EPISOD 43

"QASRINA!"

Panggilan video yang diterima daripada konco-konco Reno menyelubungi suasana tegang di pejabat Datuk Zali. Nafasnya terasa sesak di rangkungan melihat keadaan Jasmine yang sudah tak bermaya dek menerima penyeksaan Reno dan konco-konconya.

Siapa ketua mereka? Kenapa anaknya diperlakukan dengan kejam?

"Papa... to... tolong..." Tika kepalanya yang direndam ke dalam tong berisi air diangkat keluar, Jasmine sudah tercungap-cungap mencari nafas panjang. Dia ingin melepaskan rambutnya yang dicengkam daripada konco Reno. Tubuhnya menggeletar menahan sakit yang meragut kekuatannya. Samar-samar dia melihat wajah bengis Datuk Zali yang berada di dalam talian.

"Jangan... jangan apa-apakan anak aku! Kalau korang nak duit aku akan bagi berapa je yang korang nak!"

Tawa Reno yang berada di belakang telefon kedengaran. Hatinya tercuit mendengar nada suara musuhnya yang tegang seakan-akan sudah menyerah dengan takdir. Nafas panjang ditarik sedalamnya. Nyaman rasanya tatkala musuhnya hampir kecundang.

"Anak kau cantik macam Mariana masa muda juga, Zali."

Tatkala wajah Reno terpampang di dalam panggilan video, alangkah kagetnya  Datuk Zali melihat wajah musuh lamanya yang sudah memaut leher Jasmine dari belakang. Urat-urat hijau timbul di dahi lelaki berkot hitam itu. 

"Terkejut?"

"Sial! Kau... kau nak apa daripada aku sampai anak aku jadi mangsanya? Kau jangan berani sentuh darah daging aku!"

"Berani? Mestilah berani!"

Jeritan kesakitan Jasmine kedengaran tatkala lengannya dihiris dengan pisau. Darah mengalir deras dari lengan wanita itu. Air mata mengalir di tubir mata Jasmine dek menahan sakit yang bukan kepalang. 

Para pengawal yang berada di sisi Datuk Zali juga sudah keresahan mendengar jeritan Jasmine yang menderita dek ulah musuh. Mahu saja mereka mengerjakan Reno secukupnya yang tega mencederakan Jasmine.

Mereka rasa sesak selagi keselamatan Jasmine dalam bahaya apatah lagi wanita itulah yang sering membuatkan para pengawal rasa hidup dalam keadaan berkeluarga.

"Aku bunuh kau Reno! Jangan kau sentuh anak aku! Dia tak bersalah."

"Bunuhlah! Datang sini bunuh aku! Huh! Dulu, kau lingkupkan business aku. Kau makan suap! Sekarang... aku nak kau serahkan semua aset kau dengan aku..."

"Jangan bermimpi! Sampai mati pun aku takkan serahkan aset aku dekat jantan keparat!"

"Oh, kau pilih aset kau daripada anak kau rupanya. Ah! Faham. Kita ni serasilah, Zali! Sama-sama suka buang anak kandung sendiri." Tawa Reno meledak lagi seraya merentap kasar lengan kemeja Jasmine sehingga terkoyak. Mendedahkan lengan mulus Jasmine yang sudah bercampur dengan darah.

Melihatkan Reno semakin bertindak agresif, jiwa Jebat semakin meronta-ronta ingin menghalang lelaki keji itu daripada terus bertindak di luar kawalan. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat sehingga kuku mencucuk tapak tangan. Matanya sudah melilau kiri dan kanan berkira-kira sama ada dia perlu mengalah kali ini.

Jasmine... akan terima nasib seperti Shana jika dia terlambat. Trauma seumur hidup.

"Papa... tolong Qas..."

Tangisan Jasmine semakin mendayu-dayu tatkala tangan kotor Reno sudah mengusap lengannya yang terdedah. Bahunya terhinggut-hinggut. Jasmine ingin melepaskan diri namun pautan Reno di pinggangnya mengunci pergerakan Jasmine serta-merta.

Ya Tuhan, Jasmine hanya mampu berserah kepada Allah yang maha melindungi tatkala harapannya sudah punah untuk melepaskan diri.

"Aku nak aset Mariana jadi hak aku sebagai balasan kau lingkupkan business aku. Itu pun kalau kau sayang anak kau yang cantik nilah."

Datuk Zali mendengus. Mana mungkin dia menyerahkan aset kekayaan kepada Reno yang hanya tahu berfoya-foya. Tapi, dia juga tak tega melihat Jasmine diseksa. Risau jikalau wanita itu dibunuh hanya kerana persengketaan di antara dia dan Reno. Lelaki itu kejam dan pantang dicabar!

