. Apatah lagi ada kaitannya dengan Jebat.
"You terkejut ni kenapa..."
"I... tak sangka you senekad itu! You cederakan Jebatlah maksudnya! You tahu tak Jebat hampir mati sebab orang-orang you! Sebab you, Reno!"
Tak semena-mena, Datin Bahriah membentak. Dia menolak kasar tubuh Reno tatkala dinding hatinya dibakar amarah.
"Budak tu tak mati lagi. Relaks! Ala, I tak boleh tahan marah masa kejadian. Apa lagi, I arahkanlah orang-orang I bantai dia. Sepatutnya, satu peluru untuk Jebat satu lagi untuk majikan kesayangan dia. Tapi tulah... Jebat tamak! Dia nak juga dapat dua peluru."
Datin Bahriah semakin sesak tatkala Reno seolah-olah mempermainkan nyawa Jebat. Dia berang!
"Nasib baik dia tak mati! Kalau dia mati macam mana? I takkan biarkan dia mati di tangan..."
"Bahriah... you sayangkan dia lagi ke lepas apa yang kita dah buat 32 tahun yang lalu?"
Tak semena-mena, Datin Bahriah terkesima tatkala ruang memorinya mengimbas kejadian silam. Keluhan berat terlepas di bibir merahnya. Segelas wain diteguk rakus tatkala jiwanya mula tertekan.
"I ada plan untuk dia juga."
"Apa lagi?"
Reno tersenyum sinis. Dia mendekatkan tubuhnya ke tubuh Datin Bahriah hingga mereka saling berlaga.
"You mesti tak tahu benda ni kan selama Jebat kerja dengan keluarga you. Kalau you nak tahu, Jebat berdendam dengan Zali pasal kematian ayah dia."
"Tapi apa kaitan Zali dengan kematian..."
Datin Bahriah terkesima dengan pandangan tajam Reno. Dia menggelengkan kepalanya tatkala menyedari kelicikan lelaki yang sedang mempermainkan kehidupan Jebat Khuwailid itu.
Reno memang kejam!
Bersambung...
27.1.2025
150 vote, 50 komen saya update double. Thank you teman-teman sudi baca karya saya. Semoga korang happy
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top