EPISOD 41

TANGISAN Elman yang membingitkan rumah agam pagi itu benar-benar merungsingkan pembantu rumah yang ditugaskan untuk menjaga si anak kecil. Tak henti-henti, Elman mencari keberadaan Jasmine yang sudah tiga hari hilang tanpa jejak.

Sungguh, Elman rindukan ibunya. Apatah lagi sudah tiga malam Jasmine tak mendodoikannya dengan membacakan buku cerita.

"Kenapa budak tu melalak pagi-pagi ni, mummy?"

"Elman cari Qasrina. Mummy pun pening nak uruskan budak tu. Degil! Mummy suruh makan pun dibuangnya makanan tu atas lantai. Tak pasal-pasal membazir!" Datin Bahriah yang sedang membaca majalah di ruang tamu mengeluh berat dengan tingkah Elman yang mencabar kesabaran. Dia mati punca untuk memujuk cucu tirnya itu.

"Baik mummy senyapkan budak tu sebelum Jaz kurung dia. Bising! Jaz dahlah baru balik. Serabut kepala ni selagi dia tak diam!"

Jazimin mengeluh berat sambil memerhatikan Elman yang sudah ke hulur ke hilir mencari Jasmine di setiap ruangan kamar yang ada di rumah agam itu. Dinding hatinya terasa panas membara tatkala tidurnya diganggu.

"Jaz pergi mana eh selama seminggu ni? Betul ke ada urusan business kat luar atau pergi berjimba dengan perempuan kat kelab?"

"Apa pula yang mummy merepek ni? Susah sangat ke nak percayakan anak sendiri sampai tuduh Jaz yang bukan-bukan? Mummy juga yang suruh Jaz tolong papa uruskan company sebab anak tiri tak sedar diri mummy tu tak boleh pakai! Hidup senang tapi kerja tak nak!"

Sungguh, tuduhan melulu Datin Bahriah mengguris hati Jazimin. Dia melabuhkan duduk di ruangan makan seraya menjamah sarapan yang terhidang di atas meja. Lebih baik dia isi perut bagi meredakan amarah dengan tingkah Elman yang menggugat kesabarannya.

"Dah mummy call Jas susah sangat nak menjawab. Kita tengah ada masalah sekarang ni dan sepatutnya Jaz tolong apa yang patut!"

"Masalah Qasrina kena culik? Ala mummy, biar jelah apa nak jadi dengan perempuan tu! Dia dah kena karma sebab kurang ajar dengan mummy! Tak payahlah mummy susah payah nak kisah pasal orang yang tak pernah hargai mummy. Buang masa!"

Tak semena-mena, Datin Bahriah tercabar dengan bicara Jazimin. Majalah ditutup. Pandangannya bertaut dengan Jazimin yang sedang menyapu mentega di atas roti.

"Jaga sikit mulut..."

"Betullah kan Qasrina tak pernah hargai kasih sayang mummy. Kerja dengan papa tak nak. Tapi menyusahkan semua orang. Lebih baik dia pergi balik kampung nenek dia jelah! Aman terus hidup Jaz daripada dengar dia kurang ajar dengan mummy."

Jazimin mempertahankan diri tatkala Datin Bahriah seolah-olah mahu menidakkan kenyataan bahawa adik tirinya layak menerima balasan di atas sikapnya yang biadab.

"Jazimin! Baik buruknya dia tetap adik tiri kamu! Kalau bukan sebab keluarga diorang dah lama kita merempat. Cuba berbaik sangka dengan Qasrina tu. Dia tak nak kerja dengan papa sebab dia tak minat. Kamu nak tak nak kena kerja juga bukannya jadi kasanova kat luar sana! Kamu lelaki. Ambil kesempatan yang papa bagi kat kamu!"

Nada suara Datin Bahriah meninggi. Mahu saja ditamparnya Jazimin yang bermulut lancang. Seharusnya, anak lelakinya bijak mengambil kesempatan di atas peluang yang diberikan oleh Datuk Zali dalam menguruskan syarikat. Harta kekayaan yang melimpah ruah itu jugalah yang akan membantu mereka dua beranak jikalau suatu saat nanti Datuk Zali meninggal dunia.