"Aku bagi kau masa sampai esok untuk fikirkannya. Tak ada jawapan, aku rasmikan anak kau dulu sebelum aku campak mayat dia depan istana kau."

Panggilan ditutup. Jeritan Datuk Zali bergema di seluruh ruangan pejabat. Dia meramas rambutnya yang kusut masai dengan ugutan musuh. Pelipisnya dilurutkan tatkala ruang fikiran Datuk Zali mula bercangkaliwang.

"Papa jangan cakap papa akan serahkan semuanya dekat penculik tu." Suara Jazimin yang sedang menghirup secawan kopi sambil bersandar di tepi tingkap kedengaran. Tersungging senyuman sinis di bibirnya melihat Jasmine dikasari. Puas hati! Wanita angkuh itu selayaknya diberikan pelajaran.

"Papa tak bodoh lagi nak serahkan bulat-bulat dekat dia."

"Then, apa keputusan papa? Papa pasrahlah kalau diorang bunuh Qasrina?"

Seketika, pandangan Datuk Zali bertaut dengan Jazimin. Soalan itu buat dia tercabar! 

"Papa pun bukannya sayangkan Qasrina. Sejak papa kahwin dengan mummy, papa cuma ada Jaz dengan mummy aje. Jadi, kalau diorang memang nak hapuskan riwayat Qasrina sekali pun tak berikan kesan untuk papa. Mungkin, siapa tahu orang kat luar akan bagi simpati dekat kita dan akan naikkan lagi saham syarikat?"

Sungguh, kata-kata Jazimin memarakkan lagi amarah para pengawal yang berada di ruangan pejabat. Kaget dengan bicara Jazimin yang hanya bertenang. Kejam benar ayat itu di pendengaran mereka. Tak selayaknya Jasmine diperlakukan seperti ini dengan keluarga sendiri!

"Kamu jangan melampau Jazimin! Qasrina tu anak kandung papa..."

Jazimin tertawa sinis sambil menggaru pelipisnya.

"Anak kandung pun papa tak pernah ambil berat pasal dia. Bertahun-tahun papa buang Qasrina lepas mama dia mati. Macam nilah daripada papa pening, kita biar jelah Qasrina tu. Dah ajal dia dengan cara macam tu. Jaz gerenti kalau Qas tu mati, saham papa akan naik. Anggap jelah kematian dia sebagai rezeki..."

"Jazimin! Cukup..."

Tak semena-mena, suasana ruangan pejabat Datuk Zali semakin tegang tatkala tubuh Jazimin tersungkur di tepi meja kopi dengan penangan Jebat Khuwailid. Datuk Zali juga tercengang dengan tindakan Jebat yang menumbuk wajah anak lelakinya tanpa henti. Jelas, ada amarah yang memenuhi wajah pemuda berjas hitam itu.

"Jebat! Cukup!"

"Aku baru pertama kali nampak binatang berkepala manusia macam kau! Nyawa manusia bukan permainan untuk orang yang pentingkan diri! Sepatutnya kau yang terima penyeksaan tu bukan Jasmine!"

Tumbukan demi tumbukan terus dihenyak ke wajah Jazimin tanpa henti. Amarah Jebat semakin berkobar-kobar dengan bicara Jazimin yang konyol. Tiada langsung empati mendengar erangan kesakitan Jazimin yang wajahnya sudah berlumuran darah.

"Jebat Khuwailid!"

Jebat tersentak tatkala suara Datuk Zali naik seoktaf. Nafas Jebat turun naik melepaskan amarah yang masih tersisa. Membiarkan saja para pengawal mengheretnya daripada terus membelasah Jazimin yang sudah mengerekot kesakitan di atas lantai. Kesabaran Jebat sudah sirna. Fikirannya bercelaru.

"Kau dah gila ke pukul anak aku?" Datuk Zali membentak seraya mencengkam kedua-dua kolar baju Jebat. Matanya membuntang dek kaget dengan tindakan drastik pemuda itu.

"Anak datuk dah permainkan nyawa seorang ibu kepada anak kecil yang saya sayang. Mungkin selama ni datuk dengan datin dah manjakan dia sampai dia tak tahu hargai nyawa orang. Itu, pengajaran pertama dan terakhir daripada saya. Kalau lepas ni datuk nak pecat saya sebab dah hancurkan muka anak kesayangan datuk, silakan! Tapi sebelum tu saya akan buat tugas saya yang terakhir sebagai pengawal peribadi datuk!"

 Tanpa berlengah, Jebat meluru keluar dari ruangan pejabat Datuk Zali. Tak peduli lagi mata-mata para staf MARLI Empire yang sudah tercengang melihat wajah bengisnya yang seakan seorang pembunuh.

