EPISOD 46
"YA ALLAH Qasrina. Syukurlah Qas baik-baik je. Kitorang semua risaukan Qas. Merata bodyguard dan pihak polis cari Qas tapi semuanya tak berjaya. Mummy senang bila Qas balik juga ke rumah kita dalam keadaan selamat."
Tangisan Datin Bahriah kedengaran di ruang tamu tatkala Elisa dan Rasun membawa Jasmine pulang ke rumah. Sungguh, dia bersyukur tatkala Jasmine dalam keadaan masih bernyawa walaupun wajah wanita itu dipenuhi dengan kesan lebam. Tubuh Jasmine lantas dipeluk erat.
"Macam manalah benda ni boleh jadi dekat kau ya Qas? Jebat memang tak reti buat kerjalah! Lepastu dah buat salah tahu pula lepaskan stress kat orang. Bedebah punya jantan!"
Seketika, pandangan Jasmine bertaut dengan abang tirinya yang baru menuruni anak-anak tangga. Jelas ada kesan lebam di wajah Jazimin.
"Tak pasal-pasal muka kacak aku ni hancur dikerjakan dengan bodyguard tak guna..."
"Kalau dia tak guna, dah lama aku mati. Aku takkan pulang kalau bukan sebab Jebat sanggup korbankan nyawa dia untuk aku! Kau tu yang tak boleh harap!" Jasmine menengking tatkala dinding hatinya terasa sesak mendengar Jebat direndah-rendahkan.
"Aku cakap benda yang betul, Qasrina! Kau kena culik sebab dia! Cuai! Tak reti buat kerja!"
"Kau tak payah nak buruk-burukkan Jebat! Sekurang-kurangnya, dia sanggup korbankan nyawa dia demi tanggungjawab yang papa bagi! Dia tahu kerja dia lindungi aku! Jadi, sebelum kau buruk-burukkan Jebat, cermin diri kau yang tak berapa betul daripada salahkan orang!"
Jasmine mendengus. Dia menolak kasar tubuh Datin Bahriah seraya meluru naik ke bilik. Tubir matanya terasa hangat tika ketakutan masih mencengkam sanubari. Jiwa Jasmine sesak. Fikirannya bercangkaliwang memikirkan keadaan Jebat apatah lagi penculikan itu cukup memberikan kesan yang mendalam di ruang hati Jasmine.
"Qasrina..."
Jasmine kematian langkah di anak tangga terakhir tatkala dia berpapasan dengan Datuk Zali. Bibirnya menggeletar melihat tatapan dingin si ayah. Apa sebenarnya yang Datuk Zali lakukan di luar pengetahuan mereka sehingga Jasmine menjadi mangsa penculikan?
Ingin sekali Jasmine bertanya namun dia sudah lelah dengan kejadian mencemaskan itu.
"Qasrina anak papa..."
Tak semena-mena, setitis demi setitis air mata mengalir ke pipi memar Jasmine tatkala Datuk Zali mengusap lembut kepalanya. Mulutnya ingin meluahkan rasa takut dan trauma yang masih bergayut di relung hati. Jasmine membuak-buak menginginkan pelukan daripada si ayah. Dia mahu rasa dilindungi oleh darah dagingnya. Bukan dilindungi oleh orang luar!
"Papa ada benda nak cakap dengan Qas tapi papa ada kerja nak kena settle malam ni juga. Qas rehatlah. Mak Behah dah masakkan untuk Qas."
Ya Tuhan, seluruh tubuh Jasmine benar-benar rengsa tatkala hanya itu respons si ayah dengan kepulangannya. Seolah-olah, penculikan Jasmine tidak terkesan buat si ayah. Hanya tatapan sayu Jasmine saja menghantar Datuk Zali menuruni anak tangga.
Bahkan, tiada langsung pertanyaan daripada si ayah sama ada dia baik-baik saja atau tidak. Hanya layanan dingin yang diberikan oleh Datuk Zali sehingga mengguris perasaan Jasmine yang rapuh.
Tidak berertikah nyawanya dalam hidup si ayah sehingga tiada langsung peluang untuk Jasmine meluahkan rasa takut?
Malam itu, usai saja membersihkan diri, Jasmine hanya terduduk lemah di balkoni rumah sambil merapatkan kedua-dua belah lutut ke dada. Dia tak bisa lelap. Jasmine hanya membiarkan angin malam meniup tubuhnya yang masih terasa sengal dengan penangan Reno.
Esakan kecil Jasmine terlepas jua. Ditemani dengan rintikan hujan pada dinihari.
Masih terbayang-bayang di ruang memori Jasmine setiap kali tangan Reno membelai segenap wajah dan rambutnya. Jijik! Berganti pula tatkala Reno dan konco-konconya membantai Jebat hingga pemuda itu terlantar di ruang unit rawatan rapi dek mengalami kecederaan parah.
"Abang Zafri meninggal sebab aku. Jebat hampir mati sebab aku. Kenapa kau tak ambil je nyawa aku Ya Allah. Aku penat. Papa... aku ni tak bererti ke dalam hidup papa sampai dia langsung tak kisah pasal aku? Ujian apa lagi yang kau akan berikan kepada aku selepas ni? Aku penat Ya Allah..."