Jasmine?

Bagi Datin Bahriah, wanita angkuh itu tak selayaknya mewarisi takhta MARLI Empire.

"Ibu! Elman nak ibu! Mana ibu Elman?"

Pertelingkahan Datin Bahriah dan Jazimin terhenti sebaik saja Elman sudah turun mencari keberadaan Jasmine. Bahu si kecil terhinggut-hinggut sambil memegang kereta mainannya. Ketakutan mencengkam sanubari tatkala gerak hati kecil Elman memberikan tanda bahawa ibunya sudah pergi.

Dia takut andai Jasmine pergi tak kembali seperti Zafri.

"Bullshit! Bisinglah budak!"

"Ibu!"

Jazimin bangun seraya meluru ke arah Elman yang sudah berdiri di muka pintu. Dadanya berombak kencang. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat tatkala jiwanya berkobar-kobar ingin menghukum Elman yang sudah menganggu kententeramannya. Apatah lagi pergaduhannya bersama Datin Bahriah menambahkan lagi emosi Jazimin.

"Ibu kau dah hilang kau faham tak? Polis tengah cari ibu kau. Jangan bising..."

"Ibu... ibu pergi mana uncle?"

"Ibu kau dah kena bawa dengan penjahat sebab ibu kau tu jahat! Suka lawan cakap mummy aku!"

"Tipu! Ibu baik. Ibu sayang Elman. Ibu selalu pesan dengan Elman kita kena buat baik dengan semua orang!" Elman menolak kasar tubuh Jazimin tika kebencian meresap ke relung hati kecilnya. Bingit mendengar ibunya diburuk-burukkan oleh lelaki berkulit kuning langsat itu.

"Sini kau! Biar aku ajar kau cara hormat orang tua sebab ibu kau tak reti ajar kau sangat kan!"

Tanpa berlengah, lengan Elman diheret menuju ke belakang rumah agam. Tangisan Elman semakin mendayu-dayu dengan kekasaran pak ciknya.

"Jaz! Kamu nak bawa budak tu ke mana?"

"Mummy tak payah masuk campur! Biar Jaz diamkan dia dan amankan kita semua!"

Tubuh kecil Elman ditolak kasar ke dalam stor yang dipenuhi dengan alat kebun dan kotak-kotak lama. Ditunjalnya kepala Elman seraya mencapai tali rapia yang terletak di atas sebuah meja kayu. Mahu mengikat Elman di dalam ruangan gelap dan sempit itu.

"Elman takut..."

"Budak nakal kena duduk sini! Kau takkan keluar selagi kau tak diam. Kau faham?"

"Tak nak! Gelap. Elman takut!"

Erangan kesakitan Jazimin kedengaran tatkala tangannya digigit oleh Elman. Seluruh wajahnya membahang tatkala kanak-kanak itu meluru keluar dari stor. Berani benar Elman menentangnya! Gigitan Elman yang terasa hingga ke tulang benar-benar perit!

"Jaz... janganlah buat macam tu. Kesian Elman!"

"Ah! Jaz peduli apa, mummy! Budak ni kecil-kecil dah biadab. Sini kau!" Tangkas, Jazimin mencengkam lengan Elman. Tatkala Elman meronta-ronta ingin melepasan diri, laju saja Jazimin mengayunkan tangannya ingin memukul tubuh belakang Elman.

Namun...

Pergerakan Jazimin terhenti tatkala pergelangan tangannya dicengkam oleh seseorang sehingga tangannya tergawang di udara. Tatkala Jazimin mendongak, terpampang wajah seorang pemuda bengis dengan tatapan yang kosong. Jazimin mendengus tatkala tindakannya dihalang serta-merta.

"Apa masalah kau?"

"Masalah aku? Huh! Kau tak nampak ke budak ni bising? Kitorang semua serabut!"

"Habis tu... kau nak pukul budak ni supaya dia boleh diam. Macam tu?"