Seluruh wajah Jebat membahang panas tatkala masih ada sisa amarah yang belum sirna. Serentak dengan itu, samar-samar kebahagiaan keluarganya melintas di ruang memori. Tubir mata Jebat terasa hangat tika kerinduan buat ayahnya bermain di relung hati.

"Ayah nak kau jadi lelaki budiman walaupun kita tak berharta. Jadi lelaki bertanggungjawab dan sebarkan kebaikan yang ada dalam diri kau kepada semua orang. Tak kisahlah kau tak belajar tinggi tapi adab dengan manusia tu perlu ada dalam diri kita, Jebat. Satu lagi, kau jangan terlalu ikutkan sikap baran kau. Belajar untuk memaafkan dan jangan sesekali berdendam walau sejahat mana sekali pun orang buat kita. Biar Tuhan yang membalas semua kejahatan tu."

Nasihat Encik Fazil berlalu di ruang memori Jebat. Dia menghela nafas panjang seraya mendongak memandang langit senja. Burung-burung sudah berterbangan pulang ke sarang. Bebas. 

"Jebat minta maaf ayah. Jebat tak mampu jadi lelaki budiman yang akan maafkan orang yang dah hancurkan keluarga kita. Sakit sangat apa yang dah jadi dengan keluarga kita. Jebat penat dengan hinaan orang sedangkan Jebat tahu, ayah tak buat semua perbuatan terkutuk tu. Jebat terseksa tengok mak menangis sembunyikan penderitaannya. Jebat dah gagal lindungi Kak Shana daripada tangan-tangan kotor sampai Jebat hilang penasihat hidup Jebat. Salah ke Jebat buat semua ni, ayah?"

Jebat meraup wajahnya dengan kasar. Berkali-kali Jebat cuba menenangkan emosi yang bercampur baur. Semua kesesakan yang bergayut di fikiran cuba dibuang jauh. Jebat tak mahu bertindak dengan emosinya dalam menyusun strategi.

Lantas, Jebat mencapai telefon pintarnya. Nombor telefon Fawwaz dicari. Hanya dengan sekali deringan, panggilan Jebat dijawab.

"Fawwaz... malam ni suruh budak lain ganti aku."

"Kau ke mana pula? Dah dua hari kau tak fight asyik suruh orang lain ganti."

"Aku nak jumpa seseorang. Pukul 10 malam."

"Siapa?"

"Penculik Jasmine."

Hampir saja Fawwaz terpelongo dengan jawapan Jebat. Dia mengarahkan Keong mengambil alih untuk membersihkan ruangan gelanggan tinju yang berselerak. Fawwaz melangkah keluar mahu mencari udara luar bagi membuang rasa kaget.

"Kau jangan jadi bodoh! Diorang tu licik. Ramai! Kau nak mati..."

"Kalau aku mati sekali pun... janji dengan aku jaga mak dengan kakak aku baik-baik. Aku cuma boleh harapkan kau, Fawwaz. Aku minta maaf libatkan kau dalam masalah ni."

"Ya Tuhan! Kau ni kenapa? Benda boleh bincang...."

"Tak ada apa perlu dibincang lagi, Waz! Bapa dengan abang Jasmine pun tak boleh nak selamatkan dia! Harta lebih penting bagi diorang berbanding nyawa Jasmine. Elman perlukan ibunya! Jadi, aku yang dah serahkan Jasmine kepada diorang biar aku yang bertanggungjawab atas kebodohan aku sendiri."

Fawwaz menggerutu. Pelipisnya dilurutkan tatkala konflik keluarga Jasmine memeningkan kepalanya. Tega benar seorang ayah lebih memilih harta kekayaan berbanding nyawa anak sendiri. Baru Fawwaz mengerti mengapa benci benar Jebat terhadap lelaki tua itu. Kejam!

"Biar aku temankan kau..."

"Tak perlu. Aku tak nak kau dalam bahaya lagi. Ini urusan aku biar aku yang selesaikan. Jaga diri kau baik-baik, Fawwaz. Kalau ada benda buruk jadi dekat aku, tolong jagakan mak dengan Kak Shana."

Jebat menamatkan panggilannya. Terpampang fotonya bersama Shana dan Puan Nijah yang dijadikan latar belakang telefon. Lantas, Jebat memakai helmet seraya memecut motosikalnya keluar dari pekarangan MARLI Empire.

 Hari ini akan jadi tugas terakhirnya sebagai pelindung buat Jasmine Qasrina.

Bersambung...

19/1/2025

Thank you sudi luangkan masa baca KYTT. Makasih bagi vote banyak-banyak dan komen banyak-banyak. Kalau nak lagi double update cukup 100 vote, 30 komen saya bagi  ✨️

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top