Tangisan Jasmine semakin mendayu-dayu melepaskan deritanya. Tika itu, Jasmine hanya merintih kepada Yang Maha Kuasa. Hanya itu yang mampu Jasmine lakukan tatkala dia sudah kehilangan tempatnya bersandar.
"Tak. Tak boleh macam ni.Kau tak boleh menangis lagi Jasmine Qasrina. Kau kena kuat untuk Elman. Kau dah janji yang kau tak akan merintih dengan ujian Allah lagi."
Jasmine cuba memujuk hatinya yang walang. Nafas panjang ditarik sedalam-dalamnya. Jasmine bangun daripada duduknya. Air mata yang membasahi wajahnya diusap lembut.
Namun, tika bunyi tembakan itu kembali bergema di telinga, tangisan Jasmine kembali pecah. Jasmine kembali melorot di dinding sambil menepuk-nepuk dadanya yang terasa perih. Tangannya mengenggam erat palang balkoni untuk berpaut. Sungguh, masih terbayang-bayang di ruang memori tubuh Jebat rebah berlumuran dengan darah.
"Ibu..."
Tatkala pipinya diusap lembut, Jasmine terngadah. Matanya membuntang kaget dengan kedatangan Elman. Anak kecil itu kelihatan mamai.
"Ibu dah balik."
"Ya sayang. Ibu dah balik." Jasmine mengenggam kedua-dua belah tangan Elman. Senyuman terukir pahit di bibir pucat Jasmine.
"Uncle abah cakap kalau Elman bangun, dia bawa ibu balik. Uncle abah tu baik. Dia tolong Elman cari ibu. Dia tak tipu."
Tak semena-mena, air mata Jasmine semakin deras mengalir ke pipinya. Tubuh kecil Elman ditarik ke dalam pelukan. Sungguh, Jasmine hanya perlukan kehangatan untuk menenangkan jiwanya yang rapuh.
"Ibu jangan sedih. Ibu selalu pesan dengan Elman kalau kita sedih kita kena mengadu dengan Allah. Nanti Allah bagi kita vitamin untuk jadi kuat. Allah kan sayang kita. Kalau ibu rindu abah, ibu kena sedekahkan Al Fatihah."
Jasmine terangguk-angguk dengan kepetahan Elman cuba memujuknya. Jasmine hanya membiarkan tangan kecil Elman menepuk-nepuk tubuh belakangnya.
Ya Allah, dia harus kuat untuk Elman. Tapi malam ini saja Jasmine sudah kembali tersungkur dengan kejadian yang baru saja berlaku. Apatah lagi respons Datuk Zali cukup menyakitkan hati Jasmine.
"Ibu sakit ke?"
Perlahan-lahan, Jasmine meleraikan pelukannya. Rengekan Elman menyentak Jasmine daripada tangisannya. Jasmine mengerti bahawa anak kecil itu tak mahu dia bersedih lagi.
"Ibu sakit kat mana? Nanti Elman minta Kak Elisa panggil doktor supaya ibu tak sakit lagi." Elman mengusap air mata yang mengalir ke pipi Jasmine. Bibirnya tercebik-cebik menahan tangis. Tak suka melihat Jasmine bersedih lagi.
"Taklah. Ibu tak sakit."
"Jadi kenapa ibu menangis?"
Tutur bicara Elman benar-benar meremukkan hati Jasmine. Seluruh wajahnya membahang menahan esak. Tiada kata yang mampu Jasmine tuturkan lagi saat Elman bijak membaca emosinya.
Sakit. Jiwa Jasmine benar-benar sakit dengan ujian yang tak putus-putus datang kepadanya. Walhal, Jasmine tahu ujian itu menguatkan dirinya bukan melemahkan.
🌹🌹🌹
SUASANA pekarangan rumah agam Datuk Zali kelihatan begitu meriah pada petang itu dengan majlis minum petang bertemakan hitam dan putih. Para tetamu kelihatan memenuhi kawasan taman yang sudah dihias cantik.
Pelbagai jenis pencuci mulut yang terhidang. Para pelayan katering juga sibuk menambah lauk. Sekumpulan ahli perniagaan juga mengambil peluang berkenalan dengan klien baru demi keutungan syarikat masing-masing.
"Uncle, mana Qasrina? Risau Ez bila dengar apa jadi dengan dia."
"Tak turun lagi tu. Sebab kejadian tulah kalau boleh uncle nak uruskan hal korang secepatnya. Bawa Qas pergi jauh dari sini demi keselamatan dia." Datuk Zali mencicip teh panas seraya mengunyah kek span yang terhidang.
"Eloklah kau cepatkan urusan Ez dengan Qasrina. Mana tahu kalau kahwin boleh hilangkan perangai tak berapa betul Ez tu. Kan mama?" Tan Sri Talib menyenggol lengan isterinya yang ligat berbual bersama Datin Bahriah. Pernikahan Jasmine dan Ezhar membuka peluang untuk dia membesarkan lagi empayarnya.