"Yelah! Kurung je dia dalam stor supaya diam. Kalau dia mampus kelaparan..."

Tak semena-mena, Jazimin kematian bicara tika tangannya dipulas kuat. Mulutnya terpelongo dengan keberanian Jebat yang mahu mencelakainya. Terasa kelat liur di rangkungan dengan tatapan Jebat yang seakan-akan sang algojo ingin membunuh mangsa.

"Sekali lagi kau sakitkan Elman, jangan sampai jari, tangan kau tu patah aku kerjakan. Kau ingat tu, tuan muda."

Jebat menolak kasar tubuh Jazimin seraya mendukung tubuh kecil Elman. Langkah diatur masuk ke dalam rumah. Nafas panjang ditarik seraya dihembuskan perlahan-lahan. Tangisan Elman benar-benar membuatkan Jebat semakin berperang dengan diri sendiri. Dia dapat rasa kerinduan Elman buat Jasmine.

"Kau ugut aku, Jebat Khuwailid?"

Tatkala Jazimin menghalang langkahnya, tersungging senyuman sinis di bibir Jebat. Matanya disepetkan tatkala Jazimin mencengkam kolar kemejanya.

"Kau senyum sinis dengan aku? Eh! Kau nak tentang majikan kau sendiri? Kau punca Qasrina diculik dan sekarang kau nak naik kepala dengan aku?"

"Aku terhibur dengan kau. Budak kecil pun kau nak pukul? Tak gunalah pandai, kaya tapi tak ada otak macam kau! Terlalu ikut emosi! Tak malu ke guna kekerasan dekat budak yang umurnya baru lima tahun? Aku tak kisah kau majikan aku ke tak tapi aku takkan biarkan sesiapa sakitkan Elman. Kau nak pecat aku sebab lawan kau sekali pun aku tak kisah!"

Melihat ketegasan Jebat, Datin Bahriah yang hanya memerhatikan pertelingkahan dua orang pemuda itu hanya tersenyum kecil. Pemuda itu memang pemberani orangnya. Membuatkan Datin Bahriah terasa dejavu tatkala ruang memorinya teringatkan seseorang yang mempunyai aura yang seakan-akan sama dengan Jebat Khuwailid.

Dia. Lelaki yang telah memberikan kebahagiaan buat Datin Bahriah namun dalam masa yang sama dunia gelap itu terpaksa memisahkan mereka.

🥀🥀🥀

"DEMAM panas, Elman ni Mak Anum. Sejak bila dia demam?"

Perlahan-lahan, Jebat meletakkan tuala basah ke dahi Elman yang sudah tertidur di atas ribanya. Jebat membetulkan bantal seraya membaringkan tubuh Elman di atas kasur. Namun, lengannya dipeluk erat oleh si kecil. Tak mahu melepaskannya pergi dari kamar.

"Mak Anum tak perasan. Tapi selama tiga hari ni dia asyik cari Puan Jasmine aje. Saya pun bingung, Jebat. Kita nak buat apa? Hari-hari Elman cari ibu dia. Nak makan pun tak nak."

Mendengar hal itu, Jebat terkelu. Raut wajah Elman yang pucat ditatap dengan penuh kasih. Sesekali, Elman memanggil nama Jasmine dalam lenanya. Jelas, ada kerinduan di lubuk hati si kecil.

Ya Tuhan, apa yang perlu Jebat buat? Jebat tak tega melihat Elman kesedihan. Ada rasa sayang yang mula mencengkam jiwa Jebat buat anak yang memerlukan kasih seorang ayah itu.

Namun, Jebat juga sudah lama menginginkan kehancuran dalam hidup Datuk Zali. Penculikan Jasmine Qasrina cukup memuaskan hati Jebat. Namun, kenapa... hatinya juga tak tega jikalau Reno menghancurkan Jasmine seperti mana Shana diperlakukan dahulu?

"Jebat. Doktor Raina dah datang."

Kaku.

Jebat masih tenggelam dengan peperangan emosi sambil mengenggam tangan kecil Elman yang dingin.