"Pelan-pelanlah. Qasrina tu pun entah budak tu suka ke tak..."
"Dia suka ke tak I tetap nak Ezhar jadi menantu I. Ez bawa Qas tu balik Ireland. Menetap kat sana terus mana tahu boleh kembangkan lagi kerjaya dia sebagai pelukis."
Ezhar tersenyum nipis tatkala impiannya menikah dengan Jasmine semakin membawa kepada jalan lurus. Dahulu, dia terpaksa makan hati hanya kerana tekad Jasmine yang ingin menikah bersama Zafri. Sudah terlalu lama Ezhar menginginkan wanita itu menjadi hak miliknya.
"Hah tu Qasrina!" Datin Bahriah menggamit Jasmine yang baru saja keluar dari rumah. Wajah wanita muda itu kelihatan pucat dan tak bermaya. Seolah-olah hanya jasadnya saja melangkah.
"Qas? Nak pergi mana?" Datuk Zali mengerutkan dahinya melihat penampilan Jasmine yang kelihatan serabai. Hanya mengenakan hoodie hitam dan selendang kelabu saja. Seolah-olah orang yang sedang kemurungan.
"Nak lawat Jebat."
"Sorang?"
"Kenapa? Papa nak ikut?" Soalan dibalas dengan soalan. Jasmine menjungkitkan keningnya sambil memandang Ezhar dengan tatapan sinis. Entah apa yang sedang dibicarakan oleh mereka pun Jasmine tak tahu.
Tapi, pandangan mereka membuatkan Jasmine merasakan dirinya sedang dikritik.
"Tak payah pergilah. Budak tu kan hidup lagi. Apa kata Qas duduk sini dan kita bincang pasal Qas dengan Ezhar."
"Qas dengan Ezhar? Kenapa dengan kitorang?" Jasmine sangsi. Dia berkerut tatkala gerak hatinya negatif dengan bicara si ayah.
"Papa nak jodohkan Qas dengan Ez. Tan Sri berkenan..."
"Apa? Jo... jodohkan?" Nada suara Jasmine naik seoktaf dengan bicara Datin Bahriah. Detak jantungnya berdebar kencang tatkala amarah membakar relung hati wanita itu. Baru saja semalam Jasmine bebas daripada penjenayah, ayahnya sudah merancang perkara tak masuk dek akal.
Ya Tuhan, Jasmine kecewa dengan tindakan Datuk Zali.
"Qasrina... dengan apa yang dah berlaku..."
"Tak! Qas tak berminat dengan semua ni. Qas minta diri dulu."
Buru-buru, Qasrina meluru ke arah Rasun yang akan menemaninya melawat Jebat petang itu. Sungguh, Jasmine tak menyangka bahawa ayahnya tekad menjodohkannya dengan seorang pemuda kasanova. Apa sebenarnya yang berada di fikiran tak waras ayahnya pun Jasmine tak tahu!
"Qasrina!"
Tak semena-mena Jasmine kematian langkah tika Datuk Zali mencengkam lengannya. Pandangan dua beranak itu saling bertaut.
"Apa lagi pa?"
"Papa tak izinkan Qas jenguk keadaan Jebat! Masih bahaya kalau Qas keluar dari rumah!"
"Qas risaukan Jebat. Qas tak boleh bertenang selagi Qas tak tahu perkembangan dia! Tolong papa. Jangan halang Qasrina!" Jasmine membuka pintu kenderaan namun sekali lagi Datuk Zali menghalang.
"Tak payahlah kau nak kisah sangat pasal Jebat! Banyak lagi benda penting kau perlu buat selain fikir pasal dia! Papa dah bayar Jebat untuk pastikan nyawa kau lebih berharga daripada nyawa dia. Dah tu memang tugas Jebat! Sekarang, lebih baik kita bincang pasal Qas dengan Ezhar."
Suasana sepi tatkala Datuk Zali menuturkan arahan mandatorinya. Sungguh, Jasmine terkelu dengan sikap Datuk Zali yang hanya menganggap pengorbanan Jebat tiada nilainya.
"Papa nak aturkan pertunangan..."
"Papa ni manusia atau binatang? Dalam keadaan orang lain bertarung nyawa, papa masih nak jodohkan Qas dengan Ezhar? Kalau papa kat tempat Jebat malam tu, belum tentu papa boleh korbankan nyawa papa untuk anak papa sendiri! Jadi manusia tu kalau kaya tapi miskin budi tak berguna juga!"
Bertubi-tubi amarah Jasmine lontarkan kepada Datuk Zali seraya menerobos masuk ke dalam kenderaan. Jasmine benar-benar mati punca dengan sikap pentingkan diri Datuk Zali. Dia penat tika urusan hidupnya masih diatur oleh lelaki itu. Apa yang Jasmine lihat sekarang Datuk Zali hanya mahu meluaskan empayarnya dengan menikahi Jasmine dan Ezhar saja!
Bersambung...
21.1.2024
Sorry harini termungkir janji sebab saya sibuk jadi sempat update satu chapter je. Thank you sudi singgah ❤️🔥 jangan marah2 tauu
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top