"Jebat!"

"Hah?"

Elisa mencebik. Dia menggaru kepalanya melihat Jebat yang kebingungan. Apa lagi masalah pengawal peribadinya Jasmine ini? Sebelum ini, Jebat tidak kisah dengan Elman sehingga mengejutkan semua pekerja Datuk Zali yang sememangnya tahu bahawa Jebat sangat akrab dengan Elman. Hari ini, Jebat kembali kepada si pemuda yang menjadi sosok ayah buat anak kecil itu.

"Kau okey tak? Nampak macam banyak masalah aje."

"Mak Anum pun tengok sejak dua menjak ni Jebat banyak diam. Rasa bersalah ya sebab kes Puan Jasmine?"

Mendengar hal itu, keluhan berat Jebat lepaskan. Jebat tiada jawapan bagi setiap persoalan daripada Elisa mahupun Mak Anum. Apa yang Jebat tahu, semenjak dia menerima video daripada Reno hatinya kembali berperang. Antara dendam atau kerisauan jikalau mereka menyeksa Jasmine dengan lebih teruk.

"Doktor dah sampai?" Jebat ubah topik. Berura-ura untuk keluar dari kamar. Namun, rengekan Elman mematikan pergerakannya.

"Tak apa. Kau duduk sini biar aku panggilkan doktor masuk."

"Mak Anum pun nak sambung kerja. Jebat duduklah dengan Elman kat sini ya. Dia nampak tak nak lepaskan Jebat."

Sepeninggalan Elisa dan Mak Anum, Jebat kembali dihurung dengan rasa bersalah tatkala melihat wajah Elman. Anak kecil ini kehilangan ayah semasa dilahirkan. Kini, bakal kehilangan seorang ibu lagi hanya kerana konflik yang berlaku di antara Datuk Zali dan musuh-musuhnya.

"Maafkan uncle abah, Elman. Uncle abah tak nak jaga ibu Elman lagi. Atuk Elman... dah buat ayah uncle abah mati. Kakak uncle abah dah bisu sebab atuk Elman juga. Uncle abah cuma... nak balas kejahatan atuk Elman aje. Tapi... uncle abah sayangkan Elman... tak nak tengok Elman sakit macam ni."

Jebat tertunduk sambil memejamkan matanya dengan erat. Wajahnya terasa bahang tatkala memori mengimbas semula detik kehilangan Encik Fazil dalam keadaan mengayat hati. Berganti pula dengan hinaan masyarakat kerana perbuatan si ayah sebelum kejadian maruah Shana dihancurkan bergilir-gilir dan Jebat gagal menyelamatkan kakaknya.

Ya Tuhan, kenapa dengan niatnya yang semakin tergugat? Jasmine juga akan terima nasib sama seperti Shana. Seharusnya, dia bahagia di saat Jasmine akan menderita seperti Shana. Datuk Zali akan merana seperti Puan Nijah. Tapi, lain kejadiannya tika Jebat juga tak tega jikalau Jasmina dan Elman menderita.

🥀🥀🥀

CAHAYA mentari yang menerobos masuk ke dalam ruangan melalui tingkap kecil menyilaukan pandangan Jasmine. Kepalanya terasa berdenyut. Seluruh tubuhnya rengsa. Bau alkohol meloyakan tekak wanita yang terbaring lesu di dalam ruangan yang dipenuhi dengan kayu-kayan dan kotak-kotak kosong. Perlahan-lahan, Jasmine bangun seraya bersandar di dinding.

"Elman... ibu rindukan Elman..."

Esakan kecil Jasmine pecah jua sambil melilau ke sekeliling ruangan. Nalurinya tidak enak memikirkan tentang Elman. Anaknya itu tidak akan lena selagi Jasmine tak mendodoikan Elman dengan membacakan kisah-kisah tauladan sebelum tidur.

Bahkan, sudah empat hari Jasmine diculik. Masih tiada tanda-tanda dia akan dibebaskan. Apa yang ada cumalah emosinya dipermainkan oleh lelaki-lelaki durjana itu. Sesekali, mereka akan menjadikannya sebagai boneka. Sengaja memaksanya meneguk air arak sehingga Jasmine khayal.

"Ya Allah... tolong aku... aku takut Ya Allah. Aku risaukan anak aku." Jasmine memeluk erat kedua-dua belah lututnya. Kepalanya tersembam di atas lutut. Memujuk hatinya yang gundah-gulana dengan kekejaman mereka.

Sungguh, Jasmine rasa jijik setiap kali rambutnya yang sudah terdedah dibelai oleh tangan-tangan hina itu. Kehormatannya yang dijaga rapi sebagai balu kepada Zafri dipermainkan.

"Apa yang papa dah buat? Kenapa aku yang kena hadap semuani? Aku tak tahu apa-apa tapi kenapa aku yang kena tanggung semua kesalahan papa?"

"Jebat... kenapa awak tak datang selamatkan saya macam yang awak selalu buat? Kenapa awak biarkan diorang buat saya macam ni?"

Bertalu-talu persoalan bermain di benak fikiran Jasmine. Dia terhinggut-hinggut memikirkan nasib malang yang akan menimpanya selepas ini. Jasmine benar-benar lemah tak berdaya. Terkurung di sebuah tempat asing berhampiran hutan belantara. Jauh daripada kawasan umum.

"Kalau abang dah tak ada, Jasmine kena kuat. Abang nak isteri abang ni teguh jiwanya. Tak kisahlah apa ujian yang Jasmine hadap sekali pun abang tak nak Jasmine menyerah. Usaha untuk keluar dari kesusahan dan teruskan letak harapan supaya Allah ringankan kesusahan kita."

Tatkala nasihat Zafri terngiang-ngiang di telinga, Jasmine terdongak. Jasmine seakan-akan tertampar dengan bayangan Zafri yang bermain di ruang fikiran. Nasihat itu meresap ke relung hati.

Kuat. Ya, dia perlu kuat untuk Elman!

"Aku tak boleh menangis. Aku tak boleh mengalah. Aku kena lawan. Aku je yang boleh lindung diri aku sendiri. Tujuh tahun kau berjuang hidup tanpa Zafri dan kau dah kuat untuk lepaskan rasa sakitnya kehilangan dia. Kau kena fikirkan cara lari dari sini."

Jasmine mengusap air mata yang membasahkan pipinya seraya bangun mencari akal untuk keluar dari ruangan itu. Tingkap kecil dipandang silih berganti dengan beberapa kayu papan. Tangkas, Jasmine mengangkat kayu papan dan disusun untuk membantunya keluar dari ruangan itu. Debaran kuat memalu jantung wanita itu. Rintik-rintik peluh mengalir ke pipinya. Takut jikalau tindakannya diketahui oleh para penculik.

Tika kayu papan sudah disusun dalam keadaan meninggi, Jasmine menanggalkan kasut tingginya seraya melompat ke tingkap. Senyuman kecil terukir di bibir pucat wanita itu tatkala dia berjaya. Sebelum melompat keluar melalui tingkap, Jasmine melilau ke sekeliling mahu memastikan suasana aman.

Kosong. Hanya kelihatan sebuah motosikal dan sebuah kereta yang tersidai di hadapan gudang.

Tanpa berlengah, Jasmine melompat keluar. Hampir saja wanita itu mengerang kesakitan tatkala kakinya terpijak kaca yang berselerakan di kawasan itu. Darah berjejeran di tapak kakinya.

Sakit! Namun, Jasmine gigihkan saja dirinya yang sudah terhincut-hincut mencari jalan keluar. Niatnya hanya untuk kembali bersama dengan Elman semula!

Bersambung...

18.1.2025

Jawab dulu (based on pendapat sendiri) nanti cukup 90 vote saya double update

1. Pain ke tak cerita ni? Kalau pain apa yang pain?
2. Lambat sangat tak flow cerita? (Sebab Jasmine&Jebat lambat jumpal
3. Jebat&Jasmine tak ada chemistry lagi ke?

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top